*Posting ini adalah dikhususkan kepada mereka yang bergelar ahli gerakan Islam sebagai satu peringatan & muhasabah bersama..
Sebagai seorang muslim terutamanya bagi mereka yang berintima’ dengan sesebuah gerakan Islam itu tentunya tidak asing lagi dengan ayat :
وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِنْ شَكَرْتُمْ لأزِيدَنَّكُمْ ۖ وَلَئِنْ كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ
“Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar Sesungguhnya azabKu amatlah keras". (Surah Ibrahim : 7)
Imam al-Thabari di dalam Tafsir al-Thabari berkenaan ayat ini menyebutkan, bersyukur di sini bermaksud kesyukuran kepada Tuhan iaitu dengan ketaatan kepadaNya. Menurut Imam Ibn Kathir di dalam Tafsir al-Qur’an al-‘Adzim, bersyukur dengan erti kata bersyukur di atas segala nikmat yang Allah SWT anugerahkan dan Dia berhak untuk menambahkan nikmat itu. Adapun jika kita mengkufuri nikmat-nikmat itu, maka azab dari Allah SWT akan tertimpa ke atas mereka yang mengkufuri nikmat itu. Demikianlah juga menurut para ulama’ tafsir seperti Imam al-Alusi di dalam Ruh al-Ma’ani fi Tafsir al-Qur’an al-‘Adzim wa Sab’ al-Mathani, Imam al-Baydhawi dalam Anwar al-Tanzil wa Asrar al-Ta’wil, Imam al-Suyuti dalam al-Dur al-Manthur fi Ta’wil bi al-Ma’thur.
Kufur
Kufur tidak semestinya jatuh kepada hukum kafir namun yang kafir itu sudah tentu jelas kekufurannya. Secara dasarnya, kufur terbahagi kepada dua iaitu kufur nikmat dan kufur hakikat. Kufur nikmat tidaklah sampai membawa kepada rosak akidah namun ianya boleh menjadi faktor penyumbang kepada kufur hakikat iaitu kufur dari sudut akidah dengan erti kata lain, wujudnya keyakinan dalam dirinya bahawa masih ada yang berkuasa selain Allah SWT ataupun dengan meyakini bahawa ada perkara yang lebih baik selain daripada apa yang diperintahkan oleh Allah SWT dan RasulNya.
"Barangsiapa yang meninggalkan Jama’ah sejengkal, matinya seperti matinya orang jahiliyah" (Muttafaqun alayh)
Dakwah dan gerakan
Berdakwah jika secara solo (infiradiyyah), hasilnya sudah pasti tidak sama sepertimana mereka yang mengambil pendekatan berdakwah secara bersama (jama’iyyah). Hal ini jelas jika kita telusuri sirah para Nabi SAW, bahawa usaha yang Nabi SAW buat untuk menyampaikan Islam adalah dengan membentuk gerakan-gerakan kecil dan di situlah Nabi SAW menyampaikan ajaran Islam. Kesannya, Islam itu berkembang begitu hebat pada hari ini walaupun permulaannya amat sedikit yang mengikutinya.
Al-Quran sendiri menyeru kepada kesatuan di dalam melakukan perkara yang kebaikan yang bersifat ‘ubudiyyah mengajak manusia itu kembali mengabdikan diri kepada Allah SWT serta melarang untuk bertolong-tolongan dengan perkara yang bersifat mungkar. Firman Allah SWT :
وتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ
"Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pergaduhan" (Surah al-Ma’idah:2).
Metodologi dalam sesebuah organisasi atau gerakan dakwah itu juga kita boleh lihat di dalam firmanNya :
إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِهِ صَفًّا كَأَنَّهُمْ بُنْيَانٌ مَرْصُوصٌ
“Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berperang dijalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun rapi" (Surah al-Soft:4).
Nabi s.a.w. juga bersabda:
عليكم بالجماعة و إياكم و الفرقة ، فإن الشيطان مع الواحد ، و هو من الاثنين أبعد ، من أراد بحبوحة الجنة فليلزم الجماعة
"Hendaklah kamu semua elakkan dari perpecahan dan kamu semua hendaklah bersama jammah. Sesungguhnya syaitan akan bersama dengan seorang yang berseorangan dan menjauhkan diri daripada orang yang berdua. Dan sesiapa inginkan hidup di tengah syurga maka ia hendaklah bersama jama'ah."
Sabdanya lagi :
يد الله مع الجماعة
"Tangan (kekuatan) Allah bersama jamaah"
Dalam sabdanya yang lain :
انا امركم بخمس الله تعالي امرني بهن :بالجماعة و السمع , و الطاعة , , و الهجرة , والجهاد فى سبيل الله. فان من فارق الجماعة قيد شبر فقد خلع ربقة الاسلام من عنقه الا ان يراجع فقالوا يا رسوالله : و ان صام و صلي ؟ قال :”و ان قام و صلي وزعم انه مسلم
"Aku menyuruh kamu dengan lima perkara di mana Allah menyuruh aku dengan lima perkara tadi: Bersama jamaah,dengar dan patuh ,berhijrah dan berjihad di jalan Allah.Maka sesungguhnya sesiapa yang keluar meninggalkan jamaah kadar sejengkal maka ia telah mencabut ikatan islam dari tengkoknya sehinggalah ia kembali semula(bersama jamaah).Mereka (sahabat)berkata:Wahai Rasulullah s.a.w. sekalipun orang itu bersembahyabg dan berpuasa? Baginda bersabda. Sekalipun mereka bersembahyang dan berpuasa dan beranggapan ianya seorang muslim."
Keadaan Islam pada akhir zaman yang mengakibatkan ramai yang 'melepaskan' taklifan ini dan sanggup berhadapan dengan Allah SWT untuk menjawabnya kelak
Fitan dalam gerakan dakwah
Seseorang yang terlibat dengan mana-mana organisasi dakwah pastinya mendakwa bahawa mereka itu mahu menyampaikan dakwah itu kepada masyarakat umum khususnya. Begitu juga dengan semangat mahu mengislamisasikan suasana dipersekitarannya. Namun semangat ini tidak dapat menjamin seseorang itu untuk dia terus memberi komitmen mahupun bersama-sama dalam gerakan itu kerana hati manusia itu bersifat terdedah kepada sebarang perubahan. Sebab itu kita sering berdoa, “Wahai Tuhan yang Maha Membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami dalam memperjuangkan agamaMu ini.”
Seorang da’ie atau Rijal al-Dakwah itu sudah pasti boleh ditimpa fitnah dan antara sebabnya kerana dia itu KUFUR terhadap nikmat yang Allah SWT anugerahkan kepadaNya. Jika dahulu dia tidak mempunyai kelapangan masa atau kesihatan untuk bersama-sama turut serta dalam menjalankan misi dakwah ini namun apabila dia dipinjamkan Allah SWT akan nikmat-nikmat itu, sikapnya tetap sama. 1001 alasan boleh diberi jika dihadapan manusia dengan harapan orang akan berhusnuzan kepada diri kita namun apabila berada di hadapan Allah kelak, maka disitulah tersingkap ukurannya sebenar.
Seseorang yang dahulunya aktif dan sentiasa memberi komitmen dalam menjayakan usaha-usaha dakwah kepada masyarakat namun berubah samada sedikit atau ketara disebabkan faktor-faktor tertentu dinamakan sebagai al-Mutasaqitun (orang-orang yang tercicir). Menurut al-Syaikh Dr. Fathi Yakan rahimahummahu taala di dalam kitabnya al-Mutasaqitun ala Tariq al-Dakwah, gejala keguguran dari jalan dakwah adalah merupakan gejala umum, besar dan berulang-ulang. Ianya berlaku di mana-mana sahaja. Seorang yang dulunya aktif, hebat dan bertanggungjawab tiba-tiba hilang begitu sahaja. Ada di antara mereka yang meninggalkan kerja dakwah tetapi tidak meninggalkan Islam. Ada pula yang meninggalkan dakwah dan Islam sekaligus. Al-Syaikh Dr. Fathi Yakan membahagikan bahawa, terdapat dua faktor iaitu faktor dalaman dan luaran yang menyumbang kepada kewujudan golongan. Antara faktor dalamannya adalah seperti berikut :
1. Tarbiyyah lemah
Lemahnya tarbiyyah terutamanya bagi para pimpinan yang sepatutnya berakhlak Islam dan segala kerja terikat dengan Allah, ikhlas semata-mata kerana Allah. Hubungan anggota dengan harakah hendaklah berasaskan hubungannya dengan Allah dan Islam. Mereka tidak boleh lari dari suasana iman, tarbiyyah dan kerohanian. Walau sesibuk mana pun setiap anggota jamaah samada peringkat bawahan atau pimpinan, mereka itu wajib mengikuti program tarbiyyah.
Sudah menjadi lumrah, setiap orang pasti mempunyai pandangan dan pemikiran-pemikiran yang tersendiri apatah lagi jika dia merupakan seorang mahasiswa yang pastinya akan cuba membawa pemikirannya yang tersendiri. Hal ini bagaimanapun ada batasannya kerana sesuatu pemikiran itu sama dari kalangan para pimpinan itu boleh ditolak dan begitu juga dengan ahli-ahli yang lain. Hal ini bertepatan sepertimanaa yang dinyatakan oleh al-Syahid Imam Hasan al-Banna rahimahullah di dalam Usul ‘Isyrin :
“Perkataan seseorang boleh diterima atau ditolak, kecuali perkataan Rasulullah (s.a.w) yang bersifat maksum. Perkataan para salihin yang dahulu (salaf soleh) mesti kita terima jika bersesuaian dengan Al-Quran dan hadith. Jika tidak, maka Al-Quran dan Hadithlah ikutan kita yang utama, tetapi kita tidak melemparkan kecaman dan mencacatkan seseorang dalam masalah khilafiah.”
Seseorang yang mencapai tahap senior atau ‘orang lama’ dalam sesebuah gerakan itu, tidak terlepas daripada menjalani proses tarbiyyah. Perlu diingatkan, tarbiyah dan ta’lim merupakan perkara yang berbeza walaupun secara zahirnya seolah-olah sama. Hal ini bersamaan dengan perbezaan peranan antara seorang guru (mu’allim) dan seorang murabbi. Seorang mu’allim tugasnya hanyalah sekadar untuk menyampaikan ilmu kepada para pelajarnya dan seterusnya terpulang atas usaha dan inisiaitif dari pelajar itu sendiri untuk berjaya. Adapun seorang murabbi, peranannya bukan sekadar mendidik mutarabbinya (orang yang ditarbiyyah) semata-mata, namun dia juga berperanan penuh dalam memastikan mutarabbinya menjadi seorang Muslim yang baik dalam segala perkara.
2. Penyerahan taklifan kepada yang bukan ‘ahlinya’
Meletakkan anggota jamaah di tempat yang tidak sesuai tanpa mengambil kira keupayaan, kecenderungan, kebolehan, kelemahan dan kekurangan anggota. Ini mestilah diambil kira untuk semua bidang samada tarbiyyah, politik, ekonomi atau riyadah.
Hal ini tidaklah bermaksud seseorang itu boleh melepas diri begitu sahaja dengan memberi alasan bahawa dia tidak mampu untuk memikul sesuatu taklifan itu walaupun setelah diterangkan dan diajar oleh orang lain. Perkara sebegini bergantung kepada keikhlasan seseorang itu di dalam menjayakan misi dakwah dengan erti kata jika dia masih tidak tahu atau kurang faham, dia tetap berusaha dari semasa untuk mempertingkatkan kemahirannya dalam sesuatu bidang itu. Sebagai contoh, seseorang yang mengambil subjek Pengajian Islam tidak boleh menjadikan alasan bahawa dia tahu untuk mengendalikan tugasan teknikal dan mereka yang berkecimpung dalam bidang sains lansung tidak boleh bercakap dalam soal agama.
3. Tiada pembahagian gerak kerja yang baik
Pengagihan kerja hendaklah betul dan tidak tertumpu pada sekumpulan kecil sahaja, manakala sebahagian besar yang lain tidak ada kerja dakwah. Ini mengakibatkan hubungan anggota dengan jamaah dan hubungan anggota dengan anggota menjadi lemah. Akhirnya berlakulah kelemahan, keciciran dan seterusnya membawa kepada keguguran.
Sesebuah organisasi yang baik, tidak akan meletakkan kesemua tugasan atau gerak kerja hanya kepada individu tertentu tanpa mengambil kira kemampuan individu tersebut walhal tugasan itu bersifat khusus (sudah ditetapkan kepada yang sepatutnya). Sekurang-kurangnya jika mahu bertindak sedemikian, perlulah ada gerak kerja bersama (amal jama’ie) dan bukan ‘menyeksa’ pihak lain sehingga menyebabkan wujudnya tekanan dalam dirinya dan akhirnya hatinya mati dan serik dalam perjuangan.
4. Tidak ambil berat keadaan ahli
Setiap orang pasti ada masalahnya tersendiri samada masalah peribadi, keluarga, kewangan, peribadi dan sebagainya. Oleh itu hubungan anggota mestilah berdasarkan kerohanian iaitu taaruf, tafahum dan takaful mestilah wujud.
Antara punca wujudnya jurang antara para pimpinan dan ahli adalah disebabkan ‘masalah hati’ yang mana masing-masing ego dan tidak mahu bertolak ansur dalam sesuatu perkara. Apakah mereka itu lupa bahawa mereka itu sebenarnya berada dalam sebuah gerakan Islam yang mahu menyampaikan dakwah kepada masyarakat? Maka selepas itu wujudlah simptom-simptom seperti ‘buat bodoh’ dan lansung tidak bertegur sapa walau seukir senyuman sekalipun tidak dilemparkan. Perkara sebegini seolah-olahnya telah membelakangkan prinsip dan dasar perjuangan Islam itu semata-mata kerana kita mahu memenangkan perasaan kita terhadap orang lain. Hal ini tidak akan selesai jika masing-masing saling menyalahkan antara satu sama lain dan lebih teruk lagi, wujudnya pertengkaran yang bersifat tidak ilmiah. Tidak komitmennya ahli dalam gerak kerja haraki seharusnya tidak ditunding kesalahannya kepada ahli 100% sebaliknya pimpina perlu menanyakan diri mereka sejauh mana mereka membina hubungan yang baik dengan ahli yang berada di bawah. Jika program anjuran ahli sendiri para pemimpin pandang sebelah mata sahaja, mahu terlibat sama pun payah, maka pimpinan itu tidak berhak dan layak untuk menyalahkan ahlinya jika mereka juga bertindak serupa.
Sewajarnya para pimpinan perlu menunjukkan sikap keterbukaan mereka demi memastikan segala permasalahan dalam sesebuah organisasi itu tidak memberi kesan kepada gerak kerja dakwah. Para pimpinan juga perlu mengenalpasti ahlinya bagaimana bukan hanya tahu mengarah semata-mata namun jauh sekali untuk membina hubungan atas dasas ukhwah Islamiyyah. Begitu hehebatnya Ukhwah Islamiyyah ini sehingga ianya ditempatkan oleh Abdullah Nasir Ulwan sebagai nikmat ketiga selepas nikmat Iman dan Islam. Dengan ukhwah pastinya mampu membantu mewujudkan sifat redha dan ikhlas di dalam perlaksaan sesuatu gerak kerja.
5. Tidak menyelesaikan masalah yang timbul dengan segera.
Masalah yang dipendam akhirnya menjadi bertimbun, bercabang-cabang dan melahirkan pula masalah baru yang lain. Ini adalah disebabkan kerana kelemahan pucuk pimpinan, kelemahan pentadbiran dan terlalu besar atau luasnya program amal dakwah.
6. Banyaknya pertikaian dalaman.
6. Banyaknya pertikaian dalaman.
Pertikaian dalaman amatlah bahaya dalam sesebuah organisasi gerakan itu sehingga mengakibatkan rosaknya hubungan anggota dengan pimpinan mahupun dikalangan ahli yang lain, disamping kerja dakwah akan terbengkalai dan timbul campurtangan luar, seterusnya membawa kepada ihdam al-jamaah (kehancuran jama'ah). Puncanya adalah :
i- Kelemahan pemimpin untuk memimpin.
ii- Campurtangan pihak luar
iii- Berebut jawatan
iv- Tidak iltizam dengan dasar dan keputusan jamaah
v- Kerja tak ada menyebabkan ahli tidak berkembang
Bersambung dalam siri kedua..
i- Kelemahan pemimpin untuk memimpin.
ii- Campurtangan pihak luar
iii- Berebut jawatan
iv- Tidak iltizam dengan dasar dan keputusan jamaah
v- Kerja tak ada menyebabkan ahli tidak berkembang
Bersambung dalam siri kedua..
Wallahu'alam.
(^_^)...p'kongsian y b'gna..syukran,
ReplyDelete