Kemenangan Yang Hampir

Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu kemenangan yang nyata (Surah al-Fath 48:1)

Memaknai Hidup Dengan Perjuangan

Jadilah penolong-penolong agama Allah dalam menegakkan agamaNya di muka bumi ini

Kalam Murabbi

Amanat Untuk Pemuda dan Pemudi

Kesatuan Ummah

Kemudian jika kamu berselisih tentang sesuatu perkara, maka kembalilah kepada Allah dan Rasul (Surah An-Nisa’4:59)

Pedulisme dan Faham

Barangsiapa tidak mengambil berat tentang urusan umat Islam, maka bukanlah mereka daripada kalangannya (HR al-Bukhari)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
“Sesungguhnya perjuangan itu tidak mengenal erti penat & lelah. Demi Islam tercinta, ia perlu diteruskan. Semoga usaha untuk menyampaikan risalah Islam ini diterima Allah sebagai salah satu amal jariah semasa menghadap-Nya pada suatu hari yang pasti akan tiba..”
blog's design by faizassyirazi. Powered by Blogger.
Showing posts with label Dari Meja Penulis. Show all posts
Showing posts with label Dari Meja Penulis. Show all posts

Saturday, 22 August 2020

Lembaran Baharu 1442 Hijrah

Selamat Menyambut Tahun Baru Islam 1442H

Monday, 11 January 2016

Jika Sudah Benci...

Jika Sudah Benci...

Bila sumber berita tidak betul tentang kita , kita terus membaca ayat:

"Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan." (Al-Hujuraat 49:6)



Tetapi, bila sumber berita tidak sahih kena pada musuh, kita kata tidak apa. Malah tidak segan silu menjadi penambah perencah dan selera untuk mengeji dan memfitnah pihak yang kita benci. Ada video, artikel menyokong, kita viralkan, walaupun kita sendiri tidak pasti kesahihannya. Tabayyun tidak ada dalam kamus jika kepada musuh.

Bila ada pihak hendak berlaku tidak adil pada kita, kita lantas mengingatkan:

"Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan”. (Al-Ma'idah: 8)

Tetapi bila kita hendak bersikap adil kepada pihak lain, hilang pula praktikalnya ayat yang dibaca tadi.

Ironinya itulah yang berlaku kalangan masyarakat. Dari pada orang awam dan tidak kurang juga kalangan agamawan. Waima apa juga isu yang dibincangkan; inter/intra mazhab atau agama (politik lebih-lebih lagi), kadang-kadang kita selektif-kan nas ikut naluri nafsu kita. Asalkan kita puas. Biar musuh malu besar. Sebolehnya, jika mereka mati dan masuk neraka paras bawah.

Allah bagi kurnia belajar agama tinggi-tinggi, kita 'syukuri' nikmat itu dengan pecah belahkan umat. Ajar masyarakat jadi esktrim, taksub dan sanggup membunuh sesama sendiri. Maklumlah, tidak ada yang berani sanggah sebab setiap perkataan kita disertai dengan nas dan hujah konkrit. Balik dari Timur Tengah hafaz ratusan kitab. Jika ada title Dr itu sudah jadi satu pandangan mutlak.

Kita mahu orang berlaku adil pada kita, tetapi jarang pula mahu berlaku adil dengan orang lain. Kita mahu orang terima pandangan kita, tetapi kita tidak pula mahu terima pandangan orang lain. Kita sentiasa bersedia memberi pandangan, namun tidak pula bersedia untuk berbeza pandangan.

Namun bila direnungi kembali, sikap begini tidaklah boleh di bawa sampai ke mana. Kita hanya seronok dengan dunia 'akademik' kita.

Justeru kenapa Ulama terdahulu begitu mengambil berat soal adab dan akhlak.
Kata Ibnu Sirin:

كانوا يتعلمون الهديَ كما يتعلمون العلم

“Mereka (para ulama) dahulu mempelajari petunjuk (adab) sebagaimana mereka menguasai sesuatu ilmu.”

Berakhlak yang bukan bersikap selektif seperti pada hari ini.

Berakhlak; baik dengan orang yang kita suka atau tidak.

Menghukum; setimpal dengan apa yang dilakukan, bukan berlebihan. Jika memaafkan lebih itu merupakan suatu kemuliaan.

Melebel; Islam mengajar cukup sekadar untuk memberi peringatan kepada orang lain, bukan mengambil kesempatan untuk memperendahkan. Itu pun setelah kita menasihati dengan baik dan membimbing dia kepada kebenaran.

Nak mengharapkan diri kita untuk menjaga hati kita, pasti tidak mampu dek lemahnya kudrat yang ada. Justeru Nabi titipkan doa:

اللَّهُمَّ اهْدِنِى لأَحْسَنِ الأَخْلاَقِ لاَ يَهْدِى لأَحْسَنِهَا إِلاَّ أَنْتَ وَاصْرِفْ عَنِّى سَيِّئَهَا لاَ يَصْرِفُ عَنِّى سَيِّئَهَا إِلاَّ أَنْتَ

Ya Allah, tunjukilah padaku akhlak yang baik, tidak ada yang dapat menunjukinya kecuali Engkau. Dan palingkanlah keburukan akhlak dariku, tidak ada yang memalingkannya kecuali Engkau].” (HR. Muslim)

Renung dan menungkan...

‪#‎MuhasabahDiri‬
‪#‎JagaHati‬
‪#‎TarbiyyahDiri‬

Monday, 4 January 2016

Menulis Kerana Kebenaran dan Untuk Kebenaran

Perihal menulis...

Ada pihak yang menulis berdasarkan persepsi (pandangan peribadi).

Ada pihak yang menulis berdasarkan pengalaman.

Ada pihak yang menulis berdasarkan disiplin ilmu dan kajian.

Orang yang menulis berdasarkan persepsi lazimnya dipengaruhi oleh persekitaran dan pengamatan peribadi. Sumber dari facebook, youtube, whatsupp dsb dianggap sudah cukup kuat untuk dipegang (ibarat menggengam bara api). Malangnya apa yang dilontarkan belum tentu boleh mencapai 50% (mungkin 30%) tahap kesahihan. Lebih-lebih lagi jika sumber yang diperoleh hanya bersifat hearsay sahaja.


Orang yang menulis berdasarkan pengalaman, biasanya setelah apa yang dialami. Sama ada secara langsung atau tidak. Mungkin ketika belajar di negara orang, atau mungkin bergaul dengan kelompok tertentu. Bertahun-tahun baru dikongsikan supaya dilihat ia sudah cukup matang dan kukuh. Lebih-lebih lagi jika yang menulis itu dalam kalangan orang yang berautoriti (contohnya agamawan), pasti ia mudah diterima ramai. 

Namun sekadar pengalaman belum tentu dapat menjamin kesahihannya. Kerana pengalaman itu 'subjektif'. Setiap orang pasti berbeza pengalaman. Seorang yang mendabik dia alami sekian-sekian berdasarkan pengalamannya, sukar untuk mengubah pendirian pihak lain atas pandangannya yang berbeza. Jawapan paling 'thiqah' sentiasa menjadi sandaran. "Ana kenal sahabat ana tu. Dia pernah cerita kat ana mimpi jumpa bidadari. Jadi ana yakin apa jua tindakannya adalah benar dan tidak ada yang benar melainkan benar-benar belaka"

Manakala orang yang menulis berdasarkan disiplin ilmu, ironinya bukan sekadar persepsi, pengalaman dan kepakaran dalam sesuatu bidang. Justeru dalam penulisan ilmiah saling menggabungkan antara metod (seperti triangulasi); ada sumber karya, jurnal tertentu, kemudian disusuli dengan menemubual responden yang terlibat, dan disusuli dengan pemerhatian (obervasi) bagi melihat ketekalan dapatan daripada ketiga-tiga metod. Mungkin ada yang berkata, sekalipun merujuk kepada bahan ilmiah, apa jaminan ia terpelihara dari unsur tahrif (manipulasi) dalam maklumat? Kata-kata Winston Churchill, "History is written by the victors" ada kebenarannya di situ.

Justeru, kajian akademik sentiasa memerlukan justifikasi, dan boleh jadi dapatannya selari dan boleh jadi berbeza. Bukan sebelum ada kajian, telah diputuskan terlebih dahulu sama ada hipotesis diterima atau ditolak. Kajian hanya dijalankan untuk menguatkan persepsi dan sentimen yang sedia ada.

Dalam sebuah kajian yang baik, jika keputusannya menatijahkan A, kadang-kadang belum tentu ia absolute apabila ada kajian seterusnya menidakkan kajian terdahulu. Vice versa, itulah yang dianggap yang paling diakui kebenarannya untuk waktu itu. Lebih-lebih lagi apabila kajian tersebut berjaya dipertahankan dalam pembentangan (baca: viva).

Demikianlah dalam mengulas apa juga isu, khususnya global; Syria, Turki, Sunni-Shia, Wahabi-Salafi, Barat, konspirasi dsb.

Ironinya, kebanyakan penulisan netizen lebih kepada peribadi, berdasarkan sumber yang terhad dan kurang berautoriti, galak mengulas. Berani memberi pandangan, namun jarang bersedia untuk menerima perbezaan pandangan. Biarpun berpendidikan.

Tidak kurang juga dengan golongan yang hanya bergantung kepada pengalaman peribadi. Berada dengan sesuatu kelompok atau kita pernah pergi ke tempat itu belum tentu melayakkan kita untuk menjadi 'ensiklopedia bergerak' dalam sesuatu isu. Asalkan populis. [Maaf cakap] Penyakit ini kerap melanda golongan agamawan. Justeru kadang kala ada terpedaya dengan belitan iblis. Isu kecil di angkat, dan isu besar dibakul sampahkan. Kalangan Muslim petah untuk dikafirkan walaupun sesama ahli Kiblat, sementara kalangan kafir harbi begitu lantang untuk dipertahankan. Modal saban waktu, "biarlah, itu ijtihad mereka." [Setakat yang pernah diajar di Maahad dan Universiti dahulu, penggunaan ijtihad itu apabila hukum tersebut yang tidak termaktub dalam Quran dan Sunnah. Lalu apakah kita membenarkan pengkafiran atau pembunuhan semasa Islam atas nama 'ijtihad'? Jika demikian tidak salahlah 'ijtihad' IS dan Khawarij selama ini. Mungkin kita terlupa atau belum terbaca tentang peringatan Nabi tentang fitnah-fitnah akhir zaman adalah kalangan agamawan yang berkepentingan, pembaca al-Quran yang jahil]

Manakala orang yang menulis berdasarkan disiplin ilmu, bukan untuk populis. Bukan untuk publisiti murahan. Biar pandangan itu 'rare' di mana umum, namun sandarannya tidak 'rare' dari kebenaran. Mesejnya bukan untuk dipuji atau dianggap paling benar, kerana mereka tidak ada masalah dan bersedia untuk berbincang jika ada pandangan yang menyatakan sebaliknya. 

Tidak semestinya perlu bersetuju, dan bersedia untuk 'agree to disagree' jika itulah natijah akhirnya. Justeru mereka tidak pernah kecewa dek tohaman yang mengecam atau terkubur dek label yang diberikan. Kerana itu mereka tidak pernah jauh dari mengharapkan kuasa Tuhan untuk membuka hati manusia jika itulah kebenaran yang sebenarnya. Jika bukan hari ini, mungkin suatu masa nanti. Mereka mendoakan ummah diberi hidayah, jauh sekali untuk melaknatullahkan kalangan ummah.

Justeru, kita yang sebenarnya adalah apa yang kita tulis dan bicara. Baik, buruk segalanya menatijahkan balasan di akhirat kelak. Bukan untuk siapa-siapa, tetapi untuk kita juga. Sementara masih bernyawa, dikurnia nikmat pancaindera sama-sama beringatlah....

Wallahualam.

Saturday, 30 May 2015

Pengajian Hingga Diuji: Suatu Muhasabah

Kurang 3 bulan untuk cukup setahun tidak menulis di sini. Masa terlalu terhad. Bermula saat ini, di sini akan menjadi medan tulisan ringan selain dari menjadi arkib untuk audit idea terdahulu. Hampir setahun, terlalu banyak peristiwa yang berlaku dari dunia yang berbeza. Namun tidak semua perlu diulas atau hendak ditanggapi dengan penulisan. 

Benar kata orang, cabaran paling besar bagi sarjana adalah untuk mendiamkan diri daripada menulis apa yang terbuku dalam hatinya. Pada saya tidak adalah masalah jika memang itu bidangnya, namun akan jadi bermasalah jika ia berada di luar bidangnya. Apatah lagi dengan lambakan media sosial Whatsupp, facebook dan sebagainya menyebabkan mata dan tangan kita tidak menang. Sekejap-sekejap hendak menulis komen, share atau menekan butang like. Jika perkara dan maklumat yang baik dan benar, Alhamdulillah, cuma yang dikhuatiri, sebaliknya dan itu yang banyak berlaku pada hari ini.




Soalnya bukan 'diam dari kebenaran', tetapi 'meletakkan keadilan pada sesebuah ilmu itu'. Hal ini yang diajar dalam dunia kesarjanaan. Jika hendak mengambil sesuatu sumber itu, bukan sekadar 'ma qaala', tetapi 'man qala' juga penting. Maka tidak hairan para ilmuwan peradaban Islam terdahulu juga mengajarkan perkara yang sama. Contoh mudah dalam disiplin ilmu al-jarh wa ta'dil dalam mengenalpasti keabsahan sesebuah riwayat waima dari sudut sanad dan matannya.

Malangnya dewasa ini, terlalu banyak sarjana segera yang lagaknya seperti pemegang PhD dalam semua bidang. Dalam isu global contohnya, menjadi agen penerangan kepada masyarakat pada masa sama dia langsung tidak pernah belajar tentang ilmu hubungan antarabangsa. Justeru dalam konflik seperti di Syria atau Yaman, kebanyakan golongan lepasan pengajian agama dari Timur Tengah melihat pertembungan antara Mazhab Sunni-Syiah, selari dengan propaganda yang dimuat naik dalam media barat.

Hal ini kerana silibus pengajian di kampus sudah disemai sentimen kebencian serta halalnya untuk mengkafirkan pihak yang berlainan fahaman. Ketika di bangku kuliah dahulu, hampir semua pensyarah yang mengajar agak ekstrim pandangan mereka. Bila diselidiki, sikap ekstrim mereka hanyalah berasaskan dari sumber sekunder oleh para guru mereka sewaktu belajar dahulu. 

Sebutlah mana-mana sumber yang mereka petik kebanyakkan tidak mewakili bahkan ada yang tidak ada kaitan langsung dengan pihak yang dituduh. Sehinggakan ada sumber yang dirujuk adalah terjemahan oleh agen CIA! Mungkin atas dasar 'thiqah', semua maklumat yang mereka terima tidak perlu dikaji lagi melainkan menerima dengan absolute. Pada sesetengah pihak, kajian demi kajian dibuat untuk menguatkan dapatan, bukan untuk tujuan pemurnian sumber. Lebih-lebih lagi wujud campur tangan-tangan gelap dalam badan politik.

Kegagalan untuk memahami realiti ini menjadi punca anak muda terpengaruh dengan agenda IS kononnya membela Sunni sekian lama di tindas oleh Syiah. Ironinya, memahami sepak terajang dunia global jauh lebih rumit daripada ilmu yang diajar di masjid dan surau. Tanpa disiplin ilmu yang tepat serta pengalaman yang baik, seseorang itu tidak dapat dianggap sebagai yang berautoriti dalam membicangkan sesuatu perkara itu. 

Bukan sekadar ilmuwan, bahkan kalangan Ulama pun ada yang 'tersilap' ijtihad hingga mengakibatkan ratusan ribu nyawa terkorban serta musnah sebuah negara. Dalam isu pergolakkan Timur Tengah, berdasarkan pembacaan terhadap sumber-sumber akademik, sehingga kini saya melihat analisis Tuan Guru Haji Abdul Hadi sentiasa selari dapatannya walaupun ia asing dari pandangan Ahli Majlis Kesatuan Ulama Sedunia yang lain dan asatizah PAS sendiri. Malangnya dalam isu ini, tidak ramai pula pihak hendak menyokong sepenuhnya pandangan beliau.

Berbalik soal PhD, tanpa dinafikan, PhD bukan ukuran utama semata-mata kerana ramai sahaja ilmuwan hebat dahulu tiada PhD. Pernah dikisahkan pensyarah saya dahulu, Syaikh Muhammad Abu Zuhrah ketika ditanya muridnya kenapa beliau tidak mempunyai PhD pada masa orang sekelilingnya sudah memiliki PhD. Katanya, "apakah aku masih perlu kepada PhD pada masa hampir kesemua pemegang PhD datang merujuk kepadaku dalam soal agama".

Memang benar, tetapi kita perlu tahu yang PhD itu hanyalah 'starter' semata-mata bukan penghabisan. Melalui pengalaman dalam penyelidikan selama bertahun barulah kita tahu bagaimana untuk menganalisa sesebuah maklumat itu dengan baik. Kajian atas kajian, teori atas teori, analisis atas analisis. Pengalaman ini hanya boleh dirasai setelah jerih payah menyiapkan tesis kedoktoran atau kesarjanaan dalam penyelidikan. Justeru usai PhD masih ada post-doc dan sabbatical leave sebagai kesinambungan daripada pengalaman yang dibina semasa PhD. Dengan kata lain, belajar itu tempohnya sepanjang hayat.

Sambung atau Tangguh

Bila mana bercakap soal buat PhD, ada dua keputusan yang ada; samada terus sambung atau tangguh seketika. Pada saya kedua-duanya ada kelebihan dan kekurangan, dan setiap orang berbeza perancangannya. Mengimbaui pengalaman menyiapkan tesis kesarjanaan (+ 1 monograf) hampir 3 tahun membuatkan saya rasa tangguh itu lebih baik. Namun hanya untuk seketika. Paling lama setahun kerana dikhuatiri 'mode' itu akan pergi tanpa kembali lebih-lebih lagi bagi mereka yang sudah selesa dalam alam kerjaya. Walaupun semak dan hutan belantara penyelidikan sudah ditebas, namun cabaran di hadapan tentu berbeza. Pada peringkat sarjana, kita berjaya mengagaskan sebuah teori atau keputusan yang natijahnya 'A'. Namun teori ini akan dikaji semula dan dimanifestasikan dalam bentuk model/modul yang boleh dimanfaatkan oleh masyarakat dan negara. Keputusannya mungkin boleh berubah kepada 'H' atau yang tidak pernah kita bayangkan.




Perjalanan Yang Panjang

Jika kita hendak ke UK, pasti banyak prosedur yang perlu dilalui. Waktu penerbangan sahaja memakan masa sehingga 12 jam, tidak masuk lagi dengan transit di mana-mana. Justeru, visa, kemudian pakaian yang bersesuaian, ubat-ubatan, bekalan makanan sementara serta duit perlu cukup. Kesemua bekalan adalah bergantung kepada tempoh masa yang kita ingin duduki. Semakin lama maka semakin banyak kuantitinya. Hal ini kerana dunia luar jika tidak biasa, akan jadi sangat terasing, baik kultur masyarakat, cuaca, makanan, dan sebagainya. Situasinya lebih mencabar kita kita pergi sebagai 'lone ranger'.

Maka lebih lagi dalam perjalanan dalam PhD. Perjalanan kita bakal lalui hakikatnya sebagai 'lone ranger' walaupun mungkin ada di samping kita ada pasangan hidup. Ironinya si suami/isteri sangat membantu jika memahami bebanan pasangan mereka dan terlalu besar pengorbanannya dalam menguruskan rumah tangga. Nasihat saya berdasarkan pengalaman sendiri selain dari membaca kisah rakan-rakan dalam DSG, berkahwinlah dahulu. Jika tidak, penyelia anda akan menjadi mangsa tempat meluah perasaan.

Selain dari persiapan luaran, persiapan dalaman juga penting - yang saya bahagikan kepada dua.

Persiapan pertama adalah dari sudut hubungan kita dengan Allah. Umumnya kita mengetahui bahawa ilmu dan hikmah itu milik Allah yang Dia berhak berikan kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Ilmu itu sifatnya cahaya dan fitrahnya hanya dapat menembusi hati dan fikiran yang jernih. Bagi hati dan fikiran yang dinodai dengan maksiat, maka amat sukarlah cahaya ilmu itu hendak tembus. Kisah nasihat Waqi' kepada muridnya Imam al-Syafie sepatutnya menginsafkan kita. 



Manakala yang kedua adalah persediaan dari sudut penguasaan sesebuah bidang ilmu itu. Ilmu itu tidak semestinya ilmu agama atau disampaikan oleh sarjana Islam, bahkan saya berpegang daripada mana sahaja ia datang, maka ia berhak untuk dipelajari. Dalam proses belajar, akan berlaku penerimaan dan penolakkan.

Jika hanya obses kepada ilmu hanya kepada Islam semata-mata tanpa menyedari sumbernya daripada Tuhan, maka tidak akan ada nama seperti al-Khawarizmi, Ibn Haytham, al-Biruni, Ibn Firnas, Ibn Sina dan ribuan tokoh yang rata-rata daripada mereka 'belajar' daripada sumber bukan Islam. Sarjana Barat dalam hal ini tidak pernah malu mengakui yang mereka terhutang kepada sarjana Islam, Antaranya W.E. Hocking (1873-1966) seorang professor Falsafah di Harvard pernah berkata, "aku yakin dengan pandanganku bahawa al-Quran mempunyai banyak ajaran yang diperlukan untuk mengembangkannya. Maka dapatlah dikatakan bahawa sehingga abad ke-13, Islam-lah yang membawa semua kemajuan yang dibanggakan oleh dunia Barat. Menariknya, Putera Wales (HRH The Prince of Wales) tidak kekok mengungkapkan perkara ini ketika menyampaikan ucapan bertajuk 'Islam and the West' di Oxford Centre for Islamic Studies: 

"...we have underestimated the importance of 800 years of Islamic society and culture in Spain between the 8th and 15th centuries. The contribution of Muslim Spain to the preservation of classical learning during the Dark Ages, and to the first flowerings of the Renaissance, has long been recognised. But Islamic Spain was much more than a mere larder where Hellenistic knowledge was kept for later consumption by the emerging modern Western world. 

Not only did Muslim Spain gather and preserve the intellectual content of ancient Greek and Roman civilisation, it also interpreted and expanded upon that civilisation, and made a vital contribution of its own in so many fields of human endeavour - in science, astronomy, mathematics, algebra (itself an Arabic word), law, history, medicine, pharmacology, optics, agriculture, architecture, theology, music. Averroes and Avenzoor, like their counterparts Avicenna and Rhazes in the East, contributed to the study and practice of medicine in ways from which Europe benefited for centuries afterwards. Islam nurtured and preserved the quest for learning. In the words of the tradition, 'the ink of the scholar is more sacred than the blood of the martyr'. Cordoba in the 10th century was by far the most civilised city of Europe. 

We know of lending libraries in Spain at the time King Alfred was making terrible blunders with the culinary arts in this country. It is said that the 400,000 volumes in its ruler's library amounted to more books than all the libraries of the rest of Europe put together. That was made possible because the Muslim world acquired from China the skill of making paper more than 400 years before the rest of non-Muslim Europe. Many of the traits on which modern Europe prides itself came to it from Muslim Spain. Diplomacy, free trade, open borders, the techniques of academic research, of anthropology, etiquette, fashion, various types of medicine, hospitals, all came from this great city of cities. 

Medieval Islam was a religion of remarkable tolerance for its time, allowing Jews and Christians the right to practise their inherited beliefs, and setting an example which was not, unfortunately, copied for many centuries in the West. The surprise, ladies and gentlemen, is the extent to which Islam has been a part of Europe for so long, first in Spain, then in the Balkans, and the extent to which it has contributed so much towards the civilisation which we all too often think of, wrongly, as entirely Western. Islam is part of our past and our present, in all fields of human endeavour. It has helped to create modern Europe. It is part of our own inheritance, not a thing apart."

Tokoh-tokoh ilmuwan Barat yang merintis enlightenment di Barat seperti Adelard of Bath, Peter Abelard, Robert Grossetteste, Alexander of Hales, Albertus Magnus, St. Thomas Aquinas tidak segan menjadi pelajar kepada ilmuwan Islam yang agung. Umpamanya Adelard of Bath (1080 – 1152M) pada kurun ke-12 dikatakan sempat belajar daripada Imam al-Juwaini (1028-1085M) bahkan asas teori algebranya sendiri berpasak daripada teori al-Khawarizmi. 




Justeru sehingga kini, saya belum menemui argumen yang kukuh tentang adanya pemisahan atau wujudnya istilah ilmu 'kafir' atau ilmu 'Islam'. Pemisahan antara mana-mana disiplin ilmu kerana terlalu obses dengan pandangan sendiri hanya merugikan umat. Dalam peristiwa Khandak, Nabi s.a.w. suka kepada ilmu (strategi) menggali parit daripada tamadun Parsi yang diperkenalkan oleh Salman al-Farisi. Natijahnya umat Islam memperolehi kemenangan.

Kerana itu dunia perkembangan ilmu pengetahuan hari ini dipelopori oleh Barat baik dengan disiplin ilmu yang hebat serta teknologi yang canggih. Sementara dunia ilmu Islam masih 'terperangkap' dengan soal hukum tanpa ada kesudahan. Bukanlah tidak penting soal hukum, tetapi asas ajaran yang dibawa oleh Nabi melebihi soal hukum. Soal pengurusan pentadbiran yang baik, pengurusan harta negara, sistem pendidikan yang baik, kelengkapan teknologi peperangan, kesemuanya falsafah ilmu yang bertungjangkan wahyu. Ibarat roda berputar dan masanya Islam sedang berada di bawah. Banyak faktornya, antara yang utama adalah kerana umat Islam meninggalkan ajaran Islam dan kerap 'Wrong Number'.

Selari dengan apa yang pernah diungkapkan oleh Syaikh Muhammad Abduh usai pengembarannya daripada dunia Islam dan Barat, "Ketika aku di Barat, aku mendapati Islam tanpa Muslim dan ketika aku di negara Arab, aku melihat Muslim tanpa Islam.

Oleh yang demikian, saya berpandangan amat rugi bagi mereka yang hendak sambung PhD bermula daripada 0 atau 'nothing'. Kurang tepat jika selepas mendaftar baru hendak mencari tajuk (melainkan buat MA coursework), atau masih tidak clear apa bahan yang hendak dibaca dan dibuat literatur. Lebih malang lagi jika tidak ada pengetahuan asas tentang apa yang hendak dikaji. Bercakap soal PhD adalah soal kualiti sepanjang tempoh 3 tahun, justeru perlu kepada visi dan misi yang jelas. Jika sebelum ini tajuk adalah pilihan penyelia, maka cukuplah setakat MA sahaja, mainkan memang itu pilihan hati kita.





Topik Tumpuan Kajian Masakini: Populariti atau Prioriti

bersambung...


Thursday, 21 August 2014

Muhasabah Buat Pra-Sarjana

Pejam celik, pejam celik, hari ini sudah masuk hari ketiga semester I 2014/2015 memasang tirainya. Ada sebahagian kita yang fasa pengajiannya telah sampai ke penghujungnya, ada juga yang telah berjaya menamatkan dan bakal bergelar graduan pada November ini. Tahniah diucapkan kepada yang berjaya. Kepada yang masih dalam proses pembelajaran, moga terus istiqamah. Pastikan kita sentiasa on the right track walaupun dikekang pelbagai komitmen dan urusan yang bersifat sampingan. Yakinlah bahawa di sebalik ranjau dalam menuntut ilmu ini bakal disusuli dengan 1001 hikmah dan fadhilat, sama ada kita sedari atau tidak sahaja. 


Pembeza antara kaca dan permata

Semakin lama seseorang itu mendalami sesuatu ilmu, maka semakin tinggi tahap pengetahuan serta pengalamannya. Dan ilmu pengetahuan yang benar ini tidak dapat dicapai melainkan melalui proses menuntut. Adapun melalui jalan sebaliknya seperti melalui lambakan maklumat pengetahuan di laman sosial facebook, whatsupp, blog dan sebagainya terdedah kepada manipulasi dan pencemaran, tanpa dinafikan wujudnya sebahagian yang bersifat benar dan bermanfaat. Tanpa ilmu, seseorang itu tidak boleh membezakan antara kaca dan permata. 

Dasar kepada ilmu itu tidak boleh dibina dengan persepsi dan asumsi, tetapi berdasarkan fakta dan kajian yang autentik. Hal ini juga membezakan antara seorang sarjana dengan orang awam. Seorang sarjana yang bertanggungjawab dengan ilmunya lebih suka untuk berdiam dari membicarakan sesuatu yang luar dari bidangnya, berbanding dengan orang awam yang lebih suka untuk bercakap semua bidang semahunya, waima agama, politik, ekonomi, dan seumpamanya. Sikap suka berlagak sebagai ‘pakar’ atau wartawan segera yang sering bercakap tanpa ilmu ini ditempelak oleh al-Quran:

وَمِنَ ٱلنَّاسِ مَن يَشۡتَرِي لَهۡوَ ٱلۡحَدِيثِ لِيُضِلَّ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِ بِغَيۡرِ عِلۡمٖ وَيَتَّخِذَهَا هُزُوًاۚ أُوْلَٰٓئِكَ لَهُمۡ عَذَابٞ مُّهِينٞ ٦ 

“Dan ada di antara manusia yang menjual percakapan-percakapan yang melalaikan; untuk menyesatkan dari agama Allah tanpa didasarkan dengan ilmu pengetahuan dan menjadikan agama Allah itu sebagai olok-olokan; merekalah orang-orang yang akan beroleh azab yang menghinakan.” (Surah Luqman 31: 6)

Justeru, didiklah diri kita supaya jauh dari sikap ‘serba tahu’ ini. Jika kita jahil tentang sesuatu perkara, maka rujuklah kepada ahlinya. Misalnya orang yang berkecimpung dalam bidang pengajian Islam dengan pengkhususan Usuluddin. Sudah tentu dia bukanlah seorang yang berkelayakan untuk membincangkan soal politik, ekonomi dan isu-isu lain selain bidang Usuluddin, sesuai dengan jangkauan ilmunya. Dalam bidang Usuluddin sekalipun, tidak semua subjek yang dia boleh bincangkan secara mendalam seperti mana subjek yang menjadi tumpuan utamanya. Lainlah dia menekuni semua bidang tersebut sedalam dalam satu tempoh yang lama. Dan itu jarang berlaku pada zaman kita, berbanding dengan tradisi para ilmuwan Islam terdahulu yang dapat menguasai lebih dari satu disiplin ilmu seperti Ibn Sina, al-Haythami, al-Khawarizmi dan tokoh seangkatan mereka. 


Kegemilangan yang dicapai mereka dalam segenap bidang selaras dengan tuntutan agama ini ke atas penganutnya supaya melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan. Bahkan sejak di bangku sekolah dahulu kita sering mendengar Hadis supaya menuntut ilmu sehingga liang lahad, menuntut ilmu merupakan kefardhuan kepada Muslim, dan (‘hadis’) menuntutlah ilmu sehingga ke negeri China. Islam begitu menitik beratkan soal ilmu kerana hanya ia mampu mengangkat darjat seseorang dari kehinaan kepada kemuliaan. Sayidina Ali r.a, tatkala ditanya sahabatnya; antara ilmu dan harta mana yang lebih berharga? Maka beliau yang disifatkan oleh Nabi sebagai Bab al-‘Ilm (sebagaimana dalam Hadis Riwayat al-Hakim) memberikan sembilan jawapan;

  1. Ilmu adalah pusaka para Nabi, sementara harta adalah pusaka Qarun, Firaun dan pendamba nafsu.
  2. Ilmu lebih berharga dari harta kerana ilmu itu menjagamu sementara harta kamu yang perlu menjaganya.
  3. Harta itu jika digunakan maka ia semakin berkurangan sementara ilmu itu jika digunakan maka ia semakin bertambah.
  4. Penyimpan harta selalunya digelar sebagai kedekut dan bakhil, sementara penyimpan ilmu akan digelar dengan kemuliaan.
  5. Pemilik harta itu mempunyai ramai musuh sementara pemilik ilmu mempunyai ramai sahabat.
  6. Harta itu di akhirat akan dihisab sementara orang berilmu diberi syafaat.
  7. Harta itu kesudahannya akan hancur sementara ilmu sentiasa akan berkekalan walau ditimbun zaman.
  8. Harta selalunya akan membuatkan hati manusia menjadi gelap sementara ilmu membuatkan hati manusia bercahaya.
  9. Orang berharta (ada yang sehingga) merasakan dirinya sebagai Tuhan, sementara orang berilmu sentiasa menyedari hakikat kehambaannya.


Variasi Nawaitu

Selepas bergelar graduan sarjana muda, ada yang mengambil keputusan untuk bekerja, dan ada juga yang berhasrat untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi, iaitu di peringkat MA dan seterusnya PhD. Di sana terdapat beberapa nawaitu yang menjustifikasikan hasrat menyambung pengajian tersebut, antara yang biasanya;

Pertama, ada yang menyambung pengajian kerana untuk meningkatkan taraf hidup kepada yang lebih baik. Dan lazimnya ia tanggapan ramai pihak kononnya dengan memiliki ijazah yang tinggi, maka tangga gajinya juga tinggi. Barangkali terkesan dari kenaikan taraf hidup saban tahun. Seperti mana yang kita maklum, tahun depan kerajaan akan melaksanakan GST, dan ia mengundang kenakan harga barangan. Kononnya tidak semua barang yang dikenakan GST, walhal implikasinya melibatkan hampir semua barangan. Baru-baru ini ketika Saya berkunjung ke Pasar raya Giant Bangi, seorang broker rumah cuba menghasut rakan yang menemani supaya segera membeli rumah. 

Antara justifikasi yang dibuat adalah kerana GST akan menyebabkan harga rumah meningkat sebanyak 10% sebaik sahaja ia dilaksanakan. Ironinya begitulah. Bahkan dalam konteks semasa harga rumah khususnya di bandar-bandar mencecah setengah juta paling minimum. Saya difahamkan di Bandar Baru Bangi sendiri agak mustahil untuk berjumpa dengan rumah yang harganya kurang dari sejuta. Jika sudah mempunyai rumah, pasti perlu kepada kenderaan. Itu tidak termasuk dengan puluhan senarai keperluan untuk sara hidup dan hutang pengajian yang sentiasa menunggu untuk dibayar. Bagi yang berkeluarga, maka ia berlipat kali ganda kosnya. Tekanan hidup yang berlaku ini akhirnya mendorong sebahagian pihak untuk menyambung pengajian dengan harapan taraf hidup dapat meningkat, walhal realiti yang berlaku kebanyakannya berbeza.

Kedua, kerana pangkat dan title sarjana/Dr. Maklumlah dengan kelulusan yang tinggi lazimnya kerjaya yang paling signifikan adalah pensyarah atau setidak-tidaknya penyelidik di institusi yang ternama. Jika mempunyai soft skill yang luar biasa, boleh membuka konsultan peribadi. Hal ini kerana kelayakan yang tinggi selalu menjadi kayu pengukur pada mata masyarakat. Jadi jangan pelik mengapa ada pihak yang sanggup menghabiskan ratusan ribu ringgit wang untuk membeli sijil doktor falsafah melalui ‘pintu belakang’. Kebanjiran doktor atau pemegang PhD jadian ini boleh menyebabkan berlakunya pencemaran pada sudut disiplin ilmu tersebut. Manakala di kalangan mereka yang menyambung kerana mendambakan title sedemikian, tidak akan merasa puas selagi mana tidak dapat mencapai tahap yang maksimum. 

Selepas mendapat title Dr, diburu pula title Prof. Madya, full Prof, diikuti gred C, B, A. Tidak cukup itu, gelaran Dato’, Tan Sri dan seumpamanya cuba diraih seboleh mungkin. Pokok pangkalnya kerana mengejar pangkat supaya nama lebih laku di mata masyakat. Saya teringat beberapa bulan yang lalu seorang wanita membawa suaminya ke hospital yang di serang strok. Keadaan suaminya sepatutnya terus dihantar ke wad ICU. 

Malangnya ketika wanita tersebut hendak mendaftarkan suaminya, dia disuruh pulang dan tunggu sehingga beberapa minggu baru dipanggil semula untuk rawatan. Geram dengan sikap birokrasi tersebut, ketika jururawat tersebut meminta contact no., dia menyerahkan business card-nya. Lalu dengan tersengih kemalu-maluan, jururawat itu berkata, “Oh, Prof Datin Paduka yer. Maaf yer. Datin, duduklah dahulu, sekejap lagi saya panggil”. Mendengar ngomelan sang Prof itu, menggambarkan realiti yang berlaku dalam masyarakat kita. Bahkan banyak kes yang serupa yang menunjukkan birokrasi dalam layanan. Layanan diutamakan kepada yang mempunyai nama dan pangkat. 


Agaknya jika wanita tadi adalah makcik cleaner, pasti suaminya sudah menemui ajal sebelum sempat mendapat rawatan. Apa yang ingin ditekankan, Islam tidaklah menghukum salah kepada mereka yang menerima kenaikan pangkat dan anugerah selagi mana ia diperoleh dengan cara yang betul, sesuai dengan kelayakannya dan bukan jenis meminta-minta. Lebih-lebih lagi jika tidak dapat apa yang dihajati, dia merajuk atau kalau dalam parti politik akan lompat parti. Justeru diperingatkan bahawa jangan sampai menjadikan matlamat menuntut ilmu itu kerana mendambakan pangkat dan gelaran.

Ketiga, untuk mengisi kekosongan disebabkan status masih single (belum berkahwin atau belum ‘settle’). Nawaitu ini mungkin jarang berlaku tetapi realitinya tidak dapat dinafikan. Lazimnya apabila seseorang itu tamat sahaja pengajian di peringkat pertama, ibu bapa pasti akan menyuruh anaknya khususnya perempuan untuk mendirikan rumah tangga. Maklumlah umur semakin lama semakin meningkat. Katakan, tamat belajar umur 24 atau 25 tahun (kebiasaan). Tanpa dinafikan bahawa orang dahulu pada usia ini sudah mempunyai 4-5 orang anak, hakikatnya tidak boleh disamakan konteks dahulu dengan sekarang atas banyak faktor. Namun untuk golongan ini, apa pilihan yang ada jika status yang masih kabur atau kerana mahu mengubat hati yang terluka. 

Justeru jalan alternatif yang ada adalah dengan menyambung pengajian. Kononnya akan terselamat dari taklifan atas desakan orang berdekatan. Nawaitu ini juga salah kerana tujuan menuntut ilmu itu bukan sekadar memenuhi kekosongan hidup kerana tidak berkahwin. Jika ia dipusatkan kerana itu, maka lazimnya proses pengajian tersebut tidak menjadi, sama ada disebabkan seruan untuk berkahwin hadir secara tiba-tiba ataupun kontradik dengan perancangan rumah tangga. Hendak mengisi kekosongan hidup kerana tidak berkahwin sebaiknya adalah dengan mencari cinta hakiki terlebih dahulu sebelum cinta manusiawi. Dengan demikian akan membimbing hala tuju yang sebenar dan dimudahkan segala urusan kehidupan.


Nawaitu keempat adalah kerana terpaksa, khususnya kerana ibu bapa yang suruh. Realiti ini mungkin kita biasa dengar di kalangan orang berada atau yang hartanya tidak habis sampai 7 keturunan. Ataupun golongan raja, sultan khususnya dari negara Arab. Lazimnya disebabkan tahap kesedaran yang rendah untuk menambah ilmu pengetahuan. Sekalipun ada sijil, cukuplah sekadar cukup makan. Semasa degree, buat assignment dan latihan ilmiah pun bayar pihak lain yang buat. Bila sambung MA, buat di oversea yang berbentuk coursework. Masa PhD, lantik mana-mana pensyarah untuk tuliskan thesis dari A-Z, kemudian pulang dengan title Dr. 

Pernah Saya diberitahu. Salah seorang pemeriksa luar untuk tesis seorang calon PhD di UK mengesyaki ada unsur plagiat dalam tesis yang diperiksa. Tidak puas dengan kandungan thesis tersebut, pemeriksa luar tersebut menghubungi penyelianya untuk mengetahui asal usul calon tersebut dan latar belakangnya. Sebaik sahaja diberitahu bahawa calon PhD tersebut adalah daripada negara Arab, pemeriksa tersebut terus menghubungi pemeriksa yang lain kerana sepanjang pengalaman dan pengetahuannya, amatlah mustahil bagi mana-mana pelajar daripada negara Arab untuk menghasilkan tesis sedemikian kualiti. Sejurus selepas dibuat pemeriksaan lanjut, ternyata thesis-nya itu 100% diplagiat dari tesis orang lain. Apa yang lebih aneh, bagaimana thesis tersebut boleh ‘terlepas’ dari tapisan penyelianya? 

Berbalik kepada nawaitu keterpaksaan tadi, sedarlah jika kita melakukan sesuatu kerana terpaksa maka kita yang rugi, bukan pihak lain. Sepatutnya apa yang kita lakukan bukan kerana siapa-siapa atau kerana terpaksa, tetapi biarlah kerana kehendak diri kita sendiri untuk belajar semata-mata kerana Allah.


Nawaitu yang kelima adalah kerana mengharapkan redha Allah. Inilah yang terbaik kerana langsung tidak disandarkan kepada keempat-empat nawaitu yang dibincangkan sebelum ini. Bila nawaitu dipusatkan kerana Allah semata-mata, maka tidak dipedulikan berubahnya keadaan hidup, beroleh pangkat atau tidak, telah mendirikan rumah tangga atau masih bujang, dan apa yang dilakukan bukan kerana paksaan, melainkan kemahuan sendiri. Kesemua yang bersifat mendatang itu lambat laun akan hadir. 

Jika dapat maka bersyukur, jika tidak dapat maka ia tidak menjejaskan kualiti keazaman untuk meningkatkan ilmu pengetahuan. Menyambung pengajian hanyalah wadah untuk belajar. Ibarat tiket yang bercop rasmi. Hasrat belajar yang berpasak dari seruan Quran dan Sunah, tidak terhenti di medan kampus atau dunia akademik semata-mata. Bukan sekadar penghasilan jurnal dan makalah akademik untuk melengkapkan syarat bergraduasi dan KPI. Bukan sekadar menjadi pembentang kertas kerja dalam seminar dan kolokium yang bersifat eksklusif kepada ahli akademik semata-mata. Bukan sekadar berpeluang terbang keluar negara dengan kos yang tinggi. 

Akan tetapi manifestasi ilmu yang dikuasai sampai kepada seluruh masyarakat di segenap peringkat, baik secara langsung atau tidak. Bukan ilmu yang bersifat teori semata-mata, tetapi lebih kepada aplikasi. Tidak janggal untuk bercampur dengan masyarakat, jauh sekali untuk memiliki keangkuhan lantaran ketinggian ilmu yang dimiliki, kerana keyakinan bahawa ia hanyalah secebis dari lautan ilmu Allah yang sangat luas. Jika demikian nawaitu kita menyambung pengajian ke tahap yang lebih tinggi, iaitu untuk membangunkan ummah dan memapankan gerak kerja gerakan Islam, maka kitalah merupakan golongan yang paling beruntung. Tidak lain dan tidak bukan kerana menepati matlamat utama ilmu itu sendiri.


Kesimpulannya, renung-renungkan di mana posisi kita berada; sama ada pada nawaitu yang pertama, kedua, ketiga, keempat, atau kelima? Jika tersalah dan terkhilaf nawaitu, masih belum terlambat untuk diperbetul dan dimurnikan. Sentiasalah meng-islah azam dari masa ke semasa dalam menuntut ilmu. Paling penting, amalkan ilmu yang diperoleh, biarpun sedikit kerana ia lebih baik dari mempunyai ilmu segunung tinggi namun jauh dari pengamalan. Sekadar di sini sahaja, insha-Allah bertemu pada coretan berikutnya pada masa-masa yang akan datang. Wallahu’allam dan Wassalam. 

Wa fi amanillah.

Sg. Merab | 21 Ogos/25 Syawal | 3: 27 am

Saturday, 28 June 2014

Ramadhan Kareem 1435H


Bismillah..

Fikrah terkadang khilaf...
Lisan terkadang kurang terjaga...
Janji terkadang tidak ditunai...
Hati terkadang berprasangka..
Sikap terkadang mengguris...

Ramadhan ini pasti akan lebih bermakna jika adanya kemaafan antara kita. Jika kita mengimpikan sesuatu yang mustahil, samada untuk mencapai semaksimumnya kejayaan dalam kerjaya, dunia akademik, membina keluarga, dan seumpamanya, maka manfaatkah 1/3 malam dengan rintihan dan dambaan kepadaNya. 

Percayalah, tiada yang mustahil di sisi-Nya lebih-lebih lagi kita dipilih Allah untuk menjadi tetamu malam al-Qadar. Walaupun begitu, jangan jadikan Tuhan itu sebagai tempat hanya untuk 'melepaskan' hajat semata-mata, kerana apa yang Dia anugerahkan tidak lain dan tidak bukan adalah kerana rahmat-Nya ke atas kita. Sebaliknya, lakukanlah ibadah kerana untuk meraih redha dan untuk lebih taqarrub kepada-Nya.

Selamat menyambut bulan Ramadhan 1435H dengan penuh penghayatan.

Wassalam

Sunday, 15 June 2014

Isu dan Kajian: Sebuah Perspektif (Berwajah Baru)

Bismillah wa Alhamdulillah

Agak lama tidak mencoret di sini. More than three months. Perhaps, it is normal for those who is in the final phase in term to complete a thesis, besides some sort of RA jobs. Alhamdulillah, selepas hantar full draft untuk fasa ke-2 dan menyiapkan beberapa artikel, dapatlah juga ‘bernafas’ buat seketika bagi memberi tumpuan yang lebih kepada perkara-perkara yang lain. Justeru terfikir untuk merealisasikan hasrat yang agak bertahun lamanya untuk melakukan sedikit dekorasi pada blog ini, supaya lebih bersemangat untuk menulis. Walaupun dekorasi blog ini masih dalam proses, saya berpandangan ada baiknya usaha untuk menyambung penulisan diteruskan. Dengan menulis, idea dapat dikembangkan dengan lebih meluas. Hendak menulis memerlukan kepada ilmu, tidak boleh semberono dan ‘menurut perspektif hati’ semata-mata. Setiap masa ada sahaja isu baru yang timbul. Ada isu yang kita tahu, tetapi tidak semestinya kita perlu ulas dan bincangkan, lebih-lebih lagi itu tersebut bukan bidang kepakaran kita. Itulah disiplin ilmu dalam dunia sarjana. Bahkan dalam al-Quran sendiri melarang kita untuk membicarakan sesuatu tanpa ilmu pengetahuan dan mengikut hawa nafsu. Malangnya kebanyakannya bertindak sebaliknya. Asal rasa puas dan ramai pengikut.


Secara peribadi, saya juga suka mengulas isu-isu semasa, khususnya yang selari dengan minat. Sekalipun demikian, saya tidak akan menulis tentangnya, melainkan setelah melakukan kajian secara mendalam. Justeru, perlu suatu tempoh yang agak lama untuk menghadamkan pelbagai pandangan dari pelbagai pihak. Sumber-sumber yang terdedah kepada manipulasi seperti gambar dan video (baca: YouTube) lebih-lebih lagi sukar untuk dipercayai bulat-bulat. Dalam menerima apa juga sumber, umat Islam seharusnya bersikap kritis, tidak kira sama ada daripada rakan mahupun lawan. Bukan kerana pihak yang kita sokong, kita menjadi Mr Yesman ke atas setiap kata-kata mereka, sementara pihak yang kita tidak sependapat, awal-awal lagi kita sudah pejam mata. Islam tidak pernah mengajarkan sedemikian. Apa pun, dalam entri ini saya tidaklah hendak mengulas isu-isu tersebut, baik apa yang berlaku di Syria, mahupun di Iraq yang terkini. Apa pun saya percaya, Ulama Rabbani Haraki yang seorang di Malaysia ini lebih berautoriti untuk membincangkannya. 

Artikel beliau di sini, sini, dan sini seharusnya menyedarkan kita, dan boleh bersikap matang seperti ini dan ini, malangnya ramai yang tidak ambil cakna. (Ya, saya tahu tahu dan saya dapat lihat ratusan ribu sumber tersebut, namun perlu diingatkan bahawa di sana banyak juga sumber yang menyatakan sebaliknya. Justeru bersikap adil dan kritislah dalam menilai apa jua sumber yang diperolehi). Dan apa yang saya cukup bersyukur, setakat penelitian terhadap kajian akademik dengan fakta yang dikemukakan beliau, cukup tele. Oleh itu, saya tetap dengan pendirian saya melainkan ada dapatan yang lebih kuat untuk menolaknya. Untuk bercakap pasal isu global yang berlaku bukan semudah men-like atau share di facebook. Kerana banyak ilmu perlu kita kuasai, antaranya; kemahiran membaca pemikiran musuh, ilmu propaganda, faham perspektif Ulama Haraki dan gerakan Islam (termasuk yang jadi-jadian). Bukan semberono ambil mana yang kena dengan fikrah kita semata-mata. Berada di tempat kejadian tidak semestinya tidak terlepas dari permainan musuh. Kebiasaannya, orang yang berada di bawah tidak nampak apa yang ada di atas. Sebab itu perlu kepada westanchauung yang lebih berautoriti dan menguasai ilmu yang dinyatakan tadi.

Dalam sumber IDF (Israel Defense Force), Zionis tidak pernah membezakan musuhnya samada Sunni atau Syiah. Malangnya kebanyakan umat Islam terkeliru memakan propaganda musuh.

Justeru, jauh sekali saya untuk mempercayai bulat-bulat kata-kata mana-mana pihak waima title ‘Ustaz’ atau ‘Ulama’ sekalipun. Bukan apa, saya lebih khuatir dengan ‘Ustaz’ dan ‘Ulama’ jadi-jadian pada akhir zaman yang lebih banyak bawak fasad dan menimbulkan fitnah. Mereka bukan calang-calang, ada yang hafaz al-Qur’an, hafaz Hadis ratusan ribu, nama masyhur di mana-mana. Malangnya itu bukan jaminan, kerana agama itu hanyalah topeng semata-mata untuk kepentingan mereka. Justeru jangan berasa hairan, mulut-mulut mereka tidak pernah letih untuk mengajarkan pengikut mereka melaknat dan menghalalkan darah pihak yang berlainan pandangan. Fatwa kafir mudah-mudah dijatuhkan dengan penuh bangga. Pada saya, jika seorang Ulama atau Ustaz yang jenis kaki pelaknat dan fitnah, maka tidak usah pergi jauh untuk bercakap soal keadilan dan kezaliman. Dalam soal basic pun dia telah gagal, apakah layak untuk bercakap soal yang besar. Hakikatnya dia perlu terlebih dahulu bersikap adil terhadap dirinya. Perihal ‘Ustaz’ dan ‘Ulama’ jadi-jadian ini, dalam sebuah Hadis yang diriwayatkan oleh al-Dailami, Nabi s.a.w bersabda:

Maksudnya: “Di antara tanda hampirnya hari kiamat adalah ramainya para khatib di mimbar-mimbar dan ulama yang bersama-sama pemerintah kalian (bersetongkol dengan kezaliman). Lalu mereka menghalalkan yang haram demi penguasa itu dan mengharamkan yang halal demi mereka. Mereka memberi fatwa sesuai dengan syahwatnya. Ulama-ulama kamu mengajar agar untuk mendapatkan dinar dan dirham serta menjadikan al-Quran sebagai kepentingan pembicaraan mereka” 

Gambar 'hiasan'

Jujurnya, pengalaman saya meneroka dunia luar banyak membantu untuk memahami pelbagai perkara. Hal ini kerana terdedah dengan lebih banyak maklumat dan kajian yang lebih berautentik. Contoh yang mungkin saya pernah sebutkan di mana-mana, negara kolonialis Barat, sebelum mereka menjajah negara umat Islam, mereka telah menghantar penyelidik-penyelidik mereka ke negara tersebut puluhan tahun sebelum itu. Dari sini, puluhan kertas kerja dan artikel diterbitkan untuk rujukan pihak penjajah. Sebab itu kita tidak pernah dengar mereka tidak pernah gagal. Hasil kajian ini mereka tidak lupuskan, sebab mereka selalu belajar dari sejarah, tidak seperti kita umat Islam. (Maaf cakap) Yang ramainya malas membaca dan mengkaji untuk meluaskan ilmu pengetahuan. Bab copas dan mengikut secara meng-cadbury buta No.1. Sepuluh kali masuk lubang biawak pun tidak pernah serik. Lebih menghairankan boleh pula di publik bercerita mahu menjadi generasi al-Fateh, pada masa sama menjadi pelanggan setia McD. Semoga Allah mengampunkan kebodohan dan keangkuhan kita.


Cukup sekadar itu untuk entri kali ini. Seribu kemaafan jika ada yang tersinggung. Sekadar nasihat dan menyampaikan apa yang sepatutnya, khususnya untuk peringatan diri sendiri. Apa yang saya belajar tentang metode ‘Hikmah’ dalam al-Qur’an, tidak semestinya bersifat lembut, kerana ada masanya perlu tegas untuk membangunkan jiwa yang lelap. Demikian juga pendekatan dalam al-Quran, tidak semuanya ayat berbentuk ‘basyir’, kerana ada juga ayat yang berbentuk ‘nazir’. Namun kedua-duanya bermatlamatkan untuk menyedarkan manusia. Insha-Allah, ada rezeki kita bersua lagi dalam entri-entri yang akan datang. Mungkin saya akan memberi tumpuan yang lebih kepada bidang yang diceburi buat masa ini. Wallahu'alam.


Salam hormat dari penulis,

Faiz As-Syirazi
Bangi

Monday, 17 March 2014

Malaysia: Misteri Talbis Iblis...

Tatkala sebahagian tempat penghuninya memohon rahmat Allah, baik dalam isu MH370, jerebu, kemarau, dan segala ujian yang lain, sebahagian tempat yang lain memohon amarah Allah dengan penganjuran konsert yang begitu dahsyat bentuk maksiatnya. Barangkali, jika tiada kes kematian, maka saban tahun program mungkar sebegini akan berterusan tanpa ada 'gangguan'.

Simbol yang cukup dikenali?

Bila dibuat sedikit review mengenai Future Music Festival yang berlangsung dengan jayanya baru-baru ini, dapatannya cukup membimbangkan dan menyedihkan. Bukan sahaja para peserta yang rata-rata pakaian mereka yang mengaibkan, bahkan dengan pergaulan lelaki dan perempuan dari pelbagai negara termasuk Barat, dalam aktiviti-aktiviti maksiat. Bayaran ratusan ringgit pada mereka cukup berbaloi dengan sajian dengan artis-artis rap dan pop dari Barat. 


Apa yang lebih menggerunkan, sebahagian dalam kalangan mereka artis tersebut bukanlah yang 'biasa-biasa', kerana sebahagian besarnya adalah daripada penyembah illuminati, samada secara sedar atau tidak. Waima sejauhmana dalam kalangan kita hendak menafikan kewujudan 'mereka', hakikatnya adalah mustahil. (Cubalah ambil masa sedikit dengan membuat kajian mendalam mengenai setiap latar belakang kumpulan ini. Bahkan kebanyakan bentuk hiburan seperti K-Pop, Justin Bieber, Lady Gaga, Rihana, dan artis Barat yang lain dilihat mengandungi unsur yang sama. Maka tidak hairanlah jika ramai yang seolah-olah 'disihir' dengan lalu-lagu mereka. Hakikat yang perlu disedari, ia hanyalah sebahagian dari senjata mereka dalam memusnahkan tamadun manusia)

Konsert 'amal'?

Bahkan sejak dahulu Nabi telah mengajarkan umatnya supaya sentiaa membaca doa meminta perlidungan daripada fitnah mereka. Signifikannya, jika Nabi sebut tugas dajal itu menyesatkan manusia, maka demikianlah apa yang dibawa mereka dalam menyesatkan anak-anak muda pada hari ini. Justeru, anak-anak muda ditawar dengan keseronokan dan hiburan tanpa ada batasnya.


Mengimbaui beberapa bulan pengalaman di UK menyedarkan saya tentang banyak perkara. Di sana salah satu yang menjadi ancaman kepada masyarakat beragama adalah Sekularis-Humanist atau boleh dianggap sebagai atheist. Golongan inilah yang menyebarkan fahaman menolak kewujudan Tuhan. (Fahaman mereka dapat disoroti dengan baik menerusi penglibatan dalam group diskusi mereka)

Pada mereka memadailah akal sebagai penentu kepada segala tindakan samada baik atau buruk. Justeru, golongan ini bebas untuk memperlekehkan mana-mana ajaran agama (khususnya Kristian, kerana pada mereka Islam itu sudah terlalu banyak dipropagandakan) yang dilihat tidak relevan dan bercanggah dengan teori-teori sains. 

Implikasinya cukup besar. Apabila masyarakat tiada 'ikatan' dengan sebarang agama (walaupun agama itu dianggap menyeleweng), maka hidup mereka tidak ubah dari seperti seekor haiwan yang sekadar hidup untuk mencari makan, pergi/pulang kerja, dan akhirnya tua dan mati. Hendak 'mengawan' bebas bila-bila masa, selagi mana ia dipersetujui oleh kedua-dua pihak.


Lantaran jauhnya mereka dari matlamat hidup yang digariskan oleh agama, mereka mencari alternatif untuk mengisi kekosongan hidup mereka. Antaranya termasuklah dengan membuat pelbagai filem hollywood untuk ditonton di pawagam pada hari minggu, penganjuran konsert-konsert gig yang besar, penyediaan kelab-kelab malam yang menawarkan £ 1.00 untuk minuman arak sepanjang malam beserta layanan GROs, aktiviti seks bebas dan luar tabii, dan sejumlah kenistaan yang lain. Di atasnya tidak lain dan tidak bukan ditaja oleh pendamba Illuminati atau pemuja syaitan itu sendiri. Lebih malang, mereka berjaya meluaskan 'jajahan' mereka ke negara ini, menerusi aktiviti-aktiviti yang hampir sama modus operandinya.

Sememangnya tidak wajar 100% untuk kita menyalahkan anak-anak muda ini semata-mata, kerana jiwa mereka kosong. Lantaran kurangnya ilmu dan bimbingan pihak sepatutnya menyebabkan mereka terjerumus ke lembah kegelapan sedemikian. Solusinya tidak lain bukan sahaja sekadar melengkapi konsep beragama, bahkan menepati kebenaran ajaran agama yang dibawa yang tidak lain dan tidak bukan adalah Islam. 


Mungkin di sini, kita sebagai mad'uw masih gagal menjelas dan meyakinkan kepada mereka akan hakikat kebenaran agama ini. Ketidak sempurnaan dalam ajaran agama yang pernah mereka anuti (khususnya Kristian), menyebabkan mereka khilaf dan memukul rata semua agama adalah sama konsepnya walhal ia jauh dari apa yang disangkakan.

Usah menunding kepada makar syaitan untuk menjahanamkan umat manusia kerana memang demikian adalah tugas mereka, sebaliknya tundinglah kepada diri kita jika sehingga saat ini yang masih belum melakukan sesuatu untuk menyelamatkan mereka dari tipu dayanya.

Saya akhiri entri ini dengan sebuah nukilan dari seorang sahabat yang cukup baik untuk direnungkan..

***

Kadang kadang aku pelik...
Engkau berusrah, bercerita tentang keluasan rahmat tuhan .
Tetapi engkau sendiri pandang hina pada mereka yang tidak se-level iman dengan engkau, sama jua seperti engkau memperkecilkan keluasan tersebut .

Kadang kadang aku pelik...
Engkau berkhutbah, bercerita tentang betapa besarnya besarnya pahala memberi salam/senyum,
Tetapi engkau sendiri yang jalan buat buat tak nampak makhluk berjalan di hadapan,
Ohh lupa, mungkin mereka tak deserve langsung doa dari engkau .

Kadang kadang aku pelik...
Engkau mengatakan kita harus mencari rakan yang baik agamanya , siap hadis minyak wangi dan tukang besi engkau tuturkan,
Tetapi engkau ingat dakwah itu hanya eksklusif pada ikhwat berkopiah dan akhwat tudung 60 
Kalau begitu, engkau tidak layak complain tentang kurangnya biah solehah 

Kadang kadang aku pelik...
Engkau bahkan lebih maju dalam ilmu agama , tetapi engkau ibarat lupa tentang pengajaran surah as saff .
Ahh . tak perlu aku cerita . Engkau pasti lebih arif . sentiasa .
Hmm . Engkau tak rasa engkau ni bajet bagus ke ?

Engkau keluar dari kawasan kurang islamik . 
Dakwah ia bukan jajahan iman engkau . 
Tapi engkau sendiri bengang bila maksiat itu berleluasa . Ibarat dakwah itu ikut definisi suka suka engkau sahaja .
Cukuplah wahai Daie . Rahmat Allah itu luas . Noktah .
Jangan berlagak menjadi pencetak tuhan . 

Dimana ada akhlak . Disitu adanya Islam . Jangan perkecilkan hijrah seseorang . You have never been in their shoes . So shut up . Jangan ingat islam tu milik engkau sahaja 

La taqnatu mirrahmatillah...

***

Wallahu'alam..