Setelah
kejatuhan empayar Islam Othmaniah, kita telah melihat beberapa siri
penindasan dan kekejaman yang telah menimpa umat Islam sehingga hari
ini. Umat Islam seolah-olah telah hilang taringnya yang tidak mampu
melawan kekuatan musuh. Islam telah kehilangan rijal-rijal yang akan
kembali membawa kegemilangan Islam.
Pukulan hebat dan penangkapan serta
penyembelihan berlaku pada umat Islam apabila umat Islam mula bangun
cuba untuk menegakkan Islam kembali. Umat Islam seolah-olahnya
kehilangan pedoman dan panduan apabila melihat kekuatan musuh yang
begitu hebat.
Ramai di kalangan muslimin menyangkakan bahawa
pada akhir zaman nanti akan berlakunya al fitan dan kerosakan di muka
bumi. Mereka menyangka bahawa kekufuran beleluasa, kejahatan menguasai
alam. Islam berada di dalam kemunduran dan penegak kebenaran dihina dan
ditindas.
Sebenarnya ini merupakan satu tasawwur yang silap yang
seharusnya diperbaiki. Kegelapan yang menimpa umat Islam kini tidak
akan selama-lamanya. Fajar Islam akan menyinsing tidak lama lagi.
Jahiliyah pasti akan runtuh di bawah kekuatan Islam. Islam akan sekali
lagi menjadi pentadbir alam ini. Maka muslimin seharusnya merasa yakin
dan tidak berputus asa dengan janji Allah bahawa Islam akan muncul
mentadbir alam ini walaupun orang kafir cuba untuk menghapuskannya.
Firman Allah Taala:
"
Mereka cuba untuk memadam cahaya Allah dengan mulut-mulut mereka, dan
Allah tidak menghendaki selain menyempurnakan cahaya Nya walaupun orang
kafir tidak menyukai" (at Taubah: 32)
Sebenarnya sikap berputus
asa dan keluh kesah terhadap suasana yang menimpa umat Islam kini
merupakan sikap yang sepatutnya dikikis. Umat Islam seharusnya merasa
optimis dengan kejayaan yang bakal dihadapi oleh Islam pada suatu hari
nanti.
Apabila kita melihat sirah perjuangan Rasulullah s.a.w,
Rasulullah sering memberikan khabar gembira kepada sahabat tentang
kemenangan-kemenangan yang bakal diperolehi oleh muslimin. Di dalam
peristiwa hijrah, semasa Rasulullah s.a.w berhijrah ke Madinah, baginda
telah berjanji kepada Suraqah yang telah cuba untuk membunuh Nabi dengan
menghadiahkan kalung Kisra raja Parsi kepada Suraqah. Walaupun pada
masa itu Islam masih lagi diperingkat awal, namun Rasulullah mampu
menjanjikan bahawa Islam akan mengalahkan kerajaan Parsi.
Begitu
juga semasa di dalam peperangan al Ahzab, ketika mana Rasulullah cuba
memecahkan batu untuk menggali Parit. Rasulullah telah menyatakan
kepada para sahabat bahawa Islam akan menawan kota-kota Yaman, Rom dan
Parsi. Sedangkan pada ketika ini umat Islam sedang berada di dalam
kegetiran berhadapan dengan jumlah musuh yang begitu ramai, tetapi
Rasulullah s.a.w. mampu menjanjikan kepada para sahabat tentang
kemenangan yang bakal diperolehi oleh mereka.
Dengan keyakinan
inilah para sahabat berjuang bersungguh-sungguh untuk menyebarkan Islam
di muka bumi ini dan seterusnya melaksanakan janji-janji yang telah
dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w. kepada mereka.
Fajar menyinsing
Tanda-tanda
awal telah kita lihat pada hari ini bahawa fajar Islam akan kembali
bersinar tidak lama lagi. Kita melihat kebangkitan Islam telah mula
bersinar di seluruh pelosok dunia. Umat Islam telah mula kembali
kepercayaan mereka terhadap Islam. Dan musuh-musuh Islam telah mula
bimbang dan khuatir dengan kebangkitan ini dengan menyebarkan dakyah
bahawa golongan-golongan ini merupakan 'terrorist' dan 'fundamentalist'.
Kuasa-kuasa besar dunia semakin hari semakin hilang kekuatannya.
Keruntuhan kerajaan Komunis Soviet Union dan kerajaan-kerajaan komunis
yang lain merupakan satu petanda bahawa kekuasaan kekuatan musuh tidak
akan selama-lamanya. Amerika Syarikat pada ketika ini telah mengalami
masalah dalaman negara yang begitu teruk. Golongan remajanya yang bakal
menjadi teraju kepemimpinan negara telah mengalami keruntuhan moral
yang amat dahsyat. Amerika Syarikat yang mendabik dada kekuatan mereka
sebenarnya merupakan negara yang menunggu saat-saat kehancuran seperti
mana runtuhnya kerajaan komunis.
Ini merupakan bibit-bibit awal
bahawa fajar Islam akan mula menyinsing dan akan menjadi penguasa alam
ini. Kesedaran Islam telah mula tercerna di dalam hati-hati umat Islam.
Pemuda-pemuda Islam di seluruh pelosok alam telah mula melaungkan
slogan Islam. Kebangkitan Islam telah berlaku kepada umat Islam dalam
bentuk fikri, akhlak, ekonomi dan jihad. Maka kita yakin bahawa Allah
pasti akan bersama-sama mereka dalam menegakkan Dinul Islam ini.
Kekuatan yang dimiliki oleh Muslimin.
Sesungguhnya
Muslimin mempunyai kekuatan yang tidak ada pada manusia yang lain.
Penegakan Daulah Islam yang pertama di Madinah telah meninggalkan kesan
yang mendalam dalam hati umat Islam. Gerakan dan cara yang telah
ditunjukkan oleh Rasulullah menjadi panduan kepada Muslimin hari ini
untuk menegakkan Islam kembali. Perlu diyakini bahawa marhalah dakwah
dan cara yang dilakukan oleh Rasulullah itu merupakan 'Rabbani Taujih'
(panduan dari Allah) yang diberikan kepada Rasulullah sehingga Islam
tertegak dengan megahnya dimuka bumi ini. Maka dengan bekalan pengalaman
ini, muslimin mengatur langkah dalam menegakkan Islam kembali di muka
bumi ini.
Selain daripada itu, muslimin mempunyai kekuatan yang
tidak boleh dipandang lekeh oleh manusia. Kita boleh simpulkan bahawa
muslimin mempunyai tiga unsur kekuatan yang mampu menggugat kekuatan
musuh.
Pertama: Kekuatan kuantiti.
Islam pada hari ini
mempunyai bilangan penganut yang hampir suku penduduk dunia yang
tersebar di seluruh benua di dunia. Sesungguhnya jumlah yang ramai ini
merupakan antara aset utama dalam menegakkan Islam. Ianya merupakan satu
nikmat yang seharusnya di syukuri. Sepertimana firman Allah swt:
"Ingatlah, ketika kamu masih sedikit, kemudian kamu telah menjadi banyak…"
(Al A'araf: 86).
Jamaluddin
Al Afghani pernah berkata kepada rakyat India: "Jika sekiranya bilangan
kamu yang berjuta-juta ini semuanya menjadi lalat, nescaya kamu mampu
untuk menghancurkan telinga Inggeris."
Kedua: Hasil Bumi.
Muslimin
pada hari ini menetap di negara-negara yang amat kaya dengan hasil
buminya. Negara yang yang kaya dengan minyak dan bahan galian yang lain
serta tanah yang subur untuk pertanian. Semuanya ini merupakan kepunyaan
muslimin.
Ketiga: Manhaj Rabbani.
Inilah kekuatan yang
tidak ada pada manusia yang lain. Muslimin menyeru manusia kepada satu
sistem yang mampu membawa keadilan dan kebahagiaan kepada alam sejagat.
Sistem ciptaan manusia yang wujud pada hari ini sebenar telah membawa
kepada kerosakan dan kesengsaraan kepada manusia. Manusia yang berfikir
tidak akan sekali-kali menolak sistem Allah ini.
Oleh itu
jelaslah kepada kita bahawa kelemahan umat Islam ini tidak akan
selama-lama. Islam sekali lagi akan mencapai kejayaan dan menjadi
pentadbir alam ini.
Sikap kita
Kita sebagai pejuang agama
Allah ini seharusnya mempunyai sikap yang optimis dengan kejayaan yang
bakal di hadapi oleh Islam. Kita tidak seharusnya bersifat putus asa dan
keluh kesah dengan suasana dan penindasan musuh terhadap umat Islam.
Malah kita yakin dengan janji-janji Allah bahawa Allah akan memenangkan
agamanya walaupun dihalang oleh orang-orang kafir.
Dengan
keyakinan ini bukan bermakna kita akan berdiam diri dan berpeluk tubuh
dengan menunggunya kemenangan yang dijanjikan oleh Allah. Tetapi dengan
keyakinan ini, seharusnya kita mempergandakan amalan dan usaha kita
dalam menegakkan agama Allah ini.
Janganlah umat mengimpikan
kemenangan muslimin terhadap Yahudi sedangkan umat masih lagi berpecah
belah, berselisihan dan pergaduhan. Janganlah umat berangan-angan dengan
kemenangan sedangkan umat masih lagi bermalasan dan tidak
bersungguh-sungguh.
Mustahil kemenangan diberikan kepada orang
yang bermalasan dalam berhadapan dengan musuh yang berjuang
bersungguh-sungguh menghancurkan Islam. Mustahil kemenangan diberikan
kepada umat yang hanya meluangkan cebisan waktu untuk Islam dalam
berhadapan dengan musuh yang meluangkan sepenuh waktu untuk meruntuhkan
Islam. Maka cepat atau lewatnya kemenangan Islam adalah di bahu kita
bersama yang akan dipersoalkan oleh Allah Ta'ala nanti.
Dan
ingatlah kata-kata Saidina Umar kepada sahabatnya: " Impikanlah" Seorang
pemuda berkata: " Aku mengimpikan jika sekiranya negeri ini dipenuhi
dengan emas lalu aku infakkan pada jalan Allah." Omar berkata lagi:
"Impikanlah". Seorang pemuda berkata: "Aku mengimpikan jika negeri ini
dipenuhi dengan batu permata lalu aku infakkan pada jalan Allah." Omar
berkata lagi: "Impikanlah". Mereka berkata: "Kami tidak tahu apa yang
hendak dikatakan wahai Amirul Mukminin" Omarpun berkata: "Tetapi aku
mengimpikan rijal seperti Abu Ubaidah bin al Jarrah, Muaz bin Jabal dan
Salim, hamba Abu Huzaifah. Lalu aku meminta pertolongan dari mereka
untuk meninggikan kalimah Allah".
Itulah sebenarnya modal utama
untuk kembali memerintah dunia. Seorang pemuda lebih berharga dan
bernilai dari seluruh isi dunia. Maka pemuda inilah yang akan berjuang
sehingga tertegaknya Dinul Islam ini. Wallahu A'alam.
0 comments:
Post a Comment
Kata-kata melambangkan akhlak dan peribadi kita...
Justeru, berhikmahlah dalam melaksanakannya (^ ^,)