Dewan Pemuda PAS Pusat merakamkan rasa kesal terhadap kekecohan yang berlaku di dalam Pilihanraya Kampus (PRK) sesi 2009/2010 di IPTA seluruh negara yang berlaku semalam, khususnya di Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan Malaysia.
Kekecohan dan bantahan yang berlaku tidak lain berpunca dari pengendalian PRK oleh pihak pengurusan universiti yang memang sejak dari dulu dipertikaikan kewibawaan dan keberkecualiannya (impartiality).
Ianya adalah akibat sikap pihak Hal Ehwal Pelajar (HEP) yang mengambil sikap memihak kepada kumpulan pelajar tertentu hingga menjadikan demokrasi kampus bahan lawak semata-mata.
DPPP sekian lama berpendirian bahawa soal pemilihan kepimpinan mahaasiswa seharusnya ditentukan sendiri oleh mereka secara bebas dan terbuka.
Strategi menggugut dan memaksa mahasiswa untuk hanya mengundi sesuatu kumpulan adalah penghinaan terhadap maruah para mahasiswa selain dari mencabul hak asasi mereka.
Begitu juga sikap memihak yang amat ketara yang ditunjukkan oleh kebanyakan pentadbir universiti yang menyokong kumpulan pro Aspirasi di kampus-kampus hingga hanya kumpulan tersebut diberi ruang yang luas untuk berkempen dan mendekati pelajar dan pada masa yang sama menafikan hak tersebut kepada kumpulan pro Mahasiswa.
Bagaimana universiti-universiti di Malaysia ingin mencapai tahap universiti bertaraf dunia jika dalam hal menentukan pemimpin mereka pun mahasiswa diperlakukan seumpama kanak-kanak.
Mungkin seluruh dunia akan memperlecehkan Malaysia jika mereka mengetahui beginilah caranya kita membentuk dan mengajar barisan pelapis kepimpinan negara untuk menang pilihanraya dengan cara mengugut dan menekan lawan.
Oleh yang demikian DPPP mendesak supaya :
1) Semua keputusan PRK di kampus-kampus yang mahasiswanya mempertikaikan proses perjalanan pilihanrayanya digantung buat sementara dan sebuah jawatankuasa bebas ditubuhkan oleh kerajaan untuk menyiasat segala aduan ketidak adilan dan penipuan yang berlaku dalam PRK sesi ini.
2) Sekiranya jawatankuasa ini mendapati terdapat ketidak adilan dan pencabulan demokrasi di dalam PRK kampus tersebut, maka PRK hendaklah diadakan semula dikampus-kampus yang berkenaan.
3) Pengendaliaan PRK di kampus-kampus tidak diletakkan secara eksklusif pengendaliannya di bawah Unit HEP, tetapi di bawah satu Suruhanjaya Pilihanraya Kampus yang dilantik oleh Senat Universiti dari kalangan ahli-ahli akademik terkemuka dan kakitangan kanan universiti tersebut yang tidak dipertikaikan kewibawannya. SPRK ini hendaklah diberi kuasa untuk melantik para petugas untuk mengendalikan pilihanraya dari kalangan kakitangan universiti.
4) Peraturan perjalanan Pilihanraya hendaklah diperkemaskan dan digubal selaras dengan standard universal perjalanan pilhanraya yang adil dan telus.
5) Para mahasiswa yang bertanding hendaklah diberi hak sama rata untuk berkempen serta melantik agen-agen mereka untuk memantau dan mengikuti dari dekat proses pembuangan undi dan pengiraan undi.
6) Proses pengiraan dan penjumlahan undi serta pengumuman keputusan pilihanraya hendaklah diadakan secara terbuka dengan dipantau oleh calon-calon atau agen-agen mereka bagi mengelakkan sebrang kemungkinan manipulasi dan penipuan.
7) Para pegawai universiti, pengetua-pengetua kolej kediaman, felo-felo dan juga para dekan dan pensyarah dilarang sama sekali menggunakan pengaruh dan kedudukan mereka untuk memaksa para mahasiswa menyokong mana-mana calon yang bertanding.
8) Pemantau pilihanraya dari luar seperti dari SUHAKAM, MAFREL dan Majlis Peguam hendaklah dibenarkan untuk memantau seluruh perjalanan PRK.
AHMAD SABKI YUSOF
Naib Ketua
Dewan Pemuda PAS Pusat
sumber : buletinoneline
0 comments:
Post a Comment
Kata-kata melambangkan akhlak dan peribadi kita...
Justeru, berhikmahlah dalam melaksanakannya (^ ^,)