Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
“Sesungguhnya perjuangan itu tidak mengenal erti penat & lelah. Demi Islam tercinta, ia perlu diteruskan. Semoga usaha untuk menyampaikan risalah Islam ini diterima Allah sebagai salah satu amal jariah semasa menghadap-Nya pada suatu hari yang pasti akan tiba..”
blog's design by faizassyirazi. Powered by Blogger.

Follow by Email

Saturday, 21 May 2011

Merenungi Erti Persahabatan




Manusia itu fitrahnya adalah perlu kepada seseorang yang bergelar sahabat atau seseorang yang padanya dijadikan tempat untuk meluangkan masa bersama-sama, berkongsi pengalaman, tempat meminta pandangan dan nasihat, penyelesai masalah dan sebagainya. Istilah sahabat kerap digunakan berbanding dengan rakan, dan kawan yang penggunaannya lebih bersifat umum (seperti rakan sekuliah dsb). Perkataan teman pula lebih merujuk kepada insan tertentu (seperti teman hidup, teman teristimewa dsb). Istilah sahabat diadaptasi dari perkataan Arab saḥābah. Menurut Ibn Manzur dalam Lisan al-'Arab, Isma'il Ibn Hammad al-Jawhari dalam Taj al-Lughah, Fayruz Abadi dalam Mu'jam al-Wasit, perkataan al-Ṣaḥābah berasal dari kata ṣaḥiba-yaṣḥabu- ṣuḥbah-saḥābah yang merujuk kepada yang ditemani, yang diikuti, pemilik dan yang memiliki. Demikian maksud secara leksikologinya.


Variasi dalam persahabatan

Dalam membina hubungan persahabatan dengan seseorang, ia bukanlah suatu perkara yang mudah. Jika tanpa disertakan sikap sabar, bertolak ansur, saling memahami dan sebagainya, maka sesuatu persahabatan itu tidak akan kekal lama. Penulis dan pembaca sendiri pastinya pernah mendapat sahabat yang pelbagai versi samada di alam kanak-kanak, remaja sehinggalah ke alam dewasa. Persahabat biasanya menjadi serius setelah seseorang itu memasuki alam persekolahan sehingga di IPT. Sebab itu sahabat memberikan kesan yang besar dalam kehidupan seseorang dan ironinya seperti yang kita lihat dewasa ini. Ramai remaja kita yang punah-ranah disebabkan tersalah memilih sahabat sekaligus menunjukkan hebatnya ’kuasa’ bersahabat itu.

variasi manusia itu hakikatnya tidak sama walau zahirnya kelihatan sama (gambar hiasan)


Dalam sahabat sendiri ada pelbagai variasi, antaranya:


1. Persahabatan Drypers (Lampin Pakai Buang)

Persahabatan sebegini biasanya boleh ditemui di alam kampus. Persahabatan ini terbina kerana melihat kepada kelebihan atau keistimewaan yang ada pada seseorang itu. Persahabatan ini hanya kekal selagi mana tempoh keistimewaan sahabatnya itu ada namun setelah mana ia habis dimanfaatkan, maka ia tidak akan dipedulikan dan dibuang ibarat lampin. Sebagai contoh dalam melakukan task atau assignment, ramai akan memilih mereka yang ’pandai buat kerja’ untuk diserahkan sepenuhnya tanggungjawab kepada sahabat tersebut walhal tugasan itu memerlukan partisipati bersama. Setelah selesai tugasan tersebut dan memperolehi markah, maka sahabat itu nilainya sudah tiada lagi. Persahabatan ini juga tidak sampai ke mana.


Berguna buat pemakai pertama

2. Persahabatan Kambing Hitam

Istilah kambing hitam biasa digunakan kepada seseorang yang diperalatkan untuk dipersalahkan dalam sesuatu perkara. Seseorang yang bersahabat untuk memperalatkankan sahabatnya supaya jika berlaku sebarang perkara yang tidak diingini dia dapat dipersalahkan dinamakan sebagai Persahabatan Kambing Hitam. Hakikatnya ia lebih buruk dari kambing hitam yang jarang kita dengari dikhianati oleh kambing-kambing yang lain walaupun berlainan warna. Persahabatan jenis ini biasa berlaku dalam kalangan mereka yang tidak mempunyai rasa tanggungjawab dalam persahabatan. Ia sama seperti segala kesilapan yang kita lakukan, kita letakkan kepada sahabat kita yang tidak bersalah. Persahabatan ini pastinya akan membawa kepada permusuhan dan dendam yang berpanjangan.




3. Persahabatan Topap

Persahabatan topap pula merujuk kepada persahabatan yang dibina dalam suatu tempoh yang tertentu seperti topap. Jika kita mengisi RM10 maka tempoh aktif kredit hanyalah seminggu dan sebegitulah seterusnya. Persahabatan ini terjalin tanpa ada sebarang kepentingan dan sudah memadai jika dinamakan sahabat. Persahabatan ini jenis bermusim, adakalanya seseorang itu menjalinkan persahabatan selama seminggu kerana sama-sama mengikuti kurus yang sama lalu mereka akan sentiasa dalam keadaan bersama. Setelah habisnya tempoh kursus tersebut atau rasa boring dengan sahabatnya itu, dia akan beralih untuk mencari sahabat yang lain pula.




4. Persahabatan Pisau

Pisau sifatnya adalah menghiris dan memotong dan boleh digunakan untuk menikam jika disalahgunakan. Persahabatan ini terjalin pada mulanya dengan niat yang baik namun setelah dalam beberapa tempoh dia bersahabat, dia mendapati ada kelompangan pada sahabatnya. Dia mula merasakan ketidak serasian dengan sahabatnya itu lalu berusaha untuk menjauhinya. Segala kebaikan yang pernah dilakukan oleh sahabatnya dia tidak lagi melihatnya sebaliknya hanya melihat keburukan sahabatnya sahaja. Bukan sekadar itu sahaja, dia menjaja segala keburukan sahabatnya itu kepada orang lain supaya dia dijauhi dan apabila tiada orang yang ingin bersahabat dengan sahabatnya, barulah terukir senyuman kepuasan di bibirnya.



Ibarat ditikam tapi tidak mati

Maka dengan itu, dia membuat fitnah dan tohmahan terhadap sahabatnya hanya kerana dia tidak berpuas hati dengan sahabatnya dalam beberapa perkara khususnya apabila melibatkan perbezaan pandangan. Ibarat pisau yang jika digunakan untuk memotong sayur maka ia mendatangkan manfaat sebaliknya jika digunakan untuk menikam melukakan atau membunuh maka ia membawa kepada kefasadan. Zaman kini, sahabat jenis pisau yang selalu ’menikam’ ini amatlah ramai dan tidak kurangnya juga jumlah yang ’terkorban’ dek tikaman itu. Tidak ramai yang dapat bertahan dengan persahabatan jenis ini.


Apabila cantas-mencantas menjadi tradisi..


5. Persahabatan Mutiara

Persahabatan Mutiara adalah persahabatan yang dibina dalam suatu tempoh yang agak lama seperti mana lamanya proses untuk membentuk sebiji mutiara sehingga memakan masa bertahun-tahun sehingga berdekad-dekad. Persahabatan ini tidak terbina kerana melihat atau mahukan kepentingan tertentu kepada orang yang bersahabat dengannya sebaliknya ia ditaut semata-mata demi mendapat redha Allah. Peranan sahabatnya bukanlah sekadar sebagai seorang sahabat semata-mata malah lebih dari itu. Sahabat itulah tempat untuk meminta nasihat dan pandangan, berkongsi suka dan duka dan sebagainya.



Hanya dengan usaha beserta kesabaran baru dapat memilikinya..


Malah sahabat itu juga akan segera menegur setiap kelemahan dan kesalahan sahabatnya secara berhemah dan berhikmah dan bukannya seperti Persahabatan Pisau. Setiap kekurangan yang ada pada sahabatnya akan diterima seadanya kerana niatnya tulus kerana Allah. Jika sahabatnya itu kecewa maka dia akan segera memberikannya semangat untuk bangun kembali dan jika sahabatnya bersedih dia akan berusaha untuk menggembirakannya. Dia tidak diam jika sahabatnya melakukan kemungkaran, dan sentiasa mengajak sahabatnya untuk sama-sama melakukan kebaikan. Dan ini adalah sahabat yang dinamakan sebagai Sahabat Dunia Akhirat. Bagaimanapun, cukup sukar untuk menemui persahabatan sebegini apatah lagi di akhir zaman ini.


Rasulullah dan Persahabatan

Contoh paling hampir adalah Rasulullah s.a.w yang amat mengasihi para sahabatnya walaupun adakalanya di kalangan mereka yang ’nakal’ kepada baginda. Baginda sentiasa bertolak ansur dengan sahabat-sahabatnya namun bersikap keras jika sahabatnya ada melakukan kesalahan. Baginda akan menegur mana-mana sahabatnya dengan cara yang paling hikmah semata-mata demi menjaga hati dan perasaan sahabatnya. Kesannya, para sahabat itu sentiasa menjadi pendokong dan perisai baginda sepanjang hayat baginda daripada tangan golongan musyrikin dan munafiqin. Antaranya adalah Saidina Abu Bakar yang menurut Tarikh Ibn Ishaq, telah dibawa bersama-sama Nabi s.a.w dalam hijrah baginda, dan Saidina Ali b. Abi Thalib mempertaruhkan nyawanya untuk tidur menggantikan tempat Nabi s.a.w. Demikian juga sahabat baginda s.a.w yang lain yang taat dan patuh kepada seluruh perintah baginda.


Rasulullah amat menjaga adab dengan para sahabatnya (gambar hiasan)


Falsafah Persahabatan

Tidak ramai manusia yang memahami erti sebenar persahabatan itu walaupun adakalanya mereka bersahabat sekian tahun lamanya. Ada persahabatan yang dijalin dalam tempoh yang lama namun mereka sentiasa bergaduh walaupun perkara remeh temeh (cthnya: Antara ayam dan telur, mana yang keluar dahulu?). Ada pula dalam tempoh tersebut persahabatan itu hanya bersifat memenuhi syarat asas untuk berkawan semata-mata seperti tempat untuk berborak, berkongsi rokok dan sebagainya. Setelah menikmati kepuasan sesuatu perkara itu bersama, mereka akan pulang membuat kerja masing-masing dan jauh sekali untuk mengajak atau memperingati antara satu sama lain mengenai hukum hakam agama.

Sebanyak mana sekalipun tujuan persahabatan, hakikatnya ia menuju kepada kegagalan selagi mana tujuannya bukanlah kerana Allah dan Rasul-Nya. Hanya kerana itu, segala kemaslahatan bersama samada perkara yang bersifat duniawi dan ukhrawi dapat dijaga secara bersama. Menyentuh kepada perkara ini, Nabi bersabda:


أوثق عرى الايمان الحب في الله والبغض في الله

”Sekuat-kuat ikatan iman seseorang itu adalah cinta kerana Allah dan benci kerana Allah” (HR Tirmidzi dan Ahmad)


Tafahum (saling memahami) perlu ada dalam persahabatan


Justeru itu, sebarang ikatan yang ditaut khususnya dalam persahabatan dasarnya adalah kepada Allah dalam apa jua keadaan. Sebaliknya, ia akan diresapi dengan unsur negatif yang dapat memecah-belahkan hubungan persahabatan yang telah dibina. Firman Allah s.w.t yang bermaksud:


“Teman-teman pada masa itu setengah dengan setengah yang lain adalah musuh melainkan yang bertakwa.” (Surah al-Zukhruf: 67)


Nabi s.a.w pernah bersabda :

المرء على دين خليله فالينظر من يخالل

Seseorang itu adalah (mengikut) agama orang yang dikasihinya, maka lihatlah dengan siapa yang dia kasihi.


Islam amat menitik beratkan soal persahabatan dan kerananya seseorang itu boleh tersesat dari jalan kebenaran jika dia silap memilih sahabat. Orang yang baik kebiasaannya tidak akan menjadikan orang yang jahat sebagai teman rapat mereka melainkan tujuan murni mereka adalah untuk berdakwah dan mengubahnya. Jika tidak, suatu hari nanti mereka juga akan terkena tempiasnya dan lebih teruk apabila dia terpengaruh menjadi jahat. Sebab itu Allah berfirman yang bermaksud:

“Wahai orang yang beriman! Bertakwalah dan hendaklah kamu bersama-sama orang yang bersifat benar.” (Surah at-Taubah: 119)

Dalam satu ayat lagi, Allah menceritakan mengenai penyesalan orang yang bertemankan si jahat.

“Aduhai, kiranya aku tidak menjadikan si pulan itu sebagai teman, sesungguhnya dia telah menyesatkan aku dari al-Quran, selepas aku didatangi olehnya. Dan sesungguhnya syaitan mendustai manusia.” (Surah al-Furqan: 28)

Kepentingan memilih sahabat yang baik juga turut dirakamkan pada sabda Nabi s.a.w yang bermaksud:

“Diumpamakan rakan yang soleh dan rakan yang jahat ialah seperti (berkawan) dengan penjual minyak wangi dan tukang besi. Penjual minyak wangi tidak akan mensia-siakan anda, sama ada anda membelinya atau hanya mendapat bau harumannya. Tukang besi pula boleh menyebabkan rumah anda atau baju anda terbakar, atau mendapat bau busuk.”


Ukhwah Dalam Persahabatan
Hubungan persahabatan yang tulus dan suci akan melahirkan rasa ukhwah yang mendalam. Ukhwah yang terbina atas dasar keimanan dinamakan Ukhwahfillah yang merujuk kepada ikatan keimanan yang terbina atas dasar kerana Allah yang melahirkan ketaqwaan dan kesungguhan untuk berpegang teguh dengan tali Allah (hablillah). Firman Allah:

انما المؤمنون اخوة

"Sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara"

Ramai yang berkata, jika demikian, maka mana ada sahabat yang perfect dalam semua aspek. Ya, itu memang benar melainkan hanya Rasulullah s.a.w sahaja, namun perlu diingatkan. Walaupun kita tidak dapat menjadi yang tesempurna, tidak semestinya kita tidak boleh berusaha ke arah itu setidak-tidaknya adanya secebis usaha yang dilakukan untuk mengislahkan diri kita dan orang lain. Untuk akhirnya, penulis dedikasikan nukilan ini untuk semua pembaca khususnya dikalangan mereka yang pernah bersahabat dengan penulis.. Selamat menghayati..

Ingatlah sahabat…
Bunga itu menguntum indah,
Menyeri dan mekar memerah,
Dipuji dengan berbagai-bagai madah,
Esoknya bunga itu gugur ke tanah,
Serpih demi serpih ia punah,
Tanpa daun dan kelopaknya musnah.

Sahabatku…
Engkau bukan layu seperti bunga,
Dan aku bukan kumbang yang akan mengambil madunya,
Lambang bunga lambang sementara cuma,
Tetapi perjuangan kita tiada penghujungnya,
Daerah kita bukan daerah cinta,
Bukan masanya untuk memujuk kasih asmara,
Tiada senda gurau memanjang yang meleka,
Kerana kita dalam memperjuangkan agama.

Sahabatku..
Disini uda dan dara telah berkubur,
Kita bina atasnya jihad yang subur.

Ingatlah sahabat…
Bumi kita bumi yang payah,
Penuh peluh, air mata dan mungkin darah,
Bila kita jejak tapaknya perlu punyai wadah,
Ikuti dibelakang ulama’ supaya tak goyah,
Bila dikatakan pada mu: Perjuangan itu amat susah,
Kau katakanlah kembali: Aku mengharap hanya keredhaan dari Allah.

Sahabatku…
Semalam telah layu sekuntum bunga,
Telah gugur dari jambangannya,
Tetapi itu bukan perjuangan kita,
Bukanlah itu sebagai lambangnya,
Mulut telah kaku untuk bertanya,
Hati malu untuk memikirkannya,
Tidak seperti dahulunya,
Kita kuat berhujah dan bersuara.

Ingatlah sahabatku..
Kerana dulu dan kini kita tetap seorang mujahid,
Yang merindukan dan memburu syahid,
Maaf kiranya tuturku yang pahit.

Senyumlah sahabat..
Senyumlah dan serilah wajah,
Walau pudar dan hambar datang tak sudah,
Belajarlah menjadi seorang mujahid dan mujahidah,
Doaku agar kita berani seperti Hamzah,
Malah punyai semangat seperti Sumayyah.

Wallahu'alam..

Reactions:

2 comments:

  1. sangat terbaik! thumbs up untuk peringatan ini :)

    ReplyDelete
  2. Syukran..

    Thumbs up juga buat yang sudi membaca..

    ReplyDelete

Kata-kata melambangkan akhlak dan peribadi kita...
Justeru, berhikmahlah dalam melaksanakannya (^ ^,)