Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
“Sesungguhnya perjuangan itu tidak mengenal erti penat & lelah. Demi Islam tercinta, ia perlu diteruskan. Semoga usaha untuk menyampaikan risalah Islam ini diterima Allah sebagai salah satu amal jariah semasa menghadap-Nya pada suatu hari yang pasti akan tiba..”
blog's design by faizassyirazi. Powered by Blogger.

Tuesday, 18 October 2011

Tinjauan terhadap teori mencari kebenaran oleh Imam al-Ghazali (Siri Akhir)

Tasawwuf Jalan Terakhir

Al-Ghazali mendapati bahawa jalan orang yang bertasawwuf itu hanya akan sempurna jika disertai dengan amal.Tujuan orang yang bertasawwuf beramal adalah:
1. Membebaskan jiwa dari belenggu hawa nafsu.
2. Membersihkan jiwa daripada akhlak yang keji.
3. Menjauhkan jiwa daripada sifat-sifat yang mazmumah.

Orang yang bertasawwuf perlu beramal sehingga hati mereka kosong,tidak berisi apa pun selain daripada Allah.Hati seperti ini sudah dihiasi dengan zikir mengingati Allah.Bagi al-Ghazali, Ilmu Tasawwuf agak mudah dituntut namun payah untuk diamalkan.Beliau memulakan pembelajarannya terhadap ilmu ini dengan menatap kitab-kitab seperti Qut al-Qulub (santapan hati) oleh Abu Talib al-Makki dan kitab-kitab dan karangan-karangan peninggalan dari al-Junaid, al-Syibli, al-Bustami sehinggalah al-Ghazali berjaya memahami Ilmu Tasawwuf ini berkat di atas usaha yang dilakukannya samada dengan menghadap dan belajar dari guru dan dari pengikutnya.

Menurut al-Ghazali, al-Khawwas (yang teristimewa dari yang istimewa) tidak boleh sampai kepada matlamatnya hanya dengan belajar atau berguru akan tetapi dengan Dzauq hal (keadaan rasa) dan Tabadul al-Sifat (penggantian sifat-sifat). Kesemua istilah ini adalah istilah di dalam Ilmu Tasawwuf yang hanya dapat difahami oleh orang yang mendalaminya sahaja. 


Al-Ghazali juga mengetahui bahawa para sufi memperolehi tasawwuf dari pengalaman dan arbab al-ahwal (pengalaman yang dirasainya) dan bukan diperolehi dari pengertian takrif yang boleh disusun dan boleh dituturkan dengan perkataan.Jalan ini harus ditempuhi dengan dzauq dan suluk (perjalanan batin).

Selama sepuluh tahun al-Ghazali mendalami jalan para sufi ini,beliau telah banyak menemui banyak pengetahuan yang mayakinkan tentang hakikat segala sesuatu sepertimana apa yang beliau cari selama ini. Al-Ghazali menukilkan: “Bahkan, sekiranya digabungkan akal para pemikir, hikmah ahli falsafah, dan ilmu para ulama’ yang mengetahui rahsia syara’ untuk mencipta satu cara yang lebih utama dari cara ahli sufi, maka usaha itu tidak akan membuahkan hasil. Ini kerana segala perbuatan kaum sufi samasa zahir atau batin adalah diterangi oleh nur dari cahaya kenabian.

Seperti apa yang beliau nyatakan,pengetahuan sebenarnya tidak dihasilkan oleh akal,tetapi dengan pengalaman dzauq (pengalaman batin). Mencapai sesuatu pengertian dengan alasan dan bukti serta keterangan dinamakan sebagai ilmu pengetahuan,sedangkan mengalaminya adalah dzauq. Kemampuan akal tidak mampu melangkaui pengetahuan ini. Begitu juga pada sifat-sifat khas para anbiya’ mengenai perkara-perkara ghaib yang hanya dapat diketahui dengan dzauq melalui jalan tasawwuf.

Tercetusnya semangat al-Ghazali yang tinggi apabila beliau ditimpa dengan keraguan,beliau cuba untuk menghilangkan keraguan yang timbul di dalam dirinya itu dengan pelbagai jalan. Dari Ilmu Kalam, falsafah sehinggalah Bathiniyyah beliau gagal menemui apa yang beliau cari selama ini. Apa yang beliau dapati terhadap mereka hanyalah suatu perkara yang sia-sia dan menyimpang dari kebenaran yang sebenar kerana ianya tidak mampu menyelesaikan kemelut yang melanda jiwanya. Namun al-Ghazali berhasil menemui satu-satunya jalan terakhir untuknya bagi mencapai kebenaran iaitu jalan kesufian. Setiap manusia ada jalan tersendiri di dalam mencari kebenaran yang hakiki sepertimana al-Ghazali memilih jalan kesufian.

Namun, ia tidak bermakna hanya mereka yang berkecimpung di dalam bidang kesufian ini dapat menemui kebenaran. Ini kerana, kebenaran itu milik Allah secara mutlak. Allah s.w.t berhak memberikannya kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki, namun terpulang kepada usaha manusia itu sendiri untuk mendapatkannya. Kita juga tidak dapat menafikan tentang adanya segelintir yang mengikuti golongan kesufian ini juga boleh menyeleweng mungkin disebabkan terlalu taksub kepada sesuatu ajaran itu serta tidak beramal terhadap apa yang dipelajari.


Al-Ghazali di dalam mencari kebenaran, melalui dan mempelajari pelbagai ilmu samada dengan berguru mahupun mempelajarinya sendiri tanpa bimbingan sesiapa sepertimana Ilmu Falsafah. Beliau bertindak mengkritik setiap aliran yang tidak dapat mendatangkan faedah kepadanya jelas menunjukkan sikap beliau yang begitu tegas terhadap sesuatau perkara yang mana jika menurutnya tidak benar maka beliau akan mencari jalan untuk membuktikannya tidak benar dan tidak sesuai.

Beliau memulakannya dengan sikap ragu dan diikuti dengan mendalaminya.Namun kenapa sebilangan kita pada hari ini apabila menerima sesuatu berita atau maklumat yang meragukan berdasarkan tanggapannya selama ini tidak disusuli dengan mendalami serta mengkaji perkara itu semula. Sebagaimana contoh, Ahl Sunnah menyatakan golongan Mu'tazilah itu menyimpang dari landasan agama. Ia dikira adil jika mereka sendiri telah mendalami serta mengkaji terhadap aliran itu sepertimana Asy'ari yang pernah berkecimpung di dalam aliran Mu'tazilah selama beberapa tahun sebelum beliau merasakan ianya tidak selari dengan kehendak akidah yang sebenar.

Sikap ini juga kita perlu di dalam mengadili kelompok-kelompok lain di dalam Islam yang masih mengesakan Allah serta beriman akan kerasulan Muhammad s.a.w. Melainkan bagi kelompok yang jelas akan kesesatannya sepertimana golongan Ghulat Isma'iliyyah di Pakistan, Ayah Pin di Malaysia, Kahar Si Rasul Melayu, serta sewaktu dengannya, tanpa mengira apa aliran mazhab pun yang dianuti baik, Sunni, Syiah, Wahabi dan lain-lain.

Seseorang yang mengaku Islam serta beriman perlu melaksanakan tuntutan yang telah ditaklifkan,buka sekadar dinyatakan dengan lisan sahaja.Seseorang yang mengaku mengikut Mazhab Ahl Sunnah mahu pun Syi'ah jika mereka tidak melaksanakan suruhan Allah sepertimana apa yang kita lihat pada hari ini berapa banyak negara yang pemimpinnya Islam tetapi tidak melaksanakan hukum Islam malah melarang pelaksanaan hukum Islam juga sewajarnya dikatakan sebagai sesat. Sesat itu pun ada peringkatnya, ada sesat pada tahap sedikit, sederhana, besar, dan sangat besar. bergantung atas sejauh mana penyimpangannya dari ajaran Islam.

Allah s.w.t telah menurunkan al-Qur’an sebagai petunjuk kepada manusia dan mengutuskan para nabi sebagai pembimbing dan kebenaran itu sentiasa berterusan sehingga bila-bila kerana Allah tetap akan memelihara cahaya-Nya walaupun terdapat golongan yang mahu memadamkannya. Namun pelbagai tafsiran dan pandangan manusia itu terhadap kebenaran yang telah diturunkan menyebabkan ianya menjadi konsep atau cara yang berlainan. Jika matlamatnya sama dan selari dengan syariat, maka ianya tidak menjadi masalah untuk mengamalkannya.

Bibliografi

1. As-Sayyid Muhammad ‘Aqil b. ‘Ali al-Mahdi.1996,Al-Manhaj al-Falsafi ‘inda al-Ghazali wa Dikart lil Wusul ila al-Haqiqah,Dar al-Hadith, Kaherah.

2. Muhammad Muhammad Qasim.2001,Madkhal ila al-Falsafah,Dar al-Nahdhah al-‘Arabiyyah,Beirut.Lubnan.

3. Hamdi,Ahmad Zainul Hamdi.2004,Tujuh Filsuf Muslim,Pembuka Pintu Gerbang Filsafat Barat Modern, Pustaka Pesantren,Yogyakarta.

4. Ibrahim Abu Bakar. 2001, Ilmu Kalam Paucis Verbis,Karisma Publication Sdn Bhd.

5. Mahmud,’Abd al-Halim Mahmud.1972, al-Munqid Min al-Dhalal li Hujjah al-Islam al-Ghazali,Dar al-Kutub al-Hadithah.

6. Mohammad,Ismail Mohamad.2001, Falsafah Islam, Bangi ,Universiti Kebangsaan Malaysia.

Kojiro Nakamura.2005,Metode Zikir dan Doa al-Ghazali, Penerbit Arasy,Bandung.

0 comments:

Post a Comment

Kata-kata melambangkan akhlak dan peribadi kita...
Justeru, berhikmahlah dalam melaksanakannya (^ ^,)