Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
“Sesungguhnya perjuangan itu tidak mengenal erti penat & lelah. Demi Islam tercinta, ia perlu diteruskan. Semoga usaha untuk menyampaikan risalah Islam ini diterima Allah sebagai salah satu amal jariah semasa menghadap-Nya pada suatu hari yang pasti akan tiba..”
blog's design by faizassyirazi. Powered by Blogger.

Thursday 24 October 2013

Dunyana wa Dunyakum II

Imbas kembali episod lalu (klik)..

"Dalam fasa untuk melengkapkan cinta sakral itu, tumpulah pada proses pengajian untuk mendapat keputusan yang baik, mudah-mudahan dapat kerjaya yang baik sekali gus melayakkan diri untuk menyempurnakan sebahagian dari agama. Adapun dunia sarjana..."

....

Dunia Sarjana

Dunia sarjana agak berbeza dengan dunia pra-mahasiswa kerana ia adalah tahap kedua terakhir, sebelum ke Doktor Falsafah (PhD). Seseorang yang mula ditaklifkan sebagai pelajar sarjana perlu merubah sistem hidup khususnya berkait dengan pengurusan masa dan tenaga. Sewaktu di alam mahasiswa mungkin kita bebas untuk melakukan apa yang kita suka, boleh ke sana sini tanpa ada halangan, umpamanya pelajar lelaki yang pada waktu lapangnya (terutama tamat peperiksaan dan cuti semester) menghabiskan masa dengan bermain game, menonton siri movie Hollywood/Animasi, melepak di alam maya dan seumpamanya. Manakala pelajar perempuannya pula tidak kurang hebatnya dengan aktiviti menonton cerita-cerita Korea, telenovela, sinetron dan seumpamanya. Bab laman sosial usah dikira, apatah lagi dalam suasana dunia yang penuh dengan gadget, di mana sahaja dan setiap waktu internet boleh diakses.




Apabila melangkah ke tahap ini, kesemua perkara yang tidak mendatangkan manfaat wajib ditinggalkan (bahkan sepatutnya lebih dari itu. Islam sendiri menekankan kepada kepentingan pengurusan masa serta perlunya menjauhi setiap perbuatan yang tidak dapat memberi manfaat). Pilihan yang ada di peringkat ini adalah belajar dan mengkaji sepanjang masa, tidak lain dan tidak bukan untuk mencapai tahap kepakaran dalam bidang yang diceburi. Justifikasinya, semakin tinggi ilmu seseorang, maka semakin besarlah tanggungjawab yang akan dipikul. Bukanlah langsung tidak boleh berhibur, namun ia terbatas kepada hiburan yang dapat memberikan manfaat dan maslahat sama ada kepada diri atau ummah. 

"Sebahagian daripada keelokan Islam seseorang itu adalah dia meninggalkan apa yang tidak memberi manfaat padanya" (Muttafaqun alayh)


Beberapa Isu Dalam Dunia Akademik

Terdapat banyak perkara yang sukar untuk diputuskan dan sering menyebabkan seorang pelajar sarjana/PhD itu dalam dilema, antaranya:

  • Bidang pengajian
  • Mod pengajian apa yang hendak diambil (course work, dissertation, mix mode, atau research?)
  • Jenis pengajian (fulltime atau part time?)
  • Apakah hendak belajar sahaja, atau ada kerja sambilan (untuk memenuhi keperluan hidup)
  • Apakah hendak meneruskan pengajian jika ada tawaran pekerjaan yang baik?
  • Apakah hendak belajar dahulu sampai habis atau belajar lepas/sambil berkahwin (lazimnya disebabkan desakan persekitaran).
  • Apakah bentuk kewangan yang sesuai dipohon, samada skim GRA (Graduate Research Assistant), atau Fellowship, Biasiswa Zamalah, MyBrain, JPA, PTPTN, Zakat, MARA dsb…
  • Apakah peluang yang ada sepanjang pengajian, khususnya dalam aspek meningkatkan kemahiran serta kepakaran dalam bidang diceburi; sama ada dengan membuat short course, summer school, attachment program dsb.

Dalam menentukan perkara-perkara di atas, sebaiknya bincanglah dengan pensyarah atau rakan yang kita kenali dan agak memahami kita, boleh jadi kedua pihak tersebut lebih memahami situasi yang kita hadapi berbanding dengan ahli keluarga sendiri. Pun begitu, nasihat dari mereka khusus ibu bapa amatlah penting dalam memastikan diri kita terus terinspirasi dan diberkati sepanjang menempuh proses pengajian. Sesusah mana pun menempuh badai mehnah dan tribulasi, yakinlah dengan Allah akan mempermudahkan urusan yang dilakukan, apatah lagi jika ikhlas kepada-Nya. Yang penting jangan pernah berputus ada dalam memburu rahmat dan reda-Nya.

Antara kaedah untuk merealisasikan kejayaan yang cemerlang, buatlah perancangan yang smart dan sistematik supaya mendapat title GOT (Graduate On Time) tanpa dinafikan ia bukan segala-galanya. Saya percaya, apa yang lebih menjadi pilihan adalah anugerah tesis terbaik baik kepada pelajar atau penyelia. Elakkan ‘extend’ dengan sia-sia, melainkan ada justifikasi yang tersendiri. Ini mengingatkan saya sewaktu menemani penyelia mengiringi seorang Profesor Emeritus dari Amerika beberapa bulan lalu di sebuah IPTA. Saya dimaklumkan bahawa IPTA yang signifikan dengan bidang Peradaban Islam tersebut, ketika diterajui oleh seorang tokoh failasuf dan pemikir Islam, melaksanakan sistem pengajian ‘sehingga matang’. Umpamanya seorang pelajar doktor falsafah yang lazimnya diperuntukkan tempoh pengajian selama 6-8 semester (3-4 tahun), tidak dibenarkan untuk menamatkan pengajian dengan segera, melainkan setelah tempoh pengajian (paling minimum) telah mencapai 10 tahun. Justifikasi Sang Profesor tersebut, hanya tempoh tersebut yang melayakkan seseorang itu untuk mencapai suatu tahap kepakaran yang maksimum, sesuai dengan kelayakan seorang pemegang PhD. 

Tidak dinafikan di sana masing-masing berbeza situasinya dari sudut taklifan yang dipegang, sama ada rasmi atau tidak. Di sini peri pentingnya mengenal pasti kemampuan dan kelemahan diri kita untuk disesuaikan dengan keadaan semasa. Sekali lagi, jangan dilupakan kepada sebaik-baik perancang iaitu Allah SWT. Kadang-kadang kita merancang sedemikian, namun Allah merancang sebaliknya, dan pastinya perancangan Allah-lah yang terbaik buat hamba-hamba-Nya. Pernah saya alami, apabila mendapat tawaran dalam kedua-dua bidang yang dimohon, iaitu bidang Pengajian Islam dan Peradaban Islam. Kedua-dua kos ada kelebihan dan kekurangannya yang tersendiri. Jika memilih Pengajian Islam, saya masa saya terbatas pada 2-3 semester yang pertama dengan aktiviti kuliah, namun saya beruntung dalam aspek proses perjalanan pengajian yang sudah siap disusun oleh pihak pengurusan. 

Jika memilih bidang Peradaban Islam, ia seolah-olah saya telah keluar dari niche yang asal, biarpun jurusan yang diceburi masih sama. Namun saya beruntung dalam aspek pengalaman dalam bidang penyelidikan yang dilatih seumpama pelajar PhD. Ketika menghadiri kelas wajib Institut, saya mendapati hanya saya seorang ‘tersesat’ pelajar sarjana, selebihnya semua PhD. Apa yang baiknya, suasana itu dapat membantu dalam metode berfikir dan bertindak seperti mereka. Dalam keadaan dilema ini, ditambah lagi dengan beberapa orang pensyarah, ada yang menasihatkan untuk ‘kekal’, ada pula yang menggalakkan untuk meluaskan bidang kepakaran. Syukur dengan barakah istikharah, Allah beri yang terbaik untuk dipilih biarpun pada mata sesetengah manusia melihat sebaliknya. Keputusan ini sekali gus telah ‘memencilkan’ saya dari dunia rakan-rakan siswazah yang lain, ibarat bertapa dalam gua yang jauh dari manusia. Ketika di fasa-fasa penghujung, ternyata betapa banyak hikmah diperoleh dan mungkin saya tidak dapat jika bertindak menyalahi ‘istikharah’ yang dibuat.

"Ilmu yang berkat adalah ilmu yang semakin dipelajari semakin menghampirkan diri dengan Sang Pencipta" (al-Ghazali)


Proposal Oh Proposal

Bagi kebanyakan calon sarjana, penyediaan proposal bukanlah suatu perkara yang boleh diambil mudah, apatah lagi bagi mereka yang mod pengajian mereka adalah research/thesis full time. Kegagalan menyedia dan membentangkan proposal yang baik menyebabkan tempoh pengajian terpaksa dilanjutkan. Selagi mana proposal tidak diabsahkan oleh para panel penilai, maka selagi itulah gerak kerja lapangan tidak boleh dijalankan. Penyediaan proposal yang baik berkait rapat dengan sejauh mana kita memahami dan menguasai sesuatu isu yang hendak dikaji bermula dari Pengenalan/Pendahuluan sehinggalah Kesimpulan/Penutup. 

Justeru, untuk memahami dan menguasai isu yang hendak dikaji memerlukan kepada pembacaan (literatur review) yang mendalam disertai dengan sikap kritis dan analitis terhadap setiap apa yang dibincangkan. Selain itu, perbincangan dengan para pensyarah atau rakan-rakan yang telah ‘lepas’ proposal-nya juga dapat membantu. Berakhirnya proses pembentangan dan penerimaan proposal penyelidikan, maka saat itu bermulalah episod baru tesis/disertasi. Penulisan Bab-bab seterusnya dan kajian lapangan dapat diteruskan dan kini setiap laju atau lambatnya progress penulisan adalah bergantung pada yang menulis dan ‘inspirasi’ dari sang penyelia. 

"Allah tidak pernah sesaat membiarkan hamba-Nya bersendirian dalam menghadapi kesulitan"


Mode Menulis

Menulis itu kelihatan mudah, namun untuk penulisan yang melibatkan tesis dan disertasi serta makalah-makalah ilmiah agak sukar. Penulisan tesis misalnya, memerlukan kepada suatu ‘mode’ untuk menulis. Apabila mode itu ada, maka banyaklah idea-idea yang datang mencurah-curah seolah-olah ‘unstoppable’. Pada waktu itu, pasti terasa sukar untuk bergerak melakukan kerja-kerja lain kerana bimbang idea-idea emas itu akan hilang. Apa yang dikhuatiri, ia sehingga membawa kepada rasa berat untuk menyahut seruan Allah dalam melaksanakan amal ibadah baik fardu atau sunat. 



Realitinya lihatlah berapa ramai golongan yang cerdik pandai boleh berjaga malam sehingga langsung tidak tidur semata-mata untuk menyiapkan tulisannya, namun sedikit pun daripada waktu dinihari itu diperuntukkan untuk bermunajat dalam solat tahajud. Tanggapan ini perlulah dimurnikan kembali dengan meletakkan setiap sesuatu yang kita miliki adalah milik Allah semata-mata. Jika Dia hendak beri sesuatu, pasti sekelip mata sahaja kita sudah memilikinya, begitu juga jika Dia hendak menarik balik sesuatu. Dengan demikian kita dapat memanifestasikan syukur atas segala ilham yang Dia berikan dengan berterusan melakukan amal soleh.


Seminar dan Pembentangan

Lazimnya di IPTA-IPTA yang berstatus RU, meletakkan syarat yang tinggi kepada warganya khususnya dalam kalangan ahli akademik untuk naik pangkat atau gaji. Di pihak pensyarah misalnya diwajibkan setiap semester menghasilkan sejumlah penerbitan sama ada buku, bab dalam buku, artikel, jurnal di samping pembentangan kertas kerja dalam seminar. Ini adalah untuk memenuhi KPI yang ditetapkan. Tidak kurang juga di peringkat siswazah yang disyaratkan untuk menghasilkan dua makalah dalam jurnal terindeks dan dua pembentangan. Itu syarat wajib dalam konteks pengajian sarjana mod penyelidikan. Perlu disedari bahawa untuk menghasilkan walau sehelai muka kerja akademik bukanlah mudah seperti menulis di blog atau facebook, kerana ia melibatkan keabsahan dan autoriti sumber dan pihak yang mengulas sumber itu. Hal ini seharusnya dianggap sebagai cabaran yang perlu dihadapi bagi seorang sarjana dan bukan halangan. 



Bersama sahabat-sahabat pembentang 'tegar' di UUM Sintok

Justeru, dalam menjiwai seruan dan syarat yang ditetapkan, saya suka untuk menggalakkan sahabat-sahabat sesarjana untuk mencabar keintelektualan mereka dengan melibatkan diri dalam pelbagai seminar dan persidangan, waima lokal atau antarabangsa. Biasakanlah diri dengan penulisan makalah ilmiah. Mungkin ada yang beranggapan bahawa, sudah memadai jika telah mempunyai dua penerbitan dan dua pembentangan. Tanggapan ini saya lihat kurang tepat kerana mind-set seorang sarjana perlu jauh dari itu. Tanpa dinafikan penglibatan dalam pembentangan dan seminar untuk memenuhi syarat Universiti dan mengurangkan risiko ‘killer question’ ketika viva, penglibatan seorang sarjana dalam program akademik sebegini sebenarnya dapat membina dan mengasah bakat keintelektualan yang sedia ada, sekali gus mematangkan cara berhujah dan mempertahankan dapatan.

Tambahan pula, kajian yang kita jalankan tidaklah dikatakan sebagai ‘syok sendiri’, justeru beranilah diri untuk berhadapan dengan pelbagai bentuk pemikiran dan perspektif yang berbeza dari pelbagai bidang dan kepakaran. Boleh jadi apa yang kita temui dan fahami berbeza dengan pihak lain. Seperti mana yang saya nyatakan pada entri lalu, kesemuanya memberikan kita pengalaman yang cukup berharga. Manfaatkan setiap ruang peluang ketika di tahap ini untuk menghadiri seminar dan pembentangan atau menulis makalah. Kos pembiayaan yang sering menjadi alasan sesetengah pihak tidak sepatutnya ditimbulkan kerana lazimnya pihak Universiti ada menyediakan peruntukan yang khusus untuk setiap seminar dan pembentangan yang kita ikuti. Metode-nya seperti biasa, dahulukan duit sendiri.


Hubungan dengan Pensyarah

Semasa proses pengajian, hubungan yang baik dengan penyelia/pensyarah perlu sentiasa berterusan. Bukan semata-mata untuk lulus, kerana itulah yang Islam ajarkan dalam konteks adab dengan guru. Perbezaan pandangan antara kita dan penyelia/pensyarah dalam sesuatu itu adalah normal, namun tidak normal jika ia dijadikan jurang antara satu sama lain. Lazimnya tahap layanan yang diberikan oleh seorang penyelia/pensyarah kepada pelajar prasiswazah berbeza dengan pascasiswazah kerana ia berkait rapat dengan tahap kematangan dan ilmu yang ada. Mungkin ada dalam kalangan kita yang berasa segan dengan penyelia/pensyarah sendiri, itu yang kadang-kadang sampai berbulan lamanya tidak datang berjumpa walhal itu tidak sepatutnya berlaku. Sekalipun ada urusan, maklumkan kepada mereka dan jangan sampai mereka pula yang terpaksa hubungi kita untuk memantau perkembangan tesis yang dibuat. 


Haza min fadhl Rabbi: rezeki untuk penulis dan SV usai membentangkan kertas kerja di UnisZa

Di peringkat ini sebenarnya lebih mudah untuk menjadikan penyelia/pensyarah ‘kawan rapat’. Sekali sekala pelawa lah mereka ‘minum teh’ sekali khususnya bagi yang sama jantina. Jika berlainan jantina, boleh menggunakan pendekatan memberi hadiah atau ole-ole sebagai tanda penghargaan. Tidak pun boleh berpakat dengan rakan-rakan di bawah penyelia yang sama untuk meraikan mereka. Ironinya, tiada apa yang diharapkan dari kita melainkan untuk melihat pelajarnya menggantikan tempatnya suatu masa nanti. Kepada yang mendapat penyelia/pensyarah yang memahami, ini adalah antara nikmat yang besar kerana tidak semuanya seperti itu. Mereka juga manusia biasa seperti kita.


Cabaran Dunia Kontemporari

Cabaran yang didepani oleh sarjana masa kini jauh berbeza bentuknya dengan cabaran yang dihadapi oleh sarjana terdahulu. Dalam bidang Pengajian Islam misalnya, sarjana terdahulu berhadapan dengan pelbagai fahaman pemikiran falsafah dan ajaran agama yang telah diselewengkan. Kini, fahaman yang sama konsepnya wujud, namun istilah-istilahnya lebih lunak untuk digunakan untuk mengelirukan umat Islam. Demikian juga dengan fahaman ekstremis dan radikalisme agama yang cenderung menghalalkan darah sesama ahli Kiblat. Menanggapi hal ini, saya lebih suka melihat ia dalam kaca mata al-Qur’an dan al-Sunah, dengan erti kata apa yang menepati kedua-duanya wajib diiktiraf, vice versa adalah menjadi tanggungjawab kita untuk membetulkan mana yang salah. Justeru, ada baiknya untuk dihayati kata-kata al-Banna dalam Risalah at-Ta'alim, 

“Perbezaan pendapat ini tidak sepatutnya menimbulkan permusuhan & persengketaan  kerana setiap mujtahid akan mendapat pahalanya. Namun tidak salah  untuk   membuat  kajian  ilmiah   dalam  masalah-masalah yang dipertikaikan   selagi mana   ia dilakukan  dalam  suasana penuh kemesraan  &  saling  bekerjasama   untuk  mencari  kebenaran. Dengan syarat ia tidak menimbulkan perselisihan yang tidak diingini dan budaya taksub.”  


Skop yang lebih meluas, iaitu Peradaban Islam, antara cabarannya adalah, bagaimana untuk membina kembali peradaban Islam yang telah runtuh, supaya gemilang seperti zaman keemasan Islam suatu masa dahulu. Realitinya lihat sahaja kepada keruntuhan segala segi aspek peradaban dalam masyarakat di negara kita sama ada aspek agama, sosial, pendidikan, ekonomi, dan seumpamanya. Begitu juga cabaran dalam cluster dan niche lain sama ada dari Sains Sosial, Sains Perubatan dan sebagainya. Maka dalam mendepani pelbagai cabaran ini, golongan sarjana seharusnya mempersiapkan diri dengan semaksimum ilmu, kepakaran dan kemahiran. Ilmu yang ada perlu dipertingkatkan dan diperkukuhkan dari masa ke semasa, dan tidak bersifat teori semata-mata akan tetapi dapat diimplementasikan dalam kehidupan masyarakat semasa. Ilmu ini terlalu luas, tidak semestinya berada di tanah Arab, akan tetapi terdapat di mana sahaja.

“Hikmah itu barang milik mukmin yang tercicir. Di mana sahaja kamu menemuinya, maka ambillah ia” (Muttafaqun ‘Alayh)


Melirik Visi Bayt al-Muslim

Berkait dengan topik alam rumah tangga, pada peringkat ini ia relevan untuk dibincangkan secara ringkas, bahkan perbincangan mengenainya seharusnya lebih serius berbanding alam mahasiswa. Di sini, tiada lagi istilah ‘cinta ilusi’ apatah lagi ‘cinta cimpanzi’ seperti yang pernah dibincangkan pada entri yang lalu. Umumnya dapat diperhatikan kebanyakan pelajar yang menyambung pengajian di peringkat ini terpaksa menangguhkan dulu niat untuk mencari ‘support sistem’ kehidupan, berbanding dengan mereka yang telah memiliki karier. Tidak lain dan tidak bukan adalah kerana kekangan yang wujud baik dari aspek persediaan diri, pengurusan masa, kewangan dan seumpamanya. Namun tidak dinafikan, berkahwin ketika belajar bukanlah menjadi masalah, bahkan ada kelebihannya yang tersendiri. Kesemuanya bergantung pada rezeki dan keupayaan masing-masing. Dalam kalangan ahli keluarga, rakan terdekat mahupun pensyarah sendiri mungkin ada yang menasihati kita untuk merealisasikan niat murni itu, tidak kurang juga ada yang menyuruh untuk menumpukan kepada pengajian terlebih dahulu.



Apa yang saya dapati, hal ini kadang-kadang menimbulkan rasa dilema pada sesetengah pihak lantaran kerap diajukan sejumlah pertanyaan seperti; bila nak berkahwin?, sudah ada belum?, dan seumpamanya. Bagi yang sudah berkahwin, tidak kurang juga ditanya bila hendak mendapat anak. Boleh jadi soalan ‘cepu emas’ tersebut lebih sukar untuk dijawab berbanding soalan ketika sesi viva. Walaupun soalan-soalan ini diajukan kerana rasa prihatin, namun saya percaya ia sedikit sebanyak mengganggu konsentrasi mereka dalam pengajian. Boleh hilang fokus. Justeru, ada baiknya jika pertanyaan yang ikhlas tersebut digantikan dengan doa-doa kudus yang sentiasa berterusan kepada mereka. Bagi mereka yang ada kesabaran dan tahap thiqah kepada Allah berkenaan jodoh atau zuriat, lazimnya tiada masalah vice versa mereka yang tidak dapat bersabar, akhirnya ‘hilang’ sehingga tidak dapat dikesan oleh penyelia. Pernah saya diberitahu oleh seorang pensyarah, yang pelajar PhD-nya ‘hilang’ setelah bergaduh dengan suaminya. Yang lebih kasihan, penyelianya kerana terpaksa mencari pengganti untuk menyiapkan projek yang tergendala selain dari memenuhi KPI tahunan.

Berbalik kepada asas pembinaan rumah tangga, lazimnya ada empat metode. Pertama, Melalui Ibu bapa; Kedua, Melalui Unit Baitul Muslim; Ketiga, Melalui para pensyarah atau rakan terdekat yang kita percayai; Keempat, sendirian berhad. Setiap metode ada kelebihan dan kekurangannya. Cuma dalam konteks dunia pada hari ini yang ketandusan rijal dakwah, saya melihat metode kedua sebagai yang paling efektif. Ia bukan sekadar berkait dengan pembinaan Bayt al-Muslim, akan tetapi berkait dengan Bayt al-Harakah yang merangkumi elemen tarbiyyah, dakwah dan siasah. Topik ini, insha-Allah akan di bincangkan topik dalam entri akan datang. Sekian sahaja coretan mengenai entri ‘dunyana wa dunyakum’, mudah-mudahan ada manfaat untuk yang membaca. Entri ini diharapkan dapat memenuhi hasrat sebahagian sahabat-sahabat sepengajian yang kerap meminta perkongsian pengalaman. Wallahu’alam bissawab.


Salam mujahadah dari saya:

Faiz As-Syirazi
Markfield, United Kingdom 


3 comments:

  1. jazakallah khair jaza'. perkongsian yang banyak membantu.

    ReplyDelete
  2. Alhamdulillah..seronok baca post enta kali ni..sedikit sebanyak memberikan inspirasi & semangat untuk ana..moga perjuangan enta dalam dunia mencari gali di perbukitan ilmu diiringi dengan rahmat dan barokah dari Allah ;-)

    ReplyDelete
  3. Ana: Alhamdulillah, Allah yajzakil khyar.

    Saladin: Aamin, wa ad'uka kazalik. :)

    نسئل الله يجعلنا من القوم الذين يستمعون القول وسيتبعون أحسن

    ReplyDelete

Kata-kata melambangkan akhlak dan peribadi kita...
Justeru, berhikmahlah dalam melaksanakannya (^ ^,)