Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
“Sesungguhnya perjuangan itu tidak mengenal erti penat & lelah. Demi Islam tercinta, ia perlu diteruskan. Semoga usaha untuk menyampaikan risalah Islam ini diterima Allah sebagai salah satu amal jariah semasa menghadap-Nya pada suatu hari yang pasti akan tiba..”
blog's design by faizassyirazi. Powered by Blogger.

Tuesday, 31 December 2013

2013: CATATAN PENUTUP TIRAI

Tahun 2013 akan berakhir beberapa jam sahaja lagi, dan lumrah di benua Asia khususnya di Malaysia akan memasuki tahun baru Masihi 2014, 8 jam lebih awal dari UK, tempat saya bermastautin buat masa ini. Kira-kira lebih 2 bulan saya menjadi sebahagian daripada warga di sini, banyak perkara baru yang saya belajar dalam konteks yang lebih meluas, khususnya dalam skop hubungan antara dunia Islam & Barat. Bagaimanapun, masih belum berkesempatan untuk dikongsikan dengan sahabat-sahabat seperti mana yang diharapkan, lantaran kondisi masih belum mengizinkan.  Pada saya, tahun ini cukup berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya, di mana tahun baru Islam 1434 dan Masihi 2014, kedua-duanya saya 'sambut' di negara orang. 


Berkait dengan sambutan tahun baru, ia cukup kuat untuk menggamit memori saya sewaktu menyambut tahun baru di Dataran Merdeka dan beberapa tempat di ibu kota semasa bergelar mahasiswa. Bukan sambut apa, cuma saya dan bersama-sama beberapa orang sahabat menyambut di bawah satu misi dakwah untuk 'menyantuni' peserta sambutan tahun baru. Cukup bermakna kerana bermacam-macam-macam jenis manusia yang kami jumpa dan disapa. Ketika itu baru terasa betapa mencabarnya hendak meneruskan tugas Nabi s.a.w, walhal ia jauh lagi jika hendak dibandingkan dengan kerja dakwah yang Nabi s.a.w lakukan. 

Oh ya, berbaki jam untuk memasuki 2014, sukanya saya untuk mengajak sahabat-sahabat sekalian (khususnya diri sendiri) untuk bermuhasabah kembali beberapa perkara. Antara yang penting adalah mengenai azam yang kita pasak pada awal 2013 lalu; apakah berjaya direalisasikan, atau hanya sekadar retorik di bibir sahaja. Dalam konteks seorang pelajar misalnya, ada yang berazam untuk menyasarkan untuk bergraduasi awal, ada yang berazam untuk menghasilkan beberapa artikel untuk diterbitkan dalam jurnal, ada yang berazam untuk menyiapkan disertasi dan tesis secepat mungkin. Tidak kurang juga yang merancang untuk bekerja dan melangsungkan kesempurnaan agama. Dalam konteks seorang penjawat awam, ada yang berazam untuk naik pangkat dan mengubah taraf hidup kepada lebih baik, dalam konteks agamawan berazam untuk menyedarkan ummah akan kepentingan agama, dan begitu juga yang lain.


Waima apa juga azam yang ditekadkan, biarlah ia selari dengan tuntutan Islam. Bagi yang berjaya menyempurnakan azam mereka untuk tahun ini, syabas dan tahniah diucapkan, sebaliknya banyak-banyaklah bermuhasabah. Mungkin ia tidak berjaya disebabkan kelemahan kita sendiri, atau di sana Allah telah merancangkan sesuatu yang jauh lebih baik untuk kita. Di samping itu cuba bandingkan juga, antara tahun ini dengan tahun 2012 dan tahun-tahun sebelumnya, apakah prestasi kita sebagai seorang manusia yang masing-masing diberikan taklifan (baik sebagai seorang majikan, pekerja, suami isteri, ibu bapa, pensyarah, pelajar dan sebagainya) ada peningkatan atau sama sahaja, atau lebih buruk. Begitu juga dengan soal prestasi iman dan amal kita, apakah ia lebih baik berbanding masa lalu, atau sebaliknya. Jika lebih buruk alangkah ruginya kita kerana Nabi s.a.w pernah menempelak manusia sebegini.

"Sesungguhnya orang yang paling beruntung ialah orang yang hari ini lebih baik daripada semalam dan orang yang celaka adalah orang yang hari ini lebih teruk daripada semalam, manakala orang yang rugi adalah orang yang hari ini sama dengan hari semalam" (HR Bukhari dan Muslim)


Isu Ummah Dalam Sorotan 2013

Umumnya tahun 2013 menyaksikan banyak perkara dan peristiwa, waima dalam konteks diri kita sendiri, mahupun dalam konteks yang lebih meluas, iaitu ummah. Dalam konteks dunia Islam, antara yang sempat saya coretkan, pada tahun ini kita menyaksikan pembunuhan kejam terhadap al-Syahid Dr. Said Ramadhan al-Buti pada Mac lalu, pada masa sama konflik di Syria semakin membarah. 



Kita juga menyaksikan bagaimana kerajaan baru Mesir pimpinan Dr. Mursi ditumbangkan oleh regime tentera usai setahun memerintah. Yang terbaru adalah pembunuhan kejam pemimpin Jama'at Islam di Bangladesh atas tuduhan jenayah perang. 



Manakala dalam konteks negara Malaysia, antara yang besar adalah perhimpunan raksasa BERSIH 3.0 yang berjaya menarik ratusan ribu rakyat untuk menyertai. 


Tahun ini juga berlangsungnya PRU-13 yang mencatatkan BN tewas dalam meraih undi popular berbanding PR. Pun begitu, PR masih perlu bekerja keras 5 tahun dari sekarang untuk membawa Malaysia ke arah yang lebih sejahtera. 


Dan agak unik bagi saya apabila tahun ini ia dibuka dan ditutup oleh dua perhimpunan rakyat, di mana BERSIH 3.0 yang diadakan pada 12 Januari, disudahi dengan himpunan TURUN pada 31 Disember. Buat yang turun TURUN, doa saya bersama kalian!


Apa yang jelas, kedua-dua perhimpunan ini mengekspresikan perasaan rakyat marhaen dari segenap lapisan terhadap kerajaan lantaran kebobrokan mereka dalam beberapa isu. Apa yang saya ingin nyatakan di sini, saban tahun pasti ada sesuatu peristiwa yang berlaku sama ada besar atau kecil, melibatkan diri kita secara langsung atau tidak. Cuma persoalannya sejauh mana kita bersedia untuk memberi respond kepada isu yang timbul menerusi kapasiti yang sedia ada.


Memaknai kehidupan

Hidup kita cuma sekali, dan mati hakiki juga sekali. Justeru peluang yang ada seharusnya dimanfaatkan sebaik mungkin. Jadikanlah setiap hari kita yang berlalu penuh dengan makna dan memanfaatkan orang lain. Alangkah ruginya kita persiakan dengan sesuatu yang langsung tidak dapat memanfaatkan diri kita dan ummah secara amnya, dan lebih malang apabila kita tergolong dalam kalangan mereka yang membinasakan ummah. Bercakap dalam soal memaknai kehidupan, ringkasnya saya rumuskan kepada tiga konteks. Pertamanya kita perlu melihat dalam konteks hubungan kita dengan Allah. Ia merangkumi segala amalan yang melibatkan hubungan kita dengan pencipta, sama ada berbentuk fardu atau sunat. Kedua-dua amalan ini sepatutnya memberikan impak yang besar dalam menjadikan kita sebagai seorang Muslim yang soleh lagi musleh. 


Kedua adalah hubungan kita sesama manusia, sama ada yang Muslim waima non-Muslim. Ini termasuklah dengan mengambil kira soal penunaian hak-hak mereka seperti mana yang digariskan syarak. Ini kerana, konsep keadilan Islam itu sepatutnya dilihat sebagai rahmat yang meliputi sekalian alam, bukan dilihat sebagai agama yang sifatnya eksklusif serta suka menghukum lebih-lebih lagi dalam kalangan non Muslim. Hampir dua tahun saya mengikuti perkembangan persepsi masyarakat non-Muslim di Malaysia dan di Barat melalui kajian-kajian akademik, segelintirnya cukup menyedihkan. Ketiga adalah hubungan kita dengan alam yang pada mereka juga ada hak yang perlu ditunaikan. Contoh terdekat, Taufan Typhoon yang melanda Philippine bulan lalu menjustifikasikan bagaimana rakusnya tangan-tangan manusia merosakkan alam. 

Manakala dalam konteks seorang pelajar sukanya saya ingin mengajak sahabat-sahabat untuk menilai kembali sejauh mana kita telah memaknai kehidupan kita yang berbaki ini. Lazimnya umur umat Nabi Muhammad sekitar 60-65 tahun, jika umur kita (misalnya) sekitar 25, bermakna kita mempunyai baki hayat sekitar 40 tahun untuk memaknai kehidupan, menerusi ketiga-tiga perkara yang dibincangkan di atas. Katakanlah, tolak dengan usia 50 kerana badan sudah uzur, bermakna berbaki sekitar 30 tahun. Itu tidak termasuk dengan perkara-perkara lain. Persoalannya, dalam tempoh berbaki itu apakah sempat untuk menyempurnakan semua perkara? 


Tentu sekali tidak, jika dari sekarang kita masih gagal menyasarkan matlamat hidup, sama ada dalam tempoh jangka masa pendek atau panjang. Orang yang kabur matlamatnya, lazimnya tidak akan mampu merancang dan menyusun kehidupan dengan baik. Cuba perhatikan mereka yang mahu berkahwin, lazimnya bukan sebulan dua persediaan yang dilakukan, bahkan lazimnya memakan masa bertahun lamanya (Saya tidak dapat bayangkan bagaimana keadaannya dengan kenaikan pelbagai jenis barang bermula tahun hadapan a.k.a esok). Begitu juga dengan mereka yang bercita-citakan untuk mati syahid, bukan dalam masa yang singkat mereka bersedia dengan segenap amalan, akan tetapi sejak dari awal lagi.


Untuk memaknai kehidupan dalam konteks seorang pelajar misalnya, adalah tidak memadai jika tugasnya hanya belajar semata-mata dengan menghadiri kelas atau aktiviti akademik. Pada masa sama dia jauh dari mengambil berat tentang isu-isu yang berlaku di sekelilingnya. Apatah lagi dalam konteks seorang Muslim yang wajib untuk terlibat dan mengambil tahu isu-isu umat, sesuai dengan kapasiti yang ada. Apa yang penting adalah 'bekerja' dan 'bergerak' dan bukan berkecuali. Tidak lain dan tidak bukan untuk memberikan kehidupan kita lebih bermakna.

Sekadar coretan penutup tahun 2013. Semoga tahun 2014 ini menjadikan kita sebagai Muslim yang lebih berkualiti dalam iman dan amal. 

Galeri Foto: Memori 2013 dalam kenangan

0 comments:

Post a Comment

Kata-kata melambangkan akhlak dan peribadi kita...
Justeru, berhikmahlah dalam melaksanakannya (^ ^,)