Kemenangan Yang Hampir

Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu kemenangan yang nyata (Surah al-Fath 48:1)

Memaknai Hidup Dengan Perjuangan

Jadilah penolong-penolong agama Allah dalam menegakkan agamaNya di muka bumi ini

Kalam Murabbi

Amanat Untuk Pemuda dan Pemudi

Kesatuan Ummah

Kemudian jika kamu berselisih tentang sesuatu perkara, maka kembalilah kepada Allah dan Rasul (Surah An-Nisa’4:59)

Pedulisme dan Faham

Barangsiapa tidak mengambil berat tentang urusan umat Islam, maka bukanlah mereka daripada kalangannya (HR al-Bukhari)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
“Sesungguhnya perjuangan itu tidak mengenal erti penat & lelah. Demi Islam tercinta, ia perlu diteruskan. Semoga usaha untuk menyampaikan risalah Islam ini diterima Allah sebagai salah satu amal jariah semasa menghadap-Nya pada suatu hari yang pasti akan tiba..”
blog's design by faizassyirazi. Powered by Blogger.

Monday 23 May 2011

CIA semakin agresif


Heidar Moslehi berkata kepada Press TV semalam (22/5) bahawa kementeriannya berjaya membongkarkan jaringan CIA yang bekerjasama dengan rakyat Iran. Menurut Menteri Risikan dan Keselamatan Iran itu, dengan perancangan yang rapi, Iran berjaya menggagalkan usaha perisik untuk merealisasikan matlamat mereka untuk membuat onar di Republik Islam itu. Menurutnya, apa yang penting, Amerika sehingga kini gagal dalam rancangannya ke atas Iran. Iran Sabtu lalu (21/5) telah berjaya menahan 30 individu atas tuduhan menjadi agen perisik Amerika (CIA), dan 42 lagi individu telah dikenalpasti terlibat dalam perkara tersebut.


Heidar Moslehi-Menteri Perisikan Iran


Menurut Moslehi, agen-agen tersebut menerima arahan dari CIA yang bekerja dibawah badan perisik Amerika. Kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Risikan dan Keselamatan Iran kelmarin, cawangan perisik ini dibangunkan oleh sejumlah besar agen CIA yang terlatih di beberapa buah negara yang bertindak untuk memperdayakan masyarakat menjadi perisik dengan menjanjikan imbuhan seperti menguruskan pengeluaran visa, menyediakan kediaman dan pekerjaan tetap, dan tawaran pengajian.



Agen-agen CIA telah mengumpulkan maklumat daripada universiti dan institut-institut kajian khususnya dalam bidang tenaga nuklear, aeroangkasa, pertahanan, dan industri bioteknologi. Para perisik mengumpulkan maklumat yang terperinci mengenai paip minyak dan gas, jaringan telekomunikasi dan elektrik, lapangan terbang dan cukai, sistem keamanan perbankan dan komunikasi menggunakan Konsulat di beberapa buah negara khususnya di Emirat Arab, Turki dan Malaysia. (sumber)



p/s : Baru-baru ini negara kita dikejutkan dengan tawaran CIA untuk merekrut anggota baru dari beberapa buah negara khususnya di Asia Tenggara (lihat sini dan sini). Banyak gambaran yang kita dapat perhatikan samada menerusi filem Hollywood seperti 007, Mission Impossible dan sebagainya untuk menunjukkan kepakaran dan kehebatan pasukan elit perisik Amerika mahupun menerusi kajian-kajian ilmiah.



CIA yang merupakan badan perisik khas di bawah Amerika memainkan peranan penting menyusun strategi yang halus untuk menguasai sesebuah negara khususnya negara umat Islam. Kejatuhan beberapa buah negara sebelum ini seperti Afghanistan, Iraq serta yang lainnya termasuklah isu peperangan antara negara umat Islam, isu pengebom bunuh diri di Iraq adalah didalangi oleh CIA. Banyak onar telah mereka lakukan demi kepentingan mereka dalam agenda untuk menghancurkan mana-mana negara yang tidak menyebelahi Amerika. Ironinya, ramai umat Islam yang tertipu dengan propaganda yang dibuat oleh mereka lalu umat Islam tertipu dan gagal membezakan antara realiti dan propaganda pihak musuh. Moga Allah memelihara umat Islam dari perancangan jahat musuh-musuh Islam.

Wallahu'alam

Amerika Dalam Isu Konflik Libya dan Syria



Dalam sebuah hipotesis yang dibuat seorang ulama Iran dalam menganalisis konflik dunia iaitu, "sesiapa sahaja yang berpihak (berkomplot) kepada Amerika maka mereka itulah pihak yang salah" ini terbukti kebenarannya dalam menganalisis pelbagai corak politik bahkan turut diterima oleh penganalisis Barat. Di mana sahaja Amerika mendapat tempat, di situlah terbukti mereka akan melakukan propaganda. Antara yang kita dapat lihat, seperti isu di Libya dan Syria. Di Libya, walaupun Gaddafi adalah seorang diktator terhadap rakyatnya, namun setelah Amerika campur tangan maka Amerika lebih dahsyat dan jahat dari Gaddafi.



Gaddafi memang kejam terhadap lawannya, namun dia juga sebagai pemimpin sebuah negara yang terkaya dengan minyak di Afrika yang diburu oleh serigala-serigala yang berselimutkan NATO. Apatah lagi ketika Gaddafi cuba untuk melaksanakan proses penukaran minyak dengan emas dan bukan dengan duit Dollar dan Euro. Gaddafi mengajak Afrika supaya turut menjual minyak dengan emas dan setelah ia terealisasi, maka wang Dollar dan Euro akan lingkup selingkupnya.



Justeru itu, golongan kapitalis seperti Amerika tidak akan sekali-kali membiarkan perkara ini berlaku dengan mudah. Mereka ingin dunia tunduk kepada mereka, bebas membeli emas menggunakan wang kertas yang nilainya jauh lebih murah. Maka dengan itu, Gaddafi perlu dinyahkan dan bagi menutupi niat ‘murni’ mereka, dengan menggunakan nama Humanitarian Intervention, mereka melakukan operasi ketenteraan terhadap Gaddafi dan seboleh-bolehnya seluruh keturunan Gaddafi itu perlu dihapuskan. Bukan untuk membela Gaddafi, namun Amerika jauh lebih jahat dan keji dalam propaganda mereka untuk menguasai negara lain khususnya yang kaya dengan sumber minyak.


Kerajaan Syria tidak sakral

Kerajaan Syria yang dipimpin oleh Basyar al-Assad juga tidak terlepas dalam melakukan kesilapan dalam memrintah. Basyar bukanlah pemimpin yang suci dan maksum yang perlu dipertahankan sampai mati. Namun kita perlu sedar bahawa, Syria dalam 60 tahun terakhir adalah berada dalam keadaan yang sangat berbeza dengan Amerika. Syria bersama-sama hidup bersahabat dengan Hizbullah, Hamas dan Iran dalam menentang Israel yang merupakan anak emas Amerika. Hipotesis tadi juga memberikan jawapan yang sama, seburuk-buruk Basyar, buruk lagilah Amerika itu.



Syria pada hari ini adalah negara yang semakin hari semakin meningkat kadar jumlah ‘penanam anggur’ disebabkan Basyar yang kurang cerdik dan diperbodohkan oleh IMF. Basyar menerima tunjuk ajar IMF adalah kerana untuk memulihkan ekonomi melalui pinjaman kewangan, reformasi perdagangan, pengkhususan yang akhirnya hanya memberi keuntungan kepada golongan yang kaya dan golongan yang miskin tertindas dan menganggur. Justeru itu, adalah wajar jika wujudnya demontrasi menentang Basyar.


Iran dan Syria sentiasa terkehadapan dalam membela Palestin

Amerika dalam perancangannya sudah lama mahu menjatuhkan Basyar menerusi alasan demokrasi pada masa sama mereka bersikap hipokrit, membela raja-raja Arab seperti di Saudi yang mengamalkan sistem monarki dan despotik. Memang betul ada sebahagian rakyat Syria yang membuat demontrasi menentang Basyar, namun di kalangan mereka, ada pendemo ‘elit’. Siapakah mereka itu sebenarnya? Mengapa para pendemo itu memiliki senjata tentera dan dari mana mereka memperolehinya? Dengan senjata tersebut mereka menyerang para pendemo dan pihak berkuasa Syria dan media-media Barat lansung tidak menyiarkan berita ini.


Hubungan yang baik antara Basyar al-Asad dan Hassan Nasrallah


Michel Choosudovsky, seorang pakar Timur Tengah dalam tulisannya mendedahkan bahawa terdapat begitu banyak bukti menunjukkan wujudnya manipulasi berita demontrasi di Syria bahkan media Barat lansung tidak melaporkan di sana ada juga demontrasi yang mempertahankan kerajaan Asad (seperti yang berlaku di Iran) dengan jumlah mereka jauh lebih besar. Asad sendiri meminta maaf kepada rakyatnya atas kekasaran yang dilakukan oleh pihak tentera dalam menangani mereka menunjukkan rasa kebertanggungjawabannya dan masih lagi berperikemanusiaan.


Gandingan tiga kuasa yang menggugat Amerika


Asad terkenal sebagai ‘bapa’ bagi jutaan pelarian Palestin dan Iraq. Sejak 63 tahun lalu, Syria menjadi tempat perlindungan bagi rakyat Palestin yang dihalau dari tanah air mereka sendiri (termasuklah Pemimpin Hamas, Khaled Mash’al). Syria kini menjadi pusat gerakan Hamas untuk membebaskan Palestin dari penakhlukan Israel. Sejumlah 500 ribu pelarian Palestin yang berada di Syria, keadaan mereka jauh lebih baik dari yang berada di Lubnan atau Jordan. Mereka mendapat layanan kesihatan dan perumahan seperti rakyat Syria sendiri. Bukan itu sahaja, perang Iraq baru-baru ini telah membawa ramai pelariannya ke Syria. Amerika kononnya datang ke Iraq untuk menyelamatkan warganya dari kedikatoran Saddam hakikatnya telah menyebabkan 1.5 juta warganya terpaksa melarikan diri demi mengelakkan dari menjadi mangsa keganasan. Rakyat Syria hanya sekitar 18 juta dan penerimaan Syria terhadap 2000 pelarian setiap hari (data pada tahun 2007) jelas menunjukkan sikap keterbukaan yang luar biasa.


Khaled Mash'al pemimpin Hamas yang hidup terbuang tapi terbilang


Jauh sekali jika mahu dibandingkan dengan Mesir pada zaman Mubarak yang begitu kejam menutup sempadan Rafah untuk menghalang pelarian Palestin meminta bantuan dari negara itu. Menurut UNHCR, disebabkan jumlah pelarian yang datang ke Syria begitu ramai, ia memberikan kesan dan beban yang besar kepada kerajaan Syria dalam memberikan perkhidmatan pendidikan, kesihatan, kediaman dan subsidi minyak seperti mana rakyat Syria yang lain. Tidak pelik jika Syria dinobatkan sebagai negara Timur Tengah yang terbaik dalam memberikan layanan sosial dan ekonomi kepada para pelarian.



Isu Palestin-Liga Arab lebih banyak bermesyuarat dari bertindak


Kini, Amerika dan sekutunya mahu menggulingkan Asad dengan nama demokrasi yang hakikatnya Asad adalah satu-satunya pimimpin Arab yang keras dan menolak untuk berdamai dengan Israel bahkan beliau banyak membantu Hizbullah dalam melawan pencerobohan Israel di Selatan Lubnan di samping menyediakan tempat perlindungan bagi pemimpin-pemimpin utama Hamas. Sudah tentu bagi Israel, Asad adalah duri dalam daging dan hanya dengan bantuan Amerika sahaja Asad dapat digulingkan.


Bekerjasama dengan Amerika tidak ubah seperti melepaskan anjing yang tersepit


Cara yang cukup familiar dengan Amerika adalah dengan membiayai kumpulan penentang di Syria untuk melawan Asad. Media pula digunakan sepenuhnya untuk menyebarkan propaganda, membesar-besarkan berita demontrasi di Syria termasuk dalam versi video-video dan gambar-gambar untuk tatapan masyarakat dunia. Al-Jazeera sendiri tidak terlepas dalam menjadi dalang untuk Amerika menyebarkan propagandanya supaya dunia redha terhadap Operasi Kemanusiaan dilakukan di Syria seperti mana di Libya bagi menggantikan mereka dengan pemimpin yang boleh dikawal sepenuhnya.


*Artikel ini diadaptasi dari IRIB dan penulis telah membuat sedikit olahan dan penyesuaian dalam Bahasa Melayu supaya lebih mudah difahami.

P/s : Seperti pada beberapa posting sebelum ini (sini dan sini), Amerika dan Israel kini mencari peluang untuk menjatuhkan kerajaan Syria setelah mereka gagal untuk berkuasa di Mesir dan beberapa negara yang sebelum ini berpemimpinkan boneka Amerika namun jatuh tersungkur ditumbangkan oleh rakyat mereka.Wallahu'alam..

Saturday 21 May 2011

Merenungi Erti Persahabatan




Manusia itu fitrahnya adalah perlu kepada seseorang yang bergelar sahabat atau seseorang yang padanya dijadikan tempat untuk meluangkan masa bersama-sama, berkongsi pengalaman, tempat meminta pandangan dan nasihat, penyelesai masalah dan sebagainya. Istilah sahabat kerap digunakan berbanding dengan rakan, dan kawan yang penggunaannya lebih bersifat umum (seperti rakan sekuliah dsb). Perkataan teman pula lebih merujuk kepada insan tertentu (seperti teman hidup, teman teristimewa dsb). Istilah sahabat diadaptasi dari perkataan Arab saḥābah. Menurut Ibn Manzur dalam Lisan al-'Arab, Isma'il Ibn Hammad al-Jawhari dalam Taj al-Lughah, Fayruz Abadi dalam Mu'jam al-Wasit, perkataan al-Ṣaḥābah berasal dari kata ṣaḥiba-yaṣḥabu- ṣuḥbah-saḥābah yang merujuk kepada yang ditemani, yang diikuti, pemilik dan yang memiliki. Demikian maksud secara leksikologinya.


Variasi dalam persahabatan

Dalam membina hubungan persahabatan dengan seseorang, ia bukanlah suatu perkara yang mudah. Jika tanpa disertakan sikap sabar, bertolak ansur, saling memahami dan sebagainya, maka sesuatu persahabatan itu tidak akan kekal lama. Penulis dan pembaca sendiri pastinya pernah mendapat sahabat yang pelbagai versi samada di alam kanak-kanak, remaja sehinggalah ke alam dewasa. Persahabat biasanya menjadi serius setelah seseorang itu memasuki alam persekolahan sehingga di IPT. Sebab itu sahabat memberikan kesan yang besar dalam kehidupan seseorang dan ironinya seperti yang kita lihat dewasa ini. Ramai remaja kita yang punah-ranah disebabkan tersalah memilih sahabat sekaligus menunjukkan hebatnya ’kuasa’ bersahabat itu.

variasi manusia itu hakikatnya tidak sama walau zahirnya kelihatan sama (gambar hiasan)


Dalam sahabat sendiri ada pelbagai variasi, antaranya:


1. Persahabatan Drypers (Lampin Pakai Buang)

Persahabatan sebegini biasanya boleh ditemui di alam kampus. Persahabatan ini terbina kerana melihat kepada kelebihan atau keistimewaan yang ada pada seseorang itu. Persahabatan ini hanya kekal selagi mana tempoh keistimewaan sahabatnya itu ada namun setelah mana ia habis dimanfaatkan, maka ia tidak akan dipedulikan dan dibuang ibarat lampin. Sebagai contoh dalam melakukan task atau assignment, ramai akan memilih mereka yang ’pandai buat kerja’ untuk diserahkan sepenuhnya tanggungjawab kepada sahabat tersebut walhal tugasan itu memerlukan partisipati bersama. Setelah selesai tugasan tersebut dan memperolehi markah, maka sahabat itu nilainya sudah tiada lagi. Persahabatan ini juga tidak sampai ke mana.


Berguna buat pemakai pertama

2. Persahabatan Kambing Hitam

Istilah kambing hitam biasa digunakan kepada seseorang yang diperalatkan untuk dipersalahkan dalam sesuatu perkara. Seseorang yang bersahabat untuk memperalatkankan sahabatnya supaya jika berlaku sebarang perkara yang tidak diingini dia dapat dipersalahkan dinamakan sebagai Persahabatan Kambing Hitam. Hakikatnya ia lebih buruk dari kambing hitam yang jarang kita dengari dikhianati oleh kambing-kambing yang lain walaupun berlainan warna. Persahabatan jenis ini biasa berlaku dalam kalangan mereka yang tidak mempunyai rasa tanggungjawab dalam persahabatan. Ia sama seperti segala kesilapan yang kita lakukan, kita letakkan kepada sahabat kita yang tidak bersalah. Persahabatan ini pastinya akan membawa kepada permusuhan dan dendam yang berpanjangan.




3. Persahabatan Topap

Persahabatan topap pula merujuk kepada persahabatan yang dibina dalam suatu tempoh yang tertentu seperti topap. Jika kita mengisi RM10 maka tempoh aktif kredit hanyalah seminggu dan sebegitulah seterusnya. Persahabatan ini terjalin tanpa ada sebarang kepentingan dan sudah memadai jika dinamakan sahabat. Persahabatan ini jenis bermusim, adakalanya seseorang itu menjalinkan persahabatan selama seminggu kerana sama-sama mengikuti kurus yang sama lalu mereka akan sentiasa dalam keadaan bersama. Setelah habisnya tempoh kursus tersebut atau rasa boring dengan sahabatnya itu, dia akan beralih untuk mencari sahabat yang lain pula.




4. Persahabatan Pisau

Pisau sifatnya adalah menghiris dan memotong dan boleh digunakan untuk menikam jika disalahgunakan. Persahabatan ini terjalin pada mulanya dengan niat yang baik namun setelah dalam beberapa tempoh dia bersahabat, dia mendapati ada kelompangan pada sahabatnya. Dia mula merasakan ketidak serasian dengan sahabatnya itu lalu berusaha untuk menjauhinya. Segala kebaikan yang pernah dilakukan oleh sahabatnya dia tidak lagi melihatnya sebaliknya hanya melihat keburukan sahabatnya sahaja. Bukan sekadar itu sahaja, dia menjaja segala keburukan sahabatnya itu kepada orang lain supaya dia dijauhi dan apabila tiada orang yang ingin bersahabat dengan sahabatnya, barulah terukir senyuman kepuasan di bibirnya.



Ibarat ditikam tapi tidak mati

Maka dengan itu, dia membuat fitnah dan tohmahan terhadap sahabatnya hanya kerana dia tidak berpuas hati dengan sahabatnya dalam beberapa perkara khususnya apabila melibatkan perbezaan pandangan. Ibarat pisau yang jika digunakan untuk memotong sayur maka ia mendatangkan manfaat sebaliknya jika digunakan untuk menikam melukakan atau membunuh maka ia membawa kepada kefasadan. Zaman kini, sahabat jenis pisau yang selalu ’menikam’ ini amatlah ramai dan tidak kurangnya juga jumlah yang ’terkorban’ dek tikaman itu. Tidak ramai yang dapat bertahan dengan persahabatan jenis ini.


Apabila cantas-mencantas menjadi tradisi..


5. Persahabatan Mutiara

Persahabatan Mutiara adalah persahabatan yang dibina dalam suatu tempoh yang agak lama seperti mana lamanya proses untuk membentuk sebiji mutiara sehingga memakan masa bertahun-tahun sehingga berdekad-dekad. Persahabatan ini tidak terbina kerana melihat atau mahukan kepentingan tertentu kepada orang yang bersahabat dengannya sebaliknya ia ditaut semata-mata demi mendapat redha Allah. Peranan sahabatnya bukanlah sekadar sebagai seorang sahabat semata-mata malah lebih dari itu. Sahabat itulah tempat untuk meminta nasihat dan pandangan, berkongsi suka dan duka dan sebagainya.



Hanya dengan usaha beserta kesabaran baru dapat memilikinya..


Malah sahabat itu juga akan segera menegur setiap kelemahan dan kesalahan sahabatnya secara berhemah dan berhikmah dan bukannya seperti Persahabatan Pisau. Setiap kekurangan yang ada pada sahabatnya akan diterima seadanya kerana niatnya tulus kerana Allah. Jika sahabatnya itu kecewa maka dia akan segera memberikannya semangat untuk bangun kembali dan jika sahabatnya bersedih dia akan berusaha untuk menggembirakannya. Dia tidak diam jika sahabatnya melakukan kemungkaran, dan sentiasa mengajak sahabatnya untuk sama-sama melakukan kebaikan. Dan ini adalah sahabat yang dinamakan sebagai Sahabat Dunia Akhirat. Bagaimanapun, cukup sukar untuk menemui persahabatan sebegini apatah lagi di akhir zaman ini.


Rasulullah dan Persahabatan

Contoh paling hampir adalah Rasulullah s.a.w yang amat mengasihi para sahabatnya walaupun adakalanya di kalangan mereka yang ’nakal’ kepada baginda. Baginda sentiasa bertolak ansur dengan sahabat-sahabatnya namun bersikap keras jika sahabatnya ada melakukan kesalahan. Baginda akan menegur mana-mana sahabatnya dengan cara yang paling hikmah semata-mata demi menjaga hati dan perasaan sahabatnya. Kesannya, para sahabat itu sentiasa menjadi pendokong dan perisai baginda sepanjang hayat baginda daripada tangan golongan musyrikin dan munafiqin. Antaranya adalah Saidina Abu Bakar yang menurut Tarikh Ibn Ishaq, telah dibawa bersama-sama Nabi s.a.w dalam hijrah baginda, dan Saidina Ali b. Abi Thalib mempertaruhkan nyawanya untuk tidur menggantikan tempat Nabi s.a.w. Demikian juga sahabat baginda s.a.w yang lain yang taat dan patuh kepada seluruh perintah baginda.


Rasulullah amat menjaga adab dengan para sahabatnya (gambar hiasan)


Falsafah Persahabatan

Tidak ramai manusia yang memahami erti sebenar persahabatan itu walaupun adakalanya mereka bersahabat sekian tahun lamanya. Ada persahabatan yang dijalin dalam tempoh yang lama namun mereka sentiasa bergaduh walaupun perkara remeh temeh (cthnya: Antara ayam dan telur, mana yang keluar dahulu?). Ada pula dalam tempoh tersebut persahabatan itu hanya bersifat memenuhi syarat asas untuk berkawan semata-mata seperti tempat untuk berborak, berkongsi rokok dan sebagainya. Setelah menikmati kepuasan sesuatu perkara itu bersama, mereka akan pulang membuat kerja masing-masing dan jauh sekali untuk mengajak atau memperingati antara satu sama lain mengenai hukum hakam agama.

Sebanyak mana sekalipun tujuan persahabatan, hakikatnya ia menuju kepada kegagalan selagi mana tujuannya bukanlah kerana Allah dan Rasul-Nya. Hanya kerana itu, segala kemaslahatan bersama samada perkara yang bersifat duniawi dan ukhrawi dapat dijaga secara bersama. Menyentuh kepada perkara ini, Nabi bersabda:


أوثق عرى الايمان الحب في الله والبغض في الله

”Sekuat-kuat ikatan iman seseorang itu adalah cinta kerana Allah dan benci kerana Allah” (HR Tirmidzi dan Ahmad)


Tafahum (saling memahami) perlu ada dalam persahabatan


Justeru itu, sebarang ikatan yang ditaut khususnya dalam persahabatan dasarnya adalah kepada Allah dalam apa jua keadaan. Sebaliknya, ia akan diresapi dengan unsur negatif yang dapat memecah-belahkan hubungan persahabatan yang telah dibina. Firman Allah s.w.t yang bermaksud:


“Teman-teman pada masa itu setengah dengan setengah yang lain adalah musuh melainkan yang bertakwa.” (Surah al-Zukhruf: 67)


Nabi s.a.w pernah bersabda :

المرء على دين خليله فالينظر من يخالل

Seseorang itu adalah (mengikut) agama orang yang dikasihinya, maka lihatlah dengan siapa yang dia kasihi.


Islam amat menitik beratkan soal persahabatan dan kerananya seseorang itu boleh tersesat dari jalan kebenaran jika dia silap memilih sahabat. Orang yang baik kebiasaannya tidak akan menjadikan orang yang jahat sebagai teman rapat mereka melainkan tujuan murni mereka adalah untuk berdakwah dan mengubahnya. Jika tidak, suatu hari nanti mereka juga akan terkena tempiasnya dan lebih teruk apabila dia terpengaruh menjadi jahat. Sebab itu Allah berfirman yang bermaksud:

“Wahai orang yang beriman! Bertakwalah dan hendaklah kamu bersama-sama orang yang bersifat benar.” (Surah at-Taubah: 119)

Dalam satu ayat lagi, Allah menceritakan mengenai penyesalan orang yang bertemankan si jahat.

“Aduhai, kiranya aku tidak menjadikan si pulan itu sebagai teman, sesungguhnya dia telah menyesatkan aku dari al-Quran, selepas aku didatangi olehnya. Dan sesungguhnya syaitan mendustai manusia.” (Surah al-Furqan: 28)

Kepentingan memilih sahabat yang baik juga turut dirakamkan pada sabda Nabi s.a.w yang bermaksud:

“Diumpamakan rakan yang soleh dan rakan yang jahat ialah seperti (berkawan) dengan penjual minyak wangi dan tukang besi. Penjual minyak wangi tidak akan mensia-siakan anda, sama ada anda membelinya atau hanya mendapat bau harumannya. Tukang besi pula boleh menyebabkan rumah anda atau baju anda terbakar, atau mendapat bau busuk.”


Ukhwah Dalam Persahabatan
Hubungan persahabatan yang tulus dan suci akan melahirkan rasa ukhwah yang mendalam. Ukhwah yang terbina atas dasar keimanan dinamakan Ukhwahfillah yang merujuk kepada ikatan keimanan yang terbina atas dasar kerana Allah yang melahirkan ketaqwaan dan kesungguhan untuk berpegang teguh dengan tali Allah (hablillah). Firman Allah:

انما المؤمنون اخوة

"Sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara"

Ramai yang berkata, jika demikian, maka mana ada sahabat yang perfect dalam semua aspek. Ya, itu memang benar melainkan hanya Rasulullah s.a.w sahaja, namun perlu diingatkan. Walaupun kita tidak dapat menjadi yang tesempurna, tidak semestinya kita tidak boleh berusaha ke arah itu setidak-tidaknya adanya secebis usaha yang dilakukan untuk mengislahkan diri kita dan orang lain. Untuk akhirnya, penulis dedikasikan nukilan ini untuk semua pembaca khususnya dikalangan mereka yang pernah bersahabat dengan penulis.. Selamat menghayati..

Ingatlah sahabat…
Bunga itu menguntum indah,
Menyeri dan mekar memerah,
Dipuji dengan berbagai-bagai madah,
Esoknya bunga itu gugur ke tanah,
Serpih demi serpih ia punah,
Tanpa daun dan kelopaknya musnah.

Sahabatku…
Engkau bukan layu seperti bunga,
Dan aku bukan kumbang yang akan mengambil madunya,
Lambang bunga lambang sementara cuma,
Tetapi perjuangan kita tiada penghujungnya,
Daerah kita bukan daerah cinta,
Bukan masanya untuk memujuk kasih asmara,
Tiada senda gurau memanjang yang meleka,
Kerana kita dalam memperjuangkan agama.

Sahabatku..
Disini uda dan dara telah berkubur,
Kita bina atasnya jihad yang subur.

Ingatlah sahabat…
Bumi kita bumi yang payah,
Penuh peluh, air mata dan mungkin darah,
Bila kita jejak tapaknya perlu punyai wadah,
Ikuti dibelakang ulama’ supaya tak goyah,
Bila dikatakan pada mu: Perjuangan itu amat susah,
Kau katakanlah kembali: Aku mengharap hanya keredhaan dari Allah.

Sahabatku…
Semalam telah layu sekuntum bunga,
Telah gugur dari jambangannya,
Tetapi itu bukan perjuangan kita,
Bukanlah itu sebagai lambangnya,
Mulut telah kaku untuk bertanya,
Hati malu untuk memikirkannya,
Tidak seperti dahulunya,
Kita kuat berhujah dan bersuara.

Ingatlah sahabatku..
Kerana dulu dan kini kita tetap seorang mujahid,
Yang merindukan dan memburu syahid,
Maaf kiranya tuturku yang pahit.

Senyumlah sahabat..
Senyumlah dan serilah wajah,
Walau pudar dan hambar datang tak sudah,
Belajarlah menjadi seorang mujahid dan mujahidah,
Doaku agar kita berani seperti Hamzah,
Malah punyai semangat seperti Sumayyah.

Wallahu'alam..

Thursday 19 May 2011

Taksub: Barah Umat Islam (Bhg II)


Kaedah Manar al-Zahabiah dan Rashid Redha

Qaradhawi dalam respond beliau seperti pada posting yang lalu (link) mengakui bahawa Sayyid Rashid Redha tidak mencipta kaedah ini tanpa dalil. Sesiapa yang menelitinya akan mendapati bahawa beliau telah mengambilnya daripada pertunjuk Quran, Sunnah dan salafus soleh. Seterusnya ia didasarkan pula kepada fenomena realiti dan keperluan umat islam kepada perpaduan yang kental dan tolong menolong di dalam menghadapi musuh yang ramai. Musuh yang sentiasa bersatu padu di dalam mengahadapi umat islam ,meskipun mereka bertelingkah sesama mereka dalam banyak perkara. Al-Quran telah memberi amaran keras mengenai perkara ini. Al-Quran menegaskan bahawa kaum kuffar bantu membantu sesama mereka, sedangkan dalam waktu yang sama kau, muslimin tidak bantu membantu sesama mereka.

Firman Allah:

وَالَّذِينَ كَفَرُوا بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ إِلَّا تَفْعَلُوهُ تَكُنْ فِتْنَةٌ فِي الْأَرْضِ وَفَسَادٌ كَبِيرٌ


Maksud firman Allah “jika kamu (wahai umat islam) tidak menjalankan (dasar bantu membantu sesama kamu yang diperintahkan oleh Allah) iaitu, sekiranya kaum muslimin tidak bantu membantu dan saling kuat menguati antara satu dengan yang lain sepertimana yang dilakukan oleh orang kaum kuffar, nescaya akan berlaku fitnah dan kerosakan yang besar di muka bumi, ini ialah kerana wujudnya ikatan perpaduan yang kental dan tolong menolong di kalangan kaum kuffar sedangkan kaum muslimin berpecah belah.


Kesatuan yang diidamkan oleh mukmin dan dibenci oleh munafiq

Seorang islam yang ingin melakukan islah akan menyeru umatnya supaya bersatu dan saling bantu membantu di dalam mengahadapi kuasa yang menentang mereka; kuasa yang saling tolong menolong sesama mereka serta mempunyai kemampuan dan kekuatan yang hebat. Beliau juga akan menyeru mereka melupakan segala perselisihan di dalam perkara juz’i demi menentukan hidup-matinya umat dan mencapai matlamat umum mereka.

Apakah yang dapat dilakukan oleh seorang islam yang melihat suasana bantu membantu antara Yahudi sedunia, penganut-penganut Kristian Barat, Komunis antarabangsa dan penyembah-penyembah berhala di Timur sesama mereka di luar alam islami, sedangkan di masa yang sama dia melihat umatnya berpecah-belah dan saling hentam menghentam di dalam alamnya? Satu-satunya perkara yang dapat dilakukan ialah menyeru mereka semua muslimin agar mereka berdiri di dalam satu saf untuk mengahadapi kuasa jahanam yang mempunyai kekuatan tentera, kewangan, tipu daya, kebijaksanaan dan perancangan yang rapiuntuk memusnahkan zahir dan batin mereka (Muslimin). Oleh itu mereka yang melakukan islah, menyambut baik kaedah ini serta cuba sedaya upaya untuk merealisasikannya. Al Imam Hasan al-Banna ialah orang yang paling jelas dapat dilihat menyambut kaedah ini hinggakan ramai ahli Ikhwan menyangka beliaulah yang menciptanya.


Apakah Quran itu diturunkan untuk memecah belahkan umat Islam?

Hal demikian hakikatnya telah lama ditunjukkan oleh samada ulama’ mazhab fiqhiyyah mahupun aqadiyyah. Imam Abu Yusuf (sahabat besar Imam Abu Hanifah dan yang paling afdhal dan kalangan mereka) telah berbincang dengan Imam negeri hijrah (Madinah) iaitu Imam Malik bin Anas lalu bertanya kepadanya tentang kadar gantang, masalah `al-albbas’ (waqaf) dan zakat sayuran. Imam Malik telah menjawabnya berdasarkan apa yang ditunjukkan oleh hadis di dalam masalah itu. Imam Abu Yusuf lantas berkata: “Aku menarik balik (pendapatku) kerana kata-katamu wahai Abu Abdullah (Imam Malik bin Anas). Sekiranya sahabatku (Imam Abu Hanifah) melihat apa yang aku lihat, nescaya dia akan menarik balik (pandapatnya) sebagaimana aku.”

Inilah keinsafan yang merupakan hasil dari ilmu yang tinggi dan ijtihad yang sahih. Sesungguhnya semua yang datang daripada imam-imam rahimahumallah menegaskan hakikat ini. Abu Hanifah telah berkata: “Inilah pandanganku. Ianya adalah pandangan yang terbaik padaku. Sesiapa yang membawa pandangan yang lebih baik, maka kami akan menerimanya.” Imam Malik juga pemah berkata: “Sesungguhnya aku adalah manusia yang betul dan silap. Oleh itu periksalah kata-kataku dengan al-Quran dan sunnah.”






Jelaslah di sini bahawa kewajipan seorang muslim adalah bertanya kepada ahli ilmu apabila dia tidak mampu mengetahui hukum-hakam daripada dalil-dalil. Tidak wajib dia mengikut satu mazhab yang tertentu kerana kewajipannya hanyalah apa yang diwajibkan oleh Allah dan Rasul-Nya sahaja. Allah dan Rasul-Nya tidak mewajibkan seseorang itu menjadi Hanafiah, Syafi’yah, atau lainnya. Pembentang (pensyarah) kitab `Musallamuth Thubut’ telah berkata: “Mewajibkannya (taklid kepada mazhab tertentu) adalah seperti mengadakan syariat baru.”


Kesan daripada taksub

Justeru itu, adalah suatu yang amat tidak wajar di kalangan umat Islam yang masih mempunyai sikap taksub kepada sesesuatu pihak melebih Islam itu sendiri. Dalam catatan sejarah Islam, umat Islam pernah menyaksikan perang saudara di kalangan Muslim bermazhab Syafi’e dan dengan Muslim bermazhab Hanafi. Para Imam besar mereka jauh sekali untuk mengajarkan perkara sedemikian. Lantasan sikap taksub terhadap aliran masing-masing, mereka saling bunuh membunuh antara satu sama lain sekaligus mengepikan agama Islam yang merupakan agama yang dapat menyatukan seluruh penganutnya tanpa mengira latar belakang fikrah dan pemikiran mereka. Penyatuan tersebut bagaimanapun terjana dari sikap Muslim yang faham dan bukan yang jahil yang hanya sekadar mendengar pandangan pihak-pihak tertentu lalu dan membawa pemikiran itu kepada pihak yang lain.


Hakikat taksub itu ada pada kita

Realiti umat Islam khususnya kalangan yang berpendidikan khususnya golongan mahasiswa dan sarjanawan, masih lagi ada yang mempunyai mentaliti sebegini. Waktu-waktu mereka hanya disibukkan dengan isu hukum menghukum kepada pihak yang lain berbanding berfikir untuk mencari solusi kepada permasalahan yang lebih besar yang berlaku dalam masyarakat Muslim. Sikap malas untuk mengkaji dan tidak menilai secara cermat pandangan antara pihak yang berbeza pandangan antara faktor penyelewengan dalam dunia ilmu. Tanggapan mereka bahawa sesuatu yang didengari daripada pihak yang ‘berautoriti’ itu sudah memadai tanpa mereka berusaha mentahqiqkan (mengesahkan) lagi sesuatu pandangan tersebut. dengan erti kata menilai sumber primer itu dengan sebenar-benarnya.



Kaedahnya tidak jauh seperti metodologi penafsiran ayat Quran yang mengandungi maksud yang samar-samar. Sebagai contoh, ada para sahabat yang memahami benang putih dan benang hitam (الخيط الأسود والخيط الأبيض) sebagai benang yang biasa sebagaimana yang difahami oleh akal manusia. Namun setelah merujuk kepada Rasulullah s.a.w yang merupakan ‘sumber primer’, benang tersebut adalah kiasan kepada waktu (waktu fajar dan waktu tenggelamnya matahari). Bukankah bangsa Melayu ini sinonim dengan pribahasa ‘hanya jauhari mengenai manikamnya?” Bagaimanapun konsepnya ramai yang gagal menghayatinya sebaliknya lebih suka kepada ‘benda yang sedia ada’ tanpa perlu lagi kepada penelitian dan penapisan semua secara lebih halus. Tanggapan ini seolah-olah mensakralkan sumber-sumber yang bersifat sekunder tanpa menyedari ia tidak terlepas dari pengaruh nafsu dan syaitan yang menghasut dalam diri manusia.

Bebaskan diri anda dari belenggu taksub

Maka ketulusan dan kekualitian nilai ilmu itu gagal dicapai. Sebab itu apabila seseorang itu ketika ditanya, “kenapa enta kata macam ni?” jawapan yang diberikan cukup mudah, “betul, ana yakin dengan hujah ana sebab ust dan profesor ana sendiri cakap macam tu juga. Tak kan lah diaorang silap sebab ilmu mereka lebih tinggi dari kita.” Persoalan yang timbul, apakah kesemua pandangan mereka semua benar belaka dan fitrah mereka suci dari mempunyai sikap prejudis terhadap sesuatu perkara? Bukan untuk mempertikaikan kredibiliti mana-mana pihak, namun alangkah lebih baik dan manis jika sesuatu pandangan yang kita terima kita perkemaskan dan perhalusi lagi supaya tidak wujud kesalahfahaman dan terambil maklumat yang salah ketika menerima sesuatu sumber. Walau bagaimanapun, ia tidaklah menafikan keberadaan golongan yang lebih cermat dalam menerima sumber atas keikhlasan dan keadilan mereka dalam hal tersebut sekaligus memberikan ruang untuk diberi petunjuk kepada kebenaran.

Wallahu’alam..

Taksub: Barah Umat Islam


Beberapa bulan lepas, saya ada menulis mengenai Ego sebagai satu barah dalam qiadah (kepimpinan) Islam (link). Sengaja penulis memilih istilah barah kerana sifat barah itu sendiri adalah berbahaya kepada penghidapnya jika tidak diubati pada peringkat permulaan. Hakikatnya tidak ubah seperti penyakit hati seperti mana penyakit hasad, riak, sombong dan sebagainya yang banyak dikupas oleh moralis Islam Imam al-Ghazali dalam Ihya' Ulumuddin, Ibn Miskawayh dalam Tahdhib al-Akhlaq, Al-Razi dalam Tib al-Ruhani dan moralis-moralis Islam yang lain. Kini, sampai masanya untuk penulis berkongsi dengan pembaca sekalian mengenai barah yang kian kronik dihidapi oleh umat Islam dewasa ini.


Apa itu taksub?

Taksub dan ketaksuban seringkali difahami sebagai berpegang kepada sesuatu tanpa melihat kepada kebenaran yang terangkum di dalamnya. Perkataan fanantik kerap digunakan untuk menggantikan perkataan taksub. Perkataan fanatik mengikut Kamus Besar Bahasa Melayu Utusan (1995: 476) bermaksud taksub, tegar hati, kuat pegangan, kuat keyakinan dan kuat kepercayaan. Fanatisme pula ialah kepercayaan yang sangat kuat, terlampau kuat atau kepercayaan yang kuat.


Fanatik pula?

Fanatik juga didefinisikan sebagai seorang yang menunjukkan keghairahan yang melampau dan kegigihan terhadap ketaatan membabi buta khususnya terhadap beberapa perkara kontroversi (sebagaimana dalam agama, politik atau falsafah). Biasanya seseorang itu menyeru terhadap pegangannya secara bersemangat dan ia adalah suatu desakan tanpa alasan dan tanpa tolak-ansur (Webster's Third New International Dictionary, 1986).


Taksub sehingga menjurus kepada pendewaan

Masyarakat Islam berdepan dengan banyak sikap taksub sama ada taksub dari sudut politik, sosial, ekonomi dan lain-lain. Taksub dengan parti politik akan membuat pendokongnya 'mentakwilkan' atau 'mempositifkan' tindakan pemimpin, walaupun tindakan tersebut nyata salah dan membawa kerugian pada umat. Taksub kepada individu pula, namun memuliakan individu sama ada guru atau orang-orang soleh adalah dibenarkan, tetapi mungkin juga membuatkan seseorang mendewa-dewakan individu tersebut dan pendewaan inilah yang ditolak.



Mana-mana yang mendakwa bahawa pandangan dia adalah satu-satunya pandangan yang benar, adapun yang lain adalah bathil lagi menyeleweng samada dalam apa jua sudut adalah merupakan ciri ghuluw di dalam fahaman Wahabi. Hal ini adalah seperti mana yang didefinisikan oleh al-Syaikh Muhammah Abu Zahrah di dalam menerangkan konsep dan pengertian salafiah di dalam Kitab Tarikh Madzahib al-Islamiyyah.


Sikap keterbukaan al-Syahid Imam Hasan al-Banna



Hasan al-Banna sebagai ikon utama perpaduan umat Islam




Al-Tasamuh dan Respon Qaradhawi

Prof Dr. Yusuf al-Qaradhawi ketika ditanya mengenai kaedah :

نتعاون فيما اتفقنا عليه، ويعذر بعضنا بعضا فيما اختلفنا فيه

“Saling bantu-membantu dalam perkara yang disepakati dan berlapang dada di dalam perkara yang diperselisihkan”

bahawa apakah ianya mempunyai dalil syarak? Bagaimanakah pula kita dapat bantu-membantu dengan ahli-ahli bidaah dan golongan yang menyeleweng? Bagaimana juga kita dapat berlapang dada dengan orang yang berselisih dengan kita apabila ia menyanggahi nas-nas Quran dan sunah? bukankah kita dituntut mengingkari dan meninggalkan tidak berlapang dada dan memaafkan? Bukankah al Quran ada menyebut;

فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ

"Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisih) tentang sesuatu perkara, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Quran) dan Rasul (sunnahnya)" (an-Nisa’: 59)



Lalu jawab beliau, kaedah sebegini hakikatnya diasaskan oleh al-Allamah al-Sayyid Rasyid Redha Rahimahullah, ketua madrasah (aliran) salafiah moden, pemilik majalah al Manar (majalah islam yang masyhur) dan pengarang kitab At Tafsir dan Fatawa serta risalah-risalah dan buku –buku yang banyak membri pengaruh kepada seluruh dunia islam. Kaedah tersebut dinamakan Kaedah Manar al-Zahabiah. Matlamat utama kepada kaedah ini ialah bantu membantu antara semua ahli kiblat dalam menghadapi musuh islam.

Bersambung..

(MUST READ) Ada Obama disebalik Osama?


Walaupun kisah kematian Osama sudah lebih seminggu berlalu (hampir basi), ramai penganalisis dan pengkaji masih berterusan dalam melakukan pendedahan demi pendedahan mengenai siapa Osama. Ada pihak yang menganggap beliau seorang hero umat Islam dan berbangga-bangga dengan ‘kesyahidan’ beliau. Di Pakistan tidak beberapa lama setelah kematian beliau, serangan-demi serangan telah dilancarkan oleh puak Taliban menuntut bela atas kematian beliau seolah-olah kematiannya menjadi kunci untuk puak Taliban dan al-Qaeda untuk kembali warming-up.



Obama ketika membuat pengumuman di White House mengisytiharkan kematian beliau berkata, “ Today, at my direction, the United States launched a targeted operation against that compound in Abbottabad, Pakistan. A small team of Americans carried out the operation with extraordinary courage and capability. No Americans were harmed. They took care to avoid civilian casualties. After a firefight, they killed Osama bin Laden and took custody of his body.” (link). Pengumuman ini disambut dengan sorakan oleh rakyat US sekaligus menaikkan kembali sokongan terhadap beliau dalam menghadapi pilihanraya tidak lama lagi.



Obama kantoi

Namun, kenyataan Obama tersebut setelah diamati dengan mendalam jelas mendedahkan kehipokritan Amerika sendiri dalam pemburuan mereka selama satu dekat untuk membunuh Osama. Obama kantoi kerana mengatakan, “a small team of Americans carried out the operation with extraordinary courage and capability.” Slogan ‘War against terrorist’ yang dilancarkan oleh Bush sempena peristiwa 9/11 sepuluh tahun lalu akhirnya sampai ke klimaksnya dengan terbunuhnya Osama dengan serangan pasukan yang kecil. Peritiwa 9/11 menggambarkan bahawa al-Qaeda bertanggungjawab ke atasnya dan kerana itu, bos al-Qaeda (Osama) harus dibunuh. Disebabkan jaringan al-Qaeda tersangat luas, maka perang melawan keganasan ini dilancarkan ke seluruh pelusuk dunia.


Isu 9/11 menjanjikan habuan yang besar kepada Amerika dengan mereka dapat mengusai Afghanistan dan Iraq. Saddam yang dahulunya talibarut Amerika (perang Iraq-Iran dan Iraq-Kuwait) ditumbangkan dengan tuduhan beliau mempunyai kaitan dengan al-Qaeda dan menyimpan senjata nuklear. Ancaman yang dimomokkan oleh Amerika telah meluluskan lesen untuk menghantar 150,000 pasukan tentera untuk menjatuhkan kerajaan Saddam. Ternyata selepas Saddam dibunuh, Amerika sehingga kini gagal untuk membuktikan kebenaran dakwaan mereka terhadap beliau namun ia sudah terlambat, Saddam dibunuh dan Iraq hancur dengan teruk.


Perang saudara makin kronik

Sentimen mazhab Sunni-Syiah juga ditimbulkan walaupun pada sebelum itu jarang berlaku. Apabila tempat-tempat Sunni dibom, maka puak Syiah dipersalahkan dan begitu juga apabila masjid-masjid Syiah dibom, puak Sunni dituduh walhal dalangnya adalah Amerika dan agen-agennya. Amerika cuba menutup isu kesilapan mereka dengan melatih beberapa kumpulan di kalangan masyarakat Muslim di Iraq untuk melakukan serangan kepada golongan Muslim yang lain. Pemikiran takfir mula tersebar dalam kalangan masyarakat Iraq dan rentetan daripada itu serang demi serangan untuk membunuh sesama Muslim berlaku. Menerusi pergolakan yang berterusan di Iraq, Amerika dapat mengekalkan dengan lebih lama lagi tenteranya di sana. Matlamat Amerika menjajah Iraq bukanlah Saddam tapi disebabkan keadaan mereka yang terdesak dalam keadaan ekonomi mereka semakin merudum jatuh. Dengan menguasai Iraq, Amerika meraih keuntungan besar kerana Iraq antara pengeluar minyak terbesar dunia. Sebab itu mereka mencipta kambing hitam untuk merealisasikan matlamat itu.


Sang singa tewas dengan sekawan kucing?

Kembali kepada kisah Osama yang hanya ditumpaskan oleh small team, tahun 2005 New York Times pernah melaporkan ketika tiga anggota elit Amerika berjaya mengesan keberadaan Osama di sebuah tempat yang bernama Tora Bora namun mereka tidak bertindak untuk membunuhnya hanya kerana misi mereka ketika itu hanya untuk membantu, memberi maklumat dan memanggil penyerang udara. Aneh bukan, Osama yang dikatakan musuh nombor 1 Amerika hanya dikirim pasukan yang kecil dan terbatas untuk mengepung beliau berbeza dengan Saddam yang ratusan ribu tentera dikirim untuk menangkapnya.



Bekas anggota tentera Amerika yang terlibat dalam perang Afghanistan mnceritakan pengalamanna dengan nada kekesalan, “Ogos 2007, bin Laden ketika itu dalam konvoi dari Tora Bora menuju selatan. Kami ketika itu mempunyai pasukan elit terhebat yang bergabung dengan Joint Specil Operation Command (JSOC) dan CIA. Pada kami pesawat automatik (tanpa pemandu) yang bersedia untuk terbang dan kami hanya perlu menarik picu sahaja lagi (untuk membunuhnya).” Namun beliau tidak juga terbunuh.

Mamat mana plak ni?

Lalu pada baru-baru ini Obama mengumumkan Osama berjaya dibunuh hanya dengan pasukan kecil pada masa sama tiada seorang pun dikalangan mereka yang tercedera. Lemah sungguh pertahanan musuh no.1 Amerika ini walhal beliau sering dikatakan, tiga benda sentiasa disisinya, Rifle AK-47, Quran dan tongkat. Dalam tempoh 10 tahun, Amerika menghanguskan ratusan million dolar dan mengorbankan lebih 5000 tentera yang jauh lebih banyak dari warga awam Iraq dan Afghanistan, lalu mengapa sekarang Osama baru berjaya dibunuh dan jasadnya disemadikan di laut? Apakah dengan penyemadian jenazah beliau di darat boleh menyebabkan orang ramai mengorek kembali kuburnnya atau dapat melihat jenazahnya yang asli sekaligus dapat memecahkan tembelang Amerika?


Suatu yang cukup mudah bagi raja filem aksi hollywood


Konspirasi kematian Osama

Banyak sumber yang menyatakan bahawa Osama telah terbunuh antaranya Benazir Buttho dan pihak Amerika sendiri mendakwa mendakwa beliau mati disebabkan penyakit buah pinggangnya yang kronik. Osama yang pernah dikatakan mati pada tahun 2002 dan 2006 hidup kembali untuk dimatikna secara rasmi pada tahun 2011 dibawah pemerintahan Obama. Riwayat hidup-mati Osama seolah-olah satu ‘game’ yang dimainkan oleh Amerika bagi memastikan kesinambungan untuk mereka menguasai umat Islam dan Islamphobia sendiri adalah kesan dari 11/9. Amerika menggambarkan bahawa Osama memiliki berbilion-bilion aset sehingga mampu untuk membiayai kem-kem latihan pengganas di seluruh dunia, Sudan, Filiphina, Afghanistan di samping membentuk lebih banyak jaringan pengganas di negara-negara Muslim. Bukankah Amerika memiliki sistem perbankan yang sangat canggih dan mustahil jika tiada yang dapat mengesan keberadaan wang Osama yang begitu banyak. Bukankah Barat sendiri dengan mudahnya membekukan aset-aset Ghaddafi, Mubarak mahupun Ben Ali lalu mengapa aset Osama gagal dibekukan? Lalu siapa yang sebenarnya yang membiyai kesemua kegiatan keganasan al-Qaeda di pelbagai kawasan?


Banyak betul versi gambar mayat Osama..


Pecah tembelang konspirasi adobephotoshop Amerika


Osama, al-Qaeda, Taliban dan CIA

Segala persoalan ini hanya mampu terjawab jika kita meneliti dan mengkaji dengan cermat setiap perancangan Amerika dunia selama ini. Sekitar tahun 1978 dan 1992, pemerintah Amerika telah membelanjakan paling minimun USD 6 Juta dolar untuk membeli senjata, melatih dan membiyai sebuah kumpulan ‘mujahiddin’ Afghanistan bagi mengusir Soviet yang menjajah Afghanistan. Perlu diingatkan bahawa, ketika itu, perang dingin Amerika-Soviet meletus dan Amerika menggunakan segala cara untuk menyekat pengaruh Soviet di dunia. Usaha ‘murni’ Amerika itu disokong sepenuhnya oleh Arab Saudi yang merupakan sekutu rapatnya dan Pakistan termasuk keluarga Bin Laden yang menyumbang dana jutaan dolar. Kelompok itu disebut sebagai Taliban yang bermaksud pelajar (Thalib) kerana merekrut pelajar islam di Pakistan dan beberapa negara Muslim.



Ahmed Rashid, korespondan untuk Far Eastern Economic Review membuat kenyataan bahawa pada tahun 1986, Pengarah CIA William Casey mengaku bahawa CIA membiyai ISI (pasukan elit Pakistan) untuk merekrut pasukan jihad. Paling sedikit seramai 100, 000 pasukan jihad hadir ke Pakistan pada tahun 1982 dan 1992 dan 60, 000 daripadanya terdiri daripada pelajar Islam di Pakistan. Usaha merekrut, pemberian dana dan penyediaan kelengkapan sepenuhnya untuk Taliban disalurkan oleh Pertubuhan Maktab al-Khidmar (MAK) dan Osama adalah salah seorang dari tiga pemimpin MAK. Bin Laden bagaimanapun telah menguasai MAK sepenuhnya pada tahun 1989. Osama yang merupakan nnak jutawan Arab Saudi itu datang ke Afghanistan pada tahun 1980 untuk bergabung dengan gerakan jihad yang dibiayai oleh CIA.



Dokumen yang dikatakan bukti pengelibatan Osama dalam plan Tim Osman (klik pada gambar untuk besarkan)



Zbigniew Brezinski dan Osama pada tahun 1980-an? (klik)


Tugas beliau adalah merekrut, memberi dana, dan melatih 35,000 sukarelawan non-Afghan untuk bergabung dengan Taliban. Menurut Akhbar New Yorker (24/1/2000) Milt Bearden, Pengarah CIA di Pakistan tahun 1986-1989 mengakui bahawa Bin Laden membawa 20 hingga 25 juta USD setiap bulan untuk membiayai perang. Bin Laden seterusnya menubuhkan pertubuhan al-Qaeda pada tahun 1987 sekaligus menjadi penggerak kepada kem-kem latihan ketenteraan dan perdagangan di Afghanistan. Honeymoon Taliban, al-Qaeda dan Osama berakhir setelah 11 September 2001. Serangan yang mengorbankan orang awam itu berjaya dijadikan alasan yang kukuh Bush untuk menuduh al-Qaeda sebagai dalangnya dan justeru itu mereka dengan mudahnya melancarkan serangan terhadap Afghanistan dan Iraq tanpa restu PBB.


Tahun 2011 yang menghampiri pilihanraya memerlukan ‘ONG’ (tuah) untuk Obama mengekalkan kerusi Presidennya. Kemelut yang berlaku di negara Arab seperti Tunisia, Mesir, Libya dan lain-lain tidak semudah yang mereka jangkakan kerana kabangkitan rakyat yang sudah muak dengan boneka Amerika memberi tamparan hebat kepada Amerika. Iraq kini mereka gagal untuk menguasai dengan sepenuhnya dan kecaman demi kecaman dunia menghalau Amerika dari negara teluk itu. Obama kini terpaksa mengatur lebih banyak perancangan supaya popularitinya meningkat dan pastinya ia tidak terlepas dari pencaturan Big Boss mereka, Israel. Moga Allah memelihara dan menyedarkan kita dari perancangan musuh Islam.

Wallahu’alam..

Rujukan :
1. htttp://Indonesia.irib.ir