Kemenangan Yang Hampir

Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu kemenangan yang nyata (Surah al-Fath 48:1)

Memaknai Hidup Dengan Perjuangan

Jadilah penolong-penolong agama Allah dalam menegakkan agamaNya di muka bumi ini

Kalam Murabbi

Amanat Untuk Pemuda dan Pemudi

Kesatuan Ummah

Kemudian jika kamu berselisih tentang sesuatu perkara, maka kembalilah kepada Allah dan Rasul (Surah An-Nisa’4:59)

Pedulisme dan Faham

Barangsiapa tidak mengambil berat tentang urusan umat Islam, maka bukanlah mereka daripada kalangannya (HR al-Bukhari)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
“Sesungguhnya perjuangan itu tidak mengenal erti penat & lelah. Demi Islam tercinta, ia perlu diteruskan. Semoga usaha untuk menyampaikan risalah Islam ini diterima Allah sebagai salah satu amal jariah semasa menghadap-Nya pada suatu hari yang pasti akan tiba..”
blog's design by faizassyirazi. Powered by Blogger.

Follow by Email

Saturday, 21 September 2013

Mahar Untuk Syurga

Pasti ada hikmahnya apabila 'terpaksa' melupakan seketika hasrat untuk menyambung entri dunyana wa dunyakum lalu, walaupun sudah hampir sebulan makalah tersebut disiapkan. Maklumlah, dalam fasa-fasa genting dan kritikal sebagai seorang pelajar, banyak perkara yang perlu disusun kembali dari sudut keutamaannya (awlawiyyat). Tanpa kefahaman yang jelas berkait dengan hal ini, boleh mengundang sikap 'menganaktirikan' gerak kerja tertentu, khususnya yang berkait dengan tarbiyyah dan dakwah. Sebagai meraikan suasana semasa ada baiknya dalam entri-entri 'terakhir' saya berkongsi secara ringkas mengenai suatu perkara yang disebut sebagai ujian.


Ujian Merupakan Tarbiyyah Yang Berterusan

Antara 'mahar' yang perlu dibayar untuk mendapat syurga di akhirat, adalah bersabar dan redha atas setiap ujian-Nya di dunia, baik dalam apa jua bentuk dan keadaan. Dalam al-Qur'an, Allah telah menjustifikasikan:

"Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayatNya." (Surah al-Baqarah 155-157)

Kerana itu, seorang Muslim itu perlu beriktikad, tiada suatu bentuk ujian yang dia terima, melainkan dia mampu menghadapinya, waima ia dilihat sebagai suatu yang sangat besar pada perspektif manusiawinya. Umpamanya kita lihat penderitaan yang dihadapi oleh umat Islam di Palestin yang bertahun lamanya hidup dalam penindasan dan kezaliman. Jauh dari sudut hari kita untuk menyatakan kesanggupan menggantikan tempat mereka. Bahkan kadang-kadang kita terfikir, kualiti iman bagaimanakah yang mereka miliki lantas tidak pernah terlintas untuk menyerah dari perjuangan. Kerana mereka mampulah, Allah memberikan ujian sedemikian kepada mereka. Setiap ujian ada indikatornya yang sendiri, sesuai dengan tahap iman seseorang.

Al-Qur'an dalam hal ini mengingatkan: 

“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya..” (Surah al-Baqarah 2:286). 


Tugas: Antara Hamba dan Tuhan

Tugas hamba hanya berikhtiar dan berusaha, dalam menyempurnakan sesebuah urusan. Setelah itu letakkanlah tahap thiqah dan tawakal yang tinggi kepada Allah kerana kerana segala yang kita rancang adalah tertakluk kepada perancangannya. 

Lazimnya kita sering berdoa dan bermunajat kepada-Nya untuk dimakbulkan segala hajat dan keperluan kita sebagai seorang hamba. Fitrahnya, apa yang kita lihat ia sebagai yang terbaik buat diri kita, pasti kita dambakan secepat mungkin ia terealisasi. 


Dalam hal ini, seharusnya kita menyedari bahawa apa yang baik pada pandangan manusia, belum tentu ia baik pada pandangan Allah, tetapi lazimnya bagi manusia yang kurang rasa sabar dan thiqah kepada Allah melihat ia sebagai suatu yang negatif. Sebagai hamba, adalah tidak wajar untuk bercita-cita melakukan tugas Tuhan dalam menentukan apa yang baik baik dan buruk berdasarkan perspektif mereka semata-mata.

Bukankah Dia telah berfirman,

“boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui” (Surah al-Baqarah 2:216). 

Demikian juga dinyatakan, 

“Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu..” (Surah al-Baqarah 2:185).

Perihal ujian, pernah Saad bin Abi Waqqas r.a bertanya kepada Rasulullah saw.: 

“Siapakah orang yang paling berat cubaannya?” Jawab baginda s.a.w, “Di antara orang-orang yang paling berat cubaannya ialah para nabi, kemudian mereka yang seumpama dan seterusnya. Seseorang itu diuji sesuai dengan kadar agamanya. Jika dia mempunyai kekuatan dalam agamanya, maka beratlah ujian yang diterimanya. Sekira agamanya lemah, tentu dia akan diuji sesuai dengan kadar agamanya. Ujian akan selalu datang menimpa seorang hamba selagi dia masih berpijak di atas bumi, dan sehingga tiada lagi kesalahan padanya." (HR al-Tirmidzi) 

Selagi mana kita menelusuri jalan-jalanNya dengan istiqamah, yakinlah bahawa Allah tidak pernah akan mempersia-siakan rintihan hamba-hambaNya, bahkan sengaja Dia kehendaki sedemikian kerana Dia suka mendengar hamba-hambaNya merintih. 

Hal ini mengingatkan saya kepada jawapan Imam Jaa’far al-Sadiq r.a, salah seorang dari tokoh Salaf al-Soleh ketika ditanya, “Adakah penderitaan orang mukmin kerana dosa-dosanya? 



Jawab beliau, “Tidak semestinya. Kadang-kadang Allah suka mendengar aduan dan doa-doa dari hamba-hamba-Nya dan sebagai balasannya Dia akan meningkatkan ganjaran kebaikan dan menghapuskan keburukan daripada dirinya dan menyediakan ganjaran di Hari Pengadilan kelak.” 

Perihal ujian juga, Ibn al-Qayyim dalam mensyarahkan ayat 15-17 dari surah al-Fajr, “Dan sebaliknya apabila dia diuji oleh Tuhannya, dengan disempitkan rezekinya, (dia tidak bersabar bahkan dia resah gelisah) serta mengeluh dengan katanya: Tuhanku telah menghinakan daku! Jangan demikian, (sebenarnya kata-kata kamu itu salah). Bahkan (perbuatan kamu wahai orang-orang yang hidup mewah, lebih salah lagi kerana) kamu tidak memuliakan anak yatim, (malah kamu menahan apa yang Dia berhak menerimanya). Dan kamu tidak menggalakkan untuk memberi makanan (yang berhak diterima oleh) orang miskin” menjelaskan, golongan pertama itu sebenarnya telah diuji dengan beberapa kenikmatan dan golongan yang kedua itu pula telah dimuliakan dengan diberinya cubaan dan ujian."

Akhir kalam, letakkan 100% tahap kesabaran dalam menempuhi bentuk tarbiyyah ini, dan tekadkan bahawa tiada suatu kepayahan dan kesulitan yang ditempuhi melainkan akan disusuli dengan kemudahan dan kejayaan, dan tiada suatu yang mustahil pada Allah realisasikan, biarpun ia mustahil pada pandangan manusia. Allah musta'an. Trust Him!


Monday, 9 September 2013

Dunyana wa Dunyakum

Begitu cepat masa berlalu, dan hari ini telah pun bermula semester baru. Pelajar baru yang mendaftar pada minggu lalu usai menghabiskan saat-saat ‘penuh bermakna’ dengan minggu orientasi mereka. Kini proses pendaftaran dan pembelajaran berlansung. Itu di UKM Bangi dan lazimnya di kebanyakan IPTA dalam proses yang sama. Barangkali di Universiti di Timur Tengah begitu juga. 


Apa pun, tahniah diucapkan kepada mereka yang telah dipilih Allah untuk meneruskan pengajian di peringkat tinggi dan lebih tinggi. Bukannya mudah untuk terpilih, apatah lagi di Universiti yang demand-nya tinggi. Berkait dengan kelebihan menuntut ilmu, saya percaya sahabat sahabiah mungkin lebih arif dari yang menulis. Apa yang pasti, Yang Maha ‘Arif telah mengiktiraf para penuntut ilmu dan merakamkan penghargaan ini dalam banyak ayat dan hadis Rasul-Nya:

"...dan sesungguhnya Allah telah mengangkat di kalangan orang-orang yang beriman itu akan darjat-darjat mereka melalui ilmu pengetahuan..." (QS al-Mujadilah: 11)

"Dan telah diajarkan oleh Allah akan Adam as dengan beberapa nama benda. Lalu apabila Adam as menghafal nama-nama benda tersebut, maka Allah panggil malaikat (Allah hadirkan malaikat di hadapan Nabi Adam as), kemudian Allah suruh malaikat sebut pula nama-nama benda yang telah Allah ajar kepada Adam as. Maka menjawab para malaikat: Maha suci Engkau wahai Allah, kami tidaklah tahu apa-apa pun, kecuali yang telah Engkau ajar kepada kami. Sesungguhnya Engkau ini adalah Tuhan yang Amat Mengetahui lagi Amat Bijaksana." (QS al-Baqarah: 31-32)


“Barang siapa yang melalui satu jalan ilmu bererti ia telah menjalani suatu jalan daripada jalan-jalan syurga. Sesungguhnya para malaikat menghamparkan sayapnya kerana reda bagi orang yang menuntut ilmu. Dan sesungguhnya orang yang ada di seluruh lapisan langit dan bumi meminta ampun bagi orang yang alim sehingga ikan yang ada di laut. Dan sesungguhnya kelebihan orang yang alim atas orang yang abid seperti kelebihan bulan purnama atas sekalian bintang-bintang. Dan sesungguhnya ulama itu pewaris Nabi-nabi. Dan para Nabi itu sebenarnya tidak mewariskan dinar dan dirham tetapi yang diwariskan oleh mereka ialah ilmu. Maka barang siapa mengambil ilmu bererti ia telah mengambil habuan yang paling sempurna”. (HR Abu Daud)

“Barang siapa keluar mencari ilmu maka ia sebenarnya berjihad di jalan Allah sehingga dia kembali”. (HR al-Tirmidzi)

Jadi, bersyukurlah kerana Allah telah memilih kita dalam kalangan mereka yang menuntut ilmu. Pengiktifaran yang para penuntut ilmu perolehi bukan sahaja dari penghuni dunia, akan tetapi juga dari langit.


DUNIA MAHASISWA

Mahasiswa. Suatu istilah yang menghadirkan tanggungjawab yang cukup besar kepada pemakainya, baik sebagai seorang pelajar dengan aktiviti intelektualnya, atau peranannya sebagai agen pengubah masyarakat. Di sinilah bermulanya pembentukan jati diri dan kematangan dalam pemikiran dengan harapan dapat menyumbang sesuatu kepada ummah pada masa-masa akan datang. Justeru, peri pentingnya ditekankan matlamat dan hala tuju yang jelas sepanjang proses pengajian. Jika tidak, sekadar ‘memenuhi syarat’ seorang mahasiswa yang datang ke universiti, hadir ke kuliah, buat assignment, jalani latihan amali , exam dan konvo, full stop. Itu persepsi dan mentaliti biasa yang berlaku, cuma bukankah lebih indah jika ada sesuatu yang menjadikan kita unik dan istimewa berbanding dengan orang lain. Apa yang orang lain miliki, tetap ada pada kita, tapi tidak semua yang kita miliki ada pada mereka, baik aspek dalaman dan luaran.  Inilah yang pada suatu masa nanti akan jadi ‘add value’ kepada kita umpamanya dalam soal kerjaya.


Pengalaman Yang berharga

Setiap orang pasti ada pengalaman yang tersendiri ketika berada dalam alam mahasiswa; pahit, manis dan segala macam perisa kehidupan. Apa yang kita alami, ia merupakan suatu yang amat berharga dan jarang untuk diperoleh dalam dewan-dewan kulian yang sifatnya menekankan kepada teori dan konseptual semata-mata. Sebagai contoh, seorang yang ambil kursus wajib jabatan, ‘Metodologi Dakwah Orang Asli’. Belum tentu penguasaannya dalam subjek ini menjamin kepakarannya dalam berdakwah kepada Orang Asli sekalipun dalam subjek ini dia mendapat A solid. Justeru, jika hendak kepada banyak pengalaman, maka perlu ada transformasi untuk aktif dan proaktif terhadap sebarang bentuk aktiviti yang relevan dengan konteks seorang mahasiswa, baik berbentuk akademik, vice versa.

Pengalaman sendiri, walaupun hampir tiga tahun meninggalkan alam mahasiswa, namun memori ketika itu masih segar setiap kali berada di tempat-tempat yang cukup sinonim dengan kita sewaktu itu. Ada kala kita bersendirian, dan ada kala kita bersama rakan-rakan, sama ada dalam menghadiri kuliah, membuat tugasan, menyertai program-program Islamik, aktivisme politik kampus dan seumpamanya. Secara tidak sedar, itulah sedikit sebanyak mengajar kita banyak perkara khususnya dalam mendewasakan dan membentuk diri. 

Akademik

Bercakap soal akademik, pasti tidak lari mind-set kita dengan istilah four flat, anugerah Dekan, Graduate 1st Class, Tajaan JPA dan seumpama bentuk ‘kelebihan’. Itulah dambaan setiap yang bergelar mahasiswa. Apa yang ingin saya nyatakan di sini bukanlah tidak boleh mencapai sejumlah bentuk kelebihan kerana sememangnya itu adalah keutamaan bagi mana-mana mahasiswa. Buatlah sebaik mungkin untuk mencapai kejayaan semaksimum mungkin di sini, namun begitu jangan dilupakan tanggungjawab dan peranan yang wajib kita laksanakan sebagai seorang Mahasiswa Muslim yang bertanggungjawab, khususnya dalam penglibatan dalam gerak kerja dakwah di kampus dan luar kampus, partisipasi dalam aktiviti kebajikan anjuran persatuan dan kelab dan seumpamanya. Justeru, mind-set itu perlu ‘di-reset’ agar pemikiran kita tidak serigid slogan ‘belajar lebih baik’ tajaan pihak-pihak tertentu.



Pilihanraya Kampus

Tradisi PRK dengan Universiti tidak boleh dipisahkan, sesuai dengan pengamalan sistem demokrasi di segenap peringkat. Pilihanraya yang dijalankan di kampus (PRK) tidak kurang ‘panasnya’ dengan Pilihanraya umum yang berlangsung di luar (PRU). Lihat sahaja kepada proses perjalanan pilihan raya, peraturan, metode berkempen, strategi gerak kerja, fikrah calon seolah-olah tiada beza. Cuma tidak membawa secara terang-terangan mana-mana ideologi politik luar sahaja seperti BN atau PR. 

Sepanjang proses observasi yang dilakukan, saya mendapati ada tiga golongan dalam kalangan mahasiswa; pertama, terlibat secara langsung; Kedua, terlibat secara tidak langsung dan Ketiga; berkecuali atau istilah lainnya DAP (Di Atas Pagar). Saya kurang berminat untuk mengupas tentang golongan pertama dan kedua di atas kerana ia sudah cukup baik bagi seorang mahasiswa yang mempunyai kesedaran dalam diri. Tidaklah datang kampus hanya melekat di dewan kuliah dan perpustakaan semata-mata, akan tetapi celik juga terhadap isu-isu persekitaran. Cuma ruginya jika ada mahasiswa yang cenderung untuk menjadi golongan ketiga, ‘DAP’. 


Pihak ketiga ini ada yang bersikap berkecuali dengan erti kata pasif dengan semua aktivisme politik kampus dan itu bolehlah dipertimbangkan, Cuma bagi yang bersikap agresif ini kadang-kadang menimbulkan kecelaruan dalam kalangan masyarakat pelajar. Mana tidaknya, segelintir mereka terdiri daripada jaguh papan kunci (key board warrior), lalu pelbagai provokasi kepada pihak yang dimusuhinya tanpa mengambil kira maslahat semasa. Nasihat saya, usahlah meletakkan diri kita dalam kalangan mereka yang menggagalkan gerak kerja dakwah, sekalipun diri kita tidak berminat untuk cakna tentang isu-isu semasa yang berlaku dalam kampus. Mungkin kerana kedudukan sudah selesa atau persepsi tahap ilmu yang terlalu tinggi dan tidak sebanding dengan mana-mana pihak. 


Kepada yang terlibat pula, jangan terlalu ‘radikal’ sampai mengorbankan status mahasiswa kita. Apa jua tindakan, bertindaklah dengan bijak dan banyakan mendengar pandangan pelbagai pihak demi memperoleh suatu keputusan yang tepat. Pada saya adalah merupakan suatu kerugian bagi mereka yang diberi peluang untuk sambung pengajian di universiti, namun bertindak seolah-olah tidak mahu masuk universiti. Hanya kerana tindakan yang kurang cerdik menyebabkan proses pengajian terencat. Lainlah jika sudah disediakan peluang-peluang lain untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Begitu juga bagi mereka yang diberikan peluang untuk membina bakat kepimpinan dan kepakaran dalam sesebuah gerak kerja, namun tidak memanfaatkan peluang yang sedia ada.

Gambar 'hiasan'

Persatuan Islam

Salah satu mekanisme yang terbaik untuk membina sahsiah peribadi seorang mahasiswa adalah melibatkan diri dalam persatuan-persatuan Islam. Di tempat saya, ada ISIUKM, dan di IPTA-IPTA lain biasanya menggunakan nama PMI. Tidak kiralah apa nama yang digunakan, selagi mana agenda yang diperjuangkan menepati syarak maka sepatutnya kita turut serta memberikan sokongan. Persatuan-persatuan Islam di kampus bukanlah milik pelajar dari fakulti pengajian Islam (Ustaz Ustazah) semata-mata, malah ia milik semua yang cintakan Islam. Dari sini kita dapat perhatikan bagaimana bi’ah yang dibina khususnya dalam aspek pemakaian, penjagaan ikhtilat, tutur kata dan sebagainya. Program-program yang dianjurkan pun tidaklah bersifat ceramah semata-mata, silap-silap program mereka lebih advance dari persatuan-persatuan yang lain.



Cinta Alam Kampus: Suci atau Ilusi

Antara cabaran yang besar di alam mahasiswa adalah kelambakan pencari pasangan hidup dengan cara yang salah. Saya tidaklah hendak menafikan bahawa mungkin ada relevannya bagi seseorang yang memasuki Universiti mempunyai niat untuk mencari pasangan hidup, selain dari belajar. Apatah lagi bagi yang telah cukup syarat (baca: berkemampuan). Namun apa yang kita dapati, ramai yang tergelincir lantaran tidak menjumpai alternatif yang menepati syarak. Pada mereka, apabila suka sama suka boleh dijadikan alasan untuk bermadu kasih, bercinta, berdating, membawa anak dara orang ke hulu ke hilir dan sebagainya seolah-olah melebihi pasangan yang telah sah bernikah. 


Malangnya kebanyakan yang terlibat dengan cinta ilusi ini akhirnya kecundang dalam alam pengajian bahkan dalam alam percintaan. Mana tidaknya, jalan yang dipilih salah, tentu sahaja hanya mengundang laknat dan murka Allah, walhal Islam sendiri telah menawarkan jalan yang lebih selamat dan berkat, iaitu bernikah. Jika rasa masih jauh untuk ke arah itu, lupakanlah seketika niat untuk ‘bercouple’ ketika dalam alam pengajian kerana lebih banyak mendatangkan sengsara dari bahagia. Suka saya nyatakan, segala-galanya tertakluk kepada sejauh mana kemampuan dan persediaan kita untuk menghadapi alam pengajian bersama dengan alam rumah tangga. Seperkara lagi, carilah Baitul Muslim yang jauh lebih efektif. Dalam fasa untuk melengkapkan cinta sakral itu, tumpulah pada proses pengajian untuk mendapat keputusan yang baik, mudah-mudahan dapat kerjaya yang baik sekali gus melayakkan diri untuk menyempurnakan sebahagian dari agama.

Sekian sahajalah sedikit coretan saya untuk bahagian pertama ini. Mungkin ada beberapa topik yang saya tidak sentuh secara langsung di sini, samada saya telah bincangkan pada entri-entri terdahulu (klik sini) atau pada masa-masa akan datang insha-ALlah.

Adapun dunia sarjana, (bersambung...)

Monday, 2 September 2013

Pejuang Palestin Sedia Berhadapan Serangan Barat Ke atas Syria

Front Pejuang Palestin menyatakan, mereka akan berdiri teguh melawan pencerobohan asing di Syria.

"Apapun keadaan atau alasannya, kami menolak campur tangan asing di Syria dan negara Arab yang lain, " kata Menteri Kebajikan dan Agama Mahmoud al-Habash.

"Setiap campur tangan asing di negara-negara Arab adalah penjajahan baru, dan tidak akan menyelesaikan masalah, bahkan membuat lebih sulit dan rumit."

Sebelum itu, pejabat rasmi Jihad Islam Palestin Sheikh Nafith Azzam menyatakan, kelompoknya menolak campur tangan asing di negara Arab atau Muslim."


Dia berharap, konflik dapat diselesaikan tanpa tindakan ketenteraan dan dengan cara menjamin kesatuan Syria.

Jihad Islam juga menyatakan, mereka akan bersedia dengan serangan di Gaza jika Israel memutuskan menggunakan aksi ketenteraan di Syria sebagai alasan untuk menyerang Gaza, tambah Azzam.

Sementara itu, Gerakan Fatah al-Intifada Palestin, mengecam retorika perang AS terhadap Syria dan menekankan, pihaknya bersedia memanfaatkan segala kemampuan mempertahankan negara muslim dari campur tangan asing.

Gerakan perlawanan Palestin yang aktif di Syria dalam masa terdekat ini mengumumkan, adalah menjadi kewajiban untuk membela bumi dan rakyat Syria.

"Setiap serangan terhadap negara atau rakan perlawanan, dianggap sebagai ancaman terhadap semua orang Arab mulia, dan dalam keadaan seperti itu, menjadi tugas kita untuk menghadapi AS, penjajah Israel dan sekutu mereka di barisan hadapan," kata Yasser al-Masri yang bertugas di Information Dissemination Center Fatah.


Menurutnya, AS dan Israel adalah musuh muqawamah, menyerang mereka adalah tindakan lazim untuk gerakan perlawanan, khususnya di Syria yang menjadi penentu masa depan negara-negara yang membentuk proksi perlawanan dengan Israel. Dan untuk alasan yang sama itulah tugas kita untuk mempersiapkan diri menghadapi serangan AS dan Barat."

Respon yang sama diberikan oleh Hezbollah dan Iran dalam mempertahankan sekutu mereka dari musuh utama mereka, AS-Israel.

Gerakan Intifadah Fatah al-Intifada merupakan gerakan perlawanan Palestin yang didirikan oleh Kolonel Said al-Muragha, lebih dikenal sebagai Abu Musa.

Kumpulan ini sering menyebut pemimpinya sebagai Proksi Abu Musa dan secara rasmi menyebut dirinya sebagai Gerakan Pembebasan Nasional Palestin.

Awal bulan ini , Front Popular untuk Pembebasan Palestin (PFLP), juga menyebut gerakan perlawanan Islam dan Damsyiq sepenuhnya siap menghadapi dan menanggapi serangan AS di negara Muslim dan menegaskan persediaan gerakan atas senario terburuk dan paling berbahaya. Kata Anwar Raja beberapa minggu lalu di Damsyiq.

P/S: Reaksi pejuang Islam di Palestin membuktikan bahawa mereka sememangnya dapat menghidu niat sebenar AS-Israel yang berhasrat untuk menyerang Syria. Serangan Barat ke atas Syria tidak lain dan tidak bukan adalah untuk menghancurkan segala pusat-pusat logistik senjata muqawama Palestin-Lubnan (di Syria) yang berdekad lamanya berjuang untuk melawan setiap pencerobohan Zionis-Israel. 


Hal ini yang gagal difahami oleh masyarakat Islam pada hari ini akibat termakan dengan propaganda media tajaan Barat dengan memainkan sentimen Sunni-Syiah dalam konflik di Syria. Demikian juga dengan penggunaan senjata kimia, Barat cuba menggunakan modus operandi yang sama seperti mana yang mereka telah lakukan ketika menyerang Iraq beberapa tahun dahulu. Serangan Barat di Syria tidak ubah seperti tikus membaiki labu. 


Dunia (khususnya negara-negara Islam) seharusnya akur dengan cadangan dan saranan gerakan Islam supaya menyerahkan konflik di Syria ke tangan rakyat Syria untuk menentukan politik mereka. Bukan dengan menghantar dan menyokong campur tangan agen-agen asing berupa 'Islamis' bagi mengaburi mata ramai pihak. Bacalah di sini, sini, sini dan sini untuk lebih faham selain dari melihat kepada pelbagai sumber dan perspektif. Insha-Allah entri berkait akan menyusul selepas ini. Jika sahabat-sahabat para pembaca ada sebarang idea dan maklumat untuk dikongsi, amat lah dialu-alukan.


"Sesungguhnya pertolongan Allah itu amat hampir"


TMV | MN | IT | SPS | SYRIA |