Ilmu Kalam Bukan Jawapan
Al-Ghazali
memulakan penyelidikannya dengan mengkaji Ilmu Kalam.Apa yang beliau
dapati pada mulanya,Ilmu Kalam ini adalah bertujuan untuk memelihara dan
menjaga akidah Ahli Sunnah serta mengawalnya daripada kekeliruan yang
ditimbulkan oleh Ahl Bid’ah.Allah s.w.t telah mengurniakan haq iaitu
kebenaran kepada hamba-Nya sepertimana ianya jelas terkandung di dalam
al-Qur’an dan as-Sunnah.Namun begitu,syaitan tetap menghasut manusia
dengan meniupkan rasa was-was ke dalam diri Ahl Bid’ah dan akhirnya
mereka tersesat serta menyebarkan kesesatan mereka itu.
Allah
s.w.t tidak membiarkan perkara demikian lalu Dia mewujudkan
Mutakallimin supaya mereka dapat membela Sunnah Rasulullah s.a.w dengan
menggunakan konsep perdebatan,ungkapan-ungkapan yang teratur
bersistematik. Mereka berjaya mendedahkan kesamaran yang sengaja
direka-reka oleh Ahli Bid’ah maka dengan itu lahirlah Ilmu Kalam dan Ahl
al-Kalam yang turut dikenali sebagai Ahl Jadal.
Apabila
Ilmu Kalam semakin berkembang,maka ramailah yang mula berkecimpung di
dalamnya. Dengan semangat yang membara,Ahl al-Kalam tampil kehadapan
kerana hendak membela sunnah Rasul s.a.w namun begitu mereka terjerumus
ke dalam perdebatan yang tidak sepatutnya. Mereka membahaskan permasahan
metafizik yang rumit iaitu mengenai hakikat kepada sesuatu itu.Maka
perbincangan mereka melarat sehingga menyentuh persoalahjawhar,‘aradh
dan hukum-hukum yang berkaitan dengan keduanya. Perbincangan ini akhirnya
tidak sampai ke matlamat sebenar perjuangan mereka kerana mereka tidak
berjaya menghilangkan keraguan yang menyelubungi orang ramai.
Al-Ghazali
menuliskan di dalam al-Munqidhnya bahawa Ilmu Kalam ini berkemungkinan
boleh memuaskan hati segolongan manusia.Beliau tidak meragui jika
wujudnya orang yang bersifat sedemikian. Namun, kepuasan dan keupayaan
mereka itu bercampur dengan taqlid kepada sesetengan perkara yang bukan
kepada prinsip yang utama.
Setelah
selesai kajian al-Ghazali terhadap Ilmu Kalam beliau tetap tidak
berpuas hati terhadap apa yang ditemuinya di dalam Ilmu Kalam. Beliau
kemudiannya mendalami Ilmu Falsafah kerana menurutnya,seseorang itu
tidak akan dapat mendedahkan sebarang kecelaruan dan kelemahan sesuatu
Ilmu itu melainkan hanya dengan dia sendiri mendalami Ilmu itu secara
mendalam. Dalam tempoh mendalami Ilmu Falsafah ini, beliau secara tidak
lansung mengkritik Ilmu Kalam itu sendiri disebabkan kebanyakan dari
kalangan Ahl Kalam mengkritik falsafah, namun di dalam penulisan mereka
sendiri terdapat ungkapan-ungkapan yang kabur apabila menyentuh mengenai
falsafah. Dari sinilah al-Ghazali berasa insaf bahawa menolak sesuatu
aliran itu sebelum memahaminya dengan teliti adalah sama seperti
menembak tidak tentu arah.
Falsafah Tidak Membantu
Al-Ghazali
kemudiannya mendalami Ilmu Falsafah melalui buku-buku yang dikarang
oleh Ahli Falsafah tanpa sebarang bimbingan daripada seorang guru.Dalam
tempoh tidak sampai dua tahun beliau mendalami Ilmu Falsafah,akhirnya
beliau sudah berpuas hati dengan pengetahuannya terhadap Falsafah.Apa
yang jelas bagi al-Ghazali, Falsafah ini mempunyai
kepalsuan, kekaburan, kesamaran, khayalan serta kepastian. Walaupun ada
pelbagai golongan di kalangan Ahli Falsafah,mereka tidak dapat
mengelakkan diri daripada kekufuran dan ilhad (atheist) samada Ahli
Falsafah yang terdahulu mahupun yang terkemudian. Ada yang terlalu jauh
dari kebenaran dan ada yang hampir. (Al-Ghazali : 1991).
Al-Ghazali membahagikan golongan falsafah itu hanya kepada tiga kelompok sahaja iaitu:
1. Ad-Dahriyyun (The Materialist)
2. At-Tabi’iyyun (The Naturalist)
3. Al-Ilahiyyun (The Theist)
Kelompok
pertama yang dinamakan sebagai ad-Dahriyyun adalah terdiri daripada
mereka golongan ahli falsafah yang terdahulu.Mereka menyangkal tentang
adanya pencipta yang mengatur alam ini.Mereka berpendirian bahawa alam
ini wujud dengan sendirinya dari azali tanpa ada pencipta. Lahirnya
haiwan daripada nutfah dan lahirnyanutfah daripada haiwan,begitulah
menurut mereka yang telah dan akan terjadi,yang berpanjangan buat
selama-lamanya. Mereka itu dikenali sebagai golongan Zindiq.
Golongan
kedua iaitu at-Tabi’iyyun adalah mereka yang menumpukan kajian mereka
kebanyakannya mengenai keunikan yang terdapat pada alam haiwan dan
tumbuh-tumbuhan.Mereka juga terlibat di dalam membedah anggota-anggota
haiwan itu yang dikenali sebagai Ilmu Anatomi (Ilm at-Tasyrih).Kekaguman
mereka terhadap keunikan ciptaan Allah s.w.t ini mendorong mereka
mengakui bahawa di sana adanya Maha Pencipta yang Maha
Bijaksana.Disebabkan terlalu banyak mengkaji alam ini,maka mereka bahawa
temperement (keseimbangan sifat dan keadaan tabiat semula jadi) memberi
kesan yang besar dalam menegakkan daya haiwan itu sendiri.
Lalu
mereka menyangka keadaan sedemikian turut sama berlaku kepada manusia
iaitu kecerdasan akal manusia juga bergantung kepadatemperementnya
juga.Jika ia musnah maka akal manusia juga turut musnah dan tiada
lagi. Begitu juga jiwa manusia yang mati tidak akan dapat hidup kembali
dan mereka ini sekaligus mereka menafikan adanya alam akhirat. Ini telah
menyebabkan mereka menjadi Zindiq walaupun pada asalnya mereka beriman
dengan Allah dan sifat-sifat-Nya. Golongan ketiga
pula dikenali sebagai al-Ilahiyyun. Golongan ini lahir terkemudian
seperti Socrates yang merupakan guru kepada Plato manakala Plato pula
menjadi guru kepada Aristotle. Aristotle inilah yang menyusun Ilmu
Mantiq, merapikan kaedah-kaedah sains serta mematangkan ilmu yang
sebelumnya yang dianggap masih belum sempurna.
Setelah
mendalami Ilmu Falsafah, ternyata pada al-Ghazali bahawa ianya tidak
mampu membawanya kepada makrifatullah.Beliau melebelkan ahli falsafah
sebagai Ahl al-Mantiq wa al-Burhan iaitu mereka yang berpegang kepada
logik dan demonstrasi ilmu semata-mata.Lantaran itu al-Ghazali menolak
falsafah. Al-Ghazali mengecam ahli falsafah kerana mementingkan kebenaran
bersifat rasional dan hikmah kemanusiaan (human wisdom) melebihi hikmah
bersifat ketuhanan (revealed wisdom). Beliau turut mengkritik ahli-ahli
falsafah termasuk al-Farabi dan Ibn Sina sehingga sampai ke tahap mereka
dikafirka.
Bathiniyyah Yang Terpesong
Setelah
selesainya kajian beliau terhadap Ilmu Falsafah dimana beliau berjaya
mengumpul,memahami serta mendedahkan kepalsuannya di mana sahaja di
dapati,al-Ghazali meneruskan pengkajiannya kepada al-Bathiniyyah
disebabkan matlamatnya untuk mencari kebenaran yang hakiki masih belum
tercapai.
Sewaktu
ajaran al-Bathiniyyah yang diantaranya dikenali sebagai Mazhab
Ta’limiyyah berkembang,al-Ghazali telah mendapat amanat daripada
Khalifah pada masa itu supaya menyusun sebuah buku bagi mendedahkan
hakikat sebenar kepalsuan ajaran ini.Beliau mengumpulkan banyak bahan
dan buku yang berkaitan dengan ajaran ini.Apa yang al-Ghazali
dapati,terdapat banyak perkataan baru yang sengaja direka oleh
masyarakat pada masa itu.
Al-Ghazali kemudiannya meneruskan penentangan kepada Mazhab Ta’limiyyah ini dengan mengarang beberapa buah buku iaitu:
1. Al-Mustadhirri
2. Hujjah al-Haq
3. Mufassil al-Khilaf
4. Al-Daraju
5. Al-Qistas al-Muqtasim
Setelah
Al-Ghazali selesai mendedahkan tembelang Mazhab Ta’limiyyah
ini, al-Ghazali kemudiannya meninggalkan kelompok ini kerana sudah jelas
bahawa mereka tidak boleh diterima.Al-Ghazali kemudiannya meneruskan
pengkajiannya terhadap Ilmu Tasawwuf pula.
0 comments:
Post a Comment
Kata-kata melambangkan akhlak dan peribadi kita...
Justeru, berhikmahlah dalam melaksanakannya (^ ^,)