Kemenangan Yang Hampir

Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu kemenangan yang nyata (Surah al-Fath 48:1)

Memaknai Hidup Dengan Perjuangan

Jadilah penolong-penolong agama Allah dalam menegakkan agamaNya di muka bumi ini

Kalam Murabbi

Amanat Untuk Pemuda dan Pemudi

Kesatuan Ummah

Kemudian jika kamu berselisih tentang sesuatu perkara, maka kembalilah kepada Allah dan Rasul (Surah An-Nisa’4:59)

Pedulisme dan Faham

Barangsiapa tidak mengambil berat tentang urusan umat Islam, maka bukanlah mereka daripada kalangannya (HR al-Bukhari)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
“Sesungguhnya perjuangan itu tidak mengenal erti penat & lelah. Demi Islam tercinta, ia perlu diteruskan. Semoga usaha untuk menyampaikan risalah Islam ini diterima Allah sebagai salah satu amal jariah semasa menghadap-Nya pada suatu hari yang pasti akan tiba..”
blog's design by faizassyirazi. Powered by Blogger.

Saturday, 13 July 2013

Memaknai Ramadhan: Aku dan Dia

Bismillah… Syukur kepada Allah kerana sehingga saat ini kita masih diberi kekuatan untuk terus istiqamah dengan amal ibadah dalam bulan Ramadan, baik amal ibadah bersifat umum (segala amal baik yang dilakukan kerana Allah SWT) mahupun khusus (seperti solat dan puasa). Sedar atau tidak, hari ini telah 4 hari kita berpuasa. 

Ironinya (dan saban tahun), wujud perbezaan dalam kalangan umat Islam untuk menentukan tarikh puasa (1 Ramadhan). Di negara-negara Arab seperti Saudi, Qatar, Bahrain, Jordan, Yaman, dan Mesir mula berpuasa pada hari Rabu 10 Julai. Demikian juga dengan Libya, Syria, Sudan, Tunisia dan tidak terkecuali Muslim di Iran baik Sunni (minoriti) dan Syiah (majoriti). Berbeza dengan negara-negara di Eropah seperti Rusia, Jerman (dan Turki), umat Islam di sana mula berpuasa sehari lebih awal, iaitu hari Selasa. Faktor cepat atau lewatnya penentuan tarikh puasa bergantung kepada penentuan ‘rukyah al-hilal’, hisab (falak) dan matla’ (tempat terbit anak bulan), selain dari faktor ijtihad fahaman agama yang berbeza (seperti Muhamadiyyah dan Ahmadiah di Indonesia).

Asasnya semua Muslim berpuasa selaras dengan menyempurnakan kewajipan agama, baik berbeza faham mazhab dan ideologinya. Objektifnya seperti yang diketahui untuk memperoleh maqam taqwa di sisi Allah. 

Justeru, kesempurnaan atau tercapainya objektif puasa itu bukan bergantung pada lama atau singkatnya tempoh seseorang itu menahan diri dari perkara yang membatalkan puasa, bermula terbit fajar sehingga tenggelam fajar, akan tetapi sejauh mana seseorang itu mencapai (atau bertambah) tahap taqwa kepada Allah SWT.

Demikian Dia menyeru:



يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُتِبَ عَلَيۡڪُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِڪُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ

“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa” (QS al-Baqarah 2: 183)

Jika taqwa itu diukur dengan tempoh lamanya berpuasa, maka sudah pasti umat Islam di negara-negara Eropah Utara lebih bertaqwa kerana waktu puasa mereka lebih lama daripada negara-negara yang terletak di kawasan Selatan bumi. Umpamanya umat Islam di Denmark berpuasa selama 21 jam, umat Islam di Rusia adalah 19 Jam 57 Minit, umat Islam di Britain adalah 18 Jam 05 Minit dan umat Islam di Amerika adalah 19 Jam 57 Minit. Manakala yang paling kurang taqwanya adalah umat Islam di Argentina kerana waktu berpuasa mereka paling singkat iaitu selama 9 jam. Hakikatnya bukan itu yang diukur dan dinilai Allah SWT.


Kekeliruan Memahami Ramadanisme*

Dalam pelbagai perspektif, ada yang melihat Ramadhan sebagai bulan puasa, tarawikh, tadarus dan solat malam. Ada yang melihat ia sebagai bulan pesta ibadah. Ada yang melihat ia sebagai bulan mencari rahmah, maghfirah dan keselamatan dari api neraka. Itu normal dan sepatutnya begitu. Cuma agak malang jika ada Muslim yang melihatnya sebagai bulan ‘pesta makan’ dan membeli belah. Ironinya kita dapat melihat dalam kalangan masyarakat kita. 

Tidak perlu jauh, perhatikan sahaja jika kita pergi ke bazar-bazar Ramadhan. Kadang-kadang ada yang membeli seolah-olah mahu ‘mengqada’ makan setelah seharian berpuasa. Bagi yang hendak taraf eksklusif sedikit, hotel berbintang menjadi pilihan untuk berbuka. Pakej ratusan ringgit bukan lagi menjadi masalah, yang penting puas. Soal pembaziran yang berlaku selepas itu usah dicerita. Di shopping complex pula, sale-sale untuk raya telah bermula. Ada yang lebih awal sebelum Ramadhan lagi. Seolahnya semangat Raya lebih dari puasa. 

Kesinambungan daripada keliru dan gagal memahami erti sebenar Ramadanisme, maka sebab itu kita boleh melihat dan mendengar berita Muslim yang mengaku berpuasa, namun mulutnya tidak pernah berhenti dari mengumpat, melaknat, mengeji orang lain. Tidak kurang juga dengan golongan yang menghabiskan masa (sementara menunggu berbuka) dengan melepak di hadapan skrin TV, melayan lagu-lagu lagha, membaca novel cinta/jiwang kemudian perasan bersendirian di atas katil, bermain game, chatting di laman sosial, dan sebagainya. Implikasinya berlakulah kes yang ‘pelik-pelik’ yang sering menimbulkan keluhan “kenapalah … boleh berlaku dalam bulan Ramadhan ini”. 


Rekonstruksi Ramadanisme

Konotasi Ramadhan yang berasal dari frasa ra, ma, dha secara leksikalnya bermaksud hujan di awal musim bunga dan amat signifikan dengan bulan penyucian. Selain itu, Ramadhan dikenali sebagai Shahru Ibadah, yang perlu kita maknai dengan semangat melaksanakan amal ibadah semaksimum mungkin. Ramadhan juga merupakan Shahru Fath yang harus dimaknai dengan memenangkan segala kebaikan dan amal soleh ke atas segala keburukan. Bukankah Ghazwah Badar al-Kubra, Qadisiah dan Fath Makkah berlaku dalam bulan Ramadhan? Selain itu, Ramadhan merupakan Shahru Huda yang harus dimaknai dengan semangat mengajak manusia kepada kebenaran berupa ajaran al-Qur’an dan Sunah Nabi SAW. 



Ramadhan juga merupakan Shahru Salam yang harus dimaknai dengan mengajak manusia  yang bertelagah kepada pendamaian dan pengharmonian. Di negara-negara umat Islam yang bergolak, seperti di Syria dan Mesir adalah amat wajar untuk kalangan mereka yang bertelagah berhenti dan mencari solusi kepada pendamaian. Cukuplah bertahun lamanya darah umat Islam ditumpahkan oleh sesama Islam. Jika enggan untuk berdamai, jangan terlupa, Ramadhan juga Shahru Jihad yang harus dimaknai dengan perjuangan menentang kezaliman di muka bumi. Ramadhan juga Shahrul Maghfirah yang harus dimaknai dengan rayuan dan permintaan untuk diampunkan dosa. Dan yang terakhir, Ramadhan juga Shahrul Sabr yang harus dimaknai dengan mengoptimumkan tahap sabar, sama dalam melaksanakan tuntutan Allah, waima ketika menerima ujian Allah. (Nota: Di samping itu banyak lagi nama-nama yang lain)

Dalam bulan taubat dan pengampunan ini, pintu rahmat Allah sememangnya terbuka luas untuk hamba-hambaNya merayu untuk diampunkan segala dosa. Signifikan nama Ramadhan dengan bulan penyucian dosa, puasa juga merupakan penghapus dosa. 

Sabda Nabi SAW:
ان سمی رمضان لأنه یرمض ذنوب

"Sesungguhnya bulan Ramadhan dinamakan Ramadhan kerana ia menghapuskan dosa"


Bersambung...


Nota Kaki:
*Pemikiran dan perspektif tentang Ramadhan

Tuesday, 9 July 2013

Sufistik Puasa

Tiada apa yang lebih berharga dari dunia dan seluruh isinya selain mendapat maghfirah Allah SWT dalam bulan Ramadhan. Ya, itulah yang sepatutnya didambakan oleh setiap manusia (yang sedar diri) saban tahun dicemari dengan dosa dan noda, baik kecil atau besar. Maka seharusnya kita tidak melepaskan peluang yang ada untuk memperbetulkan dalam segala aspek kehidupan, apatah lagi apabila Allah SWT telah memilih kita sebagai tetamu-Nya kali ini. Wajiblah kita untuk menzahirkan kesyukuran atas segala nikmat yang diberikan, baik kesihatan, masa, kesempatan serta nikmat-nikmat lain yang tidak putus, mungkin tidak seperti saudara-saudara Islam kita di tempat-tempat yang lain seperti di Mesir dan Syria yang sehingga kini belum dapat berehat.


Dalam proses tarbiah di bulan Ramadhan ini, amatlah penting bagi kita untuk mengetahui akan tujuan dan matlamat pengabadian kita di dalam bulan ini. Hal ini kerana terdapat segelintir dari kalangan kita yang masih belum dapat memahami sepenuhnya falsafah puasa khususnya dari sudut meningkatkan amalan dan pemikiran daripada baik kepada lebih dan paling baik. Dalam al-Qur’an, Allah SWT telah pun menjelaskan akan matlamat utamanya adalah ‘la’allakum tattaqun’ iaitu supaya kita menjadi orang-orang yang bertaqwa. Jika kita melaksanakan tuntutan Allah (puasa) dan pada masa yang sama kita gagal untuk menghayati objektif kepada perintah itu maka bukanlah ia merupakan suatu yang sangat rugi lagi malang.

Umpamanya, orang yang bersolat di siang hari namun pada malam harinya dia menghabiskan masanya dengan mengunjungi tempat-tempat maksiat dan melakukan segala jenis kemungkaran, maka solatnya pada siang tadi langsung tidak dapat menegah dirinya dari melakukan perkara keji sedangkan hakikatnya, matlamat solat itu sendiri antara lainnya adalah untuk mencegah diri daripada melakukan perbuatan keji dan mungkar. Perbuatannya itu seolah-olah sama sahaja dengan mereka yang meninggalkan solat kerana solatnya tidak lebih dari ‘melepaskan tanggungjawab’ lantaran dia gagal memahami matlamat ubudiyyah dalam solat itu.

Begitulah juga dengan amal ibadat yang kita lakukan pada bulan Ramadhan, samada dengan berpuasa, menghidupkan solat-solat malam serta amalan kebajikan yang lain. Ada yang melakukannya kerana ingin mendapat keredaan, ada pula kerana ganjarannya yang berlipat kali ganda. 

Umumnya kita mengetahui bahawa puasa itu adalah dengan menahan lapar dari perkara-perkara yang membatalkan puasa dari terbit fajar sehingga terbenam matahari. Namun, adakah sekadar menjaga perkara-perkara yang membatalkan puasa secara zahir itu kita merasakan bahawa puasa kita sudah cukup sempurna untuk dipersembahkan di hadapan Allah pada Hari Akhirat kelak? Oleh itu sama-samalah kita menilai dan bermuhasabah di kesempatan yang masih ada. Beberapa 'jika' dan 'maka' yang perlu direnung bersama..

....Jika sebelum ini kita suka bercerita tentang keburukan orang lain, mengumpat dan sebagainya, maka pada bulan ini kita bertekad untuk berhenti dan terus berhenti sampai bila-bila...

...Jika sebelum ini kita jarang membaca al-Quran dan solat malam, maka pada bulan ini kita cuba untuk melakukan dan memperbanyakkan-nya. Jika sebelum ini masa kita banyak digunakan untuk perkara yang sia-sia (umpamanya menghadap media sosial facebook berjam lamanya), maka pada bulan ini kita berazam untuk tidak lagi membuang masa kepada perkara yang tidak memberikan maslahat kepada diri dan ummah, sebaliknya kita menginfakkan masa yang ada untuk sebarang gerak kerja Islam...

...Jika sebelum ini kita berpakaian tidak mengikut syariat dengan sempurna seperti tidak bertudung labuh bagi Muslimat dan berseluar pendek bagi Muslimin, maka di bulan ini kita ubah segala kemungkaran itu dengan menuruti apa yang telah digariskan oleh agama dan begitu juga dengan perkara-perkara yang lain...

Gunakanlah kesempatan yang ada untuk menjaga mata, mulut, telinga dan segala pancaindera kita dari sebarang kekufuran nikmat maka pada bulan yang lain kita tidak boleh mengadakan sebarang alasan untuk tidak menjaganya. Jika tidak, maka sia-sialah amal ibadat kita yang telah kita usahakan pada bulan ini. Sama-sama kita menjadikan bulan Ramadhan ini sebagai satu momentum pengisahan diri dalam semua aspek. Dan apa yang penting, pengislahan ini tidak sekadar berhenti di Ramadhan kali ini sahaja tetapi akan sentiasa berterusan pada bulan-bulan yang akan datang.


Selamat menyambut dan menghayati bulan Ramadhan dengan penuh keikhlasan dan keinsafan. Semoga Ramadhan kali ini lebih baik dari Ramadhan sebelum-sebelum ini. 

Salam hormat dari penulis,

faizassyirazi
UKM Bangi
30 Sya'ban 1434 H

Friday, 5 July 2013

Bila Sang Sufi Bercerita: Kisah Jengking dan Drunkard

Zin Nun al-Misri pernah menceritakan, suatu hari ketika beliau sedang bersiar-siar di tepi sungai Nil untuk memerhatikan kenikmatan serta keindahan ciptaan Allah, tiba-tiba beliau terserempak dengan seekor kala jengking yang sangat besar sedang merayap dengan cepat. Beliau segera mencari batu untuk membunuhnya supaya beliau terhindar dari bahaya. Namun kala jengking itu merayap dengan laju untuk menyelamatkan dirinya sehingga ia terjatuh ke dalam sungai Nil itu. Sedang kala jengking itu tenggelam timbul dibawa arus, tiba-tiba muncul seekor katak di permukaan air dan kala jengking itu segera naik ke atas badan katak itu.


Katak itu kemudiannya berenang ke pinggir sungai Nil dan kala jengking itu segera naik ke atas daratan. Katak itu kemudiannya melompat lalu menghilang. Zin Nun al-Misri yang memerhatikan tingkah laku katak dan kala jengking dari tadi segera mengikuti jejak langkah kala jengking itu sehinggalah beliau tiba di sebuah pondok yang kecil dan usang. Apabila beliau menjenguk ke dalam pondok itu, beliau mendapati bahawa ada seorang lelaki mabuk yang tidak sedarkan diri terbaring di atas tanah. Ketika itu, beliau lihat ada seekor ular mahu mematuk si pemabuk itu dan tanpa disangka-sangka kala jengking yang beliau ekori tadi menyengat ular itu sehingga ular itu mati.

Zin Nun al-Misri merasa sangat takjub apabila melihat peristiwa ini dan bersyukur kepada Allah yang telah mengelakkan beliau daripada membunuh kala jengking itu. Jika tidak, sudah tentu lelaki yang mabuk itu akan mati akibat dipatuk oleh ular tadi. Semuanya itu ada hikmahnnya. Beliau kemudiannya mengejutkan lelaki itu dari tidurnya dan apabila lelaki itu melihat ada seekor ular yang di sisinya, beliau terperanjat dan ingin melarikan diri. Zin Nun al-Misri segera menahannya seraya berkata:

“ Jangan takut, ular itu sudah mati”.

Lelaki itu bertanya kehairanan : “Sudah mati? Bagaimana ular itu boleh berada di sini? ”

Zin Nun al-Misri menceritakan segala apa beliau saksikan sehinggalah beliau tiba di pondok itu. Lelaki itu kagum mendengar ceritanya lalu timbul keinsafan yang amat mendalam di dalam dirinya. Dia mengangkat kepalanya ke arah langit serta bermunajat dengan air matanya jatuh berderai, :

“Begitu penyayang Engkau terhadap hambamu ! Aku yang selalu menderhakai-Mu, Kau selamatkan aku daripada bahaya yang boleh membinasakan aku sedangkan aku mabuk dan sedang menderhakai perintah-Mu. Betapa pula Engkau memberikan rahmat-Mu kepada orang yang mentaati perintah-Mu, orang yang selalu menjaga segala perintah-Mu. Memang manusia ini tidak tahu mengenang budi. Ya Tuhan yang Maha Agung Maha Mulia, aku berjanji kepada-Mu bahawa aku akan menjaga diriku dan tidak lagi menderhakai-Mu selepas ini”.

Kemudian lelaki itu berpaling kepada Zin Nun al-Misri dan bertanya, :

“Engkau siapa? ”

“Aku Zin Nun”, jawabnya.

“Terima kasih banyak wahai Zin Nun kerana disebabkan ceritamu ini aku telah menjadi insaf dan aku akan kembali ke jalan Tuhanku” jawab lelaki itu lalu pergi meninggalkannya dengan wajah yang penuh keinsafan.


# Semoga kisah yang dipetik dari kitab Mukhtasar Raud al-Rayyahin karangan al-Allamah al-Yafi’ie ini memberi kita iktibar dan pengajaran sebagai seorang hamba-Nya di muka bumi Allah ini. Wallahu’alam.

Sunday, 30 June 2013

Uzlah: Tinjauan Dari Perspektif Ulama dan Intelektual Haraki | Siri iv


Adalah diakui tatkala hendak menulis perkara yang berkait dengan perjuangan Islam baik komitmen dalam gerak kerja, pengorbanan dsb, saya cukup khuatir. Waima saya sendiri, tiada jaminan seperti golongan Salaf al-Soleh yang sentiasa diberikan kekuatan oleh Allah untuk thabat dalam kerja-kerja Islam. Fenomena uzlah atau meminggirkan diri dari gerak kerja Islam boleh jadi terkena kepada kita jika Allah tidak lagi memilih kita, mungkin atas ‘kezaliman’ atau dosa yan telah kita lakukan. Walau bagaimanapun, ia tidak sepatutnya dijadikan halangan untuk saya terus memperingati diri (khususnya) dan para pembaca dalam kalangan aktivis Islam supaya sentiasa muhasabah.


Imbau kembali hadis tentang kambing bersendirian akan dibaham oleh serigala

Pada siri-siri yang lalu (sini, sini dan sini), kita melihat 3 faktor yang menjadi faktor kepada penyakit uzlah; iaitu, i) Berpegang kepada sebahagian nas (uzlah) dan mengabaikan nas (berjuang); Taksub buta dan keliru terhadap amalan uzlah sebahagian Salaf; dan iii) Prejudis terhadap amal jama’ie.

Adapun ciri berikutnya adalah seperti di bawah…


4-Kealpaan untuk memahami tentang tabiat bebanan apabila bersama jamaah dan bergaul dengan orang ramai.

Kadangkala punca mendorong seseorang itu melakukan Uzlah adalah kerana kegagalan memahami tabiat atau nature bebanan yang perlu ditanggung apabila melibatkan diri dalam jamaah dan bergaul dengan orang ramai. Sebenarnya bebanan begitu banyak dan besar. Ia melibatkan seluruh kehidupan insan dari mula penglibatan hinggalah ke hari akhirnya tanpa kesudahan.

Kebiasaannya bebanan yang ditanggung itu adalah bercanggah dengan kemahuan sendiri. Sekiranya para amilin gagal membuat perhitungan tentang perkara ini,dia akan mengabaikan dirinya dari tazkiyyah, tarbiyyah dan mujahadah. Ekoran dari itu, dirinya akan dikuasai oleh perasaan hawa nafsu. Semakin berlalunya hari, dia akan menjadi semakin lemah dan tidak mampu lagi untuk memikul bebanan tadi. Maka pada masa itu, dia akan cuba mencari jalan penyelesaian. Dalam mencari penyelesaian tadi ia tidak berjumpa sebarang jalan dan apa yang dijumpai ialah Uzlah.


5-Membuat ukuran bahawa bergaul dengan orang ramai akan menganggu tumpuan beribadat, padahal ia tidak memahami pengertian ibadat yang sebenar.

Kecenderungan kepada al-Uzlah seringkali berpunca dari ukuran yang diletakkan dihadapannya atau dihadapan orang lain bahawa bergaul dengan orang ramai akan menganggu tumpuan untuk beribadat seperti solat, puasa, membaca al-Quran , berdoa, berzikir, tafakur dan lain-lain lagi. Pendirian yang demikian mengambarkan dia tidak memahami pengertian ibadat yang sebenar.

Ibadat merupakan nama jami’ yang mencakupi semua perlakuan yang disukai dan diredhai oleh Allah dari perkataan dan perbuatan,sama ada yang zahir atau yang batin. Maka sembahyang, zakat, puasa dan haji adalah ibadat. Doa, istighfar, zikir dan membaca al-Quran adalah ibadat. Bercakap benar, menunaikan amanah, berbuat baik kepada ibubapa dan menyambung silaturrahim adalah ibadat.Menunaikan janji adalah ibadat, menyeru kepada kebaikan dan menyuruh kepada yang ma’aruf, mencegah kemungkaran dan berjihad menentang kufar dan golongan munafiqqin adalah ibadat. Berbuat baik kepada jiran, anak yatim, orang-orang miskin, orang yang bermusafir, khadam atau pekerja, mengasihi orang yang lemah dan tidak berupaya, bertimbang rasa kepada binatang adalah ibadat. 

Begitulah juga halnya mencintai Allah dan Rasulnya, takutkan Allah, menyerahkan diri kepadanya, ikhlas di dalam agama kerana Allah, bersabar dalam menerima hukuman Allah, redha keatas apa yang ditentukan oleh Allah, bertawakal kepada Allah, sentiasa mengharapkan rahmat Allah, takut kepada Allah dan lain-lain yang seumpamanya itu adalah ibadat.

6-Membayangkan pelbagai bentuk seksaan dan penderitaan yang menimpa para amilin agama Allah sepanjang sejarah dan lupa tentang sikap dan pendirian mereka.

Sudah menjadi lumrah bagi mereka yang bergelar pejuang Islam tidak boleh tidak pasti tidak akan terlepas daripada menghadapi mehnah dan tribulasi berupa ancaman mahupun siksaan daripada pihak penentang selagi mana seseorang itu berpegang kepada prinsip kebenaran maka selagi itulah mehnah tersebut akan berterusan. Hal ini boleh ditelusuri dan dihayati berdasarkan kisah-kisah para Nabi yang terdahulu yang kebanyakkannya dibunuh dan disiksa oleh penentang mereka dan tidak terkecuali kepada Nabi kita, Muhammad SAW. 

Begitu juga dengan sorotan kisah perjuangan mujahiddin Islam di seluruh dunia yang kebanyakkannya lebih memilih jalan sedemikian semata-mata demi menggapai keredhaan Allah SWT. Nama-nama mujahiddin dan syuhada’ seperti Yahya Ayyash, Syaikh Ahmad Yaasin, Dr. Abdul Aziz Rantisi, Syaikh Abdullah Azzam, Hasan al-Banna, Sayyid Qutb, Abdul Rahman al-Suwayli (Komander Khattab), Syamil Basayev, Ali Syariati, Murtadha Muttahari, al-Mawdudi dan ramai lagi yang kesemuanya hidup mereka memilih untuk menderita dan berkorban demi Islam.

Penyeksaan yang dihadapi oleh setiap pejuang agama ini amatlah tidak terperi ngerinya bagi mereka yang lebih memikirkan risiko di dalam perjuangan berbanding dengan mereka yang menyerahkan sepenuhnya diri mereka kepada jalan Allah SWT ini. Para pejuang Islam yang pernah ditahan ini pastinya sudah merasai ‘nikmat’ sebenar dalam perjuangan seperti dicabut kuku, di water boardingkan, fizikal dan mental sepenuhnya diseksa semata-mata mahu menserikkan mereka dari perjuangan atau dengan erti kata lain supaya mereka itu futur dari perjuangan. 

Walaupun para pejuang Islam tersebut berhadapan dengan ujian sedemikian berat rupa, namun ianya tidak pernah melunturkan semangat perjuangan mereka sebaliknya menaikkan lagi semangat mereka untuk berjuang. Al-Marhum Syaikh Abu Ala al-Mawdudi ketika mana beliau ditahan buat kali kedua pada tahun 1953, disebabkan kegiatan dakwah yang dipandang bahaya oleh pemerintah dan akhirnya membawa kepada hukuman mati. Walaupun beliau diberi peluang supaya membuat rayuan dan meminta kasihan belas dari pemerintah. Beliau dengan tegasnya berkata :

“..saya lebih baik menyerah jiwa raga saya kepada Allah daripada mengemis kepada seseorang pemerintah yang zalim. Jika memang Tuhan menghendaki, maka dengan ikhlas saya menyerahkan jiwa raga saya ini. Tetapi jika bukan dengan kehendakNya, apa pun yang diperbuat, mereka tak akan dapat melakukan sesuatu pun atas diriku..!”.


Insha-Allah bersambung pada siri yang terakhir...