Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
“Sesungguhnya perjuangan itu tidak mengenal erti penat & lelah. Demi Islam tercinta, ia perlu diteruskan. Semoga usaha untuk menyampaikan risalah Islam ini diterima Allah sebagai salah satu amal jariah semasa menghadap-Nya pada suatu hari yang pasti akan tiba..”
blog's design by faizassyirazi. Powered by Blogger.

Sunday 10 January 2010

Dilema Seorang Mahasiswa

Situasi Pertama

“Kacang, jom turun surau. Tadi aku dapat mesej, katanya malam ni ada majlis ilmu sikit. Lepas Maghrib ni. Jom la..”

“Ala.. aku busy la Bendi, banyak benda nak kena buat. Kau pergi je la dulu.”

Situasi Kedua

“Lepat, pukul 5 ni ada program Lampu Suluh dekat fac. Dr Samdol bagi talk. Lepas klas ni kita pergi nak?”

“Kejap2.. sebenarnya ana dah plan la. Pukul 5 ni aku nak ke PTFB. Cari bahan untuk assignment kita ni la. Kalau lambat-lambat takut tak sempat pulak. Sorry ye Pisang. Insya-Allah lain kali je la aku pergi”.

Situasi Ketiga

Mesej yang Watasyi terima pada petang semalam.

Text Msg : “Tahniah, anda telah dilantik sebagai ajk dalam KLB (Karnival Lipat Baju). Sila respond. ASAP”

6 Hari kemudiannya dia mereply : “ Maaf, saya tidak berminat .”

Sesungguhnya para pembaca terutama dikalangan mahasiswa/i faham akan realiti dan mantaliti yang berlaku dikalangan mahasiswa/i kita. Ironinya, apabila diajak ke majlis berbentuk pengisian-pengisian rohani dan aktiviti-aktiviti selain daripada yang disuapkan di dewan-dewan kuliah dan tutorial, cukup payah untuk sertai. Alasan busy, ada hal, tempat jauh, dan sebagainya sudah muak dedengari. Penulis bukanlah berniat mahu menghalakan M-16 kepada mana-mana pihak lalu menembak dengan sesuka hati, namun penulis terpanggil untuk menyatakan haikat apa sudah terjadi dengan segelintir dari kita yang bergelar mahasiswa/i.

Sahabat-sahabat sekalian,

Mahasiswa/i yang berkualti bukanlah mereka yang mendapat 4.0 dalam sijil graduasi, namun gagal dalam sudut pemikiran. Bila disuruh menyampaikan ceramah agama kepada masyarakat disebabkan berlatarkan pengajian Islam, ditolak mentah-mentah dengan alasan kurang berilmu atau “ maaf pak Imam, ana masih tidak ada tauliah. Nanti kene tangkap susah.” Bagi mereka, sudah cukup dengan “ habis je grad nanti, aku nak kerja. Lepas tu aku nak kawin, cari makan untuk anak bini aku. Lastly, pergi haji.” Bagi penulis, pemikiran dangkal ini tidak ubah seperti sampah. Maaf cakap dan inilah hakikatnya. Apakah mereka tidak memikirkan keadaan umat yang pada hari ini semakin menuju ke arah kehancuran? Apakah mereka tidak memikirkan nasib umat Islam yang ditindas dan dizalimi pada setiap hari di Palestin misalannya.

Apa tidaknya, sepanjang tempoh pengajian mereka hanya berlumba-lumba di dalam program yang berbentuk hiburan, sukan, sosial dan sebaginya. Buka tidak boleh, namun perlu diseimbangkan dengan pembangunan spiritual di dalam diri agar tidak mudah terpengaruh dengan sesuatu perkara yang jelas bercanggah dengan syara’. Cukup mudah menolak pengelibatan di dalam program-program sebegini dengan 1001 alasan namun jika menghabiskan masa selama 2-3 jam menghadap latop maka di sana tiada pula kedengaran mahu buat itu dan ini. Jika berFacebook, berYM seharian tidak pula terdengar keluhan penat, boring dan buang masa. Cukuplah untuk kita beretorik sehingga saat ini.

Di mana mahasiswa/i ketika masyarakat mengalami keruntuhan akhlak?

Janganlah kita ini sehingga dilabelkan sebagai ‘pengkhianat’ kepada agama kita. Kerana kita, masyarakat bukan Islam memandang Islam itu hina. Kerana kita, masyarakat gagal memahami Islam. Kerana kita, kemungkaran berlaku secara berleluasa dan apa yang lebih dahsyat, kita pula yang menjadi aktivis-aktivisnya. Apa yang kita mahu jawab di hadapan Allah pada hari pembalasan kelak? Apakah kita tidak malu untuk menjawab bahawa kita ini jahil dan tidak tahu hukum haram dan halal sedangkan pada masa itu Allah memberi kita ruang dan kesempatan untuk menuntut Ilmu dan menyampaikannya kepada orang ramai? Mengapakah kita boleh menginfakkan masa dan tenaga kita berjam-jam untuk berFacebook dan berYM namun jika diminta untuk turut serta dengan program yang membicarakan hal-hal mengenai Islam, kita lansung tidak ada masa untuknya? Dimana hak kita dengan Islam?

Bukan menjadi permasalah jika dimanfaatkan dengan sebaiknya. Tepuk dada, tanya iman..

Sahabat-sahabat sekalian,

Ingatlah bahawa setiap pengkhianatan yang kita lakukan terhadap Islam dan umat Islam pasti akan diberi ‘ganjaran’ oleh Allah. Penulis teringat satu kisah dimana ada seorang hamba Allah yang mempunyai pemikiran seperti di atas. Baginya cukuplah sekadar memenuhi kriteria sebagai orang yang biasa. Tidak perlulah aktif2, pergi sana-sini berdakwah macam sesetengah pihak. Buat biasa2 cukuplah. 5 tahun selepas dia bergraduasi dan sudah memiliki keluarga, masyarakat di sekelilingnya menjadi rosak. Namun padanya itu masalah mereka. Baginya, cukuplah dengan menjaga keluarganya. Beberapa tahun kemudian, salah seorang dari anaknya telah ditangkap ketika melakukan maksiat disebuah hotel di bandar. Nasi sudah menjadi bubur. Apakah kita mahu menjadi seperti lelaki ini yang menggaggap cukup sekadar menjaga tepi kain sendiri?Jika kita hidup di dalam masyarakat yang rosak, pastinya kita juga akan turut terkena tempisanya. Ingatlah sahabat-sahabat sekalian bahawa Allah itu Maha Adil. Cuma kita sahaja yang menzalimi diri kita sendiri.

Cukupkah sekadar menjaga tepi kain sendiri?

Hal ini pernah disampaikan sendiri oleh al-Syaikh Abu ‘Ala al-Mawdudi, seorang tokoh Ulama dan reformis di Pakistan :

“Sesungguhnya apa yang patut diberi perhatian yang lebih berat dari yang lain ialah bahawa pelajar-pelajar yang mempunyai kesedaran keislaman hendaklah bangun menentang segala gerakan anti Tuhan dan fahaman kebendaan yang bergerak untuk mengaburi atau meragu-ragukan akidah Islam serta melemahkan orang yang beriman kepadanya. Dengan itu mereka tidak akan menentang segala gerakan yang bertujuan menghapuskan akidah-akidah ini dan menghalangnya dari bertapak di kalangan mereka. Mahasiswa-mahasiswa harus menentang gerakan tersebut dengan apa cara sekalipun demi menjaga hidup mati identiti Islam di muka bumi ini. Perlu diketahui bahawa orang yang menimbulkan keraguan ke dalam fikiran orang ramai tentang akidah di bumi Islam ini, maka dia bukan saja melakukan dosa kufur atau murtad, bahkan ia telah melakukan pengkhianatan yang maha dashyat terhadap hak bumi Islam dan juga ia berniat mencabutnya hingga ke akar umbinya.

Ini adalah satu hakikat yang mesti disematkan di hati saudara-saudara semua. Jika ada di antara saudara-saudara yang mencuaikan perkara ini maka hendaklah beri peringatan akibat-akibat masa akan datang. Dengan demikian tidaklah dibiarkan fikiran-fikiran yang merosakkan dan prinsip-prinsip anti Tuhan itu tumbuh subur di pusat-pusat pengajian tinggi, di universiti-universiti atau di sekolah-sekolah dalam negara-negara Islam. Dengan demikian juga dapatlah dielakkan dari tersebarnya falsafah-falsafah yang merosakkan prinsip asasi Islam dan yang mengkaburkannya yang sudah tentu membuahkan hasil-hasilnya yang tidak diingini.”

Apakah kita mahu masyarakat kita menjadi seperti ini suatu masa nanti?

Ayuh mahasiswa/i, bangkitlah kalian dari belenggu kejumudan yang akan terus melenakan kalian di mimpi yang pastinya akan merugikan diri kalian sendiri. Ingatlah, Islam tidak akan sekali-kali rugi jika kita mengkhianatinya kerana sudah pasti Islam itu dipelihara Allah dan kitalah menjadi golongan yang paling rugi di dunia apatah lagi di akhirat. Sekadar peringatan untuk diri penulis dan sahabat-sahabat yang masih sayangkan Islam. Wallahua’alam.

Fikir-fikirkan sementara masih ada kesempatan

4 comments:

Kata-kata melambangkan akhlak dan peribadi kita...
Justeru, berhikmahlah dalam melaksanakannya (^ ^,)