Begitu cepat masa berlalu, dan hari ini telah pun bermula semester baru. Pelajar baru yang mendaftar pada minggu lalu usai menghabiskan saat-saat ‘penuh bermakna’ dengan minggu orientasi mereka. Kini proses pendaftaran dan pembelajaran berlansung. Itu di UKM Bangi dan lazimnya di kebanyakan IPTA dalam proses yang sama. Barangkali di Universiti di Timur Tengah begitu juga.
Apa pun, tahniah diucapkan kepada mereka yang telah dipilih Allah untuk meneruskan pengajian di peringkat tinggi dan lebih tinggi. Bukannya mudah untuk terpilih, apatah lagi di Universiti yang demand-nya tinggi. Berkait dengan kelebihan menuntut ilmu, saya percaya sahabat sahabiah mungkin lebih arif dari yang menulis. Apa yang pasti, Yang Maha ‘Arif telah mengiktiraf para penuntut ilmu dan merakamkan penghargaan ini dalam banyak ayat dan hadis Rasul-Nya:
"...dan sesungguhnya Allah telah mengangkat di kalangan orang-orang yang beriman itu akan darjat-darjat mereka melalui ilmu pengetahuan..." (QS al-Mujadilah: 11)
"Dan telah diajarkan oleh Allah akan Adam as dengan beberapa nama benda. Lalu apabila Adam as menghafal nama-nama benda tersebut, maka Allah panggil malaikat (Allah hadirkan malaikat di hadapan Nabi Adam as), kemudian Allah suruh malaikat sebut pula nama-nama benda yang telah Allah ajar kepada Adam as. Maka menjawab para malaikat: Maha suci Engkau wahai Allah, kami tidaklah tahu apa-apa pun, kecuali yang telah Engkau ajar kepada kami. Sesungguhnya Engkau ini adalah Tuhan yang Amat Mengetahui lagi Amat Bijaksana." (QS al-Baqarah: 31-32)
“Barang siapa yang melalui satu jalan ilmu bererti ia telah menjalani suatu jalan daripada jalan-jalan syurga. Sesungguhnya para malaikat menghamparkan sayapnya kerana reda bagi orang yang menuntut ilmu. Dan sesungguhnya orang yang ada di seluruh lapisan langit dan bumi meminta ampun bagi orang yang alim sehingga ikan yang ada di laut. Dan sesungguhnya kelebihan orang yang alim atas orang yang abid seperti kelebihan bulan purnama atas sekalian bintang-bintang. Dan sesungguhnya ulama itu pewaris Nabi-nabi. Dan para Nabi itu sebenarnya tidak mewariskan dinar dan dirham tetapi yang diwariskan oleh mereka ialah ilmu. Maka barang siapa mengambil ilmu bererti ia telah mengambil habuan yang paling sempurna”. (HR Abu Daud)
“Barang siapa keluar mencari ilmu maka ia sebenarnya berjihad di jalan Allah sehingga dia kembali”. (HR al-Tirmidzi)
Jadi, bersyukurlah kerana Allah telah memilih kita dalam kalangan mereka yang menuntut ilmu. Pengiktifaran yang para penuntut ilmu perolehi bukan sahaja dari penghuni dunia, akan tetapi juga dari langit.
DUNIA MAHASISWA
Mahasiswa. Suatu istilah yang menghadirkan tanggungjawab yang cukup besar kepada pemakainya, baik sebagai seorang pelajar dengan aktiviti intelektualnya, atau peranannya sebagai agen pengubah masyarakat. Di sinilah bermulanya pembentukan jati diri dan kematangan dalam pemikiran dengan harapan dapat menyumbang sesuatu kepada ummah pada masa-masa akan datang. Justeru, peri pentingnya ditekankan matlamat dan hala tuju yang jelas sepanjang proses pengajian. Jika tidak, sekadar ‘memenuhi syarat’ seorang mahasiswa yang datang ke universiti, hadir ke kuliah, buat assignment, jalani latihan amali , exam dan konvo, full stop. Itu persepsi dan mentaliti biasa yang berlaku, cuma bukankah lebih indah jika ada sesuatu yang menjadikan kita unik dan istimewa berbanding dengan orang lain. Apa yang orang lain miliki, tetap ada pada kita, tapi tidak semua yang kita miliki ada pada mereka, baik aspek dalaman dan luaran. Inilah yang pada suatu masa nanti akan jadi ‘add value’ kepada kita umpamanya dalam soal kerjaya.
Pengalaman Yang berharga
Setiap orang pasti ada pengalaman yang tersendiri ketika berada dalam alam mahasiswa; pahit, manis dan segala macam perisa kehidupan. Apa yang kita alami, ia merupakan suatu yang amat berharga dan jarang untuk diperoleh dalam dewan-dewan kulian yang sifatnya menekankan kepada teori dan konseptual semata-mata. Sebagai contoh, seorang yang ambil kursus wajib jabatan, ‘Metodologi Dakwah Orang Asli’. Belum tentu penguasaannya dalam subjek ini menjamin kepakarannya dalam berdakwah kepada Orang Asli sekalipun dalam subjek ini dia mendapat A solid. Justeru, jika hendak kepada banyak pengalaman, maka perlu ada transformasi untuk aktif dan proaktif terhadap sebarang bentuk aktiviti yang relevan dengan konteks seorang mahasiswa, baik berbentuk akademik, vice versa.
Pengalaman sendiri, walaupun hampir tiga tahun meninggalkan alam mahasiswa, namun memori ketika itu masih segar setiap kali berada di tempat-tempat yang cukup sinonim dengan kita sewaktu itu. Ada kala kita bersendirian, dan ada kala kita bersama rakan-rakan, sama ada dalam menghadiri kuliah, membuat tugasan, menyertai program-program Islamik, aktivisme politik kampus dan seumpamanya. Secara tidak sedar, itulah sedikit sebanyak mengajar kita banyak perkara khususnya dalam mendewasakan dan membentuk diri.
Akademik
Bercakap soal akademik, pasti tidak lari mind-set kita dengan istilah four flat, anugerah Dekan, Graduate 1st Class, Tajaan JPA dan seumpama bentuk ‘kelebihan’. Itulah dambaan setiap yang bergelar mahasiswa. Apa yang ingin saya nyatakan di sini bukanlah tidak boleh mencapai sejumlah bentuk kelebihan kerana sememangnya itu adalah keutamaan bagi mana-mana mahasiswa. Buatlah sebaik mungkin untuk mencapai kejayaan semaksimum mungkin di sini, namun begitu jangan dilupakan tanggungjawab dan peranan yang wajib kita laksanakan sebagai seorang Mahasiswa Muslim yang bertanggungjawab, khususnya dalam penglibatan dalam gerak kerja dakwah di kampus dan luar kampus, partisipasi dalam aktiviti kebajikan anjuran persatuan dan kelab dan seumpamanya. Justeru, mind-set itu perlu ‘di-reset’ agar pemikiran kita tidak serigid slogan ‘belajar lebih baik’ tajaan pihak-pihak tertentu.
Pilihanraya Kampus
Tradisi PRK dengan Universiti tidak boleh dipisahkan, sesuai dengan pengamalan sistem demokrasi di segenap peringkat. Pilihanraya yang dijalankan di kampus (PRK) tidak kurang ‘panasnya’ dengan Pilihanraya umum yang berlangsung di luar (PRU). Lihat sahaja kepada proses perjalanan pilihan raya, peraturan, metode berkempen, strategi gerak kerja, fikrah calon seolah-olah tiada beza. Cuma tidak membawa secara terang-terangan mana-mana ideologi politik luar sahaja seperti BN atau PR.
Sepanjang proses observasi yang dilakukan, saya mendapati ada tiga golongan dalam kalangan mahasiswa; pertama, terlibat secara langsung; Kedua, terlibat secara tidak langsung dan Ketiga; berkecuali atau istilah lainnya DAP (Di Atas Pagar). Saya kurang berminat untuk mengupas tentang golongan pertama dan kedua di atas kerana ia sudah cukup baik bagi seorang mahasiswa yang mempunyai kesedaran dalam diri. Tidaklah datang kampus hanya melekat di dewan kuliah dan perpustakaan semata-mata, akan tetapi celik juga terhadap isu-isu persekitaran. Cuma ruginya jika ada mahasiswa yang cenderung untuk menjadi golongan ketiga, ‘DAP’.
Pihak ketiga ini ada yang bersikap berkecuali dengan erti kata pasif dengan semua aktivisme politik kampus dan itu bolehlah dipertimbangkan, Cuma bagi yang bersikap agresif ini kadang-kadang menimbulkan kecelaruan dalam kalangan masyarakat pelajar. Mana tidaknya, segelintir mereka terdiri daripada jaguh papan kunci (key board warrior), lalu pelbagai provokasi kepada pihak yang dimusuhinya tanpa mengambil kira maslahat semasa. Nasihat saya, usahlah meletakkan diri kita dalam kalangan mereka yang menggagalkan gerak kerja dakwah, sekalipun diri kita tidak berminat untuk cakna tentang isu-isu semasa yang berlaku dalam kampus. Mungkin kerana kedudukan sudah selesa atau persepsi tahap ilmu yang terlalu tinggi dan tidak sebanding dengan mana-mana pihak.
Kepada yang terlibat pula, jangan terlalu ‘radikal’ sampai mengorbankan status mahasiswa kita. Apa jua tindakan, bertindaklah dengan bijak dan banyakan mendengar pandangan pelbagai pihak demi memperoleh suatu keputusan yang tepat. Pada saya adalah merupakan suatu kerugian bagi mereka yang diberi peluang untuk sambung pengajian di universiti, namun bertindak seolah-olah tidak mahu masuk universiti. Hanya kerana tindakan yang kurang cerdik menyebabkan proses pengajian terencat. Lainlah jika sudah disediakan peluang-peluang lain untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Begitu juga bagi mereka yang diberikan peluang untuk membina bakat kepimpinan dan kepakaran dalam sesebuah gerak kerja, namun tidak memanfaatkan peluang yang sedia ada.
Gambar 'hiasan'
Persatuan Islam
Salah satu mekanisme yang terbaik untuk membina sahsiah peribadi seorang mahasiswa adalah melibatkan diri dalam persatuan-persatuan Islam. Di tempat saya, ada ISIUKM, dan di IPTA-IPTA lain biasanya menggunakan nama PMI. Tidak kiralah apa nama yang digunakan, selagi mana agenda yang diperjuangkan menepati syarak maka sepatutnya kita turut serta memberikan sokongan. Persatuan-persatuan Islam di kampus bukanlah milik pelajar dari fakulti pengajian Islam (Ustaz Ustazah) semata-mata, malah ia milik semua yang cintakan Islam. Dari sini kita dapat perhatikan bagaimana bi’ah yang dibina khususnya dalam aspek pemakaian, penjagaan ikhtilat, tutur kata dan sebagainya. Program-program yang dianjurkan pun tidaklah bersifat ceramah semata-mata, silap-silap program mereka lebih advance dari persatuan-persatuan yang lain.
Cinta Alam Kampus: Suci atau Ilusi
Antara cabaran yang besar di alam mahasiswa adalah kelambakan pencari pasangan hidup dengan cara yang salah. Saya tidaklah hendak menafikan bahawa mungkin ada relevannya bagi seseorang yang memasuki Universiti mempunyai niat untuk mencari pasangan hidup, selain dari belajar. Apatah lagi bagi yang telah cukup syarat (baca: berkemampuan). Namun apa yang kita dapati, ramai yang tergelincir lantaran tidak menjumpai alternatif yang menepati syarak. Pada mereka, apabila suka sama suka boleh dijadikan alasan untuk bermadu kasih, bercinta, berdating, membawa anak dara orang ke hulu ke hilir dan sebagainya seolah-olah melebihi pasangan yang telah sah bernikah.
Malangnya kebanyakan yang terlibat dengan cinta ilusi ini akhirnya kecundang dalam alam pengajian bahkan dalam alam percintaan. Mana tidaknya, jalan yang dipilih salah, tentu sahaja hanya mengundang laknat dan murka Allah, walhal Islam sendiri telah menawarkan jalan yang lebih selamat dan berkat, iaitu bernikah. Jika rasa masih jauh untuk ke arah itu, lupakanlah seketika niat untuk ‘bercouple’ ketika dalam alam pengajian kerana lebih banyak mendatangkan sengsara dari bahagia. Suka saya nyatakan, segala-galanya tertakluk kepada sejauh mana kemampuan dan persediaan kita untuk menghadapi alam pengajian bersama dengan alam rumah tangga. Seperkara lagi, carilah Baitul Muslim yang jauh lebih efektif. Dalam fasa untuk melengkapkan cinta sakral itu, tumpulah pada proses pengajian untuk mendapat keputusan yang baik, mudah-mudahan dapat kerjaya yang baik sekali gus melayakkan diri untuk menyempurnakan sebahagian dari agama.
Sekian sahajalah sedikit coretan saya untuk bahagian pertama ini. Mungkin ada beberapa topik yang saya tidak sentuh secara langsung di sini, samada saya telah bincangkan pada entri-entri terdahulu (klik sini) atau pada masa-masa akan datang insha-ALlah.
Adapun dunia sarjana, (bersambung...)
perkongsian yang baik.
ReplyDeleteSyukran ustazah atas kesudian membaca :)
ReplyDelete