Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
“Sesungguhnya perjuangan itu tidak mengenal erti penat & lelah. Demi Islam tercinta, ia perlu diteruskan. Semoga usaha untuk menyampaikan risalah Islam ini diterima Allah sebagai salah satu amal jariah semasa menghadap-Nya pada suatu hari yang pasti akan tiba..”
blog's design by faizassyirazi. Powered by Blogger.

Friday 18 October 2013

18 Okt 2013 | Akhir Kalam...

Bismillahirrahmanirrahim, Assalamu'alaikum Wbt.

Firman Allah:


ومِنْ آيَاتِهِ أَن يُرْسِلَ الرِّيَاحَ مُبَشِّرَاتٍ وَلِيُذِيقَكُم مِّن رَّحْمَتِهِ وَلِتَجْرِيَ الْفُلْكُ بِأَمْرِهِ وَلِتَبْتَغُوا مِن فَضْلِهِ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

"Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya, bahawa Dia menghantarkan angin sebagai pembawa berita yang mengembirakan; dan untuk merasakan kamu sedikit dari rahmatNya, dan supaya kapal-kapal belayar laju dengan perintahNya, dan juga supaya kamu dapat mencari rezeki dari limpah kurniaNya; dan seterusnya supaya kamu bersyukur." ( Surah al-Rum 30:46 )

Setiap yang bernama makhluk, Allah telah tentukan perjalanan hidupnya, samada melibatkan rezeki, jodoh, dan ajal. Penentuan itu lazimnya berkait rapat dengan hasrat hamba-Nya; jika dia memilih untuk menjadi seorang mukmin, maka Allah akan membantunya dengan diberikan hidayah dan inayah dalam mengerjakan amal soleh. Dengan anugerah hidayah tersebut, dia pegang seutuh mungkin dan berikrar tidak akan melepaskannya sama sekali. 



Pelbagai ikhtiar yang digunakan untuk memastikan kesinambungan hidayah yang diperolehnya, termasuklah dengan melaksanakan amal ibadah dengan ikhlas, menuntut ilmu agama, berkawan dengan orang baik, makan makanan yang halal dan seumpamanya. Lantaran itu, Allah memberi inayah kepadanya dengan menganugerahkan hidupnya rezeki yang berkat, pasangan hidup yang soleh/hah, anak yang taat, murah rezeki dan seumpamanya. Paling penting, kesemua nikmat tersebut terus disyukuri dengan tidak meninggalkan amal Islami, dalam menjadi aset untuk regenerate sebuah peradaban Islam yang telah kian lama runtuh. Pembangunan ini tidak lain dan tidak bukan adalah untuk membawa umat manusia kepada panji tawhid lailahaillallah.

Vice versa, bagi mereka yang memilih untuk menjadi kufur, walaupun di sana Allah telah membuka jalan untuk ke syurga, namun dia sengaja memilih jalan untuk ke neraka. Justifikasinya, amal ibadah dilakukan dengan culas, majlis ilmu ditinggalkan, para alim ulama’ dan orang soleh dijauhi sebaliknya rakan-rakan kaki maksiat didekati, makanan syubhah dan haram langsung tidak dipedulikan, dan bermulalah saat itu episod detik hitam kehidupannya dengan murka dari Allah dan seluruh isi langit. Sekalipun pada zahir manusia dia kelihatan berjaya, dengan harta yang melimpah ruah, rumah yang mewah, isteri yang cantik, anak-anak yang berjaya, namun malangnya semua itu tidak dapat menjadi jaminan kepadanya untuk selamat dari bakaran api neraka kelak. Bahkan kesemuanya itu menjadi asbab untuk dia semakin lama di neraka Allah SWT. Wana’uzubillah min zalik.


Hikmah dalam Hikmah

Allah tidak akan memberikan sesuatu melainkan ia yang terbaik dan mampu ditanggung oleh hamba-hamba-Nya, sama ada pemberian tersebut berupa nikmat atau ujian. Tujuannya tidak lain dan tidak bukan supaya hamba itu menjadi semakin hampir kepada-Nya. Saya percaya, dalam kalangan sahabat-sahabat pasti mempunyai pengalaman yang tersendiri dalam hal ini, umpamanya tatkala kita merancang sesuatu perkara, kita telah mengenal pasti beberapa kaedah yang boleh dilakukan dalam merealisasikannya. 



Ada kalanya, beberapa kaedah itu tidak menjadi sehingga kita merasa kecewa. Lalu kita memberi kesimpulan bahawa harapan itu telah musnah. Namun, tanpa disangka-sangka, ia akhirnya menjadi kenyataan. Cuma bukan melalui jalan yang kita aturkan, sebaliknya melalui jalan yang Allah aturkan yang jauh lebih baik. Sebagai hamba, jangan pernah berhenti mengharap;

‘Ya Allah, jika urusan ini adalah yang terbaik buatku dan maslahah agama ini, maka Engkau permudahkanlah jalannya, jika sebaliknya, maka tetapkanlah hati ini untuk redha menerima apa jua ketentuanMu.’ 



Pengalaman Yang Tidak Ternilai

Antara nikmat yang Allah yang berharga kepada hambanya adalah pengalaman yang menjadi asbab musabab menghampirkan diri kepada-Nya. Setiap orang pasti ada pengalaman hidupnya yang tersendiri, sama ada manis atau pahit. Dalam konteks seorang pelajar sarjana, pengalaman tersebut ada yang diperoleh ketika terlibat dalam menjalankan sesebuah projek penyelidikan, ada yang diperoleh ketika berpersatuan, ada yang diperoleh ketika menguruskan sebuah program akademik berupa seminar atau persidangan, ada yang diperoleh ketika turun sebagai aktivis dalam menjayakan agenda ummah, dan seumpamanya. 




Pendek kata, kesemua pengalaman itulah yang mengajar kita tentang ‘sesuatu’ di samping membantu mematangkan cara kita berfikir dan menanggapi sesuatu isu. Pengalaman yang diperoleh itu juga, setiap satunya tidak terlepas dari melibatkan individu-individu tertentu yang sentiasa diingati sepanjang hayat, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan gerak kerja dalam amal Islami. Kerana itulah yang sentiasa membuahkan nikmat berjemaah (berorganisasi) dan berukhwahfillah, sekali gus membezakan dengan mana-mana gerak kerja, baik kerjaya dan seumpamanya. Justeru itu bagi mereka yang mengalaminya, tidak melepaskan peluang ada bagi memastikan bi’ah ini sentiasa berkesinambungan dengan terus komited dengan agenda jama’ah waima dengan pembinaan baitul muslim.



Perjalanan saya mungkin baru hendak bermula. Untuk fasa pertama, sepanjang proses bangun rebah dalam merealisasikan misi ini, terlalu banyak perkara yang dipelajari, khususnya tentang hubungan sesama makhluk dan lebih-lebih lagi hubungan dengan Sang Pencipta. Bila mana pengharapan yang tertinggi diletakkan kepada Allah SWT, apa jua yang kita hadapi insha-Allah tidak akan wujud rasa penyesalan atau kecewa atas setiap ketentuannya. Hakikatnya terlalu banyak rahmat dan hikmah di sebalik apa yang Dia telah tetapkan yang mungkin tidak dapat dicapai tanpa adanya tahap kesabaran dan thiqah kepada-Nya. 

Manifestasi kepada sabar dan thiqah itu tidak cukup sekadar bermonolog tatkala dinihari, akan tetapi dengan aplikasi, iaitu meletakkan prioriti kepada agenda Islam melebihi keperluan diri sendiri sekalipun kadangkala kita terpaksa mengorbankan sesuatu yang amat berharga. Bila difikirkan kembali, seolah-olah terasa mimpi kerana tidak terjangkau bagaimana saya dapat menyiapkan hampir 10 tugasan berat yang secara normalnya memakan masa berminggu-minggu, dapat disempurnakan dalam masa dua hari. Ayat-ayat pemasak diri seperti “in tanṣurūllaha yanṣurkum…” dan “...walayanṣurannallaha man yanṣuruh” tidak pernah mengecewakan sesiapa yang berpegang dengannya. Sejak dahulu, janji-Nya, mana mungkin dimungkiri. Allahurabbi.





Cukup pantas masa berlalu, usai tiga semester berhempas pulas, Alhamdulillah, Allah izinkan jua untuk sampai di tahap ini. Tersingkap jua 1001 hikmah di sebalik semua perancangan Dia sejak dahulu, baik dari sudut sistematika pelan pengajian, komitmen untuk projek penyelidikan, komitmen untuk dalam dan luar kampus, taklifan sebagai khadam Madrasah, di samping tanggungjawab untuk keluarga. Tanpa dinafikan kekurangan yang wujud, namun setidak-tidaknya saya telah melakukan apa yang termampu.  

Mungkin terlalu awal untuk membuat ucapan sebegini, yang lazimnya dibuat usai bergraduasi untuk kali ke dua. Namun, itu tidak menghalang untuk saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah banyak membantu dalam apa jua sudut, sama ada secara langsung atau tidak langsung, khususnya ahli keluarga dan sahabat sahabiah yang menjadi sumber motivasi dan inspirasi tatkala berjuang secara bersendirian di medan ilmu ini. 

Begitu juga kepada murabbi akademik Prof. Madya Dr. Jaffary Awang, pihak Institut Islam Hadhari UKM, dan pihak UKM sendiri, atas segala nasihat, tunjuk ajar, kepercayaan, harapan dan sokongan yang diberikan. Tidak dilupakan kepada pihak Madrasah Tahfiz al-Qur’an at-Tanwiriah sendiri. Hanya doa yang mampu saya titipkan untuk kalian, semoga apa kebaikan yang dilakukan, akan dibalas oleh Allah SWT dengan sebaik-baik balasan. Di kesempatan yang ada, saya juga ingin memohon maaf jika ada kekurangan atau ketelanjuran dalam tindakan, harapan yang tidak dipenuhi dan seumpamanya.

Akhir kalam, doakan saya berjaya dan dimudahkan segala urusan dalam menyempurnakan misi* ini... 


iLal liqa' wa fi amanillah... ツ 

Ahmad Faizuddin b. Ramli @ Faiz As-Syirazi 

...........................................


* Insha-Allah, saya akan bermusafir ke UK bagi menjalankan penyelidikan berkait jurusan yang diceburi. Jika ada sebarang urusan sepanjang tempoh tersebut (19/10/13 - 27/1/14), boleh berhubung dengan email faizassyirazi@gmail.com atau akaun fb 'official' faizfiddin. Wallahu'alam.

2 comments:

Kata-kata melambangkan akhlak dan peribadi kita...
Justeru, berhikmahlah dalam melaksanakannya (^ ^,)