Kemenangan Yang Hampir

Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu kemenangan yang nyata (Surah al-Fath 48:1)

Memaknai Hidup Dengan Perjuangan

Jadilah penolong-penolong agama Allah dalam menegakkan agamaNya di muka bumi ini

Kalam Murabbi

Amanat Untuk Pemuda dan Pemudi

Kesatuan Ummah

Kemudian jika kamu berselisih tentang sesuatu perkara, maka kembalilah kepada Allah dan Rasul (Surah An-Nisa’4:59)

Pedulisme dan Faham

Barangsiapa tidak mengambil berat tentang urusan umat Islam, maka bukanlah mereka daripada kalangannya (HR al-Bukhari)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
“Sesungguhnya perjuangan itu tidak mengenal erti penat & lelah. Demi Islam tercinta, ia perlu diteruskan. Semoga usaha untuk menyampaikan risalah Islam ini diterima Allah sebagai salah satu amal jariah semasa menghadap-Nya pada suatu hari yang pasti akan tiba..”
blog's design by faizassyirazi. Powered by Blogger.

Saturday, 15 June 2013

Uzlah: Tinjauan Dari Perspektif Ulama dan Intelektual Haraki | Siri iii

... sambungan dari Siri II


2-Berpandu kepada sikap al uzlah yang pernah dilakukan oleh sebahagian golongan salaf tanpa memahami tentang suasana yang mendorong mereka berbuat demikian.

Kadangkala perbuatan al-Uzlah dipengaruhi oleh perbuatan tertentu para Nabi dan Rasul serta sebahagian golongan salaf. Mereka disalahfaham dengan mengutamakan hidup beruzlah dari mencampuri dan bergaul dengan jamaah. Asasnya dapat diperhatikan kepada perkataan Nabi Ibrahim a.s kepada kaumnya seperti yang disebut di dalam al-Quran:

وأَعْتَزِلُكُمْ وَمَا تَدْعُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ

“Dan aku akan menjauhkan diri darimu dan dari apa yang kamu seru selain Allah” (Surah Maryam 48)

Adapun faktor yang mendorong Nabi Ibrahim a.s. berbuat demikian adalah kerana melaksanakan program perubahan dan pemulihan. Apabila ia mendapati kaumnya masih bertegas untuk terus berada di dalam kekufuran, di mana ia begitu berbahaya dan dibimbangi akan berlaku fitnah kepada agama, maka baginda terus meninggalkan mereka dan memencilkan diri. Ia bagaimanapun dalam tempoh tertentu dan bukan bersifat selama-lamanya. Kerana itu baginda a.s mencari alternatif dan mekanisme lain dalam membawa mereka kepada Islam.

Dikalangan Salaf Tabi’in, Fudhayl b. Iyad umpamanya pernah mengambil jalan untuk beruzlah daripada perjuangan dan menumpukan hanya kepada ibadatnya sahaja. Melihat kepada sikap beliau, Imam al-Qudwah Abdullah Ibn Mubarak menegurnya dalam syairnya yang masyhur. Ujar beliau:

يا عابدَ الحرمين لو أبصرتْـَنا ... لعلمتَ أنَّكَ في العبادةِ تلعبُ
مَنْ كانَ يخضبُ خدَّه بدموعِه ... فنحورنُـا بدمـائِنا تَتَخْضَبُ
أوكان يتعبُ خيله في بـاطل ... فخيـولنا يوم الصبيحة تتعبُ
ريحُ العبيرٍ لكم ونحنُ عبيرُنا ... رَهَجُ السنابكِ والغبارُ الأطيبُ
ولقد أتـانا مـن مقالِ نبيِنا ... قولٌ صحيحٌ صادقٌ لا يَكذبُ
لا يستوي غبـارُ أهلِ الله في ... أنفِ أمرئٍ ودخانُ نارٍ تَلهبُ
هذا كتابُ الله ينـطقُ بيننا ... ليسَ الشهيدُ بميـتٍ لا يكذبُ

Wahai para ahli ibadah di al-Haramayn ... Kalau kamu menyaksikan kami.. Nescaya kamu akan mengetahui bahawa sesungguhnya kamu bermain-main dalam ibadah.. Kalau orang-orang membasahi pipinya dengan air mata yang mengalir deras.. Maka dengan pengorbanan kami.. Kami mengalirkan darah yang lebih deras.. Kalau kuda-kuda orang kepenatan dalam perkara batil.. Sesungguhnya kuda-kuda kami penat.. Dalam melakukan serangan dan peperangan.. Bau wangi-wangian menjadi milikmu.. Sedangkan bau wangi-wangian kami adalah debu-debu jalanan.. Telah datang kepada kami sabda nabi.. Sabda yang benar jujur dan tidak bohong.. Tidak sama debu kuda-kuda Allah.. Di hidung seseorang dan asap yang menyala-nyala.. Inilah kitab Allah yang berbicara kepada kami.. Bahawa orang mati syahid tidak diragukan lagi.. Tidak sama dengan orang mati biasa...

Teguran tersebut memberikan kesan yang mendalam kepada Fudhayl b. Iyad dan akhirnya membawa kepada perubahan drastik dalam dirinya. Kisah tersebut boleh telah dicatatkan oleh Ibn Asakir di dalam Tarikh Dimasyq beliau. Sesungguhnya mana-mana aktivis Islam yang membaca tentang al-Uzlah yang pernah dilakukan oleh tokoh-tokoh tadi, tanpa mengambil kira suasana dan keadaan yang mereka hadapi sudah pasti akan mendorong melakukan perbuatan yang menyerupai mereka. Tindakan demikian sudah tentu akan melibatkan diri mereka dengan beruzlah yang pasti jauh dari suasana jamaah, sekali pun perbuatan itu tidak ada tabrirnya (tidak ada justifikasinya).


3-Beranggapan bahawa hidup berjamaah akan menghilangkan kewibawaan individu dan menjejaskan keperibadian.

Dalam masa yang sama ia juga melupai tentang manhaj al islam dalam mengimbangi di antara kepentingan individu dan kepentingan jamaah. Kadang kala sebab yang mendorong seseorang aktivis Islam tu kepada perlakuan uzlah ialah kerana ia beranggapan dengan peryertaan dalam jamaah ,maka kewibawaan dirinya akan hilang dan ketokohannya juga terjejas. Dia akan jadi pak turut, kalau orang ramai baik dia akan baik sebaliknya kalau mereka jahat dia akaan jahat dan dia melupai pertimbangaan tentang kepentingan individu dan kepentingan jamaah.

Manhaj islam sebenarnya berperanan menyeru setiap individu agar berada di dalam jamaah dan dia hendaklah terus berada di bawah naungan jamaah, seperti yang telah diterangkan sebelum ini. Selain dari itu hendaklah ditegaskan kepada setiap anggota jamaah bahawa mereka bertanggungjawab sepenuhnya ke atas setiap tindakan yang dilakukannya sendiri. Ayat berikut hendaklah dinyatakan kepada mereka:

وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَى
“Dan orang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain” (Surah Fathir : 18)

كُلُّ نَفْسٍ بِمَا كَسَبَتْ رَهِينَةٌ
“Tiap-tiap diri bertanggung jawab atas apa yang telah diperbuatnya” (Surah al-Muddathir : 38)

لَا تَجْزِي نَفْسٌ عَنْ نَفْسٍ شَيْئًا
“Seseorang tidak dapat membela orang lain, walau sedikitpun” (Surah al-Baqarah : 48)

بَلِ الْإِنْسَانُ عَلَى نَفْسِهِ بَصِيرَةٌ  وَلَوْ أَلْقَى مَعَاذِيرَهُ
“Bahkan manusia itu menjadi saksi atas dirinya sendiri meskipun dia mengemukakan alasan-alasannya.”(Surah al-Qiyamah : 14-15)

وَإِنْ تَدْعُ مُثْقَلَةٌ إِلَى حِمْلِهَا لَا يُحْمَلْ مِنْهُ شَيْءٌ وَلَوْ كَانَ ذَا قُرْبَى
“Dan jika seseorang yang berat dosanya memanggil (orang lain) untuk memikul dosanya itu tiadalah akan dipikulkan untuknya sedikitpun meskipun (yang dipanggilnya itu) kaum kerabatnya” (Surah al-Fathir : 18)


Oleh yang demikian anggota jamaah adalah berkewajipan memberi nasihat kepada setiap jamaah dengan mengikut lunas-lunas, adab dan tatasusila tanpa mengambil kira setinggi mana pun kedudukan ahli yang dinasihati itu. Hadis Rasulullah SAW bersabda:

الدين النصيحة ، قلنا : لمن يا رسول الله ؟ قال : لله ، ولكتابه ، ولرسوله ، ولأئمة المسلمين وعامتهم

"Agama itu nasihat.” Kami bertanya, “Untuk siapa wahai Rosulullah?” Beliau menjawab, “Bagi Allah, kitabNya, dan rasulNya, dan bagi para pemimpin Islam, dan bagi muslimin umumnya."

Dalam Hadis yang lain baginda s.a.w bersabda:

المؤمن مرآة المؤمن و المؤمن أخو المؤمن يكف عليه ضيعته و يحوطه من ورائه

"Orang mukmin laksana cermin bagi mukmin yang lain (untuk membetulkan diri) orang mukmin adalah saudara bagi orang mukmin ,ia menjaga saudaranya dari kehilangan dan orang mukmin dijaga oleh rakan di belakangnya."

Para sahabat telah pun hidup bersama-sama Rasulullah s.a.w dan selepas kewafatan baginda, mereka telah hidup bersama-sama mereka.Sungguhpun demikian, kita tidak pernah mendapati walau  seorang pun dari mereka yang terjejas kewibawaannya kerana berada bersama jamaah. Apa yang kita lihat mereka sentiasa menghayati dan beramal dengan nasihat, syura, amar makruf dan nahi mungkar. Pernah di antara mereka berkata pada Umar: “Sekiranya kami mendapati engkau melakukan penyelewengan, maka kami akan betulkan engkau dengan pedang ini,”

Dengan cara dakwah yang demikian akan terbinalah entiti yang unggul dalam diri setiap muslim yang berketerampilan dan jelas sempadan serta panduan yang akan diikuti. Maka pada masa itu perasaannya akan sentiasa berada di dalam keadaan sedar dan berjaga-jaga atas apa yang menyentuhnya sekalipun jauh. Sesungguhnya anggapan sedemikian dan kelalaian tentang hakikat tadi pasti akan mengheret seseorang aktivis Islam kepada beruzlah, yang sudah semestinya ia dihinggapi oleh wabak yang begitu merbahaya.

to be continue..

Sunday, 9 June 2013

Uzlah: Tinjauan Dari Perspektif Ulama dan Intelektual Haraki | Siri ii

بسم الله.. والصلاة والسلام على رسول لله, وعلى آله ومن ولاه


Tiada sesiapa yang dapat menjamin sejauh mana thabatnya kita sepanjang melalui jalan-jalan dakwah itu melainkan hanya Allah SWT semata-mata menerusi azam dan tekad kita untuk terus bersama-sama dalam gerak kerja Islam.  Dr Sayyid Muhammad Nuh (1987) dalam Āfātun alā al-Ṭarīq menggariskan beberapa faktor penyebab kepada berlakunya gejala futur ini.


Faktor al-Uzlah atau al-Tafarrud

Terdapat beberapa sebab yang menjadikan seseorang itu bersikap al uzlah (mengasingkan diri), diantaranya:

1-Berpegang dengan sebahagian dari nas-nas syarie yang mengalakkan seseorang itu beruzlah, tanpa mengambil kira nas syarie yang lain yang mengalakkan kepada hidup berjamaah.

Memang terdapat sebahagian nas syarie yang memuji perbuatan uzlah bahkan ianya mengalakkan. Sabda Rasulullah S.a.w:

يُوشِكُ أَنْ يَكُونَ خَيْرُ مَالِ اَلْمُسْلِمِ غَنَمًا يَتبع بِهاِ شعف اَلْجِبَالِ وَمَوَاقِعَ اَلْقَطْرِ، يَفِرُّ بِدِينِهِ مِنْ اَلْفِتَنِ

Akan berlaku di mana sebaik-baik harta orang islam ialah kambing yang ia mengekorinya ke puncak bukit dan di tempat mengalirnya air sebagai laluan bagi mengelakkan agamanya dari fitnah.

Maksud hadis di atas sama dengan apa yang pernah dijawab oleh Nabi SAW kepada soalan yang dikemukakan pada baginda.

أي الناس أفضل؟ قال: {مؤمن يجاهد بنفسه وبماله في سبيل الله تعالى}، قال: ثم من ؟ قال: {ثم مؤمن في شعب من الشعاب يعبد الله، ويدع الناس من شره

"Yang mana satukah sebaik-baik manusia? Baginda SAW menjawab: lelaki yang berjuang di jalan Allah dengan harta dan dirinya . Orang  itu bertanya: Lepas itu siapa pula? Baginda menjawab: seseorang yang beriman yang tinggal terpencil di lereng-lereng bukit dengan menyembah Allah sebagai tuhannya dan meninggalkan manusia dari kejahatannya."

Maksud hadis yang sama telah diriwayat oleh Huzaifah bin al-Yaman di mana baginda SAW pernah bersabda:

فاعتزل تلك الفرق كلها، ولو أن تعض على أصل الشجرة حتى يدركك الموت وأنت على ذلك 

"Jauhkan diri kamu dari puak-puak itu kesemuannya sekalipun kamu terpaksa mengigit perdu kayu dengan gigi sehinggalah kamu mati dalam keadaan begitu"

Baginda Rasulullah s.a.w:

‏ من خير معاش الناس لهم رجل ممسك ‏‏ عنان ‏‏ فرسه في سبيل الله ‏ ‏يطير على متنه ‏ ‏كلما سمع ‏ ‏هيعة ‏ ‏أو ‏ ‏فزعة ‏ ‏طار عليه يبتغي القتل والموت ‏ ‏مظانه ‏ ‏أو رجل في غنيمة في رأس ‏ ‏شعفة ‏ ‏من هذه ‏ ‏الشعف ‏ ‏أو بطن واد من هذه الأودية يقيم الصلاة ‏ ‏ويؤتي الزكاة ويعبد ربه حتى يأتيه اليقين ليس من الناس إلا في خير

Di antara kehidupan yang baik bagi manusia ialah lelaki yang memegang tali kengkang kuda dalam berjuang di jalan Allah , kemudian ia memecut di atas belakang kudanya, apabila mendengar suara tempikkan yang memberangsangkan dengan harapan untuk membunuh atau dibunuh,atau lelaki yang tinggal bersama-sama kambingnya di antara puncak-puncak bukit atau di lembah ini dengan mendirikan sembahyang , mengeluarkan zakat dan menyembah Allah sehingga datang kepadanya mati dan kedudukkannya di kalangan manusia sentiasa dalam keadaan baik.

Di samping nas-nas di atas terdapat beberapa nas syarie lain pula menyeru manusia bergerak di bawah panji-panji jamaah dan hidup bersama-sama jammah seperti difirmankan oleh Allah s.w.t.

وتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

"Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan" (Surah Al Maidah 2).

Firman Allah s.w.t:

وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا

"Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai" (Surah Aali Imran 103)

Firman Allah s.w.t:

إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِهِ صَفًّا كَأَنَّهُمْ بُنْيَانٌ مَرْصُوصٌ

"Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berperang dijalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh" (Surah As-Saff 4).

Nabi SAW juga bersabda:

عليكم بالجماعة و إياكم و الفرقة ، فإن الشيطان مع الواحد ، و هو من الاثنين أبعد ، من أراد بحبوحة الجنة فليلزم الجماعة

"Hendaklah kamu semua elakkan dari perpecahan dan kamu semua hendaklah bersama jammah. Sesungguhnya syaitan akan bersama dengan seorang yang berseorangan dan menjauhkan diri daripada orang yang berdua.Dan sesiapa inginkan hidup di tengah syurga maka ia hendaklah bersama jammah."


Rasulullah bersabda :

يد الله مع الجماعة

"Tangan (kekuatan) Allah bersama jamaah"


Nabi bersabda lagi:

انا امركم بخمس الله تعالي امرني بهن :بالجماعة و السمع , و الطاعة , , و الهجرة , والجهاد فى سبيل الله. فان من فارق الجماعة قيد شبر فقد خلع ربقة الاسلام من عنقه الا ان يراجع فقالوا يا رسوالله : و ان صام و صلي ؟ قال :”و ان قام و صلي وزعم انه مسلم

"Aku menyuruh kamu dengan lima perkara di mana Allah menyuruh aku dengan lima perkara tadi: Bersama jamaah,dengar dan patuh ,berhijrah dan berjihad di jalan Allah. Maka sesungguhnya sesiapa yang keluar meninggalkan jamaah kadar sejengkal maka ia telah mencabut ikatan islam dari tengkoknya sehinggalah ia kembali semula (bersama jamaah). Mereka (sahabat) berkata: Wahai Rasulullah SAW sekalipun orang itu solat dan berpuasa? Baginda bersabda. Sekalipun mereka bersembahyang dan berpuasa dan beranggapan ianya seorang muslim."

Para aktivis Islam yang berpegang dengan nas-nas yang awal berkaitan dengan mengalakkan beruzlah dan melupai atau sengaja melupakan hubungan dengan nas-nas lain yang menyeru kepada pergaulan berjamaah dan hidup di dalam lingkungannya, tidak dapat tidak akan ditimpa penyakit al-Uzlah atau tafarrud.

Bersambung...

# Ketika entri ini dipublishkan penulis mungkin sudah seminggu berada di Yogyakarta atas urusan akademik (jika diizinkan Allah). Maaf kepada respon yang tidak sempat dibalas.

Untuk episod lalu, sila (klik)

Friday, 31 May 2013

Uzlah: Tinjauan Dari Perspektif Ulama dan Intelektual Haraki | Siri i


Uzlah atau tafarrud adalah antara fitnah dan penyakit yang bahaya kepada aktivis dalam sesebuah gerakan Islam. Ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja yang tidak memperlengkapkan dirinya dengan kefahaman dan ilmu yang mendalam mengenai amal haraki mahupun jama’ie. Penyakit yang sering menimpa para amilin ialah al-Uzlah (memencilkan atau mengasingkan diri). Oleh yang demikian para aktivis hendaklah berusaha dengan bersungguh-sungguh membersihkan diri mereka dari penyakit ini.


Pengertian Uzlah Atau Tafarrud

Al-Uzlah dari sudut bahasa: ialah menjauh atau menyisihkan. Mengikut kamus lisan arab, Meminggir sesuatu, atau mengenepikan maka dipinggirkan ia. Firman Allah S.W.T:

إِنَّهُمْ عَنِ السَّمْعِ لَمَعْزُولُونَ

“Sesungguhnya mereka benar-benar dijauhkan daripada mendengar Al Quran itu." (Surah al-Syu’ara)

Maka ayat di atas ialah apabila para jin dipanah dengan bintang neraka, mereka dihalang daripada mendengar berita dari langit seperti yang difirmankan oleh Allah dalam menceritakan tentang kenyataan jin tadi iaitu pada firman Allah S.W.T:

وَأَنَّا كُنَّا نَقْعُدُ مِنْهَا مَقَاعِدَ لِلسَّمْعِ فَمَنْ يَسْتَمِعِ الْآَنَ يَجِدْ لَهُ شِهَابًا رَصَدًا

“Dan sesungguhnya kami dahulu dapat menduduki beberapa tempat di langit itu untuk mendengar-dengarkan (berita-beritanya). Tetapi sekarang barangsiapa yang (mencuba) mendengar-dengarkan (seperti itu) tentu akan menjumpai panah api yang mengintai (untuk membakarnya)” (Surah al-Jin :9)

Kenyataan jin ini menjelaskan yang mereka dihalang dari mendengar berita-berita dari langit.


Uzlah: Istilah Duaat

Iaitu dengan mengutamakan penghidupan secara berseorangan (infiradiyyah) dengan meninggalkan penghidupan secara berjamaah. Cara yang demikian menjadikan seseorang aktivis merasai sudah cukup untuknya mendirikan Islam dalam dirinya sendiri, tanpa memperdulikan orang lain, sekalipun orang lain menghadapi kebinasaan atau kehilangan, atau seseorang itu cuba menegakkan islam dalam diri sendiri. Kemudian secara berseorangan ,dia berusaha sedaya upaya untuk menegakkannya di kalangan orang ramai tanpa meminta pertolongan dan sokongan para aktivis lain yang sama-sama berada di medan perjuangan.

Bersambung..

Thursday, 30 May 2013

Erti Sebuah Persediaan...

Bismillah..

Kebelakangan ini, penulis agak kerap mendengar 'khabar gembira' daripada beberapa orang sahabat terdekat. Lantaran itu, wajar kiranya saya dedikasikan video ini kepada mereka, waima yang bakal atau telah 'menyempurnakan agama' mereka. Sekadar meraikan dan saya percaya kalian sememangnya lebih jauh bersedia..  :)

# Allah musta'an


cc: Shafid | Zaim| Ir Fakrus | Zulfadhli | Siddiq | Hafiz | Rasyid | dan lain-lain (maaf xsempat nak tag semua)