Kemenangan Yang Hampir

Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu kemenangan yang nyata (Surah al-Fath 48:1)

Memaknai Hidup Dengan Perjuangan

Jadilah penolong-penolong agama Allah dalam menegakkan agamaNya di muka bumi ini

Kalam Murabbi

Amanat Untuk Pemuda dan Pemudi

Kesatuan Ummah

Kemudian jika kamu berselisih tentang sesuatu perkara, maka kembalilah kepada Allah dan Rasul (Surah An-Nisa’4:59)

Pedulisme dan Faham

Barangsiapa tidak mengambil berat tentang urusan umat Islam, maka bukanlah mereka daripada kalangannya (HR al-Bukhari)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
“Sesungguhnya perjuangan itu tidak mengenal erti penat & lelah. Demi Islam tercinta, ia perlu diteruskan. Semoga usaha untuk menyampaikan risalah Islam ini diterima Allah sebagai salah satu amal jariah semasa menghadap-Nya pada suatu hari yang pasti akan tiba..”
blog's design by faizassyirazi. Powered by Blogger.

Sunday, 16 June 2013

Travelog Yogja

2 Jun | Usai pesanan ringas di facebook, keypad switch off hand phone segera ditekan. Arahan untuk menaiki pesawat tompokan warna merah putih dipatuhi para penumpang. Segera beratur bagi pemeriksaan passport dan penyerahan boardingpass. Prosedur biasa. Usai pemeriksaan, saya (bersama seorang sahabat) segera menuju ke tempat pesawat mendarat. Di atas pesawat yang bernombor AK1324 itu, saya ditempatkan antara dua orang ‘buk’ (puan) yang usianya barangkali sebaya dengan umi di rumah. Orangnya ramah. Katanya, pulang ke tanahair setelah 4 tahun mencari rezeki di Shah Alam. 



Sepanjang menunggu perlepasan, saya cuba untuk menghabiskan buku Revolusi Islam karangan Kalim Siddiqui (1996). Ini masuk buku keempat karangan beliau ditumpukan sejak sebulan yang lalu. Malangnya hasrat saya tidak kesampaian berikutan suasana persekitaran yang tidak membantu. Dendangan lagu-lagu yang tidak Islami serta perbualan rancak segelintir penumpang sudah cukup untuk membunuh konstentrasi. Bak kata Ibn Mas’ud, al-ghinā’ yunbit al-nifāq fi al-qalb. Syukur, pilihan untuk menyambung lamunan muhasabah masih ada. Sekali sekala menyapa juga ‘buk’ di sebelah bagi menghargai keberadaan saat-saat terakhirnya meninggalkan Malaysia. Mungkin untuk selama-lamanya. 

Hampir sejam berlalu, kapten akhirnya memberi isyarat untuk berlepas. Sepanjang dalam penerbangan, ruh masih berada di kampus, memikirkan taklifan-taklifan yang menggunung. Baik yang bersifat semasa mahupun mada depan. Semuanya sedang beratur menunggu giliran bila hendak disempurnakan. Terasa begitu lemahnya diri untuk menghadapi semua itu, namun kalam Allah dalam al-Qur’an sentiasa memberi inspirasi dan motivasi untuk terus thabat. Jika Allah kehendaki, tiada yang mustahil. Manusia itu biasanya, lupa untuk berfikir tentang akhirat lantaran terlalu banyak memikirkan urusan duniawi. Ini silap. Sedangkan Ulama menyebut, “Sesiapa yang hendakkan dunia, maka dia akan mendapat dunia. Sesiapa yang hendakkan akhirat, maka dia akan mendapat dunia dan akhirat.” Niat mula di pasak, jika Allah dah tetapkan ini yang terbaik, dan syukur atas segala kemudahan yang diberikan. Segalanya lillahi taala... Bismillahi majreha wa mursaha.. Ila liqa’ Malaysia.

………………………………………………

Lebih kurang jam 12.30 pm pesawat mendarat di Lapangan Terbang Yogjakarta. Hujan rahmat datang menyambut. Sebelum mengambil luggage yang kebasahan, penumpang sekali lagi diperiksa. Keadaan agak pelik apabila saya diarah untuk menanggalkan kasut untuk discan, sedangkan tidak pada penumpang lain. Barangkali perwatakan ala-ala ‘suspek’ yang dikhuatiri menyimpan bahan berbahaya dalam kasut. Itu persepsi saya setelah difahamkan sahabat dari Indonesia, bahawa kes tersebut amat jarang didengari. Di lobi menyambut tetamu, kelihatan seorang pemuda lingkungan 20an memegang kertas yang bertulis dengan tulisan yang dicari. Dari kad nama yang diberikan, beliau merupakan pimpinan di kampus yang ditujui. Sepanjang dalam perjalanan ke tempat penginapan, proses observasi terus berlangsung bagi cuba menjiwai suasana di sini.




Siapa Kita Tanpa Dia

3 Jun | Seperti biasa, deringan jam menerjah alam mimpi. Patuh seperti mana yang disetting. Syukur, masih ada kesempatan untuk ‘online’ denganNya. Terlalu banyak kekurangan yang perlu diislah sebagai seorang hamba. Masa itu amat bernilai untuk diadukan kepada Dia akan segala keperluan dan hajat. Doa-doa munajat para zāhidīn dan sājidīn yang cukup dzouq dapat dititipkan kehadrat Yang Esa…

اللهم إني أفتتح الثناء بحمدك و أنت مسدد للصواب بمنك و أيقنت أنك أنت أرحم الراحمين في موضع العفو والرحمة و أشدد المعاقبين في موضع الكبرياء والعظة . اَللّهُمّ أذنت لي في دعائك ومسألتك فاسمع يا سميع مدحتي و أجب يا رحيم دعوتي وأقل يا غفور عثرتي فكم  يا إلهي من كربة قد فرجتها وهموم قد كشفتها و عثرة قد أقلتها ورحمة قد نشرتها و حلقة بلاء قد فككتها ... الحمد الذي لم يتخذ صاحبة ولا ولدا ولم يكن له شريك في الملك ولم يكن له ولي من الذل وكبره تكبيرا والحمد لله بجميع محامده كلها على جميع نعمه كلها... الحمد لله الذي لامضاد له في ملكه ولا منازع له في أمره. الحمد لله الذي لا شريك له في خلقه ولا شبيه في عظمته... الحمد لله الفاشي في الخلق امره وحمده الظاهر بالكرم مجده الباسط باجود يده الذي لا تنقص خزائنه ولا تزيده كثرة العطاء إلا جودا وكرما إنه هو العزيز الوهّاب .اَللّهُمّ إني أسئلك قليلا من كثير مع حاجة بي إليه عظيمة وغناك عنه قديم وهو عندي كثير وهو عليك سهل يسير . اَللّهُمّ إنّ عفوك عن ذنبي وتجاوزكَ عن خطيئتي وصفحك عن ظلمي وسترك على قبيح عملي وحامك عن كثير جرمي عندما كان من خطائي وعمدي اطمعني في ان أسئلك ما لا أستوجيه منك الذي  زرقتني من رحمتك واريتني من قدرتك وعرّفتني من اجابتك فصرت ادعوك آمنا وأسئلك مستأنسا لا خائفا ولا وجلا مدلا عليك فيما قصدت فيه إليك فإن ابطأ عنّي عتبت بجهلي عليك ولعل الذي أبطأ عني هو خيرلي لعلمك بعاقبة الأمور فلم ار مولى كريما اصبر على عبد لئيم منك عليّ إنك تدعوني فأولي عنك وتتحبّب إليّ فأتبغض إليك وتتودد إليّ فلا أقبل منك كأن لي التّطوّل عليك فلم يمنعك ذلك من الرحمة لي والإحسان إليّ والتفضّل عليّ بجودك وكرمك فارحم عبدك الجاهل وجُد عليه بفضل إحسانك إنك جواد كريم . .

Ya Allah ! Aku memulakan syukurku dengan memujiMu,Engkau yang mengarahkan kebenaran dengan anugerahMu, aku yakin Engkaulah yang Maha Kasih & Maha Penyayang di tempat pengampunan dan rahmat. Engkaulah yang lebih keras siksaannya di Hari Pengadilan dan kemarahan, Engkaulah yang lebih takabbur di tempat kengkuhan & keagungan..

Ya Allah ! Engkau izinkanlah aku untuk berdoa dan meminta kepada-Mu, maka dengarkanlah wahai yang Maha Mendengar akan pujianku, kabulkanlah wahai Yang Maha Mengasihani atas doaku, ampunilah kesalahanku wahai yang Maha Pengampun.. Tuhanku, betapa banyak kesulitan yang telah Engkau lapangkan, kesedihan yang telah Engkau sirnakan, dosa yang telah Engkau hapuskan, rahmat yang telah Engkau tebarkan, rantai penderitaan yang telah Engkau rungkaikan..

Segala puji bagi Allah yang tidak berteman dan tidak beranak, tiada sekutu di kerajaanNya dan waliNya kosong dari kehinaan. Agungkanlah dia dengan pengagungan yang tiada bandingannya. Segala puji bagi Allah seutuhnya dengan semua pujian untukNya atas segala nikmat-nikmatNya yang tidak pernah berkurang.. Segala puji bagi Allah yang tiada bandingan dalam kekuasaanNya, tiada penentang dalam urusanNya. Segala puji bagi Allah yang tiada sekutu dalam penciptaanNya, tiada penyerupaan dalam keagunganNya.. Segala puji bagi Allah yang nampak perbuatan dan pujianNya dalam penciptaan, yang kasar mata keagunganNya dengan kemuliaan, yang menghulurkan qudrahNya dengan kedermawanan, yang tidak berkurangan kekayaanNya, tidak bertambah kerana banyakNya pemberian. Dialah yang Maha Mulia dan maha Pemberi.

Ya Allah, aku memohon kepadaMu, sedikit dari yang melimpah, kerana keperluanku yang besar terhadapnya dan bukan keperluanMu yang kekal atasnya, keperluan itu di sisiku adalah besar, sementara bagiMu adalah sederhana dan remeh.

Ya Allah, keampunanMu atas dosaku, atas kesalahanku, kemurahanMu atas kezalimanku, kerahsiaanMu atas buruknya amalanku dan kesabaranMu atas banyaknya kejahatan yang aku lakukan secara sengaja, memberanikan diriku untuk meminta kepadaMu sesuatu yang tidak layak aku dapatkan dariMu, sesuatu yang Engkau berikan kepadaku rahmatMu, Engkau kenalkan aku kerana kedermawananMu, kerananya aku berdoa kepadaMu dengan penuh rasa aman, memohon kepadaMu dengan penuh ketenangan, tiada rasa takut atau khuatir kepadaMu atas keperluanku kepadaMu. Apabila jawabanMu lambat, aku mencercaMu kerana kebodohanku, padahal kelambatan itu lebih baik bagiku kerana Engkau mengetahui akibat dari semua urusan.

Wahai Tuhanku, aku tidak menjumpai Tuan yang lebih murah hati dan lebih sabar terhadap hamba yang tidak tahu berterima kasih seperti aku, selainMu. Engkau memanggilku, aku berpaling dariMu, Engkau mencintaiku, aku membenciMu, Engkau menyayangiku, aku abaikan rasa kasih sayangMu, seolah-olah aku berhak mengajariMu. Namun, kebiadabanku itu tidak pernah menghalangiMu mencurahkan rahmat dan kebaikanMu kepadaku, tidak pernah mengurangi sifat penyayangMu kepadaku, dengan kedermawanan dan kemurahanMu. Kerananya, kasihilah hambaMu yang bodoh ini. Limpahkan kepadaku kebaikanMu. Sesungguhnya Engkau adalah Maha Dermawan lagi Maha Mulia.”

................

Siapalah kita tanpa Allah. Betapa banyak nikmat yang Dia berikan, mengapa tidak diekspresikan rasa syukur itu dengan istiqamah dalam melakukan amalan taqarrub. Perihal memelihara hubungan dengan Allah, bukan menunggu ketika datangnya musibah baru hendak mengenal Allah. Akan tetapi, jauh dari itu. Tidak mengenal batas sempadan, masa tempat dan keadaan. Susah dan senang. Selagi mana Allah bagi peluang, selagi itulah kita sebagai hamba perlu manfaatkan. Tidak lama, sementara masih bernyawa sahaja. Cinta Allah kepada hambaNya bukan seperti manusia terhadap manusia. Manusia itu apabila cenderung kepada seseorang, belum tentu orang itu mempunyai kecenderungan yang sama. Kadang-kadang ada yang berputih mata. Namun itulah yang sering direbut orang, seolah bermimpi di siang hari. Terlupa di sana ada cinta yang lebih agung dan pasti dibalas. Pagi itu cukup tenang untuk memulakan entri ini, diselang-selikan dengan bacaan buku Revolusi Islam dan kerja-kerja yang lain. Kerana, lebih dua minggu yang bakal dilalui ini pasti penuh mencabar kerana ia bukan hanya seminar biasa sepertimana yang difahami sebelum ini. Bi’awnillah, insha-Allah…

………………………… PEMBINAAN JARINGAN …………………………

Dua minggu di sini, masa dipenuhi dengan lecture, selain pada sebelah petangnya diisi slot discussion dan  Pensyarah dan pesertanya dari serta tempat, dan pelbagai bidang khususnya yang berkait dengan isu keamanan dan kemanusiaan, antaranya Vietnam, Philippina, Jepun, and mostly from Indonesia. Bukan calang-calang juga kerana kebanyakkannya adalah pensyarah Universiti, Dekan, Ketua Jabatan, Rektor (TNC), selain penyelidik, NGOs, dan pelajar Universiti berdekatan. Fikrah apatah lagi. Begitu  bervariasi; liberalisme, pluralisme, sosialisme dan beberapa isme-isme yang lain. Apa yang menarik, rata-ratanya boleh dibawa berkawan dan berkongsi pandangan.





………………………….MENDEPANI CULTURE SEMASA ………………

Budaya di sini biasa dengan bersalaman dan bersentuhan antara bukan mahram. Cukup bebas dan bukan suatu yang luar biasa jika seorang perempuan itu memegang lelaki bukan mahram. Berlaga pipi pun biasa. Sehinggakan  saya difahamkan, ada yang dari lepasan timur tengah (baca: ustaz) juga gagal mengawal suasana. Pernah dahulu seorang seorang Profesor (baca: Ustazah) berkata sebagai menjawab isu ini, “apa boleh dibuat, dah orang menghulurkan tangan, tak kan kita nak malukan dia di khalayak ramai.” Saya melihat, realitinya terpulang kepada bagaimana kita mengendalikan situasi tersebut. Bukannya tidak boleh untuk kita sekadar tunduk hormat sambil merapatkan kedua belah tangan. Setakat ini, samada dalam kalangan Muslim atau nonMuslim, tiada yang tidak faham atau buat-buat tidak faham terhadap pendekatan yang digunakan. Bukankah suatu kejayaan bila kita menyedarkan dan mengizzahkan ajaran Islam antara mereka? Sungguhpun di sana ada pandangan yang mengharuskan, saya lebih cenderung kepada pandangan yang mengharamkan*. Sekadar pertanyaan dalam diri kita, sejauh mana kerelaan kita apabila isteri yang disayangi (jika sudah berkahwin) atau ibu yang dikasihi kita apabila disalam atau disentuh oleh bukan bukan mahram, memadai hanya untuk sebuah perkenalan? 

Seperkara lagi, aspek pemakaian kita sebenarnya cukup penting dalam menterjemahkan siapa dan bagaimana prinsip kita.

……………………………… TOPIK PERBINCANGAN ……………………

Terdapat beberapa isu yang dibincangkan, khususnya berkait dengan keamanan dan konflik samada di peringkat lokal dan global. Termasuklah antaranya isu di Indonesia, Rohingya, Syria, dan Palestin antara topik yang hangat dibincangkan. Setiap isu cuba diperhalusi dengan baik bagi mengelakkan unsur ketidakadilan dalam membincangkan isu. Justeru peri pentingnya penjanaan ilmu pengetahuan samada dari bacaan atau kajian sendiri supaya dapat check and balance terhadap setiap fakta yang dibawa.



………………………………… IBRAH ALAM…………………………………

8 & 9 Jun | Aktiviti harian, ditangguh seketika bagi memberi laluan kepada aktiviti luar yang bersifat santai dan praktikal. Antaranya Ekspedisi ke Candi Borobudur, Gunung Merapi, dan lawatan ilmiah Institute For Inter-Faith Dialogue In Indonesia (Interfidei), Social Welfare Guidance Foundation, dan juga Pondok Pesantren Pancasila Sakti. Selain itu  masih ada beberapa tempat agak menarik apatah lagi di Yogjakarta ini boleh dikatakan sebagai ‘syurga batik’. Di setiap tempat yang dikunjungi, banyak ibrah yang diperolehi. Sesuai dengan kalamNya yang menyeru kepada pemilik akal fikiran untuk mengambil pengajaran terhadap setiap apa yang berlaku. 


Cerita Borobudur

Menurut cerita pakcik penunjuk arah (semasa melawat candi), Candi ini sebenarnya tersorok jauh dalam hutan dan pengetahuan masyarakat di sini. Ia ditemui oleh orang luar yang datang membuat kajian dan pada peringkat seterusnya ia secara rasmi diklasifikan sebagai warisan dunia (UNESCO). 










Manakala Wikipedia, menulis:

“Ia merupakan kuil atau candi agama Buddha yang terletak di desa Boro , Kabupaten Magelang, Jawa Tengah, Indonesia. Borobudur terletak kira-kira 100 km di barat daya Semarang dan 40 km di sebelah barat laut Yogyakarta. Luasnya 2500 km persegi. Borobudur adalah stupa Buddha mazhab Mahayana, dan monumen Buddha terbesar di dunia. Ia dibina antara tahun 750 dan 850 Masihi oleh pemerintah Jawa Dinasti Sailendra dan Sanjaya. 1950 Sejarawan J.G. de Casparis kajian Ph.D beliau menyatakan Borobudur adalah tempat pemujaan. Dengan analogi prasasti Karangtengah dan Kahulunan, Borobudur dibina oleh raja dari dinasti Syailendra bernama Samaratungga sekitar 824. Candi raksasa hanya siap 50 tahun kemudian ketika puterinya Ratu Pramodhawardhani memerintah. Kuil Borobudur dibina atas tanah bukit hanya setinggi 265 meter dari dasar laut dan 15 meter tinggi. Jika Mesir berbangga dengan piramid dan Sphinx, China dengan Tembok Besar , Kemboja dengan Angkor Wat. Maka, warga Indonesia berbangga dengan Borobudur.”





Binaan candi ini boleh dikatakan philosophic samada dari aspek struktur dan ukiran-ukiran (arca) disekelilingnya. Daripada pengamatan terhadap arca-arca yang ada menginterpretasikan pengaruh agama Hindu dan Buddha begitu kuat, umpamanya konsep karma (agama Hindu) dan Kepala Naga (Buddha). Memori pengajian kursus perbandingan agama tiga tahun lalu cuba direfresh kembali. Candi ini pernah rosak sebahagiannya akibat dibom pada 1991 oleh golongan ekstrimis agama. 















Memoir di Merapi 

Bas yang dinaiki kelihatan tenat dan hampir tidak dapat bernafas sepanjang melalui jalan ke destinasi. Akhirnya, ia direhatkan di satu tempat khas dan seterusnya tugas diambil alih oleh Jeep yang lebih lasak. Keadaan di kawasan gunung cukup sejuk seolah di Cameron Highlands (menurut seorang teman) menemai sepanjang perjalanan. Cukup jelas kesan-kesan kawah lava (bekas), dan wap-wap panas yang keluar dari bumi. Di sini, aktiviti pengambilan tanah dan batu cukup aktif kalangan warga tempatan.















Mbah Maridjan

Itulah nama ‘penjaga’ gunung merapi ini, yang kembali kerahmatullah tiga tahun lalu, akibat letusan yang berlaku. Di tempat persemadiannya kenderaan pacuan empat roda dihentikan. Limitasinya sehingga di situ. Pada mulanya saya masih kurang mengingati siapa gerangan nama yang begitu menjadi perbualan masyarakat di sini, bila diingati kembali ternyata beliaulah yang diberitakan meninggal dalam keadaan sujud ketika letusan pada 2010 lalu, walaupun sudah didesak untuk meninggalkan rumahnya. Mungkin pasrah dan nekad untuk disemadikan di situ. Selain beliau, puluhan masyarakat yang tinggal di sana juga menjadi korban, dan kediaman mereka kini hanya menjadi kenangan.


Keadaan rumah penduduk yang 'cair' akibat letusan










Cukup menyayat hati apabila mengetahui bahawa beliau memilih untuk dijemput Izrail dalam keadaan demikian (bersujud), yang merupakan keadaan yang paling hampir kepada Allah. Menurut cerita warga tempatan, allahyarham ketika hidupnya terkenal dengan sikapnya yang suka membantu orang ramai, dan cukup dihormati masyarakat. Pernah ketika allahyarham menjadi duta iklan produk Extra Joss (minuman kesihatan), beliau lansung tidak mengambil satu sen pun wang hasil pekerjaan tersebut melainkan semuanya disalurkan untuk kebajikan orang ramai. 


Tanah Perkuburan Mangsa Letusan Merapi 2010





13 Jun | Interaksi Antara Agama di Institute for Inter-Faith Dialogue in Indonesia (Interfidei), Social Welfare Guidance Foundation, dan Pondok Pesantren Pancasila Sakti

Sebetulnya, perkataan ‘interfaith’ inilah yang menjadi pendorong utama untuk turut serta dalam 'seminar' ini. Rupanya, banyak benda Allah nak beri, lebih dari apa yang kita harapkan. Institut-institut dialog antara agama di sini tidaklah seperti di Malaysia, mereka berhadapan dengan bermacam cabaran khususnya terhadap non-dialoguer’s. Istilah kafir dan ahli neraka seringkali dipalitkan kepada mereka, lantaran keterbukaan untuk menerima pluralisme agama. Puncanya kerana gagalnya agamawan Islam untuk membawa kemuliaan Islam itu dalam kalangan masyarakat. Kesannya Islam tidak lagi dilihat sebagai suatu yang ‘ulya’ melainkan sebuah agama yang sama seperti agama-agama lain. Lebih menyedihkan, Islam tidak lagi dipandang sebagai agama rahmat walaupun kepada seorang Muslim, sehingga ada seorang teman Muslim berkata, “I prefer Indonesia be an Indonesia country rather than an Islamic country”. Konflik agama dan mazhab cukup besar di sini, khususnya menjelang 80an, bermula daripada pegaduhan kecil sehingga kepada pembunuhan dan memusnahkan harta benda. Sebagai inisiatif, tokoh-tokoh setiap agama dan mazhab ini berkerjasama dalam mencari penyelesaian dalam setiap konflik yang berlaku. 


Institusi Dialog Antara Agama





Pesantren di Klaten (bukan Kelantan), Yogja.



 Makam Pengasas Pesanteran








……..……………MENYELAMI FAHAM MUHAMADIYYAH……………

Sepanjang lebih dua minggu di sini, saya cuba untuk menyelami fahaman (Muhamadiyyah) ini melalui observasi. Jika dibandingkan dengan jalan cerita Sang Pencerah, tidak banyak bezanya dari sudut pendekatan dengan apa yang diamalkan di sini. Pengasasnya, Kiai Hj Ahmad Dahlan (1868-1923) sendiri adalah berasal dari Yogjakarta, justeru itu punca mengapa kuatnya pengaruh faham ini dalam kalangan masyarakat setempat. 



Permandangan dari resident pasca-sarjana



Mengenai beliau, Wikipedia mencatatkan:

“KH Ahmad Dahlan adalah putera keempat dari tujuh adik-beradik dari keluarga KH Abu Bakar. KH Abu Bakar adalah seorang ulama dan khatib terkemuka di Masjid Besar Kasultanan Yogyakarta pada masa itu, dan ibu KH Ahmad Dahlan adalah puteri H. Ibrahim yang juga menjawat jawatan sebagai penghulu Kasultanan Yogyakarta pada masa itu. Nama semasa kecil KH Ahmad Dahlan adalah Muhammad Darwisy. Pada umur 15 tahun, beliau pergi menunaikan haji dan tinggal di Mekah selama lima tahun. Pada masa ini, Ahmad Dahlan mulai berinteraksi dengan pemikiran-pemikiran pembaharuan dalam Islam, seperti Muhammad Abduh, Al-Afghani, Rasyid Ridha dan Ibnu Taimiyah. Ketika pulang ke kampungnya tahun 1888, beliau menukar nama menjadi Ahmad Dahlan. Pada tahun 1903, beliau bertolak kembali ke Mekah dan menetap selama dua tahun. Pada masa ini, beliau sempat berguru kepada Syeh Ahmad Khatib yang juga guru dari pengasas Nahdatul Ulama, KH Hasyim Asy'ari.” 



 Permandangan Masjid Universiti KH Ahmad Dahlan dari bangunan AR Fakruddin

 Fakultas

Perpustakaan UMY


Di Indonesia, saya difahamkan, ada dua aliran terbesar (dalam Islam), iaitu Muhamadiyyah dan Ahmadiyyah. Aliran Muhamadiyyah dilihat sebagai Islam moderat manakala Ahmadiyah dilihat sebagai Islam konservatif. Labelisasi ini ada signifikannya jika diperhatikan kepada cara berfikir dan pendekatan yang digunakan. Berkait dengan faham Muhamadiyyah, ada beberapa perkara yang ‘unik’ untuk dikongsi…

  1. Syarat Kelayakan: Antara syarat kemasukan pelajar di sini, antaranya lancar membaca al-Qur’an (ada ujian lisan).
  2. Etika Pemakaian: Bagi golongan mahasiswa, jarang untuk berjumpa yang memakai kopiah, kebanyakannya T-shirt dan seluar jeans. Manakala golongan mahasiswinya lebih kurang juga. Trend tudung di sini seperti mana berlaku di M’sia (jenis balut kepala 2-3x). Style ala-ala bonggol unta juga agak popular di sini. Sungguhpun heroin KCB (Oki) popular di sini sebagai duta iklan dan panelis jemputan, namun tiada kelihatan yang berpakaian seperti itu, jauh sekali yang bertudung labuh dan berpurdah.
  3. Terdapat kumpulan-kumpulan muzik (music band) khusus yang sentiasa berlatih, walaupun waktu solat (maghrib dan isyak) hampir menjelang. Saya agak teruja apabila tatlaka azan dilaungkan mereka serta merta berhenti bermain dan segera solat berjemaah dahulu, kemudian disambung kembali aktiviti tersebut. Lebih ‘unik’, apabila mereka boleh bermain muzik dengan aman dihadapan masjid universiti tanpa sebarang gangguan.
  4. Majlis pembukaan program rasmi Universiti tidak dibuka dengan al-Fatihah dan disudahi dengan Tasbih Kiffarah wa Surah al-‘Asr (seperti di Malaysia), tetapi dengan ucapan ‘Bismillah’ dan ‘Alhamdulillah’.
  5. Sungguhpun di Yogjakarta begitu kuat dengan faham Muhamadiyyah yang antaranya menolak amalan tahlil, namun masih terdapat dalam kalangan masyarakat yang mengamalkannya.

Walaupun ada beberapa perkara yang secara peribadi tidak dipersetujui, saya sebenarnya lebih suka untuk tidak untuk membahaskan soal khilafiyyah di sini. Selagi mana mereka ada sandaran dan hujah yang kukuh, pada saya ia wajar untuk dihormati. Al-Banna sendiri menekankan soal itu dalam Risalah al-Taalim-nya. Ketika saya diminta pandangan oleh salah seorang sahabat (anak pengasas Pesantren aliran konservatif) yang sentiasa bermufaraqah dari imam lantaran tidak bersetuju dengan fahaman ini. Saya menyatakan, sebagai Muslim, isu menjaga persaudaraan Islam itu lebih utama, dan tiada sebab untuk kita mengambil sikap demikian selagi mana rukun dan syarat solat Imam itu sah, maka adalah lebih baik imam itu diikuti. Syukur akhirnya beliau memahami… Namun secara peribadi saya merasakan alangkah baiknya fahaman ini direformasikan semula dan memberi penekanan terhadap aspek akhlak dan adab Islamiyyah yang tulen.

…………………… MENGHAYATI ERTI SEBUAH KESYUKURAN …………

Bila mengamati kehidupan masyarakat di sini, terasa begitu banyaknya nikmat yang Allah anugerahkan kepada kita. Mereka di sini mencari sesuap nasi tidak sesukar kita, sehingga semua mekanisme digunakan, baik dari kanak-kanak sehingga nenek tua. Aktiviti menyanyi, menjual sate dijalanan (sehingga hampir setiap sudut jalan ada orang menjual sate), berpakaian kostum jembalang (untuk diambil gambar), menjadi maknyah penghibur (baca: pengacau), dan sebagainya. Semuanya kerana duit dan duit. Di kebanyakan jalan pasti dapat dilihat kelibat gelandangan beristirehat dan mencari makan. Kita kadang-kadang bila tiada duit untuk makan dan belajar, paling tidak ada ibubapa dan saudara yang sudi membantu. Mereka di sini belum tentu. Allahurabbi.






Realiti 'task' yang perlu disempurakan oleh da'ie pada hari ini bukan sekadar menjadi keyboard warrior, status likers, atau most common commentator. Banyak persediaan yang perlu dilakukan baik jasadi dan lebih-lebih lagi rohani. Punca ummat menjadi jahil dan rosak antaranya kerana gagalnya golongan Umara’ menjadi pengurus ummah yang baik, lantaran kegagalan golongan Ulama memainkan peranan mereka sebaiknya. Memang, terlalu banyak kerja yang perlu dilakukan oleh setiap perintis jalan para anbiya’ dan syuhada’, untuk memastikan sinar Islam itu menjadi rahmat kepada sekalian alam.



Khatimah

17 Jun | Tepat jam 17.45 esok, (18.45 waktu Malaysia), insha-Allah pesawat pulang dijadualkan berlepas, jika tidak ‘delay’ lagi. Kembali setelah bergraduasi dari kursus pendek Universitas Muhammadiya Yogjakarta. Terima kasih Ya Allah atas segalanya. Jazakumullah kepada semua committee dari UMY atas komitmen dan layanan baik yang diberikan. Tidak lupa kepada seluruh sahabat-sahabat dan mereka yang terlibat dalam menjayakan program ini. Pengalaman yang diperolehi terlalu berharga. Apa yang pasti, di sana pasti ramai yang tidak sabar menunggu khususnya kerja-kerja penyelidikan dan tesis. Semoga Allah sentiasa mempermudahkan urusan.

Sayonara Yogja!


*Umpamanya Imam al-Nawawi dalam kitab روضة الطالبين  Imam al-Ramli dalam kitab نهاية المحتاج Imam As-Syarbini dalam kitab مغني المحتاج, Dr Wahbah Az-Zuhaili dalam kitab الفقه الإسلامي وأدلته , dan pandangan-pandangan yang lain. Perbincangan mengenai isu ini boleh diteliti dalam di sini http://www.manhal.pmram.org/2011/01/hukum-bersalaman-antara-lelaki-dengan.html.

...................

# Entri ini sekadar perkongsian pengalaman. Semoga ada manfaatnya buat sahabat-sahabat pembaca. Apa yang buruk, jadikanlah teladan dan sempadan. Maaf jika sebarang unsur yang mengguris perasaan mana-mana pihak. Sebarang komentar dan teguran amat dialu-alukan. Fi Amanillah. Wassalam.

Saturday, 15 June 2013

Uzlah: Tinjauan Dari Perspektif Ulama dan Intelektual Haraki | Siri iii

... sambungan dari Siri II


2-Berpandu kepada sikap al uzlah yang pernah dilakukan oleh sebahagian golongan salaf tanpa memahami tentang suasana yang mendorong mereka berbuat demikian.

Kadangkala perbuatan al-Uzlah dipengaruhi oleh perbuatan tertentu para Nabi dan Rasul serta sebahagian golongan salaf. Mereka disalahfaham dengan mengutamakan hidup beruzlah dari mencampuri dan bergaul dengan jamaah. Asasnya dapat diperhatikan kepada perkataan Nabi Ibrahim a.s kepada kaumnya seperti yang disebut di dalam al-Quran:

وأَعْتَزِلُكُمْ وَمَا تَدْعُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ

“Dan aku akan menjauhkan diri darimu dan dari apa yang kamu seru selain Allah” (Surah Maryam 48)

Adapun faktor yang mendorong Nabi Ibrahim a.s. berbuat demikian adalah kerana melaksanakan program perubahan dan pemulihan. Apabila ia mendapati kaumnya masih bertegas untuk terus berada di dalam kekufuran, di mana ia begitu berbahaya dan dibimbangi akan berlaku fitnah kepada agama, maka baginda terus meninggalkan mereka dan memencilkan diri. Ia bagaimanapun dalam tempoh tertentu dan bukan bersifat selama-lamanya. Kerana itu baginda a.s mencari alternatif dan mekanisme lain dalam membawa mereka kepada Islam.

Dikalangan Salaf Tabi’in, Fudhayl b. Iyad umpamanya pernah mengambil jalan untuk beruzlah daripada perjuangan dan menumpukan hanya kepada ibadatnya sahaja. Melihat kepada sikap beliau, Imam al-Qudwah Abdullah Ibn Mubarak menegurnya dalam syairnya yang masyhur. Ujar beliau:

يا عابدَ الحرمين لو أبصرتْـَنا ... لعلمتَ أنَّكَ في العبادةِ تلعبُ
مَنْ كانَ يخضبُ خدَّه بدموعِه ... فنحورنُـا بدمـائِنا تَتَخْضَبُ
أوكان يتعبُ خيله في بـاطل ... فخيـولنا يوم الصبيحة تتعبُ
ريحُ العبيرٍ لكم ونحنُ عبيرُنا ... رَهَجُ السنابكِ والغبارُ الأطيبُ
ولقد أتـانا مـن مقالِ نبيِنا ... قولٌ صحيحٌ صادقٌ لا يَكذبُ
لا يستوي غبـارُ أهلِ الله في ... أنفِ أمرئٍ ودخانُ نارٍ تَلهبُ
هذا كتابُ الله ينـطقُ بيننا ... ليسَ الشهيدُ بميـتٍ لا يكذبُ

Wahai para ahli ibadah di al-Haramayn ... Kalau kamu menyaksikan kami.. Nescaya kamu akan mengetahui bahawa sesungguhnya kamu bermain-main dalam ibadah.. Kalau orang-orang membasahi pipinya dengan air mata yang mengalir deras.. Maka dengan pengorbanan kami.. Kami mengalirkan darah yang lebih deras.. Kalau kuda-kuda orang kepenatan dalam perkara batil.. Sesungguhnya kuda-kuda kami penat.. Dalam melakukan serangan dan peperangan.. Bau wangi-wangian menjadi milikmu.. Sedangkan bau wangi-wangian kami adalah debu-debu jalanan.. Telah datang kepada kami sabda nabi.. Sabda yang benar jujur dan tidak bohong.. Tidak sama debu kuda-kuda Allah.. Di hidung seseorang dan asap yang menyala-nyala.. Inilah kitab Allah yang berbicara kepada kami.. Bahawa orang mati syahid tidak diragukan lagi.. Tidak sama dengan orang mati biasa...

Teguran tersebut memberikan kesan yang mendalam kepada Fudhayl b. Iyad dan akhirnya membawa kepada perubahan drastik dalam dirinya. Kisah tersebut boleh telah dicatatkan oleh Ibn Asakir di dalam Tarikh Dimasyq beliau. Sesungguhnya mana-mana aktivis Islam yang membaca tentang al-Uzlah yang pernah dilakukan oleh tokoh-tokoh tadi, tanpa mengambil kira suasana dan keadaan yang mereka hadapi sudah pasti akan mendorong melakukan perbuatan yang menyerupai mereka. Tindakan demikian sudah tentu akan melibatkan diri mereka dengan beruzlah yang pasti jauh dari suasana jamaah, sekali pun perbuatan itu tidak ada tabrirnya (tidak ada justifikasinya).


3-Beranggapan bahawa hidup berjamaah akan menghilangkan kewibawaan individu dan menjejaskan keperibadian.

Dalam masa yang sama ia juga melupai tentang manhaj al islam dalam mengimbangi di antara kepentingan individu dan kepentingan jamaah. Kadang kala sebab yang mendorong seseorang aktivis Islam tu kepada perlakuan uzlah ialah kerana ia beranggapan dengan peryertaan dalam jamaah ,maka kewibawaan dirinya akan hilang dan ketokohannya juga terjejas. Dia akan jadi pak turut, kalau orang ramai baik dia akan baik sebaliknya kalau mereka jahat dia akaan jahat dan dia melupai pertimbangaan tentang kepentingan individu dan kepentingan jamaah.

Manhaj islam sebenarnya berperanan menyeru setiap individu agar berada di dalam jamaah dan dia hendaklah terus berada di bawah naungan jamaah, seperti yang telah diterangkan sebelum ini. Selain dari itu hendaklah ditegaskan kepada setiap anggota jamaah bahawa mereka bertanggungjawab sepenuhnya ke atas setiap tindakan yang dilakukannya sendiri. Ayat berikut hendaklah dinyatakan kepada mereka:

وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَى
“Dan orang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain” (Surah Fathir : 18)

كُلُّ نَفْسٍ بِمَا كَسَبَتْ رَهِينَةٌ
“Tiap-tiap diri bertanggung jawab atas apa yang telah diperbuatnya” (Surah al-Muddathir : 38)

لَا تَجْزِي نَفْسٌ عَنْ نَفْسٍ شَيْئًا
“Seseorang tidak dapat membela orang lain, walau sedikitpun” (Surah al-Baqarah : 48)

بَلِ الْإِنْسَانُ عَلَى نَفْسِهِ بَصِيرَةٌ  وَلَوْ أَلْقَى مَعَاذِيرَهُ
“Bahkan manusia itu menjadi saksi atas dirinya sendiri meskipun dia mengemukakan alasan-alasannya.”(Surah al-Qiyamah : 14-15)

وَإِنْ تَدْعُ مُثْقَلَةٌ إِلَى حِمْلِهَا لَا يُحْمَلْ مِنْهُ شَيْءٌ وَلَوْ كَانَ ذَا قُرْبَى
“Dan jika seseorang yang berat dosanya memanggil (orang lain) untuk memikul dosanya itu tiadalah akan dipikulkan untuknya sedikitpun meskipun (yang dipanggilnya itu) kaum kerabatnya” (Surah al-Fathir : 18)


Oleh yang demikian anggota jamaah adalah berkewajipan memberi nasihat kepada setiap jamaah dengan mengikut lunas-lunas, adab dan tatasusila tanpa mengambil kira setinggi mana pun kedudukan ahli yang dinasihati itu. Hadis Rasulullah SAW bersabda:

الدين النصيحة ، قلنا : لمن يا رسول الله ؟ قال : لله ، ولكتابه ، ولرسوله ، ولأئمة المسلمين وعامتهم

"Agama itu nasihat.” Kami bertanya, “Untuk siapa wahai Rosulullah?” Beliau menjawab, “Bagi Allah, kitabNya, dan rasulNya, dan bagi para pemimpin Islam, dan bagi muslimin umumnya."

Dalam Hadis yang lain baginda s.a.w bersabda:

المؤمن مرآة المؤمن و المؤمن أخو المؤمن يكف عليه ضيعته و يحوطه من ورائه

"Orang mukmin laksana cermin bagi mukmin yang lain (untuk membetulkan diri) orang mukmin adalah saudara bagi orang mukmin ,ia menjaga saudaranya dari kehilangan dan orang mukmin dijaga oleh rakan di belakangnya."

Para sahabat telah pun hidup bersama-sama Rasulullah s.a.w dan selepas kewafatan baginda, mereka telah hidup bersama-sama mereka.Sungguhpun demikian, kita tidak pernah mendapati walau  seorang pun dari mereka yang terjejas kewibawaannya kerana berada bersama jamaah. Apa yang kita lihat mereka sentiasa menghayati dan beramal dengan nasihat, syura, amar makruf dan nahi mungkar. Pernah di antara mereka berkata pada Umar: “Sekiranya kami mendapati engkau melakukan penyelewengan, maka kami akan betulkan engkau dengan pedang ini,”

Dengan cara dakwah yang demikian akan terbinalah entiti yang unggul dalam diri setiap muslim yang berketerampilan dan jelas sempadan serta panduan yang akan diikuti. Maka pada masa itu perasaannya akan sentiasa berada di dalam keadaan sedar dan berjaga-jaga atas apa yang menyentuhnya sekalipun jauh. Sesungguhnya anggapan sedemikian dan kelalaian tentang hakikat tadi pasti akan mengheret seseorang aktivis Islam kepada beruzlah, yang sudah semestinya ia dihinggapi oleh wabak yang begitu merbahaya.

to be continue..

Sunday, 9 June 2013

Uzlah: Tinjauan Dari Perspektif Ulama dan Intelektual Haraki | Siri ii

بسم الله.. والصلاة والسلام على رسول لله, وعلى آله ومن ولاه


Tiada sesiapa yang dapat menjamin sejauh mana thabatnya kita sepanjang melalui jalan-jalan dakwah itu melainkan hanya Allah SWT semata-mata menerusi azam dan tekad kita untuk terus bersama-sama dalam gerak kerja Islam.  Dr Sayyid Muhammad Nuh (1987) dalam Āfātun alā al-Ṭarīq menggariskan beberapa faktor penyebab kepada berlakunya gejala futur ini.


Faktor al-Uzlah atau al-Tafarrud

Terdapat beberapa sebab yang menjadikan seseorang itu bersikap al uzlah (mengasingkan diri), diantaranya:

1-Berpegang dengan sebahagian dari nas-nas syarie yang mengalakkan seseorang itu beruzlah, tanpa mengambil kira nas syarie yang lain yang mengalakkan kepada hidup berjamaah.

Memang terdapat sebahagian nas syarie yang memuji perbuatan uzlah bahkan ianya mengalakkan. Sabda Rasulullah S.a.w:

يُوشِكُ أَنْ يَكُونَ خَيْرُ مَالِ اَلْمُسْلِمِ غَنَمًا يَتبع بِهاِ شعف اَلْجِبَالِ وَمَوَاقِعَ اَلْقَطْرِ، يَفِرُّ بِدِينِهِ مِنْ اَلْفِتَنِ

Akan berlaku di mana sebaik-baik harta orang islam ialah kambing yang ia mengekorinya ke puncak bukit dan di tempat mengalirnya air sebagai laluan bagi mengelakkan agamanya dari fitnah.

Maksud hadis di atas sama dengan apa yang pernah dijawab oleh Nabi SAW kepada soalan yang dikemukakan pada baginda.

أي الناس أفضل؟ قال: {مؤمن يجاهد بنفسه وبماله في سبيل الله تعالى}، قال: ثم من ؟ قال: {ثم مؤمن في شعب من الشعاب يعبد الله، ويدع الناس من شره

"Yang mana satukah sebaik-baik manusia? Baginda SAW menjawab: lelaki yang berjuang di jalan Allah dengan harta dan dirinya . Orang  itu bertanya: Lepas itu siapa pula? Baginda menjawab: seseorang yang beriman yang tinggal terpencil di lereng-lereng bukit dengan menyembah Allah sebagai tuhannya dan meninggalkan manusia dari kejahatannya."

Maksud hadis yang sama telah diriwayat oleh Huzaifah bin al-Yaman di mana baginda SAW pernah bersabda:

فاعتزل تلك الفرق كلها، ولو أن تعض على أصل الشجرة حتى يدركك الموت وأنت على ذلك 

"Jauhkan diri kamu dari puak-puak itu kesemuannya sekalipun kamu terpaksa mengigit perdu kayu dengan gigi sehinggalah kamu mati dalam keadaan begitu"

Baginda Rasulullah s.a.w:

‏ من خير معاش الناس لهم رجل ممسك ‏‏ عنان ‏‏ فرسه في سبيل الله ‏ ‏يطير على متنه ‏ ‏كلما سمع ‏ ‏هيعة ‏ ‏أو ‏ ‏فزعة ‏ ‏طار عليه يبتغي القتل والموت ‏ ‏مظانه ‏ ‏أو رجل في غنيمة في رأس ‏ ‏شعفة ‏ ‏من هذه ‏ ‏الشعف ‏ ‏أو بطن واد من هذه الأودية يقيم الصلاة ‏ ‏ويؤتي الزكاة ويعبد ربه حتى يأتيه اليقين ليس من الناس إلا في خير

Di antara kehidupan yang baik bagi manusia ialah lelaki yang memegang tali kengkang kuda dalam berjuang di jalan Allah , kemudian ia memecut di atas belakang kudanya, apabila mendengar suara tempikkan yang memberangsangkan dengan harapan untuk membunuh atau dibunuh,atau lelaki yang tinggal bersama-sama kambingnya di antara puncak-puncak bukit atau di lembah ini dengan mendirikan sembahyang , mengeluarkan zakat dan menyembah Allah sehingga datang kepadanya mati dan kedudukkannya di kalangan manusia sentiasa dalam keadaan baik.

Di samping nas-nas di atas terdapat beberapa nas syarie lain pula menyeru manusia bergerak di bawah panji-panji jamaah dan hidup bersama-sama jammah seperti difirmankan oleh Allah s.w.t.

وتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

"Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan" (Surah Al Maidah 2).

Firman Allah s.w.t:

وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا

"Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai" (Surah Aali Imran 103)

Firman Allah s.w.t:

إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِهِ صَفًّا كَأَنَّهُمْ بُنْيَانٌ مَرْصُوصٌ

"Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berperang dijalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh" (Surah As-Saff 4).

Nabi SAW juga bersabda:

عليكم بالجماعة و إياكم و الفرقة ، فإن الشيطان مع الواحد ، و هو من الاثنين أبعد ، من أراد بحبوحة الجنة فليلزم الجماعة

"Hendaklah kamu semua elakkan dari perpecahan dan kamu semua hendaklah bersama jammah. Sesungguhnya syaitan akan bersama dengan seorang yang berseorangan dan menjauhkan diri daripada orang yang berdua.Dan sesiapa inginkan hidup di tengah syurga maka ia hendaklah bersama jammah."


Rasulullah bersabda :

يد الله مع الجماعة

"Tangan (kekuatan) Allah bersama jamaah"


Nabi bersabda lagi:

انا امركم بخمس الله تعالي امرني بهن :بالجماعة و السمع , و الطاعة , , و الهجرة , والجهاد فى سبيل الله. فان من فارق الجماعة قيد شبر فقد خلع ربقة الاسلام من عنقه الا ان يراجع فقالوا يا رسوالله : و ان صام و صلي ؟ قال :”و ان قام و صلي وزعم انه مسلم

"Aku menyuruh kamu dengan lima perkara di mana Allah menyuruh aku dengan lima perkara tadi: Bersama jamaah,dengar dan patuh ,berhijrah dan berjihad di jalan Allah. Maka sesungguhnya sesiapa yang keluar meninggalkan jamaah kadar sejengkal maka ia telah mencabut ikatan islam dari tengkoknya sehinggalah ia kembali semula (bersama jamaah). Mereka (sahabat) berkata: Wahai Rasulullah SAW sekalipun orang itu solat dan berpuasa? Baginda bersabda. Sekalipun mereka bersembahyang dan berpuasa dan beranggapan ianya seorang muslim."

Para aktivis Islam yang berpegang dengan nas-nas yang awal berkaitan dengan mengalakkan beruzlah dan melupai atau sengaja melupakan hubungan dengan nas-nas lain yang menyeru kepada pergaulan berjamaah dan hidup di dalam lingkungannya, tidak dapat tidak akan ditimpa penyakit al-Uzlah atau tafarrud.

Bersambung...

# Ketika entri ini dipublishkan penulis mungkin sudah seminggu berada di Yogyakarta atas urusan akademik (jika diizinkan Allah). Maaf kepada respon yang tidak sempat dibalas.

Untuk episod lalu, sila (klik)