Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
“Sesungguhnya perjuangan itu tidak mengenal erti penat & lelah. Demi Islam tercinta, ia perlu diteruskan. Semoga usaha untuk menyampaikan risalah Islam ini diterima Allah sebagai salah satu amal jariah semasa menghadap-Nya pada suatu hari yang pasti akan tiba..”
blog's design by faizassyirazi. Powered by Blogger.

Sunday, 9 March 2014

Lafaz Sakarat


Manusia itu apabila mereka terlalu disibukkan dengan urusan keduniaan kadang-kadang terlupa yang Malaikat maut sentiasa mengintai mereka dari masa ke semasa. Tidak seperti fitrah manusia yang perlukan masa untuk berehat, Malaikat maut sentiasa bekerja setiap masa, selagi mana adanya perintah mencabut nyawa di kerahkan kepada mereka. Ia tidak mengambil kira manusia itu bersedia atau belum, jika dalam suratan takdir sudah mencatatkan sedemikian, maka berlangsung-lah proses yang dinamakan sebagai KEMATIAN! Itulah yang memutuskan segala-galanya baik cita-cita, harapan untuk direalisasikan ketika hidup..


***

أكثروا ذكر هَاذِمِ اللَّذَّاتِ فإنه ما ذكره أحد فى ضيق من العيش إلا وسعه عليه ولا فى سعة إلا ضيقه عليه 

“Perbanyaklah banyak mengingati pemutus kelazatan (iaitu kematian) kerana jika seseorang mengingatinya ketika kehidupannya sempit, maka dia akan merasa lapang dan jika seseorang mengingatnya ketika kehiupannya lapang, maka ia tidak akan tertipu dengan dunia (sehingga lalai akan akhirat).” (HR. Ibnu Hibban dan al Baihaqi).

***

Andainya jika kita sedang sibuk menumpukan pada penulisan tesis dan projek penyelidikan akan meninggalkan tesisnya. Barangkali penyelia kita akan berhenti untuk menyemak hasil kerja yang dilakukan kerana pemiliknya sudah tiada. Kebarangkalian untuk pihak lain menyambung hasil kerja kita cukup mustahil, bahkan mungkin ia diabaikan begitu sahaja. Adapun projek penyelidikan yang dilakukan akan diambil oleh para penyelidik lain untuk dibuat kesimpulan dan penutup. Hasrat untuk bergraduasi atau GOT yang dikejar terpaksa dilupakan kerana ketika itu kita akan lebih risau samada berjaya atau tidak untuk 'bergraduasi' dari UAB (Universiti Alam Barzakh)…


Andainya jika kita sudah berkerjaya, maka segala pangkat, tugasan dan seumpamanya kita tinggalkan. Tempat kita pula telah diambil alih oleh pihak lain untuk diteruskan. Tiada lagi gelaran Profesor, Dr, Ir dan 1001 gelaran yang di bawa. Kereta yang dibeli akan dipulangkan ke bank untuk dilelongkan, dan demikian juga rumah yang disewa. Pakaian kita yang mahal-mahal semuanya diserahkan kepada orang lain dan tiada satu pun harta yang kita bawa. Secebis kain kafan dan kapas penyumbat hidung dan telinga yang menemani itu pun hanya dalam beberapa minggu dapat bertahan kerana setelah itu ia reput dimamah tanah.

Andainya jika kita bercita-cita untuk mendirikan rumah tangga, dengan KEMATIAN segalanya akan terhenti. Segala persiapan yang kita lakukan akan berlalu meninggalkan, termasuklah pasangan yang diidamkan. Sejumlah wang simpanan untuk hantaran dan kenduri kita mula diambil oleh waris keluarganya untuk dimanfaatkan kepada perkara yang lain. Bahkan calon pasangan kita sudah melupakan kita yang tengah disoal mungkar dan nankir. Kerana bagi yang hidup, kehidupan baru perlu diteruskan. Justeru, dipilih pasangan baru dalam hidupnya sekali gus terpadamlah memori kita dari kehidupan mereka.


Andainya jika kita sudah berumah tangga, maka isteri kita akan mendapat pangkat janda sementara anak-anak kita akan bergelar yatim. Walaupun sayang tahap mana pun, hanya setahun sekali pusara kita diziarahi. Itu pun pada raya pertama. Sementara hari lain mereka meneruskan kehidupan seperti sedia kala seadanya.

Andainya kita seorang wakil rakyat, maka kawasan dun dan parlimen yang dimenangi sebelum ini akan dikosongkan kerusinya oleh pihak SPR. Maka proses pemilihan baru akan bermula dalam tempoh 60 hari selepas itu. Setelah terlantiknya orang lain, maka terpadamlah nama kita untuk menjadi wakil kepada rakyat dalam menguruskan hal ehwal mereka. Projek-projek bernilai ratusan juta akan diambil alih oleh pihak lain. Aset milik kerajaan yang dipinjamkan untuk kegunaan, baik kereta atau kediaman rasmi akan dipulangkan dan diserahkan kepada orang lain.


***


KEMATIAN

Itulah penutup kepada segala kenikmatan di dunia. Ironinya kehidupan kita sentiasa berada dalam lingkungan kematian. Mungkin minggu lepas kita mendengar berita pensyarah kita meninggal. Kelmarin saudara kita. Semalam salah seorang rakan kita.


Bahkan di luar sana, hampir saban hari, kita mendengar berita kematian saudara se-Islam kita khususnya di Palestin dan Syria. Pengeboman dan serangan jet tidak pernah sunyi dari dilangsungkan di Yaman, Pakistan, Lubnan, dan Iraq. Pendek kata, kematian itu sentiasa hampir di sekeliling kita walaupun nafsu kita cuba untuk mengaburinya. Siapa tahu esok lusa atau adalah giliran kita. Cepat atau lambat, suka atau benci, bersedia atau tidak, kita pasti akan melaluinya.


كُلُّ نَفْسٍ ذَآئِقَةُ الْمَوْتِ وَإِنَّمَا تُوَفَّوْنَ أُجُورَكُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَمَن زُحْزِحَ عَنِ النَّارِ وَأُدْخِلَ الْجَنَّةَ فَقَدْ فَازَ وَما الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلاَّ مَتَاعُ الْغُرُورِ

“Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahalamu. Barangsiapa dijauhkan dari Neraka dan dimasukkan ke dalam Surga, maka sungguh ia telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdaya.” (QS. Āli `Īmrān 3: 185)

Jika sebelum ini kita banyak bercakap tentang 'memaknai kehidupan', maka seharusnya kita juga perlu banyak bercakap tentang 'memaknai kematian'. Antaranya dengan berusaha untuk menjadikan kematian kita dalam sebaik-baik cara, tanpa dinafikan ia tertakluk pada kehendak qada' dan qadar Allah. Allah beri pilihan dan jalan, untuk kita berusaha memilihnya samada dengan kemuliaan atau kehinaan.

Syahid | Semulia-mulia kematian

Untungnya jika kematian kita jika dapat menimbulkan rasa kehilangan dan kesedihan ramai pihak atas kebaikan yang dilakukan ketika hidup. Kebaikan kita dikenang walaupun sudah bertahun lamanya kita meninggalkan mereka. Malangnya apabila ramai pihak bergembira (bahkan syukur) atas kematian kita banyak menyusahkan mereka dan langsung tidak memberi manfaat kepada mana-mana pihak. Bahkan kematiannya selalu disebut ramai pihak untuk diambil iktibar atas kejahatan yang dilakukan. 

Akhir kalam, berbaki usia dan kesempatan yang ada sama-samalah kita bersedia untuk menjadikan saat kematian kita bermakna…

 ***


P/s: Lagu tema dari filem Sang Kiyai (tonton di sini  untuk menghayati lebih mendalam)

1 comments:

Kata-kata melambangkan akhlak dan peribadi kita...
Justeru, berhikmahlah dalam melaksanakannya (^ ^,)