Zin
Nun al-Misri pernah menceritakan, suatu hari ketika beliau sedang
bersiar-siar di tepi sungai Nil untuk memerhatikan kenikmatan serta
keindahan ciptaan Allah, tiba-tiba beliau terserempak dengan seekor kala
jengking yang sangat besar sedang merayap dengan cepat. Beliau segera
mencari batu untuk membunuhnya supaya beliau terhindar dari bahaya.
Namun kala jengking itu merayap dengan laju untuk menyelamatkan dirinya
sehingga ia terjatuh ke dalam sungai Nil itu. Sedang kala jengking itu
tenggelam timbul dibawa arus, tiba-tiba muncul seekor katak di permukaan
air dan kala jengking itu segera naik ke atas badan katak itu.
Katak
itu kemudiannya berenang ke pinggir sungai Nil dan kala jengking itu
segera naik ke atas daratan. Katak itu kemudiannya melompat lalu
menghilang. Zin Nun al-Misri yang memerhatikan tingkah laku katak dan
kala jengking dari tadi segera mengikuti jejak langkah kala jengking itu
sehinggalah beliau tiba di sebuah pondok yang kecil dan usang. Apabila
beliau menjenguk ke dalam pondok itu, beliau mendapati bahawa ada
seorang lelaki mabuk yang tidak sedarkan diri terbaring di atas tanah.
Ketika itu, beliau lihat ada seekor ular mahu mematuk si pemabuk itu dan
tanpa disangka-sangka kala jengking yang beliau ekori tadi menyengat
ular itu sehingga ular itu mati.
Zin
Nun al-Misri merasa sangat takjub apabila melihat peristiwa ini dan
bersyukur kepada Allah yang telah mengelakkan beliau daripada membunuh
kala jengking itu. Jika tidak, sudah tentu lelaki yang mabuk itu akan
mati akibat dipatuk oleh ular tadi. Semuanya itu ada hikmahnnya. Beliau
kemudiannya mengejutkan lelaki itu dari tidurnya dan apabila lelaki itu
melihat ada seekor ular yang di sisinya, beliau terperanjat dan ingin
melarikan diri.
Zin Nun al-Misri segera menahannya seraya berkata:“Jangan takut, ular itu sudah mati”.
Lelaki itu bertanya kehairanan : “Sudah mati? Bagaimana ular itu boleh berada di sini? ”
Zin
Nun al-Misri menceritakan segala apa beliau saksikan sehinggalah beliau
tiba di pondok itu. Lelaki itu kagum mendengar ceritanya lalu timbul
keinsafan yang amat mendalam di dalam dirinya.

Kemudian lelaki itu berpaling kepada Zin Nun al-Misri dan bertanya: “Engkau siapa? ”
“Aku Zin Nun”, jawabnya.
“Terima
kasih banyak wahai Zin Nun kerana disebabkan ceritamu ini aku telah
menjadi insaf dan aku akan kembali ke jalan Tuhanku” jawab lelaki itu
lalu pergi meninggalkannya dengan wajah yang penuh keinsafan.
Semoga kisah yang dipetik dari kitab Mukhtasar Raud al-Rayyahin
karangan al-Allamah al-Yafi’ie ini memberi kita iktibar dan pengajaran
sebagai seorang hamba-Nya di muka bumi Allah ini.
Wallahu’alam.
0 comments:
Post a Comment
Kata-kata melambangkan akhlak dan peribadi kita...
Justeru, berhikmahlah dalam melaksanakannya (^ ^,)