Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
“Sesungguhnya perjuangan itu tidak mengenal erti penat & lelah. Demi Islam tercinta, ia perlu diteruskan. Semoga usaha untuk menyampaikan risalah Islam ini diterima Allah sebagai salah satu amal jariah semasa menghadap-Nya pada suatu hari yang pasti akan tiba..”
blog's design by faizassyirazi. Powered by Blogger.

Tuesday 31 August 2010

Fitan dalam harakah Islamiyyah II




Pada sesi posting yang lepas, penulis telah mengemukakan beberapa faktor dalaman dalam sesebuah harakah Islamiah yang menjadi 'fitan' dalam sesebuah gerakan sepertimana di yang digariskan oleh al-Marhum Ustaz Fathi Yakan. Adapun faktor dalaman seperti kelemahan individu itu juga perlu diberi perhatian. Antaranya adalah :

1. Pendirian tidak tetap dan berminat kepada sesebuah gerakan itu bukan berasaskan kefahaman yang sahih.

Islam merupakan agama yang didasari dengan ilmu dan kefahaman dan bukan agama taklid buta semata-mata. Seseorang yang melakukan ibadat berdasarkan kefahaman darjatnya berbeza dengan mereka yang beribadat berdasarkan ikut-ikutan. Kefahaman yang sahih terhadap sesuatu perkara itu hanya mampu dicapai dengan wujudnya usaha yang bersungguh-sungguh serta niat yang ikhlas kerana Allah SWT.

Individu yang ‘faham’ tidak akan sekali-kali mengabaikan tanggungjawabnya terhadap sesebuah gerakan dakwah tersebut walaupun di sana dia masih memiliki tugasan-tugasan yang lain sebagai seorang pelajar, pimpinan dan sebagainya. Kefahaman tidak akan wujud jika sikap individu itu jarang menghadiri majlis-majlis ilmu atau liqa’ jama’ie sebaliknya menyibukkan dirinya dengan hal yang tidak sepatutnya. Al-Marhum al-Syaikh Sayyid Hawa sangat memberi penekanan bahawa pentingnya bagi seorang dai’e atau ahli kepada gerakan Islam itu untuk menghadiri majlis ilmu sebegini. Menurut beliau :

“Sesiapa yang tidak hadir di dalam liqa’ jama’ie hanya kerana kepentingan khassah (tertentu yang bersifat peribadi) maka dia itu berdosa melainkan ketika itu dia terlibat dengan kerja gerakan Islam”.

Ungkapan yang dikemukakan oleh Sayyid Hawa pastinya disandarkan dengan nas-nas yang berkaitan kewajiban bersama-sama dalam jama’ah berdasarkan konsepnya yang sebenar bukan sekadar nama sahaja. Dalam Islam, seseorang yang berterusan sentiasa berada di dalam keadaan dosa (enggan bertaubat) dan selalu melakukan dosa kecil dikatogerikan sebagai muslim yang faasiq. Wa’iyyazubillah min zalik. Cukup mudah bagi kita jika mahu mengelakkan diri daripada melaksanakan tanggungjawab kita sebagai seorang khadam dakwah. Apabila tibanya seruan untuk ke program bersifat jama’ah, maka ketika itulah munculnya sakit kepala, banyak assignment, ada komitmen lain dan 1001 alasan dikemukakan hanya semata-mata mahu mengelakkan diri. Sikap sebegini adalah merupakan sikap golongan munafiq yang ditempelak oleh Allah SWT di dalam al-Qur’an. FirmanNya :

Terjemahan : “Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa apabila dikatakan kepada kamu: "Pergilah berperang pada jalan Allah", kamu merasa berat (dan suka tinggal menikmati kesenangan) di tempat (masing-masing)? Adakah kamu lebih sukakan kehidupan dunia melebihi akhirat? (Kesukaan kamu itu salah) kerana kesenangan hidup di dunia ini hanya sedikit jua berbanding dengan (kesenangan hidup) di akhirat kelak. Jika kamu tidak pergi berperang pada jalan Allah (membela agamaNya), Allah akan menyeksa kamu dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya.” (Surah al-Tawbah :38-39)

Keadaan mukmin yang keluar berjihad darjatnya jauh lebih mulia dari mereka yang sekadar duduk semata-mata :

Terjemahan : “Tidaklah sama keadaan orang-orang yang duduk (tidak turut berperang) dari kalangan orang-orang yang beriman selain daripada orang-orang yang ada keuzuran dengan orang-orang yang berjihad (berjuang) pada jalan Allah (untuk membela Islam) dengan harta dan jiwanya. Allah melebihkan orang-orang yang berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka berbanding dengan orang-orang yang tinggal duduk (tidak turut berperang kerana uzur) dengan kelebihan satu darjat dan tiap-tiap satu (dari dua golongan itu) Allah menjanjikan dengan balasan yang baik (Syurga) dan Allah melebihkan orang-orang yang berjuang atas orang-orang yang tinggal duduk (tidak turut berperang dan tidak ada sesuatu uzur) dengan pahala yang amat besar.” (Surah al-Nisa’ : 95)

Apabila ditanya “apakah kamu kasih kepada Allah SWT dan Rasul,” jawaban yang diberi hanyalah “ya”. Namun dalam lubuk hati mereka jauh sekali untuk menghidupkan sunnah Rasul dalam mengembangkan syi’ar Islam. Nabi SAW ketika mana dihalau oleh kaum musyrikin Arab Thaif, Baginda SAW membawa dirinya ke sebuah kebun anggur. Pada keadaan Baginda SAW yang berlumuran darah akibat dilempar batu, Baginda di datangi oleh Addas, hamba kepada Utbah b. Rabi’ah. Tuan kepada kebun tersebut merasa kasihan kepada baginda SAW lalu menyuruh pembantunya mengambil setangkai anggur untuk diberikan kepada orang itu." Adas pun melaksanakan perintah tersebut dan datang ke hadapan Rasulullah seraya berkata, "Silakan makan." Rasul menerima anggur tersebut, lalu memetiknya, setelah itu membaca "bismillahirrahmanirrahim" dan memakannya. Mendengar bacaan itu, Adas terperanjat dan memandang Rasulullah dengan hairan. "Demi Allah, ucapan ini bukanlah ucapan penduduk negeri ini." Rasulullah berkata, "Wahai Adas, kamu berasal dari mana dan apa agamamu?" Adas menjawab, "Saya beragama Nasrani, saya dari negeri Ninawai." Rasulullah bertanya, "Apakah dari negerinya Yunus bin Matta, hamba Allah yang shalih itu?" Adas berkata, "Apa yang Anda ketahui tentang Yunus bin Matta?" Rasulullah menjawab, "Dia adalah nabi dan saya juga seorang nabi." Mendengar jawaban itu, Adas langsung memeluk Nabi dan seterusnya menjadi seorang Muslim.

Perhatikan, Nabi SAW dalam keadaan sakit dan lemah masih lagi berusaha untuk menyampaikan dakwah kepada manusia tanpa mengira apa jua kondisi yang baginda hadapi selagi mana kudrat yang Allah berikan kepada baginda untuk bergerak, baginda tidak pernah mempersiakannya apatah lagi untuk mengkufurinya. Bagaimanakah layak kita mengatakan bahawa kita tiada masa untuk menyampaikan dakwah kepada masyarakat atau tidak pernah berkesempatan untuk mengikuti program yang dianjurkan oleh jama’ah Islam itu. Hanya kerana kita ada tugasan peribadi yang lebih penting dari yang lain? Seharusnya kita perlu cerdik dalam hal ini dengan mengambil kira faktor awlawiyyat di dalam sesuatu perkara.

“Kita adalah pendakwah dan bukan penghukum”

2. Sambil lewa dalam mengerjakan suruhan.

Sikap mengambil mudah dan sambil lewa dalam mengerjakan perintah Allah dan hukum-hakam akan membawa kepada bermudah dalam semua perkara. Seorang yang bergelar ahli gerakan Islam samada dari tanzim kecil mahupun besar seharusnya menjauhi sikap sebegini. Perintah wajib dari Allah SWT sepatutnya dilaksanakan tanpa adanya sebarang penangguhan dengan perkara-perkara yang tidak sepatutnya sebagai contoh, kita ber one-line sehingga melewatkan waktu solat fardhu.

Bagi ahli gerakan yang baik, akan berusaha meninggalkan segala perkara yang lansung tidak dapat memberi maslahat kepada dirinya dan Islam. Jauh dari diri mereka itu untuk melakukan perkara-perkara yang lagha seperti menonton movie yang tidak berfaedah, berfacebook tanpa arah tujuan, berbual kosong dan sebagainya. Sepatutnya masa sebegini dipenuhi dengan mengisi thaqafah di dalam diri mereka supaya menjadi Muslim yang haraki dan bukan yang fiqhi semata-mata.

“Sebahagian dari keindahan Islam seseorang itu adalah dengan dia meninggalkan segala perkara yang tidak mendatangkan faedah bagi dirinya” (Muttafaqun alayh)

3. Takut risiko ke atas diri dan rezeki (ekonomi).

“Syeikh, ana tidak mahu kena pecat dengan ana punya bos.. nanti, kereta, rumah ana kene tarik siapa yang mahu bagi anak bini ana makan syeikh.”

“Ana sebenarnya bukan tak mahu buat kerja-kerja dakwah ni, ana ada banyak kerja lain nak dibuat. Studi pun belum mula lagi. Alaa.. lagipun kan ada orang lain yang sanggup.”

“Itulah kau, aktif sangat. beقdakwah sangat la konon.. kan result dah drop..”

Ucapan-ucapan sebegini, hanya akan lahir dalam pemikiran yang dangkal akan konsep amal Islami sekaligus dia menafikan keyakinannya terhadap kebenaran Islam itu. Firman Allah SWT :

“Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu tolong agama Allah nescaya Allah akan menolong kamu dan meneguhkan pendirian kamu” (Surah Muhammad : 7)

Seseorang yang memahami apa itu tadhiyyah dan di dalam hatinya ikhlas melakukan amal islami, pasti tidak akan mempunyai pemikiran sebegini. Jika ada sekalipun, pasti dia akan segera memperbetulkan kembali niat dan tindakannya itu. Realitinya, tidak pernah seseorang yang buat kerja-kerja dakwah ini gagal di dalam kehidupan. Jika ada sekalipun, ianya pasti merupakan ujian daripada Allah SWT kepada hambaNya. Dalam al-Sunnah sendiri, Nabi SAW bersabda yang bermaksud,

“ Sesungguhnya pada badanmu ada hak, pada isterimu ada, pada keluargamu ada hak, maka penuhilah (jaga) hak-hak itu”

Lalu bagaimana boleh wujud pemikiran yang sempit seperti di atas sedangkan selagi mana kita menunaikan tanggungjawab kita dengan sempurna, sudah pasti tiada apa di hadapan kita melainkan kejayaan semata-mata samada di dunia mahupun di akhirat kelak. Sifat wahan bagaimanapun tetap boleh wujud di dalam hati seseorang itu jika dia bersikap pesimis dalam melakukan gerak kerja.

4. Terperdaya dengan kedudukan dan menonjol diri - merosakkan diri dan pahala amalan.

Gejala sebegini kebanyakannya wujud di dalam diri seseorang yang mempunyai kelebihan berbanding dengan orang lain terutamanya di kalangan pimpinan sesebuah tanzim (organisasi) itu.



Dalam hal ini, al-Syaikh Dr. Farid Ansari seorang ulama’ haraki di Maroco pernah menuliskan di dalam kitabnya, al-Akhta’ al-Sittah li al-Harakah al-Islamiyyah bi al-Maghrib : Inhiraf Istasna’ie fi al-Fakr wa al-Mumarasah ( Enam Kekeliruan Gerakan Islam di Maroko, Penyimpangan Pemberhalaan Pemikiran dan Praktikal ) mengenai fenomena pemberhalaan qiyadah (kepimpinan). Menurutnya :

“Sesungguhnya fenomena pemberhalaan qiyadah itu hampir terjadi di semua gerakan Islam, baik yang menamakan dirinya gerakan Islam maupun tidak. Fenomena pemberhalaan Qiyadah/Pemimpin itu terjadi setelah kehilangan qiyadah yang berilmu, konsisten dengan risalah Rabbaniyyah dan cerdik. Akibatnya, tokoh yang kurang ilmunya dalam memimpin amal Islam ini bermula dari yang tertinggi, pertengahan sehinggalah keperingkat yang paling bawah. Hal tersebut menyebabkan munculnya pemberhalaan para Qiyadah sehingga pentunjuk jalan harakah (amal dakwah) hanya berdasarkan kecenderungan dan perwatakan mereka semata-mata, bukan berdasarkan kaedah-kaedah Ilmu dan skala awlawiyyah syar’iyyah (keutamaan syara’). Di antara fenomenanya, adalah egoistik tanzim dalam jamaah Islam semakin membesar."

Kuat dan lemahnya sesebuah gerakan Islam itu secara realtinya adalah berpunca daripada faktor-faktor dalaman walaupun di sana adanya faktor-faktor luaran yang pastinya boleh di atasi jika keutuhan dan kekuatan dalam tanzim tersebut terbina. Para pimpinan mahupun ahli seharusnya (baca : wajib) bekerjasama di dalam membangunkan dan menggerakan sesebuah gerakan itu terutamanya dalam sektor tarbiyyah, dakwah dan siasah.

“Islam itu tidak tertegak dengan kemudahan sebaliknya dengan keazaman dan usaha yang gigih daripada setiap rijal al-Dakwah samada dari kalangan pimpinan mahupun ahli”

Wallahu’alam.

1 comments:

Kata-kata melambangkan akhlak dan peribadi kita...
Justeru, berhikmahlah dalam melaksanakannya (^ ^,)