Showing posts with label Peristiwa. Show all posts
Showing posts with label Peristiwa. Show all posts
Saturday, 26 July 2014
Tuesday, 8 July 2014
Al-Kubra: Srikandi Islam Dambaan Rasul SAW
10 Ramadhan, ulang tahun wafatnya isteri tercinta dan paling setia, merangkap seorang ibu yang paling penyayang. Dialah Sayyidah Khadijah al-Kubra r.a. Sayyidah Khadijah adalah seorang wanita yang telah mengorbankan jiwa, raga dan hartanya untuk Islam, sehingga kita sebagai umat Islam pada hari ini sangat terhutang budi kepadanya. Justeru, ambillah sedetik waktu untuk kita mengenang kembali pengorbanan beliau dan mendoakannya supaya roh beliau tenggelam dalam lautan rahmat dan kasih sayang Allah swt.
Sayyidah Khadijah adalah isteri pertama Nabi Muhammad Saw dan wanita pertama yang masuk Islam. Dari sisi nasab dan keturunan, beliau memiliki status sosial dari keluarga terhormat yang memiliki kedudukan yang sangat istimewa di antara golongan wanita Jazirah Arab dan Quraish. Manakala dari sudut kesempurnaan, kecantikan, karakter dan kemurahan hati, beliau menjadi kebanggaan bagi para wanita pada masa itu.
Sejak usia remaja, Sayyidah Khadijah menjadi salah satu perempuan dan pedagang paling terkenal di Hijaz. Wanita suci dan agung tersebut menjalankan aktiviti perdagangannya berdasarkan ciri dan karakter utama kemanusiaannya. Ketika berdagang, beliau tidak pernah melakukannya dengan cara yang salah untuk meraih keuntungan. Beliau sentiasa berusaha melaksanakannya dengan tidak keluar dari jalur yang benar. Kejujuran dalam berdagang membuatnya dipercayai oleh masyarakat di Hijaz.
Sayyidah Khadijah menggunakan kekayaan berlimpah beliau untuk membantu orang-orang miskin, anak-anak yatim dan keluarga mereka, bahkan di atas kemurahan hati tersebut, beliau disebut sebagai" Ibu orang-orang miskin" dan "Ibu anak-anak yatim." Kemuliaan, kemurahan hati, kearifan, kebijaksanaan, kesederhanaan dan kesucian Sayyidah Khadijah telah menjadikan beliau sebagai wanita terkemuka dan dihormati. Gelar "Pemimpin Wanita Quraish" yang diberikan kepada beliau menunjukkan kedudukan tinggi beliau di antara masyarakat Jazirah Arab.
Pada waktu itu, Sayyidah Khadijah dikenal sebagai satu-satunya perempuan pedagang. Pada waktu yang sama, ada seorang pemuda bernama Muhammad yang dikenal dengan kejujuran dan sifatnya yang amanah. Sifat-sifatnya yang mulia akhirnya tersebar di seluruh penjuru Hijaz dan beritanya juga sampai ke telinga Sayyidah Khadijah. Beliau mendengar sifat amanah dan akhlak mulia serta gelaran yang diberikan kepada Nabi Muhammad Saw sebagai "Al-Amin."
Segala sifat mulia yang dimiliki Muhammad saw membuat Khadijah menjadi tertarik dengan pemuda ini. Khadijah kemudian memilihnya sebagai pimpinan rombongan dagangnya. Sebagai pimpinan kafilah dagang, Muhammad Saw berhasil membawa keberuntungan yang tidak pernah diperolehinya selama ini. Hal ini membuat Khadijah semakin tertarik dengan keperibadian pemuda itu. Keagungan jiwa, pemikiran dan cara hidup Muhammad Saw membuat Khadijah ingin hidup bersatu dengannya dalam sebuah rumah tangga.
Meskipun orang-orang kaya Quraish datang untuk meminang Sayyidah Khadijah, tetapi beliau tidak menerimanya. Beliau telah terpikat dengan kejujuran, akhlak mulia dan kerohanian Muhammad Saw. Akhirnya, Khadijah melamar Muhammad Saw dan beliau pun menerima lamarannya.
Setelah menikah dengan Muhammad Saw yang miskin, perempuan-perempuan Mekah memutuskan hubungan dengan Sayyidah Khadijah. Bagi menghadapi situasi tersebut, suatu hari beliau mengumpulkan wanita-wanita Mekah dan mengatakan, "Aku mendengar dari para perempuan Arab bahawa suami-suami kalian memprotes aku bernikah dengan Muhammad Saw. Sekarang aku bertanya kepada kalian, apakah di Mekah dan di tempat lainnya kalian akan mampu menemukan orang seperti Muhammad Saw yang memiliki keindahan dan kemuliaan akhlak, sifat terpuji, nasab dan martabat agung?"
Rentetan kenyataan tersebut, beliau telah memahamkan kepada mereka bahawa orang yang sepadan dengan Muhammad Saw tidak dapat ditemui, namun beliau tidak mampu melenyapkan kebodohan dari hati mereka. Beliau juga tidak mampu memberikan perubahan signifikan terhadap sikap perempuan-perempuan Mekah itu.
Sayyidah Khadijah adalah isteri pertama Nabi Muhammad Saw dan sepanjang hidup beliau, Rasulullah Saw tidak pernah mengahwini perempuan yang lain. Dari hasil perkahwinan tersebut, lahirlah dua anak laki-laki: Qasim dan Abdullah, dan empat anak perempuan: Zainab, Ummu Kultsum, Ruqayah, dan Fatimah, namun kedua putera beliau meninggal dunia sebelum beliau diutus menjadi rasul.
Sayyidah Khadijah adalah wanita agung Islam dan perempuan pertama yang masuk Islam. Sementara Ali bin Abi Thalib adalah laki-laki pertama yang masuk Islam. Kemuliaan tersebut sudah cukup bagi Sayyidah Khadijah untuk menjadi isteri Rasulullah Saw, bahkan kekayaan beliau yang dikorbankan untuk Islam telah menjadi faktor penting dalam perluasan agama Samawi tersebut.
Salah satu sahabat Nabi Muhammad Saw berkata, "Suatu hari Rasulullah Saw melukis empat garisan di tanah dan berkata, apakah kamu tahu maksudnya? Mereka yang berada bersama beliau tidak mampu meneka dan hanya mengatakan, Allah Swt dan Nabi-Nya lebih mengetahuinya. Kemudian beliau bersabda, "Perempuan-perempuan terbaik di syurga ada empat orang: Khadijah r.ah isteriku, Fatimah r.ah puteriku, Asiah isteri Firaun dan Maryam ibu Isa as."
Sayyidah Khadijah adalah seorang isteri yang setia, penuh kasih sayang dan pengorbanan. Beliau penolong terbaik bagi Rasulullah Saw dalam setiap kesulitan. Syair fasih dan bermakna beliau tentang Rasulullah Saw mencerminkan ilmu dan kesempurnaan cinta beliau kepada suaminya itu. Dalam sebuah syair tentang Nabi Muhammad Saw, Sayyidah Khadijah mengatakan, "Jika semua nikmat di dunia menjadi milikku dan jika semua kerajaan dan raja-raja menjadi milikku, maka menurutku semua itu tidak ada nilainya sama sekali jika aku tidak dapat menatapmu."
Sayyidah Khadijah adalah wanita sempurna dan memiliki keperibadian yang agung sehingga beliau lebih istimewa dibandingkan dengan isteri-isteri Rasulullah Saw yang lain, bahkan Rasulullah Saw sangat mencintai beliau. Menurut sejarawan, Aisyah binti Abu Bakar, salah satu isteri Rasulullah Saw, mengatakan, ”Aku selalu kagum dengan cinta Nabi Saw kepada Khadijah; beliau selalu mengingati Khadijah, hingga suatu saat aku hilang sabar dan aku berkata, dia tidak lebih hanya seorang wanita tua dan Allah Swt telah memberikanmu yang lebih baik dari dia. Perkataanku telah membuat beliau marah hingga tanda kemarahan beliau tampak di wajahnya."
Mendengar perkataan Aisyah tersebut, Rasulullah kemudian berkata, "Selamanya tidak demikian…tidak akan pernah ada isteri yang lebih baik dari Khadijah. Ketika semua orang mendustakanku, Khadijah beriman kepadaku. Kekayaannya diberikan kepadaku pada saat-saat yang paling getir. Darinya, Allah Swt telah memberikan anak-anak kepadaku yang tidak diberikan oleh isteri-isteriku yang lain. "
Selama 25 tahun hidup bersama Nabi Muhammad Saw, Sayyidah Khadijah telah memberikan pengorbanan besar kepada beliau dan Islam. Dukungan kewangan, mental dan spiritual kepada Rasulullah Saw, keyakinan dan pembenaran atas kenabian beliau di saat orang-orang mendustakannya, serta pertolongan beliau kepada Nabi Saw dalam menghadapi orang-orang musyrik adalah bagian dari pengorbanan besar beliau kepada Rasulullah Saw dan Islam.
Ketika Nabi Muhammad Saw menjalankan tugas beliau sebagai utusan Allah Swt untuk membimbing umat manusia, orang-orang musyrik mengganggu dan memusuhi beliau. Di saat-saat seperti itu, isteri yang mengerti dan penuh kasih sayang seperti Khadijah adalah penenang hati terbaik yang meredakan kesusahan tersebut.
Ibnu Ishaq, seorang sejarawan terkenal menulis, "Nabi tidak mendengar perkataan kaum yang menolak dan mendustakan, di mana menyebabkan kesedihan dan mengganggu pemikirannya, kecuali Allah Swt telah menghilangkan kesedihan itu melalui Khadijah. Khadijah telah meringankan beban berat dari ucapan-ucapan kasar yang dilontarkan kepada Rasulullah Saw dan membenarkan beliau. Beliau juga memandang hina kepada perilaku dan kelancangan orang-orang musyrik kepada Rasulullah Saw.
Hari kesepuluh dari bulan Ramadhan adalah hari terakhir bagi seorang perempuan yang selama 25 tahun senantiasa mengiringi langkah utusan terakhir Allah Swt. Nabi Muhammad Saw pada hari semacam ini harus merelakan isteri tercintanya untuk kembali kepada Yang Maha Kuasa. Sebuah peristiwa yang menyayat jiwa beliau setelah beberapa waktu sebelumnya beliau kehilangan bapa saudaranya Abu Thalib as.
Wafatnya Sayyidah Khadijah begitu mempengaruhi beliau, sehingga tahun itu disebut sebagai "tahun kesedihan" (Am al-Huzn). Ketika Sayyidah Khadijah as wafat, Nabi Muhammad Saw menangis. Nabi mengusap air matanya yang bercucuran dengan kedua tangannya ketika memakamkan isteri tercintanya. Pada waktu itu beliau berkata, "Tidak ada yang dapat menandingi Khadijah. Ketika semua mendustakanku, dia membenarkanku. Dia menjadi penolongku dalam menyampaikan agama Allah Swt dan dengan hartanya, dia membantuku.
Al-Fatihah buat Srikandi Islam, Ummul Mukminin Sayyidah Khadijah r.ah.
Artikel asal: irib
Monday, 30 June 2014
Sufistik Ramadhaniyyin
Bulan Ramadhan yang tiba, menerangi hati para hamba. Aroma syurga mengharumi jamuan kita, jamuan dari Sang Pencipta. Bulan Ramadhan, bulan kerinduan dan munajat kepada Allah SWT. Bulan yang di dalamnya, Allah SWT mengundang semua hambanya untuk menghadiri jamuan cahaya dan kebahagiaan untuk menerima pengampunan tertinggi dan rahmat yang tidak terbatas dariNya. Sebuah jamuan yang penuh spiritual dan kesempurnaan yang menuntut para tetamu untuk mengetahui dan menjaga tata cara jamuan tersebut untuk menerima lebih banyak manfaat. Kini Allah SWT kembali membuka jamuan megah ini untuk hamba-hamba-Nya dan semua diundang pada jamuan penuh berkah ini. Bulan Ramadhan telah tiba, bulan pelepasan diri dari kebergantungan kepada materi duniawi.
Orang Arif pernah berkata, "Berbahagialah bunga yang tumbuh berdekatan aliran air, kerana ia akan segar dan mekar, berkembang, berwarna dan menjadi sangat indah. Ketika kamu berada di sampingnya, kamu akan berasa ceria. Dan malang bunga yang berada jauh dari air, ia akan layu dan kering. Manusia seperti bunga dan Allah SWT bak air kehidupan bagi bunga ini. Beruntung manusia yang berada di jalan hidayah Allah SWT. Manusia itu akan indah dan segar. Dan celaka bagi orang yang jauh dari Allah SWT, seperti bunga yang jauh dari air atau cahaya matahari. Dan pasti yang meletakkan manusia di jalan Allah SWT adalah penghambaan dan ketaatan terhadap-Nya, tanpa syarat."
Justeru, jadilah seorang hamba, sehingga keyakinan dan makrifat akan menghampirimu. Penghambaan ini yang akan melahirkan ketaqwaan. Ketaqwaan, iaitu yang menjaga dan orang yang bertaqwa adalah yang menjaga dirinya dari apa saja yang akan menjauhkannya dari Allah SWT. Penjagaan diri dan ketaqwaan itu sendiri penuh berkat yang utamanya adalah kemudahan dalam hidup. Allah SWT dalam al-Quran Surat al-Talaq berfirman:
وَمَن يَتَّقِ اللَّـهَ يَجْعَل لَّهُ مَخْرَجًا
"Barangsiapa bertaqwa kepada Allah nescaya Dia akan menyediakan baginya jalan keluar."
Ini bukan bererti tidak ada kepayahan. Tidak! Melainkan ketika dia menghadapi masalah, dia tidak akan merasa terhimpit dan dengan mudah melaluinya. Seperti seekor kuda yang dengan mudah melangkah rintangan pada jalannya. Ketaqwaan akan membentuk manusia seperti penunggang kuda yang cekap dalam melintasi halangan. Berkat lain dari ketaqwaan adalah manusia yang bertaqwa tidak akan terjebak dalam kekeliruan dan selalu menjumpai jalan keluar, seperti yang telah disebutkan dalam ayat tadi. Maka jika kita merasakan sangat terhimpit menghadapi masalah atau terjebak dalam kebingungan dan tidak mengetahui jalan keluarnya, sesungguhnya pada satu titik kita telah melupakan ketaqwaan kita dan ketaqwaan kita lemah.
- Kisah Midramad dan Puteri Raja
Berkait dengan hal ini, ada sebuah kisah. Pada satu malam, seorang pelajar agama bernama Muhammad Baqir sedang mengulangkaji pelajaran di biliknya, tiba-tiba ada seorang gadis dengan temengah-mengah masuk ke biliknya. Gadis yang dari penampilannya diketahui adalah dari keluarga kerajaan itu, menutup pintu kemudian memberikan isyarat kepada pelajar yang sedang terpinga-pinga menyaksikan kehadirannya supaya diam. Gadis itu bertanya, "Apa makanan malam yang kau ada?" Muhammad Baqir menghidangkan apa saja yang dimilikinya. Gadis itu menikmati hdangan yang diberikan pelajar tersebut kemudian tidur di salah satu sudut bilik, sementara Muhammad Baqir meneruskan ulangkajinya.
Sementara itu, raja telah menyuruh para pengawalnya untuk mencari puterinya yang lari dari rumah. Keesokan pagi, puteri raja itu keluar dari bilik dan pengawal kerajaan menangkapnya bersama pelajar itu serta membawa mereka menghadap raja. Shah Abbas, raja dari Dinasti Safavid, dengan nada geram bertanya pada pelajar itu, "Mengapa kamu tidak memberi tahu beta bahawa puter beta ada bersama kamu?" Muhammad Baqir menjawab, "Puteri telah mengancam akan menyerahkanku kepada tukang pancung jika aku memberitahu keberadaannya di sini."
Kemudian Shah Abbas menyelidiki apa yang berlaku dan dia mengetahui bahawa pelajar ini belajar sampai pagi dan tidak melakukan sesuatu terhadap puterinya. Shah bertanya kepada pelajar, "Bagaimana kau mampu melawan hawa-nafsumu?" Muhammad Baqir kemudian menunjukkan 10 jarinya yang semuanya hitam terbakar. Shah Abbas menanyakan sebabnya dan pelajar itu menjawabnya, "Ketika si puteri tertidur, hawa nafsu menggodaku untuk mendekatinya, akan tetapi setiap kali hawa nafsu menggoda aku meletakkan jariku di atas api lilin agar aku merasakan api neraka jahannam dan pada akhirnya seperti ini aku melalui malam hingga pagi melawan hawa nafsuku, dan berkat bantuan Allah SWT, syaitan tidak mampu menjerumuskan aku ke jalan menyimpang dan membakar imanku."
Shah Abbas menyukai ketaqwaan dan keimanan pelajar muda ini dan dia memerintahkan agar puterinya dinikahkan dengan Muhammad Baqir. Shah Abbas memanggilnya dengan nama Mirdamad yang akhirnya terkenal di antara tokoh ahli falsafah dan ulama terkemuka. Nama Mirdamad dikenang ulama dan ahli falsafah agung hingga kini.
- Memburu Cinta Hakiki
Bulan Ramadhan merupakan bulan terbaik dan utama dalam Islam. Bulan Ramadhan juga dikenal dengan nama "bulan jamuan Allah SWT". Selain sebagai bulan puasa dan pembacaan al-Quran, bulan ini juga merupakan kesempatan terbaik untuk bermunajat dan dikabulkan doa. Doa, akan menjaga hati manusia selalu mengingati Allah dan ini akan memperkukuh iman dan ketaqwaan. Oleh kerana itu para nabi dan wali Allah SWT, selalu berdoa untuk mendekatkan diri dengan Allah SWT.
Imam Ali bin Husein al-Sajjad r.a adalah salah satu di antara wali dan cucu Rasulullah Saw, yang lebih dikenali dengan "Zainul Abidin" yang bererti hiasan bagi para hamba, memiliki banyak munajat yang sangat indah. Salah satu sahabat beliau bernama Tawus Yamani berkata, "Aku melihat Imam Sajjad di Baitullah al-Haram mulai dari awal malam hingga pagi, bertawaf, beribadah, menunaikan solat malam, dan bermunajat kepada Kekasihnya seperti ini, ‘Wahai Tuhanku, bintang-bintang di langit telah menghilang, mata-mata telah terlelap, pintu-Mu telah siap untuk masuknya para peminta. Seorang pengemis sepertiku yang menuju gerbang-Mu demi mengharapkan ampunan dan rahmat-Mu, dan berharap Kau tidak mencegahnya menemui Rasul-Mu yang mulia di hari kiamat.'
Kemudian air mata mengalir dari kelopak mata Imam seperti awan di musim hujan dan beliau berucap, ‘Wahai Tuhan... Kau suci dari segala aib dan kekurangan, umatmu terus melanjutkan maksiat dan dosa seakan-akan mereka jauh dari pandangan-Mu, dan Kau tetap bersabar seakan-akan mereka tidak berbuat dosa. Sedemikian rupa Kau mencintai umat dengan cara-cara baik-Mu seakan Kau memerlukan mereka, sementara wujud sucimu tidak memerlukan dari semua wujud dan unsurnya.' Setelah itu Imam Sajjad bersujud dengan penuh kecintaan yang tidak dapat digambarkan."
Dalam kondisi yang sama, beliau bermunajat kepada Allah pada bulan penuh berkah, iaitu Ramadhan. Beliau bersyukur dan menuturkan puja dan puji kepada Allah SWT yang telah memberikan kesempatan bagi hamba-hamba-Nya untuk menikmati bulan mulia ini.
Pada bulan Ramadhan ini kita teringat sabda Rasulullah Saw bahawa semua pintu langit dibuka dan bakaranapi neraka dipadamkan pada bulan rahmat ini. Mari kita bersama sama menerangi hati dengan cahaya ketaqwaan dan menikmati manisnya ketaqwaan dan menjauhkan diri dari selain-Nya. Amin Ya Rab.
*Petikan asal - IRIB
Saturday, 28 June 2014
Ramadhan Kareem 1435H
Bismillah..
Fikrah terkadang khilaf...
Lisan terkadang kurang terjaga...
Janji terkadang tidak ditunai...
Hati terkadang berprasangka..
Sikap terkadang mengguris...
Ramadhan ini pasti akan lebih bermakna jika adanya kemaafan antara kita. Jika kita mengimpikan sesuatu yang mustahil, samada untuk mencapai semaksimumnya kejayaan dalam kerjaya, dunia akademik, membina keluarga, dan seumpamanya, maka manfaatkah 1/3 malam dengan rintihan dan dambaan kepadaNya.
Percayalah, tiada yang mustahil di sisi-Nya lebih-lebih lagi kita dipilih Allah untuk menjadi tetamu malam al-Qadar. Walaupun begitu, jangan jadikan Tuhan itu sebagai tempat hanya untuk 'melepaskan' hajat semata-mata, kerana apa yang Dia anugerahkan tidak lain dan tidak bukan adalah kerana rahmat-Nya ke atas kita. Sebaliknya, lakukanlah ibadah kerana untuk meraih redha dan untuk lebih taqarrub kepada-Nya.
Selamat menyambut bulan Ramadhan 1435H dengan penuh penghayatan.
Wassalam
Tuesday, 14 January 2014
Ada Apa Dengan 12 Rabiul Awal
Tanggal 12 Rabiul Awal 53 tahun sebelum Hijrah, berdasarkan catatan sebahagian sejarawan, di antaranya Mas'udi, Rasulullah s.a.w. dilahirkan ke dunia. Namun, ada pandangan yang menyatakan bahawa tanggal kelahiran Nabi Muhammad Saw adalah 9, atau 10 (dan juga 17 Rabiul Awal). Tiada apa yang perlu diperbalahkan kerana perbezaan pandangan mengenai tarikh sebenar kelahiran Nabi s.a.w. Apa yang penting, jumhur Ulama bersepakat bahawa baginda dilahirkan dalam bulan Rabiul Awwal.
Masjid Pertama Didirikan
Tanggal 12 Rabiul Awal tahun pertama Hijrah, Rasulullah s.a.w. mendirikan masjid pertama dalam Islam di sebuah daerah bernama Quba, berhampiran Madinah. Pembinaan masjid itu dilakukan ketika Rasulullah s.a.w. dalam perjalanan beliau hijrah dari Mekah ke Madinah, dan singgah di Quba untuk menunggu kedatangan Ali bin Abi Thalib r.a dan rombongannya.
Pada malam sebelumnya ketika Rasulullah hendak berhijrah, Saidina Ali r.a baring di tempat tidur Rasulullah s.a.w. untuk mengaburi kaum musyrik yang berniat membunuh Rasulullah s.a.w. Setelah itu, beliau tinggal selama tiga hari di Mekah dan kemudian bersama beberapa sanak saudaranya, menyusul Rasulullah s.a.w dan Abu Bakar r.a berhijrah ke Madinah.Masjid Quba yang bersejarah itu sehingga kini masih kukuh berdiri meskipun mengalami banyak perubahan.
Ahmad bin Hanbal r.a Meninggal
Tanggal 12 Rabiul Awal tahun 241 Hijriah, Ahmad bin Hanbal, seorang Ulama Hadis muktabar lagi terkemuka, meninggal dunia di kota Bagdad. Dia dilahirkan pada tahun 164 Hijriah di Baghdad dan menghabiskan pengajiannya di kota tersebut, juga di kota-kota lainnya. Ahmad bin Hanbal menuntut ilmu dari pelbagai ulama, di antaranya Imam Syafi'i r.a.

Ahmad bin Hanbal amat rajin dalam mengumpulkan hadis sehingga dia melakukan perjalanan ke kota Kufah, Basrah, Mekah, Madinah, Syria, Yaman, dan Aljazair, dalam rangka mengumpulkan hadis. Hadis-hadis tersebut kemudian dikumpulkannya dalam sebuah buku bernama Musnad bin Hanbal. Ahmad bin Hanbal juga merupakan pengasas mazhab Hanbali.
Petikan & Olahan: IRIB
.....
"Dis: «Si vous aimez vraiment Allah, suivez-moi, Allah vous aimera alors et vous pardonnera vos péchés. Allah est Pardonneur et Miséricordieux" (3:31)
Salam Maulidur Rasul 1435 H
Tuesday, 31 December 2013
2013: CATATAN PENUTUP TIRAI
Tahun 2013 akan berakhir beberapa jam sahaja lagi, dan lumrah di benua Asia khususnya di Malaysia akan memasuki tahun baru Masihi 2014, 8 jam lebih awal dari UK, tempat saya bermastautin buat masa ini. Kira-kira lebih 2 bulan saya menjadi sebahagian daripada warga di sini, banyak perkara baru yang saya belajar dalam konteks yang lebih meluas, khususnya dalam skop hubungan antara dunia Islam & Barat. Bagaimanapun, masih belum berkesempatan untuk dikongsikan dengan sahabat-sahabat seperti mana yang diharapkan, lantaran kondisi masih belum mengizinkan. Pada saya, tahun ini cukup berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya, di mana tahun baru Islam 1434 dan Masihi 2014, kedua-duanya saya 'sambut' di negara orang.
Berkait dengan sambutan tahun baru, ia cukup kuat untuk menggamit memori saya sewaktu menyambut tahun baru di Dataran Merdeka dan beberapa tempat di ibu kota semasa bergelar mahasiswa. Bukan sambut apa, cuma saya dan bersama-sama beberapa orang sahabat menyambut di bawah satu misi dakwah untuk 'menyantuni' peserta sambutan tahun baru. Cukup bermakna kerana bermacam-macam-macam jenis manusia yang kami jumpa dan disapa. Ketika itu baru terasa betapa mencabarnya hendak meneruskan tugas Nabi s.a.w, walhal ia jauh lagi jika hendak dibandingkan dengan kerja dakwah yang Nabi s.a.w lakukan.
Oh ya, berbaki jam untuk memasuki 2014, sukanya saya untuk mengajak sahabat-sahabat sekalian (khususnya diri sendiri) untuk bermuhasabah kembali beberapa perkara. Antara yang penting adalah mengenai azam yang kita pasak pada awal 2013 lalu; apakah berjaya direalisasikan, atau hanya sekadar retorik di bibir sahaja. Dalam konteks seorang pelajar misalnya, ada yang berazam untuk menyasarkan untuk bergraduasi awal, ada yang berazam untuk menghasilkan beberapa artikel untuk diterbitkan dalam jurnal, ada yang berazam untuk menyiapkan disertasi dan tesis secepat mungkin. Tidak kurang juga yang merancang untuk bekerja dan melangsungkan kesempurnaan agama. Dalam konteks seorang penjawat awam, ada yang berazam untuk naik pangkat dan mengubah taraf hidup kepada lebih baik, dalam konteks agamawan berazam untuk menyedarkan ummah akan kepentingan agama, dan begitu juga yang lain.
Waima apa juga azam yang ditekadkan, biarlah ia selari dengan tuntutan Islam. Bagi yang berjaya menyempurnakan azam mereka untuk tahun ini, syabas dan tahniah diucapkan, sebaliknya banyak-banyaklah bermuhasabah. Mungkin ia tidak berjaya disebabkan kelemahan kita sendiri, atau di sana Allah telah merancangkan sesuatu yang jauh lebih baik untuk kita. Di samping itu cuba bandingkan juga, antara tahun ini dengan tahun 2012 dan tahun-tahun sebelumnya, apakah prestasi kita sebagai seorang manusia yang masing-masing diberikan taklifan (baik sebagai seorang majikan, pekerja, suami isteri, ibu bapa, pensyarah, pelajar dan sebagainya) ada peningkatan atau sama sahaja, atau lebih buruk. Begitu juga dengan soal prestasi iman dan amal kita, apakah ia lebih baik berbanding masa lalu, atau sebaliknya. Jika lebih buruk alangkah ruginya kita kerana Nabi s.a.w pernah menempelak manusia sebegini.
"Sesungguhnya orang yang paling beruntung ialah orang yang hari ini lebih baik daripada semalam dan orang yang celaka adalah orang yang hari ini lebih teruk daripada semalam, manakala orang yang rugi adalah orang yang hari ini sama dengan hari semalam" (HR Bukhari dan Muslim)
Isu Ummah Dalam Sorotan 2013
Umumnya tahun 2013 menyaksikan banyak perkara dan peristiwa, waima dalam konteks diri kita sendiri, mahupun dalam konteks yang lebih meluas, iaitu ummah. Dalam konteks dunia Islam, antara yang sempat saya coretkan, pada tahun ini kita menyaksikan pembunuhan kejam terhadap al-Syahid Dr. Said Ramadhan al-Buti pada Mac lalu, pada masa sama konflik di Syria semakin membarah.
Kita juga menyaksikan bagaimana kerajaan baru Mesir pimpinan Dr. Mursi ditumbangkan oleh regime tentera usai setahun memerintah. Yang terbaru adalah pembunuhan kejam pemimpin Jama'at Islam di Bangladesh atas tuduhan jenayah perang.
Manakala dalam konteks negara Malaysia, antara yang besar adalah perhimpunan raksasa BERSIH 3.0 yang berjaya menarik ratusan ribu rakyat untuk menyertai.
Tahun ini juga berlangsungnya PRU-13 yang mencatatkan BN tewas dalam meraih undi popular berbanding PR. Pun begitu, PR masih perlu bekerja keras 5 tahun dari sekarang untuk membawa Malaysia ke arah yang lebih sejahtera.
Dan agak unik bagi saya apabila tahun ini ia dibuka dan ditutup oleh dua perhimpunan rakyat, di mana BERSIH 3.0 yang diadakan pada 12 Januari, disudahi dengan himpunan TURUN pada 31 Disember. Buat yang turun TURUN, doa saya bersama kalian!
Apa yang jelas, kedua-dua perhimpunan ini mengekspresikan perasaan rakyat marhaen dari segenap lapisan terhadap kerajaan lantaran kebobrokan mereka dalam beberapa isu. Apa yang saya ingin nyatakan di sini, saban tahun pasti ada sesuatu peristiwa yang berlaku sama ada besar atau kecil, melibatkan diri kita secara langsung atau tidak. Cuma persoalannya sejauh mana kita bersedia untuk memberi respond kepada isu yang timbul menerusi kapasiti yang sedia ada.
Memaknai kehidupan
Hidup kita cuma sekali, dan mati hakiki juga sekali. Justeru peluang yang ada seharusnya dimanfaatkan sebaik mungkin. Jadikanlah setiap hari kita yang berlalu penuh dengan makna dan memanfaatkan orang lain. Alangkah ruginya kita persiakan dengan sesuatu yang langsung tidak dapat memanfaatkan diri kita dan ummah secara amnya, dan lebih malang apabila kita tergolong dalam kalangan mereka yang membinasakan ummah. Bercakap dalam soal memaknai kehidupan, ringkasnya saya rumuskan kepada tiga konteks. Pertamanya kita perlu melihat dalam konteks hubungan kita dengan Allah. Ia merangkumi segala amalan yang melibatkan hubungan kita dengan pencipta, sama ada berbentuk fardu atau sunat. Kedua-dua amalan ini sepatutnya memberikan impak yang besar dalam menjadikan kita sebagai seorang Muslim yang soleh lagi musleh.
Kedua adalah hubungan kita sesama manusia, sama ada yang Muslim waima non-Muslim. Ini termasuklah dengan mengambil kira soal penunaian hak-hak mereka seperti mana yang digariskan syarak. Ini kerana, konsep keadilan Islam itu sepatutnya dilihat sebagai rahmat yang meliputi sekalian alam, bukan dilihat sebagai agama yang sifatnya eksklusif serta suka menghukum lebih-lebih lagi dalam kalangan non Muslim. Hampir dua tahun saya mengikuti perkembangan persepsi masyarakat non-Muslim di Malaysia dan di Barat melalui kajian-kajian akademik, segelintirnya cukup menyedihkan. Ketiga adalah hubungan kita dengan alam yang pada mereka juga ada hak yang perlu ditunaikan. Contoh terdekat, Taufan Typhoon yang melanda Philippine bulan lalu menjustifikasikan bagaimana rakusnya tangan-tangan manusia merosakkan alam.
Manakala dalam konteks seorang pelajar sukanya saya ingin mengajak sahabat-sahabat untuk menilai kembali sejauh mana kita telah memaknai kehidupan kita yang berbaki ini. Lazimnya umur umat Nabi Muhammad sekitar 60-65 tahun, jika umur kita (misalnya) sekitar 25, bermakna kita mempunyai baki hayat sekitar 40 tahun untuk memaknai kehidupan, menerusi ketiga-tiga perkara yang dibincangkan di atas. Katakanlah, tolak dengan usia 50 kerana badan sudah uzur, bermakna berbaki sekitar 30 tahun. Itu tidak termasuk dengan perkara-perkara lain. Persoalannya, dalam tempoh berbaki itu apakah sempat untuk menyempurnakan semua perkara?
Tentu sekali tidak, jika dari sekarang kita masih gagal menyasarkan matlamat hidup, sama ada dalam tempoh jangka masa pendek atau panjang. Orang yang kabur matlamatnya, lazimnya tidak akan mampu merancang dan menyusun kehidupan dengan baik. Cuba perhatikan mereka yang mahu berkahwin, lazimnya bukan sebulan dua persediaan yang dilakukan, bahkan lazimnya memakan masa bertahun lamanya (Saya tidak dapat bayangkan bagaimana keadaannya dengan kenaikan pelbagai jenis barang bermula tahun hadapan a.k.a esok). Begitu juga dengan mereka yang bercita-citakan untuk mati syahid, bukan dalam masa yang singkat mereka bersedia dengan segenap amalan, akan tetapi sejak dari awal lagi.
Untuk memaknai kehidupan dalam konteks seorang pelajar misalnya, adalah tidak memadai jika tugasnya hanya belajar semata-mata dengan menghadiri kelas atau aktiviti akademik. Pada masa sama dia jauh dari mengambil berat tentang isu-isu yang berlaku di sekelilingnya. Apatah lagi dalam konteks seorang Muslim yang wajib untuk terlibat dan mengambil tahu isu-isu umat, sesuai dengan kapasiti yang ada. Apa yang penting adalah 'bekerja' dan 'bergerak' dan bukan berkecuali. Tidak lain dan tidak bukan untuk memberikan kehidupan kita lebih bermakna.
Sekadar coretan penutup tahun 2013. Semoga tahun 2014 ini menjadikan kita sebagai Muslim yang lebih berkualiti dalam iman dan amal.
Galeri Foto: Memori 2013 dalam kenangan
























































