Kemenangan Yang Hampir

Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu kemenangan yang nyata (Surah al-Fath 48:1)

Memaknai Hidup Dengan Perjuangan

Jadilah penolong-penolong agama Allah dalam menegakkan agamaNya di muka bumi ini

Kalam Murabbi

Amanat Untuk Pemuda dan Pemudi

Kesatuan Ummah

Kemudian jika kamu berselisih tentang sesuatu perkara, maka kembalilah kepada Allah dan Rasul (Surah An-Nisa’4:59)

Pedulisme dan Faham

Barangsiapa tidak mengambil berat tentang urusan umat Islam, maka bukanlah mereka daripada kalangannya (HR al-Bukhari)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
“Sesungguhnya perjuangan itu tidak mengenal erti penat & lelah. Demi Islam tercinta, ia perlu diteruskan. Semoga usaha untuk menyampaikan risalah Islam ini diterima Allah sebagai salah satu amal jariah semasa menghadap-Nya pada suatu hari yang pasti akan tiba..”
blog's design by faizassyirazi. Powered by Blogger.

Follow by Email

Wednesday, 31 July 2013

RiDaTa | The Great 'Conspiracy'

video


Video kreatif anak muda gen-y yang mempunyai fikrah Islam.


*RiDaTa= Rijal Dakwah dan Tarbiyyah

Tuesday, 30 July 2013

21 Ramadhan | Syahidnya Abu Turab

Tanggal 21 Ramadhan tahun ke-40 Hijriah, Saidina Ali bin Abi Thalib KWJ, gugur syahid. Beliau merupakan sepupu merangkap menantu Rasulullah SAW dan salah seorang dari Ahl Bayt Nabi. Beliau ditikam oleh Abdullah Ibn Muljam ketika seorang penganut faham Khawarij ketika sedang menunaikan solat Subuh di Masjid Kufah. Ibn Muljam menetak kepada Saidina Ali KWJ dengan pedang dan mengakibatkan kecederaan yang parah. Rentetan dari kecederaan tersebut, Saidina Ali KWJ terlantar sakit dan tepat pada 21 Ramadhan beliau syahid menyambut seruan Allah SWT.


Gugurnya Saidina Ali KWJ memberikan kesan besar bagi Islam dan kaum Muslimin. Beliau adalah seorang khalifah yang sangat mulia, memimpin pemerintahan Islam dengan penuh keadilan, dan menjadi orang terkehadapan dalam melawan kezaliman. Kemuliaan Saidina Ali KWJ dapat dilihat dalam catatan khutbah-khutbah beliau yang terkumpul dalam karya Nahjul Balaghah, karangan Ibn Abi al-Hadid. Mutiara kata Saidina Ali KWJ penuh hikmah, panduan akhlak, dan makrifat ketuhanan.

Antara isi kandungan Nahjul Balaghah adalah wasiat Saidina Ali KWJ kepada putera-puteranya, sebagai berikut. "Kalian dan keluargaku, serta siapa saja yang mendengar pesananku ini, aku mewasiatkan agar selalu bertaqwa dan berdisiplin dalam setiap pekerjaan kalian. Peliharalah anak-anak yatim, berbuat baiklah kepada jiran tetangga, sebagaimana yang dulu juga dipesankan oleh Rasulullah SAW sehinggakan beliau menganggap para jiran akan saling mewarisi. Janganlah menjauh dari al-Quran dan jangan biarkan orang lain mendahului kalian dalam mengamalkan al-Quran. Dirikanlah solat dengan sebaik-baiknya kerana solat adalah tiang agama."

Sumber: IIR


# Dalam kalangan sahabat-sahabat Nabi, kebanyakannya mati terbunuh dan dibunuh. Lihat sahaja kepada tiga khalifah sebelum Saidina Ali KWJ yang turut menerima 'nasib' yang serupa. Semuanya tidak lain dan tidak bukan adalah kerana kebenaran. Saidina Ali terserlah dari sudut keilmuannya dalam pelbagai perkara dan kerana itu Nabi menggelarkan beliau sebagai 'Pintu Ilmu'. Riwayat ini masyhur dan boleh didapati dalam beberapa riwayat umpamanya: 

“Aku kota ilmu dan Ali adalah pintunya, barangsiapa yang ingin ke kota itu maka datanglah pada pintunya.” Al-Hakim mengatakan: sanad hadis ini sahih (sesuai dengan syarat), tetapi Bukhari dan Muslim tidak meriwayatkan.

Begitu juga dengan sejumlah riwayat yang lain baik dalam Kitab Hadis, Sejarah dan Tafsir yang muktabar: 

  1. Mustadrak Al-Hakim
  2. Tarikh Baghdad, Al-Khathib
  3. Ash-Shawa’iqul Muhriqag, Ibnu Hajar
  4. Yanabi’ul Mawaddah
  5. Al-Bidayah wan-Nihayah, Ibnu Katsir
  6. Kanzul Ummal, Al-Muttaqi Al-Hindi, catatan kaki Musnad Ahmad
  7. Al-Isti’ab, Ibnu Abd Al-Barr
  8. Ar-Riyadh An-Nadhrah
  9. Dzakhairul Uqba, At-Thabari 
  10. Syarah Nahjul Balaghah, Ibnu Abil Hadid
  11. Kifayah Ath-Thalib, Al-Kanji Asy-Syafi’i
  12. Talkhish Al-Mustadrak, Adz-Dzahabi 
  13. Lisanul Mizan, Ibnu Hajar Al-Asqalani
  14. Tahdzib Adz-Tahdzib 
  15. Fathul Kabir, An-Nabhani 
  16. Tarikh Al-Khulafa’, As-Suyuthi. 
  17. Jami’ush Shaghir

Justeru adalah wajib kita untuk menyayangi para sahabat Nabi yang baik lagi terpilih berjuang bersama-sama baginda dalam menegakkan syariat Islam di muka bumi. Cara yang terdekat adalah dengan menitipkan nama-nama mereka dalam doa-doa kita.

Monday, 29 July 2013

20 Ramadhan | Fathu Makkah

Tanggal 20 Ramadhan tahun ke-8 Hijriah, pasukan Muslimin berjumlah 10 ribu orang yang dipimpin oleh Rasulullah Saw berjaya menaklukki kota Mekah. Peristiwa penalukkan yang kemudian dikenal dengan nama Fathu Makkah itu dilakukan kaum Muslimin lantaran pelanggaran kaum Musyrikin Quraisy terhadap perjanjian Hudaibiah yang disepakati oleh kedua belah pihak dua tahun sebelumnya.


Setelah berlakunya penaklukkan atas kota Mekah, Rasulullah SAW memberikan jaminan keselamatan kepada warga setempat meskipun sebelumnya mereka adalah penentang keras ajaran Islam dan bahkan merekalah yang dulunya menyiksa kaum Muslimin sebelum hijrah ke Madinah. Pada hari yang sama, seluruh patung yang berada di sekitar Ka'bah dihancurkan. Kemenangan gemilang kaum Muslimin yang diperoleh tanpa pertumpahan darah itu tercatat abadi dalam al-Quran surat an-Nashr.

Sumber: IIR

Thursday, 25 July 2013

Saturday, 20 July 2013

Memaknai Ramadhan: Aku dan Dia (Bhg Akhir)

Bismillahirrahmanirrahim...

Pada entri terdahulu, kita telah melihat beberapa perkara yang berkait dengan faham Ramadhanisme (lihat di sini). Ia tidak terbatas sekadar mafhum umum atau nama-nama lain yang signifikan semata-mata. Dalam al-Qur'an, Ramadhan dan Puasa dihubungkan dengan konsep taqwa. Kedua-dua elemen ini tidak boleh dipisahkan kerana demikian Allah memfitrahkan mereka. Sungguhpun di sana ada jalan lain yang boleh digunakan untuk mencapai taqwa, namun mungkin manifestasi-nya berbeza. Tidak lain dan tidak bukan, kerana Allah hendak memuliakan Ramadhan ini dengan kewajiban berpuasa, tidak seperti bulan-bulan yang lain. 


Berbalik kepada mafhum taqwa. Epistemologi dan terminologinya, saya tidak perlu bahaskan di sini, kerana ia bukanlah suatu yang sukar untuk dicari sama ada bertanya kepada ‘Ustaz’ Google atau merujuk kepada kitab-kitab yang muktabar (secara ilmiah). Asasnya, adalah taat kepada perintah Allah, buat yang disuruh dan tinggal apa yang dilarang. Bukan kerana redha atau ‘like’ dari makhluk yang bernama manusia. Justeru, bilamana Allah mengkombinasikan perkataan taqwa dan puasa dalam bulan Ramadhan, maka pastinya ia mempunyai makna yang lebih mendalam. Bak kata orang, beyond than that.

Saya masih ingat kepada syarahan seorang Profesor ketika mengajar subjek Tasawuf dan Tarekat beberapa tahun lalu. Menurutnya  “Solat orang Tasawuf (arif billah) berbeza dengan solat orang biasa walau zahirnya sama. Ini kerana, orang biasa apabila mereka sujud dalam solat, mereka akan bangun usai sempurnanya bacaan tasbih. Orang Tasawuf apabila mereka solat, zahirnya mereka akan bangun dari sujud seperti mana orang biasa, namun batin mereka tidak bangun, dengan erti kata roh mereka sentiasa terus sujud dan patuh pada Allah SWT” 


Bila mana konsep puasa itu di kombinasi dengan konsep taqwa, maka puasa yang dicapai adalah puasa muttaqin, bukan puasa fāsiqīn (Orang yang berterusan melakukan dosa-dosa kecil) apatah lagi puasa dhālimīn (orang-orang yang zalim). Cubalah observe sekali-sekala di tempat-tempat berdekatan, ada sahaja orang (khususnya Melayu) yang mengaku berpuasa, namun aurat tidak tutup, mulut tidak berhenti mencerita keaiban orang lain, mata tidak tunduk daripada melihat perkara haram, telinga tidak sunyi dari mendengar muzik yang mematikan hati, kaki sering berjalan ke bazar dan pusat membeli belah dan tangan pula ringan untuk bermain game dan Facebook. Bila semua panca indera seperti ini, soal hati usah ditanya bagaimana. Kalian sendiri boleh bayangkan betapa... (renungkan sejenak). Sesuailah dengan Hadis Nabi SAW: “Berapa ramai orang yang berpuasa, namun dia tidak memperoleh apa-apa dari puasanya melainkan lapar dan dahaga.” Rugi lagi merugikan.



Puasa Antara 3 Darjat

Bertepatanlah dengan pandangan Imam al-Ghazali (505H), yang mengkategorikan puasa kepada 3 bahagian; i) Puasa Umum, ii) Puasa Khusus dan iii) Puasa Khusus dari yang Khusus. Puasa al-‘Umum (Awam) hanya sekadar mencegah perut dan kemaluan daripada memenuhi syahwat keinginannya. Inilah puasa orang awam. Puasa al-Khusus (Khusus) pula mencegah pendengaran, penglihatan, lidah, kaki, tangan dan seluruh  anggota tubuh  lain daripada dosa. Inilah puasa orang-orang soleh. Manakala Puasa Khusus al-Khusus (Khusus dari Yang Khusus) adalah puasa hati daripada segala cita-cita yang hina dan segala fikiran duniawi, serta mencegahnya daripada selain Allah secara keseluruhan. Inilah puasa para Nabi, siddiqin dan muqarrabin.


Justeru, puasa yang termanifestasi dari taqwa, itulah yang membezakan antara puasa yang sebenar dan puasa jadi-jadian, yang sekadar menahan lapar. Puasa Muttaqin sebolehnya cuba di tingkat dari masa ke semasa kepada tahap jauh lebih baik. Rutin pancaindera mereka hanya diperuntukkan untuk membaca al-Qur’an, mendengar tazkirah, solat fardu dan solat nafilah, Qiamulail, iktikaf, bersedekah, memudahkan urusan orang lain, dan sebagainya. Justeru mereka thabat dalam melaksanakan apa yang diperintahkan sesuai dengan indikator muttaqin, biarpun nafsu amarah dan lawwamah sering membentak tidak puas hati. Hanya kepada Dia menjadi tumpuan hati sepenuhnya melalui proses tazkiah dan tasfiyyah.


Ibrah Puasa Luar Biasa Sahabat Nabi Si Pemuda Parsi

Pernah seorang sahabat Nabi melakukan puasa yang 'luar biasa' sehingga menimbulkan kontroversi. Al-Kisahnya begini:

Suatu hari, Rasulullah Saw bertanya kepada para sahabatnya: "Siapa di antara kalian yang selalu berpuasa?"

Salman al-Farsi menjawab, "Aku wahai Rasulullah (Saw)."

Rasulullah kembali bertanya, "Siapa di antara kalian yang selalu solat malam?"

Salman al-Farsi kembali menjawab, "Aku wahai Rasulullah (Saw)."

Rasulullah bertanya, "Siapa di antara kalian yang setiap hari mengkhatamkan Al-Quran?"

Salman Al-Farsi kembali memberikan jawaban yang sama. Ketika itu salah satu dari sahabat Rasulullah Saw, berasa geram terhadap jawapan Salman itu dan berkata, "Wahai Rasulullah (SAW)! Salman adalah orang Parsi dan dia ingin berlagak sombong di hadapan kami orang-orang Quraisy! Aku sering melihat dia makan pada siang hari dan tidur di malam hari, bagaimana mungkin dia khatam Al-Quran setiap hari, padahal aku melihat dia hampir setiap hari diam?"

Rasulullah Saw berkata, "Bertenanglah. Sekarang tanyalah kepada beliau agar dia menjelaskannya."

Sahabat Rasulullah itu kemudian bertanya kepada Salman dan dia menjawab, "Tidak seperti yang kau fahami! Aku berpuasa di awal, pertengahan dan akhir setiap bulan, dan Allah SWT berfirman, barang siapa yang melakukan satu perbuatan baik, dia akan menerima pahala sepuluh kali ganda. Aku setiap bulan berpuasa seperti ini dan pahalanya sama seperti dia selalu berpuasa. Namun aku mendengar dari kekasih-Nya, Rasulullah Saw bahawa barang siapa yang bersuci (wuduk atau tayamum) sebelum dia tidur, maka dia sama seperti beribadah sepanjang malam dan aku tidur setiap malam dengan keadaan suci. Juga aku mendengar dari Rasulullah Saw bahawa, barang siapa setiap hari membaca surat al-Ikhlas maka dia telah membaca sepertiga Al-Quran dan yang dua kali membacanya maka dia telah membaca dua pertiga Al-Quran dan yang membacanya tiga kali, maka dia telah membaca seluruh Al-Quran."

Kemudian Salman Al-Farsi mengatakan, "Aku setiap hari membaca tiga kali surat al-Ikhlas dan demikian aku telah khatam Al-Quran."

Produktiviti Ramadhan

Beruntungnya kita yang dipilih Allah untuk berada dalam bulan ini kerana apa jua yang kita lakukan dinilai Allah sebagai ibadah dan berpahala. Orang yang melaksanakan ibadah puasa, bukan sekadar puasanya sahaja dia diberi pahala, akan tetapi tidurnya juga berpahala,  penat lelah dia bekerja juga berpahala, dan semuanya (serba serbi) dikira berpahala. Tidak cukup sekadar itu, bonusnya berganda-ganda. Berkait soal produktiviti Ramadhan, dalam kalangan umat Islam yang berpuasa ada yang tersalah ‘ijtihad’ kerana menjadikan faktor puasa untuk memerosotkan produktiviti dan prestasi, baik sebagai pekerja mahupun pelajar. 


Umpamanya pekerja di pejabat, sebelum Ramadhan waktu masuk dan keluar kerja dengan sharp. Bila tiba Ramadhan, masuk paling lewat dan keluar paling awal. Tugas-tugas di pejabat digantikan dengan slot berbual kosong dan bergalak-galak dengan staff lain kononnya untuk menghilangkan penat. Manakala pelajar pula yang sepatutnya menyelesaikan tugasan, tesis, mahupun tugasan akademik, digantikan dengan tidur sepanjang masa, tidak pun memuat turun/melayan filem-filem dan lagu baru, kerana menurut mereka itu yang tidak meletihkan. Itu tidak termasuk dengan yang bemuka buku sehingga waktu berbuka. 


Hal demikian tidak seharusnya berlaku kerana alasan yang ‘penat’ dan ‘letih’ berpuasa adalah retorik semata-mata. Pada zaman Nabi, puasa tidak pernah menjadi penghalang untuk umat Islam berperang dan memenangi perang. Sirah Perang Badar, Perang Qadisiah, Fath Makkah membuktikan segala-galanya. Justeru, dalam bulan inilah sepatutnya kita meningkatkan produktiviti kita baik dalam menyempurnakan taklifan kita dan lebih-lebih lagi dalam amal soleh kita. Kesempatan yang ada juga, gunakan untuk memperkukuhkan thaqafah dan pengisian rohani dengan ilmu-ilmu agama, baik hukum hakam dan sebagainya.


Ramadhan tanpa Facebook

Beberapa tahun yang lalu ketika facebook masih belum menjadi ‘trend’ dalam masyarakat, kita tidak dapat menafikan betapa bezanya Ramadhan kita antara kini dan dahulu. Dahulu, sementara waktu menanti masuk waktu solat fardu, kita akan isi dengan membaca al-Qur’an, atau mendengar tazkirah agama. Manakala zaman facebook ini, kesemua pengisian tadi (al-Qur’an dan tazkirah) ditukar kepada ‘amal’ facebook. Saya tidaklah menafikan bahawa di sana ada maslahatnya kerana mekanismenya cukup luas dalam menyampaikan mesej Islam kepada masyarakat, cuma apa yang dikhuatiri ramai yang terbabas. Seseorang yang cuba untuk mencapai kesempurnaan dalam berpuasa, pastinya akan menjaga seluruh panca inderanya dari perkara haram (tidak sekadar menahan lapar dan dahaga). 


Namun apabila mereka memasuki dunia facebook, kadangkala puasa mereka ‘terkorban’ akibat perkara-perkara sedemikian. Niat dan tujuan kita di facebook sama ada untuk mencari maklumat  atau menyampaikan mesej Islam sama sekali tidak dapat menghalang wall kita dari dicemari dengan iklan-iklan tidak senonoh yang ditaja. Implikasi dari banyaknya ‘ter’, khususnya terlihat (walaupun dengan tujuan untuk remove/hide) perkara-perkara sedemikian pastinya akan mengurangkan zouq dan kelazatan kita dalam beribadah dalam bulan Ramadhan. Jika televisyen apatah lagi yang rata-ratanya penuh dengan unsur maksiat. Justeru, kurangkanlah (atau berhenti) berfacebook atau menonton televisyen (lebih baik tiada televisyen di rumah) bagi memberi laluan dan penghormatan kepada bulan Ramadhan ini. Jika ada keperluan, pastikan minimumkan masa dan PASTIKAN ia untuk perkara yang betul-betul PENTING sahaja. Sebaliknya usah rugikan amal dalam Ramadhan dengan facebook.


Misteri Malam al-Qadar

Bercakap fasal malam al-Qadr, saya percaya ada dalam kalangan pembaca dan sahabat-sahabat pernah mengalami ‘keberadaan’ dalam malam tersebut. Ada yang kerana kebetulan, ada yang kerana dipilih Allah. Anugerah laylatul al-Qadr waima secara kebetulan atau kerana pilihan Allah, adalah berkait rapat dengan tahap kualiti amalan yang kita lakukan dalam bulan Ramadhan bahkan sebelum itu lagi. Terdapat dua metode untuk mengenali malam yang penuh misteri ini; pertamanya melalui nas (Hadis) dan selain itu melalui pengalaman orang-orang soleh, khususnya para alim Ulama’. Antara ‘hint’ yang Nabi berikan adalah ia berlaku pada 10 malam terakhir dan pada malam-malam ganjil. 


Dalam kalangan pengalaman solihin pula, ada yang menyatakan pada malam itu zouq dan sebak sedihnya terasa, jauh beza berbanding dengan malam-malam kebiasaan. Manakala dari sudut ‘perubahan’ alam semula jadi, kita biasa dengan fenomena pokok bersujud, malam yang sunyi dari bunyi unggas dan cengkerik, dan seumpamanya. Dalam kalangan orang awam pun ada pengalaman yang tersendiri. Sehinggakan pernah sebuah kampung ada yang sanggup menubuhkan ‘Squad Pemburu Laylatul Qadr’. Modus operandinya dengan membuat solat hajat dalam sejumlah rakaat (yang banyak) dan membaca bacaan tertentu (dalam al-Qur’an) untuk mendapat jawapan bilakah malam tersebut. Saya tidak pasti sejauh mana efektifnya usaha sedemikian, namun menurut mereka saban tahun percaturan mereka tidak pernah silap. Demikianlah contoh betapa hendaknya kita kepada malam tersebut.


Laylatul Qadar: Antara Kebetulan dan Pilihan

Berbalik kepada persoalan laylatul Qadar yang diperolehi secara ‘kebetulan’ atau kerana dipilih Allah. Kelihatan sama dari sudut kedua-duanya bertemu namun berbeza dari sudut pihak yang ‘disantuni’ oleh para penghuni langit. Sebagai contoh, seorang Muslim yang puasanya dalam kategori ‘awwam. Kerana zaman teknologi yang canggih, dia mendapat maklumat akan tarikh sekian-sekian adalah malam al-Qadr. Confirm 100%, hasil dari pemantauan dan penelitian yang dibuat. Untuk malam tersebut, dia tidur awal (atau tidak tidur) untuk menunggu saat berlangsungnya malam itu. Jam penggera dikunci supaya tidak miss. Tiba malam yang dinantikan, dia dapat berjaga, dan dapat menunaikan solat malam seterusnya meminta hajat. Namun… entah mengapa hatinya terasa kosong, tidak puas walhal malam itu ternyata malam al-Qadr. Apabila hatinya dan fikirannya cuba untuk ditumpukan kepada Allah, sering kali perkara-perkara yang lain datang mengalihkan fikirannya. Ada pula yang walaupun sudah dirancang segala benda untuk bangun, namun Allah jadikan dia terlelap sehingga berakhirnya malam tersebut. 

Berbanding dengan orang yang dipilih Allah SWT, penat dan letih mana pun dia, pada malam itu dia pasti terbangun (baca: dibangunkan Allah) untuk suatu ‘chatting’ yang penuh mesra antara sang hamba dengan Pencipta-Nya. Ketika itu, antara mereka, tiada yang dapat menjadi penghalang, segala tumpuannya hanya kepada Allah, secara pengharapan, rintihan, keluhan, dambaan diadukan sepanjang tempoh yang penuh bermakna itu. Segala keaiban dan kekurangan dirinya diakukan kepada Dia. Seolah-olahnya rohnya sudah jauh meninggalkan jasad di hamparan sejadah dan sesaat pun tidak ingin dilepaskan kerana tempoh itu terlalu bermakna. Maka berlayarlah dia di atas bahtera laylatul Qadr itu dengan penuh syahadah dan makrifah.


Faktor ‘kebetulan’ atau ‘terpilih’ adalah berkait rapat dengan persediaan seorang hamba untuk menghadapinya. Golongan ‘kebetulan’ kebanyakannya dalam kalangan mereka yang tidak bersedia. Amalan mereka dilakukan secara caca marba, baik dalam bulan-bulan Ramadhan, waima bulan-bulan yang lain. Pantang larang dalam Ramadhan tidak dijaga dan puasa yang dilakukan hanyalah sekadar memenuhi tanggungjawab dan bukan kerana Dia. Apabila bercakap soal kelebihan, maka dialah orang pertama yang menyahut seruannya, kerana hendakkan kelebihan itu semata-mata. Lantaran kerana malam al-Qadr yang lebih baik dari 1000 bulan, dia berusaha juga untuk mencari malam itu kerana istimewanya malam tanpa disedari dia seolah-olahnya telah mengetepikan Allah (Hakikatnya Allah sama sekali tidak perlu kepada hamba-hambahNya bahkan vice versa). Hakikatnya, dia gagal untuk melihat antara redha Allah yang dicari atau kelebihan pada malam al-Qadr.


Adapun golongan yang ‘dipilih’ adalah sebaliknya, jauh dari sudut hatinya untuk mendambakan malam al-Qadr kerana baginya hanyalah redha Allah. Sebanyak mana amal dilakukan tanpa Allah redha, maka sudah pasti ia langsung tidak bererti walaupun banyak mana pun ia dilakukan. Kerana persediaannya yang mapan dan sikapnya yang istiqamah dengan amal kebaikan tanpa mengira bulan Ramadhan atau tidak, dan kerana demikian, Allah memilihnya untuk menjadi tetamu istimewa pada malam itu. Pada malam itu, segala hajat pasti dimaqbulkan dan tiada istilah MUSTAHIL. Baik hendak berjaya dalam hidup, peperiksaan, mendapat jodoh yang baik, zuriat yang soleh-solehah, kesihatan, rezeki melimpah dan sebagainya. Jangan pernah lupa untuk doakan kemenangan Islam dan para pejuangnya, dimana sahaja mereka berada khususnya di Palestin. Maka berharap dan merintihlah sepuas-puasnya Dialah sebaik-baiknya untuk hamba itu mengharap dan merintih. 


Nasihat untuk diri saya (khususnya), pembaca dan sahabat-sahabat, berbaki masa yang ada ini, berusahalah untuk menjadi dalam kalangan yang ‘terpilih’, dan bukan ‘kebetulan’. Segala entri ini adalah berdasarkan secebis ilmu dan pengalaman yang Allah beri, dan tidak lebih dari itu. Saya hanya sekadar berkongsi apa yang dirasakan bermanfaat, sebaliknya apa yang dirasakan tidak bermanfaat mahupun tidak sependapat, cubalah untuk dimurnikan dengan komentar yang hikmah. Selamat maju jaya dalam menghadapi ‘Tamrin’ Ramadhan. Saya tinggalkan munajat (doa) untuk dihayati (atau diadaptasi) dalam menjadikan Ramadhan lebih bermakna sekaligus menutup entri 'Mamaknai Ramadhan antara Aku dan Dia'. Wallahu ta’ala bissawab. :)


Bismillahirrahmanirrahim...

Ya Allah ! Aku memulakan syukurku dengan memuji-Mu, Engkau yang mengarahkan kebenaran dengan anugerah-Mu, aku yakin Engkaulah yang Maha Kasih & Maha Penyayang di tempat pengampunan dan rahmat. Engkaulah yang lebih keras siksaannya di Hari Pengadilan dan kemarahan, Engkaulah yang lebih takabbur di tempat kengkuhan & keagungan.. 

Ya Allah ! Engkau izinkanlah aku untuk berdoa dan meminta kepada-Mu, maka dengarkanlah wahai yang Maha Mendengar akan pujianku, kabulkanlah wahai Yang Maha Belas atas doaku, ampunilah kesalahanku wahai yang Maha Pengampun.. Tuhanku, betapa banyak kesulitan yang telah Engkau lapangkan, kesedihan yang telah Engkau sirnakan, dosa yang telah Engkau hapuskan, rahmat yang telah Engkau tebarkan, rantai penderitaan yang telah Engkau rungkaikan..

Segala puji bagi Allah seutuhnya dengan semua pujian untuk-Nya atas segala nikmat-nikmat-Nya yang tidak pernah berkurang.. Segala puji bagi Allah yang tiada bandingan dalam kekuasaan-Nya, tiada penentang dalam urusan-Nya. Segala puji bagi Allah yang tiada sekutu dalam penciptaan-Nya, tiada penyerupaan dalam keagungan-Nya.. Segala puji bagi Allah yang nampak perbuatan dan pujian-Nya dalam penciptaan, yang kasar mata keagungan-Nya dengan kemuliaan, yang menghulurkan qudrah-Nya dengan kedermawanan, yang tidak berkurangan kekayaan-Nya, tidak bertambah kerana banyak-Nya pemberian. Dialah yang Maha Mulia dan maha Pemberi.

Ya Allah, aku memohon kepadaMu, sedikit dari yang melimpah, kerana keperluanku yang besar terhadapnya dan bukan keperluanMu yang kekal atasnya, keperluan itu di sisiku adalah besar, sementara bagiMu adalah sederhana dan remeh.

Ya Allah, keampunanMu atas dosaku, atas kesalahanku, kemurahanMu atas kezalimanku, kerahsiaanMu atas buruknya amalanku dan kesabaranMu atas banyaknya kejahatan yang aku lakukan secara sengaja, memberanikan diriku untuk meminta kepadaMu sesuatu yang tidak layak aku dapatkan dariMu, sesuatu yang Engkau berikan kepadaku rahmatMu, Engkau kenalkan aku kerana kedermawananMu, kerananya aku berdoa kepadaMu dengan penuh rasa aman, memohon kepadaMu dengan penuh ketenangan, tiada rasa takut atau khuatir kepadaMu atas keperluanku kepadaMu. Apabila jawabanMu lambat, aku mencercaMu kerana kebodohanku, padahal kelambatan itu lebih baik bagiku kerana Engkau mengetahui akibat dari semua urusan.

Wahai Tuhanku, aku tidak menjumpai Tuan yang lebih murah hati dan lebih sabar terhadap hamba yang tidak tahu berterima kasih seperti aku, selainMu. Engkau memanggilku, aku berpaling dariMu, Engkau mencintaiku, aku membenciMu, Engkau menyayangiku, aku abaikan rasa kasih sayangMu, seolah-olah aku berhak mengajariMu. Namun, kebiadabanku itu tidak pernah menghalangiMu mencurahkan rahmat dan kebaikanMu kepadaku, tidak pernah mengurangi sifat penyayangMu kepadaku, dengan kedermawanan dan kemurahanMu. Kerananya, kasihilah hambaMu yang bodoh ini. Limpahkan kepadaku kebaikanMu. Sesungguhnya Engkau adalah Maha Dermawan lagi Maha Mulia.

Segala puji bagi Allah, raja segala raja, yang melayarkan kapal, yang menggerakkan angin, yang menjalankan waktu pagi, yang melunasi hutang. Dialah Tuhan alam semesta. Segala puji bagi Allah atas kesabaran setelah ilmuNya. Segala puji bagi Allah atas keampunanNya setelah kekuasaanNya. Segala puji bagi Allah atas kesabaranNya yang mendahului kemurkaanNya sedangkan Dia Maha Kuasa atas kehendakNya.

Segala puji bagi Allah Pencipta makhluk, Pemberi rezeki, Pembelah waktu pagi, Maha Agung dan Maha Mulia, Maha Pemurah dan Pemberi Nikmat, yang jauh tidak terlihat dan yang dekat mendengar bisikan, yang Maha Suci dan Maha Luhur.

Segala puji bagi Allah yang menyahut tatkala kuseru Dia, Penutup semua auratku meski aku bermaksiat kepadaNya, betapa banyak kurnia diberikan kepadaku, keMaha BesarNya telah menyelamatkanku, keindahan yang mempersona telah ditunjukkan kepadaku, lalu aku memujiNya dengan penuh ketulusan dan mengingatiNya dengan bertasbih.

Segala puji bagi Allah yang tidak merobek lindunganNya, tidak menutup pintuNya, tidak menolak permintaan kepadaNya, tidak memutuskan harapan yang mengharap kepadaNya. Segala puji bagi Allah yang mengamankan orang-orang yang takut, menyelamatkan orang-orang yang jujur, memuliakan orang-orang yang lemah, merendahkan orang-orang yang bongkak, membinasakan para raja dan menggantikannya dengan orang lain.

Segala puji bagi Allah yang membinasakan orang-orang menganiaya, melumpuhkan orang-orang yang zalim, mengejar orang-orang yang berpaling, Penghancur orang-orang yang zalim, Penolong orang yang memerlukan, tumpuan dan harapan orang-orang yang memerlukan, sandaran orang-orang yang beriman.

Segala puji bagi Allah yang menggetarkan langit dan penduduknya, menggoncang bumi dan penghuninya, menjadikan badai lautan yang memukul orang-orang yang berenang di dalamnya. Segala puji bagi Allah yang membimbing kami, kami tidak akan mendapat petunjuk tanpa bimbinganNya.

Segala puji bagi Allah Pencipta apa yang tidak dicipta, Pemberi rezeki kepada yang tidak diberi rezeki, Pemberi makan kepada yang tidak diberi makan, mematikan yang hidup dan menghidupkan yang mati. Dialah Yang Hidup dan tidak pernah mati. Di tanganNya kebaikan, Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu.

Ya Allah sampaikanlah selawat dan salam kepaa Muhammad, hambaMu, utusanMu, kepercayaanMu, pilihanMu, kekasihMu, sebaik-baik makhlukMu, penjaga rahsiaMu, penyampai ajaranMu secara sempurna yang mempersona, indah, harum, suci,  sebanyak selawat dan salam yang Engkau berikan, cinta yang Engkau berikan, sejahtera yang Engkau sampaikan kepada seorang hambaMu, nabiMu, utusanMu, kekasihMu, orang yang Engkau muliakan di antara semua makhlukMu.

Ya Allah, sesungguhnya kami berharap kepadaMu agar terbentuk pemerintahan yang baik, kerananya engkau muliakan Islam dan pendokongnya,kerananya Engkau rendahkan kemunafiqan dan pendokongnya, kerananya engkau jadikan kami di dalamnya sebagai penyeru ketaatan kepadaMu dan pengajak menuju ke jalanMu, kerananya Engkau anugerahkan kepada kami di dalamnya kemuliaan dunia dan akhirat.

Ya Allah, anugerahkanlah kami kemampuan untuk memikul kebenaran yang Engkau kenalkan kepada kami, berilah kami kemampuan untuk meraih apa yang tidak kami ketahui dari kebenaran. Ya Allah, satukanlah perpecahan kami kerana kebenaran, perbaikilah perpecahan kami kerana kebenaran, tutupilah kekurangan kami kerana kebenaran, perbanyakkanlah jumlah kami kerana kebenaran, muliakanlah kerendahan kami kerana kebenaran, cukupkanlah keluarga kami kerana kebenaran, lunasikanlah hutang-hutang kami kerana kebenaran, tutupilah kefaqiran kami kerana kebenaran, lengkapkanlah pakaian kami kerana kebenaran, permudahkanlah kesulitan kami kerana kebenaran, personakanlah wajah kami kerana kebenaran, bebaskanlah orang-orang kami kerana kebenaran, berjayakanlah usaha kami kerana kebenaran, tunaikanlah janji-janji kami kerana kebenaran, kabulkanlah doa kami kerana kebenaran, terimalah permintaan kami kerana kebenaran, sampaikanlah harapan-harapan kami di dunia dan akhirat, penuhilah keinginan kami kerana kebenaran. Wahai Pemberi rezeki yang terbaik, PemberianNya tiada henti, sembuhkanlah sakit di dada kami, lenyapkanlah sifat dengki dalam hati kami, bimbinglah kami untuk menatap kebenaran dengan izinMu, sesungguhnya Engkau membimbing orang yang Engkau kehendaki ke jalan lurus. Menangkanlah kami ke atas musuhMu dan musuh kami. Wahai Tuhan Pemilik Kebenaran.

Ya Allah, kami adukan kepadaMu atas wafatnya Nabi kami, selawatMu semoga terlimpahkan atasnya dan keluarganya..


Saturday, 13 July 2013

Memaknai Ramadhan: Aku dan Dia

Bismillah… Syukur kepada Allah kerana sehingga saat ini kita masih diberi kekuatan untuk terus istiqamah dengan amal ibadah dalam bulan Ramadan, baik amal ibadah bersifat umum (segala amal baik yang dilakukan kerana Allah SWT) mahupun khusus (seperti solat dan puasa). Sedar atau tidak, hari ini telah 4 hari kita berpuasa. 

Ironinya (dan saban tahun), wujud perbezaan dalam kalangan umat Islam untuk menentukan tarikh puasa (1 Ramadhan). Di negara-negara Arab seperti Saudi, Qatar, Bahrain, Jordan, Yaman, dan Mesir mula berpuasa pada hari Rabu 10 Julai. Demikian juga dengan Libya, Syria, Sudan, Tunisia dan tidak terkecuali Muslim di Iran baik Sunni (minoriti) dan Syiah (majoriti). Berbeza dengan negara-negara di Eropah seperti Rusia, Jerman (dan Turki), umat Islam di sana mula berpuasa sehari lebih awal, iaitu hari Selasa. Faktor cepat atau lewatnya penentuan tarikh puasa bergantung kepada penentuan ‘rukyah al-hilal’, hisab (falak) dan matla’ (tempat terbit anak bulan), selain dari faktor ijtihad fahaman agama yang berbeza (seperti Muhamadiyyah dan Ahmadiah di Indonesia).

Asasnya semua Muslim berpuasa selaras dengan menyempurnakan kewajipan agama, baik berbeza faham mazhab dan ideologinya. Objektifnya seperti yang diketahui untuk memperoleh maqam taqwa di sisi Allah. 

Justeru, kesempurnaan atau tercapainya objektif puasa itu bukan bergantung pada lama atau singkatnya tempoh seseorang itu menahan diri dari perkara yang membatalkan puasa, bermula terbit fajar sehingga tenggelam fajar, akan tetapi sejauh mana seseorang itu mencapai (atau bertambah) tahap taqwa kepada Allah SWT.

Demikian Dia menyeru:



يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُتِبَ عَلَيۡڪُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِڪُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ

“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa” (QS al-Baqarah 2: 183)

Jika taqwa itu diukur dengan tempoh lamanya berpuasa, maka sudah pasti umat Islam di negara-negara Eropah Utara lebih bertaqwa kerana waktu puasa mereka lebih lama daripada negara-negara yang terletak di kawasan Selatan bumi. Umpamanya umat Islam di Denmark berpuasa selama 21 jam, umat Islam di Rusia adalah 19 Jam 57 Minit, umat Islam di Britain adalah 18 Jam 05 Minit dan umat Islam di Amerika adalah 19 Jam 57 Minit. Manakala yang paling kurang taqwanya adalah umat Islam di Argentina kerana waktu berpuasa mereka paling singkat iaitu selama 9 jam. Hakikatnya bukan itu yang diukur dan dinilai Allah SWT.


Kekeliruan Memahami Ramadanisme*

Dalam pelbagai perspektif, ada yang melihat Ramadhan sebagai bulan puasa, tarawikh, tadarus dan solat malam. Ada yang melihat ia sebagai bulan pesta ibadah. Ada yang melihat ia sebagai bulan mencari rahmah, maghfirah dan keselamatan dari api neraka. Itu normal dan sepatutnya begitu. Cuma agak malang jika ada Muslim yang melihatnya sebagai bulan ‘pesta makan’ dan membeli belah. Ironinya kita dapat melihat dalam kalangan masyarakat kita. 

Tidak perlu jauh, perhatikan sahaja jika kita pergi ke bazar-bazar Ramadhan. Kadang-kadang ada yang membeli seolah-olah mahu ‘mengqada’ makan setelah seharian berpuasa. Bagi yang hendak taraf eksklusif sedikit, hotel berbintang menjadi pilihan untuk berbuka. Pakej ratusan ringgit bukan lagi menjadi masalah, yang penting puas. Soal pembaziran yang berlaku selepas itu usah dicerita. Di shopping complex pula, sale-sale untuk raya telah bermula. Ada yang lebih awal sebelum Ramadhan lagi. Seolahnya semangat Raya lebih dari puasa. 

Kesinambungan daripada keliru dan gagal memahami erti sebenar Ramadanisme, maka sebab itu kita boleh melihat dan mendengar berita Muslim yang mengaku berpuasa, namun mulutnya tidak pernah berhenti dari mengumpat, melaknat, mengeji orang lain. Tidak kurang juga dengan golongan yang menghabiskan masa (sementara menunggu berbuka) dengan melepak di hadapan skrin TV, melayan lagu-lagu lagha, membaca novel cinta/jiwang kemudian perasan bersendirian di atas katil, bermain game, chatting di laman sosial, dan sebagainya. Implikasinya berlakulah kes yang ‘pelik-pelik’ yang sering menimbulkan keluhan “kenapalah … boleh berlaku dalam bulan Ramadhan ini”. 


Rekonstruksi Ramadanisme

Konotasi Ramadhan yang berasal dari frasa ra, ma, dha secara leksikalnya bermaksud hujan di awal musim bunga dan amat signifikan dengan bulan penyucian. Selain itu, Ramadhan dikenali sebagai Shahru Ibadah, yang perlu kita maknai dengan semangat melaksanakan amal ibadah semaksimum mungkin. Ramadhan juga merupakan Shahru Fath yang harus dimaknai dengan memenangkan segala kebaikan dan amal soleh ke atas segala keburukan. Bukankah Ghazwah Badar al-Kubra, Qadisiah dan Fath Makkah berlaku dalam bulan Ramadhan? Selain itu, Ramadhan merupakan Shahru Huda yang harus dimaknai dengan semangat mengajak manusia kepada kebenaran berupa ajaran al-Qur’an dan Sunah Nabi SAW. 



Ramadhan juga merupakan Shahru Salam yang harus dimaknai dengan mengajak manusia  yang bertelagah kepada pendamaian dan pengharmonian. Di negara-negara umat Islam yang bergolak, seperti di Syria dan Mesir adalah amat wajar untuk kalangan mereka yang bertelagah berhenti dan mencari solusi kepada pendamaian. Cukuplah bertahun lamanya darah umat Islam ditumpahkan oleh sesama Islam. Jika enggan untuk berdamai, jangan terlupa, Ramadhan juga Shahru Jihad yang harus dimaknai dengan perjuangan menentang kezaliman di muka bumi. Ramadhan juga Shahrul Maghfirah yang harus dimaknai dengan rayuan dan permintaan untuk diampunkan dosa. Dan yang terakhir, Ramadhan juga Shahrul Sabr yang harus dimaknai dengan mengoptimumkan tahap sabar, sama dalam melaksanakan tuntutan Allah, waima ketika menerima ujian Allah. (Nota: Di samping itu banyak lagi nama-nama yang lain)

Dalam bulan taubat dan pengampunan ini, pintu rahmat Allah sememangnya terbuka luas untuk hamba-hambaNya merayu untuk diampunkan segala dosa. Signifikan nama Ramadhan dengan bulan penyucian dosa, puasa juga merupakan penghapus dosa. 

Sabda Nabi SAW:
ان سمی رمضان لأنه یرمض ذنوب

"Sesungguhnya bulan Ramadhan dinamakan Ramadhan kerana ia menghapuskan dosa"


Bersambung...


Nota Kaki:
*Pemikiran dan perspektif tentang Ramadhan

Tuesday, 9 July 2013

Sufistik Puasa

Tiada apa yang lebih berharga dari dunia dan seluruh isinya selain mendapat maghfirah Allah SWT dalam bulan Ramadhan. Ya, itulah yang sepatutnya didambakan oleh setiap manusia (yang sedar diri) saban tahun dicemari dengan dosa dan noda, baik kecil atau besar. Maka seharusnya kita tidak melepaskan peluang yang ada untuk memperbetulkan dalam segala aspek kehidupan, apatah lagi apabila Allah SWT telah memilih kita sebagai tetamu-Nya kali ini. Wajiblah kita untuk menzahirkan kesyukuran atas segala nikmat yang diberikan, baik kesihatan, masa, kesempatan serta nikmat-nikmat lain yang tidak putus, mungkin tidak seperti saudara-saudara Islam kita di tempat-tempat yang lain seperti di Mesir dan Syria yang sehingga kini belum dapat berehat.


Dalam proses tarbiah di bulan Ramadhan ini, amatlah penting bagi kita untuk mengetahui akan tujuan dan matlamat pengabadian kita di dalam bulan ini. Hal ini kerana terdapat segelintir dari kalangan kita yang masih belum dapat memahami sepenuhnya falsafah puasa khususnya dari sudut meningkatkan amalan dan pemikiran daripada baik kepada lebih dan paling baik. Dalam al-Qur’an, Allah SWT telah pun menjelaskan akan matlamat utamanya adalah ‘la’allakum tattaqun’ iaitu supaya kita menjadi orang-orang yang bertaqwa. Jika kita melaksanakan tuntutan Allah (puasa) dan pada masa yang sama kita gagal untuk menghayati objektif kepada perintah itu maka bukanlah ia merupakan suatu yang sangat rugi lagi malang.

Umpamanya, orang yang bersolat di siang hari namun pada malam harinya dia menghabiskan masanya dengan mengunjungi tempat-tempat maksiat dan melakukan segala jenis kemungkaran, maka solatnya pada siang tadi langsung tidak dapat menegah dirinya dari melakukan perkara keji sedangkan hakikatnya, matlamat solat itu sendiri antara lainnya adalah untuk mencegah diri daripada melakukan perbuatan keji dan mungkar. Perbuatannya itu seolah-olah sama sahaja dengan mereka yang meninggalkan solat kerana solatnya tidak lebih dari ‘melepaskan tanggungjawab’ lantaran dia gagal memahami matlamat ubudiyyah dalam solat itu.

Begitulah juga dengan amal ibadat yang kita lakukan pada bulan Ramadhan, samada dengan berpuasa, menghidupkan solat-solat malam serta amalan kebajikan yang lain. Ada yang melakukannya kerana ingin mendapat keredaan, ada pula kerana ganjarannya yang berlipat kali ganda. 

Umumnya kita mengetahui bahawa puasa itu adalah dengan menahan lapar dari perkara-perkara yang membatalkan puasa dari terbit fajar sehingga terbenam matahari. Namun, adakah sekadar menjaga perkara-perkara yang membatalkan puasa secara zahir itu kita merasakan bahawa puasa kita sudah cukup sempurna untuk dipersembahkan di hadapan Allah pada Hari Akhirat kelak? Oleh itu sama-samalah kita menilai dan bermuhasabah di kesempatan yang masih ada. Beberapa 'jika' dan 'maka' yang perlu direnung bersama..

....Jika sebelum ini kita suka bercerita tentang keburukan orang lain, mengumpat dan sebagainya, maka pada bulan ini kita bertekad untuk berhenti dan terus berhenti sampai bila-bila...

...Jika sebelum ini kita jarang membaca al-Quran dan solat malam, maka pada bulan ini kita cuba untuk melakukan dan memperbanyakkan-nya. Jika sebelum ini masa kita banyak digunakan untuk perkara yang sia-sia (umpamanya menghadap media sosial facebook berjam lamanya), maka pada bulan ini kita berazam untuk tidak lagi membuang masa kepada perkara yang tidak memberikan maslahat kepada diri dan ummah, sebaliknya kita menginfakkan masa yang ada untuk sebarang gerak kerja Islam...

...Jika sebelum ini kita berpakaian tidak mengikut syariat dengan sempurna seperti tidak bertudung labuh bagi Muslimat dan berseluar pendek bagi Muslimin, maka di bulan ini kita ubah segala kemungkaran itu dengan menuruti apa yang telah digariskan oleh agama dan begitu juga dengan perkara-perkara yang lain...

Gunakanlah kesempatan yang ada untuk menjaga mata, mulut, telinga dan segala pancaindera kita dari sebarang kekufuran nikmat maka pada bulan yang lain kita tidak boleh mengadakan sebarang alasan untuk tidak menjaganya. Jika tidak, maka sia-sialah amal ibadat kita yang telah kita usahakan pada bulan ini. Sama-sama kita menjadikan bulan Ramadhan ini sebagai satu momentum pengisahan diri dalam semua aspek. Dan apa yang penting, pengislahan ini tidak sekadar berhenti di Ramadhan kali ini sahaja tetapi akan sentiasa berterusan pada bulan-bulan yang akan datang.


Selamat menyambut dan menghayati bulan Ramadhan dengan penuh keikhlasan dan keinsafan. Semoga Ramadhan kali ini lebih baik dari Ramadhan sebelum-sebelum ini. 

Salam hormat dari penulis,

faizassyirazi
UKM Bangi
30 Sya'ban 1434 H

Friday, 5 July 2013

Bila Sang Sufi Bercerita: Kisah Jengking dan Drunkard

Zin Nun al-Misri pernah menceritakan, suatu hari ketika beliau sedang bersiar-siar di tepi sungai Nil untuk memerhatikan kenikmatan serta keindahan ciptaan Allah, tiba-tiba beliau terserempak dengan seekor kala jengking yang sangat besar sedang merayap dengan cepat. Beliau segera mencari batu untuk membunuhnya supaya beliau terhindar dari bahaya. Namun kala jengking itu merayap dengan laju untuk menyelamatkan dirinya sehingga ia terjatuh ke dalam sungai Nil itu. Sedang kala jengking itu tenggelam timbul dibawa arus, tiba-tiba muncul seekor katak di permukaan air dan kala jengking itu segera naik ke atas badan katak itu.


Katak itu kemudiannya berenang ke pinggir sungai Nil dan kala jengking itu segera naik ke atas daratan. Katak itu kemudiannya melompat lalu menghilang. Zin Nun al-Misri yang memerhatikan tingkah laku katak dan kala jengking dari tadi segera mengikuti jejak langkah kala jengking itu sehinggalah beliau tiba di sebuah pondok yang kecil dan usang. Apabila beliau menjenguk ke dalam pondok itu, beliau mendapati bahawa ada seorang lelaki mabuk yang tidak sedarkan diri terbaring di atas tanah. Ketika itu, beliau lihat ada seekor ular mahu mematuk si pemabuk itu dan tanpa disangka-sangka kala jengking yang beliau ekori tadi menyengat ular itu sehingga ular itu mati.

Zin Nun al-Misri merasa sangat takjub apabila melihat peristiwa ini dan bersyukur kepada Allah yang telah mengelakkan beliau daripada membunuh kala jengking itu. Jika tidak, sudah tentu lelaki yang mabuk itu akan mati akibat dipatuk oleh ular tadi. Semuanya itu ada hikmahnnya. Beliau kemudiannya mengejutkan lelaki itu dari tidurnya dan apabila lelaki itu melihat ada seekor ular yang di sisinya, beliau terperanjat dan ingin melarikan diri. Zin Nun al-Misri segera menahannya seraya berkata:

“ Jangan takut, ular itu sudah mati”.

Lelaki itu bertanya kehairanan : “Sudah mati? Bagaimana ular itu boleh berada di sini? ”

Zin Nun al-Misri menceritakan segala apa beliau saksikan sehinggalah beliau tiba di pondok itu. Lelaki itu kagum mendengar ceritanya lalu timbul keinsafan yang amat mendalam di dalam dirinya. Dia mengangkat kepalanya ke arah langit serta bermunajat dengan air matanya jatuh berderai, :

“Begitu penyayang Engkau terhadap hambamu ! Aku yang selalu menderhakai-Mu, Kau selamatkan aku daripada bahaya yang boleh membinasakan aku sedangkan aku mabuk dan sedang menderhakai perintah-Mu. Betapa pula Engkau memberikan rahmat-Mu kepada orang yang mentaati perintah-Mu, orang yang selalu menjaga segala perintah-Mu. Memang manusia ini tidak tahu mengenang budi. Ya Tuhan yang Maha Agung Maha Mulia, aku berjanji kepada-Mu bahawa aku akan menjaga diriku dan tidak lagi menderhakai-Mu selepas ini”.

Kemudian lelaki itu berpaling kepada Zin Nun al-Misri dan bertanya, :

“Engkau siapa? ”

“Aku Zin Nun”, jawabnya.

“Terima kasih banyak wahai Zin Nun kerana disebabkan ceritamu ini aku telah menjadi insaf dan aku akan kembali ke jalan Tuhanku” jawab lelaki itu lalu pergi meninggalkannya dengan wajah yang penuh keinsafan.


# Semoga kisah yang dipetik dari kitab Mukhtasar Raud al-Rayyahin karangan al-Allamah al-Yafi’ie ini memberi kita iktibar dan pengajaran sebagai seorang hamba-Nya di muka bumi Allah ini. Wallahu’alam.