"(Allah) yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya)."(Surah Al Baqarah 2:255)
Atom
Zarah yang paling kecil dimana ia tidak boleh dibahagikan . Walaubagaimanapun, atom didapati mempunyai zarah-zarah yang lebih kecil lagi. Kajian mengenai struktur atom dan aktivitinya telah membawa banyak manfaat kepada kesejahteraan hidup manusia menerusi penghasilan tenaga elektrik dan sebagainya. Tidak kurang pula keburukannya kepada alam sejagat akibat penghasilan tenaga nuklear. Semua benda dalam alam semesta ini termasuk tanah, api, air, dan udara terdiri daripada atom. Malah diri kita dan sekitarnya juga adalah terdiri daripada atom. Maha Suci Allah, sungguh menakjubkan yang atom-atom ini tersangat kecil, umpama perbandingannya; berjuta kali lebih kecil daripada ketebalan sehelai rambut manusia.
Gambarajah Struktur Atom
Inilah struktur atom, sesuatu yang kita tidak nampak dengan mata kasar, akan tetapi kewujudannya adalah pasti. Bukanlah struktur atom yang hendak dibincangkan, tetapi yang dibincangkan adalah perkara yang kita tahu kewujudannya tetapi tidak nampak dengan mata kasar kecuali dengan menggunakan ilmu dan akal yang dianugerahkan oleh Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
Surah Az Zumar [39] : 21
"Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat pelajaran bagi orang-orang yang mempunyai akal."
Pengetahuan Manusia Terbatas
Di dalam Al-Quran telah dijelaskan akan kewujudan atom ini, seperti di dalam;
Surah Yunus [10] : 61
"Kamu tidak berada dalam suatu keadaan dan tidak membaca suatu ayat dari al-Quran dan kamu tidak mengerjakan suatu pekerjaan, melainkan Kami menjadi saksi atasmu di waktu kamu melakukannya. Tidak luput dari pengetahuan Tuhanmu biarpun sebesar zarah (atom) di bumi ataupun di langit. Tidak ada yang lebih kecil dan tidak (pula) yang lebih besar dari itu, melainkan (semua tercatat) dalam kitab yang nyata (Lauh Mahfuz)."
Allah yang Maha Mengetahui telah berfirman akan pengetahuan-Nya dalam setiap sesuatu baik di langit mahupun di bumi walaupun sebesar zarah. Manusia walau sehebat mana akalnya, seberapa banyak ijazahnya, sebanyak mana pengetahuannya, tidak mengetahui berapa helai rambutnya sendiri; apatah lagi mengetahui segalanya tentang atom yang berjuta kali lebih kecil dari sehelai rambut. Pengetahuan manusia itu terbatas. Segala sesuatu telah pun berada dalam takdir-Nya yang tercatat dalam Lauh Mahfuz. Menerusi firman Allah yang Maha Agung yang bermaksud :
Surah al-An’am [6] : 115
"Dan telah sempurnalah Kalimah Tuhanmu (al-Quran, meliputi hukum-hukum dan janji-janji-Nya) dengan benar dan adil; tiada sesiapa yang dapat mengubah sesuatupun dari kalimah-kalimah-Nya; dan Dia lah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui."
Seluruh alam semesta tertakluk di bawah ayat ini, samada perkara yang kita tidak nampak (tidak sedar), juga perkara yang kita nampak (sedar), iaitu hukum-hukum perintah dan larangan dan kesan-kesan yang muncul daripadanya.Oleh sebab pengetahuan manusia itu terbatas, maka diturunkan kepada manusia al-Quran, bagi petunjuk dan rahmat untuk kita (manusia) dalam menjalani kehidupan di dunia dan persediaan menuju kehidupan yang sebenar, iaitu di akhirat. Sekiranya Allah yang Maha Berkuasa tidak menetapkan takdir ini, maka porak-perandalah manusia tanpa arah tujuan. Alhamdulillah.
Surah al-A’raaf [7] : 52
"Dan sesungguhnya Kami telah datangkan kepada mereka, sebuah Kitab (Al-Quran) yang Kami telah menjelaskannya satu persatu berdasarkan pengetahuan (Kami yang meliputi segala-galanya), untuk menjadi hidayah petunjuk dan rahmat, bagi orang-orang yang (mahu) beriman."
Maka apa sahaja yang telah kita lakukan, sedang lakukan dan akan lakukan, atau baru terfikir atau belum lagi terfikir mengenai sesuatu, semuanya tertakluk dalam pengetahuan dan di dalam takdir Allah yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana walaupun perkara itu umpama sekecil zarah.
Kebaikan dan Kejahatan
Di dalam ayat ayat yang lain mengenai atom ini Allah yang Maha Agung berfirman dalam;
Surah al-Zalzalah [99] : 7-8
"Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah, nescaya dia akan melihat (balasan)nya. Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan sebesar zarah, nescaya dia akan melihat (balasan)nya pula."
Rasulullah SAW (sallahu ‘alaihi wa sallam) menamakan ayat ini sebagai al-jami’ah al- fazzah yang bermaksud rumusan serba lengkap sepertimana yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim yang dinukil dari Tafsir Ibn Katsir dan Tafsir al-Munir;
Rasulullah SAW bersabda :
.....Allah tidak menurunkan mana-mana ayat mengenainya melainkan ayat al-jami’ah al-fazzah ini (rumusan serba lengkap) (Surah al-Zalzalah [99] : 7-8).
Ayat ini (Surah al-Zalzalah [99] : 7-8) diturunkan kerana perbezaan tanggapan dua orang lelaki. Salah seorang dari mereka didatangi peminta sedekah. Peminta sedekah itu meminta sebiji tamar, secebis roti dan sebiji kacang, lalu salah seorang dari mereka mengatakan kebaikan itu sangat kecil dan ganjarannya (pahala) juga sedikit. Manakala seorang lagi memandang remeh dosa kecil dan mengatakan, dosa yang kecil tentu tidak dikenakan hukuman apa-apa. Jadi Allah yang Maha Penyayang menurunkan ayat ini agar memberi galakan pada manusia supaya jangan memandang perkara yang kita anggap dosa kecil itu sebagai mudah, dan jangan pula kita menganggap kebaikan yang kecil itu walaupun sebesar zarah (iaitu tidak terlihat kebaikannya di mata), tidak memberi ganjaran yang besar. Mungkin dengan kebaikan yang sikit dan berterusan itulah menempatkan kita di syurga, InsyaAllah.
Begitulah kita beramal dengan ayat ini, walau sekecil zarah sekalipun (tidak ternampak oleh mata kita) kebaikan yang kita lakukan pasti akan diberi ganjarannya. Walaupun kebaikan itu belum kita buat, hanya terniat di dalam hati, ganjarannya telah pun kita dapat. Seperti di dalam sebuah hadis;
Dari Abu Hurairah r.a : Rasulullah saw bersabda,
“Allah ‘Azza wa Jalla berfirman (kepada malaikat-Nya) : ‘Apabila hamba-Ku berniat hendak melakukan kejahatan, janganlah kamu tuliskan. Apabila telah dilakukannya, tulislah baginya satu kejahatan. Apabila dia hendak berbuat kebajikan, tetapi belum dilaksanakannya, tulislah satu kebajikan. Apabila dilaksanakannya tulislah untuknya sepuluh kebajikan." [Hadis Sahih Bukhari No.102]
Berbeza dengan kejahatan, apabila kita melakukan, baru dapat satu dosa. Namun jangan sesekali kita memandang remeh pada dosa yang kecil, mungkin kerana dosa itulah kita ditempatkan di neraka. Naudzubillah.
Manusia Tidak Dianiaya
Pernahkah kita berasa teraniaya, atau berasa susah hendak melaksanakan perintah Allah yang Maha Berkuasa dan menjauhi larangan-Nya? Adakah Allah yang Maha Penyayang sengaja menghendaki itu semua dengan bertujuan menyusahkan hamba-Nya?
Surah An Nisaa' [4] : 40
"Sesungguhnya Allah tidak menganiaya seseorang walaupun sebesar zarah, dan jika ada kebajikan sebesar zarah, nescaya Allah akan melipat gandakannya dan memberikan dari sisi-Nya pahala yang besar."
Apa sahaja perintah dan larangan oleh Allah yang Maha Bijaksana itu kepada kita (manusia), sebenarnya adalah perkara yang diperlukan oleh manusia. Manusia memerlukan semua perintah dan larangan itu dalam menjalani kehidupan di dunia ini supaya kehidupan menjadi lebih teratur. Kita cuma boleh nampak akan keperluannya menerusi kesan-kesan perintah dan larangan itu sahaja.
Contoh perintah: kita disuruh membayar zakat. Antara kesannya, wang zakat dapat membela nasib mereka yang tidak berkemampuan dan seterusnya menjana ekonomi negara. Lainnya, tangan pencuri hendaklah dipotong. Antara kesannya perbuatan kecurian, ragut dan sebagainya dapat dibanteras. Masalahnya kita masih belum cukup percaya bahawa Al-Quran dapat menyelesaikan segala masalah kehidupan.
Contoh larangan: diharamkan manusia meminum arak. Antara kesannya, arak boleh menghilangkan kewarasan hingga menyebabkan berlakunya kekacauan dan mengganggu ketenteraman orang ramai.
Bukankah kita yang memerlukan perintah dan larangan-Nya? Ini bermakna perintah dan larangan itu adalah suatu kurniaan rahmat kepada seluruh manusia.
Kesimpulan
Surah Ali 'Imran [3] : 190-191
"Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal, (iaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): "Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka."
Rujukan : Al-Quran, Tafsir Ibn Katsir dan Tafsir Al-Munir, Sahih Bukhari dan Muslim, Fiqh Tasawwuf (Syeikhul Islam Ibnu Taymiyyah), Perangai Bergantung Pada Diri Sendiri (Za’ba), Ensiklopedia Fizik dan Kesempurnaan Penciptaan Atom (Harun Yahya).
Kredit kepada :
Iktibar Dari Penciptaan Atom
www.iluvislam.com
Oleh: Notakaki
Editor: Isyrak
p/s : Alangkah kerdilnya manusia, namun mereka itu tetap degil lagi sombong..
0 comments:
Post a Comment
Kata-kata melambangkan akhlak dan peribadi kita...
Justeru, berhikmahlah dalam melaksanakannya (^ ^,)