Kemenangan Yang Hampir

Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu kemenangan yang nyata (Surah al-Fath 48:1)

Memaknai Hidup Dengan Perjuangan

Jadilah penolong-penolong agama Allah dalam menegakkan agamaNya di muka bumi ini

Kalam Murabbi

Amanat Untuk Pemuda dan Pemudi

Kesatuan Ummah

Kemudian jika kamu berselisih tentang sesuatu perkara, maka kembalilah kepada Allah dan Rasul (Surah An-Nisa’4:59)

Pedulisme dan Faham

Barangsiapa tidak mengambil berat tentang urusan umat Islam, maka bukanlah mereka daripada kalangannya (HR al-Bukhari)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
“Sesungguhnya perjuangan itu tidak mengenal erti penat & lelah. Demi Islam tercinta, ia perlu diteruskan. Semoga usaha untuk menyampaikan risalah Islam ini diterima Allah sebagai salah satu amal jariah semasa menghadap-Nya pada suatu hari yang pasti akan tiba..”
blog's design by faizassyirazi. Powered by Blogger.
Showing posts with label Falsafah. Show all posts
Showing posts with label Falsafah. Show all posts

Tuesday, 18 October 2011

Tinjauan terhadap teori mencari kebenaran oleh Imam al-Ghazali (Siri Akhir)

Tasawwuf Jalan Terakhir

Al-Ghazali mendapati bahawa jalan orang yang bertasawwuf itu hanya akan sempurna jika disertai dengan amal.Tujuan orang yang bertasawwuf beramal adalah:
1. Membebaskan jiwa dari belenggu hawa nafsu.
2. Membersihkan jiwa daripada akhlak yang keji.
3. Menjauhkan jiwa daripada sifat-sifat yang mazmumah.

Orang yang bertasawwuf perlu beramal sehingga hati mereka kosong,tidak berisi apa pun selain daripada Allah.Hati seperti ini sudah dihiasi dengan zikir mengingati Allah.Bagi al-Ghazali, Ilmu Tasawwuf agak mudah dituntut namun payah untuk diamalkan.Beliau memulakan pembelajarannya terhadap ilmu ini dengan menatap kitab-kitab seperti Qut al-Qulub (santapan hati) oleh Abu Talib al-Makki dan kitab-kitab dan karangan-karangan peninggalan dari al-Junaid, al-Syibli, al-Bustami sehinggalah al-Ghazali berjaya memahami Ilmu Tasawwuf ini berkat di atas usaha yang dilakukannya samada dengan menghadap dan belajar dari guru dan dari pengikutnya.

Menurut al-Ghazali, al-Khawwas (yang teristimewa dari yang istimewa) tidak boleh sampai kepada matlamatnya hanya dengan belajar atau berguru akan tetapi dengan Dzauq hal (keadaan rasa) dan Tabadul al-Sifat (penggantian sifat-sifat). Kesemua istilah ini adalah istilah di dalam Ilmu Tasawwuf yang hanya dapat difahami oleh orang yang mendalaminya sahaja. 


Al-Ghazali juga mengetahui bahawa para sufi memperolehi tasawwuf dari pengalaman dan arbab al-ahwal (pengalaman yang dirasainya) dan bukan diperolehi dari pengertian takrif yang boleh disusun dan boleh dituturkan dengan perkataan.Jalan ini harus ditempuhi dengan dzauq dan suluk (perjalanan batin).

Selama sepuluh tahun al-Ghazali mendalami jalan para sufi ini,beliau telah banyak menemui banyak pengetahuan yang mayakinkan tentang hakikat segala sesuatu sepertimana apa yang beliau cari selama ini. Al-Ghazali menukilkan: “Bahkan, sekiranya digabungkan akal para pemikir, hikmah ahli falsafah, dan ilmu para ulama’ yang mengetahui rahsia syara’ untuk mencipta satu cara yang lebih utama dari cara ahli sufi, maka usaha itu tidak akan membuahkan hasil. Ini kerana segala perbuatan kaum sufi samasa zahir atau batin adalah diterangi oleh nur dari cahaya kenabian.”

Seperti apa yang beliau nyatakan,pengetahuan sebenarnya tidak dihasilkan oleh akal,tetapi dengan pengalaman dzauq (pengalaman batin). Mencapai sesuatu pengertian dengan alasan dan bukti serta keterangan dinamakan sebagai ilmu pengetahuan,sedangkan mengalaminya adalah dzauq. Kemampuan akal tidak mampu melangkaui pengetahuan ini. Begitu juga pada sifat-sifat khas para anbiya’ mengenai perkara-perkara ghaib yang hanya dapat diketahui dengan dzauq melalui jalan tasawwuf.

Tercetusnya semangat al-Ghazali yang tinggi apabila beliau ditimpa dengan keraguan,beliau cuba untuk menghilangkan keraguan yang timbul di dalam dirinya itu dengan pelbagai jalan. Dari Ilmu Kalam, falsafah sehinggalah Bathiniyyah beliau gagal menemui apa yang beliau cari selama ini. Apa yang beliau dapati terhadap mereka hanyalah suatu perkara yang sia-sia dan menyimpang dari kebenaran yang sebenar kerana ianya tidak mampu menyelesaikan kemelut yang melanda jiwanya. Namun al-Ghazali berhasil menemui satu-satunya jalan terakhir untuknya bagi mencapai kebenaran iaitu jalan kesufian. Setiap manusia ada jalan tersendiri di dalam mencari kebenaran yang hakiki sepertimana al-Ghazali memilih jalan kesufian.

Namun, ia tidak bermakna hanya mereka yang berkecimpung di dalam bidang kesufian ini dapat menemui kebenaran. Ini kerana, kebenaran itu milik Allah secara mutlak. Allah s.w.t berhak memberikannya kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki, namun terpulang kepada usaha manusia itu sendiri untuk mendapatkannya. Kita juga tidak dapat menafikan tentang adanya segelintir yang mengikuti golongan kesufian ini juga boleh menyeleweng mungkin disebabkan terlalu taksub kepada sesuatu ajaran itu serta tidak beramal terhadap apa yang dipelajari.


Al-Ghazali di dalam mencari kebenaran, melalui dan mempelajari pelbagai ilmu samada dengan berguru mahupun mempelajarinya sendiri tanpa bimbingan sesiapa sepertimana Ilmu Falsafah. Beliau bertindak mengkritik setiap aliran yang tidak dapat mendatangkan faedah kepadanya jelas menunjukkan sikap beliau yang begitu tegas terhadap sesuatau perkara yang mana jika menurutnya tidak benar maka beliau akan mencari jalan untuk membuktikannya tidak benar dan tidak sesuai.

Beliau memulakannya dengan sikap ragu dan diikuti dengan mendalaminya.Namun kenapa sebilangan kita pada hari ini apabila menerima sesuatu berita atau maklumat yang meragukan berdasarkan tanggapannya selama ini tidak disusuli dengan mendalami serta mengkaji perkara itu semula. Sebagaimana contoh, Ahl Sunnah menyatakan golongan Mu'tazilah itu menyimpang dari landasan agama. Ia dikira adil jika mereka sendiri telah mendalami serta mengkaji terhadap aliran itu sepertimana Asy'ari yang pernah berkecimpung di dalam aliran Mu'tazilah selama beberapa tahun sebelum beliau merasakan ianya tidak selari dengan kehendak akidah yang sebenar.

Sikap ini juga kita perlu di dalam mengadili kelompok-kelompok lain di dalam Islam yang masih mengesakan Allah serta beriman akan kerasulan Muhammad s.a.w. Melainkan bagi kelompok yang jelas akan kesesatannya sepertimana golongan Ghulat Isma'iliyyah di Pakistan, Ayah Pin di Malaysia, Kahar Si Rasul Melayu, serta sewaktu dengannya, tanpa mengira apa aliran mazhab pun yang dianuti baik, Sunni, Syiah, Wahabi dan lain-lain.

Seseorang yang mengaku Islam serta beriman perlu melaksanakan tuntutan yang telah ditaklifkan,buka sekadar dinyatakan dengan lisan sahaja.Seseorang yang mengaku mengikut Mazhab Ahl Sunnah mahu pun Syi'ah jika mereka tidak melaksanakan suruhan Allah sepertimana apa yang kita lihat pada hari ini berapa banyak negara yang pemimpinnya Islam tetapi tidak melaksanakan hukum Islam malah melarang pelaksanaan hukum Islam juga sewajarnya dikatakan sebagai sesat. Sesat itu pun ada peringkatnya, ada sesat pada tahap sedikit, sederhana, besar, dan sangat besar. bergantung atas sejauh mana penyimpangannya dari ajaran Islam.

Allah s.w.t telah menurunkan al-Qur’an sebagai petunjuk kepada manusia dan mengutuskan para nabi sebagai pembimbing dan kebenaran itu sentiasa berterusan sehingga bila-bila kerana Allah tetap akan memelihara cahaya-Nya walaupun terdapat golongan yang mahu memadamkannya. Namun pelbagai tafsiran dan pandangan manusia itu terhadap kebenaran yang telah diturunkan menyebabkan ianya menjadi konsep atau cara yang berlainan. Jika matlamatnya sama dan selari dengan syariat, maka ianya tidak menjadi masalah untuk mengamalkannya.

Bibliografi

1. As-Sayyid Muhammad ‘Aqil b. ‘Ali al-Mahdi.1996,Al-Manhaj al-Falsafi ‘inda al-Ghazali wa Dikart lil Wusul ila al-Haqiqah,Dar al-Hadith, Kaherah.

2. Muhammad Muhammad Qasim.2001,Madkhal ila al-Falsafah,Dar al-Nahdhah al-‘Arabiyyah,Beirut.Lubnan.

3. Hamdi,Ahmad Zainul Hamdi.2004,Tujuh Filsuf Muslim,Pembuka Pintu Gerbang Filsafat Barat Modern, Pustaka Pesantren,Yogyakarta.

4. Ibrahim Abu Bakar. 2001, Ilmu Kalam Paucis Verbis,Karisma Publication Sdn Bhd.

5. Mahmud,’Abd al-Halim Mahmud.1972, al-Munqid Min al-Dhalal li Hujjah al-Islam al-Ghazali,Dar al-Kutub al-Hadithah.

6. Mohammad,Ismail Mohamad.2001, Falsafah Islam, Bangi ,Universiti Kebangsaan Malaysia.

Kojiro Nakamura.2005,Metode Zikir dan Doa al-Ghazali, Penerbit Arasy,Bandung.

Monday, 17 October 2011

Tinjauan terhadap teori mencari kebenaran oleh Imam al-Ghazali (Siri III)

Ilmu Kalam Bukan Jawapan

Al-Ghazali memulakan penyelidikannya dengan mengkaji Ilmu Kalam.Apa yang beliau dapati pada mulanya,Ilmu Kalam ini adalah bertujuan untuk memelihara dan menjaga akidah Ahli Sunnah serta mengawalnya daripada kekeliruan yang ditimbulkan oleh Ahl Bid’ah.Allah s.w.t telah mengurniakan haq iaitu kebenaran kepada hamba-Nya sepertimana ianya jelas terkandung di dalam al-Qur’an dan as-Sunnah.Namun begitu,syaitan tetap menghasut manusia dengan meniupkan rasa was-was ke dalam diri Ahl Bid’ah dan akhirnya mereka tersesat serta menyebarkan kesesatan mereka itu.

Allah s.w.t tidak membiarkan perkara demikian lalu Dia mewujudkan Mutakallimin supaya mereka dapat membela Sunnah Rasulullah s.a.w dengan menggunakan konsep perdebatan,ungkapan-ungkapan yang teratur bersistematik. Mereka berjaya mendedahkan kesamaran yang sengaja direka-reka oleh Ahli Bid’ah maka dengan itu lahirlah Ilmu Kalam dan Ahl al-Kalam yang turut dikenali sebagai Ahl Jadal.

Apabila Ilmu Kalam semakin berkembang,maka ramailah yang mula berkecimpung di dalamnya. Dengan semangat yang membara,Ahl al-Kalam tampil kehadapan kerana hendak membela sunnah Rasul s.a.w namun begitu mereka terjerumus ke dalam perdebatan yang tidak sepatutnya. Mereka membahaskan permasahan metafizik yang rumit iaitu mengenai hakikat kepada sesuatu itu.Maka perbincangan mereka melarat sehingga menyentuh persoalahjawhar,‘aradh dan hukum-hukum yang berkaitan dengan keduanya. Perbincangan ini akhirnya tidak sampai ke matlamat sebenar perjuangan mereka kerana mereka tidak berjaya menghilangkan keraguan yang menyelubungi orang ramai.

Al-Ghazali menuliskan di dalam al-Munqidhnya bahawa Ilmu Kalam ini berkemungkinan boleh memuaskan hati segolongan manusia.Beliau tidak meragui jika wujudnya orang yang bersifat sedemikian. Namun, kepuasan dan keupayaan mereka itu bercampur dengan taqlid kepada sesetengan perkara yang bukan kepada prinsip yang utama.

Setelah selesai kajian al-Ghazali terhadap Ilmu Kalam beliau tetap tidak berpuas hati terhadap apa yang ditemuinya di dalam Ilmu Kalam. Beliau kemudiannya mendalami Ilmu Falsafah kerana menurutnya,seseorang itu tidak akan dapat mendedahkan sebarang kecelaruan dan kelemahan sesuatu Ilmu itu melainkan hanya dengan dia sendiri mendalami Ilmu itu secara mendalam. Dalam tempoh mendalami Ilmu Falsafah ini, beliau secara tidak lansung mengkritik Ilmu Kalam itu sendiri disebabkan kebanyakan dari kalangan Ahl Kalam mengkritik falsafah, namun di dalam penulisan mereka sendiri terdapat ungkapan-ungkapan yang kabur apabila menyentuh mengenai falsafah. Dari sinilah al-Ghazali berasa insaf bahawa menolak sesuatu aliran itu sebelum memahaminya dengan teliti adalah sama seperti menembak tidak tentu arah.

Falsafah Tidak Membantu

Al-Ghazali kemudiannya mendalami Ilmu Falsafah melalui buku-buku yang dikarang oleh Ahli Falsafah tanpa sebarang bimbingan daripada seorang guru.Dalam tempoh tidak sampai dua tahun beliau mendalami Ilmu Falsafah,akhirnya beliau sudah berpuas hati dengan pengetahuannya terhadap Falsafah.Apa yang jelas bagi al-Ghazali, Falsafah ini mempunyai kepalsuan, kekaburan, kesamaran, khayalan serta kepastian. Walaupun ada pelbagai golongan di kalangan Ahli Falsafah,mereka tidak dapat mengelakkan diri daripada kekufuran dan ilhad (atheist) samada Ahli Falsafah yang terdahulu mahupun yang terkemudian. Ada yang terlalu jauh dari kebenaran dan ada yang hampir. (Al-Ghazali : 1991).

Al-Ghazali membahagikan golongan falsafah itu hanya kepada tiga kelompok sahaja iaitu:
1. Ad-Dahriyyun (The Materialist)
2. At-Tabi’iyyun (The Naturalist)
3. Al-Ilahiyyun (The Theist)

Kelompok pertama yang dinamakan sebagai ad-Dahriyyun adalah terdiri daripada mereka golongan ahli falsafah yang terdahulu.Mereka menyangkal tentang adanya pencipta yang mengatur alam ini.Mereka berpendirian bahawa alam ini wujud dengan sendirinya dari azali tanpa ada pencipta. Lahirnya haiwan daripada nutfah dan lahirnyanutfah daripada haiwan,begitulah menurut mereka yang telah dan akan terjadi,yang berpanjangan buat selama-lamanya. Mereka itu dikenali sebagai golongan Zindiq.

Golongan kedua iaitu at-Tabi’iyyun adalah mereka yang menumpukan kajian mereka kebanyakannya mengenai keunikan yang terdapat pada alam haiwan dan tumbuh-tumbuhan.Mereka juga terlibat di dalam membedah anggota-anggota haiwan itu yang dikenali sebagai Ilmu Anatomi (Ilm at-Tasyrih).Kekaguman mereka terhadap keunikan ciptaan Allah s.w.t ini mendorong mereka mengakui bahawa di sana adanya Maha Pencipta yang Maha Bijaksana.Disebabkan terlalu banyak mengkaji alam ini,maka mereka bahawa temperement (keseimbangan sifat dan keadaan tabiat semula jadi) memberi kesan yang besar dalam menegakkan daya haiwan itu sendiri.

Lalu mereka menyangka keadaan sedemikian turut sama berlaku kepada manusia iaitu kecerdasan akal manusia juga bergantung kepadatemperementnya juga.Jika ia musnah maka akal manusia juga turut musnah dan tiada lagi. Begitu juga jiwa manusia yang mati tidak akan dapat hidup kembali dan mereka ini sekaligus mereka menafikan adanya alam akhirat. Ini telah menyebabkan mereka menjadi Zindiq walaupun pada asalnya mereka beriman dengan Allah dan sifat-sifat-Nya. Golongan ketiga pula dikenali sebagai al-Ilahiyyun. Golongan ini lahir terkemudian seperti Socrates yang merupakan guru kepada Plato manakala Plato pula menjadi guru kepada Aristotle. Aristotle inilah yang menyusun Ilmu Mantiq, merapikan kaedah-kaedah sains serta mematangkan ilmu yang sebelumnya yang dianggap masih belum sempurna.

Setelah mendalami Ilmu Falsafah, ternyata pada al-Ghazali bahawa ianya tidak mampu membawanya kepada makrifatullah.Beliau melebelkan ahli falsafah sebagai Ahl al-Mantiq wa al-Burhan iaitu mereka yang berpegang kepada logik dan demonstrasi ilmu semata-mata.Lantaran itu al-Ghazali menolak falsafah. Al-Ghazali mengecam ahli falsafah kerana mementingkan kebenaran bersifat rasional dan hikmah kemanusiaan (human wisdom) melebihi hikmah bersifat ketuhanan (revealed wisdom). Beliau turut mengkritik ahli-ahli falsafah termasuk al-Farabi dan Ibn Sina sehingga sampai ke tahap mereka dikafirka.

Bathiniyyah Yang Terpesong

Setelah selesainya kajian beliau terhadap Ilmu Falsafah dimana beliau berjaya mengumpul,memahami serta mendedahkan kepalsuannya di mana sahaja di dapati,al-Ghazali meneruskan pengkajiannya kepada al-Bathiniyyah disebabkan matlamatnya untuk mencari kebenaran yang hakiki masih belum tercapai.

Sewaktu ajaran al-Bathiniyyah yang diantaranya dikenali sebagai Mazhab Ta’limiyyah berkembang,al-Ghazali telah mendapat amanat daripada Khalifah pada masa itu supaya menyusun sebuah buku bagi mendedahkan hakikat sebenar kepalsuan ajaran ini.Beliau mengumpulkan banyak bahan dan buku yang berkaitan dengan ajaran ini.Apa yang al-Ghazali dapati,terdapat banyak perkataan baru yang sengaja direka oleh masyarakat pada masa itu.

Al-Ghazali kemudiannya meneruskan penentangan kepada Mazhab Ta’limiyyah ini dengan mengarang beberapa buah buku iaitu:
1. Al-Mustadhirri
2. Hujjah al-Haq
3. Mufassil al-Khilaf
4. Al-Daraju
5. Al-Qistas al-Muqtasim
Setelah Al-Ghazali selesai mendedahkan tembelang Mazhab Ta’limiyyah ini, al-Ghazali kemudiannya meninggalkan kelompok ini kerana sudah jelas bahawa mereka tidak boleh diterima.Al-Ghazali kemudiannya meneruskan pengkajiannya terhadap Ilmu Tasawwuf pula.

Sunday, 16 October 2011

Tinjauan terhadap teori mencari kebenaran oleh Imam al-Ghazali (Siri II)

Meragui Pancaindera dan Akal

Al-Ghazali di dalam al-Munqidhnya menyatakan:
“Apabila aku mengamati segala pengetahuanku, rupa-rupanya aku ini kosong tidak berisi dengan Ilmu Yaqini seperti yang didamkan itu. Aku hanya berisi dengan ilmu tanggapan pancaindera dan tanggapan akal. Maka aku menyatakan, “Sekarang putus asa yang melanda jiwa tidak ada jalan penyelesaian bagi mendapatkan Ilmu Yaqini itu kecuali hanya dari bidang ‘self-efvident’ itu dari tanggapan pancaindera dan tanggapan akal.Ini kerana hanya dua perkara inilah yang ada padaku. 


Maka aku mestilah mendapatkan penyelesaiannya sekarang,samada boleh atau tidak aku berpegang kepada dua perkara itu dengan penuh keyakinan. Apakah tanggapan keyakinan meyakinkan aku? Bolehkan aku terselamat daripada sebarang kesesatan dengan berpegang pada tanggapan akal? Atau hasilnya sama sepertimana terselamatnya aku suatu ketika dahulu dengan berpegang kepada taqlid? Atau sama dengan orang ramai yang percaya kepada segala hasil pemikiran nazari? Atau ia memang benar-benar menyelamatkan dan boleh dipastikan tanpa ada kekeliruan atau tipu daya sebaliknya.”


Keraguan menjadi pencetus

Menerusi monolog yang beliau alami, tergambar bahawa al-Ghazali mula diselubungi dengan keraguan. Maka bermula dari situ, beliau mula bersungguh-sungguh untuk mengamati apa yang terdapat pada pegangan pancaindera dan tanggapan akal. Al-Ghazali mahu memastikan samada kedua-dua perkara ini boleh diragui atau tidak. Beliau kemudiannya berkeyakinan bahawa tanggapan pancaindera itu tidak terselamat daripada kesilapan dan kekeliruan.Beliau cuba mencari jalan untuk menghilangkan keraguannya terhadap pancaindera.

Al-Ghazali membuat perumpamaan seperti mana deria melihat iaitu deria paling kuat. Apabila kita memerhatikan bayang, kita akan mendapati bahawa bayang itu tetap dan tidak bergerak, lalu menyimpulkan bahawa bayang adalah tidak bergerak. Tetapi apabila dikaji dan diamati secara teliti, selepas seketika kita akan mendapati bahawa bayang itu sebenarnya bergerak sedikit demi sedikit, seatom demi seatom. Sebagai contoh lain, apabila kita memerhatikan bintang-bintang di langit, mereka akan kelihatan kecil seperti kepingan duit logam. Tetapi jika dikaji berdasarkan Ilmu Matematik dan Ilmu Geometri maka akan jelas kepada kita bahawa bintang itu sebenarnya berlipat kali ganda besarnya daripada bumi.

Pancaindera menurut al-Ghazali memberikan maklumat yang salah serta mengelirukan. Kesalahan dan pendustaan yang dilakukannya hanya dapat diketahui dengan menggunakan akal. Apabila tanggapan akal bertentangan dengan tanggapan pancaindera maka tanggapan pancaindera tidak dapat mengatasi tanggapan akal. Al-Ghazali merasakan bahawa beliau perlu berpegang dan percaya kepada tanggapan akal yang aksiomafirst principles iaitu al-awwaliyyat seperti satu persepuluh lebih banyak daripada tiga, dalam satu masa ada dan tiada, tidak boleh berkumpul pada suatu benda, tidak boleh dikatakan dialah yang ada dan dialah yang tiada, dialah yang wajib dan dialah yang mustahil.

Al-Ghazali kemudiannya merasakan bahawa tiada sesuatu pun yang boleh menjaminnya terselamat jika menggunakan akal sepertimana beliau pernah merasakan terselamat jika berpegang dengan pancaindera.Jika tidak kerana akal,maka beliau akan berpegang kepada pancaindera dan ada kemungkinan ada perkara yang sebaliknya sepertimana akal dapat membuktikan kepalsuan terhadap pancaindera.Sekalipun perkara itu tidak jelas ia tidak bererti ianya tiada.

Perkara tersebut berlanjutan apabila beliau memikirkan peristiwa-peristiwa yang berlaku semasa tidur iaitu di dalam mimpi. Perkara yang terjadi di dalam mimpi adalah benar sepertimana yang dapat dilihat dan ditanggapi oleh pancaindera,akan tetapi kenbenarannya hanyalah dapat diketahui apabila seseorang itu terjaga dari tidurnya dan mendapati ia tidak mendatangkan apa-apa pun.

Jika pada waktu jaga akal dapat dipercayai sebagai benar dan nyata, namun mengapa ketika di dalam mimpi akal itu tidak dapat membezakan antara dunia realiti dan dunia mimpi (Al-Ghazali : 1991). Al-Ghazali berada di dalam keadaan ini selama dua bulan lamanya. Beliau akhirnya kembali pulih setelah kembali menilai semula penggunaan akal sebagai sumber untuk mencari kebenaran yang utama.

Beliau menukilkan:

“Dengan perasaan aman dan yakin,ia dapat menerima kembali pengertian awalli dari akal.Semua itu tidak mungkin berlaku dengan sebab dan penjelasan tetapi hanya dengan nur yang dipancarkan Allah ke dalam batinku.Kita hendaklah mencari sekuat tenaga yang perlu dicari supaya tidak lagi perlu mencarinya lagi.Pengertian awalli ini tidak perlu dicari lagi kerana ianya ternyata ada.Jika kita masih mencari apa yang sedia ada,maka ia akan menjadi samar serta mengelirukan.” 

Dengan menggunakan keupayaan akal,al-Ghazali meneruskan pengembaraannya untuk mendapatkan ilmu dan kebenaran terhadap sesuatu.Beliau memfokuskan kepada empat golongan pencari kebenaran di zamannya iaitu,al-Mutakallimun,al-Falasifah,al-Bathiniyyah, serta as-Sufiyyah. Al-Ghazali berharap beliau dapat menemui jawapan terhadap persoalannya salah satu dari kalangan empat golongan tersebut.Jika ianya gagal,maka akan tertutuplah hasratnya kerana tidak mungkin bagi beliau yang sudah meninggalkan konsep bertaqlid mahu menerimanya semula.Bagi beliau,orang yang bertaqlid tidak akan sesekali menyedari bahawa mereka sedang bertaqlid.

Saturday, 15 October 2011

Tinjauan terhadap teori mencari kebenaran oleh Imam al-Ghazali (Siri I)

Allah s.w.t telah menjadikan pada diri manusia itu akal yang sempurna.Ia perlu dibimbing dengan wahyu. Sebab itulah diutuskan para Nabi dan Rasul kerana terdapat perkara yang tidak mampu dicapai oleh akal manusia itu seperti perkara yang berkaitan dengan metafizik. Jika kita terlalu mendesak dan memaksanya untuk capai ketahap itu, maka kebanyakannya lebih cenderung untuk tersasar dari sampai ke matlamat sebenar. Allah s.w.t telah memilih dari kalangan hamba-Nya menjadi penerus untuk menyampaikan kebenaran yang hakiki.

Fitrah kepada kejadian manusia itu adalah mahu mencari kebenaran.Namun jalan yang digunakan kebanyakannya berbeza.Sebagai contoh, sikap al-Ghazali iaitu seorang tokoh Islam berketurunan Parsi (hari ini dikenali dengan R.I Iran) mengambil pendekatan meragui atau syak kepada sesuatu perkara itu kemudian beliau susulinya dengan mendalami serta mengkajinya.

Al-Ghazali dan Syakiyyah (skeptik atau ragu-ragu)
Keraguan atau skeptisme yang muncul di dalam hidup al-Ghazali telah tercetus daripada sikap dan pemikirannya yang sentiasa ingin mengetahui sesuatu.Pengalamannya bekecimpung dan mendalami pelbagai ilmu dari pelbagai aliran samada aliran bathiniyyah, falsafah, sufiyyah, kalamiyyah serta bidang-bidang yang lain telah banyak memberikannya satu nekad untuk mula menganalisis dan menilai bahawa golongan yang manakah sebenarnya yang benar untuk diikuti. 

Al-Ghazali merumuskan maksud sebenar ilmu adalah:

“Akhirnya, nyatalah kepadaku bahawa erti ilmu yang sebenarnya adalah dengan tersingkapnya sesuatu itu dengan jelas sehingga tiada lagi ruang untuk ragu-ragu;tidak mungkin tersalah atau keliru;tiada di dalam hati tempat untuk perasaan itu. 

Rasa aman dari bahayanya salah atau keliru itu harus diperkuatkan dengan suatu keyakinan sedemikian rupa sehingga sekiranya disangkal oleh seseorang yang sakti iaitu seperti mampu mengubah batu menjadi emas atau tongkat menjadi ular, maka hal itu tidak akan dapat menimbulkan keraguan sedikit pun terhadap keyakinan tadi. 

Kerana jika aku sudah meyakini bahawa – contohnya: sepuluh lebih banyak daripada tiga,kemudian ada orang yang mengatakan bahawa tigalah yang lebih banyak daripada sepuluh dengan alasan bahawa dia mampu mengubah tongkat menjadi ular serta dia telah membuktikan dihadapan mataku,walaupun begitu,aku tidak akan ragu terhadap pengetahuanku tadi…

Keraguanku terhadap apa yang telah aku yakini tidak akan sesekali berlaku.Kini aku menyedari bahawa apa pun yang aku ketahui jika tidak seperti di atas dan apa pun yang aku yakini jika ianya tidak seyakin itu maka yang demikian itu bukanlah pengetahuan (ilmu) yang patut menjadi peganganan dan tiada rasa aman di dalamnya. Setiap pengetahuan yang tidak memberikan perasaan aman (yakin) seperti itu maka ia bukanlah pengetahuan yang sebenarnya.”

Di sini kita dapat melihat bahawa pengetahuan terhadap sesuatu itu apabila ianya mencapai tahap keyakinan yang sebenar,maka tiada satu pun keraguan akan dapat mengatasi keyakinan itu walaupun terjadi sesuatu perkara yang mustahil seperti berlakunya perkara-perkara yang bercanggah dengan adat manusia.