Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
“Sesungguhnya perjuangan itu tidak mengenal erti penat & lelah. Demi Islam tercinta, ia perlu diteruskan. Semoga usaha untuk menyampaikan risalah Islam ini diterima Allah sebagai salah satu amal jariah semasa menghadap-Nya pada suatu hari yang pasti akan tiba..”
blog's design by faizassyirazi. Powered by Blogger.

Saturday 21 September 2013

Mahar Untuk Syurga

Pasti ada hikmahnya apabila 'terpaksa' melupakan seketika hasrat untuk menyambung entri dunyana wa dunyakum lalu, walaupun sudah hampir sebulan makalah tersebut disiapkan. Maklumlah, dalam fasa-fasa genting dan kritikal sebagai seorang pelajar, banyak perkara yang perlu disusun kembali dari sudut keutamaannya (awlawiyyat). Tanpa kefahaman yang jelas berkait dengan hal ini, boleh mengundang sikap 'menganaktirikan' gerak kerja tertentu, khususnya yang berkait dengan tarbiyyah dan dakwah. Sebagai meraikan suasana semasa ada baiknya dalam entri-entri 'terakhir' saya berkongsi secara ringkas mengenai suatu perkara yang disebut sebagai ujian.


Ujian Merupakan Tarbiyyah Yang Berterusan

Antara 'mahar' yang perlu dibayar untuk mendapat syurga di akhirat, adalah bersabar dan redha atas setiap ujian-Nya di dunia, baik dalam apa jua bentuk dan keadaan. Dalam al-Qur'an, Allah telah menjustifikasikan:

"Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayatNya." (Surah al-Baqarah 155-157)

Kerana itu, seorang Muslim itu perlu beriktikad, tiada suatu bentuk ujian yang dia terima, melainkan dia mampu menghadapinya, waima ia dilihat sebagai suatu yang sangat besar pada perspektif manusiawinya. Umpamanya kita lihat penderitaan yang dihadapi oleh umat Islam di Palestin yang bertahun lamanya hidup dalam penindasan dan kezaliman. Jauh dari sudut hari kita untuk menyatakan kesanggupan menggantikan tempat mereka. Bahkan kadang-kadang kita terfikir, kualiti iman bagaimanakah yang mereka miliki lantas tidak pernah terlintas untuk menyerah dari perjuangan. Kerana mereka mampulah, Allah memberikan ujian sedemikian kepada mereka. Setiap ujian ada indikatornya yang sendiri, sesuai dengan tahap iman seseorang.

Al-Qur'an dalam hal ini mengingatkan: 

“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya..” (Surah al-Baqarah 2:286). 


Tugas: Antara Hamba dan Tuhan

Tugas hamba hanya berikhtiar dan berusaha, dalam menyempurnakan sesebuah urusan. Setelah itu letakkanlah tahap thiqah dan tawakal yang tinggi kepada Allah kerana kerana segala yang kita rancang adalah tertakluk kepada perancangannya. 

Lazimnya kita sering berdoa dan bermunajat kepada-Nya untuk dimakbulkan segala hajat dan keperluan kita sebagai seorang hamba. Fitrahnya, apa yang kita lihat ia sebagai yang terbaik buat diri kita, pasti kita dambakan secepat mungkin ia terealisasi. 


Dalam hal ini, seharusnya kita menyedari bahawa apa yang baik pada pandangan manusia, belum tentu ia baik pada pandangan Allah, tetapi lazimnya bagi manusia yang kurang rasa sabar dan thiqah kepada Allah melihat ia sebagai suatu yang negatif. Sebagai hamba, adalah tidak wajar untuk bercita-cita melakukan tugas Tuhan dalam menentukan apa yang baik baik dan buruk berdasarkan perspektif mereka semata-mata.

Bukankah Dia telah berfirman,

“boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui” (Surah al-Baqarah 2:216). 

Demikian juga dinyatakan, 

“Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu..” (Surah al-Baqarah 2:185).

Perihal ujian, pernah Saad bin Abi Waqqas r.a bertanya kepada Rasulullah saw.: 

“Siapakah orang yang paling berat cubaannya?” Jawab baginda s.a.w, “Di antara orang-orang yang paling berat cubaannya ialah para nabi, kemudian mereka yang seumpama dan seterusnya. Seseorang itu diuji sesuai dengan kadar agamanya. Jika dia mempunyai kekuatan dalam agamanya, maka beratlah ujian yang diterimanya. Sekira agamanya lemah, tentu dia akan diuji sesuai dengan kadar agamanya. Ujian akan selalu datang menimpa seorang hamba selagi dia masih berpijak di atas bumi, dan sehingga tiada lagi kesalahan padanya." (HR al-Tirmidzi) 

Selagi mana kita menelusuri jalan-jalanNya dengan istiqamah, yakinlah bahawa Allah tidak pernah akan mempersia-siakan rintihan hamba-hambaNya, bahkan sengaja Dia kehendaki sedemikian kerana Dia suka mendengar hamba-hambaNya merintih. 

Hal ini mengingatkan saya kepada jawapan Imam Jaa’far al-Sadiq r.a, salah seorang dari tokoh Salaf al-Soleh ketika ditanya, “Adakah penderitaan orang mukmin kerana dosa-dosanya? 



Jawab beliau, “Tidak semestinya. Kadang-kadang Allah suka mendengar aduan dan doa-doa dari hamba-hamba-Nya dan sebagai balasannya Dia akan meningkatkan ganjaran kebaikan dan menghapuskan keburukan daripada dirinya dan menyediakan ganjaran di Hari Pengadilan kelak.” 

Perihal ujian juga, Ibn al-Qayyim dalam mensyarahkan ayat 15-17 dari surah al-Fajr, “Dan sebaliknya apabila dia diuji oleh Tuhannya, dengan disempitkan rezekinya, (dia tidak bersabar bahkan dia resah gelisah) serta mengeluh dengan katanya: Tuhanku telah menghinakan daku! Jangan demikian, (sebenarnya kata-kata kamu itu salah). Bahkan (perbuatan kamu wahai orang-orang yang hidup mewah, lebih salah lagi kerana) kamu tidak memuliakan anak yatim, (malah kamu menahan apa yang Dia berhak menerimanya). Dan kamu tidak menggalakkan untuk memberi makanan (yang berhak diterima oleh) orang miskin” menjelaskan, golongan pertama itu sebenarnya telah diuji dengan beberapa kenikmatan dan golongan yang kedua itu pula telah dimuliakan dengan diberinya cubaan dan ujian."

Akhir kalam, letakkan 100% tahap kesabaran dalam menempuhi bentuk tarbiyyah ini, dan tekadkan bahawa tiada suatu kepayahan dan kesulitan yang ditempuhi melainkan akan disusuli dengan kemudahan dan kejayaan, dan tiada suatu yang mustahil pada Allah realisasikan, biarpun ia mustahil pada pandangan manusia. Allah musta'an. Trust Him!


0 comments:

Post a Comment

Kata-kata melambangkan akhlak dan peribadi kita...
Justeru, berhikmahlah dalam melaksanakannya (^ ^,)