Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
“Sesungguhnya perjuangan itu tidak mengenal erti penat & lelah. Demi Islam tercinta, ia perlu diteruskan. Semoga usaha untuk menyampaikan risalah Islam ini diterima Allah sebagai salah satu amal jariah semasa menghadap-Nya pada suatu hari yang pasti akan tiba..”
blog's design by faizassyirazi. Powered by Blogger.

Thursday, 27 February 2014

Leicester: Sebuah Travelog Akademia

Bismillah.

Tanggal 27 Februari 2014. Dua peristiwa penting yang berlaku. Salah satunya, genap sebulan saya meninggalkan bumi UK. Misi independent selama 101 hari pada mulanya dilihat mustahil, namun perancangan Allah untuk menjadikannya realiti. Berkat doa ramai pihak. Syukur Alhamdulillah, berakhirnya misi tersebut dengan suatu yang dikenang sehingga ke akhir hayat. Jujurnya, agak berat untuk menulis di sini, kerana hasrat awal biarlah ia dihasilkan dalam bentuk akademik. Dengan erti kata yang lain, tidak timbul soal perkongsian pengalaman peribadi sepanjang berada di sana. 


Namun untuk tidak menghampakan hasrat sebahagian sahabat, mungkin boleh dikongsikan sedikit pengalaman secara umum. Pendekatan kali ini agak berbeza, kerana terdapat sejumlah perkataan yang dikekalkan dalam bahasa asal ia dihasilkan. Harapan penulis mudah-mudahan ada manfaatnya khususnya dalam memotivasikan diri pembaca untuk membina karier akademik yang lebih baik lagi. Sekian untuk mukadimah.



Dunia Barat: Antara Penawar dan Racun

Western atau Barat. Istilah yang terangkum padanya pelbagai konotasi, ironinya sedikit yang positif dan banyak yang negatif. Sama ada persepsi atau assumsi, itulah realitinya menurut kebanyakan, termasuklah yang menulis sebelum menjejakkan kaki ke sini. Namun, persepsi itu berjaya di ubah apabila proses pemikiran beralih dari satu tahap ke tahap yang lebih matang. Boleh jadi hasil dari 'menebas semak samun' dalam dunia akademik. Suka untuk ditekankan, waima di mana-mana pun, ada sahaja positif dan negatif. Pelajar lepasan Timur tengah, belum tentu dapat menjamin dia balik membawa watak Nabi Musa dan belum tentu dia pulang membawa watak fir'aun. Demikian juga di benua Eropah. 

Di sini terpulang pada sejauh mana kita dapat memanfaatkan aspek yang positif itu menerusi ruang dan peluang yang ada. Pendek kata, positif atau negatif ia bergantung pada cara kita berfikir. Untuk itu, biarlah ia dipandu dengan wahyu. Jika kita melihat sesuatu itu dengan menghukum terlebih dahulu atau membina pelbagai persepsi yang negatif, maka awal-awal lagi sudah terhijab segala unsur-unsur positif. Umpamanya dapat kita soroti menerusi sejumlah pejuang Islam yang dibuang ke benua Eropah semata-mata untuk melenyapkan pengaruh mereka dari masyarakat. Apa yang berlaku, sebaliknya. Bukan sahaja mereka tidak terkesan dengan suasana di sana, bahkan mereka menjadi semakin kuat dan lebih advance dalam menguasai pelbagai bidang ilmu pengetahuan. Di sanalah mereka semakin kuat mengorak langkah untuk memberi ketumbukan yang dahsyat kepada masyarakat. 

الْحِكْمَةُ ضَالَّةُ الْمُؤْمِنِ فَحَيْثُ وَجَدَهَا فَهُوَ أَحَقُّ بِهَا

“ Kebijaksanaan (al-Hikmah) itu adalah barang tinggalan milik orang beriman, di mana sahaja mereka menjumpainya maka mereka lebih berhak ke atasnya” (HR. Tirmidhi dan Ibn Majah)


Suasana di Markfield

Ketibaan penulis pada 18 Oktober tahun lalu, disambut oleh autumn (selama seminggu), manakala sepanjang fasa ditemani oleh winter. Seperti mana yang dijangkakan, ada beberapa 'kelebihan' dalam winter jika berada di negara-negara Eropah. Antara yang utamanya, suhu pada siangnya (paling tinggi) sekitar 5 - 8 Celsius berjaya membuatkan masyarakat untuk berpakaian dengan lebih sopan dan tertutup rapi. 


Pendek kata, terpeliharalah sedikit pandangan semasa turun ke kajian lapangan. Bahkan pada waktu malam, agak jarang untuk berjumpa orang berkeliaran di sekitar bandar kerana suhunya mampu mencecah sehingga -2. Kekuatannya sudah cukup untuk menutup segenap permukaan yang terdedah seperti rumput dan jalan dengan ais. Serta merta memori melayang ke bumi Syria dan di Palestin sedang diuji. Tidak dapat dibayangkan bagaimana mereka mengharungi musim sejuk dan salji di khemah-khemah pelarian dalam keadaan sedemikian. Hendak bercakap soal heater, jauh sekali.

Before

Then (Frozen field)

Islamic Foundation & Khazanah Ilmu

Di small town ini terletaknya Islamic Foundation, sebuah yayasan yang menaungi The Markfield Institut of Higher Education (MiHE), tempat di mana penulis dijemput sebagai Academic Visitor. Biah Islam di sini agak kuat. Mana tidaknya apabila pemakaian sebahagian pelajarnya cukup sarat dengan tradisi Islamnya, waima yang Muslimin dengan kuorta, jubah dan serbannya sementara Muslimah setia dengan hijab dan niqabnya. 


Dalam kalangan pelajar tempatan di sini kebanyakannya dari lepasan Darul Uloom [Kolej Swasta Milik Komuniti Muslim], selain dari beberapa Institusi pengajian yang lain termasuk di sekitar Birmingham. Pertuturan mereka dalam slanga Britain kadang-kadang fasihnya melebihkan Briton sendiri. Mungkin suasana persekitaran mereka membesar membantu mereka untuk menjadi warga Britain yang sejati, walaupun kebanyakannya berasal dari benua India, Pakistan atau kacukan Britain.


Di Markfield, banyak ilmu dan pengalaman baru diterokai, khususnya melibatkan jurusan yang diceburi. Dua tahun pengalaman 'ditarbiyyah' dalam dunia penyelidikan di UKM banyak membantu. Ibarat 'dirasuk' oleh semangat baru, sejumlah karya sejarah berkaitan hubungan Islam dan Barat mula mengambil tempat di hati. 



Bilik 'pertapaan' selain perpustakaan

Di sini banyak khazanah berharga. Apa yang pasti, sebahagian besarnya tidak mudah diperoleh di mana-mana termasuk kampus-kampus utama di tanah air. Barangkali ia adalah hasil usaha penyelidik mereka sejak dahulu dalam mengumpul sebanyak mungkin bahan-bahan kajian, lebih-lebih lagi daripada negara yang dijajah. 



Hakikat yang perlu disedari, negara-negara kuasa besar tidak akan semberono menjajah mana-mana negara, melainkan selepas berpuluh tahun penyelidikan dilakukan ke atas negara tersebut dalam segenap aspek. Ia termasuklah mengenai pergerakan Islam dan sejumlah tokohnya. Justeru karya tokoh mujaddid dan revolusioner seperti al-Banna, Fathi Yakan, al-Maududi, Kalim Siddiqui, Imam Khomeini, dan Ali Syariati mudah diperoleh di sini. 

Lagenda Ilmuwan Islam Dunia Barat

Sebelum ini, penulis agak kerap terjumpa beberapa tulisan yang memukul rata sejumlah tokoh pemikiran Islam di Barat dengan pelbagai ideologi negatif khususnya mereka adalah agen kepada pluralisme, sekularisme, liberalisme dan pelbagai ism-ism yang lain. Tanpa menafikan ada sebahagian yang membawa idealism sedemikian, penulis merasakan kurang adil rasanya jika hendak dipukul rata kepada semua. Lebih-lebih lagi bagi mereka yang banyak memberi sumbangan kepada perkembangan Islam di Eropah. Ada baiknya sebelum memberi label, difahami dahulu waqi' di sana. 



Sebelum melangkah lebih jauh, ada baiknya kita menyedari bahawa Muslim di Eropah adalah dalam golongan minoriti, vice versa di Timur Tengah. Justeru, sebagai golongan yang diberikan akal yang waras, kita sepatutnya bukan sahaja melihat kepada bentuk pemikiran yang dipersembahkan, tetapi juga kepada faktor yang menyebabkan mereka berfikiran sedemikian. Apa yang nyata, hal inilah yang jarang dikuasai oleh ramai pihak, kerana rata-ratanya lebih 'perasan' dengan bentuk pemikiran sendiri sementara pemikiran selain daripadanya terlebih dahului dihukum menyeleweng sehingga ada yang dihalalkan darah mereka. Atau dengan kata lainnya;

"We have to be concern and critical about what are the real issue and how it happens. Please, don’t think with our own perspective (especially ‘syok sendiri’) followed by some prejudice, stigmatise, because sometimes the real fact still far from what we are thinking."

Antara pencerahan lainnya,

"Briefly, the Western Muslim Scholar, their origin not from Western country, but they migrated there for some reason. This entire Western contemporary Muslim scholar played big role in term to re-contracture Muslim thought towards other religious. With a lot of knowledge in many religious, they use their expert to build a huge bridge in order to connect each religious people within this diversity. For instance, in Europe most of the people don’t have a religion indeed they want to be so. This phenomenon was a challenge to religious people not just for Muslim nor Christian but also to other faith. What will happen to the future if each religious leader and people keep fighting each other for some uncommon issue that has been discuss for many years (also in many centuries). Hence, they join together as a religious community in order to show, the only effective solution for mankind problems is back to the religion (Muslim stress Islam as its suppose to). Another thing is, they also provide some service to the communities for their own goodness."

Dari sini, nama-nama ilmuwan Islam seperti Ismail Raji al-Faruqi, Mahmoud Ayyoub, Tariq Ramadhan, Syaikh Hamza Yusuf dan sejumlah tokoh ilmuwan Islam di Barat mula menjadi perhatian penulis untuk diperhalusi pemikiran mereka. Kebanyakan teori dan gagasan yang mereka bina berkait rapat dengan konteks maslahah di sana. Sehinggakan ada yang bercadang untuk membina sebuah manhaj fiqh versi Eropah untuk dijadikan sebagai rujukan utama masyarakat di sana.


Dia Sang Murabbi

Suatu yang cukup berharga apabila berpeluang untuk mengikuti kelas dan diselia oleh Dr. Ataullah Siddiqui. Orangnya cukup kritis dan sarat dengan tradisi ilmu, seolah-olah ensiklopedia Islam-Barat yang bergerak. Tarikh-tarikh tertentu diingat dengan baik setiap kali mengaitkan sesuatu peristiwa penting. Suatu yang penulis cukup kagum dengan beliau adalah soal prinsip sebagai ahli akademik. Pernah ketika penulis menulis sebuah artikel dan namanya dipautkan sekali atas kapasitinya sebagai penyelia. Bila dihantar untuk disemak, beliau terus memadam namanya. Berbeza dengan sesetengah ahli akademik yang ada kalanya langsung tidak menyumbang, tidak segan silu untuk menumpang nama. Alasan Dr. Ataullah kepada penulis: 

"You wrote this article, not me. Then you are the person who should be on this article. I just help you as my job to supervise you". 

Dari sudut keperibadian, dia seorang yang cukup humble dan seorang yang jaga solat berjemaah. Sekalipun waktu Subuh yang terpaksa meredah meredah suhu serendah 3 Celsius, sementara penghuni lain terperangkap dalam selimut. 

Penulis bersama penyelia, Dr Ataullah

Sepanjang mengikuti kelas Dr. Ataullah Siddiqui, banyak maklumat dan idea baru disampaikan. Sering kali dalam kuliahnya ditekankan tentang perlunya umat Islam bersedia untuk menghadapi future challenge yang lebih besar. Pernah dalam satu kuliah beliau yang membuat penulis terfikir panjang:

“Have we realize, there are a lot of orientalis from Western (especially Christian) have done their PhD in Islamic Studies in order to face with the Muslims. As significant with colonialism activities, we should know that; they never invade other country with their bare hand, except after study and [have done] a lot of research about the country, especially Muslim country. They know everything about those targeted countries such as their culture, environment, religion population, internal and external issues, and so on. They even can think as well as a real Muslims Scholar. No wonder, they know a lot of problem and essentials things in Islamic teaching. But how many people from our side can do the same thing as they are? How prepared we are to face with this real challenge?” 



Beruntungnya Sang Ghuraba'

Saban hari, khususnya pada bulan November, penulis berulang alik dari kampus ke Leicester untuk tujuan kajian lapangan. Perjalanan untuk ke bus stop memakan masa sekitar 15 minit, manakala perjalanan bas ke bandar sekitar 20 minit. Di sini timing-nya cukup tepat. Jika 10.50 bas dijadualkan tiba, maka waktu itulah bas itu akan tiba. Tidak menunggu penumpang penuh baru hendak bergerak. Pernah penulis ditinggalkan begitu sahaja walaupun jarak untuk sampai ke bas tersebut hanya mengambil masa kurang dari 10 saat. Ternyata kelajuan berlari masih belum cukup untuk mengejar bas. Dengan kata lain, tunggu la trip yang seterusnya.

 Misi bermula



Suasana di Leicester, sedikit berbeza dari Markfield yang lebih dominan dengan masyarakat tempatan. Di Leicester, realiti multicultural dan multi-religious lebih signifikan. Bahkan, pernah ia ditanggapi sebagai duplicate city; samada Islamabad Pakistan, atau Gujarat India lantaran besarnya populasi orang Asia di sini. Sungguh pun demikian, jumlahnya masih belum dapat menyaingi jumlah penduduk asal.



Di sini juga, setiap komuniti ada kawasan yang khusus yang didiami, umpamanya komuniti Muslim ramai di Evington berbanding kawasan-kawasan lain. Maka jangan hairan jika sampai di Evington anda terasa seolah-olah berada di negara Arab. Pemakaian Abaya, Cadur, Niqab, Jubah, cukup istiqamah dipraktikkan dalam kalangan Muslim di Leicester. 



Bahkan, golongan Muslimah bebas bergerak, bukan sekadar boleh memandu tetapi juga boleh bekerja mencari rezeki untuk keluarga. Kelas-kelas pengajian agama di masjid juga aktif dihadiri oleh masyarakat setempat khususnya dalam kalangan Muslimah. Selain itu, ada sebahagian masjid yang menjadi pusat pendidikan awal ala-ala PASTI boleh ditemui di sekitar Evington. Di sini, kemudahan untuk komuniti Muslim adalah pada tahap yang baik, baik dari sudut kemudahan untuk mendapatkan makanan halal, atau tempat untuk bersolat. Hatta di pasar raya terbesar di Leicester, Highcross juga menyediakan 'surau' untuk komuniti agama di sini. 

 'Surau' di Highcross yang menjadi tempat persinggahan

Keberadaan komuniti Muslim di sini dengan jumlah yang meningkat memberi impak kepada pertumbuhan masjid. Boleh dikatakan, dalam jarak sekitar 100-200 meter, ada sahaja masjid. Satu sudut dilihat bagus kerana menunjukkan seolah-olah pertumbuhan Islam di sini pada tahap memberangsangkan. Satu sudut yang lain, ia tidak lebih dari taasub pada fahaman masing-masing. Mana tidaknya, setiap masjid tersebut ada pembawaan mazhab yang tersendiri. Walaupun dominannya adalah dari Mazhab Hanafi, bagi mereka dari Salafi, Somali, atau Bosnia yang menolak untuk berimamkan Imam yang bermazhab Hanafi, akan membina sebuah lagi masjid versi masing-masing.

 Salah sebuah masjid di Evington yang berjiran dengan gereja


…..

Antara nikmat terbesar yang cukup dirasai di sini adalah Iman dan Islam, lebih-lebih lagi dalam kondisi ghuraba'. Situasinya cukup berbeza berbanding berada di negara sendiri yang menjadi agama majoriti. Melihat realiti kehidupan masyarakat di sana yang tiada matlamat menyebabkan penulis terlintas di benak fikiran, "Ya Allah, betapa besarnya nikmat Iman dan Islam yang Engkau anugerahkan. "


Milik komuniti Muslim

Sepanjang penulis di sini, pergaulan lebih banyak dengan warga tempatan, Masyarakat di sini cukup beretika dan tinggi tolerannya. Walaupun kadangkala berpakaian 'full cover', mereka tidak kekok untuk menyapa. Bagi yang membawa anjing (kelaziman), mereka cukup menjaga anjing mereka dari mencetuskan rasa kurang senang pihak lain. Pernah sebuah pasangan yang setiap seorangnya membawa dua ekor anjing, apabila bertembung dengan penulis pada satu jalan yang kecil, mereka beralih ketepi untuk memberi laluan. Walaupun nampak simple, tetapi itulah yang menterjemahkan diri mereka. Justeru, kata-kata tokoh mujaddid Islam moden Syaikh Muhammad Abduh (1849-1905): "I went to the West and saw Islam, but no Muslims; I got back to the East and saw Muslims, but not Islam" cukup realistik bila diamati di sini.



Malam di stesyen bas

….

Cabaran hidup di Leicester juga berbeza, di mana segelintir masyarakatnya menolak untuk berpegang dengan sebarang agama atau percaya kepada Tuhan. Dalam istilah lainnya disebut 'non-religious'. Mereka hakikatnya terdiri dalam kalangan sekularis-humanist, ateis atau agnostik. Antara puncanya kerana mereka letih melihat agama sebagai 'masalah' dan bukan solusi kepada masalah. Bahkan ada yang beranggapan, dalam kalangan setiap agama ada banyak aliran dan bergaduh sesama sendiri, tidak kira dari mana-mana agama. Justeru pada mereka, lebih baik berlepas tangan daripada mana-mana ajaran agama, atau ambil sahaja mana-mana ajaran agama yang disukai. 



Kristian sendiri, walaupun dominan, populasi mereka merosot saban tahun sementara dalam kalangan non-religious mencatatkan peningkatan yang drastik. Apa yang menarik, selain non-religious yang trendy, populasi Islam juga mencatatkan peningkatan yang memberangsangkan, sekalipun masih belum dapat menyaingi kedua kelompok tersebut. Menurut Census 2001 & 2011:

"Comparing between 2001 and 2011, there has been a decrease in Christianity as the largest religious group (from 44.72 percent to 32.4 percent). Meanwhile, the increasing of the population is among the Muslim (from 11.03 percent to 18.6 percent) as well as non-religion (from 17.43 percent to 22.8 percent).

Bahkan dalam konteks Britain sendiri, kadar reverted ke dalam Islam setiap tahun mencatatkan 5,000 hingga 10,000 orang. Tidak mustahil suatu masa nanti ada United Kingdom menjadi sebuah negara yang majoritinya Muslim.

....

Selain masalah menolak agama, masyarakat juga berhadapan dengan masalah tidak mahu beramal dengan ajaran agama. Ini termasuklah lapan agama utama di Leicester yang sebahagiannya beragama cukup sekadar nama, bukan pada pengamalan. Hal ini menimbulkan kerisauan dalam kalangan pemimpin agama, walaupun ada sebahagian yang penulis temui cuba untuk melihatnya sebagai suatu yang normal. Ironinya itulah trend atau penyakit di dunia Barat pada abad ini.


Fenomena ini menyebabkan penganut agama bersatu bagi mengembalikan roh beragama masing-masing dalam kalangan masyarakat. Justeru di sini, tidak timbul isu hendak memurtadkan penganut agama lain, tanpa dinafikan usaha sedemikian ada dalam kalangan kelompok yang ekstrem seperti Evangelicalism. Ada pun yang lain, mereka lebih cenderung untuk menjaga hubungan antara satu sama lain dalam perkara yang melibatkan kebaikan bersama. Di sini, masjid pun boleh dibina bersebelahan dengan gereja, tanpa ada konflik antara dua pihak untuk beramal dengan ajaran masing-masing. Tidak cukup sekadar itu, rata-rata gereja yang tidak berfungsi dijual pihak gereja kepada komuniti Muslim untuk dijadikan masjid, sehingga menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan komuniti mereka sendiri.

....

Antara yang cukup dikagumi adalah sikap komuniti non-Muslim yang komited membela komuniti Muslim setiap kali mereka menjadi sasaran golongan ekstrem seperti EDL. Jika kumpulan ini merancang untuk menyerang masjid, mereka terpaksa berhadapan dengan sejumlah kumpulan non-Muslim yang berkawal di luar masjid ketika golongan Muslim sedang mengerjakan solat. Motto mereka, "an attack on one faith is an attack on all faiths" dipraktikkan dengan baik. Kes yang lain, pernah salah seorang bekas Mayor di Leicester yang beragama Hindu, apabila adanya usaha untuk mengharamkan pemakaian niqab dalam kalangan Muslimah, beliau tampil membantah. Beliau menolak alasan sesetengah pihak kononnya itu adalah salah satu punca kemalangan jalan raya. 


Sport team: Priest & Imam

Dalam satu sudut, seolah-olah sebahagian kecil mesej dalam Piagam Madinah, Perjanjian Hudaibiah dan Hilf al-Fudul termanifestasi di sini. Kesemua ini tidak akan dapat dicapai tanpa adanya usaha dalam kalangan agamawan dan ilmuwan Islam untuk memberi kefahaman yang baik kepada masyarakat, seperti mana yang dibincangkan sebelum ini. Cuma dalam konteks negara kita, perjalanan masih jauh untuk sampai ke tahap ini. Justeru diingatkan kepada yang kepakaran mereka dalam bidang hubungan antara agama, banyak task menanti kalian di luar sana. So, be prepare yourself!

"Hiduplah kamu di dunia ini seolah-olah orang asing, atau orang dalam permusafiran" (Nabi s.a.w)




Ibrah Dari Pengembaraan

Bercerita bab pengalaman, masing-masing tidak sama. Belum tentu apa yang dialami penulis sama dengan apa yang pernah/bakal dialami oleh sebahagian pembaca. Apatah lagi jika tujuannya berbeza. Perihal kehidupan di UK, ada beberapa orang sahabat berkata, kenapa tidak tinggal di sana, kalau demikian bagusnya. Pada penulis, berada di UK atau Eropah untuk tujuan belajar atau penyelidikan amat baik. Tetapi untuk membina keluarga khususnya dalam membesarkan anak-anak, belum tentu. Cabarannya cukup besar untuk ditangani. Jika tidak kuat persediaan ruhiyyah, boleh hanyut dek arus semasa. Di sini amalan-amalan muraqabah cukup memainkan peranan khususnya dalam menjaga iman dan fikrah. Justeru, ia perlu dioptimumkan. Bagi yang beramal dengan mana-mana amalan tasawuf, itu juga sangat membantu.

Mengikuti proses tarbiyyah' di sini menyedarkan dan mengajarkan penulis tentang banyak perkara. Di sini penulis menyedari betapa masih banyak perkara yang perlu diperdalami. Di sini penulis dapat melihat betapa besarnya cabaran buat umat Islam yang memerlukan semaksimum persiapan. Di sini juga penulis dapat menilai pelbagai pendekatan gerakan Islam dalam konteks dunia Barat yang jauh lebih mencabar. Apa yang nyata, mereka tidak melawan arus, tetapi membimbing arus dengan cara yang lebih efisien.

Sebagai nasihat bersama khususnya kepada teman sesarjana, tugas kita cukup besar. Manfaatkanlah kelebihan tahap intelektual yang Allah beri untuk membangunkan agama-Nya. Usah terperangkap dengan sentimen pihak kebanyakan yang jauh dari garapan ilmu pengetahuan yang sebenar. Apatah lagi dengan sikap yang suka menghukum pihak yang tidak sealiran, waima sesama Islam mahupun terhadap bukan Islam. Tugas kita adalah penyeru bukan penghukum. Atau dalam ayat yang lain:

Come my dearest friend. You can do better than that. In fact, you are no longer a degree student nor laypeople. Be good Muslim intellectual. If you disagree with someone view, use your academic approach to assess it, not against it like uneducated people, emotionalism, and etcetera. 

Setinggi mana pun tahap ilmu yang dimiliki, itu bukan jaminan untuk menjadikan kita seorang pengamal ilmu yang baik. Pokok pangkalnya bergantung pada tujuan asal kita menimba ilmu; sekadar mendapat sekeping sijil sarjana atau doktor falsafah, atau kerana redha Allah dan untuk agama-Nya. 

Shift our paradigm!


Khatimah

Akhir kalam, millions thanks kepada semua pihak khususnya kedua ibu bapa, serta seluruh ahli keluarga atas segala sokongan dan dorongan kalian. Begitu juga kepada pihak UKM yang menampung sebahagian dari kos perbelanjaan, selain dari menyokong hasrat penulis untuk ke sana, para pensyarah terutamanya Dr. Jaffary Awang (yang komited follow-up), dan tidak lupa kepada sahabat handai.


With Library Staff: Akh Abdul Hayy and Dr. Rafeek (middle)

On the other side, special gratitude to my supervisor, Dr. Ataullah Siddiqui, to the Rector Dr. Manazir Ahsan and the Director Dr. Zahid Parvez for a most enjoyable period of residency and for hospitable given to myself. Thanks to Mr. Islam, Dr. Rafeek, Mr. A. Hayee and Mr. Sulaiman Taner for their good service, as well as Malay student that I met there, foremost Akh Nazmi and Akh Azhari. Thanks are due to Leicester community, the interviewees particularly among members of the LCoF, and the St. Philips Centre. I look forward keenly to continuing our relationship.

 Kesayuan mula menyelubungi

Hujan rahmat mengiri keberangkatan pulang

Wallahu'alam & Wassalam.

Faiz As-Syirazi
27. 2. 2014
UKM Bangi.


2 comments:

  1. Subhanallah lamanya x jumpa abg... moga selamanya dalam lindungan Tuhan :)

    ReplyDelete
  2. Aamin atas doanya. Ata pun lagi jauh merantau :)

    ReplyDelete

Kata-kata melambangkan akhlak dan peribadi kita...
Justeru, berhikmahlah dalam melaksanakannya (^ ^,)