Kemenangan Yang Hampir

Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu kemenangan yang nyata (Surah al-Fath 48:1)

Memaknai Hidup Dengan Perjuangan

Jadilah penolong-penolong agama Allah dalam menegakkan agamaNya di muka bumi ini

Kalam Murabbi

Amanat Untuk Pemuda dan Pemudi

Kesatuan Ummah

Kemudian jika kamu berselisih tentang sesuatu perkara, maka kembalilah kepada Allah dan Rasul (Surah An-Nisa’4:59)

Pedulisme dan Faham

Barangsiapa tidak mengambil berat tentang urusan umat Islam, maka bukanlah mereka daripada kalangannya (HR al-Bukhari)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
“Sesungguhnya perjuangan itu tidak mengenal erti penat & lelah. Demi Islam tercinta, ia perlu diteruskan. Semoga usaha untuk menyampaikan risalah Islam ini diterima Allah sebagai salah satu amal jariah semasa menghadap-Nya pada suatu hari yang pasti akan tiba..”
blog's design by faizassyirazi. Powered by Blogger.
Showing posts with label Thaqafah. Show all posts
Showing posts with label Thaqafah. Show all posts

Wednesday, 19 February 2014

Berpolemik Dalam Berpandangan: Antara Sikap dan Pendekatan

Pendahuluan

Berpolemik dan berbeza pendapat merupakan tabiat manusia. Sebagai Sang Pencipta Yang Maha Bijaksana, Allah SWT menghendaki tabiat dan fitrah ini berjalan di atas keimanan yang benar. Justeru, di sana adanya sebuah titik ukur yang kelak menjadi rujukan semua pihak. Allah SWT telah menurunkan kitab panduan dengan kebenaran yang akan menjadi ‘penengah’ bagi umat manusia dalam pelbagai hal yang mereka perselisihkan. Tanpa ‘penengah’ ini, kehidupan yang harmoni tidak akan dapat berlangsung. 

Demikian ketentuan yang telah ditegaskan oleh al-Quran dan dilandaskan di atas asas prinsip tauhid yang absolute. Namun, penyelewengan, fitnah dan pembohongan sentiasa dan terus menerus dilakukan oleh anak cucu Adam, sehingga akhirnya mereka mulai menjauh dari asas yang kuat ini. Dari sini jelas, bahawa manusia tidak akan mampu membezakan antara kebenaran dan kebatilan selagi mereka masih menjadi abdi hawa nafsu dan kesesatan. 

Al-Quran telah hadir dalam kehidupan mereka, namun hawa nafsu telah memesongkan manusia ke pelbagai arah. Kecelaruan matlamat, sikap prejudis, taasub buta, serta kefasiqan telah melemahkan seseorang dalam menerima hukum dan arahan al-Quran dan memalingkan mereka dari merujuk kepada kebenaran yang telah jelas. 


Dalam perspektif al-Quran, keingkaran adalah hal yang telah membawa manusia kepada pertikaian, sikap angkuh dan takabbur. Selain itu, kejahilan (baca: kebodohan) juga merupakan faktor lain dari timbulnya polemik dan perpecahan. Walhal, bukankah telah dinasihatkan al-Qur’an kepada orang yang jahil bertanya kepada orang yang tahu (QS.21:7, 16:43). Oleh yang demikian, tindakan semberono yang dilakukan oleh seorang yang jahil dalam sesuatu perkara adalah merupakan suatu pelanggaran kepada ketetapan Ilahi sekali gus menjadi pemangkin kepada perselisihan yang berpanjangan.

Sikap dan Mentaliti Yang Merugikan

Realiti dunia pada hari ini memperlihatkan berkembang pesatnya perbincangan dan perdebatan di dunia maya khususnya, seiring dengan kepesatan perkembangan sumber maklumat. Di sini setiap orang mempunyai kebebasan untuk mengemukakan pandangan, atau mengkritik pandangan yang tidak dipersetujui. Namun adalah suatu yang merugikan pada mereka yang diberi akal yang sejahtera untuk bertengkar mengenai sesuatu yang tiada maslahahnya kepada dirinya dan lebih-lebih lagi kepada ummah. 


Waima perkara kecil hendak diperbesarkan hanya kerana merasakan diri mereka adalah pemilik mutlak kebenaran sementara pihak yang menyalahinya adalah batil. Lebih malang lagi apabila ia berlaku dalam kalangan mereka yang berpendidikan tinggi, ilmu yang ada gagal menjadikannya lebih matang dalam sudut tahap berfikir dan pendekatan yang digunakan untuk menghadapi suasana persekitaran. Ibarat dua orang Profesor bertelagah antara telur dan ayam, mana yang dahulu. Si Profesor A berkata ayam, kontradik dengan si Profesor B yang beranggapan sebaliknya. Walhal argumentasi tersebut langsung tiada nilai untuk dimanfaatkan.

Kerana itu al-Syahid Imam Hasan al-Banna menasihatkan kepada kita, "Mana-mana umat, apabila mereka sibuk dengan amal, perdebatan akan berkurangan. Apabila umat tersebut ditimpa kelemahan dan kemunduran, semangat mereka akan gugur dan lebih sibuk dengan perdebatan dari amalan."


Pandangan: Antara Menerima dan Hormat

Dunia kesarjanaan sinonim dengan diskusi dan perbincangan ilmiah mengenai sesuatu perkara. Setiap pihak bebas mengemukakan pandangan tanpa disekat atau dinafikan. Soal terima atau tidak itu nombor dua. Dalam proses tersebut, suatu yang mungkin kita terlepas pandang adalah soal menerima dan menghormati sesebuah pandangan. Sesuatu pandangan boleh jadi kita tidak bersetuju berdasarkan argumentasi yang ada, sebagaimana pihak lain boleh tidak bersetuju terhadap pandangan kita.  Itu pada saya normal. Yang tidak normal adalah apabila rasa ketidaksetujuan itu diiringi dengan sikap kurang hormat ke atas pihak yang berlawanan. 

Walaupun ini soal 'basic', namun itu yang menterjemahkan siapa diri kita yang sebenarnya. Sewaktu di Markfield, saya cukup terkesan dengan dua orang ikhwah yang bertelagah dalam isu umat. Walaupun kedua-dua tegas dengan pendirian masing-masing, mereka tetap menggunakan pendekatan yang cukup lembut untuk menangani khilaf yang wujud. Kalam akhir mereka sesama mereka adalah doa, Allah yahdika ya akhi (semoga Allah memberikan petunjuk kepada kamu). 


Ironinya, itulah akhlak yang Islam ajarkan dalam mengurus dan menangani perbezaan pandangan. Sekali pun berbeza, ia tidak sepatutnya dijadikan asbab untuk menyemai perasaan benci sesama manusia, apatah lagi sesama Islam. Dalam kalangan masyarakat kita, realitinya masih kurang dan lebih cenderung untuk menghukum dan mematikan pihak lain. Bahkan lebih malang ada yang sampai tahap takfir sesama pengucap syahadah. Dalam realiti dunia maya, khususnya di facebook, youtube, dan blog, kebanyakan tidak menghiraukan soal ini. Mereka menganggap remeh, tanpa mengira apa yang ditulis itu baik atau tidak, fitnah atau fakta, seolah-olah Si Atid berlepas tangan sebab 'tidak surf internet'. Bab akhlak masih lagi jauh hendak diperkatakan.

Tidak cukup dengan itu, title laknatullah dengan mudah dipalitkan kepada pihak lawan, lebih-lebih lagi apabila tidak bersetuju kepada fahaman yang dianuti biarpun mereka masih dalam kalangan ahli Kiblat. Seboleh-bolehnya pihak itu langsung tidak berani bersuara semula. Lalu dengan mendabik dada berkata, "Kan aku dah kata, akulah yang betul dan dia salah". Mungkin kita terlepas pandang yang al-Qur'an menempelak sikap seumpama ini. Bahkan sifat ini tidak jauh dari sifat 'ana khairun minhu' Iblis yang ditempelak oleh Allah. Iblis bukan sahaja tidak bersetuju dengan arahan yang Allah berikan kepadanya untuk sujud kepada Adam a.s, malah dia memperendah-rendahkan Adam atas sifatnya kejadiannya daripada tanah. Perihal Ego, saya telah bahaskan di sini.


Meneladani Sikap Ūlul Albāb dan Ūlin Nuhā

Berilmu dengan beramal dengan ilmu, dua perkara jelas berbeza. Seseorang yang mempunyai ilmu, belum tentu menjamin dia beramal sepenuhnya dengan ilmu yang dimiliki, baik setinggi mana pun tahap ilmunya. Orang yang ilmunya sedikit, namun diamalkan dengan istiqamah adalah jauh lebih baik dari orang yang ilmunya tinggi, tetapi ilmunya jauh dari apa yang diamalkan. 

Cuba kita perhatikan ibrah daripada kisah Sumayyah r.a, ibu kepada Amar bin Yasir r.a. Beliau memeluk Islam tidak sampai sebulan, namun sedikit ilmu yang dia pelajari dari Nabi s.a.w langsung diamalkan sehingga dia menaruhkan agama dengan nyawanya sendiri. Betapa malunya kita jika ada ilmu bertimbun-timbun, belajar dan khatam beratus jilid kitab agama, tetapi bila timbul antara soal maslahat agama dan peribadi, kita lebih mengutamakan soal peribadi.

Pengamalan dengan ilmu yang ada juga berkait rapat dengan soal keberkatan. Banyak ilmu yang diperolehi, belum tentu menjamin keberkatan, sebagaimana banyaknya harta, anak isteri, rumah besar dan seumpamanya. Soal berkat atau tidak, asas mudah kita perhatikan sejauh mana ilmu itu mendekatkan diri kita dengan Allah. Sifirnya begitu. Jika ilmu atau harta yang kita perolehi menjauhkan kita daripada Allah, umpamanya majlis agama langsung tidak dihadiri atas alasan 'sudah pandai', isu-isu yang berlaku dalam kalangan masyarakat tidak diendah kerana 'tidak berkaitan', maka jawapannya boleh diduga. Begitu juga dengan soal akhlak si pemilik ilmu, apakah ilmu yang diperolehi dapat menjaga tutur katanya dari sifat-sifat mazmumah atau sebaliknya. Apa pun kita memohon perlindungan dari Allah dari perkara sedemikian.

"Ilmu yang berkat adalah ilmu yang semakin dipelajari semakin menghampirkan diri dengan Sang Pencipta" (Imam al-Ghazali)



Adab & Akhlak Dalam Berdiskusi

Selain itu, persoalan mengenai adab dan akhlak tidak dapat dipisahkan kerana antara keduanya saling berkait rapat. Perbincangan mengenai etika diskusi atau dialog banyak dilakukan oleh ramai tokoh cendekiawan dan sarjana Islam, berdasarkan asas-asas yang ditetapkan oleh al-Qur’an dan al-Sunah. Umpamanya Syaikh Ahmad Zamri (1994) dalam karyanya al-Ḥiwār: Ādābuhu wa Ḍawābituhu fi Ḍau’ al-Kitāb wa al-Sunah menekankan keperluan untuk menguasai ilmu adab dalam dialog dan perdebatan. Pihak yang berdialog juga perlu mematuhi adab-adab dialog, samada dari sudut percakapan, tindakan yang telah digariskan oleh al-Qur’an dan al-Sunah.

Isu yang sama dapat dilihat menerusi karya Adab al-Hiwār fī Islām, tulisan Imam al-Syathari (2006). Menurut beliau, dialog perlu disertakan niat yang baik dan bertujuan mencari kebenaran. Dalam hal ini, niat untuk menunjukkan adalah tertolak. Berdasarkan tinjauan beliau terhadap konteks ayat dalam al-Qur’an dan al-Hadis, beliau menggariskan beberapa adab dalam berdiskusi, antaranya; 

  1. Hendaklah bersifat rendah diri sesama mereka
  2. Tidak boleh mencemuh pihak lain
  3. Bukan berasaskan kezaliman atau membantu pihak yang zalim
  4. Hendaklah bersifat adil dalam berbicara dan tidak boleh menzalimi pihak lain 
  5. Hendaklah wujud perasaan kasih sesama mereka 
  6. Setiap penyampaian hujah perlu sopan dan bersifat lemah lembut
  7. Hendaklah pihak yang berdialog bersifat maaf terhadap kesilapan pihak lain 
  8. Hendaklah menjaga percakapan daripada mengundang murka Allah SWT; 
  9. Tidak boleh bercakap melainkan perkataan yang baik sahaja
  10. Menjauhi dari sifat prejudis terhadap pihak lain
  11. Menjauhi sikap memperolok-olokan pihak lain
  12. Hendaklah menjauhi pujian ke atas diri sendiri
  13. Hendaklah menghindari daripada taasub kepada kehebatan diri sendiri.


Selain itu, lihatlah juga betapa banyaknya karya-karya ilmuwan Islam yang menggariskan perkara yang hampir sama mengenai adab dalam berdialog atau berdiskusi seperti Imam Syahin (1996) dalam tulisannya, Adab al-Hiwār fī Islām, Sayyid Muhammad Tantawi (1994) dalam karyanya yang terkenal, Adab al-Ḥiwar fi al-Islām, dan al-Syaikh Abdul Fattah Abu Ghudda (Ashki 2006) dan tokoh-tokoh seumpama mereka.

Justeru, renungkan di mana kedudukan kita sehingga kini, apakah di sana masih ada ciri-ciri Akhlak Islami ketika bermuamalah dengan pihak lain, atau sebaliknya. Baik sehebat mana pun polemik yang berlaku, apa yang penting kita dapat mengurus perbezaan pandangan tersebut dengan baik, sesuai dengan apa yang diajarkan oleh Islam. Akhir kalam, saya titipkan sebuah nasihat dari Syaikh Muhammad Abdullah al-Khatib (1990:5) untuk direnungi:

"Pemuda-pemuda kita yang suci dengan fitrahnya yang sejahtera cenderung ke arah berpegang dengan pengajaran Islam dan begitu bersungguh-sungguh untuk mengamalkannya di kalangan manusia secara sempurna lagi mantap akan menjauhkan diri dari ketegangan dan perkelahian kosong..." 

Semoga bermanfaat, khususnya buat yang menulis.

Saturday, 21 September 2013

Mahar Untuk Syurga

Pasti ada hikmahnya apabila 'terpaksa' melupakan seketika hasrat untuk menyambung entri dunyana wa dunyakum lalu, walaupun sudah hampir sebulan makalah tersebut disiapkan. Maklumlah, dalam fasa-fasa genting dan kritikal sebagai seorang pelajar, banyak perkara yang perlu disusun kembali dari sudut keutamaannya (awlawiyyat). Tanpa kefahaman yang jelas berkait dengan hal ini, boleh mengundang sikap 'menganaktirikan' gerak kerja tertentu, khususnya yang berkait dengan tarbiyyah dan dakwah. Sebagai meraikan suasana semasa ada baiknya dalam entri-entri 'terakhir' saya berkongsi secara ringkas mengenai suatu perkara yang disebut sebagai ujian.


Ujian Merupakan Tarbiyyah Yang Berterusan

Antara 'mahar' yang perlu dibayar untuk mendapat syurga di akhirat, adalah bersabar dan redha atas setiap ujian-Nya di dunia, baik dalam apa jua bentuk dan keadaan. Dalam al-Qur'an, Allah telah menjustifikasikan:

"Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayatNya." (Surah al-Baqarah 155-157)

Kerana itu, seorang Muslim itu perlu beriktikad, tiada suatu bentuk ujian yang dia terima, melainkan dia mampu menghadapinya, waima ia dilihat sebagai suatu yang sangat besar pada perspektif manusiawinya. Umpamanya kita lihat penderitaan yang dihadapi oleh umat Islam di Palestin yang bertahun lamanya hidup dalam penindasan dan kezaliman. Jauh dari sudut hari kita untuk menyatakan kesanggupan menggantikan tempat mereka. Bahkan kadang-kadang kita terfikir, kualiti iman bagaimanakah yang mereka miliki lantas tidak pernah terlintas untuk menyerah dari perjuangan. Kerana mereka mampulah, Allah memberikan ujian sedemikian kepada mereka. Setiap ujian ada indikatornya yang sendiri, sesuai dengan tahap iman seseorang.

Al-Qur'an dalam hal ini mengingatkan: 

“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya..” (Surah al-Baqarah 2:286). 


Tugas: Antara Hamba dan Tuhan

Tugas hamba hanya berikhtiar dan berusaha, dalam menyempurnakan sesebuah urusan. Setelah itu letakkanlah tahap thiqah dan tawakal yang tinggi kepada Allah kerana kerana segala yang kita rancang adalah tertakluk kepada perancangannya. 

Lazimnya kita sering berdoa dan bermunajat kepada-Nya untuk dimakbulkan segala hajat dan keperluan kita sebagai seorang hamba. Fitrahnya, apa yang kita lihat ia sebagai yang terbaik buat diri kita, pasti kita dambakan secepat mungkin ia terealisasi. 


Dalam hal ini, seharusnya kita menyedari bahawa apa yang baik pada pandangan manusia, belum tentu ia baik pada pandangan Allah, tetapi lazimnya bagi manusia yang kurang rasa sabar dan thiqah kepada Allah melihat ia sebagai suatu yang negatif. Sebagai hamba, adalah tidak wajar untuk bercita-cita melakukan tugas Tuhan dalam menentukan apa yang baik baik dan buruk berdasarkan perspektif mereka semata-mata.

Bukankah Dia telah berfirman,

“boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui” (Surah al-Baqarah 2:216). 

Demikian juga dinyatakan, 

“Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu..” (Surah al-Baqarah 2:185).

Perihal ujian, pernah Saad bin Abi Waqqas r.a bertanya kepada Rasulullah saw.: 

“Siapakah orang yang paling berat cubaannya?” Jawab baginda s.a.w, “Di antara orang-orang yang paling berat cubaannya ialah para nabi, kemudian mereka yang seumpama dan seterusnya. Seseorang itu diuji sesuai dengan kadar agamanya. Jika dia mempunyai kekuatan dalam agamanya, maka beratlah ujian yang diterimanya. Sekira agamanya lemah, tentu dia akan diuji sesuai dengan kadar agamanya. Ujian akan selalu datang menimpa seorang hamba selagi dia masih berpijak di atas bumi, dan sehingga tiada lagi kesalahan padanya." (HR al-Tirmidzi) 

Selagi mana kita menelusuri jalan-jalanNya dengan istiqamah, yakinlah bahawa Allah tidak pernah akan mempersia-siakan rintihan hamba-hambaNya, bahkan sengaja Dia kehendaki sedemikian kerana Dia suka mendengar hamba-hambaNya merintih. 

Hal ini mengingatkan saya kepada jawapan Imam Jaa’far al-Sadiq r.a, salah seorang dari tokoh Salaf al-Soleh ketika ditanya, “Adakah penderitaan orang mukmin kerana dosa-dosanya? 



Jawab beliau, “Tidak semestinya. Kadang-kadang Allah suka mendengar aduan dan doa-doa dari hamba-hamba-Nya dan sebagai balasannya Dia akan meningkatkan ganjaran kebaikan dan menghapuskan keburukan daripada dirinya dan menyediakan ganjaran di Hari Pengadilan kelak.” 

Perihal ujian juga, Ibn al-Qayyim dalam mensyarahkan ayat 15-17 dari surah al-Fajr, “Dan sebaliknya apabila dia diuji oleh Tuhannya, dengan disempitkan rezekinya, (dia tidak bersabar bahkan dia resah gelisah) serta mengeluh dengan katanya: Tuhanku telah menghinakan daku! Jangan demikian, (sebenarnya kata-kata kamu itu salah). Bahkan (perbuatan kamu wahai orang-orang yang hidup mewah, lebih salah lagi kerana) kamu tidak memuliakan anak yatim, (malah kamu menahan apa yang Dia berhak menerimanya). Dan kamu tidak menggalakkan untuk memberi makanan (yang berhak diterima oleh) orang miskin” menjelaskan, golongan pertama itu sebenarnya telah diuji dengan beberapa kenikmatan dan golongan yang kedua itu pula telah dimuliakan dengan diberinya cubaan dan ujian."

Akhir kalam, letakkan 100% tahap kesabaran dalam menempuhi bentuk tarbiyyah ini, dan tekadkan bahawa tiada suatu kepayahan dan kesulitan yang ditempuhi melainkan akan disusuli dengan kemudahan dan kejayaan, dan tiada suatu yang mustahil pada Allah realisasikan, biarpun ia mustahil pada pandangan manusia. Allah musta'an. Trust Him!


Tuesday, 27 August 2013

Uzlah: Tinjauan Dari Perspektif Ulama dan Intelektual Haraki | Siri Akhir

*Sedutan pada siri yang lalu (klik)...

Walaupun para pejuang Islam tersebut berhadapan dengan ujian sedemikian berat rupa, namun ianya tidak pernah melunturkan semangat perjuangan mereka sebaliknya menaikkan lagi semangat mereka untuk berjuang. 

Al-Marhum Syaikh Abu Ala al-Mawdudi ketika mana beliau ditahan buat kali kedua pada tahun 1953, disebabkan kegiatan dakwah yang dipandang bahaya oleh pemerintah dan akhirnya membawa kepada hukuman mati. Walaupun beliau diberi peluang supaya membuat rayuan dan meminta kasihan belas dari pemerintah. Beliau dengan tegasnya berkata : 


 “..lebih baik aku menyerah jiwa raga kepada Allah daripada mengemis kepada seseorang pemerintah yang zalim. Jika memang Tuhan menghendaki, maka dengan ikhlas saya menyerahkan jiwa ragaku ini. Tetapi jika bukan dengan kehendakNya, apa pun yang diperbuat, mereka tak akan dapat melakukan sesuatu pun atas diriku..!”.


7-Mendampingi rakan yang memilih al-Uzlah dan bersendirian sebagai cara hidup.

Dalam merealisasikan proses penguzlahan, seseorang yang mempunyai hasrat sedemikian akan memilih rakan-rakan yang telah lama berkecimpung perkara tersebut. Ia dilakukan dengan bertujuan untuk mempelajari metode penguzlahan dengan lebih efektif seterusnya dapat dipraktikkan. Rakan-rakan yang mempunyai fikrah dalam perjuangan seboleh-bolehnya dielakkan daripada bertembung atau bertentang mata dengan mereka untuk mengelakkan mereka daripada diberikan nasihat supaya terus thabat dalam amal Islami. Golongan ini silap kerana mereka menganggap bahawa dengan mengambil jalan tersebut dia akan terlepas daripada taklifan untuk melakukan amal Islami bahkan mereka itu dilaknat oleh Allah SWT seperti mana yang telah diterangkan panjang lebar di atas tadi. (Pen: Demikian juga dengan pemilihan pasangan hidup)



8-Berbilang pertubuhan dan jamaah yang bekerja untuk agama Allah.

Pada dasarnya, jama’ah hanyalah merupakan wasilah dan wadah untuk merealisasikan agenda sesebuah gerakan Islam itu iaitu mendirikan dawlah Islamiyyah namun setiap jama’ah mempunyai cara dan pendekatan mereka yang tersendiri. Anologinya seperti orang yang mahu pergi ke Kuala Lumpur, ada yang menggunakan bas, ada yang menaiki kereta, ada yang menunggang motosikal dan ada pula yang memilih untuk menaiki kapal terbang. Matlamatnya tetap sama, iaitu untuk ke Kuala Lumpur namun apa yang perlu diteliti dan dicermati adalah, kenderaan manakah yang paling selamat, paling praktikal dan terbaik untuk digunakan. Ada yang lebih berisiko untuk menyempurnakan matlamat mereka disebabkan kurangnya ciri-ciri keselamatan pada kenderaan mereka dan itu menyebabkan ramai yang kecundang sebelum sampai ke matlamat.


Amanat Sang Murabbi

Permasalahan mengenai ta’adud jama’ah seharusnya difahami dengan baik akan konsep serta adab-adabnya. Seseorang yang gagal memahami perkara tersebut akan merasakan kepelbagaian jama’ah tersebut merupakan suatu yang tidak seharusnya berlaku seterusnya menyebabkan berlakunya ketaksuban (taksub: baca di sini) kepada jama’ah melebihi kepada Islam itu sendiri. Masing-masing jama’ah akan mendakwa bahawa merekalah jama’ah yang paling benar dan wajib diikuti dan adapun yang lain adalah sebaliknya. Bahkan apa yang lebih terus, terdapat segelintir dari golongan ini mudah-mudah untuk menyesatkan dan mengkufurkan pihak lain yang menurutnya, dia mempunyai hujah yang lebih kukuh untuk membenarkan jama’ahnya. 

Kecelaruan mengenai perkara tersebut jika tidak ditangani maka ianya boleh menyebabkan berlakunya tafarrud dalam jama’ah khususnya di kalangan mereka yang baru berjinak dalam jama’ah lalu kecewa melihat kemelut yang timbul. Islam meraikan semua pandangan selagi mana pandangan itu berasaskan daripada nas-nas yang termaktub di dalam Qur’an dan Sunnah dan al-Syahid Imam Hasan al-Banna serta banyak ulama’ haraki yang lainnya sudah banyak menyentuh mengenai adab di dalam perselisihan pandangan. Hal tersebut boleh dirujuk dengan lebih terperinci di dalam Usul al-‘Isyrin beliau.


9-Kealpaan tentang kesan yang timbul hasil dari perbuatan al-Uzlah sana ada yang berkaitan dengan amilin atau amal Islami.

Kurangnya kefahaman terhadap kesan perbuatan uzlah dengan menganggap ianya adalah perkara yang biasa dan jika beruzlah sekalipun tiada apa yang perlu dirisaukan kerana pastinya akan ada orang lain akan menggantikan tempatnya juga antara perkara yang menyumbang kepada perkara tersebut. Hakikatnya, impak kepada penguzlahan amatlah besar kerana ia melibatkan banyak perkara terutamanya merugikan penguzlah itu sendiri selain daripada berlakunya masalah dalam gerak kerja yang terbantut disebabkan kurangnya amilin yang mahu melaksanakannya buat seketika.  Islam itu tidak pernah rugi jika dikalangan pejuangnya berpaling tadah walaupun kesemua umat di dunia ini menolaknya sekalipun, ianya tetap dipelihara oleh Allah SWT. Allah juga telah menjanjikan akan adanya penegak-penegak agamaNya sehinggalah akhir zaman iaitu Imam Mahdi AS.



Kesimpulan

Demikian beberapa faktor uzlah, tafarrud atau pengasingan diri yang dibincangkan oleh Dr Sayyid Muhammad Nuh (1987) dalam karyanya Āfātun alā al-Ṭarīq. Oleh yang demikian, para amilin (aktivis) dalam gerakan Islam seharusnya sentiasa berwaspada terhadap faktor-faktor yang boleh memutuskan diri kita dengan amal Islami, khususnya dalam program berbentuk tarbiyyah, dakwah dan siasah. Semoga kita tergolongan dalam kalangan mereka yang istiqamah dengan jalan yang dibawa oleh para Nabi dan Rasul alayhimussolatuwassalam...

Wallahu’alam.

Wednesday, 31 July 2013

RiDaTa | The Great 'Conspiracy'



Video kreatif anak muda gen-y yang mempunyai fikrah Islam.


*RiDaTa= Rijal Dakwah dan Tarbiyyah

Sunday, 30 June 2013

Uzlah: Tinjauan Dari Perspektif Ulama dan Intelektual Haraki | Siri iv


Adalah diakui tatkala hendak menulis perkara yang berkait dengan perjuangan Islam baik komitmen dalam gerak kerja, pengorbanan dsb, saya cukup khuatir. Waima saya sendiri, tiada jaminan seperti golongan Salaf al-Soleh yang sentiasa diberikan kekuatan oleh Allah untuk thabat dalam kerja-kerja Islam. Fenomena uzlah atau meminggirkan diri dari gerak kerja Islam boleh jadi terkena kepada kita jika Allah tidak lagi memilih kita, mungkin atas ‘kezaliman’ atau dosa yan telah kita lakukan. Walau bagaimanapun, ia tidak sepatutnya dijadikan halangan untuk saya terus memperingati diri (khususnya) dan para pembaca dalam kalangan aktivis Islam supaya sentiasa muhasabah.


Imbau kembali hadis tentang kambing bersendirian akan dibaham oleh serigala

Pada siri-siri yang lalu (sini, sini dan sini), kita melihat 3 faktor yang menjadi faktor kepada penyakit uzlah; iaitu, i) Berpegang kepada sebahagian nas (uzlah) dan mengabaikan nas (berjuang); Taksub buta dan keliru terhadap amalan uzlah sebahagian Salaf; dan iii) Prejudis terhadap amal jama’ie.

Adapun ciri berikutnya adalah seperti di bawah…


4-Kealpaan untuk memahami tentang tabiat bebanan apabila bersama jamaah dan bergaul dengan orang ramai.

Kadangkala punca mendorong seseorang itu melakukan Uzlah adalah kerana kegagalan memahami tabiat atau nature bebanan yang perlu ditanggung apabila melibatkan diri dalam jamaah dan bergaul dengan orang ramai. Sebenarnya bebanan begitu banyak dan besar. Ia melibatkan seluruh kehidupan insan dari mula penglibatan hinggalah ke hari akhirnya tanpa kesudahan.

Kebiasaannya bebanan yang ditanggung itu adalah bercanggah dengan kemahuan sendiri. Sekiranya para amilin gagal membuat perhitungan tentang perkara ini,dia akan mengabaikan dirinya dari tazkiyyah, tarbiyyah dan mujahadah. Ekoran dari itu, dirinya akan dikuasai oleh perasaan hawa nafsu. Semakin berlalunya hari, dia akan menjadi semakin lemah dan tidak mampu lagi untuk memikul bebanan tadi. Maka pada masa itu, dia akan cuba mencari jalan penyelesaian. Dalam mencari penyelesaian tadi ia tidak berjumpa sebarang jalan dan apa yang dijumpai ialah Uzlah.


5-Membuat ukuran bahawa bergaul dengan orang ramai akan menganggu tumpuan beribadat, padahal ia tidak memahami pengertian ibadat yang sebenar.

Kecenderungan kepada al-Uzlah seringkali berpunca dari ukuran yang diletakkan dihadapannya atau dihadapan orang lain bahawa bergaul dengan orang ramai akan menganggu tumpuan untuk beribadat seperti solat, puasa, membaca al-Quran , berdoa, berzikir, tafakur dan lain-lain lagi. Pendirian yang demikian mengambarkan dia tidak memahami pengertian ibadat yang sebenar.

Ibadat merupakan nama jami’ yang mencakupi semua perlakuan yang disukai dan diredhai oleh Allah dari perkataan dan perbuatan,sama ada yang zahir atau yang batin. Maka sembahyang, zakat, puasa dan haji adalah ibadat. Doa, istighfar, zikir dan membaca al-Quran adalah ibadat. Bercakap benar, menunaikan amanah, berbuat baik kepada ibubapa dan menyambung silaturrahim adalah ibadat.Menunaikan janji adalah ibadat, menyeru kepada kebaikan dan menyuruh kepada yang ma’aruf, mencegah kemungkaran dan berjihad menentang kufar dan golongan munafiqqin adalah ibadat. Berbuat baik kepada jiran, anak yatim, orang-orang miskin, orang yang bermusafir, khadam atau pekerja, mengasihi orang yang lemah dan tidak berupaya, bertimbang rasa kepada binatang adalah ibadat. 

Begitulah juga halnya mencintai Allah dan Rasulnya, takutkan Allah, menyerahkan diri kepadanya, ikhlas di dalam agama kerana Allah, bersabar dalam menerima hukuman Allah, redha keatas apa yang ditentukan oleh Allah, bertawakal kepada Allah, sentiasa mengharapkan rahmat Allah, takut kepada Allah dan lain-lain yang seumpamanya itu adalah ibadat.

6-Membayangkan pelbagai bentuk seksaan dan penderitaan yang menimpa para amilin agama Allah sepanjang sejarah dan lupa tentang sikap dan pendirian mereka.

Sudah menjadi lumrah bagi mereka yang bergelar pejuang Islam tidak boleh tidak pasti tidak akan terlepas daripada menghadapi mehnah dan tribulasi berupa ancaman mahupun siksaan daripada pihak penentang selagi mana seseorang itu berpegang kepada prinsip kebenaran maka selagi itulah mehnah tersebut akan berterusan. Hal ini boleh ditelusuri dan dihayati berdasarkan kisah-kisah para Nabi yang terdahulu yang kebanyakkannya dibunuh dan disiksa oleh penentang mereka dan tidak terkecuali kepada Nabi kita, Muhammad SAW. 

Begitu juga dengan sorotan kisah perjuangan mujahiddin Islam di seluruh dunia yang kebanyakkannya lebih memilih jalan sedemikian semata-mata demi menggapai keredhaan Allah SWT. Nama-nama mujahiddin dan syuhada’ seperti Yahya Ayyash, Syaikh Ahmad Yaasin, Dr. Abdul Aziz Rantisi, Syaikh Abdullah Azzam, Hasan al-Banna, Sayyid Qutb, Abdul Rahman al-Suwayli (Komander Khattab), Syamil Basayev, Ali Syariati, Murtadha Muttahari, al-Mawdudi dan ramai lagi yang kesemuanya hidup mereka memilih untuk menderita dan berkorban demi Islam.

Penyeksaan yang dihadapi oleh setiap pejuang agama ini amatlah tidak terperi ngerinya bagi mereka yang lebih memikirkan risiko di dalam perjuangan berbanding dengan mereka yang menyerahkan sepenuhnya diri mereka kepada jalan Allah SWT ini. Para pejuang Islam yang pernah ditahan ini pastinya sudah merasai ‘nikmat’ sebenar dalam perjuangan seperti dicabut kuku, di water boardingkan, fizikal dan mental sepenuhnya diseksa semata-mata mahu menserikkan mereka dari perjuangan atau dengan erti kata lain supaya mereka itu futur dari perjuangan. 

Walaupun para pejuang Islam tersebut berhadapan dengan ujian sedemikian berat rupa, namun ianya tidak pernah melunturkan semangat perjuangan mereka sebaliknya menaikkan lagi semangat mereka untuk berjuang. Al-Marhum Syaikh Abu Ala al-Mawdudi ketika mana beliau ditahan buat kali kedua pada tahun 1953, disebabkan kegiatan dakwah yang dipandang bahaya oleh pemerintah dan akhirnya membawa kepada hukuman mati. Walaupun beliau diberi peluang supaya membuat rayuan dan meminta kasihan belas dari pemerintah. Beliau dengan tegasnya berkata :

“..saya lebih baik menyerah jiwa raga saya kepada Allah daripada mengemis kepada seseorang pemerintah yang zalim. Jika memang Tuhan menghendaki, maka dengan ikhlas saya menyerahkan jiwa raga saya ini. Tetapi jika bukan dengan kehendakNya, apa pun yang diperbuat, mereka tak akan dapat melakukan sesuatu pun atas diriku..!”.


Insha-Allah bersambung pada siri yang terakhir...

Saturday, 15 June 2013

Uzlah: Tinjauan Dari Perspektif Ulama dan Intelektual Haraki | Siri iii

... sambungan dari Siri II


2-Berpandu kepada sikap al uzlah yang pernah dilakukan oleh sebahagian golongan salaf tanpa memahami tentang suasana yang mendorong mereka berbuat demikian.

Kadangkala perbuatan al-Uzlah dipengaruhi oleh perbuatan tertentu para Nabi dan Rasul serta sebahagian golongan salaf. Mereka disalahfaham dengan mengutamakan hidup beruzlah dari mencampuri dan bergaul dengan jamaah. Asasnya dapat diperhatikan kepada perkataan Nabi Ibrahim a.s kepada kaumnya seperti yang disebut di dalam al-Quran:

وأَعْتَزِلُكُمْ وَمَا تَدْعُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ

“Dan aku akan menjauhkan diri darimu dan dari apa yang kamu seru selain Allah” (Surah Maryam 48)

Adapun faktor yang mendorong Nabi Ibrahim a.s. berbuat demikian adalah kerana melaksanakan program perubahan dan pemulihan. Apabila ia mendapati kaumnya masih bertegas untuk terus berada di dalam kekufuran, di mana ia begitu berbahaya dan dibimbangi akan berlaku fitnah kepada agama, maka baginda terus meninggalkan mereka dan memencilkan diri. Ia bagaimanapun dalam tempoh tertentu dan bukan bersifat selama-lamanya. Kerana itu baginda a.s mencari alternatif dan mekanisme lain dalam membawa mereka kepada Islam.

Dikalangan Salaf Tabi’in, Fudhayl b. Iyad umpamanya pernah mengambil jalan untuk beruzlah daripada perjuangan dan menumpukan hanya kepada ibadatnya sahaja. Melihat kepada sikap beliau, Imam al-Qudwah Abdullah Ibn Mubarak menegurnya dalam syairnya yang masyhur. Ujar beliau:

يا عابدَ الحرمين لو أبصرتْـَنا ... لعلمتَ أنَّكَ في العبادةِ تلعبُ
مَنْ كانَ يخضبُ خدَّه بدموعِه ... فنحورنُـا بدمـائِنا تَتَخْضَبُ
أوكان يتعبُ خيله في بـاطل ... فخيـولنا يوم الصبيحة تتعبُ
ريحُ العبيرٍ لكم ونحنُ عبيرُنا ... رَهَجُ السنابكِ والغبارُ الأطيبُ
ولقد أتـانا مـن مقالِ نبيِنا ... قولٌ صحيحٌ صادقٌ لا يَكذبُ
لا يستوي غبـارُ أهلِ الله في ... أنفِ أمرئٍ ودخانُ نارٍ تَلهبُ
هذا كتابُ الله ينـطقُ بيننا ... ليسَ الشهيدُ بميـتٍ لا يكذبُ

Wahai para ahli ibadah di al-Haramayn ... Kalau kamu menyaksikan kami.. Nescaya kamu akan mengetahui bahawa sesungguhnya kamu bermain-main dalam ibadah.. Kalau orang-orang membasahi pipinya dengan air mata yang mengalir deras.. Maka dengan pengorbanan kami.. Kami mengalirkan darah yang lebih deras.. Kalau kuda-kuda orang kepenatan dalam perkara batil.. Sesungguhnya kuda-kuda kami penat.. Dalam melakukan serangan dan peperangan.. Bau wangi-wangian menjadi milikmu.. Sedangkan bau wangi-wangian kami adalah debu-debu jalanan.. Telah datang kepada kami sabda nabi.. Sabda yang benar jujur dan tidak bohong.. Tidak sama debu kuda-kuda Allah.. Di hidung seseorang dan asap yang menyala-nyala.. Inilah kitab Allah yang berbicara kepada kami.. Bahawa orang mati syahid tidak diragukan lagi.. Tidak sama dengan orang mati biasa...

Teguran tersebut memberikan kesan yang mendalam kepada Fudhayl b. Iyad dan akhirnya membawa kepada perubahan drastik dalam dirinya. Kisah tersebut boleh telah dicatatkan oleh Ibn Asakir di dalam Tarikh Dimasyq beliau. Sesungguhnya mana-mana aktivis Islam yang membaca tentang al-Uzlah yang pernah dilakukan oleh tokoh-tokoh tadi, tanpa mengambil kira suasana dan keadaan yang mereka hadapi sudah pasti akan mendorong melakukan perbuatan yang menyerupai mereka. Tindakan demikian sudah tentu akan melibatkan diri mereka dengan beruzlah yang pasti jauh dari suasana jamaah, sekali pun perbuatan itu tidak ada tabrirnya (tidak ada justifikasinya).


3-Beranggapan bahawa hidup berjamaah akan menghilangkan kewibawaan individu dan menjejaskan keperibadian.

Dalam masa yang sama ia juga melupai tentang manhaj al islam dalam mengimbangi di antara kepentingan individu dan kepentingan jamaah. Kadang kala sebab yang mendorong seseorang aktivis Islam tu kepada perlakuan uzlah ialah kerana ia beranggapan dengan peryertaan dalam jamaah ,maka kewibawaan dirinya akan hilang dan ketokohannya juga terjejas. Dia akan jadi pak turut, kalau orang ramai baik dia akan baik sebaliknya kalau mereka jahat dia akaan jahat dan dia melupai pertimbangaan tentang kepentingan individu dan kepentingan jamaah.

Manhaj islam sebenarnya berperanan menyeru setiap individu agar berada di dalam jamaah dan dia hendaklah terus berada di bawah naungan jamaah, seperti yang telah diterangkan sebelum ini. Selain dari itu hendaklah ditegaskan kepada setiap anggota jamaah bahawa mereka bertanggungjawab sepenuhnya ke atas setiap tindakan yang dilakukannya sendiri. Ayat berikut hendaklah dinyatakan kepada mereka:

وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَى
“Dan orang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain” (Surah Fathir : 18)

كُلُّ نَفْسٍ بِمَا كَسَبَتْ رَهِينَةٌ
“Tiap-tiap diri bertanggung jawab atas apa yang telah diperbuatnya” (Surah al-Muddathir : 38)

لَا تَجْزِي نَفْسٌ عَنْ نَفْسٍ شَيْئًا
“Seseorang tidak dapat membela orang lain, walau sedikitpun” (Surah al-Baqarah : 48)

بَلِ الْإِنْسَانُ عَلَى نَفْسِهِ بَصِيرَةٌ  وَلَوْ أَلْقَى مَعَاذِيرَهُ
“Bahkan manusia itu menjadi saksi atas dirinya sendiri meskipun dia mengemukakan alasan-alasannya.”(Surah al-Qiyamah : 14-15)

وَإِنْ تَدْعُ مُثْقَلَةٌ إِلَى حِمْلِهَا لَا يُحْمَلْ مِنْهُ شَيْءٌ وَلَوْ كَانَ ذَا قُرْبَى
“Dan jika seseorang yang berat dosanya memanggil (orang lain) untuk memikul dosanya itu tiadalah akan dipikulkan untuknya sedikitpun meskipun (yang dipanggilnya itu) kaum kerabatnya” (Surah al-Fathir : 18)


Oleh yang demikian anggota jamaah adalah berkewajipan memberi nasihat kepada setiap jamaah dengan mengikut lunas-lunas, adab dan tatasusila tanpa mengambil kira setinggi mana pun kedudukan ahli yang dinasihati itu. Hadis Rasulullah SAW bersabda:

الدين النصيحة ، قلنا : لمن يا رسول الله ؟ قال : لله ، ولكتابه ، ولرسوله ، ولأئمة المسلمين وعامتهم

"Agama itu nasihat.” Kami bertanya, “Untuk siapa wahai Rosulullah?” Beliau menjawab, “Bagi Allah, kitabNya, dan rasulNya, dan bagi para pemimpin Islam, dan bagi muslimin umumnya."

Dalam Hadis yang lain baginda s.a.w bersabda:

المؤمن مرآة المؤمن و المؤمن أخو المؤمن يكف عليه ضيعته و يحوطه من ورائه

"Orang mukmin laksana cermin bagi mukmin yang lain (untuk membetulkan diri) orang mukmin adalah saudara bagi orang mukmin ,ia menjaga saudaranya dari kehilangan dan orang mukmin dijaga oleh rakan di belakangnya."

Para sahabat telah pun hidup bersama-sama Rasulullah s.a.w dan selepas kewafatan baginda, mereka telah hidup bersama-sama mereka.Sungguhpun demikian, kita tidak pernah mendapati walau  seorang pun dari mereka yang terjejas kewibawaannya kerana berada bersama jamaah. Apa yang kita lihat mereka sentiasa menghayati dan beramal dengan nasihat, syura, amar makruf dan nahi mungkar. Pernah di antara mereka berkata pada Umar: “Sekiranya kami mendapati engkau melakukan penyelewengan, maka kami akan betulkan engkau dengan pedang ini,”

Dengan cara dakwah yang demikian akan terbinalah entiti yang unggul dalam diri setiap muslim yang berketerampilan dan jelas sempadan serta panduan yang akan diikuti. Maka pada masa itu perasaannya akan sentiasa berada di dalam keadaan sedar dan berjaga-jaga atas apa yang menyentuhnya sekalipun jauh. Sesungguhnya anggapan sedemikian dan kelalaian tentang hakikat tadi pasti akan mengheret seseorang aktivis Islam kepada beruzlah, yang sudah semestinya ia dihinggapi oleh wabak yang begitu merbahaya.

to be continue..

Sunday, 9 June 2013

Uzlah: Tinjauan Dari Perspektif Ulama dan Intelektual Haraki | Siri ii

بسم الله.. والصلاة والسلام على رسول لله, وعلى آله ومن ولاه


Tiada sesiapa yang dapat menjamin sejauh mana thabatnya kita sepanjang melalui jalan-jalan dakwah itu melainkan hanya Allah SWT semata-mata menerusi azam dan tekad kita untuk terus bersama-sama dalam gerak kerja Islam.  Dr Sayyid Muhammad Nuh (1987) dalam Āfātun alā al-Ṭarīq menggariskan beberapa faktor penyebab kepada berlakunya gejala futur ini.


Faktor al-Uzlah atau al-Tafarrud

Terdapat beberapa sebab yang menjadikan seseorang itu bersikap al uzlah (mengasingkan diri), diantaranya:

1-Berpegang dengan sebahagian dari nas-nas syarie yang mengalakkan seseorang itu beruzlah, tanpa mengambil kira nas syarie yang lain yang mengalakkan kepada hidup berjamaah.

Memang terdapat sebahagian nas syarie yang memuji perbuatan uzlah bahkan ianya mengalakkan. Sabda Rasulullah S.a.w:

يُوشِكُ أَنْ يَكُونَ خَيْرُ مَالِ اَلْمُسْلِمِ غَنَمًا يَتبع بِهاِ شعف اَلْجِبَالِ وَمَوَاقِعَ اَلْقَطْرِ، يَفِرُّ بِدِينِهِ مِنْ اَلْفِتَنِ

Akan berlaku di mana sebaik-baik harta orang islam ialah kambing yang ia mengekorinya ke puncak bukit dan di tempat mengalirnya air sebagai laluan bagi mengelakkan agamanya dari fitnah.

Maksud hadis di atas sama dengan apa yang pernah dijawab oleh Nabi SAW kepada soalan yang dikemukakan pada baginda.

أي الناس أفضل؟ قال: {مؤمن يجاهد بنفسه وبماله في سبيل الله تعالى}، قال: ثم من ؟ قال: {ثم مؤمن في شعب من الشعاب يعبد الله، ويدع الناس من شره

"Yang mana satukah sebaik-baik manusia? Baginda SAW menjawab: lelaki yang berjuang di jalan Allah dengan harta dan dirinya . Orang  itu bertanya: Lepas itu siapa pula? Baginda menjawab: seseorang yang beriman yang tinggal terpencil di lereng-lereng bukit dengan menyembah Allah sebagai tuhannya dan meninggalkan manusia dari kejahatannya."

Maksud hadis yang sama telah diriwayat oleh Huzaifah bin al-Yaman di mana baginda SAW pernah bersabda:

فاعتزل تلك الفرق كلها، ولو أن تعض على أصل الشجرة حتى يدركك الموت وأنت على ذلك 

"Jauhkan diri kamu dari puak-puak itu kesemuannya sekalipun kamu terpaksa mengigit perdu kayu dengan gigi sehinggalah kamu mati dalam keadaan begitu"

Baginda Rasulullah s.a.w:

‏ من خير معاش الناس لهم رجل ممسك ‏‏ عنان ‏‏ فرسه في سبيل الله ‏ ‏يطير على متنه ‏ ‏كلما سمع ‏ ‏هيعة ‏ ‏أو ‏ ‏فزعة ‏ ‏طار عليه يبتغي القتل والموت ‏ ‏مظانه ‏ ‏أو رجل في غنيمة في رأس ‏ ‏شعفة ‏ ‏من هذه ‏ ‏الشعف ‏ ‏أو بطن واد من هذه الأودية يقيم الصلاة ‏ ‏ويؤتي الزكاة ويعبد ربه حتى يأتيه اليقين ليس من الناس إلا في خير

Di antara kehidupan yang baik bagi manusia ialah lelaki yang memegang tali kengkang kuda dalam berjuang di jalan Allah , kemudian ia memecut di atas belakang kudanya, apabila mendengar suara tempikkan yang memberangsangkan dengan harapan untuk membunuh atau dibunuh,atau lelaki yang tinggal bersama-sama kambingnya di antara puncak-puncak bukit atau di lembah ini dengan mendirikan sembahyang , mengeluarkan zakat dan menyembah Allah sehingga datang kepadanya mati dan kedudukkannya di kalangan manusia sentiasa dalam keadaan baik.

Di samping nas-nas di atas terdapat beberapa nas syarie lain pula menyeru manusia bergerak di bawah panji-panji jamaah dan hidup bersama-sama jammah seperti difirmankan oleh Allah s.w.t.

وتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

"Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan" (Surah Al Maidah 2).

Firman Allah s.w.t:

وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا

"Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai" (Surah Aali Imran 103)

Firman Allah s.w.t:

إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِهِ صَفًّا كَأَنَّهُمْ بُنْيَانٌ مَرْصُوصٌ

"Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berperang dijalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh" (Surah As-Saff 4).

Nabi SAW juga bersabda:

عليكم بالجماعة و إياكم و الفرقة ، فإن الشيطان مع الواحد ، و هو من الاثنين أبعد ، من أراد بحبوحة الجنة فليلزم الجماعة

"Hendaklah kamu semua elakkan dari perpecahan dan kamu semua hendaklah bersama jammah. Sesungguhnya syaitan akan bersama dengan seorang yang berseorangan dan menjauhkan diri daripada orang yang berdua.Dan sesiapa inginkan hidup di tengah syurga maka ia hendaklah bersama jammah."


Rasulullah bersabda :

يد الله مع الجماعة

"Tangan (kekuatan) Allah bersama jamaah"


Nabi bersabda lagi:

انا امركم بخمس الله تعالي امرني بهن :بالجماعة و السمع , و الطاعة , , و الهجرة , والجهاد فى سبيل الله. فان من فارق الجماعة قيد شبر فقد خلع ربقة الاسلام من عنقه الا ان يراجع فقالوا يا رسوالله : و ان صام و صلي ؟ قال :”و ان قام و صلي وزعم انه مسلم

"Aku menyuruh kamu dengan lima perkara di mana Allah menyuruh aku dengan lima perkara tadi: Bersama jamaah,dengar dan patuh ,berhijrah dan berjihad di jalan Allah. Maka sesungguhnya sesiapa yang keluar meninggalkan jamaah kadar sejengkal maka ia telah mencabut ikatan islam dari tengkoknya sehinggalah ia kembali semula (bersama jamaah). Mereka (sahabat) berkata: Wahai Rasulullah SAW sekalipun orang itu solat dan berpuasa? Baginda bersabda. Sekalipun mereka bersembahyang dan berpuasa dan beranggapan ianya seorang muslim."

Para aktivis Islam yang berpegang dengan nas-nas yang awal berkaitan dengan mengalakkan beruzlah dan melupai atau sengaja melupakan hubungan dengan nas-nas lain yang menyeru kepada pergaulan berjamaah dan hidup di dalam lingkungannya, tidak dapat tidak akan ditimpa penyakit al-Uzlah atau tafarrud.

Bersambung...

# Ketika entri ini dipublishkan penulis mungkin sudah seminggu berada di Yogyakarta atas urusan akademik (jika diizinkan Allah). Maaf kepada respon yang tidak sempat dibalas.

Untuk episod lalu, sila (klik)

Friday, 31 May 2013

Uzlah: Tinjauan Dari Perspektif Ulama dan Intelektual Haraki | Siri i


Uzlah atau tafarrud adalah antara fitnah dan penyakit yang bahaya kepada aktivis dalam sesebuah gerakan Islam. Ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja yang tidak memperlengkapkan dirinya dengan kefahaman dan ilmu yang mendalam mengenai amal haraki mahupun jama’ie. Penyakit yang sering menimpa para amilin ialah al-Uzlah (memencilkan atau mengasingkan diri). Oleh yang demikian para aktivis hendaklah berusaha dengan bersungguh-sungguh membersihkan diri mereka dari penyakit ini.


Pengertian Uzlah Atau Tafarrud

Al-Uzlah dari sudut bahasa: ialah menjauh atau menyisihkan. Mengikut kamus lisan arab, Meminggir sesuatu, atau mengenepikan maka dipinggirkan ia. Firman Allah S.W.T:

إِنَّهُمْ عَنِ السَّمْعِ لَمَعْزُولُونَ

“Sesungguhnya mereka benar-benar dijauhkan daripada mendengar Al Quran itu." (Surah al-Syu’ara)

Maka ayat di atas ialah apabila para jin dipanah dengan bintang neraka, mereka dihalang daripada mendengar berita dari langit seperti yang difirmankan oleh Allah dalam menceritakan tentang kenyataan jin tadi iaitu pada firman Allah S.W.T:

وَأَنَّا كُنَّا نَقْعُدُ مِنْهَا مَقَاعِدَ لِلسَّمْعِ فَمَنْ يَسْتَمِعِ الْآَنَ يَجِدْ لَهُ شِهَابًا رَصَدًا

“Dan sesungguhnya kami dahulu dapat menduduki beberapa tempat di langit itu untuk mendengar-dengarkan (berita-beritanya). Tetapi sekarang barangsiapa yang (mencuba) mendengar-dengarkan (seperti itu) tentu akan menjumpai panah api yang mengintai (untuk membakarnya)” (Surah al-Jin :9)

Kenyataan jin ini menjelaskan yang mereka dihalang dari mendengar berita-berita dari langit.


Uzlah: Istilah Duaat

Iaitu dengan mengutamakan penghidupan secara berseorangan (infiradiyyah) dengan meninggalkan penghidupan secara berjamaah. Cara yang demikian menjadikan seseorang aktivis merasai sudah cukup untuknya mendirikan Islam dalam dirinya sendiri, tanpa memperdulikan orang lain, sekalipun orang lain menghadapi kebinasaan atau kehilangan, atau seseorang itu cuba menegakkan islam dalam diri sendiri. Kemudian secara berseorangan ,dia berusaha sedaya upaya untuk menegakkannya di kalangan orang ramai tanpa meminta pertolongan dan sokongan para aktivis lain yang sama-sama berada di medan perjuangan.

Bersambung..

Thursday, 3 November 2011

Hari Esok Untuk Islam (Siri II)

Kemenangan Islam Menurut Al Quran

Menang terhadap agama-agama lain.

" Dia yang mengutuskan RasulNya dengan petunjuk dan agama yang benar(agama Islam), supaya Dia memenangkannya dan meninggikannya atas segala agama yang lain, walaupun orang-orang musyrikin tidak menyukai" (At Taubah: 33)

Mukmin sebagai khalifah di muka bumi .

"Dan Allah telah menjanjikan bagi orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amalan soleh, bahawa Allah akan mengangkat mereka menjadi khalifah di muka bumi, sebagaimana orang-orang dahulu telah menjadi khalifah, dan Allah akan menetapkan agama mereka(Islam) yang diredhainya untuk mereka, dan akan menggantikan ketakutan mereka dengan keamanan. Mereka menyembah Aku dan tidak menyekutukan Aku dengan sesuatu juapun. Barang siapa yang kafir sesudah itu, maka mereka itulah orang yang fasik." (An-Nur: 55)

Pertolongan Allah kepada Mukmin

"Sehinggalah rasul-rasul itu telah berputus asa, dan mereka menyangka bahawa mereka telah didustakan, datanglah kepada mereka pertolongan kami, lalu diselamatkan orang-orang yang kami kehendaki. Dan tidak dapat ditolak siksa kami daripada orang-orang yang berdosa." (Yusuf: 110)

Hancurnya perancangan dan tipu daya musuh

"Mereka memikirkan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya mereka dan Allah adalah sebaik-baik pembalas tipu daya."( Al Anfal: 30)


Kemenangan Islam menurut As Sunnah

Tersebarnya Islam di seluruh alam

Diriwayatkan oleh Tamim Ad Dari, berkata: Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: "Sesungguhnya, urusan ini (Islam) akan sampai ke mana sahaja uang sampai oleh malam dan siang. Allah tidak akan meninggalkan sebuah rumahpun daripada penduduk dusun dan kampung melainkan Allah akan memasukkan ke dalamnya agama ini, sama ada memuliakan orang yang mulia ataupun denga menghina orang yang hina, iaitu Allah muliakan dengan Islam dan menghinakan dengan kekufuran. (Riwayat Ahmad)

Kekuasaan Islam di Timur dan Barat

Daripada Thauban daripada Nabi s.a.w bersabda: " Sesungguhnya Allah telah melipatkan bumi bagiku (menghimpunkan dan mengumpulkannya) lalu akau dapat melihat timur dan baratnya. Sesungguhnya kekuasaan umatku akan sampai ke semua tempat bumi yang dilipatkan bagiku.." (Riwayat Muslim)

Kemenangan Muslimin terhadap Yahudi

Daripada Abu Hurairah, bahawa Nabi s.a.w bersabda: "Tidak berlaku kiamat sehingga muslimin memerangi Yahudi. Mereka dibunuh oleh muslimin sehingga orang yahudi bersembunyi di sebalik batu dan pokok. Batu dan pokok itu berkata: Wahai muslim, wahai hamba Allah, Ini dia yahudi berada dibelakangku. Kemarilah dan bunuhlah dia. Melainkan pokok gharqad. Sesungguhnya ia adalah daripada pokok Yahudi" (Riwayat Muslim)
Kembalinya khalifah di atas manhaj Nubuwwah

Daripada Huzaifah, bahawa Nabi s.a.w bersabda: Berlakunya zaman kenabian di kalangan kamu sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah untuk belaku. Kemudian Allah mengangkatkannya (menghilangkannya) ketika mana dia mengkehendaki. Kemudian berlaku pula khilafah di atas manhaj kenabian. Maka berlangsunglah ia sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah untuk berlaku. 

Kemudian Allah mengangkat ketika mana Dia mengkehendakinya. Kemudian berlakunya pula pemerintahan raja yang 'menggigit' (zalim). Maka berlakula ia sepertimana yang dikehendaki oleh Allah. Kemudian Allah megangkatkannya. Kemudian berlaku pula pemerintahan raja 'paksaan' (kuku besi). Maka berlakulah ia sepertimana yang dikehendaki oleh Allah. Kemudian Allah mengangkatkannya ketika mana dia mengkehendaki. Kemudian berlaku pula khilafah di atas manhaj kenabiaan.

Wallahu'alam..