Isu DZN ternyata menimbulkan polemik kalangan pelbagai pihak, waima antara aliran pemikiran dalam Islam mahu pun kalangan non-Muslim. Kalangan Muslim bergaduh isu status 'Wahabi atau tidak Wahabi'nya DZN. (Namun saya tidaklah berminat untuk mengulas polemik yang berlaku kalangan Muslim.)
Sementara itu ada di kalangan non-Muslim turut melahirkan kegusaran tentang pendekatan dialog antara agama bersifat 'apologetik'. Beliau dalam ceramahnya dikatakan pernah menghina tuhan kepada penganut agama lain justeru menimbulkan rasa kurang senang kalangan mereka.
Lebih-lebih lagi apabila ia dilihat sebagai suatu bentuk usaha pengislamisasian. Ketaranya kalangan yang Kristian evangelist. Berbanding dengan figur yang hanya mensasarkan kepada golongan Muslim sahaja, atau tidak mengkritik kebatilan agama lain di khayalak tentu bukan masalah.
Demikian juga sebahagian masyarakat non-Muslim tidak menghadapi masalah jika usaha-usaha dakwah itu hanya mensasarkan kepada golongan Muslim sahaja, berbanding dengan yang bukan Islam. Faktornya berpunca daripada Islam di sinonimkan dengan Melayu, dan Melayu dengan Islam (sebagaimana di Timur Tengah, Arab dengan Islam dan Islam dengan Arab.) Walhal tidak semestinya.
Namun itulah yang berlaku apabila masyarakat non-Muslim hendak mendekati atau memeluk Islam, mereka dianggap cuba hendak menjadi Melayu. Orang Melayu kita pula sebahagiannya tidak kurang hebatnya menjadi juara dalam rasuah berbillion, skandal dsb. Kekeliruan ini menyebabkan imej Islam kadang-kadang turut terpalit sama. Masuk Islam, dianggap hilanglah bangsa, tradisi dan hubungan kekeluargaan.
Meskipun ada yang kurang bersetuju, kadang kala kita tidak menafikan pentingnya figur seperti DZN ini, bagi membetulkan misconception terhadap Islam. Kewujudan saluran Islami radio dan televisyen yang sedia ada belum tentu mampu menarik pendengar kalangan bukan Islam (moga-moga). Sebagaimana mentor beliau Syaikh Ahmad Deedat, pendekatan apologetik DZN siginifikan lebih-lebih lagi dalam mendepani golongan evangelist.
Pada saya, apa yang menjadi isu di sini adalah soal pendekatan. Ada yang bersifat naratif yang tidak mengkiritik agama lawan. Ada berbentuk philosophy yang dilihat lebih harmoni dalam meraikan kepelbagaian yang wujud. Demikian juga pendekatan apologetic yang dibawa oleh DZN. Tidak kurang dengan pendekatan yang pernah digunakan oleh Ibn Taimiyyah (1263-1328M) dalam al-Jawāb al-Ṣaḥīḥ liman Baddala Din al-Masīḥ (1999) dan al Qairanawi (1818-1891M) dalam Izhar al-Haq (1989). Kesemuanya mengkritik.
Dalam agama lain tidak kurangnya ada tokoh apologists sedemikian, seperti Kristian ada tokoh seperti Duncan Macdonald dan Samuel Zwemer (1876 – 1952) yang mengkritik agama Islam dan Nabi Muhammad s.a.w dan sehingga menghina!
Cumanya, sebagaimana kita bersedia untuk menyampaikan risalah Islam kepada agama lain, pada masa sama bersedialah juga untuk mendepani figur-figur apologists melalui dialog secara sihat dan harmoni.
Ya, masing-masing mengaku pemiliki mutlak kebenaran. Justeru, kemukakan!
قُلۡ هَاتُواْ بُرۡهَـٰنَڪُمۡ إِن ڪُنتُمۡ صَـٰدِقِينَ
Katakanlah: Bawalah kemari keterangan-keterangan yang (membuktikan kebenaran) apa yang kamu katakan itu, jika betul kamu orang-orang yang benar. (QS Al-Baqarah 2:111)
Janji Tuhan, yang benar pasti muncul dan yang batil pasti terkubur.
Wallahu'alam.
0 comments:
Post a Comment
Kata-kata melambangkan akhlak dan peribadi kita...
Justeru, berhikmahlah dalam melaksanakannya (^ ^,)