Kemenangan Yang Hampir

Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu kemenangan yang nyata (Surah al-Fath 48:1)

Memaknai Hidup Dengan Perjuangan

Jadilah penolong-penolong agama Allah dalam menegakkan agamaNya di muka bumi ini

Kalam Murabbi

Amanat Untuk Pemuda dan Pemudi

Kesatuan Ummah

Kemudian jika kamu berselisih tentang sesuatu perkara, maka kembalilah kepada Allah dan Rasul (Surah An-Nisa’4:59)

Pedulisme dan Faham

Barangsiapa tidak mengambil berat tentang urusan umat Islam, maka bukanlah mereka daripada kalangannya (HR al-Bukhari)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
“Sesungguhnya perjuangan itu tidak mengenal erti penat & lelah. Demi Islam tercinta, ia perlu diteruskan. Semoga usaha untuk menyampaikan risalah Islam ini diterima Allah sebagai salah satu amal jariah semasa menghadap-Nya pada suatu hari yang pasti akan tiba..”
blog's design by faizassyirazi. Powered by Blogger.

Follow by Email

Friday, 26 April 2013

Saya Memilih Untuk Undi


Friday, 19 April 2013

Menjelang PRU-13: Apabila Multaqa Asatizah & Du’at (MURSHID) Bersuara

*MURSHID adalah perkumpulan asatizah, pendakwah dan ilmuan Islam yang meyakini bahawa pendekatan Islam yang Wasatiyyah merupakan cara yang terbaik untuk umat Islam melaksanakan Syariat Islam di dalam kehidupan mereka. 

Bertitik tolak dari kesedaran para ilmuwan merupakan guru dan pembimbing masyarakat, MURSHID terpanggil untuk membuat kenyataan rasmi menjelang PRU-13 sebagai sebahagian dari usaha mendidik dan menasihati masyarakat. 


Berpegang kepada prinsip-prinsip fundamental yang telah digariskan oleh al-Quran dan Sunnah Rasulullah sallaallahu’alaihi wasallam berkaitan politik, kepimpinan, hak warga yang dipimpin dan juga peranan segenap anggota masyarakat seumpama:

1. Prinsip Amanah

al-Quran: “Allah telah memerintahkan kamu agar menunaikan amanah kepada mereka yang berhak, dan apabila kamu menghukum di antara manusia, berhukumlah dengan adil…. (al-Nisa (4): 58).

al-Quran (Ali Imran, (3): 103): “Berpeganglah kamu dengan tali Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai…”

Rasulullah sallaallahu’alaihi wasallam juga berpesan: “Setiap kamu adalah pengembala, dan setiap kamu bertanggungjawab ke atas gembalaanmu” (HR al-Bukhari)

2. Prinsip ‘Adl wa Ihsan

“Allah telah memerintahkan kamu agar menunaikan amanah kepada mereka yang berhak, dan apabila kamu menghukum di antara manusia, berhukumlah dengan adil…. (al-Nisa (4): 58)

Rasulullah Sallaallahu’alaihi wasallam, di antara lain yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah mewajibkan berlaku ihsan (menyempurnakan sesuatu dengan baik) dalam semua perkara.” (HR Muslim)

Di dalam hadis lain, baginda juga ada menyebutkan: “Barangsiapa yang berupaya memberikan manfaat kepada saudaranya, maka hendaklah ia melakukannya” (HR Muslim); 

Rasulullah sallaallahu’alaihi wasallam juga menjanjikan menurut hadis yang disampaikan oleh Abu Hurayrah: “Barangsiapa yang melepaskan seorang mukmin daripada satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahan dunia, nescaya Allah akan melepaskannya daripada satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahan Qiamat. Barangsiapa yang mempermudahkan bagi orang susah, nescaya Allah akan mempermudahkan baginya di dunia dan di akhirat.” (HR Muslim);


3. Prinsip Amar Ma’ruf Nahy Munkar (Mengajak kepada kebaikan melarang kemungkaran)

“Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik.” (Al Imran (3): 110);

Rasulullah sallaallahu’alaihi wasallam yang menyentuh persoalan tersebut, antaranya: “Barangsiapa yang nampak kemungkaran hendaklah dia merubahnya dengan tangan, dan jika dia tidak mampu, maka hendaklah dia menggunakan lisannya, dan jika tidak mampu hendaklah dia merubahnya dengan hatinya, maka itu adalah selemah-lemah iman” (HR Muslim.)

Di dalam hadis yang lain pula, Rasulullah sallaallahu’alaihi wasallam bersabda: “Ketua para syuhada di syurga ialah Hamzah, dan seorang lelaki yang berdiri di hadapan pemimpin yang zalim dan menasihatinya, dan kemudian dia dibunuh” (Hadis riwayat al-Hakim.) 

Baginda juga menyatakan di dalam makna yang sama: “Sebaik-baik jihad adalah perkataan yang benar di hadapan pemimpin yang zalim” (Hadith riwayat al-Tarmidhi, Abu Daud dan Ibn Majah)


4. Prinsip Islah

“Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) ummatan wasata (satu umat yang pertengahan), supaya kamu layak menjadi orang yang menjadi Syuhada (saksi dan pemberi keterangan) kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu.” (al-Baqarah (2): 143)

Islah juga merupakan tema asasi perutusan para Nabi dan Rasul. Pendekata, Islam sepertimana yang telah diturunkan oleh Allah SWT ke atas manusia sekeliannya melalaui para Nabi dan Rasul mempromosikan Islah secara hebat. Islah adalah tugas utama para Khalifah di muka bumi sebagai manifestasi kepada pandangan dunia Tawhid mereka. Tanpa Islah, proses ubudiyyah tidak akan berlaku secara berterusan dan diwarisi turun temurun .

5. Prinsip Akhlak Mulia

Allah SWT menegaskan: “Bantu-membantulah kamu di dalam hal kebajikan dan ketaqwaan, dan janganlah kamu bantu-membantu di dalam hal maksiat dan permusuhan…” (Al-Maidah (5): 2)

Rasulullah sallaallahu’alaihi wasallam: “Sesungguhnya aku telah diutuskan untuk menyempurnakan akhlaq yang mulia (makarim al-akhlaq)” (Riwayat Malik b. Anas.)

Rasulullah sallaallahu’alaihi wasallam kepada Abu Bazrah ketika ia berkata kepada beliau: Wahai Rasululah, ajarkanlah kepadaku sesuatu yang dengannya Allah memberi manfaat kepadaku.’ Beliau bersabda: “Lihatlah sesuatu yang menyakiti manusia, maka singkirkanlah dari jalan mereka.” (Riwayat Ahmad di dalam Musnad.)


Bertitik tolak dari kesedaran dan prinsip-prinsip yang telah disebutkan, maka MURSHID menyeru:

1) Kepada para warga Malaysia Muslim yang layak mengundi, agar:

a) Menjalankan tanggungjawab mengundi dan hak yang dijamin oleh perlembagaan untuk memilih pemimpin pilihan anda melalui saluran demokrasi yang ada.
b) Membuat pilihan yang tepat berdasarkan maklumat yang lengkap dan adil terhadap calon-calon, parti-parti yang bertanding serta manifesto mereka.
c) Tidak menjadikan sentimen, fitnah, kebencian dan juga hasutan sebagai asas di dalam membuat pilihan ketika membuang undi.
d) Mengeji dan mengelakkan diri dari memberikan sebarang sokongan kepada usaha meraih undi melalui cara siaran gambar atau video berunsur lucah dan tidak bermoral sama ada ia melibatkan ahli atau pemimpin dari apa parti sekalipun. Dilarang juga menyebarluaskan video dan gambar terbabit hatta kalau ia benar sekalipun. Pihak berkuasa yang terlibat juga boleh membuat siasatan seadilnya berdasarkan undang-undang. Hal ini terpakai kepada seluruh warga Malaysia dari semua parti dan bangsa.
e) Memilih mereka yang mempunyai ciri-ciri pemimpin yang boleh menunaikan amanah, bersikap mesra-Islam dan juga mempunyai ciri-ciri pemimpin yang telah disebutkan di atas.
f) Memilih parti yang boleh memartabatkan Islam, berusaha ke arah tadbir urus yang baik (good governance), keadilan dan juga amalan politik yang sihat.
g) Memilih calon yang kuat berpegang dengan agama dan tinggi moralnya, hatta di kalangan bukan Islam sekalipun, kerana pegangan agama dan moral akan lebih menjamin keadilan, amanah dan integriti.
h) Mempertahankan harga diri dengan tidak mengambil rasuah politik, samada, duit, material dan dalam bentuk seumpamanya.
i) Berusaha mencari keyakinan terhadap seseorang calon yang bertanding, partinya dan gabungan bersamanya itu mampu dari sudut 'track record' untuk membawa lebih manfaat lebih baik kepada kebajikan awam. 'Track record' adalah faktor penting bagi menilai kebolehan dan skill calon, parti dan gabungannya untuk mentadbir negara Malaysia. 
j) Memahami konteks politik di Malaysia yang mana terdiri dari pelbagai agama, bangsa, parti dan juga memahami jumlah kerusi yang diperlukan untuk membentuk kerajaan persekutuan di Malaysia adalah 112 kerusi parlimen dari 222 seluruh kerusi parlimen. Justeru, pengundi disarankan agar tidak dibazirkan undi masing-masing kepada parti atau calon yang kurang faedah kepada penubuhan kerajaan yang baik dan ditegah dari sengaja merosakkan undi. 
k) Menjauhkan diri dari terjebak dalam aktiviti kafir mengkafir secara spesifik kepada orang Islam tertentu, ini kerana klasifikasi murtad atau jatuh kafir secara pasti tidak layak diberikan oleh orang awam tanpa perbicaraan yang lengkap. 
l) Menggesa agar semua pengundi yang berbeza kecenderungan politik dan parti yang disokong agar tidak (sekiranya tercipta) memanjangkan 'permusuhan', 'sengketa' dan dendam ingin memusnah kepada pihak yang berbeza. Sebaliknya, kembali berbaik dan hidup harmoni sebagai rakyat Malaysia. 

Sehubungan itu juga, MURSHID juga ingin mengingatkan para pengundi sekelian bahawa pilihan yang anda lakukan akan dipersoalkan oleh Allah SWT di padang Mahsyar. Maka, pastikan pilihan anda itu bertitik tolak dari keimanan dan ketaqwaan.


2) Kepada parti-parti yang bertanding, agar:

a) Tidak berbohong, fitnah, keji, mencaci, politik kebencian dan kotor.
b) Tidak merasuah dan tidak mengamalkan politik wang untuk mendapatkan undi dan kuasa.
c) Tidak menyalahgunakan hak rakyat, wang pembayar cukai, fasiliti milik rakyat yang sepatutnya bukan milik parti, media dan pengaruh sepanjang kempen pilihanraya.
d) Meletakkan calon yang terbaik, berkarisma, mempunyai ciri-ciri yang disebutkan pada (1.e, f dan g) dan meletakkan sifat beragama sebagai asas, hatta di kalangan bukan Islam.
e) Meletakkan kepentingan agama, negara, masyarakat dan alam sekitar sebagai matlamat mendapatkan kuasa dan bukannya demi keuntungan individu, parti ataupun sesetengah kaum dan bangsa semata-mata.
f) Menawarkan tawaran dan manifesto kepada rakyat Malaysia yang mampu dilaksanakan secara realistik.

Sehubungan dengan itu, MURSHID juga ingin mengingatkan parti-parti yang bertanding bahawa kuasa adalah amanah, tanggung jawab dan bebanan, anda akan dipersoalkan di akhirat nanti. Maka, pastikan tindakan anda semuanya dan bertitik tolak dari keimanan dan ketaqwaan.


3) Kepada pihak media penyiaran dan media cetak, agar:

a) Bersikap adil dan memberikan hak dan peluang yang sama kepada setiap parti tanpa pilih kasih serta tidak menzalimi pihak yang lain.
b) Mengamalkan sikap bertanggungjawab dan jurnalisme beretika dengan menjauhi segala fitnah dan adu domba samada untuk tujuan pemasaran mahupun untuk memberikan kelebihan kepada satu pihak dengan menzalimi pihak yang lain.
c) Mengamalkan sikap profesionalisme yang tinggi dan merealisasikan jurnalisme berhemah serta menjaga akhlak dan moral yang tinggi di dalam membuat liputan, laporan dan juga penilaian.
d) Menjadi mata, telinga dan juga suara rakyat sepanjang membuat liputan mengenai pilihanraya, serta mendahulukan kepentingan rakyat berbanding kepentingan parti-parti tertentu.

Sehubungan dengan itu, MURSHID juga ingin mengingatkan pihak media bahawa anda akan dipersoalkan di akhirat nanti di atas apa yang anda laporkan. Maka, pastikan tindakan anda semuanya bertitik tolak dari keimanan dan ketaqwaan.


4) Kepada pihak Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), agar:

a) Menjalankan tugas dan amanah yang telah diberikan oleh rakyat dengan adil, bertanggungjawab, penuh integriti, telus dan bersih.
b) Tidak berpihak, hatta kepada parti yang berkuasa dan sentiasa ingat bahawa akauntabiliti anda adalah kepada rakyat dan bukannya kepada parti yang memerintah sebelum parlimen dibubarkan.
c) Mengutamakan masa depan negara, kepentingan bersama seluruh rakyat Malaysia dan bukannya pihak-pihak tertentu sahaja.
d) Melakukan perkara-perkara yang patut seperti pembersihan senarai pemilih dan bersikap responsive terhadap tuntutan rakyat demi memperbaiki kredebiliti dan imej SPR yang semakin calar dan dipertikaikan.
e) Bertanggungjawab untuk mengembeleng segala usaha bagi mengembalikan keyakinan rakyat kepada fungsi asal SPR yang bukan sekadar tidak berpihak, tetapi juga wajib dilihat sebagai tidak berpihak.

Sehubungan dengan itu, MURSHID juga ingin mengingatkan pihak Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) bahawa anda akan dipersoalkan di akhirat nanti di atas tanggungjawab yang anda jalankan. Maka, pastikan perlaksanaan tugas anda semuanya bertitik tolak dari keimanan dan ketaqwaan.

Dari Kami

Dr Abdul Basit Abdul Rahman (Pengerusi Shura)
Dr Zaharuddin Abd Rahman (Presiden & Ahli Shura)
Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri (Ahli Shura)
Dr Zahazan Mohamed (Ahli Shura)
Ustaz Roslan Mohamed (Timbalan Presiden & Ahli Shura)
Ustaz Abdullah Bukhari Abdul Rahman (Naib Presiden)
Ustaz Ahmad Husni Abd Rahman (Setiausaha Agung)
Ust Muhd Ramadhan Fitri Ellias (Bendahari Agung)

Ahli Jawatankuasa

Dr Maszlee Malik
Dr Ahmad Wifaq Mokhtar
Dr Mohd Sukki Othman
Ustaz Mohd Asyraf Mohd Ridzuan
Ustaz Fauwaz Fadzil
Ustaz Hasrizal Abdul Jamil
Ustaz Mohammad Nidzam Abdul Kadir
Ustaz Mohd Aizam Mas’od
Ustaz Mohd Izhar Ariff Mohd Kassim
Ustaz Mohd Zamri bin Haji Mohd Zainuldin
Ustaz Syed Mohd Nor Hisyam Tuan Padang
Xifu Abdul Naser Abdul Rahman

13 April 2013

Sumber: Murshid.my

Thursday, 18 April 2013

Wednesday, 17 April 2013

PRU13 & Reaksi Ulama: PUM, SHURA & MAPIM Seru Rakyat Buat Perubahan

"Kepimpinan yang mengkhianati amanah rakyat sehingga ini PERLU ditukar melalui peti undi dalam PRU 13 ini adalah saatnya yang paling baik" (Persatuan Ulama' Malaysia)


Wacana Kepimpinan Islam & Isu Semasa Menjelang PRU 13 yang diadakan pada 14 April 2013 di Hotel Singgahsana, Petaling Jaya Selangor   yang disertai oleh pimpinan Persatuan Ulama’ Malaysia Cawangan Wilayah Persekutuan, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Teras Pengupayaan Melayu (TERAS) dan Sekretariat Himpunan Ulama’ Asia (SHURA) telah mengambil ketetapatan seperti berikut: 


1. Tanggungjawab Mengundi dan Amalan Demokrasi.

Kami berpendirian bahawa tanggungjawab mengundi adalah proses umat mengguna ruang demokrasi yang diamalkan sekarang dan ia perlu ditunaikan untuk memastikan kepentingan umat khususnya dan rakyat amnya. Amalan pilihanraya perlu dimanfaatkan untuk menubuhkan sebuah kerajaan yang adil dan bertanggungjawab.

Kami menyanggah pendapat bahawa penglibatan umat Islam dalam proses demokrasi pilihanraya adalah bertentangan dengan Islam. Para Ulama kontemporari  dari Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia (الاتحاد العلمي لعلماء المسلمين) yang dipimpin oleh Al-Allaamah Sheikh Yusuf al-Qaradhawi memutuskan bahawa umat Islam hendaklah memanfaatkan amalan demokrasi yang sebahagian besar ciri-cirinya adalah sesuai dengan Islam. 

Asas-asas demokrasi seperti memelihara hak-hak  perbedaan pendapat dan  bersuara, menjaga hak-hak  asasi rakyat dan hak menubuhkan parti-parti  politik sehingga terlaksananya proses pilihanraya umum.  Ciri-ciri ini di lihat sebagai hampir dengan konsep Syura yang mengutamakan al-Haq dan penerimaan oleh Jumhur  sebagaimana yang dituntut oleh Islam. Hubungan antara al-Haq dan penerimaan Jumhur adalah sangat sinonim di dalam Islam. Rasulullah (s.a.w.) bersabda di dalam Hadithnya yang masyhur;

“Tidak mungkin umatku akan bersatu di atas kebatilan”


Sedikit sebanyak kecacatan sistem demokrasi yang wujud hendaklah  diperbaikki dan disesuaikan dengan tuntutan Islam terutamanya mengutamakan al-Haq agar semua operasi pilihanraya bebas dari penipuan dan penyelewengan yang kesemuanya itu melambangan kebatilan.

2. Memerangi Politik Kotor

Kini kempen PRU 13 menunjukkan pihak yang bernafsu untuk mempertahankan kuasa pentadbiran pusat dengan apa cara sekalipun telah mededahkan politik negara  berhadapan dengan bahaya kacau-bilau yang sangat besar.


Gejala budaya politik yang sangat jijik seperti politik fitnah, politik lucah, politik wang dan politik samseng sedang ditaja untuk berhadapan dengan kesedaran rakyat untuk merubah kerajaan yang sedia ada.

Gejala menyerang peribadi lawan dalam kempen politik dengan fitnah seks bertujuan mengaib dan menjatuhkan maruah individu yang disasar  semakin menjadi-jadi. Ini menunjukkan bahawa saranan Presiden pimpinan parti pemerintah dalam satu perhimpunan tahunan bahawa "kita akan mempertahankan Putrajaya sehingga titisan darah terakhir" sedang giat direncana dan dilaksanakan.


Rakyat harus mengistiharkan perang ke atas politik seperti ini yang akan menghina maruah dan integriti politik negara dimata dunia.

Kami mengesa semua pihak yang melaksanakan kempen ketika PRU 13 ini tidak terjebak dengan politik kotor sekaligus tidak membenarkan sebarang pihak menjadikan pilihanraya ini sebagai pilihanraya yang paling kotor dalam sejarah Malaysia. 

Usaha maksima untuk menjernihkan politik negara ini perlu dilancarkan oleh semua pihak. 

3. Tanggungjawab Media yang Beretika.

Media massa yang turut memainkan peranan  menyebar dan mengembangkan fitnah dan berkonspirasi menyerang peribadi musuh politik suatu dosa besar dan adalah sangat terkutuk serta perlu dihentikan serta-merta. 


Media samada bersifat media cetak, elektronik atau internet yang bertindak jahat melaga-laga, megadu-domba dan memburuk-burukan peribadi individu yang menjadi lawan politik dengan fitnah seks adalah media yang haram disisi Islam dan perlu diambil tindakan tegas. Berdasarkan Firman Allah S.W.T. dalam ayat 6, Surah al-Hujurat yang bermaksud: 

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.”

Sementara kebebasan media dan hak media adalah suatu keperluan dalam amalan demokrasi yang sihat, akan tetapi media perlu mengamalkan etika kewartawanan dan jurnalisme yang beradab, beretika dan professional. Kewartawanan dan jurnalisme media murahan yang mengotorkan pilihanraya dengan bahan fitnah, putar belit, provokasi, manipulasi berita adalah terkutuk dan hendaklah dibentaras sehingga ke akar umbinya.


Tindakan secara undang-undang dan boikot awam hendaklah dilancarkan terhadap media berkenaan. Peribadi pemilik dan mereka yang bersekongkol dengan media tersebut perlu didedahkan sehingga rakyat tahu siapa mereka.

Kami mengingatkan kepada pihak yang menjadi dalang dan penaja kepada fitnah melalui media akan pasti berhadapan dengan pertanggungjawaban mutlaq dari Allah S.W.T akhirnya. Firman Allah S.W.T. dalam ayat 11, Surah al-Hujurat bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah dia beriman dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.”


4. Hak Rakyat Mengubah Kerajaan

Kami menyarankan rakyat perlu melakukan perubahan politik yang berani demi memastikan arah tuju negara mengwujudkan rakyat yang bertanggungjawab dan negara yang bermaruah dapat direalisasikan.

Rakyat tidak boleh diugut dengan kacau-bilau jika mereka memilih Pakatan Rakyat sebagai alternative, jika jelas gabungan itu mampu menampilkan  calon yang benar-benar berwibawa, beriltizam dan jujur memperjuangkan nasib rakyat serta memelihara maruah negara.

Politik sebagai suatu amanah untuk memelihara agama dan menguruskan hal ehwal dunia berdasarkan agama hendaklah menjadi panduan ketika pengundi dan melaksanakan tanggungjawab memilih calon yang layak.


PRU 13 ini adalah genting untuk membawa perubahan besar-besaran kepada masa depan negara kerana kepincangan selama lebih 55 tahun merdeka semakin mengakar dan kekal dalam gaya pemerintahan yang sedia ada.

Kepimpinan yang mengkhianati amanah rakyat sehingga ini perlu ditukar melalui peti undi dalam PRU 13 ini adalah saatnya yang paling baik.

5. SPR dan Semua Agensi Bertanggungjawab Menjamin Pilihanraya yang Bersih dan Adil.

Kami berpendirian SPR memikul amanah besar untuk menjamin PRU 13 berjalan dengan bersih dan adil. Respon SPR tidak mengakui ada kepincangan dalam daftar mengundi, wujudnya Akta Pilihanraya yang tidak demokratik dan menyekat pihak parti politik untuk mencabar kesahihan daftar pengundi akan menghakiskan intergriti pilhanraya itu sendiri. 

Penipuan masih berlarutan?

Agensi awam yang lain seperti agensi keselamatan dan memastikan ia tidak diperalatkan untuk kempen politik hendaklah dipelihara secara professional.

Tindakan terhadap amalan politik kotor berdasarkan undang-undang hendaklah dikuatkasakan dengan adil dan telus.

Etika pilihanraya yang umumnya sesuai dan secocok dengan Islam untuk menutup pintu penipuan dan manipulasi dalam pilihanraya.

Firman dalam ayat 8, Surah al-Maidah bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.”

6. Memilih Calon yang Layak 

Wacana pada hari ini menyarankan semua pengundi dalam PRU 13 ini menunaikan kewajipan memilih calon dari parti yang akan menubuhkan kerajaan yang adil dan mengamalkan urustadbir yang baik, telus dan bertanggungjawab kepada rakyat.


Tanggungjawab mengundi hendaklah dilaksanakan dengan penuh keinsafan bahawa  setiap undi yang diberi akan dipersoalkan oleh Allah SW.T.

Memilih  calon yang akan meneruskan kepincangan dan penyelewengan dalam urustadbir negara akan membawa negara kepada kehancuran. Bersikap berkecuali untuk tidak mengundi atau dengan sengaja merosakkan undi juga akan mencelakakan negara. Perbuatan ini akhirnya akan memenangkan calon yang tidak layak memimpin dan akan mengakibatkan kuasa berada ditangan mereka yang akan mengkhianati   amanah rakyat.


Kami menyarankan kriteria Islam diguna sebagai asas dalam memilih calon yang layak menduduki dewan perwakilan rakyat di negeri mahupun parlimen. Antara  Kriterianya adalah seperti berikut;
  • Beramanah dan Jujur yang dibuktikan dengan amalan dan sikap berterusan. 
  • Kompentensi (Kemahiran serta keilmuwan yang tinggi)
  • Mempunyai sifat sabar yang tinggi. 
  • Mengamalkan akhlak dan peribadi yang baik 
  • Mengamalkan Semangat Syura 
Dalam konteks Malaysia yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen pemilihan pemimpin ia lebih merujuk kepada kepimpinan secara kolektif.  Ia bermaksud memilih kumpulan atau gabungan parti-parti politik yang lebih beriltizam dengan prinsip-prinsip al-Haq (kebenaran), keadilan dan ketelusan terhadap Tuhan dan rakyat. 


Dr  Mohd Fauzi Zakaria 
Pengerusi 
Persatuan Ulama’ Malaysia 
Caw Wilayah Persekutuan 

Us. Hj. Abdul Ghani Samsudin 
Pengerusi 
Sekretariat Himpunan Ulama’  Rantau Asia (SHURA)

Tuan Hj. Mohd Azmi Abd Hamid
Presiden TERAS / Pengerusi MAPIM


Sumber: harakahdaily
Nota: Gambar-gambar yang dilampirkan jika ada yang rasa sensitif, anggaplah ia sebagai hiasan semata-mata dan tidak lebih dari itu. Di sini apa yang penting adalah mesejnya. Semoga bermanfaat :)

Sunday, 14 April 2013

Burung dan Ibrah Dari al-Qur'an



Burung, bird atau al-thayr adalah antara haiwan yang signifikan dalam al-Qur'an khususnya dalam perihalkan kebesaran dan keagungan Allah SWT. Dalam al-Qur'an, ada ayat yang menceritakan perihal burung dalam konteks umum dan ada juga ayat yang menspesifikasikan spesis burung, umpamanya burung Ababil (105:3) dan Hud-hud (27:22). Tujuannya tidak lain dan tidak bukan adalah supaya kita mengambil ibrah.


Mari kita telusuri berberapa ibrah daripada penceritaan kisah burung dalam al-Qur'an:

1. Kekuasaan Allah

"Tidakkah kamu melihat bagaimana segala yang di langit dan di bumi menyanjung Allah, dan burung-burung mengembangkan sayap-sayap mereka? masing-masing - Dia mengetahui solatnya, dan sanjungannya; dan Allah mengetahui apa yang mereka buat." (24:41)

"Dan apakah mereka tidak memperhatikan burung-burung yang mengembangkan dan mengatupkan sayapnya di atas mereka? Tidak ada yang menahannya (di udara) selain Yang Maha Pemurah. Sesungguhnya Dia Maha Melihat segala sesuatu." (67:19)

"Tiada makhluk yang merayap di bumi, tiada burung yang terbang dengan sayap-sayapnya, melainkan mereka adalah umat-umat yang serupa dengan kamu." (6:38)

"Tidakkah mereka merenungkan burung-burung yang di atas mereka mengembangkan sayap-sayap mereka, dan mengatupkannya? Tiada yang menahan mereka kecuali Yang Pemurah." (67:19)


2. Burung dan Para Nabi Allah

"Dan masuklah bersama-samanya ke penjara dua orang khadam raja. Salah seorang di antaranya (bertanya kepada Yusuf dengan) berkata: "Sesungguhnya aku bermimpi melihat diriku memerah anggur ". Dan berkata pula yang seorang lagi: "Sesungguhnya aku bermimpi melihat diriku menjunjung roti atas kepalaku, yang sebahagiannya dimakan oleh burung." (kemudian keduanya berkata): "Terangkanlah kepada kami akan takbirnya. Sesungguhnya kami memandangmu: dari orang-orang yang berbuat kebaikan (untuk umum)" (12:36).

"Dan demi sesungguhnya, Kami telah memberikan kepada Nabi Daud limpah kurnia dari Kami (sambil Kami berfirman): Hai gunung-ganang, ulang-ulangilah mengucap tasbih bersama-sama dengan Nabi Daud dan wahai burung-burung (bertasbihlah bersama-sama dengannya)! Dan juga telah melembutkan besi baginya" (34:10)

"Dan (Kami mudahkan juga) burung-burung turut berhimpun (untuk bertasbih memuji Kami bersama-sama dengannya); tiap-tiap satunya mengulangi tasbih masing-masing menurutnya."  (38:19)

"Dan Nabi Sulaiman mewarisi (pangkat kenabian dan kerajaan) Nabi Daud dan (setelah itu) Nabi Sulaiman berkata: Wahai umat manusia, kami telah diajar mengerti bahasa pertuturan burung dan kami telah diberikan serba sedikit dari tiap-tiap sesuatu (yang diperlukan); sesungguhnya yang demikian ini adalah limpah kurnia (dari Allah) yang jelas nyata. Dan dihimpunkan bagi Nabi Sulaiman bala tenteranya, dari jin dan manusia serta burung; lalu mereka dijaga serta diatur keadaan dan perjalanan masing-masing. (Maralah angkatan itu) hingga apabila mereka sampai ke "Wadi an-Naml", berkatalah seekor semut: Wahai sekalian semut, masuklah ke sarang kamu masing-masing, jangan Sulaiman dan tenteranya memijak serta membinasakan kamu, sedang mereka tidak menyedari. Maka tersenyumlah Nabi Sulaiman mendengar kata-kata semut itu dan berdoa dengan berkata: Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai dan masukkanlah daku dengan limpah rahmatMu dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh. (19) Dan (setelah itu) Nabi Sulaiman memeriksa kumpulan burung (yang turut serta dalam tenteranya) lalu berkata: Mengapa aku tidak melihat burung belatuk? Adakah dia dari mereka yang tidak hadir? Demi sesungguhnya! Aku akan menyeksanya dengan seksa yang seberat-beratnya, atau aku akan menyembelihnya, kecuali dia membawa kepadaku alasan yang terang nyata (yang membuktikan sebab-sebab dia tidak hadir). Burung belatuk itu tidak lama ghaibnya selepas itu, lalu datang sambil berkata (kepada Nabi Sulaiman): Aku dapat mengetahui secara meliputi akan perkara yang engkau tidak cukup mengetahuinya dan aku datang kepadamu dari negeri Saba` dengan membawa khabar berita yang diyakini kebenarannya." (27:16-22)

"Dan (akan melantiknya) menjadi seorang Rasul kepada Bani Israil, (dengan menegaskan kepada mereka): Sesungguhnya aku telah datang kepada kamu, dengan membawa satu tanda (mukjizat) dari Tuhan kamu, iaitu aku boleh membuat untuk kamu dari tanah liat seperti bentuk burung, kemudian aku tiup padanya lalu menjadilah ia seekor burung (yang hidup) dengan izin Allah" (3:49).


3. Manfaat dan Teladan Buat Manusia

"Dan daging burung, seperti yang mereka menginginkan," (56:21).

"Kemudian Allah hantarkan seekor burung gagak (menyuruhnya) mengorek-ngorek di bumi supaya diperlihatkan kepada (Qabil) bagaimana cara menimbus mayat saudaranya. (Qabil) berkata: Wahai celakanya aku! Alangkah lemah serta bodohnya aku, aku tidak tahu berbuat seperti burung gagak ini, supaya aku dapat menimbuskan mayat saudaraku?. Kerana itu menjadilah dia dari golongan orang-orang yang menyesal." (5:31).



4. Azab Buat Si Penderhaka

"Sesiapa menyekutukan Allah, ia seakan-akan dia jatuh dari langit dan burung-burung menyambarnya, atau angin menerbangkannya ke dalam sebuah tempat yang jauh." (22:31)

"...Dan kami telah menurunkan kepada mereka burung-burung Ababil. Lalu dilemparkan kepada mereka (tentera bergajah) dengan batu-batu sijjil (dari api neraka). Dan jadilah mereka seperti daun yang dimakan ulat " (105:3-5).

Wallahu'alam.