... sambungan dari Siri II
2-Berpandu kepada sikap al uzlah yang pernah dilakukan oleh sebahagian golongan salaf tanpa memahami tentang suasana yang mendorong mereka berbuat demikian.
Kadangkala perbuatan al-Uzlah dipengaruhi oleh perbuatan tertentu para Nabi dan Rasul serta sebahagian golongan salaf. Mereka disalahfaham dengan mengutamakan hidup beruzlah dari mencampuri dan bergaul dengan jamaah. Asasnya dapat diperhatikan kepada perkataan Nabi Ibrahim a.s kepada kaumnya seperti yang disebut di dalam al-Quran:
وأَعْتَزِلُكُمْ وَمَا تَدْعُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ
“Dan aku akan menjauhkan diri darimu dan dari apa yang kamu seru selain Allah” (Surah Maryam 48)
Adapun faktor yang mendorong Nabi Ibrahim a.s. berbuat demikian adalah kerana melaksanakan program perubahan dan pemulihan. Apabila ia mendapati kaumnya masih bertegas untuk terus berada di dalam kekufuran, di mana ia begitu berbahaya dan dibimbangi akan berlaku fitnah kepada agama, maka baginda terus meninggalkan mereka dan memencilkan diri. Ia bagaimanapun dalam tempoh tertentu dan bukan bersifat selama-lamanya. Kerana itu baginda a.s mencari alternatif dan mekanisme lain dalam membawa mereka kepada Islam.
Dikalangan Salaf Tabi’in, Fudhayl b. Iyad umpamanya pernah mengambil jalan untuk beruzlah daripada perjuangan dan menumpukan hanya kepada ibadatnya sahaja. Melihat kepada sikap beliau, Imam al-Qudwah Abdullah Ibn Mubarak menegurnya dalam syairnya yang masyhur. Ujar beliau:
يا عابدَ الحرمين لو أبصرتْـَنا ... لعلمتَ أنَّكَ في العبادةِ تلعبُ
مَنْ كانَ يخضبُ خدَّه بدموعِه ... فنحورنُـا بدمـائِنا تَتَخْضَبُ
أوكان يتعبُ خيله في بـاطل ... فخيـولنا يوم الصبيحة تتعبُ
ريحُ العبيرٍ لكم ونحنُ عبيرُنا ... رَهَجُ السنابكِ والغبارُ الأطيبُ
ولقد أتـانا مـن مقالِ نبيِنا ... قولٌ صحيحٌ صادقٌ لا يَكذبُ
لا يستوي غبـارُ أهلِ الله في ... أنفِ أمرئٍ ودخانُ نارٍ تَلهبُ
هذا كتابُ الله ينـطقُ بيننا ... ليسَ الشهيدُ بميـتٍ لا يكذبُ
Wahai para ahli ibadah di al-Haramayn ... Kalau kamu menyaksikan kami.. Nescaya kamu akan mengetahui bahawa sesungguhnya kamu bermain-main dalam ibadah.. Kalau orang-orang membasahi pipinya dengan air mata yang mengalir deras.. Maka dengan pengorbanan kami.. Kami mengalirkan darah yang lebih deras.. Kalau kuda-kuda orang kepenatan dalam perkara batil.. Sesungguhnya kuda-kuda kami penat.. Dalam melakukan serangan dan peperangan.. Bau wangi-wangian menjadi milikmu.. Sedangkan bau wangi-wangian kami adalah debu-debu jalanan.. Telah datang kepada kami sabda nabi.. Sabda yang benar jujur dan tidak bohong.. Tidak sama debu kuda-kuda Allah.. Di hidung seseorang dan asap yang menyala-nyala.. Inilah kitab Allah yang berbicara kepada kami.. Bahawa orang mati syahid tidak diragukan lagi.. Tidak sama dengan orang mati biasa...
Teguran tersebut memberikan kesan yang mendalam kepada Fudhayl b. Iyad dan akhirnya membawa kepada perubahan drastik dalam dirinya. Kisah tersebut boleh telah dicatatkan oleh Ibn Asakir di dalam Tarikh Dimasyq beliau. Sesungguhnya mana-mana aktivis Islam yang membaca tentang al-Uzlah yang pernah dilakukan oleh tokoh-tokoh tadi, tanpa mengambil kira suasana dan keadaan yang mereka hadapi sudah pasti akan mendorong melakukan perbuatan yang menyerupai mereka. Tindakan demikian sudah tentu akan melibatkan diri mereka dengan beruzlah yang pasti jauh dari suasana jamaah, sekali pun perbuatan itu tidak ada tabrirnya (tidak ada justifikasinya).
3-Beranggapan bahawa hidup berjamaah akan menghilangkan kewibawaan individu dan menjejaskan keperibadian.
Dalam masa yang sama ia juga melupai tentang manhaj al islam dalam mengimbangi di antara kepentingan individu dan kepentingan jamaah. Kadang kala sebab yang mendorong seseorang aktivis Islam tu kepada perlakuan uzlah ialah kerana ia beranggapan dengan peryertaan dalam jamaah ,maka kewibawaan dirinya akan hilang dan ketokohannya juga terjejas. Dia akan jadi pak turut, kalau orang ramai baik dia akan baik sebaliknya kalau mereka jahat dia akaan jahat dan dia melupai pertimbangaan tentang kepentingan individu dan kepentingan jamaah.
Manhaj islam sebenarnya berperanan menyeru setiap individu agar berada di dalam jamaah dan dia hendaklah terus berada di bawah naungan jamaah, seperti yang telah diterangkan sebelum ini. Selain dari itu hendaklah ditegaskan kepada setiap anggota jamaah bahawa mereka bertanggungjawab sepenuhnya ke atas setiap tindakan yang dilakukannya sendiri. Ayat berikut hendaklah dinyatakan kepada mereka:
وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَى
“Dan orang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain” (Surah Fathir : 18)
كُلُّ نَفْسٍ بِمَا كَسَبَتْ رَهِينَةٌ
“Tiap-tiap diri bertanggung jawab atas apa yang telah diperbuatnya” (Surah al-Muddathir : 38)
لَا تَجْزِي نَفْسٌ عَنْ نَفْسٍ شَيْئًا
“Seseorang tidak dapat membela orang lain, walau sedikitpun” (Surah al-Baqarah : 48)
بَلِ الْإِنْسَانُ عَلَى نَفْسِهِ بَصِيرَةٌ وَلَوْ أَلْقَى مَعَاذِيرَهُ
“Bahkan manusia itu menjadi saksi atas dirinya sendiri meskipun dia mengemukakan alasan-alasannya.”(Surah al-Qiyamah : 14-15)
وَإِنْ تَدْعُ مُثْقَلَةٌ إِلَى حِمْلِهَا لَا يُحْمَلْ مِنْهُ شَيْءٌ وَلَوْ كَانَ ذَا قُرْبَى
“Dan jika seseorang yang berat dosanya memanggil (orang lain) untuk memikul dosanya itu tiadalah akan dipikulkan untuknya sedikitpun meskipun (yang dipanggilnya itu) kaum kerabatnya” (Surah al-Fathir : 18)
Oleh yang demikian anggota jamaah adalah berkewajipan memberi nasihat kepada setiap jamaah dengan mengikut lunas-lunas, adab dan tatasusila tanpa mengambil kira setinggi mana pun kedudukan ahli yang dinasihati itu. Hadis Rasulullah SAW bersabda:
الدين النصيحة ، قلنا : لمن يا رسول الله ؟ قال : لله ، ولكتابه ، ولرسوله ، ولأئمة المسلمين وعامتهم
"Agama itu nasihat.” Kami bertanya, “Untuk siapa wahai Rosulullah?” Beliau menjawab, “Bagi Allah, kitabNya, dan rasulNya, dan bagi para pemimpin Islam, dan bagi muslimin umumnya."
Dalam Hadis yang lain baginda s.a.w bersabda:
المؤمن مرآة المؤمن و المؤمن أخو المؤمن يكف عليه ضيعته و يحوطه من ورائه
"Orang mukmin laksana cermin bagi mukmin yang lain (untuk membetulkan diri) orang mukmin adalah saudara bagi orang mukmin ,ia menjaga saudaranya dari kehilangan dan orang mukmin dijaga oleh rakan di belakangnya."
Para sahabat telah pun hidup bersama-sama Rasulullah s.a.w dan selepas kewafatan baginda, mereka telah hidup bersama-sama mereka.Sungguhpun demikian, kita tidak pernah mendapati walau seorang pun dari mereka yang terjejas kewibawaannya kerana berada bersama jamaah. Apa yang kita lihat mereka sentiasa menghayati dan beramal dengan nasihat, syura, amar makruf dan nahi mungkar. Pernah di antara mereka berkata pada Umar: “Sekiranya kami mendapati engkau melakukan penyelewengan, maka kami akan betulkan engkau dengan pedang ini,”
Dengan cara dakwah yang demikian akan terbinalah entiti yang unggul dalam diri setiap muslim yang berketerampilan dan jelas sempadan serta panduan yang akan diikuti. Maka pada masa itu perasaannya akan sentiasa berada di dalam keadaan sedar dan berjaga-jaga atas apa yang menyentuhnya sekalipun jauh. Sesungguhnya anggapan sedemikian dan kelalaian tentang hakikat tadi pasti akan mengheret seseorang aktivis Islam kepada beruzlah, yang sudah semestinya ia dihinggapi oleh wabak yang begitu merbahaya.
to be continue..
to be continue..
0 comments:
Post a Comment
Kata-kata melambangkan akhlak dan peribadi kita...
Justeru, berhikmahlah dalam melaksanakannya (^ ^,)