Pendahuluan
Berpolemik dan berbeza pendapat merupakan tabiat manusia. Sebagai Sang Pencipta Yang Maha Bijaksana, Allah SWT menghendaki tabiat dan fitrah ini berjalan di atas keimanan yang benar. Justeru, di sana adanya sebuah titik ukur yang kelak menjadi rujukan semua pihak. Allah SWT telah menurunkan kitab panduan dengan kebenaran yang akan menjadi ‘penengah’ bagi umat manusia dalam pelbagai hal yang mereka perselisihkan. Tanpa ‘penengah’ ini, kehidupan yang harmoni tidak akan dapat berlangsung.
Demikian ketentuan yang telah ditegaskan oleh al-Quran dan dilandaskan di atas asas prinsip tauhid yang absolute. Namun, penyelewengan, fitnah dan pembohongan sentiasa dan terus menerus dilakukan oleh anak cucu Adam, sehingga akhirnya mereka mulai menjauh dari asas yang kuat ini. Dari sini jelas, bahawa manusia tidak akan mampu membezakan antara kebenaran dan kebatilan selagi mereka masih menjadi abdi hawa nafsu dan kesesatan.
Al-Quran telah hadir dalam kehidupan mereka, namun hawa nafsu telah memesongkan manusia ke pelbagai arah. Kecelaruan matlamat, sikap prejudis, taasub buta, serta kefasiqan telah melemahkan seseorang dalam menerima hukum dan arahan al-Quran dan memalingkan mereka dari merujuk kepada kebenaran yang telah jelas.
Dalam perspektif al-Quran, keingkaran adalah hal yang telah membawa manusia kepada pertikaian, sikap angkuh dan takabbur. Selain itu, kejahilan (baca: kebodohan) juga merupakan faktor lain dari timbulnya polemik dan perpecahan. Walhal, bukankah telah dinasihatkan al-Qur’an kepada orang yang jahil bertanya kepada orang yang tahu (QS.21:7, 16:43). Oleh yang demikian, tindakan semberono yang dilakukan oleh seorang yang jahil dalam sesuatu perkara adalah merupakan suatu pelanggaran kepada ketetapan Ilahi sekali gus menjadi pemangkin kepada perselisihan yang berpanjangan.
Sikap dan Mentaliti Yang Merugikan
Realiti dunia pada hari ini memperlihatkan berkembang pesatnya perbincangan dan perdebatan di dunia maya khususnya, seiring dengan kepesatan perkembangan sumber maklumat. Di sini setiap orang mempunyai kebebasan untuk mengemukakan pandangan, atau mengkritik pandangan yang tidak dipersetujui. Namun adalah suatu yang merugikan pada mereka yang diberi akal yang sejahtera untuk bertengkar mengenai sesuatu yang tiada maslahahnya kepada dirinya dan lebih-lebih lagi kepada ummah.
Waima perkara kecil hendak diperbesarkan hanya kerana merasakan diri mereka adalah pemilik mutlak kebenaran sementara pihak yang menyalahinya adalah batil. Lebih malang lagi apabila ia berlaku dalam kalangan mereka yang berpendidikan tinggi, ilmu yang ada gagal menjadikannya lebih matang dalam sudut tahap berfikir dan pendekatan yang digunakan untuk menghadapi suasana persekitaran. Ibarat dua orang Profesor bertelagah antara telur dan ayam, mana yang dahulu. Si Profesor A berkata ayam, kontradik dengan si Profesor B yang beranggapan sebaliknya. Walhal argumentasi tersebut langsung tiada nilai untuk dimanfaatkan.
Kerana itu al-Syahid Imam Hasan al-Banna menasihatkan kepada kita, "Mana-mana umat, apabila mereka sibuk dengan amal, perdebatan akan berkurangan. Apabila umat tersebut ditimpa kelemahan dan kemunduran, semangat mereka akan gugur dan lebih sibuk dengan perdebatan dari amalan."
Pandangan: Antara Menerima dan Hormat
Dunia kesarjanaan sinonim dengan diskusi dan perbincangan ilmiah mengenai sesuatu perkara. Setiap pihak bebas mengemukakan pandangan tanpa disekat atau dinafikan. Soal terima atau tidak itu nombor dua. Dalam proses tersebut, suatu yang mungkin kita terlepas pandang adalah soal menerima dan menghormati sesebuah pandangan. Sesuatu pandangan boleh jadi kita tidak bersetuju berdasarkan argumentasi yang ada, sebagaimana pihak lain boleh tidak bersetuju terhadap pandangan kita. Itu pada saya normal. Yang tidak normal adalah apabila rasa ketidaksetujuan itu diiringi dengan sikap kurang hormat ke atas pihak yang berlawanan.
Walaupun ini soal 'basic', namun itu yang menterjemahkan siapa diri kita yang sebenarnya. Sewaktu di Markfield, saya cukup terkesan dengan dua orang ikhwah yang bertelagah dalam isu umat. Walaupun kedua-dua tegas dengan pendirian masing-masing, mereka tetap menggunakan pendekatan yang cukup lembut untuk menangani khilaf yang wujud. Kalam akhir mereka sesama mereka adalah doa, Allah yahdika ya akhi (semoga Allah memberikan petunjuk kepada kamu).
Ironinya, itulah akhlak yang Islam ajarkan dalam mengurus dan menangani perbezaan pandangan. Sekali pun berbeza, ia tidak sepatutnya dijadikan asbab untuk menyemai perasaan benci sesama manusia, apatah lagi sesama Islam. Dalam kalangan masyarakat kita, realitinya masih kurang dan lebih cenderung untuk menghukum dan mematikan pihak lain. Bahkan lebih malang ada yang sampai tahap takfir sesama pengucap syahadah. Dalam realiti dunia maya, khususnya di facebook, youtube, dan blog, kebanyakan tidak menghiraukan soal ini. Mereka menganggap remeh, tanpa mengira apa yang ditulis itu baik atau tidak, fitnah atau fakta, seolah-olah Si Atid berlepas tangan sebab 'tidak surf internet'. Bab akhlak masih lagi jauh hendak diperkatakan.
Tidak cukup dengan itu, title laknatullah dengan mudah dipalitkan kepada pihak lawan, lebih-lebih lagi apabila tidak bersetuju kepada fahaman yang dianuti biarpun mereka masih dalam kalangan ahli Kiblat. Seboleh-bolehnya pihak itu langsung tidak berani bersuara semula. Lalu dengan mendabik dada berkata, "Kan aku dah kata, akulah yang betul dan dia salah". Mungkin kita terlepas pandang yang al-Qur'an menempelak sikap seumpama ini. Bahkan sifat ini tidak jauh dari sifat 'ana khairun minhu' Iblis yang ditempelak oleh Allah. Iblis bukan sahaja tidak bersetuju dengan arahan yang Allah berikan kepadanya untuk sujud kepada Adam a.s, malah dia memperendah-rendahkan Adam atas sifatnya kejadiannya daripada tanah. Perihal Ego, saya telah bahaskan di sini.
Meneladani Sikap Ūlul Albāb dan Ūlin Nuhā
Berilmu dengan beramal dengan ilmu, dua perkara jelas berbeza. Seseorang yang mempunyai ilmu, belum tentu menjamin dia beramal sepenuhnya dengan ilmu yang dimiliki, baik setinggi mana pun tahap ilmunya. Orang yang ilmunya sedikit, namun diamalkan dengan istiqamah adalah jauh lebih baik dari orang yang ilmunya tinggi, tetapi ilmunya jauh dari apa yang diamalkan.
Cuba kita perhatikan ibrah daripada kisah Sumayyah r.a, ibu kepada Amar bin Yasir r.a. Beliau memeluk Islam tidak sampai sebulan, namun sedikit ilmu yang dia pelajari dari Nabi s.a.w langsung diamalkan sehingga dia menaruhkan agama dengan nyawanya sendiri. Betapa malunya kita jika ada ilmu bertimbun-timbun, belajar dan khatam beratus jilid kitab agama, tetapi bila timbul antara soal maslahat agama dan peribadi, kita lebih mengutamakan soal peribadi.
Pengamalan dengan ilmu yang ada juga berkait rapat dengan soal keberkatan. Banyak ilmu yang diperolehi, belum tentu menjamin keberkatan, sebagaimana banyaknya harta, anak isteri, rumah besar dan seumpamanya. Soal berkat atau tidak, asas mudah kita perhatikan sejauh mana ilmu itu mendekatkan diri kita dengan Allah. Sifirnya begitu. Jika ilmu atau harta yang kita perolehi menjauhkan kita daripada Allah, umpamanya majlis agama langsung tidak dihadiri atas alasan 'sudah pandai', isu-isu yang berlaku dalam kalangan masyarakat tidak diendah kerana 'tidak berkaitan', maka jawapannya boleh diduga. Begitu juga dengan soal akhlak si pemilik ilmu, apakah ilmu yang diperolehi dapat menjaga tutur katanya dari sifat-sifat mazmumah atau sebaliknya. Apa pun kita memohon perlindungan dari Allah dari perkara sedemikian.
"Ilmu yang berkat adalah ilmu yang semakin dipelajari semakin menghampirkan diri dengan Sang Pencipta" (Imam al-Ghazali)
Adab & Akhlak Dalam Berdiskusi
Selain itu, persoalan mengenai adab dan akhlak tidak dapat dipisahkan kerana antara keduanya saling berkait rapat. Perbincangan mengenai etika diskusi atau dialog banyak dilakukan oleh ramai tokoh cendekiawan dan sarjana Islam, berdasarkan asas-asas yang ditetapkan oleh al-Qur’an dan al-Sunah. Umpamanya Syaikh Ahmad Zamri (1994) dalam karyanya al-Ḥiwār: Ādābuhu wa Ḍawābituhu fi Ḍau’ al-Kitāb wa al-Sunah menekankan keperluan untuk menguasai ilmu adab dalam dialog dan perdebatan. Pihak yang berdialog juga perlu mematuhi adab-adab dialog, samada dari sudut percakapan, tindakan yang telah digariskan oleh al-Qur’an dan al-Sunah.
Isu yang sama dapat dilihat menerusi karya Adab al-Hiwār fī Islām, tulisan Imam al-Syathari (2006). Menurut beliau, dialog perlu disertakan niat yang baik dan bertujuan mencari kebenaran. Dalam hal ini, niat untuk menunjukkan adalah tertolak. Berdasarkan tinjauan beliau terhadap konteks ayat dalam al-Qur’an dan al-Hadis, beliau menggariskan beberapa adab dalam berdiskusi, antaranya;
- Hendaklah bersifat rendah diri sesama mereka
- Tidak boleh mencemuh pihak lain
- Bukan berasaskan kezaliman atau membantu pihak yang zalim
- Hendaklah bersifat adil dalam berbicara dan tidak boleh menzalimi pihak lain
- Hendaklah wujud perasaan kasih sesama mereka
- Setiap penyampaian hujah perlu sopan dan bersifat lemah lembut
- Hendaklah pihak yang berdialog bersifat maaf terhadap kesilapan pihak lain
- Hendaklah menjaga percakapan daripada mengundang murka Allah SWT;
- Tidak boleh bercakap melainkan perkataan yang baik sahaja
- Menjauhi dari sifat prejudis terhadap pihak lain
- Menjauhi sikap memperolok-olokan pihak lain
- Hendaklah menjauhi pujian ke atas diri sendiri
- Hendaklah menghindari daripada taasub kepada kehebatan diri sendiri.
Selain itu, lihatlah juga betapa banyaknya karya-karya ilmuwan Islam yang menggariskan perkara yang hampir sama mengenai adab dalam berdialog atau berdiskusi seperti Imam Syahin (1996) dalam tulisannya, Adab al-Hiwār fī Islām, Sayyid Muhammad Tantawi (1994) dalam karyanya yang terkenal, Adab al-Ḥiwar fi al-Islām, dan al-Syaikh Abdul Fattah Abu Ghudda (Ashki 2006) dan tokoh-tokoh seumpama mereka.
Justeru, renungkan di mana kedudukan kita sehingga kini, apakah di sana masih ada ciri-ciri Akhlak Islami ketika bermuamalah dengan pihak lain, atau sebaliknya. Baik sehebat mana pun polemik yang berlaku, apa yang penting kita dapat mengurus perbezaan pandangan tersebut dengan baik, sesuai dengan apa yang diajarkan oleh Islam. Akhir kalam, saya titipkan sebuah nasihat dari Syaikh Muhammad Abdullah al-Khatib (1990:5) untuk direnungi:
"Pemuda-pemuda kita yang suci dengan fitrahnya yang sejahtera cenderung ke arah berpegang dengan pengajaran Islam dan begitu bersungguh-sungguh untuk mengamalkannya di kalangan manusia secara sempurna lagi mantap akan menjauhkan diri dari ketegangan dan perkelahian kosong..."
Semoga bermanfaat, khususnya buat yang menulis.
0 comments:
Post a Comment
Kata-kata melambangkan akhlak dan peribadi kita...
Justeru, berhikmahlah dalam melaksanakannya (^ ^,)