Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
“Sesungguhnya perjuangan itu tidak mengenal erti penat & lelah. Demi Islam tercinta, ia perlu diteruskan. Semoga usaha untuk menyampaikan risalah Islam ini diterima Allah sebagai salah satu amal jariah semasa menghadap-Nya pada suatu hari yang pasti akan tiba..”
blog's design by faizassyirazi. Powered by Blogger.

Thursday, 21 August 2014

Muhasabah Buat Pra-Sarjana

Pejam celik, pejam celik, hari ini sudah masuk hari ketiga semester I 2014/2015 memasang tirainya. Ada sebahagian kita yang fasa pengajiannya telah sampai ke penghujungnya, ada juga yang telah berjaya menamatkan dan bakal bergelar graduan pada November ini. Tahniah diucapkan kepada yang berjaya. Kepada yang masih dalam proses pembelajaran, moga terus istiqamah. Pastikan kita sentiasa on the right track walaupun dikekang pelbagai komitmen dan urusan yang bersifat sampingan. Yakinlah bahawa di sebalik ranjau dalam menuntut ilmu ini bakal disusuli dengan 1001 hikmah dan fadhilat, sama ada kita sedari atau tidak sahaja. 


Pembeza antara kaca dan permata

Semakin lama seseorang itu mendalami sesuatu ilmu, maka semakin tinggi tahap pengetahuan serta pengalamannya. Dan ilmu pengetahuan yang benar ini tidak dapat dicapai melainkan melalui proses menuntut. Adapun melalui jalan sebaliknya seperti melalui lambakan maklumat pengetahuan di laman sosial facebook, whatsupp, blog dan sebagainya terdedah kepada manipulasi dan pencemaran, tanpa dinafikan wujudnya sebahagian yang bersifat benar dan bermanfaat. Tanpa ilmu, seseorang itu tidak boleh membezakan antara kaca dan permata. 

Dasar kepada ilmu itu tidak boleh dibina dengan persepsi dan asumsi, tetapi berdasarkan fakta dan kajian yang autentik. Hal ini juga membezakan antara seorang sarjana dengan orang awam. Seorang sarjana yang bertanggungjawab dengan ilmunya lebih suka untuk berdiam dari membicarakan sesuatu yang luar dari bidangnya, berbanding dengan orang awam yang lebih suka untuk bercakap semua bidang semahunya, waima agama, politik, ekonomi, dan seumpamanya. Sikap suka berlagak sebagai ‘pakar’ atau wartawan segera yang sering bercakap tanpa ilmu ini ditempelak oleh al-Quran:

وَمِنَ ٱلنَّاسِ مَن يَشۡتَرِي لَهۡوَ ٱلۡحَدِيثِ لِيُضِلَّ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِ بِغَيۡرِ عِلۡمٖ وَيَتَّخِذَهَا هُزُوًاۚ أُوْلَٰٓئِكَ لَهُمۡ عَذَابٞ مُّهِينٞ ٦ 

“Dan ada di antara manusia yang menjual percakapan-percakapan yang melalaikan; untuk menyesatkan dari agama Allah tanpa didasarkan dengan ilmu pengetahuan dan menjadikan agama Allah itu sebagai olok-olokan; merekalah orang-orang yang akan beroleh azab yang menghinakan.” (Surah Luqman 31: 6)

Justeru, didiklah diri kita supaya jauh dari sikap ‘serba tahu’ ini. Jika kita jahil tentang sesuatu perkara, maka rujuklah kepada ahlinya. Misalnya orang yang berkecimpung dalam bidang pengajian Islam dengan pengkhususan Usuluddin. Sudah tentu dia bukanlah seorang yang berkelayakan untuk membincangkan soal politik, ekonomi dan isu-isu lain selain bidang Usuluddin, sesuai dengan jangkauan ilmunya. Dalam bidang Usuluddin sekalipun, tidak semua subjek yang dia boleh bincangkan secara mendalam seperti mana subjek yang menjadi tumpuan utamanya. Lainlah dia menekuni semua bidang tersebut sedalam dalam satu tempoh yang lama. Dan itu jarang berlaku pada zaman kita, berbanding dengan tradisi para ilmuwan Islam terdahulu yang dapat menguasai lebih dari satu disiplin ilmu seperti Ibn Sina, al-Haythami, al-Khawarizmi dan tokoh seangkatan mereka. 


Kegemilangan yang dicapai mereka dalam segenap bidang selaras dengan tuntutan agama ini ke atas penganutnya supaya melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan. Bahkan sejak di bangku sekolah dahulu kita sering mendengar Hadis supaya menuntut ilmu sehingga liang lahad, menuntut ilmu merupakan kefardhuan kepada Muslim, dan (‘hadis’) menuntutlah ilmu sehingga ke negeri China. Islam begitu menitik beratkan soal ilmu kerana hanya ia mampu mengangkat darjat seseorang dari kehinaan kepada kemuliaan. Sayidina Ali r.a, tatkala ditanya sahabatnya; antara ilmu dan harta mana yang lebih berharga? Maka beliau yang disifatkan oleh Nabi sebagai Bab al-‘Ilm (sebagaimana dalam Hadis Riwayat al-Hakim) memberikan sembilan jawapan;

  1. Ilmu adalah pusaka para Nabi, sementara harta adalah pusaka Qarun, Firaun dan pendamba nafsu.
  2. Ilmu lebih berharga dari harta kerana ilmu itu menjagamu sementara harta kamu yang perlu menjaganya.
  3. Harta itu jika digunakan maka ia semakin berkurangan sementara ilmu itu jika digunakan maka ia semakin bertambah.
  4. Penyimpan harta selalunya digelar sebagai kedekut dan bakhil, sementara penyimpan ilmu akan digelar dengan kemuliaan.
  5. Pemilik harta itu mempunyai ramai musuh sementara pemilik ilmu mempunyai ramai sahabat.
  6. Harta itu di akhirat akan dihisab sementara orang berilmu diberi syafaat.
  7. Harta itu kesudahannya akan hancur sementara ilmu sentiasa akan berkekalan walau ditimbun zaman.
  8. Harta selalunya akan membuatkan hati manusia menjadi gelap sementara ilmu membuatkan hati manusia bercahaya.
  9. Orang berharta (ada yang sehingga) merasakan dirinya sebagai Tuhan, sementara orang berilmu sentiasa menyedari hakikat kehambaannya.


Variasi Nawaitu

Selepas bergelar graduan sarjana muda, ada yang mengambil keputusan untuk bekerja, dan ada juga yang berhasrat untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi, iaitu di peringkat MA dan seterusnya PhD. Di sana terdapat beberapa nawaitu yang menjustifikasikan hasrat menyambung pengajian tersebut, antara yang biasanya;

Pertama, ada yang menyambung pengajian kerana untuk meningkatkan taraf hidup kepada yang lebih baik. Dan lazimnya ia tanggapan ramai pihak kononnya dengan memiliki ijazah yang tinggi, maka tangga gajinya juga tinggi. Barangkali terkesan dari kenaikan taraf hidup saban tahun. Seperti mana yang kita maklum, tahun depan kerajaan akan melaksanakan GST, dan ia mengundang kenakan harga barangan. Kononnya tidak semua barang yang dikenakan GST, walhal implikasinya melibatkan hampir semua barangan. Baru-baru ini ketika Saya berkunjung ke Pasar raya Giant Bangi, seorang broker rumah cuba menghasut rakan yang menemani supaya segera membeli rumah. 

Antara justifikasi yang dibuat adalah kerana GST akan menyebabkan harga rumah meningkat sebanyak 10% sebaik sahaja ia dilaksanakan. Ironinya begitulah. Bahkan dalam konteks semasa harga rumah khususnya di bandar-bandar mencecah setengah juta paling minimum. Saya difahamkan di Bandar Baru Bangi sendiri agak mustahil untuk berjumpa dengan rumah yang harganya kurang dari sejuta. Jika sudah mempunyai rumah, pasti perlu kepada kenderaan. Itu tidak termasuk dengan puluhan senarai keperluan untuk sara hidup dan hutang pengajian yang sentiasa menunggu untuk dibayar. Bagi yang berkeluarga, maka ia berlipat kali ganda kosnya. Tekanan hidup yang berlaku ini akhirnya mendorong sebahagian pihak untuk menyambung pengajian dengan harapan taraf hidup dapat meningkat, walhal realiti yang berlaku kebanyakannya berbeza.

Kedua, kerana pangkat dan title sarjana/Dr. Maklumlah dengan kelulusan yang tinggi lazimnya kerjaya yang paling signifikan adalah pensyarah atau setidak-tidaknya penyelidik di institusi yang ternama. Jika mempunyai soft skill yang luar biasa, boleh membuka konsultan peribadi. Hal ini kerana kelayakan yang tinggi selalu menjadi kayu pengukur pada mata masyarakat. Jadi jangan pelik mengapa ada pihak yang sanggup menghabiskan ratusan ribu ringgit wang untuk membeli sijil doktor falsafah melalui ‘pintu belakang’. Kebanjiran doktor atau pemegang PhD jadian ini boleh menyebabkan berlakunya pencemaran pada sudut disiplin ilmu tersebut. Manakala di kalangan mereka yang menyambung kerana mendambakan title sedemikian, tidak akan merasa puas selagi mana tidak dapat mencapai tahap yang maksimum. 

Selepas mendapat title Dr, diburu pula title Prof. Madya, full Prof, diikuti gred C, B, A. Tidak cukup itu, gelaran Dato’, Tan Sri dan seumpamanya cuba diraih seboleh mungkin. Pokok pangkalnya kerana mengejar pangkat supaya nama lebih laku di mata masyakat. Saya teringat beberapa bulan yang lalu seorang wanita membawa suaminya ke hospital yang di serang strok. Keadaan suaminya sepatutnya terus dihantar ke wad ICU. 

Malangnya ketika wanita tersebut hendak mendaftarkan suaminya, dia disuruh pulang dan tunggu sehingga beberapa minggu baru dipanggil semula untuk rawatan. Geram dengan sikap birokrasi tersebut, ketika jururawat tersebut meminta contact no., dia menyerahkan business card-nya. Lalu dengan tersengih kemalu-maluan, jururawat itu berkata, “Oh, Prof Datin Paduka yer. Maaf yer. Datin, duduklah dahulu, sekejap lagi saya panggil”. Mendengar ngomelan sang Prof itu, menggambarkan realiti yang berlaku dalam masyarakat kita. Bahkan banyak kes yang serupa yang menunjukkan birokrasi dalam layanan. Layanan diutamakan kepada yang mempunyai nama dan pangkat. 


Agaknya jika wanita tadi adalah makcik cleaner, pasti suaminya sudah menemui ajal sebelum sempat mendapat rawatan. Apa yang ingin ditekankan, Islam tidaklah menghukum salah kepada mereka yang menerima kenaikan pangkat dan anugerah selagi mana ia diperoleh dengan cara yang betul, sesuai dengan kelayakannya dan bukan jenis meminta-minta. Lebih-lebih lagi jika tidak dapat apa yang dihajati, dia merajuk atau kalau dalam parti politik akan lompat parti. Justeru diperingatkan bahawa jangan sampai menjadikan matlamat menuntut ilmu itu kerana mendambakan pangkat dan gelaran.

Ketiga, untuk mengisi kekosongan disebabkan status masih single (belum berkahwin atau belum ‘settle’). Nawaitu ini mungkin jarang berlaku tetapi realitinya tidak dapat dinafikan. Lazimnya apabila seseorang itu tamat sahaja pengajian di peringkat pertama, ibu bapa pasti akan menyuruh anaknya khususnya perempuan untuk mendirikan rumah tangga. Maklumlah umur semakin lama semakin meningkat. Katakan, tamat belajar umur 24 atau 25 tahun (kebiasaan). Tanpa dinafikan bahawa orang dahulu pada usia ini sudah mempunyai 4-5 orang anak, hakikatnya tidak boleh disamakan konteks dahulu dengan sekarang atas banyak faktor. Namun untuk golongan ini, apa pilihan yang ada jika status yang masih kabur atau kerana mahu mengubat hati yang terluka. 

Justeru jalan alternatif yang ada adalah dengan menyambung pengajian. Kononnya akan terselamat dari taklifan atas desakan orang berdekatan. Nawaitu ini juga salah kerana tujuan menuntut ilmu itu bukan sekadar memenuhi kekosongan hidup kerana tidak berkahwin. Jika ia dipusatkan kerana itu, maka lazimnya proses pengajian tersebut tidak menjadi, sama ada disebabkan seruan untuk berkahwin hadir secara tiba-tiba ataupun kontradik dengan perancangan rumah tangga. Hendak mengisi kekosongan hidup kerana tidak berkahwin sebaiknya adalah dengan mencari cinta hakiki terlebih dahulu sebelum cinta manusiawi. Dengan demikian akan membimbing hala tuju yang sebenar dan dimudahkan segala urusan kehidupan.


Nawaitu keempat adalah kerana terpaksa, khususnya kerana ibu bapa yang suruh. Realiti ini mungkin kita biasa dengar di kalangan orang berada atau yang hartanya tidak habis sampai 7 keturunan. Ataupun golongan raja, sultan khususnya dari negara Arab. Lazimnya disebabkan tahap kesedaran yang rendah untuk menambah ilmu pengetahuan. Sekalipun ada sijil, cukuplah sekadar cukup makan. Semasa degree, buat assignment dan latihan ilmiah pun bayar pihak lain yang buat. Bila sambung MA, buat di oversea yang berbentuk coursework. Masa PhD, lantik mana-mana pensyarah untuk tuliskan thesis dari A-Z, kemudian pulang dengan title Dr. 

Pernah Saya diberitahu. Salah seorang pemeriksa luar untuk tesis seorang calon PhD di UK mengesyaki ada unsur plagiat dalam tesis yang diperiksa. Tidak puas dengan kandungan thesis tersebut, pemeriksa luar tersebut menghubungi penyelianya untuk mengetahui asal usul calon tersebut dan latar belakangnya. Sebaik sahaja diberitahu bahawa calon PhD tersebut adalah daripada negara Arab, pemeriksa tersebut terus menghubungi pemeriksa yang lain kerana sepanjang pengalaman dan pengetahuannya, amatlah mustahil bagi mana-mana pelajar daripada negara Arab untuk menghasilkan tesis sedemikian kualiti. Sejurus selepas dibuat pemeriksaan lanjut, ternyata thesis-nya itu 100% diplagiat dari tesis orang lain. Apa yang lebih aneh, bagaimana thesis tersebut boleh ‘terlepas’ dari tapisan penyelianya? 

Berbalik kepada nawaitu keterpaksaan tadi, sedarlah jika kita melakukan sesuatu kerana terpaksa maka kita yang rugi, bukan pihak lain. Sepatutnya apa yang kita lakukan bukan kerana siapa-siapa atau kerana terpaksa, tetapi biarlah kerana kehendak diri kita sendiri untuk belajar semata-mata kerana Allah.


Nawaitu yang kelima adalah kerana mengharapkan redha Allah. Inilah yang terbaik kerana langsung tidak disandarkan kepada keempat-empat nawaitu yang dibincangkan sebelum ini. Bila nawaitu dipusatkan kerana Allah semata-mata, maka tidak dipedulikan berubahnya keadaan hidup, beroleh pangkat atau tidak, telah mendirikan rumah tangga atau masih bujang, dan apa yang dilakukan bukan kerana paksaan, melainkan kemahuan sendiri. Kesemua yang bersifat mendatang itu lambat laun akan hadir. 

Jika dapat maka bersyukur, jika tidak dapat maka ia tidak menjejaskan kualiti keazaman untuk meningkatkan ilmu pengetahuan. Menyambung pengajian hanyalah wadah untuk belajar. Ibarat tiket yang bercop rasmi. Hasrat belajar yang berpasak dari seruan Quran dan Sunah, tidak terhenti di medan kampus atau dunia akademik semata-mata. Bukan sekadar penghasilan jurnal dan makalah akademik untuk melengkapkan syarat bergraduasi dan KPI. Bukan sekadar menjadi pembentang kertas kerja dalam seminar dan kolokium yang bersifat eksklusif kepada ahli akademik semata-mata. Bukan sekadar berpeluang terbang keluar negara dengan kos yang tinggi. 

Akan tetapi manifestasi ilmu yang dikuasai sampai kepada seluruh masyarakat di segenap peringkat, baik secara langsung atau tidak. Bukan ilmu yang bersifat teori semata-mata, tetapi lebih kepada aplikasi. Tidak janggal untuk bercampur dengan masyarakat, jauh sekali untuk memiliki keangkuhan lantaran ketinggian ilmu yang dimiliki, kerana keyakinan bahawa ia hanyalah secebis dari lautan ilmu Allah yang sangat luas. Jika demikian nawaitu kita menyambung pengajian ke tahap yang lebih tinggi, iaitu untuk membangunkan ummah dan memapankan gerak kerja gerakan Islam, maka kitalah merupakan golongan yang paling beruntung. Tidak lain dan tidak bukan kerana menepati matlamat utama ilmu itu sendiri.


Kesimpulannya, renung-renungkan di mana posisi kita berada; sama ada pada nawaitu yang pertama, kedua, ketiga, keempat, atau kelima? Jika tersalah dan terkhilaf nawaitu, masih belum terlambat untuk diperbetul dan dimurnikan. Sentiasalah meng-islah azam dari masa ke semasa dalam menuntut ilmu. Paling penting, amalkan ilmu yang diperoleh, biarpun sedikit kerana ia lebih baik dari mempunyai ilmu segunung tinggi namun jauh dari pengamalan. Sekadar di sini sahaja, insha-Allah bertemu pada coretan berikutnya pada masa-masa yang akan datang. Wallahu’allam dan Wassalam. 

Wa fi amanillah.

Sg. Merab | 21 Ogos/25 Syawal | 3: 27 am

0 comments:

Post a Comment

Kata-kata melambangkan akhlak dan peribadi kita...
Justeru, berhikmahlah dalam melaksanakannya (^ ^,)