Kemenangan Yang Hampir

Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu kemenangan yang nyata (Surah al-Fath 48:1)

Memaknai Hidup Dengan Perjuangan

Jadilah penolong-penolong agama Allah dalam menegakkan agamaNya di muka bumi ini

Kalam Murabbi

Amanat Untuk Pemuda dan Pemudi

Kesatuan Ummah

Kemudian jika kamu berselisih tentang sesuatu perkara, maka kembalilah kepada Allah dan Rasul (Surah An-Nisa’4:59)

Pedulisme dan Faham

Barangsiapa tidak mengambil berat tentang urusan umat Islam, maka bukanlah mereka daripada kalangannya (HR al-Bukhari)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
“Sesungguhnya perjuangan itu tidak mengenal erti penat & lelah. Demi Islam tercinta, ia perlu diteruskan. Semoga usaha untuk menyampaikan risalah Islam ini diterima Allah sebagai salah satu amal jariah semasa menghadap-Nya pada suatu hari yang pasti akan tiba..”
blog's design by faizassyirazi. Powered by Blogger.

Monday 31 January 2011

Fitan dalam harakah Islamiyyah III ; Uzlah dan tafarrud


Sang 'serigala' tidak pernah jemu menunggu biri-biri yang bersendirian..

Uzlah atau tafarrud adalah antara fitnah dan penyakit yang bahaya kepada amilin di dalam sesebuah gerakan Islam itu. Ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja yang tidak memperlengkapkan dirinya dengan kefahaman dan ilmu yang mendalam mengenai amal haraki mahupun jama’ie. Penyakit yang sering menimpa para amilin ialah al-Uzlah (memencilkan atau mengasingkan diri). Oleh yang demikian para amilin hendaklah berusaha dengan bersungguh-sungguh membersihkan diri mereka dari penyakit ini.


Al-Uzlah dari sudut bahasa: ialah menjauh atau menyisihkan. Mengikut kamus lisan arab, Meminggir sesuatu, atau mengenepikan maka dipinggirkan ia. Firman Allah S.W.T:

إِنَّهُمْ عَنِ السَّمْعِ لَمَعْزُولُونَ

“Sesungguhnya mereka benar-benar dijauhkan daripada mendengar Al Quran itu."(Surah al-Syu’ara : 212)

Maka ayat di atas ialah apabila para jin dipanah dengan bintang neraka, mereka dihalang daripada mendengar berita dari langit seperti yang difirmankan oleh Allah dalam menceritakan tentang kenyataan jin tadi iaitu pada firman Allah S.W.T:

وَأَنَّا كُنَّا نَقْعُدُ مِنْهَا مَقَاعِدَ لِلسَّمْعِ فَمَنْ يَسْتَمِعِ الْآَنَ يَجِدْ لَهُ شِهَابًا رَصَدًا

“Dan sesungguhnya kami dahulu dapat menduduki beberapa tempat di langit itu untuk mendengar-dengarkan (berita-beritanya). Tetapi sekarang barangsiapa yang (mencoba) mendengar-dengarkan (seperti itu) tentu akan menjumpai panah api yang mengintai (untuk membakarnya)” (Surah al-Jin :9)

Kenyataan jin ini menjelaskan yang mereka dihalang dari mendengar berita-berita dari langit.


Iaitu dengan mengutamakan penghidupan secara berseorangan (infiradiyyah) dengan meninggalkan penghidupan secara berjamaah. Cara yang demikian menjadikan seseorang amilin merasai sudah cukup untuknya mendirikan Islam dalam dirinya sendiri, tanpa memperdulikan orang lain, sekalipun orang lain menghadapi kebinasaan atau kehilangan, atau seseorang itu cuba menegakkan islam dalam diri sendiri. Kemudian secara berseorangan ,dia berusaha sedaya upaya untuk menegakkannya di kalangan orang ramai tanpa meminta pertolongan dan sokongan para amilin lain yang sama-sama berada di medan perjuangan.



Terdapat beberapa sebab yang menjadikan seseorang itu bersikap al uzlah (mengasingkan diri), diantaranya:



Memang terdapat sebahagian nas syarie yang memuji perbuatan uzlah bahkan ianya mengalakkan. Sabda Rasulullah S.a.w:

يُوشِكُ أَنْ يَكُونَ خَيْرُ مَالِ اَلْمُسْلِمِ غَنَمًا يَتبع بِهاِ شعف اَلْجِبَالِ وَمَوَاقِعَ اَلْقَطْرِ، يَفِرُّ بِدِينِهِ مِنْ اَلْفِتَنِ

Akan berlaku di mana sebaik-baik harta orang islam ialah kambing yang ia mengekorinya ke puncak bukit dan di tempat mengalirnya air sebagai laluan bagi mengelakkan agamanya dari fitnah.


Maksud hadis di atas samalah dengan apa yang pernah dijawab oleh Nabi SAW kepada soalan yang dikemukakan pada baginda.

أي الناس أفضل؟ قال: {مؤمن يجاهد بنفسه وبماله في سبيل الله تعالى}، قال: ثم من ؟ قال: {ثم مؤمن في شعب من الشعاب يعبد الله، ويدع الناس من شره

Yang mana satukah sebaik-baik manusia? Baginda menjawab:lelaki yang berjuang di jalan Allah dengan harta dan dirinya. Orang itu bertanya: Lepas itu siapa pula?Baginda menjawab: seseorang yang beriman yang tinggal terpencil di lereng-lereng bukit dengan menyembah Allah sebagai tuhannya dan meninggalkan manusia dari kejahatannya.


Maksud hadis yang sama telah diriwayat oleh Huzaifah bin al-Yaman di mana baginda SAW pernah bersabda:

فاعتزل تلك الفرق كلها، ولو أن تعض على أصل الشجرة حتى يدركك الموت وأنت على ذلك

Jauhkan diri kamu dari puak-puak itu kesemuannya sekalipun kamu terpaksa mengigit perdu kayu dengan gigi sehinggalah kamu mati dalam keadaan begitu

Baginda Rasulullah s.a.w:

من خير معاش الناس لهم رجل ممسك ‏‏ عنان ‏‏ فرسه في سبيل الله ‏ ‏يطير على متنه ‏ ‏كلما سمع ‏ ‏هيعة ‏ ‏أو ‏ ‏فزعة ‏ ‏طار عليه يبتغي القتل والموت ‏ ‏مظانه ‏ ‏أو رجل في غنيمة في رأس ‏ ‏شعفة ‏ ‏من هذه ‏ ‏الشعف ‏ ‏أو بطن واد من هذه الأودية يقيم الصلاة ‏ ‏ويؤتي الزكاة ويعبد ربه حتى يأتيه اليقين ليس من الناس إلا في خير

Di antara penghidupan yang baik bagi manusia ialah lelaki yang memegang tali kengkang kuda dalam berjuang di jalan Allah , kemudian ia memecut di atas belakang kudanya ,apabila mendengar suara tempikkan yang memberangsangkan dengan harapan untuk membunuh atau dibunuh,atau lelaki yang tinggal bersama-sama kambingnya di antara puncak-puncak bukit atau di lembah ini dengan mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat dan menyembah Allah sehingga datang kepadanya mati dan kedudukkannya di kalangan manusia sentiasa dalam keadaan baik.

Disamping nas-nas di atas terdapat beberapa nas syarie lain pula menyeru manusia bergerak di bawah panji-panji jamaah dan hidup bersama-sama jammah seperti difirmankan oleh Allah s.w.t.


وتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

"Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pergaduhan" (Surah al-Maidah : 2).

Firman Allah s.w.t:

وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا

"Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai" (Surah Aali Imran 103)

Firman Allah s.w.t:

إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِهِ صَفًّا كَأَنَّهُمْ بُنْيَانٌ مَرْصُوصٌ

"Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berperang dijalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh" (Surah al-Saff : 4).

Nabi SAW juga bersabda:

عليكم بالجماعة و إياكم و الفرقة ، فإن الشيطان مع الواحد ، و هو من الاثنين أبعد ، من أراد بحبوحة الجنة فليلزم الجماعة

Hendaklah kamu semua elakkan dari perpecahan dan kamu semua hendaklah bersama jammah. Sesungguhnya syaitan akan bersama dengan seorang yang berseorangan dan menjauhkan diri daripada orang yang berdua.Dan sesiapa inginkan hidup di tengah syurga maka ia hendaklah bersama jammah.

يد الله مع الجماعة

Tangan (kekuatan) Allah bersama jamaah

Nabi bersabda lagi:

انا امركم بخمس الله تعالي امرني بهن :بالجماعة و السمع , و الطاعة , , و الهجرة , والجهاد فى سبيل الله. فان من فارق الجماعة قيد شبر فقد خلع ربقة الاسلام من عنقه الا ان يراجع فقالوا يا رسوالله : و ان صام و صلي ؟ قال :”و ان قام و صلي وزعم انه مسلم

Aku menyuruh kamu dengan lima perkara di mana Allah menyuruh aku dengan lima perkara tadi: Bersama jamaah,dengar dan patuh ,berhijrah dan berjihad di jalan Allah. Maka sesungguhnya sesiapa yang keluar meninggalkan jamaah kadar sejengkal maka ia telah mencabut ikatan islam dari tengkoknya sehinggalah ia kembali semula (bersama jamaah). Mereka (sahabat) berkata: Wahai Rasulullah SAW sekalipun orang itu solat dan berpuasa? Baginda bersabda. Sekalipun mereka bersembahyang dan berpuasa dan beranggapan ianya seorang muslim.

Para amilin yang berpegang dengan nas-nas yang awal berkaitan dengan mengalakkan beruzlah dan melupai atau sengaja melupakan hubungan dengan nas-nas lain yang menyeru kepada pergaulan berjamaah dan hidup di dalam lingkungannya, tidak dapat tidak akan ditimpa penyakit al-Uzlah atau tafarrud.



Kadangkala pelakuan al-Uzlah adalah dipengaruhi oleh perbuatan golongan salaf, di mana golongan ini mengutamakan hidup beruzlah dari mencampuri dan bergaul dengan jamaah. Cuba perihatikan perkataan nabi Ibrahim a.s. kepada kaumnya seperti yang disebut di dalam al-Quran:

وأَعْتَزِلُكُمْ وَمَا تَدْعُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ

“Dan aku akan menjauhkan diri darimu dan dari apa yang kamu seru selain Allah” (Surah Maryam 48)

Adapun yang mendorong Nabi Ibrahim a.s. berbuat demikian adalah melaksanakan program perubahan dan pemulihan. Apabila ia mendapati kaumnya masih bertegas untuk terus berada di dalam kekufuran, di mana ianya begitu merbahaya dan dibimbangi akan berlaku fitnah kepada agama, maka baginda terus meninggalkan mereka dan memencilkan diri.



Seorang dikalangan tokoh ulama’ Tabi’in, Fudhayl b. Iyad yang merupakan seorang tokoh ulama tersohor di dua tanah haram pernah mengambil jalan untuk beruzlah daripada perjuangan dan menumpukan hanya kepada ibadatnya sahaja. Melihat kepada sikap beliau, sahabatnya, Abdullah Ibn Mubarak menegurnya di dalam syairnya yang masyhur. Kata Abdullah Ibn Mubarak :

يا عابدَ الحرمين لو أبصرتْـَنا ... لعلمتَ أنَّكَ في العبادةِ تلعبُ
مَنْ كانَ يخضبُ خدَّه بدموعِه ... فنحورنُـا بدمـائِنا تَتَخْضَبُ
أوكان يتعبُ خيله في بـاطل ... فخيـولنا يوم الصبيحة تتعبُ
ريحُ العبيرٍ لكم ونحنُ عبيرُنا ... رَهَجُ السنابكِ والغبارُ الأطيبُ
ولقد أتـانا مـن مقالِ نبيِنا ... قولٌ صحيحٌ صادقٌ لا يَكذبُ
لا يستوي غبـارُ أهلِ الله في ... أنفِ أمرئٍ ودخانُ نارٍ تَلهبُ
هذا كتابُ الله ينـطقُ بيننا ... ليسَ الشهيدُ بميـتٍ لا يكذبُ

Wahai para ahli ibadah di al-Haramayn
Kalau kamu menyaksikan kami..
Nescaya kamu akan mengetahui bahawa sesungguhnya kamu bermain-main dalam ibadah..
Kalau orang-orang membasahi pipinya dengan air mata yang mengalir deras..
Maka dengan pengorbanan kami..
Kami mengalirkan darah yang lebih deras..
Kalau kuda-kuda orang kepenatan dalam perkara batil..
Sesungguhnya kuda-kuda kami penat..
Dalam melakukan serangan dan peperangan..
Bau wangi-wangian menjadi milikmu..
Sedangkan bau wangi-wangian kami adalah debu-debu jalanan..
Telah datang kepada kami sabda nabi..
Sabda yang benar jujur dan tidak bohong..
Tidak sama debu kuda-kuda Allah..
Di hidung seseorang dan asap yang menyala-nyala..
Inilah kitab Allah yang berbicara kepada kami..
Bahawa orang mati syahid tidak diragukan lagi..
Tidak sama dengan orang mati biasa...

Teguran tersebut memberikan kesan yang mendalam kepada Fudhayl b. Iyad dan akhirnya membawa kepada perubahan drastik dalam dirinya. Kisah tersebut boleh telah dicatatkan oleh Ibn Asakir di dalam Tarikh Dimasyq beliau. Sesungguhnya mana-mana amilin yang membaca tentang al-Uzlah yang pernah dilakukan oleh tokoh-tokoh tadi, tanpa mengambil kira suasana dan keadaan yang mereka hadapi sudah pasti akan mendorong melakukan perbuatan yang menyerupai mereka.Tindakan demikian sudah tentu akan melibatkan diri mereka dengan beruzlah yang pasti jauh dari suasana jamaah, sekali pun perbuatan itu tidak ada tabrirnya (tidak ada justifikasinya).



Dalam masa yang sama ia juga melupai tentang manhaj al islam dalam mengimbangi di antara kepentingan individu dan kepentingan jamaah. Kadang kala sebab yang mendorong seseorang amilin itu kepada perlakuan uzlah ialah kerana ia beranggapan dengan peryertaan dalam jamaah ,maka kewibawaan dirinya akan hilang dan ketokohannya juga terjejas.Dia akan jadi pak turut,kalau orang ramai baik dia akan baik sebaliknya kalau mereka jahat dia akaan jahat dan dia melupai pertimbangaan tenteng kepentingan individu dan kepentingan jamaah.

Manhaj islam sebenarnya berperanan menyeru setiap individu agar berada di dalam jamaah dan dia hendaklah terus berada di bawah naungan jamaah, seperti yang telah diterangkan sebelum ini. Selain dari itu hendaklah ditegaskan kepada setiap anggota jamaah bahawa mereka bertanggungjawab sepenuhnya ke atas setiap tindakan yang dilakukannya sendiri. Ayat berikut hendaklah dinyatakan kepada mereka:

وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَى

“Dan orang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain” (Surah Fathir : 18)


كُلُّ نَفْسٍ بِمَا كَسَبَتْ رَهِينَةٌ

“Tiap-tiap diri bertanggung jawab atas apa yang telah diperbuatnya” (Surah al-Muddathir : 38)


لَا تَجْزِي نَفْسٌ عَنْ نَفْسٍ شَيْئًا

“Seseorang tidak dapat membela orang lain, walau sedikitpun” (Surah al-Baqarah : 48)


بَلِ الْإِنْسَانُ عَلَى نَفْسِهِ بَصِيرَةٌ وَلَوْ أَلْقَى مَعَاذِيرَهُ

“Bahkan manusia itu menjadi saksi atas dirinya sendiri meskipun dia mengemukakan alasan-alasannya.” (Surah al-Qiyamah : 14-15)


وَإِنْ تَدْعُ مُثْقَلَةٌ إِلَى حِمْلِهَا لَا يُحْمَلْ مِنْهُ شَيْءٌ وَلَوْ كَانَ ذَا قُرْبَى

“Dan jika seseorang yang berat dosanya memanggil (orang lain) untuk memikul dosanya itu tiadalah akan dipikulkan untuknya sedikitpun meskipun (yang dipanggilnya itu) kaum kerabatnya” (Surah al-Fathir : 18)

Oleh yang demikian anggota jamaah adalah berkewajipan memberi nasihat kepada setiap jamaah dengan mengikut lunas-lunas, adab dan tatasusila tanpa mengambil kira setinggi mana pun kedudukan ahli yang dinasihati itu. Hadis Rasulullah SAW bersabda:

الدين النصيحة ، قلنا : لمن يا رسول الله ؟ قال : لله ، ولكتابه ، ولرسوله ، ولأئمة المسلمين وعامتهم

Agama itu nasihat.” Kami bertanya, “Untuk siapa wahai Rosulullah?” Beliau menjawab, “Bagi Allah, kitabNya, dan rasulNya, dan bagi para pemimpin Islam, dan bagi muslimin umumnya.

Dalam Hadis yang lain baginda s.a.w bersabda:

المؤمن مرآة المؤمن و المؤمن أخو المؤمن يكف عليه ضيعته و يحوطه من ورائه

Orang mukmin laksana cermin bagi mukmin yang lain (untuk membetulkan diri) orang mukmin adalah saudara bagi orang mukmin, ia menjaga saudaranya dari kehilangan dan orang mukmin dijaga oleh rakan di belakangnya.

Para sahabat telah pun hidup bersama-sama Rasulullah s.a.w dan selepas kewafatan baginda, mereka telah hidup bersama-sama mereka. Sungguh pun demikian, kita tidak pernah mendapati walau seorang pun dari mereka yang terjejas kewibawaannya kerana berada bersama jamaah. Apa yang kita lihat mereka sentiasa menghayati dan beramal dengan nasihat,syura,amar makruf dan nahi mungkar. Pernah diantara mereka berkata pada Umar: “Sekiranya kami mendapati engkau melakukan penyelewengan, maka kami akan betulkan engkau dengan pedang ini,”

Dengan cara dakwah yang demikian akan terbinalah entiti yang unggul dalam diri setiap muslim yang berketerampilan dan jelas sempadan serta panduan yang akan diikuti. Maka pada masa itu perasaannya akan sentiasa berada di dalam keadaan sedar dan berjaga-jaga atas apa yang menyentuhnya sekalipun jauh. Sesungguhnya anggapan sedemikian dan kelalaian tentang hakikat tadi pasti akan mngheret seseorang amilin kepada beruzlah, yang sudah semestinya ia dihinggapi oleh wabak yang begitu merbahaya.



Kadangkala punca mendorong sesorang itu melakukan Uzlah adalah kerana kegagalan memahami tabiat atau nature bebanan yang perlu ditanggung apabila melibatkan diri dalam jamaah dan bergaul dengan orang ramai. Sebenarnya bebanan begitu banyak dan besar. Ianya melibatkan seleruh kehidupan insan dari mula penglibatan hinggalah ke hari akhirnya tanpa kesudahan.

Kebiasaannya bebanan yang ditanggung itu adalah bercanggah dengan kemahuan sendiri. Sekiranya para amilin gagal membuat perhitungan tentang perkara ini,dia akan mengabaikan dirinya dari tazkiyyah, tarbiyyah dan mujahadah. Ekoran dari itu, dirinya akan dikuasai oleh perasaan hawa nafsu. Semakin berlalunya hari, dia akan menjadi semakin lemah dan tidak mampu lagi untuk memikul bebanan tadi. Maka pada masa itu, dia akan cuba mencari jalan penyelesaian. Dalam mencari penyelesaian tadi ia tidak berjumpa sebarang jalan dan apa yang dijumpai ialah Uzlah.



Kadang kala dorongan kepada al-Uzlah ialah berpunca dari ukuran yang diletakkan dihadapannya atau dihadapan orang lain bahawa bergaul dengan orang ramai akan menganggu tumpuan untuk beribadat seperti solat, puasa, membaca al-Quran , berdoa, berzikir, tafakur dan lain-lain lagi. Pendirian yang demikian mengambarkan dia tidak memahami pengertian ibadat yang sebenar .

Ibadat merupakan nama jami’ yang mencakupi semua perlakuan yang disukai dan diredhai oleh Allah dari perkataan dan perbuatan,sama ada yang zahir atau yang batin. Maka sembahyang, zakat, puasa dan haji adalah ibadat. Doa, istighfar, zikir dan membaca al-Quran adalah ibadat. Bercakap benar, menunaikan amanah, berbuat baik kepada ibubapa dan menyambung silaturrahim adalah ibadat. Menunaikan janji adalah ibadat, menyeru kepada kebaikan dan menyuruh kepada yang ma’aruf, mencegah kemungkaran dan berjihad menentang kufar dan golongan munafiqqin adalah ibadat. Berbuat baik kepada jiran, anak yatim, orang-orang miskin, orang yang bermusafir, khadam atau pekerja, mengasihi orang yang lemah dan tidak berupaya, bertimbang rasa kepada binatang adalah ibadat. Begitulah juga halnya mencintai Allah dan Rasulnya, takutkan Allah, menyerahkan diri kepadanya, ikhlas di dalam agama kerana Allah, bersabar dalam menerima hukuman Allah, redha keatas apa yang ditentukan oleh Allah, bertawakal kepada Allah, sentiasa mengharapkan rahmat Allah, takut kepada Allah dan lain-lain yang seumpamanya itu adalah ibadat.



Adalah sudah menjadi lumrah bagi mereka yang bergelar pejuang Islam tidak boleh tidak pasti tidak akan terlepas daripada menghadapi mehnah dan tribulasi berupa ancaman mahupun siksaan daripada pihak penentang selagi mana seseorang itu berpegang kepada prinsip kebenaran maka selagi itulah mehnah tersebut akan berterusan. Hal ini boleh ditelusuri dan dihayati berdasarkan kisah-kisah para Nabi yang terdahulu yang kebanyakkannya dibunuh dan disiksa oleh penentang mereka dan tidak terkecuali kepada Nabi kita, Muhammad SAW.

Begitu juga dengan sorotan kisah perjuangan mujahiddin Islam di seluruh dunia yang kebanyakkannya lebih memilih jalan sedemikian semata-mata demi menggapai keredhaan Allah SWT. Nama-nama mujahiddin dan syuhada’ seperti Yahya Ayyash, Syaikh Ahmad Yaasin, Dr. Abdul Aziz Rantisi, Syaikh Abdullah Azzam, Hasan al-Banna, Sayyid Qutb, Abdul Rahman al-Suwayli (Komander Khattab), Syamil Basayev, Ayatullah Baqir Sadr, Imam Khomeini, Murtadha Muttahari, al-Mawdudi dan ramai lagi yang kesemuanya hidup mereka berpenghujungkan penderitaan dan pengorbanan.

Penyeksaan yang dihadapi oleh setiap pejuang agama ini amatlah tidak terperi ngerinya bagi mereka yang lebih memikirkan risiko di dalam perjuangan berbanding dengan mereka yang menyerahkan sepenuhnya diri mereka kepada jalan Allah SWT ini. Para pejuang Islam yang pernah ditahan ini pastinya sudah merasai ‘nikmat’ sebenar dalam perjuangan seperti dicabut kuku, di water boardingkan, fizikal dan mental sepenuhnya diseksa semata-mata mahu menserikkan mereka dari perjuangan atau dengan erti kata lain supaya mereka itu futur dari perjuangan.

Walaupun para pejuang Islam tersebut berhadapan dengan ujian sedemikian berat rupa, namun ianya tidak pernah melunturkan semangat perjuangan mereka sebaliknya menaikkan lagi semangat mereka untuk berjuang. Al-Marhum Syaikh Abu Ala al-Mawdudi ketika mana beliau ditahan buat kali kedua pada tahun 1953, disebabkan kegiatan dakwah yang dipandang bahaya oleh pemerintah dan akhirnya membawa kepada hukuman mati. Walaupun beliau diberi peluang supaya membuat rayuan dan meminta kasihan belas dari pemerintah. Beliau dengan tegasnya berkata :

“..aku lebih baik menyerah jiwa ragaku kepada Allah daripada mengemis kepada seseorang pemerintah yang zalim. Jika memang Tuhan menghendaki, maka dengan ikhlas aku akan menyerahkan jiwa raga ini. Tetapi jika bukan dengan kehendakNya, apa pun yang diperbuat, mereka tak akan dapat melakukan sesuatu pun atas diriku..!”.



Dalam merealisasikan proses penguzlahan, seseorang yang mempunyai hasrat sedemikian akan memilih rakan-rakan yang telah lama berkecimpung perkara tersebut. Ianya dilakukan dengan bertujuan untuk mempelajari metod penguzlahan dengan lebih efektif seterusnya dapat dipraktikkan. Rakan-rakan yang mempunyai fikrah dalam perjuangan seboleh-bolehnya dielakkan daripada bertembung atau bertentang mata dengan mereka untuk mengelakkan mereka daripada diberikan nasihat supaya terus thabat dalam amal Islami. Golongan ini silap kerana mereka menganggap bahawa dengan mengambil jalan tersebut dia akan terlepas daripada taklifan untuk melakukan amal Islami bahkan mereka itu dilaknat oleh Allah SWT seperti mana yang telah diterangkan panjang lebar di atas tadi.



Pada dasarnya, jama’ah hanyalah merupakan wasilah dan wadah untuk merealisasikan agenda sesebuah gerakan Islam itu iaitu mendirikan dawlah Islamiyyah namun setiap jama’ah mempunyai cara dan pendekatan mereka yang tersendiri. Anologinya seperti orang yang mahu pergi ke Kuala Lumpur, ada yang menggunakan bas, ada yang menaiki kereta, ada yang menunggang motosikal dan ada pula yang memilih untuk menaiki kapal terbang. Matlamatnya tetap sama, iaitu untuk ke Kuala Lumpur namun apa yang perlu diteliti dan dicermati adalah, kenderaan manakah yang paling selamat, paling praktikal dan terbaik untuk digunakan. Ada yang lebih berisiko untuk menyempurnakan matlamat mereka disebabkan kurangnya ciri-ciri keselamatan pada kenderaan mereka dan itu menyebabkan ramai yang kecundang sebelum sampai ke matlamat.

Permasalahan mengenai ta’adud jama’ah seharusnya difahami dengan baik akan konsep serta adab-adabnya. Seseorang yang gagal memahami perkara tersebut akan merasakan kepelbagaian jama’ah tersebut merupakan suatu yang tidak seharusnya berlaku seterusnya menyebabkan berlakunya ketaksuban kepada jama’ah melebihi kepada Islam itu sendiri. Masing-masing jama’ah akan mendakwa bahawa merekalah jama’ah yang paling benar dan wajib diikuti dan adapun yang lain adalah sebaliknya. Bahkan apa yang lebih terus, terdapat segelintir dari golongan ini mudah-mudah untuk menyesatkan dan mengkufurkan pihak lain yang menurutnya, dia mempunyai hujah yang lebih kukuh untuk membenarkan jama’ahnya.

Kecelaruan mengenai perkara tersebut jika tidak ditangani maka ianya boleh menyebabkan berlakunya tafarrud dalam jama’ah khususnya di kalangan mereka yang baru berjinak dalam jama’ah lalu kecewa melihat kemelut yang timbul. Islam meraikan semua pandangan selagi mana pandangan itu berasaskan daripada nas-nas yang termaktub di dalam Qur’an dan Sunnah dan al-Syahid Imam Hasan al-Banna serta banyak ulama’ haraki yang lainnya sudah banyak menyentuh mengenai adab di dalam perselisihan pandangan. Hal tersebut boleh dirujuk dengan lebih terperinci di dalam Usul ‘Isyrin beliau.



Kurangnya kefahaman terhadap kesan perbuatan uzlah dengan menganggap ianya adalah perkara yang biasa dan jika beruzlah sekalipun tiada apa yang perlu dirisaukan kerana pastinya akan ada orang lain akan menggantikan tempatnya juga antara perkara yang menyumbang kepada perkara tersebut. Hakikatnya, impak kepada penguzlahan amatlah besar kerana ia melibatkan banyak perkara terutamanya merugikan penguzlah itu sendiri selain daripada berlakunya masalah dalam gerak kerja yang terbantut disebabkan kurangnya amilin yang mahu melaksanakannya buat seketika. Islam itu tidak pernah rugi jika dikalangan pejuangnya berpaling tadah walaupun kesemua umat di dunia ini menolaknya sekalipun, ianya tetap dipelihara oleh Allah SWT. Allah juga telah menjanjikan akan adanya penegak-penegak agamaNya sehinggalah akhir zaman iaitu Imam Mahdi AS.

* Sila baca (klik) pada entri Fitan dalam harakah Islamiyyah I dan Fitan dalam harakah Islamiyyah II untuk menambahkan lagi kefahaman dalam isu ini.

Wallahu’alam.. Muhasabah bersama..

Rujukan :
1. Rintangan Dalam Perjalanan oleh Dr Sayyid Muhammad Nuh
2. al-Mutasaqitun ala Tariq al-Dakwah oleh al-Marhum Ust Fathi Yakan
3. al-Akhta’ al-Sittah li al-Harakah al-Islamiyyah bi al-Maghrib ; Inhiraf Istasna’ie fi al-Fakr wa al-Mumarasah oleh Dr. Farid al-Ansari
4. Usul al-‘Isyrin oleh al-Syahid Imam Hasan al-Banna


Sunday 30 January 2011

Barah ego dalam qiadah Islam


Ego, antara sifat Iblis dan kerana sifat 'Ana khairun minhu' itulah dia dilucutkan Allah SWT akan maqamnya daripada Azazil kepada sehina-hina maqam iaitu Iblis. Demikianlah yang dinyatakan oleh al-Imam Ibn Kathir di dalam al-Bidayah wa al-Nihayah berkenaan dengan martabat Iblis tersebut. Sifat ego atau boleh dibahasakan sebagai takabbur ini labudda akan meresapi mana-mana dikalangan individu tanpa berkecuali apatah lagi menurut persepsinya dia mempunyai kelebihan berbanding dengan orang lain. Apabila sifat ini menguasai diri seseorang itu maka ianya pasti akan menyebabkan wujudnya masalah khususnya di dalam tanzim (organisasi) itu. Cuba semak adakah ada pada kita khususnya di kalangan mereka yang bergelar pimpinan dan ahli haraki akan ciri-ciri tersebut :


1. Bila jawapan yang diberi betul, dia akan rasa terhibur, senang hati dan bangga.

Jawapan yang betul itu adalah menurut pengetahuannya sendiri apatah lagi jika dia ditanya oleh individu-individu yang berpangkat besar atau ilmunya tinggi lalu dia dapat memberikan jawapan dengan baik. Apa sahaja yang dipersoalkan akan cuba dijawabnya biarpun pada hakikatnya dia itu jahil akan pengertiannya yang sebenar. Tiada padannya istilah 'Ana tak tahu', 'nanti ana rujuk balik', 'Wallahu'alam' dan segala jawapan yang padanya seolah-olah boleh menjatuhkan martabat keilmuannya. Adalah merupakan suatu jenayah yang besar di sisi Islam apabila seseorang itu berlagak tahu walhal dia tidak tahu lalu menyebabkannya mengeluarkan pandangan dan fatwa-fatwa yang tidak sepatutnya sehingga menyebabkan orang ramai dan pihak yang meminta pandangannya terjerumus ke arah perkara yang bathil.


2. Jika tidak dilantik memegang sesuatu jawatan, dia akan rasa kecewa dan resah

Sikap gilakan jawatan antara sikap yang buruk. Nabi pernah bersabda yang mafhumnya, “Kami tidak memberi jawatan kepada sesiapa yang memintanya”. Seseorang yang memegang jawatan bermakna dia telah memegang amanah dan ini merupakan adalah suatu perkara yang amat dipandang berat di sisi Islam. Seseorang yang EGO pastinya akan merasa ‘panas’ jika namanya tidak naik menjadi pimpinan walhal sebelum ini dia telah banyak ditaklifkan dengan pelbagai jawatan yang lebih besar daripada itu (etc : di sekolah atau persatuan luar). Dia menganggap seolah-olah kemampuannya tidak dihargai oleh mana-mana pihak sedangkan dia itu lebih baik daripada mereka.


3. Jika dia seorang ketua, dia selalu bersikap kasar ketika memberi arahan kepada orang lain.

Ketua seharusnya bersifat memimpin ahli yang berada dibawahnya. Ahli dibawah akan dipimpin dengan baik supaya matlamat sesebuah tanzim itu tidak tersasar dan segala gerak kerja dapatlah dilaksanakan dengan sempurna. Jika ahli bawahan ada melakukan kesalahan, maka seharusnya seorang ketua itu menegur dengan cara yang berhikmah. Namun apabila sifat EGO mengusai diri seorang pemimpin itu, baginya setiap gerak kerja perlulah dilaksanakan mengikut ‘KPI’nya. Arahan diberikan kepada ahli bawahannya dengan cara yang kasar apatah lagi jika ahli bawahannya itu lambat untuk mengerti sesuatu arahan tersebut. Baginya tiada istilah ‘LEMBAB’ dalam memahami dan melaksanakan tugasan (etc. “apasal lembab sangat dia ni buat kerja, nenek aku yang kat rumah pun boleh buat kerja laju daripada dia”). Sikap ini bahkan sehingga membawa kepada menzalimi orang lain dengan menggunakan kuasanya yang ada. Dia akan gunakan kuasa itu bukan sebagai amanah atau tanggungjawab tetapi sebagai peluang untuk menindas atau mendatangkan kesusahan kepada orang lain.


4. Jika dia orang bawahan, dia susah untuk taat kepada ketuanya dan bersikap degil.

Andainya roda pusingan kehidupan menjadikan gilirannya pula berada di bawah atau menjadi pengikut, ketika itu dia akan menjadi orang yang paling sukar untuk taat setia kepada pihak atasannya. Egonya itu membuatkan dia menjadi amat sukar untuk tunduk kepada peraturan dan perintah ketuanya. Sifat tersebut wujud apatah lagi jika sebelum ini merupakan seorang yang hebat kononnya tempatnya sebelum ini. Dia merasakan dia itu lebih ‘senior’ dalam segala aspek samada dari sudut umur, pengalaman, dan ilmunya berbanding dengan ketuanya yang muda daripadanya dalam aspek tadi. Ulama’ haraki pernah menyebut, tiga golongan manusia yang payah untuk taat :

i. Orang yang banyak umurnya (lebih senior) ;
ii. Orang yang banyak pengalamannya ;
iii. Orang yang banyak ilmunya (pen. ilmu banya namun masih tidak faham fiqh waqi’ie).

Ketaatan hanya akan lahir daripada sifat thiqah sesama sendiri antara pimpinan dan ahli yang kedua-duanya memegang taklifan masing-masing dengan penuh ikhlas dalam semua keadaan walaupun dalam perkara yang tidak disukainya (pen. selagi mana tidak bercanggah dengan syara’).


5. Mudah marah bila dinasihati dan tidak mahu menerima dari orang atau pihak lain.

Seolah-olah merasa rendah atau tercabar atau terhina andainya kebenaran itu keluar dari mulut orang lain. Lebih-lebih lagi sekiranya sesuatu yang benar itu datangnya daripada orang bawahannya atau orang yang dianggap status sosialnya lebih rendah. Teguran yang diberikan oleh pihak lain bukan sahaja tidak dapat diterima, malah diherdik orang memberi nasihat kepadanya (etc. “kau tu siapa nak beri nasihat kat aku!”). Bahkan bukan itu sahaja, dia akan mencari-cari kesalahan orang yang menegurnya dan dijadikan bahan umpatan supaya orang ramai lebih nampak akan kelemahan individu tersebut berbanding dengan dirinya.


6. Emosional dan mudah tersinggung

Tidak boleh ditegur atau tidak mahu menerima teguran. Teguran boleh menyebabkan dia sakit hati malah timbul dendam terhadap orang yang menegurnya. Islam adalah agama nasihat. Sesiapa sahaja selagi mana dia itu tidak maksum maka sudah pasti dia itu tidak terlepas dari serba kekurangan dan melakukan kesilapan. Demikianlah betapa pentingnya peranan wujudnya nasihat dan teguran daripada pihak lain kepada dirinya untuk kemaslahatan bersama. Seharusnya teguran itu diterima dengan hati yang ikhlas terbuka. Soal perkara itu benar atau tidak adalah perkara kedua. Ciri orang beriman itu sendiri adalah saling memberi peringatan dan teguran kepada orang lain tidak kiralah siapa atau apapun pangkatnya. Setiap peringatan itu memberikan manfaat yang besar kepada orang yang beriman dan jika ianya tidak dapat dijadikan manfaat sudah pastinya dia itu tidak tergolong dalam ciri orang yang beriman.


7. Suka dipuji

Sangat suka dipuji malah sentiasa menunggu-nunggu sahaja akan pujian orang kepadanya (pen. ketagih pujian). Apatah lagi jika dia itu dipuji di khayalak ramai dan sudah pastinya dia dirinya itu dipandang tinggi oleh pihak lain. Para sahabat radhiallahu anhum dahulu jika dia dipuji oleh seseorang, maka dia akan membaling selipar atau batu kepada orang yang memujinya kerana bagi mereka ianya boleh menyebabkan amalan mereka ‘hangus’ dengan sifat riya’. Berlainan sekali dengan seseorang yang berikap EGO. Jika dia mendengar pujian terhadap orang lain di hadapannya maka timbul sakit hati kepada orang yang memuji itu dan sakit hati kepada orang yang dipujinya.


8. Sangat suka berbahas

Dalam perbahasan pula sering meninggikan suara. Berbahas pula bukan hendak mencari kebenaran tetapi hendakkan kemenangan walaupun salah. Tujuannya juga untuk menunjukkan bahawa dia itu lebih hebat daripada pihak lain. Hujah pihak lain akan ditolak mentah-mentah dan bainya hujahnya sahajalah yang betul dan lebih baik biarpun hakikatnya hujahnya itu tidak relevan. Yang penting baginya sudah ada kepuasan dengan mewujudkan suasana ‘panas’ dalam perbahasan demi menunjukkan dia itu petah berbahas dan berhujah. Dan dia lebih menyukai jika pandangannya diterima berbanding dengan pandangan orang lain atau dengan erti kata dia itu takjub dengan pandangannya sendiri (al-i’jab bira’yih).


9. Memilih kawan di kalangan orang bawahan dengan tujuan tertentu

Tujuan dipilih kawan yang di kalangan orang bawahan adalah supaya dia itu merasakan dirinya mempunyai kelebihan berbanding dengan yang lain. Isi perbualan atau percakapannya sering saja melebihkan diri biarpun dalam nada tutur kata yang lunak. Apatah lagi bila ada peluang bercakap besar dan lantang. Dengan tujuan demikian, dia menganggap bahawa tiada siapa yang dapat menandingi percakapannya dan pandangannya diterima oleh orang lain.


10. Menonjolkan diri secara berlebihan.

Isi perbualan atau percakapannya sering saja melebihkan diri biarpun dalam nada tutur kata yang lunak. Apatah lagi bila ada peluang bercakap besar dan lantang. Ini kerana dia berbangga dan takhub dengan taklifan yang pernah disandangnya. Jika dia menjadi orang no.2 sekalipun, penampilannya akan melebihi ketuanya dan orang-orang yang lain. Sudah pastinya orang lain akan menganggap bahawa mereka memiliki individu yang cukup berpotensi untuk menggantikan jawatan ketuanya pada masa yang akan datang.





11. Memperlekehkan orang lain

Sikap memperlekehkan orang lain juga tidak akan wujud pada diri individu yang meraakan dirinya memiliki kekurangan dan kelemahan namun perkara yang sebaliknya berlaku kepada mereka yanh EGO. Setiap kesilapan sifat kekurangan yang wujud pada orang lain akan diperlekehkan dan cuba diperendah-rendahkan seolah-olah mahu menunjukkan bahawa dirinya itu lebih baik dan sempurna berbanding dengan lainnya. Orang yang memperendah-rendahkan dan memperlekehkan orang yang lain tergolongan dalam golongan yang fasiq dan seterusnya membawa kepada Dzalimin jika tidak bertaubat. Allah mengecam golongan ini sepertimana di dalam firmanNya :

“Wahai orang-orang yang beriman! janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasiq (kepada seseorang) sesudah ia beriman. dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiqnya) maka merekalah orang-orang yang zalim.” (Surah al-Hujurat : 11)


12. Suka menyampuk perbualan orang lain

Ketika pihak lain memberikan pandangan, amat mudah bagi orang yang EGO itu untuk mencelah dan menyampuk mengikut kehendaknya dengan membelakangkan adab-adab dalam bermesyuarat. Tanpa rasa bertanggunggjawab dan rasa menghormati pandangan pihak lain, dia mudah untuk memintas mana-mana percakapan yang dia rasa tidak bersetuju dengannya seterusnya menyebabkan pandangannya itu mendominasi perbincangan tersebut dan timbul rasa kurang senang dari pihak lain.


13. Berburuk sangka terhadap orang lain

Sikap buruk sangka merupakan dosa yang amat besar dan kerananya boleh membawa kepada tajasus (mencari-cari kesalahan) dan ghibah (umpatan). Hal ini Allah SWT telah nyatakan di dalam surah al-Hujurat akan plot kepada buruk sangka tersebut. Firman Allah SWT :

“ Wahai orang-orang yang beriman! jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana Sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadaNya. (oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; Sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Hujurat : 12)

Demikianlah bahayanya berburuk sangka kepada orang lain. Perkara sedemikian tidak disedari oleh golongan yang EGO yang lebih suka berburuk sangka apatah lagi jika kepada seseorang itu tidak dapat memenuhi tuntutannya seperti tidak dapat hadir ke program yang tertentu disebabkan masyaqqah yang lain. Sebarang alasan yang kukuh tidak dapat diterimanya dan dia lebih memilih untuk berburuk sangka kepada individu tersebut. Bahkan dia lebih suka untuk mendengar sesuatu berita itu daripada pihak lain berbanding mendengar daripada empunya badan tersebut. Allah menempelak golongan ini. FirmanNya :

“Wahai orang-orang yang beriman! jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum Dengan perkara yang tidak diingini - Dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.” (Surah al-Hujurat : 6)


14. Suka meninggikan suara ketika bercakap

“Wahai orang-orang yang beriman! janganlah kamu mengangkat suara kamu melebihi suara Nabi, dan janganlah kamu menyaringkan suara (dengan lantang) semasa bercakap dengannya sebagaimana setengah kamu menyaringkan suaranya semasa bercakap dengan setengahnya yang lain. (larangan yang demikian) supaya amal-amal kamu tidak hapus pahalanya, sedang kamu tidak menyedarinya.” (Surah al-Hujurat : 2)

Mengikut qawaid al-Usuliyyin, “ al-‘ibrah bi’umum al-lafdz la bikhusu al-sabab ” menunjukkan bahawa sesuatu perintah itu adalah bersifat umum walaupun ianya seolah-olah menunjukkan sebab yang khusus. Demikianlah juga dengan firman Allah di atas. Laranga meninggikan suara bukanlah semata-mata dikhususkan kepada Rasulullah SAW tetapi ianya mengajar kita sebagai umatnya akan adab dan akhlak ketika berbicara dengan seseorang apatah lagi jika seseorang itu memiliki kedudukan yang tertentu seperti Rasulullah SAW.

Orang yang EGO akan apabila membicarakan sesuatu perkara, maka dia akan berusaha untuk meninggikan suaranya melebihi kadar yang sepatutnya dan dengan demikian seolah-olah tiada siapa yang berani mencabarnya. Nada percakapannya akan menjadi semakin tinggi apabila dia melihat pihak lain mendengar dengan khusyuk dan menghayati percakapannya dan apatah lagi jika sampai kepada point utama percakapannya itu. Ini juga boleh dikategorikan sebagai ‘naik syaikh’ dalam berbicara. Sikap sedemikian merupakan sikap takabbur dan jijik di sisi Islam dan sama-sama kita perlu ingatkan bahawa tidak akan masuk syurga bagi mereka yang mempunyai sebesar zarrah sifat takabbur. Waiyyazubillah min dzalik..

* Muhasabah bersama..

Sunday 2 January 2011

Coretan 2011

Alhamdulillah.. itulah ungkapan syukur yang penulis dapat luahkan setelah mana berjaya bersama-sama dengan sahabat-sahabat lain menjayakan ekspedisi dakwah GAMIS di KLCC dan diikuti dengan perhimpunan 1111 di Dataran Petaling Jaya puluhan jam yang lalu. Walaupun badan agak penat dan letih disebabkan kondisi tidak berapa sihat untuk menyertai program tersebut, namun Alhamdulillah Allah telah memberi sedikit kekuatan untuk terus melangkah ke medan dakwah. Sempat penulis mengambil beberapa gambar sebagai scene pada waktu kejadian.

suasana yang agak lenggang selepas countdown di sekitar KLCC yang sempat dirakamkan

Penulis kali ini tidaklah mendapat banyak kesempatan untuk bersama-sama dengan sahabat2 lain yang turun pada malam klimaks rentetan disebabkan pada kali ini terlibat dalam tugas menyediakan makanan untuk sahabat2 yang bertugas menyebarkan risalah dan berdakwah kepada masyarakat umum. Namun pengalamannya telah pun dikecapi pada sambutan tahun baru yang lalu . Ironinya, setiap usaha membantu Islam walau apapun metodnya adalah tetap dinilai oleh Allah sebagai suatu kebaikan jika hati ikhlas.

Terimbau kembali kisah seorang Mujahiddin di Afghanistan yang ditugaskan di bahagian dapur yang dijadikan bahan gurauan oleh sahabat2 semujahiddinnya yang turun ke medan tempur berhadapan dengan pihak musuh. Kata sahabat2nya, " kami yang bertempur dengan musuh inilah lebih berisiko untuk mati dan mendapat syahid berbanding dengan kamu yang hanya memasak untuk kami". Dia hanya diam kerana mungkin benar apa yang diungkapkan oleh sahabat2nya itu. Namun dia tetap mempasakkan keikhlasan sepenuhnya di dalam melakukan tanggungjawab yang telah ditaklifkan. Suatu hari, dengan izin Allah, khemah yang digunakan oleh si Mujahiddin tersebut telah dibom oleh pihak musuh sekaligus menyebabkan beliau dipilih oleh oleh Allah SWT sebagai seorang syahid walhal tugas beliau hanyalah sebagai TUKANG MASAK.

Kisah penulis kongsikan tersebut dapatlah dijadikan pedoman dan iktibar bagi mereka yang bergelar seorang pejuang. Kita hanya 'buat kerja', selebihnya Allah SWT yang memutuskan. Al-muhim, niat kenalah ikhlas.

sekitar dataran PJ

Perjuangan tidak terhenti pada malam tersebut yang berakhir kira2 jam 3.00 am namun tetap diteruskan pada keesokkan paginya di Dataran Petaling Jaya setelah puas 'berjaulah' hingga terlepas ke Shah Alam. Sekitar jam 9 lebih, perhimpunan 1111 bermula dengan senaman aerobik kemudian disusuli dengan aktiviti mengecat banner (lebih kurang 120 meter). Kemudian disusuli dengan pidato berantai yang membakar semangat mahasiswa dalam keadaan mereka 'hangat terbakar' dek bahang matahari. Kemudian dibentangkan deklasari mahasiswa yang secara keseluruahannya disepakati bersama. Perhimpunan tersebut bagaimanapun diakhiri dengan perasmian dan beberapa ucapan penghargaan dari GAMIS.

antara aktivis mahasiswa yang terlibat

muslimat yang mendominasi juga turut kelihatan dari jauh


Sekalung syabas dan tahniah kepada semua sahabat2 mahasiswa/I yang terlibat dalam menjayakan kedua2 program tersebut khususnya dari kontinjen UKM yang sanggup turun sehingga ke penghujung program. Kredit juga kepada Ust Ikram dan sahabat2 di atas sokongan dan bantuan kalian berikan kepada penulis dalam berpartisipasi dengan program tersebut.

2011 TAHUN PERUBAHAN MAHASISWA