Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
“Sesungguhnya perjuangan itu tidak mengenal erti penat & lelah. Demi Islam tercinta, ia perlu diteruskan. Semoga usaha untuk menyampaikan risalah Islam ini diterima Allah sebagai salah satu amal jariah semasa menghadap-Nya pada suatu hari yang pasti akan tiba..”
blog's design by faizassyirazi. Powered by Blogger.

Tuesday, 9 July 2013

Sufistik Puasa

Tiada apa yang lebih berharga dari dunia dan seluruh isinya selain mendapat maghfirah Allah SWT dalam bulan Ramadhan. Ya, itulah yang sepatutnya didambakan oleh setiap manusia (yang sedar diri) saban tahun dicemari dengan dosa dan noda, baik kecil atau besar. Maka seharusnya kita tidak melepaskan peluang yang ada untuk memperbetulkan dalam segala aspek kehidupan, apatah lagi apabila Allah SWT telah memilih kita sebagai tetamu-Nya kali ini. Wajiblah kita untuk menzahirkan kesyukuran atas segala nikmat yang diberikan, baik kesihatan, masa, kesempatan serta nikmat-nikmat lain yang tidak putus, mungkin tidak seperti saudara-saudara Islam kita di tempat-tempat yang lain seperti di Mesir dan Syria yang sehingga kini belum dapat berehat.


Dalam proses tarbiah di bulan Ramadhan ini, amatlah penting bagi kita untuk mengetahui akan tujuan dan matlamat pengabadian kita di dalam bulan ini. Hal ini kerana terdapat segelintir dari kalangan kita yang masih belum dapat memahami sepenuhnya falsafah puasa khususnya dari sudut meningkatkan amalan dan pemikiran daripada baik kepada lebih dan paling baik. Dalam al-Qur’an, Allah SWT telah pun menjelaskan akan matlamat utamanya adalah ‘la’allakum tattaqun’ iaitu supaya kita menjadi orang-orang yang bertaqwa. Jika kita melaksanakan tuntutan Allah (puasa) dan pada masa yang sama kita gagal untuk menghayati objektif kepada perintah itu maka bukanlah ia merupakan suatu yang sangat rugi lagi malang.

Umpamanya, orang yang bersolat di siang hari namun pada malam harinya dia menghabiskan masanya dengan mengunjungi tempat-tempat maksiat dan melakukan segala jenis kemungkaran, maka solatnya pada siang tadi langsung tidak dapat menegah dirinya dari melakukan perkara keji sedangkan hakikatnya, matlamat solat itu sendiri antara lainnya adalah untuk mencegah diri daripada melakukan perbuatan keji dan mungkar. Perbuatannya itu seolah-olah sama sahaja dengan mereka yang meninggalkan solat kerana solatnya tidak lebih dari ‘melepaskan tanggungjawab’ lantaran dia gagal memahami matlamat ubudiyyah dalam solat itu.

Begitulah juga dengan amal ibadat yang kita lakukan pada bulan Ramadhan, samada dengan berpuasa, menghidupkan solat-solat malam serta amalan kebajikan yang lain. Ada yang melakukannya kerana ingin mendapat keredaan, ada pula kerana ganjarannya yang berlipat kali ganda. 

Umumnya kita mengetahui bahawa puasa itu adalah dengan menahan lapar dari perkara-perkara yang membatalkan puasa dari terbit fajar sehingga terbenam matahari. Namun, adakah sekadar menjaga perkara-perkara yang membatalkan puasa secara zahir itu kita merasakan bahawa puasa kita sudah cukup sempurna untuk dipersembahkan di hadapan Allah pada Hari Akhirat kelak? Oleh itu sama-samalah kita menilai dan bermuhasabah di kesempatan yang masih ada. Beberapa 'jika' dan 'maka' yang perlu direnung bersama..

....Jika sebelum ini kita suka bercerita tentang keburukan orang lain, mengumpat dan sebagainya, maka pada bulan ini kita bertekad untuk berhenti dan terus berhenti sampai bila-bila...

...Jika sebelum ini kita jarang membaca al-Quran dan solat malam, maka pada bulan ini kita cuba untuk melakukan dan memperbanyakkan-nya. Jika sebelum ini masa kita banyak digunakan untuk perkara yang sia-sia (umpamanya menghadap media sosial facebook berjam lamanya), maka pada bulan ini kita berazam untuk tidak lagi membuang masa kepada perkara yang tidak memberikan maslahat kepada diri dan ummah, sebaliknya kita menginfakkan masa yang ada untuk sebarang gerak kerja Islam...

...Jika sebelum ini kita berpakaian tidak mengikut syariat dengan sempurna seperti tidak bertudung labuh bagi Muslimat dan berseluar pendek bagi Muslimin, maka di bulan ini kita ubah segala kemungkaran itu dengan menuruti apa yang telah digariskan oleh agama dan begitu juga dengan perkara-perkara yang lain...

Gunakanlah kesempatan yang ada untuk menjaga mata, mulut, telinga dan segala pancaindera kita dari sebarang kekufuran nikmat maka pada bulan yang lain kita tidak boleh mengadakan sebarang alasan untuk tidak menjaganya. Jika tidak, maka sia-sialah amal ibadat kita yang telah kita usahakan pada bulan ini. Sama-sama kita menjadikan bulan Ramadhan ini sebagai satu momentum pengisahan diri dalam semua aspek. Dan apa yang penting, pengislahan ini tidak sekadar berhenti di Ramadhan kali ini sahaja tetapi akan sentiasa berterusan pada bulan-bulan yang akan datang.


Selamat menyambut dan menghayati bulan Ramadhan dengan penuh keikhlasan dan keinsafan. Semoga Ramadhan kali ini lebih baik dari Ramadhan sebelum-sebelum ini. 

Salam hormat dari penulis,

faizassyirazi
UKM Bangi
30 Sya'ban 1434 H

0 comments:

Post a Comment

Kata-kata melambangkan akhlak dan peribadi kita...
Justeru, berhikmahlah dalam melaksanakannya (^ ^,)