Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
“Sesungguhnya perjuangan itu tidak mengenal erti penat & lelah. Demi Islam tercinta, ia perlu diteruskan. Semoga usaha untuk menyampaikan risalah Islam ini diterima Allah sebagai salah satu amal jariah semasa menghadap-Nya pada suatu hari yang pasti akan tiba..”
blog's design by faizassyirazi. Powered by Blogger.

Thursday, 5 December 2013

Keberanian dan Pengorbanan: Sebuah Manifestasi

Ada rahsia terpendam di hati Ali yang tidak diceritakannya kepada sesiapa. Fatimah, rakan karib ketika kecilnya, puteri kesayangan Rasulullah itu cukup mempesonakan, budi dan akhlaknya, ibadahnya, kekemasan pekerjaannya, serta rupa parasnya yang baik. Tatkala sepupunya, Rasulullah s.a.w. pulang dengan darah yang menitis dari kepala baginda yang suci itu, selain dipenuhi dengan isu perut unta, Fatimah-lah yang datang membersihkannya dengan penuh cermat dan penuh kasih sayang kepada ayahandanya. Dibakarnya perca kain dan dituamkan ke kepala ayahandanya bagi menghentikan darah yang mengalir.

Semua kerja mulia yang dilakukannya tidak pernah sunyi dari mata yang berlinangan dengan air mata dan hati yang menangis. Muhammad Ibn Abdullah, seorang yang al-Amin langsung tidak layak diperlakukan sedemikian keji oleh kaumnya! Dengan penuh keberanian, gadis cilik itu segera bingkas berjalan gagah menuju ke Kaabah. Tatkala para pembesar Quraisy saling bergelak ketawa atas rasa kepuasan tindakan yang dilakukan, tiba-tiba terbungkam. Fatimah dengan tegas memarahi mereka seolah-olah masa sedang berhenti untuk mereka sempat menjawab setiap hujahnya. Sangat mengagumkan! 

Gambar hiasan

Ali tidak tahu apakah yang dapat dimaksudkan dengan cinta. Terkedu dan tersentak pemuda gagah itu tatkala mendengar khabar yang mengejutkan. Fatimah dilamar oleh seorang lelaki yang cukup akrab dengan bapanya, yang terkenal dengan harta dan jiwanya membela Islam. Dialah Abu Bakar al-Siddiq. Begitu Ali cukup teruji jiwanya dan merasakan, apalah yang ada pada dia jika hendak dibandingkan dengan Abu Bakar. Namun, keimanan yang ada padanya dalam mempertahankan Islam, tidak kurang hebatnya, dan layak digandingkan dengan bapa mertua Nabi itu. Jika Abu Bakar menjadi teman hijrah kepada Nabi s.a.w., Ali pula menaruhkan nyawanya di tempat tidur baginda s.a.w. pada malam yang cukup bersejarah itu. Hampir sahaja pedang musyrikin dilibas ke atas selimut hijau yang menyelubungi tubuh pemuda itu. Ibarat menanti maut.

Namun, mungkin tidak dapat dibandingkan dari sudut dakwah Abu Bakar yang berjaya menarik sejumlah tokoh bangsawan Mekah untuk menerima Islam seperti Uthman, Abdul Rahman Auf, Zubair, Saad Abi Waqash, Mus’ab dan ramai lagi. Peluang ini mungkin tidak ada pada Ali kerana usianya yang masih remaja ketika itu serta kurang bergaul dengan orang dewasa selain Rasulullah s.a.w.



Ali merupakan anugerah istimewa kepada Rasulullah oleh bapa saudaranya, Abu Thalib. Lantaran kecintaan dan kasihnya Nabi kepada bapa saudaranya yang menjadi pembela sepanjang hayatnya, baginda s.a.w. mengasuh Ali dengan penuh nilai tarbiyyahdan ruhIslam.

Dari sudut kewangan, ramai hamba Muslim yang dibebaskan Abu Bakar seperti Bilal, Khabbab, Keluarga Yasir, Abdullah Ibn Mas’ud dan sebagainya. Barangkali kemampuan hartanya lebih dapat membahagiakan Fatimah. Ali hanyalah pemuda yang miskin. 

“Mungkin inilah persaudaraan dan cinta”, gumam Ali. 

“Aku mengutamakan Abu Bakar ke atas diriku dan kebahagiaan Fatimah atas cintaku”, bisik hati murninya.

Cinta tak pernah meminta untuk menanti. Ia mengambil peluang atau mempersilakan. Ia adalah keberanian, atau pengorbanan.


Beberapa waktu berlalu, ternyata Allah menumbuhkan kembali tunas harapan di hatinya yang sempat layu.

Lamaran Abu Bakar ditolak. Dan ’Ali terus bersemangat untuk mempersiapkan diri. Ternyata ujian itu rupanya belum berakhir. Setelah Abu Bakar mundur, datanglah melamar Fatimah seorang laki-laki lain yang gagah dan perkasa, seorang lelaki yang sejak masuk Islamnya membuat kaum Muslimin berani mengangkat muka.

‘Umar al-Khatthab. Ya, al-Faruq, sang pemisah kebenaran dan kebatilan itu juga datang melamar Fatimah. Umar memang masuk Islam lewat, sekitar 3 tahun setelah Abu Bakar. Tapi siapa yang meragukan ketulusannya? Siapa yang meragukankecerdasannya untuk mengejar kefahaman agama? Siapa yang meragukan semua pembelaan semaksimumnya yang hanya ‘Umar dan Hamzah yang mampu memberikannya pada kaum Muslimin? Dan lebih dari itu, Ali mendengar sendiri betapa Nabi pernah berkata, “Aku datang bersama Abu Bakar dan Umar, aku keluar bersama Abu Bakar dan ‘Umar, aku masuk bersama Abu Bakar dan ‘Umar..”


Betapa tinggi kedudukannya di sisi Rasul, di sisi ayah Fatimah. Lalu hendak dibandingkan bagaimana dia berhijrah dan bagaimana ‘Umar melakukannya. Ali menyusul sang Nabi dengan sembunyi-sembunyi, dalam dikejar musuh yang tertekan kerana tak menemukan beliau Shallallaahu ‘Alaihi wa Sallam. Maka dia hanya berjalan di kegelapan malam. Selebihnya, di siang hari dia mencari bayang-bayang bukit pasir. Menanti dan bersembunyi.

Umar telah berangkat sebelumnya. Dia bertawaf tujuh kali, lalu naik ke atas Ka’bah. “Wahai Quraisy”, katanya. “Hari ini putera al-Khatthab akan berhijrah. Barang siapa yang ingin isterinya menjanda, anaknya menjadi yatim, atau ibunya berkabung tanpa henti, silakan menghalang Umar di sebalik bukit ini!” Umar adalah lelaki pemberani. Ali, sekali lagi sedar. Dinilai dari semua segi dalam pandangan orang ramai, dia pemuda yang belum bersedia bernikah. Apatah lagi menikahi Fatimah binti Rasulullah! 

Tidak. Umar jauh lebih layak. Dan Ali reda atas segala ketentuan-Nya.

Cinta tak pernah meminta untuk menanti. Ia mengambil peluang atau mempersilakan. Ia adalah keberanian, atau pengorbanan.


Terpilih Buat yang Terpilih

Maka ‘Ali bingung ketika mendengar khabar lamaran Umar juga ditolak.

Menantu macam apa kiranya yang dikehendaki Nabi? Yang seperti Uthman sang jutawan yang telah menikahi Ruqayyah binti Rasulullah? Yang seperti Abu al-Ash ibn Rabi’kah, saudagar Quraisy itu, suami Zainab binti Rasulullah?

Ah, dua menantu Rasulullah itu sungguh membuatnya hilang kepercayaan diri. Di antara Muhajirin hanya ‘Abdurrahman ibn Auf yang setara dengan mereka. Atau kerana Nabi ingin mengambil menantu dari Anshar untuk mengeratkan kekerabatan dengan mereka? Sa’d ibn Mu’adz kah, sang pemimpin Aus yang tampan dan elegan itu? Atau Sa’d ibn ‘Ubaidah, pemimpin Khazraj yang lincah penuh semangat itu?

“Mengapa bukan engkau yang mencuba wahai saudaraku?”, kalimah teman-teman Ansharnya itu membangunkan lamunan. “Mengapa engkau tak mencuba melamar Fatimah? Aku punya firasat, engkaulah yang ditunggu-tunggu Baginda Nabi.. “

“Aku?”, tanyanya seolah tak yakin.

“Ya. Engkau wahai saudaraku!”

“Aku hanya pemuda miskin. Apa kemampuan yang aku ada?”

“Kami di belakangmu, kawan! Semoga Allah menolongmu!”

Ali pun menghadap Sang Nabi. Maka dengan memberanikan diri, disampaikan hasrat sucinya untuk mengahwini Fatimah. Ya, berkahwin. 

Dia tahu, secara kewangannya tak ada yang menjanjikan apa pada dirinya. Hanya satu set baju besi selain dari tepung kasar untuk dimakannya. Tapi meminta waktu dua atau tiga tahun untuk bersedia? Itu memalukan! Meminta Fatimah menantikannya dalam beberapa tempoh waktu hingga dia bersedia? Seolah-olah belum matang sedangkan usianya sudah cukup dewasa.

“Engkau pemuda sejati wahai Ali!”, begitu nuraninyamemberi suntikan motivasi. Pemuda yang bersedia bertanggungjawab atas cintanya. Pemuda yang siap memikul risiko atas pilihan-pilihannya. Pemuda yang yakin bahawa Allah Maha Kaya. 

Lamarannya berjawab, “Ahlan wa Sahlan!” Kata itu meluncur tenang bersama senyum Sang Nabi.

Ali bingung. Apa maksudnya? Ucapan selamat datang itu sukar untuk dikatakan sebagai isyarat penerimaan atau penolakan. Ah, mungkin Nabi pun bingung untuk menjawab. Mungkin tidak sekarang. Tapi ia sudah ditolak. Itu risiko. Barangkalipenjelasan yang jauh lebih ringan daripada menanggung beban pertanyaan yang tak kunjung berjawab. Apalagi menyimpannya dalam hati sebagai bahtera tanpa pelabuhan. Ah, itu menyakitkan.


“Bagaimana jawab Nabi saudaraku? Bagaimana lamaranmu?” Tanya rakan-rakannya.

“Entahlah..” Jawab Ali dalam dilema.

“Apa maksudmu?” Desak rakan-rakannya untuk kepastian.

“Menurut kalian apakah ‘Ahlan wa Sahlan’ bererti sebuah jawapan?” Tanya Ali untuk pandangan.

“Kamu ini memang terlalu lurus!”, kata mereka.

“Maaf saudaraku.. Maksud kami satu saja sudah cukup untuk jawapan penerimaan lamaran kamu, dan kau mendapatkan dua! Ahlan sahaja sudah bererti ya. Sahlan juga. Dan kau mendapatkan Ahlan wa Sahlan kawan! Dua-duanya bererti ya!”


Dan ‘Ali pun mengahwini Fatimah. Dengan menggadaikan baju besinya. Walaupun ada rumah ingin disumbangkan oleh kawan-kawannya tapi Nabi berkeras agar ia membayar sewanya. Itu hutang.

Dengan keberanian untuk mengorbankan cintanya bagi Abu Bakar, Umar, dan Fatimah. Dengan keberanian untuk menikah. Sekarang. Bukan janji dan penantian lagi.

Ali adalah gentleman sejati. Tidak hairan kalau pemuda Arab memiliki slogan, “Laa fatailla ‘Aliyyan! Tak ada pemuda kecuali Ali!” Inilah jalan cinta para pejuang. Jalan yang mempertemukan cinta dan semua perasaan dengan tanggung jawab. Dan di sini, cinta tak pernah meminta untuk menanti. Seperti Ali. Ia mempersilakan. Atau mengambil kesempatan. Yang pertama adalah pengorbanan. Yang kedua adalah keberanian.


Dan ternyata tak kurang juga yang dilakukan oleh Puteri Sang Nabi, dalam suatu riwayat dikisahkan bahawa suatu hari (setelah mereka menikah) Fatimah berkata kepada ‘Ali, “Maafkan aku wahai suamiku, kerana sebelum berkahwin denganmu, aku pernah sekali jatuh cinta pada seorang pemuda”

Ali terkejut dan berkata, “kalau begitu mengapa engkau mahu berkahwin denganku? Seolah-olah pertanyaan cemburu. “Siapakah pemuda itu?” Tanya Ali lagi untuk kepastian.

Sambil tersenyum Fatimah berkata, “Ya, kerana pemuda itu adalah dirimu” Inilah merupakan saat romantik dari hubungan mereka berdua.


إن الله عز وجل أمرني أن أزوج فاطمة بنت خديجة من علي بن أبي طالب فاشهدوا أني قد زوجته على أربعمائة مثقال فضة إن رضي بذلك علي بن أبي طالب.

Nabi s.a.w. bersabda: 

“Sesungguhnya Allah Azza wa Jalla memerintahkan aku untuk menikahkan Fatimah puteri Khadijah dengan Ali bin Abi Thalib, maka saksikanlah sesungguhnya aku telah menikahkannya dengan mas kahwin empat ratus Fidhdhah (dalam nilai perak), dan Ali reda (menerima) mahar tersebut.”

Kemudian Rasulullah saw. mendoakan kedua buah hatinya itu:

جمع الله شملكما، وأسعد جدكما، وبارك عليكما وأخرج منكما كثيراً طيبا

“Semoga Allah mengumpulkan kesempurnaan kalian berdua, membahagiakan kesungguhan kalian berdua, memberkati kalian berdua, dan mengeluarkan dari kalian berdua kebajikan yang banyak.”



_____


Olahan dari: http://www.eramuslim.com/oase-iman/kisah-cinta-ali-bin-abi-thalib-da-fathimah-az-zahra.htm#.Uo0K2MRng_d | 

Sumber asal dan tahkik: 
Maktabah Syamilah: Kitab al-Riyad al-Nadrah fi al-Manaqib al-‘Asyrah. Al-Thabari, Mahb al-Din Ahmad b. Abdullah, Abu Ja’far. Juz 1. Hlm 251.

____

P/S: Kisah yang baik untuk diteladani akan mafhumnya yang tersurat lagi tersirat khusus buat mereka yang menghayati sepenuhnya. Bahkan alangkah indahnya jika kita mudah untuk mengalirkan air mata dalam menghayati pengorbanan kekasih Allah ini. 

Sengaja saya hendak coretkan kisah kedua-dua insan yang disayangi Nabi s.a.w, iaitu Saidina Ali r.a (A) dan Fatimah r.ah (F) untuk diambil ibrah moga-moga dapat menginspirasikan kita. Pun begitu, janganlah hanya difokus pada aspek romantisnya mereka berdua semata-mata, kerana lebih banyak lagi kisah pengorbanan mereka untuk Islam untuk diperkatakan dan diteladani, dan demikian juga dengan para sahabat Nabi s.a.w yang lain. Justeru, ambillah ibrah di atas setiap apa yang berlaku dalam kehidupan kita.

Entri ini antara lainnya adalah untuk menyahut seruan kedua-dua mentor (Dr. Ataullah Siddiqui & Dr. Jaffary) untuk terus bersemangat dalam memaknai masa berbaki. Kata mereka, "don't think to much...". Bukan apa, sekali-sekala perlu juga perkara sebegini, tidaklah hanya terlalu menumpukan kepada urusan akademik semata-mata. Apatah lagi semua perkara hendak disempurnakan dalam bahasa Inggeris baik tulisannya waima berfikir pun kena 'tarbiyyah' dalam bahasa yang sama. Di sini saya hendak tekankan bahawa bahasa itu teramatlah penting dalam menjadi wasilah kepada penguasaan pelbagai ilmu sekaligus sebagai wasilah dakwah dalam konteks dunia yang semakin mencabar. Biar kita susah untuk Islam, dan jangan Islam itu dilihat susah kerana gagalnya kita menyampaikannya dengan baik.

Di samping itu, suka untuk saya dedikasikan kepada sahabat-sahabat yang sedang memanfaatkan waktu cuti sekolah mereka dengan membina masjid. Maaf lantaran kekangan masa dan keterbatasan tempat untuk menghadiri jemputan. Apa pun, semoga Allah mempermudahkan urusan kalian. Begitu juga kepada mereka yang dalam perancangan.

Another thing, I have some question which called 'soalan cepu emas'. Tahukah bila mereka berdua, Saidina Ali r.a dan Fathimah r.a melangsungkan perkahwinan dalam bulan Islam? 

*Jika berpeluang, jadikan tarikh tersebut sebagai tarikh istimewa dalam hidup kalian mudah-mudahan ada barakahnya di sana.

Wassalam :)

0 comments:

Post a Comment

Kata-kata melambangkan akhlak dan peribadi kita...
Justeru, berhikmahlah dalam melaksanakannya (^ ^,)