Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
“Sesungguhnya perjuangan itu tidak mengenal erti penat & lelah. Demi Islam tercinta, ia perlu diteruskan. Semoga usaha untuk menyampaikan risalah Islam ini diterima Allah sebagai salah satu amal jariah semasa menghadap-Nya pada suatu hari yang pasti akan tiba..”
blog's design by faizassyirazi. Powered by Blogger.

Monday 4 January 2016

Menulis Kerana Kebenaran dan Untuk Kebenaran

Perihal menulis...

Ada pihak yang menulis berdasarkan persepsi (pandangan peribadi).

Ada pihak yang menulis berdasarkan pengalaman.

Ada pihak yang menulis berdasarkan disiplin ilmu dan kajian.

Orang yang menulis berdasarkan persepsi lazimnya dipengaruhi oleh persekitaran dan pengamatan peribadi. Sumber dari facebook, youtube, whatsupp dsb dianggap sudah cukup kuat untuk dipegang (ibarat menggengam bara api). Malangnya apa yang dilontarkan belum tentu boleh mencapai 50% (mungkin 30%) tahap kesahihan. Lebih-lebih lagi jika sumber yang diperoleh hanya bersifat hearsay sahaja.


Orang yang menulis berdasarkan pengalaman, biasanya setelah apa yang dialami. Sama ada secara langsung atau tidak. Mungkin ketika belajar di negara orang, atau mungkin bergaul dengan kelompok tertentu. Bertahun-tahun baru dikongsikan supaya dilihat ia sudah cukup matang dan kukuh. Lebih-lebih lagi jika yang menulis itu dalam kalangan orang yang berautoriti (contohnya agamawan), pasti ia mudah diterima ramai. 

Namun sekadar pengalaman belum tentu dapat menjamin kesahihannya. Kerana pengalaman itu 'subjektif'. Setiap orang pasti berbeza pengalaman. Seorang yang mendabik dia alami sekian-sekian berdasarkan pengalamannya, sukar untuk mengubah pendirian pihak lain atas pandangannya yang berbeza. Jawapan paling 'thiqah' sentiasa menjadi sandaran. "Ana kenal sahabat ana tu. Dia pernah cerita kat ana mimpi jumpa bidadari. Jadi ana yakin apa jua tindakannya adalah benar dan tidak ada yang benar melainkan benar-benar belaka"

Manakala orang yang menulis berdasarkan disiplin ilmu, ironinya bukan sekadar persepsi, pengalaman dan kepakaran dalam sesuatu bidang. Justeru dalam penulisan ilmiah saling menggabungkan antara metod (seperti triangulasi); ada sumber karya, jurnal tertentu, kemudian disusuli dengan menemubual responden yang terlibat, dan disusuli dengan pemerhatian (obervasi) bagi melihat ketekalan dapatan daripada ketiga-tiga metod. Mungkin ada yang berkata, sekalipun merujuk kepada bahan ilmiah, apa jaminan ia terpelihara dari unsur tahrif (manipulasi) dalam maklumat? Kata-kata Winston Churchill, "History is written by the victors" ada kebenarannya di situ.

Justeru, kajian akademik sentiasa memerlukan justifikasi, dan boleh jadi dapatannya selari dan boleh jadi berbeza. Bukan sebelum ada kajian, telah diputuskan terlebih dahulu sama ada hipotesis diterima atau ditolak. Kajian hanya dijalankan untuk menguatkan persepsi dan sentimen yang sedia ada.

Dalam sebuah kajian yang baik, jika keputusannya menatijahkan A, kadang-kadang belum tentu ia absolute apabila ada kajian seterusnya menidakkan kajian terdahulu. Vice versa, itulah yang dianggap yang paling diakui kebenarannya untuk waktu itu. Lebih-lebih lagi apabila kajian tersebut berjaya dipertahankan dalam pembentangan (baca: viva).

Demikianlah dalam mengulas apa juga isu, khususnya global; Syria, Turki, Sunni-Shia, Wahabi-Salafi, Barat, konspirasi dsb.

Ironinya, kebanyakan penulisan netizen lebih kepada peribadi, berdasarkan sumber yang terhad dan kurang berautoriti, galak mengulas. Berani memberi pandangan, namun jarang bersedia untuk menerima perbezaan pandangan. Biarpun berpendidikan.

Tidak kurang juga dengan golongan yang hanya bergantung kepada pengalaman peribadi. Berada dengan sesuatu kelompok atau kita pernah pergi ke tempat itu belum tentu melayakkan kita untuk menjadi 'ensiklopedia bergerak' dalam sesuatu isu. Asalkan populis. [Maaf cakap] Penyakit ini kerap melanda golongan agamawan. Justeru kadang kala ada terpedaya dengan belitan iblis. Isu kecil di angkat, dan isu besar dibakul sampahkan. Kalangan Muslim petah untuk dikafirkan walaupun sesama ahli Kiblat, sementara kalangan kafir harbi begitu lantang untuk dipertahankan. Modal saban waktu, "biarlah, itu ijtihad mereka." [Setakat yang pernah diajar di Maahad dan Universiti dahulu, penggunaan ijtihad itu apabila hukum tersebut yang tidak termaktub dalam Quran dan Sunnah. Lalu apakah kita membenarkan pengkafiran atau pembunuhan semasa Islam atas nama 'ijtihad'? Jika demikian tidak salahlah 'ijtihad' IS dan Khawarij selama ini. Mungkin kita terlupa atau belum terbaca tentang peringatan Nabi tentang fitnah-fitnah akhir zaman adalah kalangan agamawan yang berkepentingan, pembaca al-Quran yang jahil]

Manakala orang yang menulis berdasarkan disiplin ilmu, bukan untuk populis. Bukan untuk publisiti murahan. Biar pandangan itu 'rare' di mana umum, namun sandarannya tidak 'rare' dari kebenaran. Mesejnya bukan untuk dipuji atau dianggap paling benar, kerana mereka tidak ada masalah dan bersedia untuk berbincang jika ada pandangan yang menyatakan sebaliknya. 

Tidak semestinya perlu bersetuju, dan bersedia untuk 'agree to disagree' jika itulah natijah akhirnya. Justeru mereka tidak pernah kecewa dek tohaman yang mengecam atau terkubur dek label yang diberikan. Kerana itu mereka tidak pernah jauh dari mengharapkan kuasa Tuhan untuk membuka hati manusia jika itulah kebenaran yang sebenarnya. Jika bukan hari ini, mungkin suatu masa nanti. Mereka mendoakan ummah diberi hidayah, jauh sekali untuk melaknatullahkan kalangan ummah.

Justeru, kita yang sebenarnya adalah apa yang kita tulis dan bicara. Baik, buruk segalanya menatijahkan balasan di akhirat kelak. Bukan untuk siapa-siapa, tetapi untuk kita juga. Sementara masih bernyawa, dikurnia nikmat pancaindera sama-sama beringatlah....

Wallahualam.

0 comments:

Post a Comment

Kata-kata melambangkan akhlak dan peribadi kita...
Justeru, berhikmahlah dalam melaksanakannya (^ ^,)