Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
“Sesungguhnya perjuangan itu tidak mengenal erti penat & lelah. Demi Islam tercinta, ia perlu diteruskan. Semoga usaha untuk menyampaikan risalah Islam ini diterima Allah sebagai salah satu amal jariah semasa menghadap-Nya pada suatu hari yang pasti akan tiba..”
blog's design by faizassyirazi. Powered by Blogger.

Friday, 5 July 2013

Bila Sang Sufi Bercerita: Kisah Jengking dan Drunkard

Zin Nun al-Misri pernah menceritakan, suatu hari ketika beliau sedang bersiar-siar di tepi sungai Nil untuk memerhatikan kenikmatan serta keindahan ciptaan Allah, tiba-tiba beliau terserempak dengan seekor kala jengking yang sangat besar sedang merayap dengan cepat. Beliau segera mencari batu untuk membunuhnya supaya beliau terhindar dari bahaya. Namun kala jengking itu merayap dengan laju untuk menyelamatkan dirinya sehingga ia terjatuh ke dalam sungai Nil itu. Sedang kala jengking itu tenggelam timbul dibawa arus, tiba-tiba muncul seekor katak di permukaan air dan kala jengking itu segera naik ke atas badan katak itu.


Katak itu kemudiannya berenang ke pinggir sungai Nil dan kala jengking itu segera naik ke atas daratan. Katak itu kemudiannya melompat lalu menghilang. Zin Nun al-Misri yang memerhatikan tingkah laku katak dan kala jengking dari tadi segera mengikuti jejak langkah kala jengking itu sehinggalah beliau tiba di sebuah pondok yang kecil dan usang. Apabila beliau menjenguk ke dalam pondok itu, beliau mendapati bahawa ada seorang lelaki mabuk yang tidak sedarkan diri terbaring di atas tanah. Ketika itu, beliau lihat ada seekor ular mahu mematuk si pemabuk itu dan tanpa disangka-sangka kala jengking yang beliau ekori tadi menyengat ular itu sehingga ular itu mati.

Zin Nun al-Misri merasa sangat takjub apabila melihat peristiwa ini dan bersyukur kepada Allah yang telah mengelakkan beliau daripada membunuh kala jengking itu. Jika tidak, sudah tentu lelaki yang mabuk itu akan mati akibat dipatuk oleh ular tadi. Semuanya itu ada hikmahnnya. Beliau kemudiannya mengejutkan lelaki itu dari tidurnya dan apabila lelaki itu melihat ada seekor ular yang di sisinya, beliau terperanjat dan ingin melarikan diri. Zin Nun al-Misri segera menahannya seraya berkata:

“ Jangan takut, ular itu sudah mati”.

Lelaki itu bertanya kehairanan : “Sudah mati? Bagaimana ular itu boleh berada di sini? ”

Zin Nun al-Misri menceritakan segala apa beliau saksikan sehinggalah beliau tiba di pondok itu. Lelaki itu kagum mendengar ceritanya lalu timbul keinsafan yang amat mendalam di dalam dirinya. Dia mengangkat kepalanya ke arah langit serta bermunajat dengan air matanya jatuh berderai, :

“Begitu penyayang Engkau terhadap hambamu ! Aku yang selalu menderhakai-Mu, Kau selamatkan aku daripada bahaya yang boleh membinasakan aku sedangkan aku mabuk dan sedang menderhakai perintah-Mu. Betapa pula Engkau memberikan rahmat-Mu kepada orang yang mentaati perintah-Mu, orang yang selalu menjaga segala perintah-Mu. Memang manusia ini tidak tahu mengenang budi. Ya Tuhan yang Maha Agung Maha Mulia, aku berjanji kepada-Mu bahawa aku akan menjaga diriku dan tidak lagi menderhakai-Mu selepas ini”.

Kemudian lelaki itu berpaling kepada Zin Nun al-Misri dan bertanya, :

“Engkau siapa? ”

“Aku Zin Nun”, jawabnya.

“Terima kasih banyak wahai Zin Nun kerana disebabkan ceritamu ini aku telah menjadi insaf dan aku akan kembali ke jalan Tuhanku” jawab lelaki itu lalu pergi meninggalkannya dengan wajah yang penuh keinsafan.


# Semoga kisah yang dipetik dari kitab Mukhtasar Raud al-Rayyahin karangan al-Allamah al-Yafi’ie ini memberi kita iktibar dan pengajaran sebagai seorang hamba-Nya di muka bumi Allah ini. Wallahu’alam.

0 comments:

Post a Comment

Kata-kata melambangkan akhlak dan peribadi kita...
Justeru, berhikmahlah dalam melaksanakannya (^ ^,)