Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
“Sesungguhnya perjuangan itu tidak mengenal erti penat & lelah. Demi Islam tercinta, ia perlu diteruskan. Semoga usaha untuk menyampaikan risalah Islam ini diterima Allah sebagai salah satu amal jariah semasa menghadap-Nya pada suatu hari yang pasti akan tiba..”
blog's design by faizassyirazi. Powered by Blogger.

Thursday 31 October 2013

Baitul Muslim: Antara Visi, Realiti & Ilusi

Bismillah… Assalamu’alaikum wbt. 

Segala puji dan syukur ke hadrat Allah atas segala nikmat dan kurniaNya, serta selawat dan salam ke atas utusan yang Agung, Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabatnya yang setia, serta mereka yang menelusuri jalan itu.

Sudah sunnatullah, setiap sesuatu namanya makhluk tidak akan sunyi dari mengalami perubahan, waima kecil atau besar, waima terpaksa atau akur. Manusia misalnya, daripada campuran sel-sel seni melalui pelbagai proses dalam sesuatu tempoh, berubah kepada janin dan fetus. Bila dilahirkan, daripada keadaan bayi berubah kepada kanak-kanak, remaja, pemuda, dewasa, dan tua. Akhirnya kembali ke alam roh. Peringkat kehidupan, juga berlaku perubahan. baik dalam dunia akademik, kerjaya, aktivisme, alam rumah tangga, dan sebagainya. Begitu juga tahap keimanan dan ketaqwaan juga sentiasa mengalami perubahan samada naik atau turun.


Kesemua bentuk perubahan ini hakikatnya tidak dapat lari daripada soal taklifan. Boleh jadi dalam sesuatu masa kita tidak menang tangan untuk mengurus dan menyempurnakan semua taklifan. Bak kata al-Banna, al-Wajibat akthar min al-awqat. Justeru, dalam menyempurnakan taklifan, peri pentingnya pengurusan masa yang disertakan dengan ‘fiqh awlawiyyat’ dan beberapa fiqh-fiqh lain. Tanpa perancangan yang kritis dan rapi, kita masih lagi belum dapat dikategori sebagai Muslim yang berhemah dalam mengurus masa kehidupan.

Amanah Itu Anugerah

Dalam sabda Nabi SAW;

ألاَ كُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْؤُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، فَالْإِمَامُ الْأَعْظَمُ الَّذِي عَلَى النَّاسِ رَاعٍ وَهُوَ مَسْؤُولٌ عَنْ رَعِيَتِهِ، وَالرَّجُلُ رَاعٍ عَلَى أَهْلِ بَيْتِهِ وَهُوَ مَسْؤُولٌ عَنْ رَعِيَتِهِ، وَالْمَرْأَةُ رَاعِيَةٌ عَلَى أَهْلِ بَيْتِ زَوْجِهَا وَوَلَدِهِ وَهِيَ مَسْؤُولَةٌ عَنْهُمْ، وَعَبْدُ الرَّجُلِ رَاعٍ عَلَى مَالِ سَيِّدِهِ وَهُوَ مَسْؤُولٌ عَنْهُ، أَلاَ فَكُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْؤُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ

“Setiap kalian adalah ra’in dan setiap kalian akan ditanya tentang ra’iyahnya. Imam a’zham (pemimpin negara) yang berkuasa atas manusia adalah ra’in dan ia akan ditanya tentang ra’iyahnya. Seorang lelaki/suami adalah ra’in bagi ahli bait (keluarga)nya dan ia akan ditanya tentang ra’iyahnya. Wanita/istri adalah ra’iyah terhadap ahli bait suaminya dan anak suaminya dan ia akan ditanya tentang mereka. Budak seseorang adalah ra’in terhadap harta tuannya dan ia akan ditanya tentang harta tersebut. Ketahuilah setiap kalian adalah ra’in dan setiap kalian akan ditanya tentang ra’iyahnya.” (HR. Al-Bukhari no. 5200, 7138 dan Muslim no. 4701).

Menurut al-Allamah al-Imam Ibn Hajr al-Asqalani dalam Fath al-Bari, ra’in di sini adalah seorang penjaga yang diberikan amanah, dan adalah wajib baginya untuk memegang amanah tersebut. Selain itu, wajib baginya untuk berlaku adil dan menunaikan perkara yang memberikan maslahah terhadap apa yang diamanahkan kepadanya. (Fathul Bari, 13/140).


Pengajaran di sini, tiada sesiapa pun yang bergelar manusia dapat lari daripada amanah, daripada sekecil-kecil amanah iaitu terhadap dirinya sehinggalah sebesar-besar amanah, iaitu sebagai hamba kepada Pencipta. Seorang anak mempunyai amanah terhadap kedua orang tuanya. Abang Long (abang yang sulung) mempunyai amanah terhadap adik-adik kecil dibawahnya. Seorang pekerja mempunyai amanah terhadap majikannya. Seorang murabbi mempunyai amanah terhadap mutarabbinya. Seorang guru/pensyarah mempunyai amanah terhadap pelajarnya dan demikian juga pelajar mempunyai amanah terhadap guru/pensyarahnya.  Seorang suami mempunyai amanah terhadap terhadap isterinya dan begitu juga isteri. Apatah lagi pemimpin Negara yang mempunyai amanah terhadap wilayah dan Negara yang diperintahnya. Pendek kata, semuanya tidak dapat lari daripada memegang (dan menunaikan) amanah. Bukankah Allah telah mengingatkan..

“Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu supaya menunaikan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya)” (Surah an-Nisa : ayat 58).


Tunaikan Amanah Agar Tidak Menjadi Fitnah

Kadang kala dalam menunaikan amanah, ada beberapa perkara yang kita terlepas pandang dan ambil mudah. Mungkin kerana kelemahan kita untuk mengenalpasti keutamaan. Umpamanya seorang yang penuntut di Universiti. Pada masa sama dia memegang taklifan-taklifan lain seperti kerja part time dan kegiatan luar. Dari aspek pembahagian masa, dia boleh membahagikan 24 jam itu kepada empat bahagian; paginya dengan aktiviti pembelajarannya, petangnya dengan kegiatan luar, manakala malamnya dengan kerja ‘parti time’nya. Selebihnya diperuntukan kepada tuntutan manusiawi. Seolahnya sudah sempurna, namun di sana masih ada kekurangan dan kelompangan. Persoalan yang perlu dijawab; di mana peruntukan masanya dengan Allah, apakah cukup sekadar 5x dalam solat fardhu? Bagaimana waktu munajat 1/3 malamnya? Bagaimana al-Qur’annya? Bagaimana dengan pengisian-pengisian rohani dalam meningkatkan thaqafah agama dalam diri? Bagaimana tanggungjawabnya dalam mengislahkan ummah?


Justeru, apakah memadai jika peruntukan masa terhadap urusan duniawi berjam-jam lebih lama berbanding urusan ukhrawi yang tidak sampai sejam. Itu belum bercakap perihal ‘meluangkan’ masa berjam-jam dengan ‘aktivisme’ di facebook, game, selain melayan movie-movie yang tiada maslahahnya, baik kepada diri apatah lagi ummah. Pun begitu, ramai yang tidak menyedari betapa masa dan kehidupan mereka berlalu begitu sahaja dengan perkara sia-sia. Bak kata seorang professor pakar mata yang sering keluar di corong radio IKIM:

“apakah kita tidak merasa berdosa dengan Allah kerana membuang masa dengan perkara sedemikian? Apakah sememangnya itu tujuan manusia itu diciptakan? Bukankah lebih baik jika masa-masa yang kita buang dengan perkara-perkara sedemikian dengan diisi dengan kita memperbaiki bacaan tajwid kita, al-Qur’an kita dan ilmu-ilmu agama lain yang masih banyak kita perlu pelajari.”

Bila bercakap soal beramal untuk akhirat, bukanlah bermaksud kita perlu menjadi ‘radikal’ dengan membelakangkan apa yang Nabi SAW ajarkan. Tidak sepatutnya kita bersifat rigid dalam pemikiran terhadap konsep beramal tersebut. Mungkin kisah ini signifikan untuk direnungkan. Al-kisahnya seorang sahabat Nabi SAW yang namanya Abu Darda'. Beliau adalah seorang sahabat yang suka beribadah sehingga melupakan tanggungjawabnya sebagai seorang suami dan seorang insan. Beliau berpuasa setiap hari dan melakukan Qiamullail sepanjang malam sehingga tiada masa bersama isterinya.Apabila Salman menziarahi Abu Darda', isteri beliau telah mengadu keadaan Abu Darda' kepada Salman. Maka Salman menegur sikap Abu Darda' ini dengan katanya:

" فانك لنفسك عليك حقاولربك عليك حقاولضيفك عليك حقافانك لأهلك عليك حقافاعطى كل ذي حق حقه"

“Sesungguhnya bagi diri kamu itu ada hak, bagi Tuhan (Allah) kamu itu ada hak, bagi tetamu kamu itu ada hak dan sesungguhnya bagi ahli keluarga kamu ada hak. Maka berilah setiap yang berhak itu haknya."

Kata Syeikh al-Marbawi dalam kitabnya Bahrulmazi, maksud hak diri itu ialah seseorang itu boleh berpuasa tetapi hendaklah dia berbuka, seseorang itu juga boleh melakukan Qiamullail dan beribadah kepada Allah tetapi dia juga perlu berehat dan tidur. Itulah dia hak badan. Apabila kita memperkatakan hak Allah, kita bertanggungjawab menjaga dan memelihara amanah kita sebagai hamba dan khalifah di muka bumi ini. Caranya cukup mudah iaitu melakukan setiap yang disuruh oleh Allah dan meninggal setiap yang dilarang olehNya.


Soal Siapa dan Bila

Kembali kepada topik Baitul Muslim, di sini ada beberapa perkara yang boleh kita renungkan setelah memahami tentang amanah, tanggungjawab dan cabaran semasa. Sebagai hamba, seharusnya kita menyedari tahap keterbatasan untuk mencapai kesemua perkara. Boleh jadi ada yang kita lihat terlalu sempurna buat pandangan mata kita namun ia tidak dapat menjamin ia juga sempurna pada pandangan Allah. Dalam ‘MOU’ kita dengan Allah pada alam roh lalu, bukankah sudah disepakati soal umur, rezeki dan jodoh? Benar, jodoh itu perlu dicari, namun jangan sampai mekanisma yang kita gunakan itu mengundang murka Allah. 


Islam mengajar umatnya yang mampu, untuk ‘membina masjid’. Kemampuan di sini adalah berkait rapat dengan soal persediaan dan disusuli dengan perancangan. Lebih-lebih lagi dengan suasana fitnah dunia pada hari ini yang cukup membimbangkan. Murid-murid sekolah rendah kadang-kadang lebih pakar daripada kita perihal rumah tangga lantaran tarbiyyah dari TV dan media sosial. Bagi golongan terpelajar pula, bila tidak dijaga pergaulan, mulalah terkena penyakit angau dan meroyan. Bila bercinta dan hendak berkahwin, dihalang oleh ibubapa kerana ‘mengaji tidak habis lagi’. Kesannya, proses mendamba cinta terus berlangsung. Berkepit kehulu kehilir di kampus sepanjang masa. Wa’iyyazubullah. Agaknya jika itu diketahui oleh ibubapa mereka, pasti tidak dihalang niat suci itu. Bagi yang faham Islam bolehlah juga mencari alternative lain seperti berpuasa, jaga pandangan, jaga hati, taqarrub dengan Allah dan sebagainya.


Ke arah Pembinaan Baitul Muslim Haraki

Pembinaan baitul Muslim adalah bermula daripada individu Muslim yang apply Islam seoptimumnya. Seterusnya membawa kepada Baitul Muslim - Mujtama’ Muslim - Daulah Islam sehinggalah kepada Khilafah Islamiyyah. Ini lazimnya apa yang kita dapati dalam buku-buku haraki. Seharusnya aktivis Islam, berusaha untuk mencapai jauh lebih itu. Bukan sekadar membina baitul Muslim, tetapi baitul Muslim versinya haraki. Kerana baitul Muslim pada hari ini, tidak semuanya menjurus ke arah pembinaan dan pembentukkan jil al-dakwah. Kerana ada sebahagian yang berpandangan, cukup sekadar menjadi ‘orang biasa’. Paling hebat, join usrah. Bila diseru untuk gerak kerja di medan sebenar, 1001 alasan bersifat peribadi dikemukakan.



Indikator Pasangan

Jika bercita-cita hendak mendapat suami/isteri yang soleh/ah, maka ketua (suami) itu sepatutnya terlebih dahulu menjadi orang yang soleh. Sifirnya cukup mudah; jika mahukan isteri yang jaga pandangan, lelaki itu seharusnya menjaga pandangan, jika mahukan isteri bukan jenis melayan lelaki lain, lelaki itu seharusnya juga bukan jenis melayan perempuan lain, dan demikian juga dalam aspek-aspek lain. Tidak dinafikan, mustahil bagi manusia itu menjadi perfect dalam semua perkara melainkan Nabi dan Rasul a.s sahaja, namun tidak mustahil untuk kita mencuba ke arah itu, setidak-tidaknya menjadi terbaik dari yang terbaik. Anologinya:

"Mutiara yang paling berharga kebiasaannya jauh dan tersorok dari pandangan manusia. Hanya sedikit yang mengenali dan tahu akan ciri-cirinya. Ia tersimpan rapi dalam cengkerang yang terletak jauh di dasar lautan. Kemasinan air laut dan unsur negatif persekitaran (spt kotoran kumbahan haiwan) tidak memberi kesan dan mempengaruhi kesuciannya, malah semakin lama ia tersimpan rapi, ia semakin bernilai menjadi dambaan setiap orang. Hendak memilikinya bukan mudah. Perlu kesabaran yang tinggi, usaha dan kebergantungan kepada Allah. Siapa tahu dengan berkat kesabaran, usaha dan tawakal itu, Allah memberi peluang untuk menjadi pemiliknya suatu hari nanti."


Justeru itu Islam menitikberatkan soal akhlak (baca: agama) dalam pemilihan pasangan. Soal memilih suami/isteri misalnya, bukan sekadar memikirkan sesuainya dia buat kita, akan tetapi dia sememangnya layak menjadi ibu/bapa kepada anak-anak kita pada masa akan datang. Pasangan yang dimiliki di dunia bukan sekadar di sini, akan tetapi itulah yang bersama-sama di syurga, jika si suami berjaya membawanya ke sana. Pencorakkan fikrah isteri bergantung kepada fikrah si suami, sama ada untuk membentukknya menjadi seperti Zainab al-Ghazali dan Ahya' Akrasy (Syahidah Palestin) atau Layla Ben Ali (Isteri mantan diktator Arab Tunisia). Manakala pencorakkan anak-anak sepenuhnya bergantung kepada fikrah si isteri, samada untuk membentuknya menjadi pejuang Islam seperti Fathi al-Syaqaqi dan Ezzudden al-Qassam, atau pengkhianat Islam seperti Jeneral al-Sisi dan Hosni Mubarak (waiyyazubillah). 




Polemik Baitul Muslim Kontemporari

Kecelaruan dalam memahami dan memaknai maksud baitul Muslim sebenar membawa kepada keruntuhan institusi baitul Muslim. Ada kes di mana ibubapa mempunyai fikrah Islam yang jelas, namun mengabaikan tanggungjawab untuk mendidik anak-anak mereka dengan baik. Setidak-tidaknya dapatlah menjadi perintis mereka pada masa akan datang. Alasan yang dibawa adalah kerana terlalu sibuk dengan kegiatan luar. Peranan tarbiyyah yang sepatutnya dimainkan, langsung diserahkan kepada televisyen, iPad, Tab dan bermacam gadget lagi dengan penuh ‘thiqah’. Setiap hari, ‘ustaz dan ustazah’ dari televisyen, youtube dan facebook tampil mengajar anak-anak dengan 1001 macam ilmu. Ada yang beranggapan ia tidak mengapa, hakikatnya mereka silap. Kesannya adalah kepada pemikiran mereka yang rosak akibat racun-racun negatif globalisasi. Allahurabbi…


Akhir Kalam

Antara perkara yang penulis sering ingatkan kepada diri sendiri dan sahabat-sahabat terdekat adalah soal persediaan. Ia tidak lebih dari peringatan untuk diri sendiri. Persediaan untuk menaiki bahtera baitul Muslim bukan menanti sebulan sebelum berlangsung majlis akad, akan tetapi prosesnya biarlah telah lama berlansung. Ketiadaan persediaan yang terancang memungkinkan kecundang di masa akan datang, antara yang dahsyat adalah keciciran dari tanggungjawab yang sepatutnya.


Justeru, bagi yang masih belum bersedia ke arah itu, usah membuang masa dengan bermimpi di siang hari. Fokuslah terhadap realiti yang sedang dan perlu dihadapi di depan mata, baik dalam menyelesaikan alam pengajian, kerjaya dan sebagainya. Jika ada kecenderungan kepada mana-mana individu, pendamlah dahulu perasaan itu buat sementara waktu. Jika sudah jodoh, insha-Allah, ia tidak akan kemana. Jika jiwa gundah gulana dan resah, cukuplah Allah sebagai sebaik-baik tempat untuk meluah perasaan dan berserah diri. Elakkan melayan buku/novel atau lagu berunsurkan 'melayan perasaan' sekaligupun ia dilihat ala-ala Islamik. Lakukan terapi hati dan jiwa yang kosong itu dengan proses tazkiyyah dan tasfiyyah berupa amalan taqarrub kepada Allah. Insha-Allah, Dia pasti akan memberi kemudahan terhadap apa yang kita harapkan dan hajatkan. Bagi yang sudah memperolehi ‘lampu hijau’, siiru ala mardhatillah dan jangan lupa untuk beristikharah…


'Polemik' masakini :)

Sebagai khatimah, saya ingin kongsikan sebuah munajat muhibbin yang dikutip dari sebuah karya yang berkonsepkan 'sufistik'. Jika dihayati dengan mendalam, manifestasi mahabbah hakiki antara hamba dan penciptaNya begitu meluas dalam munajat ini, termasuklah melalui 'wasilah'nya. Mudah-mudahan, ia dapat memberi manfaat kepada mereka yang berkenaan. 

اِلهي مَنْ ذَا الَّذي ذاقَ حَلاوَةَ مَحَبَّتِكَ فَرامَ مِنْكَ بَدَلاً،
 وَمَنْ ذَا الَّذي اَنِسَ بِقُرْبِكَ فَابْتَغى عَنْكَ حِوَلاً،



اِلهي فَاجْعَلْنا مِمَّنِ اصْطَفَيْتَهُ لِقُرْبِكَ وَوِلايَتِكَ،
 وَاَخْلَصْتَهُ لِوُدِّكَ وَمَحَبَّتِكَ،
 وَشَوَّقْتَهُ اِلى لِقائِكَ،
 وَرَضَّيْتَهُ بِقَضائِكَ،
 وَمَنَحْتَهُ بِالنَّظَرِ اِلى وَجْهِكَ،
 وَحَبَوْتَهُ بِرِضاكَ،
 وَاَعَذْتَهُ مِنْ هَجْرِكَ وَقِلاكَ،
 وَبَوَّأتَهُ مَقْعَدَ الصِّدْقِ في جِوارِكَ،
 وَخَصَصْتَهُ بِمَعْرِفَتِكَ،
 وَاَهَّلْتَهُ لِعِبادَتِكَ،
 وَهَيَّمْتَ قَلْبَهُ لإرادَتِكَ،
 وَاجْتَبَيْتَهُ لِمُشاهَدَتِكَ،
 وَاَخْلَيْتَ وَجْهَهُ لَكَ،
 وَفَرَّغْتَ فُؤادَهُ لِحُبِّكَ،
 وَرَغَّبْتَهُ فيما عِنْدَكَ،
 وَاَلْهَمْتَهُ ذِكْرَكَ،
 وَاَوْزَعْتَهُ شُكْرَكَ،
 وَشَغَلْتَهُ بِطاعَتِكَ،
 وَصَيَّرْتَهُ مِنْ صالِحي بَرِيَّتِكَ،
 وَاخْتَرْتَهُ لِمُناجاتِكَ،
 وَقَطَعْتَ عَنْهُ كُلَّ شَيْء يَقْطَعُهُ عَنْكَ،



 اَلّلهُمَّ اجْعَلْنا مِمَّنْ دَأْبُهُمُ الإرْتِياحُ اِلَيْكَ وَالْحَنينُ،
 وَدَهْرُهُمُ الزَّفْرَةُ وَالأنينُ،
 جِباهُهُمْ ساجِدَةٌ لِعَظَمَتِكَ،
 وَعُيُونُهُمْ ساهِرَةٌ في خِدْمَتِكَ،
 وَدُمُوعُهُمْ سائِلَةٌ مِنْ خَشْيَتِكَ،
 وَقُلُوبُهُمْ مُتَعَلِّقَةٌ بِمَحَبَّتِكَ،
 وَاَفْئِدَتُهُمْ مُنْخَلِعَةٌ مِنْ مَهابَتِكَ،



 يا مَنْ اَنْوارُ قُدْسِهِ لإبْصارِ مُحِبّيهِ رائِقَةٌ،
 وَسُبُحاتُ وَجْهِهِ لِقُلُوبِ عارِفيهِ شائِقَةٌ،
 يا مُنى قُلُوبِ الْمُشْتاقينَ، وَيا غايَةَ آمالِ الْمُحِبّينَ،
 اَسْاَلُكَ حُبَّكَ وَحُبَّ مَنْ يُحِبُّكَ وَحُبَّ كُلِّ عَمَل يُوصِلُني اِلى قُرْبِكَ،
 وَاَنْ تَجْعَلَكَ اَحَبَّ اِلَيَّ مِمّا سِواكَ،
 وَاَنْ تَجْعَلَ حُبّي اِيّاكَ قائِداً اِلى رِضْوانِكَ،
 وَشَوْقي اِلَيْكَ ذائِداً عَنْ عِصْيانِكَ،
 وَامْنُنْ بِالنَّظَرِ اِلَيْكَ عَلَيَّ،
 وَانْظُرْ بِعَيْنِ الْوُدِّ وَالْعَطْفِ اِلَىّ،
 وَلا تَصْرِفْ عَنّي وَجْهَكَ،
 وَاجْعَلْني مِنْ اَهْلِ الإسْعادِ وَالْحَظْوَةِ عِنْدَكَ،
 يا مُجيبُ يا اَرْحَمَ الرّاحِمينَ .


P/s: Lazimnya rasa zouq tertakhluk kepada keadaan semasa hati dan jiwa kita khususnya pada waktu siangnya samada dipengaruhi oleh noda dosa atau tidak.



Wallahu'alam.


faizassyirazi
Markfield, UK

0 comments:

Post a Comment

Kata-kata melambangkan akhlak dan peribadi kita...
Justeru, berhikmahlah dalam melaksanakannya (^ ^,)