Sebuah warkah dari Asia Tengah yang ditulis oleh seorang tokoh Ulama haraki di Pakistan, al-Marhum Syaikh Abu Ala al-Maududi khas buat mereka yang bergelar mahasiswa/i :
Apa yang saya lihat di seluruh universiti dan pusat-pusat pengajian di dunia Islam, bahkan di setengah-setengah dunia bukan Islam, wujudnya kumpulan pemuda Islam yang beriman penuh dengan akidah Islam, menyedari tanggungjawab mereka sebagai orang Islam dan sanggup mengorbankan sepenuh tenaga mereka untuk menegakkan semangat Islam di IPT-IPT tersebut.
Sikap ini wajar mendapat sanjungan, penghargaan dan sambutan dari orang yang mempunyai perasaan tulus ikhlas kepada dunia Islam, kerana Allah dengan kemurahanNya telah mengurniakan kepada umatnya yang lemah ini pemuda-pemuda yang tahu akan tanggungjawab.
Mereka ini menunaikan tanggungjawab itu secara aktif dengan penuh kesedaran di IPT-IPT dalam semua bidang pendidikan, sekalipun sistem pendidikan di seluruh dunia Islam sekarang ini dikuasai oleh cara berfikir dan tradisi barat. Adapun tajuk yang ingin saya sampaikan di sini ialah : Apakah peranan yang harus dimainkan oleh pemuda, khususnya pelajar-pelajar dalam membina masa depan dunia Islam?
Keadaan dan masalah yang sama
Sebelum itu saudara-saudara patutlah percaya bahawa perbualan saya ini saya tujukan kepada semua pelajar di seluruh dunia Islam; iaitu satu kawasan dunia yang telah menyerah kalah kepada fikiran dan tamadun barat setelah merengkok secara langsung beberapa lama di bawah penindasan mereka. Setiap cabang kehidupan mereka yang antaranya ialah pelajaran dan pendidikan membayangkan teori-teori dan sistem yang diterima dari barat. Sesungguhnya segala keadaan dan corak hidup yang ada di seluruh dunia Islam pada hari ini adalah sama. Kerana itu para pelajar di dunia Islam menghadapi masalah yang sama.
Umat Islam dan bukannya negeri Islam
Perkara kedua yang harus saudara-saudara berikan perhatian, bahawa bukanlah maksud saya dengan NEGERI-NEGERI ISLAM itu sempadan sempadan negerinya yang memanjang, bukit bukaunya yang menawan, sungai-sungainya yang tenang atau air terjunnya yang menjunam. Apa yang saya maksudkan ialah penduduknya yang hidup dalam kawasan-kawasan yang berkenaan.
Adalah diketahui bahawa manusia itu sentiasa terdedah kepada kemusnahan. Setiap orang ada ajalnya yang sudah ditetapkan. Oleh itu hendaklah kita memindahkan dengan amanah, suci dan jujur segala apa yang kita warisi daripada orang terdahulu dari kita kepada generasi akan datang sekiranya kita ingin melihat segala tamadun dan kebudayaan kita kekal di negeri-negeri itu. Bukan ini saja, bahkan kita mesti memupuk supaya generasi akan datang sanggup memikul amanah yang berat ini dengan penuh kemampuan dan kesedaran, agar mereka juga berkesanggupan memindahkan, amanah itu kepada generasi-generasi yang berikutnya.
Hakikat kemusnahan umat
Sesungguhnya umat-umat yang telah lenyap tanpa meninggalkan kesan itu bukanlah ertinya lenyap dari dunia ini, tetapi sebenarnya ialah keruntuhan kebangsaannya dari alam nyata. Maksud kita apabila kita mengatakan bahawa tamadun bangsa BABIL dan FIR'AUN itu telah lenyap, ertinya tamadun bangsa-bangsa itu telah hilang ciri-cirinya ditelan zaman. Adapun generasi bangsa Babil itu masih membiakkan keturunannya, tetapi identiti kebangsaannya telah lenyap. Begitu juga tamadun bangsa Mesir tua masih kekal di muka bumi, tetapi tamadun yang dikenali dengan nama Tamadun Fir'aun tidak lagi dilihat kesannya.
Segalanya itu ialah kerana generasi mereka yang silih berganti telah hilang kemampuan untuk memindahkan pusaka warisan yang diwarisinya dari generasi yang lalu kepada jenerasi yang lahir selepasnya. Oleh yang demikian nyatalah bahawa generasi sesuatu bangsa itu apabila
hilang identiti kebangsaannya dan hancur ke dalam identiti yang lain maka itulah ertinya bangsa itu telah lenyap dan musnah.
Sejarah telah membuktikan bahawa dua belas golongan dari bangsa Israel telah hilang dan dunia ini dan tidak ditemui oleh sejarah hingga hari ini. Dalam hal ini tidak pula diriwayatkan bahawa mereka telah dibunuh kesemuanya atau telah dilenyapkan asal-usulnya dari muka bumi ini untuk selama-lamanya. Sebenarnya apa yang dimaksudkan dalam hal ini ialah kesedaran keisraelan telah lenyap dari golongan itu dan kesedaran itu tidak berpindah kepada
generasi-generasi yang lalu selepas mereka. Apabila lenyap sifat keisraelan dan tamadun keisraelan tadi lalu meresaplah ia ke dalam bangsa-bangsa lain di dunia ini hingga anak cucu mereka sendiri tidak mengetahui yang mereka itu berketurunan Israel.
Dari sini nyatalah bahawa hidup dan kekalnya sesuatu bangsa itu adalah bergantung kepada sikap ingin menyediakan generasi akan datangnya supaya meraka berkemampuan memelihara identiti kebangsaannya. Mungkin inilah tajuk penting yang hendak saya terangkan dengan jelas kepada saudara semua.
Bersambung..
p/s : Dewasa ini, kebanyakan mahasiswa Islam di dilihat seolah-olah sudah hilang keizzahan mereka. Semakin lama semakin teruk dan semakin hancur. Golongan yang terselamat amatlah sedikit berbanding dengan golongan yang jatuh terjerumus ke lembah kegelapan. Punca utamanya adalah disebabkan mereka itu enggan dan malas berusaha untuk membentuk diri mereka menjadi Muslim yang baik. Minda-minda golongan ini sudah tepu dengan perkara-perkara yang tidak sepatutnya berlaku berikutan biah atau suasana di sekeliling mereka yang tidak keharuan.
Sebab itu munculnya golongan yang terkeliru di dalam menjustifikasi (mengenalpasti) antara yang benar dan yang batil. Program berbentuk ilmiah dan keagamaan dikatakan ekstrim, tidak sesuai, Islamic sangat dan bermacam-macam lagi ungkapan-ungkapan yang dangkal sebaliknya kepada program berunsurkan percampuran lelaki dan perempuan secara bebas, konsert-konsert, hedonisme tidaklah pula kedengaran sebegitu pula.
Ungkapan ekstrim tidak sepatutnya digunakan untuk golongan yang melaksanakan ajaran Islam bahkan golongan yang bertindak melampaui batas syara’ itulah ekstrim. Malah yang lebih dahsyat, terdapat juga golongan agamawan sendiri yang bersikap sedemikian. Sebagai contoh, seorang ‘ustaz’ sepatutnya memberi kuliah agama di surau tetapi dia bersikap malas ke surau dan sanggup berdiri di pentas menyanyikan lagu barat kepada masyarakat. Mungkin mereka perlukan tarbiyah dari ‘Ulama Muda’ di negara ini. Sepatutnya mereka perlu ‘sedar diri’, hatta jika enggan memilih cara hidup Islam sekalipun, janganlah mencemarkan imej Islam itu di mata golongan awam khususnya Non-Muslim.
0 comments:
Post a Comment
Kata-kata melambangkan akhlak dan peribadi kita...
Justeru, berhikmahlah dalam melaksanakannya (^ ^,)