Kaedah Manar al-Zahabiah dan Rashid Redha
Qaradhawi dalam respond beliau seperti pada posting yang lalu (link) mengakui bahawa Sayyid Rashid Redha tidak mencipta kaedah ini tanpa dalil. Sesiapa yang menelitinya akan mendapati bahawa beliau telah mengambilnya daripada pertunjuk Quran, Sunnah dan salafus soleh. Seterusnya ia didasarkan pula kepada fenomena realiti dan keperluan umat islam kepada perpaduan yang kental dan tolong menolong di dalam menghadapi musuh yang ramai. Musuh yang sentiasa bersatu padu di dalam mengahadapi umat islam ,meskipun mereka bertelingkah sesama mereka dalam banyak perkara. Al-Quran telah memberi amaran keras mengenai perkara ini. Al-Quran menegaskan bahawa kaum kuffar bantu membantu sesama mereka, sedangkan dalam waktu yang sama kau, muslimin tidak bantu membantu sesama mereka.
Firman Allah:
وَالَّذِينَ كَفَرُوا بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ إِلَّا تَفْعَلُوهُ تَكُنْ فِتْنَةٌ فِي الْأَرْضِ وَفَسَادٌ كَبِيرٌ
Maksud firman Allah “jika kamu (wahai umat islam) tidak menjalankan (dasar bantu membantu sesama kamu yang diperintahkan oleh Allah) iaitu, sekiranya kaum muslimin tidak bantu membantu dan saling kuat menguati antara satu dengan yang lain sepertimana yang dilakukan oleh orang kaum kuffar, nescaya akan berlaku fitnah dan kerosakan yang besar di muka bumi, ini ialah kerana wujudnya ikatan perpaduan yang kental dan tolong menolong di kalangan kaum kuffar sedangkan kaum muslimin berpecah belah.
Kesatuan yang diidamkan oleh mukmin dan dibenci oleh munafiq
Seorang islam yang ingin melakukan islah akan menyeru umatnya supaya bersatu dan saling bantu membantu di dalam mengahadapi kuasa yang menentang mereka; kuasa yang saling tolong menolong sesama mereka serta mempunyai kemampuan dan kekuatan yang hebat. Beliau juga akan menyeru mereka melupakan segala perselisihan di dalam perkara juz’i demi menentukan hidup-matinya umat dan mencapai matlamat umum mereka.
Apakah yang dapat dilakukan oleh seorang islam yang melihat suasana bantu membantu antara Yahudi sedunia, penganut-penganut Kristian Barat, Komunis antarabangsa dan penyembah-penyembah berhala di Timur sesama mereka di luar alam islami, sedangkan di masa yang sama dia melihat umatnya berpecah-belah dan saling hentam menghentam di dalam alamnya? Satu-satunya perkara yang dapat dilakukan ialah menyeru mereka semua muslimin agar mereka berdiri di dalam satu saf untuk mengahadapi kuasa jahanam yang mempunyai kekuatan tentera, kewangan, tipu daya, kebijaksanaan dan perancangan yang rapiuntuk memusnahkan zahir dan batin mereka (Muslimin). Oleh itu mereka yang melakukan islah, menyambut baik kaedah ini serta cuba sedaya upaya untuk merealisasikannya. Al Imam Hasan al-Banna ialah orang yang paling jelas dapat dilihat menyambut kaedah ini hinggakan ramai ahli Ikhwan menyangka beliaulah yang menciptanya.
Apakah Quran itu diturunkan untuk memecah belahkan umat Islam?
Hal demikian hakikatnya telah lama ditunjukkan oleh samada ulama’ mazhab fiqhiyyah mahupun aqadiyyah. Imam Abu Yusuf (sahabat besar Imam Abu Hanifah dan yang paling afdhal dan kalangan mereka) telah berbincang dengan Imam negeri hijrah (Madinah) iaitu Imam Malik bin Anas lalu bertanya kepadanya tentang kadar gantang, masalah `al-albbas’ (waqaf) dan zakat sayuran. Imam Malik telah menjawabnya berdasarkan apa yang ditunjukkan oleh hadis di dalam masalah itu. Imam Abu Yusuf lantas berkata: “Aku menarik balik (pendapatku) kerana kata-katamu wahai Abu Abdullah (Imam Malik bin Anas). Sekiranya sahabatku (Imam Abu Hanifah) melihat apa yang aku lihat, nescaya dia akan menarik balik (pandapatnya) sebagaimana aku.”
Inilah keinsafan yang merupakan hasil dari ilmu yang tinggi dan ijtihad yang sahih. Sesungguhnya semua yang datang daripada imam-imam rahimahumallah menegaskan hakikat ini. Abu Hanifah telah berkata: “Inilah pandanganku. Ianya adalah pandangan yang terbaik padaku. Sesiapa yang membawa pandangan yang lebih baik, maka kami akan menerimanya.” Imam Malik juga pemah berkata: “Sesungguhnya aku adalah manusia yang betul dan silap. Oleh itu periksalah kata-kataku dengan al-Quran dan sunnah.”
Imam Ja'far al-Sadiq pernah berkata: "Jika kamu temui hadis yang kami (Ahl Bayt) meriwayatkan bercanggah dengan Quran, maka campakkan sahaja riwayat tersebut ke dinding" kerana jelas akan dustanya riwayat tersebut.
Jelaslah di sini bahawa kewajipan seorang muslim adalah bertanya kepada ahli ilmu apabila dia tidak mampu mengetahui hukum-hakam daripada dalil-dalil. Tidak wajib dia mengikut satu mazhab yang tertentu kerana kewajipannya hanyalah apa yang diwajibkan oleh Allah dan Rasul-Nya sahaja. Allah dan Rasul-Nya tidak mewajibkan seseorang itu menjadi Hanafiah, Syafi’yah, atau lainnya. Pembentang (pensyarah) kitab `Musallamuth Thubut’ telah berkata: “Mewajibkannya (taklid kepada mazhab tertentu) adalah seperti mengadakan syariat baru.”
Kesan daripada taksub
Justeru itu, adalah suatu yang amat tidak wajar di kalangan umat Islam yang masih mempunyai sikap taksub kepada sesesuatu pihak melebih Islam itu sendiri. Dalam catatan sejarah Islam, umat Islam pernah menyaksikan perang saudara di kalangan Muslim bermazhab Syafi’e dan dengan Muslim bermazhab Hanafi. Para Imam besar mereka jauh sekali untuk mengajarkan perkara sedemikian. Lantasan sikap taksub terhadap aliran masing-masing, mereka saling bunuh membunuh antara satu sama lain sekaligus mengepikan agama Islam yang merupakan agama yang dapat menyatukan seluruh penganutnya tanpa mengira latar belakang fikrah dan pemikiran mereka. Penyatuan tersebut bagaimanapun terjana dari sikap Muslim yang faham dan bukan yang jahil yang hanya sekadar mendengar pandangan pihak-pihak tertentu lalu dan membawa pemikiran itu kepada pihak yang lain.
Hakikat taksub itu ada pada kita
Realiti umat Islam khususnya kalangan yang berpendidikan khususnya golongan mahasiswa dan sarjanawan, masih lagi ada yang mempunyai mentaliti sebegini. Waktu-waktu mereka hanya disibukkan dengan isu hukum menghukum kepada pihak yang lain berbanding berfikir untuk mencari solusi kepada permasalahan yang lebih besar yang berlaku dalam masyarakat Muslim. Sikap malas untuk mengkaji dan tidak menilai secara cermat pandangan antara pihak yang berbeza pandangan antara faktor penyelewengan dalam dunia ilmu. Tanggapan mereka bahawa sesuatu yang didengari daripada pihak yang ‘berautoriti’ itu sudah memadai tanpa mereka berusaha mentahqiqkan (mengesahkan) lagi sesuatu pandangan tersebut. dengan erti kata menilai sumber primer itu dengan sebenar-benarnya.
Kaedahnya tidak jauh seperti metodologi penafsiran ayat Quran yang mengandungi maksud yang samar-samar. Sebagai contoh, ada para sahabat yang memahami benang putih dan benang hitam (الخيط الأسود والخيط الأبيض) sebagai benang yang biasa sebagaimana yang difahami oleh akal manusia. Namun setelah merujuk kepada Rasulullah s.a.w yang merupakan ‘sumber primer’, benang tersebut adalah kiasan kepada waktu (waktu fajar dan waktu tenggelamnya matahari). Bukankah bangsa Melayu ini sinonim dengan pribahasa ‘hanya jauhari mengenai manikamnya?” Bagaimanapun konsepnya ramai yang gagal menghayatinya sebaliknya lebih suka kepada ‘benda yang sedia ada’ tanpa perlu lagi kepada penelitian dan penapisan semua secara lebih halus. Tanggapan ini seolah-olah mensakralkan sumber-sumber yang bersifat sekunder tanpa menyedari ia tidak terlepas dari pengaruh nafsu dan syaitan yang menghasut dalam diri manusia.
Bebaskan diri anda dari belenggu taksub
Maka ketulusan dan kekualitian nilai ilmu itu gagal dicapai. Sebab itu apabila seseorang itu ketika ditanya, “kenapa enta kata macam ni?” jawapan yang diberikan cukup mudah, “betul, ana yakin dengan hujah ana sebab ust dan profesor ana sendiri cakap macam tu juga. Tak kan lah diaorang silap sebab ilmu mereka lebih tinggi dari kita.” Persoalan yang timbul, apakah kesemua pandangan mereka semua benar belaka dan fitrah mereka suci dari mempunyai sikap prejudis terhadap sesuatu perkara? Bukan untuk mempertikaikan kredibiliti mana-mana pihak, namun alangkah lebih baik dan manis jika sesuatu pandangan yang kita terima kita perkemaskan dan perhalusi lagi supaya tidak wujud kesalahfahaman dan terambil maklumat yang salah ketika menerima sesuatu sumber. Walau bagaimanapun, ia tidaklah menafikan keberadaan golongan yang lebih cermat dalam menerima sumber atas keikhlasan dan keadilan mereka dalam hal tersebut sekaligus memberikan ruang untuk diberi petunjuk kepada kebenaran.
Wallahu’alam..
0 comments:
Post a Comment
Kata-kata melambangkan akhlak dan peribadi kita...
Justeru, berhikmahlah dalam melaksanakannya (^ ^,)