Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
“Sesungguhnya perjuangan itu tidak mengenal erti penat & lelah. Demi Islam tercinta, ia perlu diteruskan. Semoga usaha untuk menyampaikan risalah Islam ini diterima Allah sebagai salah satu amal jariah semasa menghadap-Nya pada suatu hari yang pasti akan tiba..”
blog's design by faizassyirazi. Powered by Blogger.

Saturday, 13 July 2013

Memaknai Ramadhan: Aku dan Dia

Bismillah… Syukur kepada Allah kerana sehingga saat ini kita masih diberi kekuatan untuk terus istiqamah dengan amal ibadah dalam bulan Ramadan, baik amal ibadah bersifat umum (segala amal baik yang dilakukan kerana Allah SWT) mahupun khusus (seperti solat dan puasa). Sedar atau tidak, hari ini telah 4 hari kita berpuasa. 

Ironinya (dan saban tahun), wujud perbezaan dalam kalangan umat Islam untuk menentukan tarikh puasa (1 Ramadhan). Di negara-negara Arab seperti Saudi, Qatar, Bahrain, Jordan, Yaman, dan Mesir mula berpuasa pada hari Rabu 10 Julai. Demikian juga dengan Libya, Syria, Sudan, Tunisia dan tidak terkecuali Muslim di Iran baik Sunni (minoriti) dan Syiah (majoriti). Berbeza dengan negara-negara di Eropah seperti Rusia, Jerman (dan Turki), umat Islam di sana mula berpuasa sehari lebih awal, iaitu hari Selasa. Faktor cepat atau lewatnya penentuan tarikh puasa bergantung kepada penentuan ‘rukyah al-hilal’, hisab (falak) dan matla’ (tempat terbit anak bulan), selain dari faktor ijtihad fahaman agama yang berbeza (seperti Muhamadiyyah dan Ahmadiah di Indonesia).

Asasnya semua Muslim berpuasa selaras dengan menyempurnakan kewajipan agama, baik berbeza faham mazhab dan ideologinya. Objektifnya seperti yang diketahui untuk memperoleh maqam taqwa di sisi Allah. 

Justeru, kesempurnaan atau tercapainya objektif puasa itu bukan bergantung pada lama atau singkatnya tempoh seseorang itu menahan diri dari perkara yang membatalkan puasa, bermula terbit fajar sehingga tenggelam fajar, akan tetapi sejauh mana seseorang itu mencapai (atau bertambah) tahap taqwa kepada Allah SWT.

Demikian Dia menyeru:



يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُتِبَ عَلَيۡڪُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِڪُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ

“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa” (QS al-Baqarah 2: 183)

Jika taqwa itu diukur dengan tempoh lamanya berpuasa, maka sudah pasti umat Islam di negara-negara Eropah Utara lebih bertaqwa kerana waktu puasa mereka lebih lama daripada negara-negara yang terletak di kawasan Selatan bumi. Umpamanya umat Islam di Denmark berpuasa selama 21 jam, umat Islam di Rusia adalah 19 Jam 57 Minit, umat Islam di Britain adalah 18 Jam 05 Minit dan umat Islam di Amerika adalah 19 Jam 57 Minit. Manakala yang paling kurang taqwanya adalah umat Islam di Argentina kerana waktu berpuasa mereka paling singkat iaitu selama 9 jam. Hakikatnya bukan itu yang diukur dan dinilai Allah SWT.


Kekeliruan Memahami Ramadanisme*

Dalam pelbagai perspektif, ada yang melihat Ramadhan sebagai bulan puasa, tarawikh, tadarus dan solat malam. Ada yang melihat ia sebagai bulan pesta ibadah. Ada yang melihat ia sebagai bulan mencari rahmah, maghfirah dan keselamatan dari api neraka. Itu normal dan sepatutnya begitu. Cuma agak malang jika ada Muslim yang melihatnya sebagai bulan ‘pesta makan’ dan membeli belah. Ironinya kita dapat melihat dalam kalangan masyarakat kita. 

Tidak perlu jauh, perhatikan sahaja jika kita pergi ke bazar-bazar Ramadhan. Kadang-kadang ada yang membeli seolah-olah mahu ‘mengqada’ makan setelah seharian berpuasa. Bagi yang hendak taraf eksklusif sedikit, hotel berbintang menjadi pilihan untuk berbuka. Pakej ratusan ringgit bukan lagi menjadi masalah, yang penting puas. Soal pembaziran yang berlaku selepas itu usah dicerita. Di shopping complex pula, sale-sale untuk raya telah bermula. Ada yang lebih awal sebelum Ramadhan lagi. Seolahnya semangat Raya lebih dari puasa. 

Kesinambungan daripada keliru dan gagal memahami erti sebenar Ramadanisme, maka sebab itu kita boleh melihat dan mendengar berita Muslim yang mengaku berpuasa, namun mulutnya tidak pernah berhenti dari mengumpat, melaknat, mengeji orang lain. Tidak kurang juga dengan golongan yang menghabiskan masa (sementara menunggu berbuka) dengan melepak di hadapan skrin TV, melayan lagu-lagu lagha, membaca novel cinta/jiwang kemudian perasan bersendirian di atas katil, bermain game, chatting di laman sosial, dan sebagainya. Implikasinya berlakulah kes yang ‘pelik-pelik’ yang sering menimbulkan keluhan “kenapalah … boleh berlaku dalam bulan Ramadhan ini”. 


Rekonstruksi Ramadanisme

Konotasi Ramadhan yang berasal dari frasa ra, ma, dha secara leksikalnya bermaksud hujan di awal musim bunga dan amat signifikan dengan bulan penyucian. Selain itu, Ramadhan dikenali sebagai Shahru Ibadah, yang perlu kita maknai dengan semangat melaksanakan amal ibadah semaksimum mungkin. Ramadhan juga merupakan Shahru Fath yang harus dimaknai dengan memenangkan segala kebaikan dan amal soleh ke atas segala keburukan. Bukankah Ghazwah Badar al-Kubra, Qadisiah dan Fath Makkah berlaku dalam bulan Ramadhan? Selain itu, Ramadhan merupakan Shahru Huda yang harus dimaknai dengan semangat mengajak manusia kepada kebenaran berupa ajaran al-Qur’an dan Sunah Nabi SAW. 



Ramadhan juga merupakan Shahru Salam yang harus dimaknai dengan mengajak manusia  yang bertelagah kepada pendamaian dan pengharmonian. Di negara-negara umat Islam yang bergolak, seperti di Syria dan Mesir adalah amat wajar untuk kalangan mereka yang bertelagah berhenti dan mencari solusi kepada pendamaian. Cukuplah bertahun lamanya darah umat Islam ditumpahkan oleh sesama Islam. Jika enggan untuk berdamai, jangan terlupa, Ramadhan juga Shahru Jihad yang harus dimaknai dengan perjuangan menentang kezaliman di muka bumi. Ramadhan juga Shahrul Maghfirah yang harus dimaknai dengan rayuan dan permintaan untuk diampunkan dosa. Dan yang terakhir, Ramadhan juga Shahrul Sabr yang harus dimaknai dengan mengoptimumkan tahap sabar, sama dalam melaksanakan tuntutan Allah, waima ketika menerima ujian Allah. (Nota: Di samping itu banyak lagi nama-nama yang lain)

Dalam bulan taubat dan pengampunan ini, pintu rahmat Allah sememangnya terbuka luas untuk hamba-hambaNya merayu untuk diampunkan segala dosa. Signifikan nama Ramadhan dengan bulan penyucian dosa, puasa juga merupakan penghapus dosa. 

Sabda Nabi SAW:
ان سمی رمضان لأنه یرمض ذنوب

"Sesungguhnya bulan Ramadhan dinamakan Ramadhan kerana ia menghapuskan dosa"


Bersambung...


Nota Kaki:
*Pemikiran dan perspektif tentang Ramadhan

0 comments:

Post a Comment

Kata-kata melambangkan akhlak dan peribadi kita...
Justeru, berhikmahlah dalam melaksanakannya (^ ^,)